Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, December 23, 2011

Tegas atau Garang?

Bismillahirrahmanirrahim...

Sesi persembahan

Saya berada di UTM saat menulis entri ini sambil menunggu panggilan daripada adik lelaki bongsu, PakSoo, untuk menjemputnya yang dibenarkan bercuti sempena Krismas daripada kursus yang sedang diikuti di PULAPOL.

Lega rasanya (Alhamdulillah) apabila sesi persembahan semalam dan pagi ini yang kami usahakan sejak 2 bulan yang lalu berjalan lancar malah mendapat komen membina daripada pensyarah. Segala penat lelah berulang alik ke UTM, tidur malam yang tidak berapa lena dan pertikaman lidah atas nama perbincangan terasa berbaloi. Malah segala perasaan marah dan geram sebelum ini akibat tindakan sesetengah ahli kumpulan yang kurang memberi kerjasama turut hilang di angin lalu. Pelik juga perasaan ini malah saya sering begitu. Marah yang tidak kekal lama. Namun marah saya bertempat atau saya lebih suka mengatakan yang saya seorang yang tegas terutama dalam soal yang membabitkan pihak lain.

Dalam kes ini, ia merupakan tugasan kumpulan maka sewajarnya sumbangan yang setara patut diberikan oleh setiap ahli. Justeru, apabila ada yang cuba mencuri tulang atau tidak menunjukkan kesungguhan yang diharapkan, saya terpaksa bertegas dengan mereka kerna natijahnya akan turut melibatkan kami kelak. Sebelum memulakan tugasan, kami tidak melantik sesiapa sebagai ketua kumpulan kerana merasakan masing-masing sudah dewasa dan mampu bertanggungjawab terhadap bahagian yang telah ditetapkan bersama. Namun apabila masa berjalan dan berlaku beberapa perkara yang bakal menyebabkan tugasan kami tergendala, saya terpaksa 'menawarkan diri' (lebih tepat memvetokan diri) untuk mengepalainya. Saya sedar tindakan saya ini bakal mengundang ketidakpuasan hati di kalangan sesetengah mereka tetapi saya juga sedar sesuatu harus dibuat jika ingin tugasan ini siap pada masa yang ditetapkan. Saya tolak ke tepi perasaan tidak puas hati mereka terhadap saya asalkan tugasan dapat disiapkan seperti dirancang. Alhamdulillah, akhirnya dokumen berjaya disiapkan pada masa yang ditetapkan meskipun saya sudah terasa seperti mayat berjalan (zombie) pada minggu ini akibat waktu tidur yang tidak menentu.

Saya sedar dan amat pasti ada antara mereka yang tidak berapa gemar dengan ketegasan tersebut malah turut menganggap saya seorang yang terlalu cerewet. Saya telan sahaja kritikan mereka demi tugasan yang perlu diutamakan dan disempurnakan. Saya 'paksa' mereka untuk menyiapkan bahagian masing-masing dan mengemelnya kepada saya dengan segera untuk saya cantum dan cetak sebelum hari persembahan. Seperti dijangka, ada yang hanya mengemelnya kepada saya pada jam 5 pagi sedangkan waktu persembahan dijadualkan pada jam 9.30 pagi. Usai proses kompilasi, saya cetak dokumen dan buat persiapan seperti mengendalikan mesyuarat di pejabat malah turut menyediakan video perakam untuk tujuan penilaian peribadi. Saya tidak kisah akan penat lelah untuk melakukannya asalkan persembahan berjalan lancar.

Seorang teman baik pernah menegur yang sikap tegas saya ini mungkin disalahanggap sebagai garang. Hakikatnya, saya amat cerewet apabila ia berkaitan dengan urusan pekerjaan atau urusan-urusan rasmi lain yang melibatkan pihak ketiga.

Dalam proses tersebut, akibat tidak tahan dengan kerenah mereka, saya terpaksa meluahkannya kepada pensyarah untuk mendapatkan pandangan dan nasihat berhadapan dengan tingkah laku sebegitu. Saya perlu melakukan sesuatu kerana masa yang perlu kami lalui bersama selepas ini masih panjang. Akan ada lagi tugasan yang perlu kami jalankan bersama kelak. Saya hormat dan kagum dengan penerimaan pensyarah serta teguran tanpa bias yang diberikan kepada kami sebaik tamat sesi persembahan. Saya terima teguran pensyarah bahawa apa yang berlaku merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran juga iaitu kaedah untuk menjalinkan hubungan kerjasama di peringkat global. Sudah pasti, pelbagai kerenah dan tingkah dapat dilihat dan dipelajari daripada situasi ini.

Anehnya, sebaik tamat sesi persembahan dan komen diberi oleh pensyarah, segala beban yang dipikul selama ini terasa ringan. Malah rasa bengang dengan ketidakseriusan ahli kumpulan berlalu begitu sahaja. Setelah direnung dan diamati, saya sedar bahawa kami baru sahaja berkenalan dan ini merupakan tugasan pertama kami pada semester ini dan ia masih berada di peringkat awal. Lebih mengharukan apabila ahli kumpulan yang sebelum ini begitu 'degil' untuk mengikuti setiap persetujuan bersama yang ditetapkan oleh kumpulan mengucapkan terima kasih kepada saya atas usaha yang telah diberikan untuk menyiapkan tugasan tersebut. Mungkin 'dia' sudah mula nampak tujuan sebenar saya terpaksa bertegas dan mengepalai tugasan tanpa lantikan rasmi. Moga kesedarannya itu akan berpanjangan dalam semester-semester akan datang jua. Jika tidak, saya tidak akan teragak-agak untuk bersikap tegas kembali demi sebuah kejayaan yang menanti di penghujung pengajian. Ketidakseriusan oleh segelintir ahli kumpulan tidak seharusnya menjadi beban kepada ahli kumpulan yang benar-benar serius dalam melakukan tugasan mereka. Untuk mempertahankan hak itu, saya sedia untuk melakukan apa jua yang termampu asalkan hak kami terpelihara.

Garang? Wallahua'lam. Pesan Rasululllah, setiap perbuatan adalah tergantung ke atas niatnya.

No comments: