Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, February 24, 2012

Kembara Bandung - Hari 2

Bismillahirrahmanirrahim...

Aduhai, dah bersawang blog saya ini selepas beberapa minggu terbiar kerana saya bercuti di kampung sepanjang cuti semester tempohari. Waktu di kampung, memang saya agak kurang memberi perhatian kepada gajet-gajet sebaliknya hanya menikmati percutian sepenuhnya. Natijahnya, blog jadi bersawang huhu. Kini, sudah masuk minggu ke-2 saya kembali ke kota untuk meneruskan kembali kehidupan seperti biasa. Demi untuk mengabadikan kembara yang telah dilalui sebaik tamat peperiksaan sebelum ini, saya gagahkan diri juga untuk menulisnya di blog ini. 

22 Januari 2012 - Kami bangun awal kerana telah berjanji dengan Hendro untuk memulakan perjalanan pada jam 8 pagi. Lucunya saya dan adik tersilap waktu sarapan apabila kami turun sejam lebih awal kerana terlupa perbezaan waktu antara Malaysia dan Bandung. Pada mulanya kami merungut juga tentang kelewatan sarapan dihidangkan sedangkan jam kami sudah menunjukkan pukul 7.30 pagi. Akhirnya kami sedar yang kami tersilap kerana masih merujuk kepada jam tangan sendiri yang tidak diubah kepada waktu tempatan. 

Seperti dijanjikan, Hendro sudah sedia menanti di lobi pada jam 8 pagi dan kami memulakan perjalanan ke destinasi pertama iaitu Tangkuban Parahu. Menurut Hendro, elok bagi kami untuk bertolak awal untuk mengelakkan kemacetan berikutan jumlah pengunjung yang sangat ramai pada cuti Imlek. Benar kata Hendro, sepanjang perjalanan juga kami telah mula merasai suasana macet sehingga perjalanan yang sepatutnya mengambil masa selama 45 minit sahaja menjadi lebih daripada 1 jam. 

Macet bangat

Perjalanan ke sana memang agak mencabar berikutan keadaan jalan yang bengkang bengkok dan permukaannya yang tidak rata. Saat-saat ini saya memang terasa rindu kepada lebuhraya di Malaysia. Mujur juga kecekapan Hendro memandu sangat membantu walaupun pada waktu tertentu, hampir copot juga jantung ini terutama sewaktu aksi memotong kenderaan lain. Namun satu perkara yang harus dipuji, pemandu di sini tidak akan memberikan 'jelingan maut' seperti di Malaysia jika dihon oleh pemandu lain. 

Hidup memang penuh dengan liku dan ranjau

Selepas menempuh perjalanan yang agak mencabar, kami tiba di Tangkuban Parahu dan kelihatan pada waktu itu sudah banyak kenderaan yang bertali arus memasuki pintu masuk ke sana. Tiket sebanyak Rp50,000 seorang dan Rp15,000 untuk kenderaan 4 roda dikenakan kepada pengunjung luar seperti kami. 




Mujur juga kami datang dengan menaiki kereta kerana pengunjung yang menaiki bas perlu berjalan kaki untuk tiba ke puncaknya sedang kami terus dibawa oleh Hendro terus ke puncaknya. Kami disambut dengan angin yang sungguh kencang sehingga saya sendiri merasa seperti diterbangkan dan cuaca pula amat sejuk di samping bau tengik daripada kawah gunung berapi yang masih aktif. Awal-awal lagi kami telah diingatkan oleh Hendro agar mengabaikan sahaja peniaga-peniaga haram yang akan mengerumuni pengunjung di situ kerana harga yang ditawarkan sebenarnya jauh lebih mahal. Adalah lebih baik kami terus ke deretan gerai yang memenuhi sekitar kawasan di situ jika ingin membeli cenderamata atau buah tangan. 

Kawah yang mengeluarkan bau tengik

Hanya lafaz Subhanallah yang terlafaz di bibir melihat kekuasaan Allah SWT yang menciptakan kawah gunung berapi sebegitu rupa. Oleh kerana kami tiba awal, jumlah pengunjung masih tidak terlalu ramai dan ia memudahkan kami untuk menikmati suasana di situ. 

Tempat wajib untuk berfoto

Tempe goreng dan sambal kicap yang sungguh enak dinikmati dalam cuaca sejuk

Menyusuri deretan kedai di situ

Memang betul kata Hendro, barangan yang dijual di kedai jauh lebih murah daripada yang ditawarkan oleh peniaga-peniaga haram yang tidak jemu mengerumuni pengunjung. Kesabaran yang tinggi amat diperlukan untuk berhadapan dengan mereka dan cara paling baik adalah dengan tidak mengendahkan tawaran yang diwarwarkan oleh mereka kerana jika kami mula menyahut tawaran seorang peniaga, sudah pasti peniaga-peniaga lain akan turut mengerumuni kami. 

Selepas hampir 1 jam di situ, kami mula mengajak Hendro untuk meninggalkan tempat tersebut berikutan jumlah pengunjung yang semakin ramai dan tidak tahan dengan angin yang kencang bertiup. Ternyata tindakan kami untuk bertolak awal ke situ tepat kerana kemacetan semakin teruk sewaktu kami menuruni kawasan tersebut. Malah kami juga terperangkap dalam kemacetan tersebut dan terpaksa mengambil masa yang lebih panjang untuk keluar daripada situ. 

Macet semakin teruk sewaktu kami menuruni Tangkuban Parahu

Destinasi kami seterusnya adalah Restoran Kampung Daun, sebuah tempat makan yang cukup dikenali oleh pengunjung luar seperti kami. Dalam perjalanan, kami singgah di deretan gerai yang menjual buah-buahan dan kami tertarik dengan longgokan buah alpukat (avokado) yang boleh didapati dengan mudah di situ. 

Longgokan buah alpukat

Kami tiba di Restoran Kampung Daun selepas menempuh perjalanan yang agak mencabar namun agak kecewa apabila melihat jumlah pengunjung yang memenuhi perkarangan pintu masuk. Rupanya kami perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu di kaunter dan menunggu nombor dipanggil apabila tiba giliran. Melihat kepada jumlah pengunjung yang begitu ramai dan perut yang sudah berkeroncong minta diisi, kami meminta Hendro membawa kami ke tempat makan lain. 

Tunggu giliran huhu

Akhirnya kami singgah di sebuah restoran yang menghidangkan makanan Sunda. Tempatnya nampak biasa-biasa sahaja tetapi makanan yang dihidangkan kena dengan selera kami malah Abah bertambah nasi sebanyak 2 kali. Lucunya semasa ingin membuat pesanan, kami agak ragu-ragu dek kerana namanya yang agak pelik. Contohnya, petai dipanggil pete dan gulai dipanggil gule menyebabkan kami teragak-agak untuk memesannya tetapi apabila lauk dihidangkan di hadapan mata, kami ketawa kerana ia sesuatu yang tidak asing. 


Nasi dihidang dalam bakul dan dialas dengan daun pisang. Wangi!

Licin. Terlupa untuk mengambil gambar hidangan sebelum dimakan kerana terlalu lapar. 

Usai makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Puncak kerana saya telah menempah penginapan di sana. Perjalanan memakan masa selama 4 jam dan seperti biasa, kami perlu menempuh kemacetan yang amat kerana Puncak merupakan antara tempat tujuan pelancong luar dan juga tempatan terutama warga Jakarta. Dalam perjalanan, Hendro membawa kami singgah di sebuah masjid yang berbentuk 4 segi. Masjid tersebut dikenali sebagai Masjid Al-Irsyad, terletak di Kota Baru Parahyangan. Rekabentuknya memang berbeza daripada masjid lain kerana jika diperhatikan, marmar hitam yang disusun mengelilinginya membentuk kalimah syahadah manakala ruangan hadapan di dalamnya tidak mempunyai dinding. Tidak banyak gambar yang dapat kami ambil di sini kerana dihalang oleh pengawal keselamatan yang meminta 'surat ijin' daripada kami. Malas untuk memanjangkan perkara, kami hanya bertindak menyimpan sahaja kamera walaupun kami tahu 'surat ijin' yang dimaksudkannya. 

Di sini, segala-galanya berkisar soal wang malah Hendro memang memperuntukkan sejumlah wang buat mereka yang menjaga parkir. Aneh kan apabila anda sudah membayar parkir apabila memasuki sesuatu tempat tetapi anda perlu membayarnya sekali lagi kepada petugas di dalamnya. Namun, sebagai orang luar, apa hak kami untuk menilai sesuatu yang sudah menjadi budaya dalam hidup mereka meskipun secara peribadi, saya merasakan ia satu budaya yang tidak sihat.  

Masjid Al-Irsyad, Kota Baru Parahyangan

Selepas menempuh perjalanan selama hampir 5 jam (melebihi jangkaan), kami tiba di Puncak. Kata Hendro, kami bernasib baik kerana laluan masih dibuka untuk kenderaan dari arah Bandung kerana jika tidak, kami perlu menunggu selama beberapa jam pula untuk memberi laluan kepada kenderaan yang datang dari arah Jakarta. Keletihan memang tidak dapat digambarkan ditambah pula dengan perut yang berkeroncong kerana tidak diisi sejak makan tengahari tadi. Kedudukan Resort Permata Hati pula terletak jauh di atas bukit dan perlu melalui celah-celah kediaman dan lorong kecil yang dipenuhi dengan warga Arab. Baru saya tahu di situ ada komuniti Arab yang memonopoli ruang perniagaan. Memang kami temui deretan gerai dan restoran yang dimiliki oleh warga Arab sepanjang perjalanan menuju ke Puncak. 

Resort Permata Hati yang saya tempah lebih awal secara online memang sebuah tempat yang menarik malah udaranya begitu nyaman. Saya kira Puncak boleh diibaratkan seperti Cameron Highlands atau Bukit Fraser jika di Malaysia. Justeru, penghawa dingin memang tidak diletakkan dalam bilik penginapan di situ kerana kesejukan semulajadi sudah cukup untuk mencengkam tulang temulang kami. Bilik ini saya tempah dengan kadar Rp350,000 iaitu kadar untuk cuti umum dan ia lebih murah pada hari biasa. 


Oleh kerana kami sudah terlalu letih akibat menempuh perjalanan yang sangat jauh, soal makan malam sudah jatuh di tangga nombor 2. Malas pula untuk mengajak Hendro keluar mencari tempat makan. Lantas kami hanya berjalan kaki ke kedai runcit berhampiran untuk membeli roti dan mee segera. 

Malam itu kami tidur awal diselimuti oleh cuaca yang begitu nyaman malah tidur kami begitu lena dek kerana kepenatan menempuh perjalanan Bandung-Puncak. Kami perlukan rehat yang cukup untuk menempuh perjalanan pada keesokan hari. 

No comments: