Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, January 29, 2012

Kembara Bandung - Hari 1

Bismillahirrahmanirrahim...

21 Januari 2012 - Akhirnya, hari yang dinanti tiba jua. Penerbangan kami ke Bandung dijadualkan pada jam 7.15 malam. Namun kami bertolak ke LCCT 3 jam lebih awal kerana perlu menyelesaikan urusan kargo terlebih dahulu di samping tidak mahu tergesa-gesa dalam perjalanan. Untuk memudahkan urusan, saya telah awal-awal menyelesaikan urusan daftar masuk pergi dan balik secara online. Oleh kerana agak lewat mendaftar masuk, kami mendapat tempat duduk di bahagian belakang berhampiran pintu masuk. Sengaja juga saya ajak mereka datang awal agar dapat solat Asar Qasar terlebih dahulu di surau LCCT kerana kami bertolak dari teratak saya sebelum masuk waktu Asar. Pemergian kami ke LCCT telah dibantu oleh dua orang adik lelaki iaitu BaYu dan PakSoo.

Usai urusan penyerahan beg di kaunter, kami sempat mengalas perut di medan selera LCCT yang dinamakan Food Garden. Meskipun sudah beberapa kali ke LCCT, ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ. Sekitar jam 6 petang, kami bergerak masuk menuju ke balai berlepas dan di sini berlaku insiden yang agak memalukan apabila saya tersilap memasuki lorong untuk penerbangan domestik. Kekerapan saya ke sini sebelum ini hanya untuk tujuan domestik sahaja dan untuk urusan antarabangsa sebelum ini adalah di KLIA, menyebabkan saya terkeliru dengan laluan di situ. Aduhai, masih terbayang-bayang wajah terkejut dan seperti menahan ketawa pegawai polis yang memeriksa boarding pass kami.

Semasa menunggu pula, kami mendengar pengumuman yang penerbangan kami terpaksa ditangguh selama setengah jam berikutan kelewatan ketibaan pesawat daripada Bandung. Namun tidak lama selepas itu, kedengaran pula pengumuman meminta kami memasuki pesawat dibuat menjadikan penerbangan kami berlepas sebelum jam 7.45 malam. Alhamdulillah.


Langkah keselamatan

Penerbangan ke Bandung memakan masa selama dua jam dan perbezaan masa dengan Malaysia adalah lewat satu jam. Bermakna kami akan tiba di Bandung sekitar pukul 8.45 malam waktu Bandung dan pukul 9.45 malam waktu Malaysia. Sengaja saya tidak ubah waktu di jam tangan saya untuk membolehkan saya bersiap lebih awal dari masa yang ditetapkan. Waktu Subuh di sana pula masuk pada pukul 4.30 pagi.

Tiba di sana, usai urusan Imigresen yang memakan masa hampir 1 jam, supir kami, Hendro, telah sedia menunggu di Bandara Hussien Sastranegara. Ini merupakan kali pertama saya bersua dengan Hendro kerana sebelum ini kami hanya berurusan melalui emel sahaja. Hendro telah menyediakan sebuah kenderaan Toyota Avanza untuk kegunaan sepanjang kembara kami di sana. Dari situ, kami singgah sebentar di sebuah restoran bernama Gampoeng Aceh yang kelihatan seperti kedai mamak layaknya kalau di Malaysia. Lucu juga apabila membaca menu yang disediakan di situ apabila sebutan 'roti canai' disebut 'roti cane' dan 'gulai' pula menjadi 'gule'.  Sementara 'jus lobak' pula dipanggil 'jus wortel' dan 'jus avokado' disebut 'jus alpukat'.

Sewaktu menunggu hidangan siap, Hendro membawa saya dan adik, Makteh, untuk membeli kad SIM talian di sana. Pelbagai pilihan tersedia dan atas saranan Hendro, akhirnya kami memilih 2 talian XL dengan kadar Rp44,000 (lebih kurang RM16).

Pelbagai pilihan, kami pilih yang paling kanan, XL

Saya cuba jus wortel - rupa-rupanya jus lobak susu
Usai mengalas perut, Hendro terus membawa kami ke hotel yang telah saya tempah lebih awal iaitu Hotel Cihampelas 2 yang terletak di Jalan Cihampelas. Ia hanya sebuah hotel bertaraf 2 bintang sahaja dan terletak di laluan yang agak sibuk. Memadailah untuk kami menginap selama 1 malam kerana esok pagi kami akan bertolak ke Puncak pula dan menginap di sana.

Malam itu malam pertama kami di bumi Bandung dan kami tidur awal kerana sudah berjanji dengan Hendro untuk bertolak keesokan hari seawal jam 8 pagi.

Wednesday, January 25, 2012

Pra-Kembara Bandung

Bismillahirrahmanirrahim...

17 Januari 2012 - Jam 11 pagi, saya bergegas untuk menuntut kamera yang telah dibeli melalui Groupon di The Mines. Namun atas kesilapan di pihak pembekal, saya terpaksa bergegas pula ke cawangan Maju Junction, KL kerana stok kamera masih belum dihantar kepada cawangan The Mines. Dek kerana kesilapan tersebut, perancangan saya menjadi bercelaru. Saya sepatutnya tiba di sekolah adik saya, MakTeh, pada jam 12 tengah hari kerana saya minta pertolongan MakTeh untuk menghantar saya ke stesen komuter terdekat dan meninggalkan kereta saya kepadanya. Dari situ, saya akan menuju ke stesen bas Hentian Putra untuk menaiki bas pada jam 1.30 petang.

Akibat terpaksa melencong ke KL sebentar, saya tiba jam 12.30 tengah hari di sekolah MakTeh. Saya diduga lagi apabila MakTeh pula terlupa jalan untuk ke stesen komuter terdekat menyebabkan banyak masa terbuang di situ. Akhirnya, kami ke stesen yang lebih jauh daripada terus membuang masa mencari sesuatu yang belum pasti kerana saya mengejar masa. Jam pula semakin menghampiri jam 1 petang sedangkan saya masih belum menaiki komuter. Tiba di stesen komuter, saya terus berlari ke kaunter tiket dan mendapati tren seterusnya dijadualkan pada jam 1.15 petang. Aduhai, kecut perut hanya Allah yang tahu kerana tren ditunda kepada jam 1.25 petang pula. Hampir-hampir saya ingin berpatah balik mengambil kereta dan memandu sahaja pulang ke kampung kerana memikirkan tidak sempat untuk menaiki bas jam 1.30 petang. Namun saya teruskan jua perjalanan menaiki tren dan saya berdoa di dalam hati, seandainya Allah mengizinkan saya untuk menaiki bas pada hari ini, maka permudahkanlah perjalanan ini.

Tiba di stesen Putra jam 1.35 petang, saya berlari seperti kaki tak jejak tanah menuju ke Hentian Putra dengan harapan bas masih belum bertolak. Peluh mencurah-curah mengalir dan badan juga sudah berbau. Larian saya makin laju apabila melihat bas syarikat yang sepatutnya saya naiki berada di persimpangan lampu isyarat memasuki Hentian Putra. Tanpa berlengah, saya terus menuju ke kaunter tiket.

"Minta maaf, bas jam 1.30 petang dah bertolak ke?" tanya saya kepada petugas kaunter.

"Belum lagi kak, jalan sesak. Bas lewat sikit," balas petugas tersebut.

Ya Allah! Saat itu saya terasa seperti ingin sujud syukur di lantai Hentian Putra kerana hanya dengan izinNya saya dapat pulang ke kampung dengan menaiki bas juga.

Bekalan sepanjang perjalanan

Hidup memang sebuah perjalanan

Alhamdulillah perjalanan lancar meskipun memakan masa lebih panjang daripada biasa kerana hujan lebat. Tiba di persimpangan berhampiran rumah, saya dijemput oleh Abah dengan menaiki kereta. Usai berehat seketika, Abah mengajak saya dan Ummi untuk makan malam di luar. Jika diikutkan hati, kepenatan masih bersisa kesan perjalanan tadi tetapi apabila melihat Abah beria-ia mengajak kami, saya turutkan sahaja. Sudahnya, semangkuk laksa menjadi habuan saya.


Licin semangkuk laksa

Tujuan sebenar saya pulang pada kali ini adalah untuk menjemput Abah dan Ummi ke KL kerana kami akan bercuti ke Bandung pada hari Sabtu (21 Januari 2012). Saya berat hati membenarkan Abah memandu sendiri ke KL kerana saya tahu, memandu dalam jarak jauh adalah tidak sesuai untuk seseorang yang sudah berusia 65 tahun seperti Abah. Oleh kerana saya sendiri juga sedang bercuti, maka saya pulang untuk membawa mereka ke KL dengan menaiki kereta. Mengikut perancangan, kami akan bertolak ke KL pada hari Jumaat. Sebelum itu, saya perlu menghantar kereta milik Makteh yang telah ditinggalkan di kampung sebelum ini untuk diservis.

Bilik menunggu pusat servis - saya suka mesin air ini

Dalam penyelenggaraan

Perjalanan kami pada hari Jumaat bermula pada jam 11.30 pagi dan tiba di KL pada jam 7.30 malam. Secara kebetulan, saya perlu menghadiri mesyuarat alumni Muar pula pada jam 8 malam di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Jika diikutkan hati, saya memang tidak larat untuk menghadirinya namun apabila memikirkan yang ia adalah tanggungjawab saya dan mungkir janji adalah sesuatu yang saya benci, maka saya gagahkan juga untuk menghadirinya. Usai membelikan makanan untuk Abah dan Ummi serta solat Maghrib, saya terus bertolak ke TBS tetapi lewat tiba di sana. Apapun, keletihan hilang apabila melihat wajah rakan-rakan lain yang saya pasti turut berkorban masa dan tenaga mereka untuk menghadiri mesyuarat tersebut yang tamat sekitar jam 11 malam.

Wednesday, January 18, 2012

Kunjungan Tak Dirancang

Bismillahirrahmanirrahim...

15 Januari 2012 - Kunjungan yang tak dirancang namun menyeronokkan. Ia perkara biasa dalam keluarga kami. Abah memang kaki jalan dan setiap kali berjalan, satu keluarga akan diangkut penuh di dalam kereta. Jika tiba-tiba Abah memutuskan untuk berkunjung ke rumah pakcik di Kuantan, Ummi akan kelam kabut menyiapkan kami adik-beradik. Pernah juga Abah sudah siap membawa pakaian ganti sewaktu mengambil kami pulang dari sekolah dan terus membawa kami ke Kuantan. Malah pelbagai lagi tindakan ad-hoc yang dilakukan oleh Abah sepanjang ingatan saya. Kini tabiat itu menurun kepada anak-anak pula.

Seawal jam 5 pagi, saya, Abah, Ummi dan adik-adik bertolak ke LCCT untuk menghantar Abah dan Ummi menaiki penerbangan pulang ke Kuala Terengganu pada jam 7 pagi. Untuk memudahkan urusan, saya selesaikan urusan daftar masuk keduanya pada malam tadi dan waktu untuk memasuki balai berlepas adalah pukul 6.40 pagi. Tiba di LCCT, kami terus menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh. Sayup-sayup kedengaran suara Abah menjadi imam solat.

Usai solat, kami terus bergegas menghantar Abah dan Ummi memasuki ruang balai berlepas. Walau berkali-kali menghantar mereka, perasaan sayu itu tetap hadir saat bersalaman dan melambai mereka. Seolah-olah ia adalah pertemuan yang terakhir. Saya belum bersedia untuk berdepan dengan saat sebegitu. 

Dari LCCT, kami singgah di pekan Dengkil untuk bersarapan. Dalam perjalanan pulang ke teratak saya, secara tiba-tiba saya utarakan cadangan kepada adik-adik mengajak mereka ke rumah abang kedua saya, BaAn, yang terletak di Ulu Tiram, Johor. Lucunya, tanpa banyak soal mereka terus bersetuju dan adik bongsu saya, PakSoo, terus memandu memasuki lebuhraya menuju Johor Bahru. Lebih lucu lagi, hanya PakSoo seorang sahaja yang sudah mandi pada pagi tadi sedangkan saya dan adik perempuan, MakTeh, masih belum mandi. Haha. 

Perjalanan memakan masa 3 jam setengah dan kami keluar di persimpangan Senai sebelum memasuki lebuhraya seterusnya menuju ke Ulu Tiram. Di situ, kami ternampak Johor Premium Outlet yang heboh diperkatakan baru-baru ini. Ia terletak betul-betul di tepi lebuhraya sehingga kami berhenti sebentar untuk mengambil gambar tempat tersebut.  


JPO yang terletak di tepi lebuhraya

BaAn nyata terkejut menerima kehadiran kami kerana tidak memaklumkannya dari awal. Ini merupakan kunjungan pertama PakSoo ke rumah BaAn. Perkara pertama yang saya dan MakTeh buat adalah ke kedai pakaian berdekatan untuk membeli pakaian kerana kami datang sehelai sepinggang. Justeru, tiada pakaian ganti untuk dipakai selepas mandi nanti.

Usai bersiap, sengaja saya minta kakak ipar untuk tidak memasak kerana merancang untuk makan di luar sahaja. Tambahan pula, PakSoo perlu ke Balai Polis Daerah Johor Bharu untuk mengambil salinan surat penempatannya. Destinasi pertama kami adalah TESCO Seri Alam tetapi tujuan sebenar kami adalah untuk makan di sebuah restoran masakan Melayu yang ada di dalam tempat tersebut. Untuk memudahkan pergerakan kami hanya menggunakan kenderaan milik BaAn sahaja iaitu Proton Exora.






Dari situ, kami bergerak menuju ke Balai Polis Daerah Johor Bahru yang terletak berhampiran stesen JB Sentral. Selesai urusan di situ pula, kami terus menuju ke Masjid Sultan Abu Bakar untuk menunaikan solat. Asyik juga saya melihat bangunan yang cukup bersejarah kepada negeri Johor khususnya dan Malaysia amnya. Dari situ, pengunjung boleh melihat negara jiran iaitu Singapura.

Pintu masuk, tetap bergambar walaupun pengawal menjeling

Perkarangan Masjid Sultan Abu Bakar

Aktiviti kami tamat di situ dan kembali ke rumah BaAn kerana kami perlu pulang ke KL pula. Perjalanan masih jauh dan kami perlu tiba awal untuk rehat secukupnya. Awal pagi PakSoo perlu ke Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman untuk melaporkan diri. Saya pula ditugaskan untuk menjadi supir bagi perjalanan pulang ke KL dan Alhamdulillah kami tiba sekitar jam 9.30 malam. 

Mukmin Profesional

Bismillahirrahmanirrahim...

14 Januari 2012 - Seawal pagi, saya bertolak ke lokasi pejabat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. (FBSB) untuk menghadiri Kursus Mukmin Profesional. Penyertaan dan pembayaran telah saya jelaskan dari bulan Oktober 2011 lagi kerana jumlah tempat duduk yang agak terhad iaitu 40 orang sahaja. Sebab utama saya menyertai kursus ini adalah kerana ia dikendalikan oleh salah seorang motivator yang saya kagumi iaitu Ustaz Muhammad Pahrol Juoi. Justeru, peluang untuk bersua muka dan mendengar sendiri buah bicara daripada beliau tidak akan saya lepaskan. Sebelum ini saya sering mendengar slot beliau di IKIM.FM di samping mengikuti blog beliau iaitu Genta-Rasa dan juga nukilan-nukilan beliau di majalah islamik seperti ANIS dan SOLUSI.

Namun kerana kelemahan diri sendiri yang tidak sempat mendapatkan maklumat yang tepat tentang lokasi pejabat FBSB, saya tiba lewat 15 minit daripada masa yang ditetapkan. Malah hampir-hampir saya putus asa mencari lokasinya meskipun sudah berada di dalam kawasan yang betul. Berkali-kali saya berlegar-legar dengan kereta mencari alamat yang diberikan tetapi gagal menemuinya hingga akhirnya saya nekad membuat pusingan terakhir. Jika pada pusingan ini, saya masih gagal menemuinya maka saya beranggapan Allah tidak mengizinkan saya untuk menghadirinya. Namun, dalam kekecewaan itu saya berdoa,

"Ya Allah, bantulah aku menemui tempat tersebut jika penyertaanku dalam kursus ini diredhai oleh-Mu."

Alhamdulillah, cubaan saya yang terakhir membuahkan hasil. Saya ternampak satu papan tanda yang memaparkan nama dan alamat FBSB pada sudut sebuah tangga. Saiznya terlalu kecil sehingga saya tidak perasan kewujudannya sewaktu berlegar-legar di situ dan dikaburi pula oleh andaian saya yang mencari papan tanda lebih besar.

Sedikit sebanyak saya terasa bersalah juga kerana selalunya saya jenis yang akan tiba awal daripada masa yang dijadualkan. Apapun, itu tidak boleh dijadikan sebab untuk saya patah semangat menimba ilmu daripada kursus tersebut.

Kursus dibahagikan kepada 3 slot iaitu jam 9 hingga 11 pagi, berhenti untuk minum pagi dan diteruskan pada jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Minum pagi dan makan tengahari disediakan kepada peserta-peserta kursus dan kami juga solat Zuhur berjemaah dengan diimamkan oleh Ustaz Hashim. Selain Ustaz Pahrol, kursus ini juga dibantu oleh Ustaz Hashim sebagai motivator bersama. Usai solat Zuhur, kursus diteruskan semula pada jam 2.30 petang.   


Ustaz Pahrol Juoi berkongsi ilmu kepada kami

Banyak perkara yang dikongsikan iaitu tentang pemahaman modul Mukmin Profesional itu sendiri. Ia satu wadah yang diilhamkan oleh Ustaz Pahrol melalui pengalaman sepanjang mengendalikan kursus-kursus kepada pelbagai agensi sama ada Kerajaan atau swasta. Malah modul yang saya ikuti ini sebenarnya telah dibukukan oleh Ustaz Pahrol bertajuk Mukmin Profesional: Celik Mata Hati. Mujur juga sebagai peserta kursus, kami diberi satu naskhah tersebut setiap seorang.


Mukmin Profesional - Nukilan Ustaz Pahrol

Mendapatkan autograf Ustaz Pahrol Juoi

Sejujurnya, saya gemar mengikuti tulisan Ustaz Pahrol kerana nukilannya ditulis dengan bahasa yang mudah difahami dan lembut di hati. Ia sesuai dengan jiwa saya yang juga gemar dengan bahasa-bahasa yang indah sebegitu. InsyaAllah, saya akan terus mengikuti modul-modul seterusnya susulan modul 1 yang saya ikuti ini. Saya fikir, dalam usaha untuk membentuk diri menjadi lebih baik, ilmu merupakan elemen yang paling mustahak. Justeru, selagi ada daya dan rezeki daripadaNya, akan saya gagahkan diri untuk menghadiri program-program sebegini pada masa hadapan.

Tamat program sekitar jam 5 petang, saya terus menuju ke Sri Gombak untuk bertemu dengan Abah, Ummi yang tiba dari kampung malam tadi kerana mengikuti rombongan perkahwinan anak sepupu saya.

Monday, January 16, 2012

Bukit Fraser

Bismillahirrahmanirrahim...

8 Januari 2012 - Dalam entri bengang, saya nyatakan yang saya terima e-mel daripada pensyarah memaklumkan yang kelas tutorial akan diadakan pada hari Ahad (8 Januari 2012) dan saat itu sudah tentu saya masih berada di puncak Bukit Fraser bersama keluarga. Buntu juga saya memikirkan jalan penyelesaiannya kerana tutorial ini penting sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan pada 11 Januari 2012. Saya mohon petunjuk daripada Allah agar membantu saya untuk keluar dari kekabutan ini. Alhamdulillah, justeru niat saya untuk meraikan keluarga, maka saya dibantu olehNya dengan mengilhamkan agar saya meminta pertolongan rakan sekelas untuk merekod sesi tutorial tersebut. Secara kebetulan pula, rumah rakan saya ini terletak di laluan dalam perjalanan ke Bukit Fraser. Lalu saya singgah sebentar untuk menyerahkan kamera video kepadanya semasa dalam perjalanan ke Bukit Fraser.

Akhirnya, kami tiba di Fraser's Silverpark Resort pada waktu Maghrib. Agak mencabar juga memandu ke sini berikutan laluan bengkang bengkok dan berbukit bukau. Mujur juga kami tidak perlu menunggu giliran untuk naik ke puncak kerana jalan untuk laluan turun sudah siap. Tidak seperti kunjungan kali pertama dulu, kami terpaksa menunggu giliran untuk naik selama 2 jam kerana memberi laluan kepada kenderaan yang turun terlebih dahulu. 

Oleh kerana saya yang pertama tiba di tempat penginapan dan tempahan dibuat atas nama saya, maka saya selesaikan urusan mendaftar masuk terlebih dahulu. Subhanallah, tika ini saya terasa ingin menitiskan air mata kerana 'kebengangan' saya sebelum ini telah diganti oleh Allah dengan nikmat sebuah bilik. Jika mengikut tempahan asal, hanya 5 unit bilik ditempah sedangkan ada 6 keluarga yang hadir. Justeru, saya dan adik perempuan, MakTeh, beralah untuk tidur di unit bersama Abah, Ummi dan tidur di sofa sahaja. Namun, kami terima satu unit apartmen 2-bilik sebagai compliment kerana unit apartmen 1-bilik yang sepatutnya diberikan kepada kami mengalami kebocoran. Hikmah atas segala 'kebengangan' sebelum ini telah saya temui.

Usai memasuki unit masing-masing, kami bersiap untuk makan malam. Cuaca sangat sejuk dan berkabus. Tidak sabar rasanya untuk memasuki selimut dan rasanya lebih enak tidur berbanding makan malam. Apapun, perut perlu diisi terutama Abah saya yang tidak boleh berperut kosong malah Abah akan bangun pada waktu malam sedang kita lena diulit mimpi hanya untuk mengisi perut. Bagi saya pula, jika diberi pilihan antara tidur dan makan, tidur berada di tangga nombor satu dan rela mengorbankan waktu makan. Hehe. 

Kami ke sebuah kedai makan yang terletak di sebelah Masjid Sultan Mahmud, satu-satunya masjid di situ. Rupa-rupanya ia juga tempat kami makan sewaktu kali pertama ke sini dulu namun ada perubahan di situ. Dulu sebahagian tempat itu masih dalam pembinaan dan kini ia sudah siap sepenuhnya. Menunya biasa saja, cukup untuk kami mengalas perut.

Usai makan malam, agenda seterusnya adalah mengambil gambar di menara jam. Dalam kesejukan malam, kami redah jua demi untuk mengambil gambar sebagai kenangan bersama. Hati saya berbunga melihat kanak-kanak riang berlari menikmati keindahan malam. Lenyap segala keletihan dan kebengangan, ujian Allah buat menguji kesabaran dan keikhlasan saya.

Menara jam - tempat wajib bergambar jika ke Bukit Fraser

Selamat datang ke Bukit Fraser - versi malam

Usai berfoto, kami beransur pulang ke unit masing-masing untuk merehatkan diri setelah seharian beraktiviti. Tenang dan enak sekali beradu diselimuti kesejukan pekat malam yang mendamaikan. Mencari kekuatan untuk berdepan hari esok pula.

Seawal pagi, kami bangun untuk sarapan pagi di kafeteria dan anak-anak kecil sudah pasti paling riang berkejar-kejaran sesama mereka. Tidak peduli kesejukan pagi yang mencengkam tulang belulang sedang saya, jika diturutkan hati, lebih menggemari katil pada saat ini. Namun saya gagahkan jua untuk bangun apabila melihat Abah dan Ummi juga sudah siap untuk bersarapan.

Usai sarapan, kami bersantai seketika sebelum terus mendaftar keluar kerana ingin terus pulang apabila selesai aktiviti bersiar-siar di sekitar tempat-tempat menarik yang ada di Bukit Fraser.

Gelak tawa riang mereka menceriakan hati saya

Bersama si cilik

Foto terakhir sebelum meninggalkan penginapan

Lokasi pertama yang kami tuju adalah Fraser Garden Food. Ia terletak tidak jauh dari pejabat Majlis Daerah Raub dan juga penginapan kami. Baru saya teringat, sewaktu kami datang dahulu, tempat tersebut masih dalam pembinaan. Kini ia sudah siap dan menempatkan beberapa buah kedai makan serta kedai cenderamata. Ralat pula rasanya kerana terlupa untuk mengambil gambar tempat itu. Paling menarik, ada juga tarikan kedai yang menjual makanan berasaskan strawberi. Rupanya di sini juga ada taman strawberi namun ia tidaklah sehebat Cameron Highland. Sewaktu kami di sini, hujan pula turun, menambahkan lagi kesejukan sedia ada yang sedang dialami.

Seterusnya, kami ke sebuah tempat yang menyediakan aktiviti rekreasi air bernama Allan's Water tetapi kerana cuaca hujan, aktiviti rekreasi ditutup kepada pengunjung. Tasik tersebut menempatkan ikan-ikan yang boleh diberi makan dan mereka turut menjual makanan ikan untuk dibeli oleh pengunjung. Anak-anak kecil sudah tentulah paling seronok melihat ikan-ikan yang berebut-rebut membaham makanan yang mereka baling. Namun pemerhatian daripada orang dewasa amat penting apabila berada di sini kerana keadaan yang agak terbuka dan tidak semua kawasan dipagar dengan penghadang.

Pintu masuk Allan's Water

Memberi makan ikan-ikan, awasi anak-anak anda 

Beberapa ketika di situ, kami kembali ke kawasan menara jam sebelum meneruskan perjalanan untuk pulang ke destinasi masing-masing. Pada mulanya saya bercadang untuk membeli baju sebagai kenang-kenangan namun apabila harga yang ditawarkan agak tinggi, saya batalkan hasrat tersebut. Memadailah membeli fridge magnet yang jauh lebih menarik dan boleh dibeli dalam kuantiti yang banyak.

Selamat datang ke Bukit Fraser - versi siang

Konvoi 5 buah kereta - kereta saya di belakang sekali

Dari situ, kami bergerak menuruni Bukit Fraser melalui jalan baru yang dibina untuk turun sahaja. Ia mencabar pemanduan saya kerana kecuraman dan selekoh yang agak tajam. Saya terasa seolah-olah memandu di laluan Kota Kinabalu-Kundasang beberapa tahun yang lalu. Namun pemanduan lancar dan saya hanya berhenti seketika apabila anak buah saya terasa loya ingin muntah mungkin kesan laluan yang bengkang bengkok. Akhirnya, kami tiba di kaki Bukit Fraser dan berhenti untuk bersalam-salaman kerana dari situ kami akan berpecah menuju destinasi masing-masing. Dua buah kereta akan mengambil laluan ke kiri menghala ke Kuantan sementara kami ke kanan menuju ke Kuala Kubu Bharu.

Selamat tinggal Bukit Fraser - di kaki Bukit Fraser

Puas rasanya melihat kegembiraan dalam keletihan masing-masing. Paling penting, saya dapat memenuhi impian untuk turut membawa Abah ke sini kerana hanya Ummi turut serta dalam kunjungan kami yang pertama. Waktu itu Abah punya komitmen terhadap kambing-kambingnya :)

Di samping itu, saya juga belajar banyak perkara tentang diri sendiri dan masih banyak yang perlu saya perbaiki agar esok sentiasa lebih baik dari semalam. Masih banyak kelemahan yang perlu saya atasi agar dapat memberi yang terbaik buat insan-insan yang saya sayangi dan kasihi kerana erti hidup pada memberi. Hanya dengan memberi, kita akan menerima apa yang kita ingini malah kadang-kadang dalam bentuk yang jauh lebih baik daripada apa yang kita inginkan. Sukarnya cuma terletak dalam menjaga hati agar sentiasa yakin dengan janji Allah bahawa dengan memberi akan membuka lebih banyak pintu rezeki yang bukan sahaja datang dalam bentuk wang ringgit, namun dalam pelbagai bentuk yang mendamaikan hati.

Monday, January 9, 2012

Tamat latihan PakSoo

Bismillahirrahmanirrahim...

7 Januari 2012 - Pelan asal kami adalah untuk bertolak ke PULAPOL sebelum masuk waktu Subuh. Namun Abah, Ummi dan BaHa tiba sekitar jam 3.30 pagi lalu saya biarkan mereka tidur sepuasnya terlebih dahulu. Kasihan pula melihat mereka keletihan selepas melalui perjalanan yang jauh. Akhirnya kami bertolak pada jam 7 pagi ke sana dan mujur juga anak-anak saudara tidak menimbulkan banyak kerenah untuk bangun pagi dan bersiap. Perjalanan kami lancar mungkin kerana ia hari minggu. Abang kedua, BaAn, dan adik perempuan pula bertolak daripada Sri Damansara dan kami bertemu di sana. Malah adik perempuan saya, Idah, yang berpatah balik pada malam tadi juga turut menyertai kami pada pagi ini.

Kelihatan sudah ramai pengunjung yang tiba lebih awal daripada kami namun tidak pula sukar untuk kami mendapatkan tempat meletak kenderaan. Para pelatih juga telah memenuhi padang kawad dalam barisan masing-masing sementara menunggu ketibaan Sultan Johor. Hanya beberapa buah khemah disediakan untuk pengunjung dan ia tidak mampu memuatkan ribuan ahli keluarga yang datang untuk meraikan pelatih yang tamat latihan. Cuaca pun cerah tetapi lama-kelamaan panas semakin terik dan ia cukup merimaskan terutama kepada yang membawa orang tua dan anak kecil. Agak seksa juga menunggu majlis tamat dalam cuaca yang cukup terik. Akhirnya kami berkampung di masjid yang terletak dalam perkarangan PULAPOL dan ternyata ia lebih menyelesakan buat kami sekeluarga. Anak-anak kecil apa lagi, seronok bermain sesama sendiri apabila sesekali bersua.


MakLong dan MakTeh

MakLong ajar Asyraaf

PakSoo dan Adeef

MakTeh dan AyahNgah (BaAn)

Akhirnya, sekitar jam 11 pagi, majlis tamat dan pelatih dibenarkan untuk bertemu ahli keluarga masing-masing. Wah, segak juga adik saya dalam pakaian seragam polis. Akhirnya, PakSoo rasmi bergelar seorang polis seperti yang dicita-citakan. Ada sedikit rasa sebak hadir melihat PakSoo berjaya mencapai cita-citanya. Saya percaya Abah dan Ummi berlebih lagi merasa bangga melebihi kami.

Usai sesi fotografi, kami bergerak untuk makan tengah hari di sebuah restoran yang menyediakan makanan Arab iaitu Restoran Saba' di Setiawangsa. Namun PakSoo tidak dapat menyertai kami berikutan perlu menghadiri pertemuan bersama YB Menteri Dalam Negeri pula selepas itu.

Usai makan tengah hari, kami kembali ke PULAPOL untuk mengambil barang-barang PakSoo dan seterusnya meneruskan perjalanan kami ke Bukit Fraser. Mujur juga saya sudah menambah bilik penginapan kerana BaHa dan Idah juga turut serta dalam percutian ini. Aduhai, mereka memang suka buat keputusan mengejut huhu.

Pada mulanya, saya agak bengang juga kerana terpaksa menguruskan pertambahan penginapan pada minit-minit terakhir namun ada hikmah di sebalik semua kejadian ini. Mungkin rezeki kami kerana akhirnya setiap keluarga mendapat bilik iaitu 6 bilik sedangkan hanya tempahan 5 bilik sahaja dibuat. Segala kebengangan lenyap melihat senyum Abah, Ummi dan gelak tawa anak-anak saudara yang begitu riang menikmati suasana yang amat sejuk. Cuaca yang memang cukup enak untuk mengulit lena.

Saturday, January 7, 2012

Bengang

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini kebengangan saya tiba ke kemuncaknya. Pertama, bengang kesan tidak cukup tidur kerana menghadapi peperiksaan akhir semester dan keduanya, bengang kerana berhadapan dengan situasi yang agak menegangkan bersama keluarga. Hampir-hampir kolam air mata saya tumpah kerana menanggung kebengangan itu. Ya, saya juga manusia biasa, punya hati dan perasaan namun saya juga mengakui, terkadang emosi turut mempengaruhi perasaan itu sehingga tindakan yang dibuat melampui batas norma. Ketahuilah, bahawa saya tidak menggemari perasaan ini malah seribu kekesalan bersarang di hati tatkala keinsafan hinggap di hati. Pun begitu, saya tidak mampu menarik kembali kata-kata yang telah dilafazkan sebaliknya hanya mampu menghulur salam kemaafan atas kekhilafan yang tidak disengajakan.

Pagi tadi saya menduduki peperiksaan salah satu subjek yang saya ambil pada semester ini. Seperti biasa, tidur saya pasti tidak lena dan seringkali terbangun kerana kebimbangan yang melanda. Kata seorang teman, kerisauan saya kekadang melampau. Mungkin ada benarnya juga kata beliau tetapi ia tabiat saya sejak dahulu. Usai peperiksaan, saya ke sebuah pasaraya untuk membeli sedikit barang basah kerana bercadang untuk memasaknya sebagai bekal pada keesokan paginya.

Cerita asalnya begini. Pagi esok (7 Januari 2012), adik bongsu saya, PakSoo, akan menjalani majlis tamat latihan di PULAPOL. Oleh kerana ini merupakan sambutan yang paling meriah kerana salah seorang anak Sultan Johor merupakan antara pelatih yang akan tamat latihan. Justeru, kami diminta datang awal kerana jumlah pengunjung yang pasti ramai dan untuk mendapatkan tempat duduk yang bersesuaian. Untuk memudahkan kedatangan Abah dan Ummi pula, saya tempah tiket kapal terbang lebih awal buat mereka dan penerbangan mereka dijadualkan pada malam ini iaitu jam 9.20 malam.

Untuk meraikan kedatangan mereka, dalam kesibukan menghadapi peperiksaan, saya mengaturkan percutian ke Bukit Fraser sebaik tamat majlis tersebut. Secara kebetulan, kupon tersebut telah saya beli lebih awal kerana memikirkan yang Abah masih belum pernah menjejakkan kaki ke sana lagi namun saya tidak menjangka yang ia boleh digunakan semasa kunjungan mereka pada kali ini. Memandangkan hanya ada 3 keping kupon untuk 6 orang sahaja, saya tidak mempelawa abang-abang saya untuk menyertainya. Tambahan pula apabila memikirkan yang sesi persekolahan baru sahaja bermula. Sudah pasti perbelanjaan mereka telah banyak dihabiskan untuk membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka. Namun lain pula ceritanya apabila abang saya mendapat tahu tentang percutian tersebut. Ternyata mereka ingin turut serta dan saya terpaksa menghubungi pihak hotel untuk membuat tambahan tempahan penginapan pada kadar yang berbeza berikutan tempahan sebelum ini adalah dengan menggunakan kupon. Tamat cerita tempahan.

Bermula pula cerita perjalanan. Seperti kebiasaan, jika ingin menaiki kapal terbang, Abah dan Ummi akan meminta bantuan abang kedua saya, BaHa, yang menetap di Chendering untuk menghantar mereka ke lapangan terbang. Perkara yang sama juga dilakukan pada malam ini. Awal-awal juga saya telah berpesan kepada mereka agar check-in lebih awal untuk mengelakkan sebarang masalah. Justeru, mereka tiba lebih awal di rumah BaHa namun tiba-tiba BaHa menghubungi saya memaklumkan yang Abah tertinggal dompet di rumah di kampung. Mustahil untuk patah balik mengambilnya kerana jarak perjalanan memakan masa hampir 1 jam. Sudah pasti mereka akan terlepas penerbangan. Saya bengang. Kecewa kerana selalunya Abah yang selalu mengingatkan Ummi untuk memastikan dokumen-dokumen penting telah dibawa tetapi kali ini Abah sendiri yang tertinggal dompet. Mengikut perancangan asal, saya sepatutnya menjemput mereka di LCCT sekitar jam 10.30 malam dan seterusnya abang kedua saya, BaAn, pula akan tiba dengan kereta daripada Kota Tinggi sekitar jam 12 tengah malam.

Saya mendiamkan diri, membiarkan BaHa menyelesaikan sendiri masalah tersebut kerana kepala saya sudah terlalu bengang kesan tidur yang agak terganggu akhir-akhir ini. Dalam kebengangan itu, adik perempuan saya yang tinggal di Tanjung Malim pula menghubungi saya memaklumkan yang dia sudah memasuki laluan menuju ke rumah saya. Saya tersentak kerana dia tidak memberitahu saya tentang kedatangannya terlebih awal menyebabkan saya sedikit 'naik angin' kerana sudah pasti tiada ruang yang mencukupi. Teratak saya hanya mampu memuatkan 2 keluarga sahaja pada satu-satu masa dan kedatangan adik saya menimbulkan kebuntuan kepada saya. Pada masa yang sama, saya terima panggilan memaklumkan yang BaHa akan menghantar Abah dan Ummi pada malam ini dengan menaiki kereta. Allahu Akbar. Saya buntu. Mana mungkin teratak saya mampu memuatkan kesemua mereka serentak. Kesannya, adik perempuan saya berpatah balik ke Tanjung Malim pada malam tadi juga dan SMS saya meminta dia berpatah balik tidak diendahkannya. Saya terangkan kepada dia yang saya berada dalam kebuntuan yang amat sangat sehingga melafazkan sesuatu yang tidak sepatutnya. Saya merasa sangat teruk dan untuk itu, kolam air mata saya pecah.

Selepas beberapa panggilan kepada adik-beradik saya, kami memutuskan yang BaAn dan adik perempuan saya akan bermalam di teratak saya sementara BaHa, Abah dan Ummi akan bermalam di rumah adik perempuan saya di Sri Damansara. Saya terangkan sekali lagi penyelesaian yang telah dicapai kepada adik perempuan saya yang berpatah balik tadi tetapi tidak diendahkannya juga. Saya letih, penat memikirkannya lantas saya ambil keputusan untuk menghubungi BaAn yang akhirnya menukar persetujuan kami tadi agar dia yang bermalam di Sri Damansara dan selebihnya di teratak saya. Ini kerana rumah adik saya itu terletak di aras 4 dan tiada kemudahan lif disediakan di situ. Sudah pasti ia akan menyukarkan Ummi yang mengalami sakit lutut untuk menaikinya. Selesai satu babak lagi namun kebengangan masih belum reda sepenuhnya.

Untuk menyelamatkan keadaan juga, saya telah menambah 1 unit lagi tempahan penginapan kerana memikirkan jumlah ahli rombongan yang semakin bertambah. Malas untuk memikirkan aliran wang yang laju keluar seperti air mengalir. Saya fikir dalam situasi begini, soal wang sudah jatuh di tangga nombor 2 meskipun saya tidak menafikan sedikit gusar kerana dalam tempoh tidak sampai 2 minggu lagi akan ke Bandung pula. 

Saat saya baru ingin melepaskan lelah dan meredakan sedikit kebengangan, saya terima emel pula daripada pensyarah memaklumkan yang kelas tutorial akan diadakan pada hari Ahad, jam 10 pagi sebagai persediaan kepada peperiksaan pada 11 Januari kelak. Terduduk rasanya apabila membaca emel tersebut kerana saat itu sudah pasti saya masih berada di Bukit Fraser. Dugaan apakah ini Ya Allah? Apakah hikmah di sebalik semua kejadian ini? Hati saya meirntih. Tersepit antara pelajaran dan keluarga. Teringat saya kepada kata-kata seorang teman. Kata beliau, saya ini seorang yang tamak. Saya inginkan segalanya sehingga kadang-kadang menyusahkan diri sendiri. Waktu itu, saya hanya diam membatukan diri namun kekadang saya dapat merasakan juga kebenaran di sebalik kata-kata itu. Wallahua'lam.

Saya masih memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah tersebut dan pada masa yang sama masih menanti ketibaan BaHa berserta Abah dan Ummi. Kemudian, bersiap untuk ke PULAPOL dan bertolak sebelum masuk waktu Subuh ke sana. Dapat saya bayangkan keletihan dan kepayahan yang bakal saya hadapi dengan rasa bengang yang masih membelenggu diri.

Hanya satu yang saya pohon agar kebengangan yang melanda diri saya ini segera reda. Agar tidak ada lagi hati yang akan terluka dengan kelemahan diri saya ini dan semoga akan terbit sinar di sebalik segala kekalutan yang berlaku ini. Jauh di sudut hati, saya yakin pasti ada hikmah yang ingin diajarkan Allah setidak-tidaknya kepada saya dan seterusnya kepada seluruh ahli keluarga saya.

Tuesday, January 3, 2012

Mendaftar Sebagai Tetamu Allah

Bismillahirrahmanirrahim...


Pagi tadi, saya terima e-mel mengandungi maklumat di atas daripada teman seusrah. Lalu saya terasa ingin mengongsikannya kepada rakan-rakan yang belum mengetahuinya. Saya kira ini satu peluang baik kepada masyarakat yang selama ini menginginkan agar pencarum KWSP juga dibenarkan untuk menggunakan wang caruman mereka untuk tujuan menunaikan haji. Maka tiada alasan lagi untuk melengah-lengahkan pendaftaran sebagai tetamu Allah. Saya sendiri, Alhamdulillah sudah mendaftarkan diri beberapa tahun yang lalu tetapi giliran yang ditetapkan adalah pada tahun 2020 kelak sedangkan impian saya adalah untuk menunaikan haji sebelum berusia 40 tahun. Namun begitu, saya yakin ketentuan Allah mengatasi segala-galanya. Sebagai manusia, kita perlu meneruskan usaha untuk memenuhi tuntutanNya sebagai hamba dan siapa tahu dengan izinNya, saya akan dapat mencapai impian saya itu.

Jika kita sanggup menempah tiket kapal terbang sehingga 6 bulan atau ada sesetengahnya yang mencecah setahun lebih awal, kenapa tidak kita melakukan perkara yang sama untuk menempah tiket menjadi tetamu Allah?

Ayuh, kepada yang selama ini menunggu peluang sebegini, ini jawapan kepada pertanyaan dan pengharapan anda.

Monday, January 2, 2012

Al-Fatihah, Perginya Seorang Pakar Ekonomi

Bismillahirrahmanirrahim...

Datuk Salleh Majid meninggal dunia


2012/01/02


KUALA LUMPUR: Bekas presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) (kini Bursa Malaysia), Datuk Mohd Salleh Abdul Majid meninggal dunia, hari ini, akibat barah rektum dan kegagalan buah pinggang.

Mohd Salleh, 62 meninggal dunia kira-kira jam 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, dengan anggota keluarga terdekat berada di sisi semasa beliau menghembuskan nafas terakhir. Menurut anggota keluarga, jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumah ibunya di Lot 1055, Jalan Haji Mokhtar, Kampung Pasir, Hulu Kelang dan dijangka dikebumikan selepas solat Asar. Allahyarham menjadi Presiden BSKL pada 1996 dan bersara daripada badan itu pada 2003. - BERNAMA

Saya tidak mengenali arwah tetapi pemergian arwah menyentuh hati saya kerana butir bicara arwah merupakan antara yang menjadi kegemaran saya sewaktu kecil. Masih saya ingat setiap kali arwah muncul di kaca televisyen membicarakan isu-isu ekonomi atas kapasiti sebagai Presiden BSKL (yang seringkali saya terjemahkan sebagai BASIKAL), pasti saya akan tercongok mengikutinya dengan penuh khusyuk meski saya tidak memahaminya. Apa yang membuatkan saya ralit adalah kerana kagum dengan kebijaksanaan arwah pada waktu itu kerana amat jarang melihat anak Melayu membicarakan soal-soal yang begitu kompleks pada saya iaitu ekonomi pada waktu itu. Malah saya juga sering mengikuti penulisan arwah di dada-dada akhbar nasional meskipun saya langsung tidak memahaminya. Saya membacanya kerana saya terlalu menghormati dan menyanjungi ilmu yang ada pada diri arwah.

Apabila saya makin membesar, kelibat arwah tidak lagi kelihatan di kaca-kaca televisyen seperti dahulu malah arwah seolah-olah 'ghaib' begitu sahaja. Hari ini apabila saya terbaca berita tentang pemergian arwah, barulah saya tahu kisah di sebalik 'kehilangan' arwah selama ini di samping agak terkejut mendengar berita pemergian arwah. Pada saya, arwah seorang ekonomis Melayu yang tiada tolok gantinya, sama seperti saya mengagumi kebijaksanaan Tun Daim Zainuddin. 

Semoga arwah ditempatkan bersama para solihin dan menerima ganjaran selayaknya atas usaha memartabatkan ekonomi selama ini. 

Jejak Sejarah - Bukit Besi 2

 Bismillahirrahmanirrahim...

[Nota: Gigih pagi tadi ke rumah adik untuk mendapatkan gambar-gambar ini.]

Selamat datang ke Taman Rekreasi Tasik Puteri, Bukit Besi

Bakarians Junior berlarian menuju ke tempat mandi usai menukar pakaian masing-masing

Kita bergambar dulu

Jeti rekreasi air yang agak terbiar

Takungan khas disediakan untuk kemudahan anak-anak kecil mandi

MakLong tengok saja sebab tak bawa baju ganti. Tak apa, lain kali datang lagi.

Abang saya, BaHa, pun tidak melepaskan peluang untuk terjun

Paddle boat

Kayak

Singgah sebentar untuk solat di sini buat pertama kali

BALORA (Balai Orang Ramai) Bandar AlMuktafi Billah Shah