Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, December 18, 2011

Tambah Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya dan adik lelaki, BaYu, gigih bangun awal dan bertolak ke Maju Junction, KL untuk menghadiri program POWER! anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Kami tiba sekitar jam 9.20 pagi, lebih awal daripada masa program yang dijadualkan bermula jam 9.30 pagi. Sungguh mendamaikan memandu pada hujung minggu. Alangkah baiknya jika setiap hari begini (dalam mimpi la kan!).

Sudah agak lama juga saya tidak ke Maju Junction. Jika ke sini, mental perlu bersedia untuk memandu menaiki laluan ke tempat letak kereta yang memeningkan kepala. Bagi yang pernah melaluinya, pasti akan memahami maksud saya ini.

Tiba di kaunter, petugas sudah sedia menunggu dan kelihatan beberapa orang peserta sudah tiba lebih awal daripada kami. Kagum dengan kesungguhan mereka yang sanggup datang awal pada hujung minggu untuk mendapatkan ilmu. Kami diberikan borang profail untuk dilengkapkan dan turut membeli dua buah buku panduan kewangan seperti dalam gambar di bawah. Ia dijual dalam dua bahasa pada harga RM5 sebuah. Jadi kami beli kedua-dua versi iaitu versi Bahasa Inggeris untuk saya dan versi Bahasa Melayu untuk BaYu.

RM5 sebuah

Program dimulakan tepat jam 9.30 pagi di bilik taklimat yang selesa. Kandungan ceramah merupakan olahan daripada kandungan buku yang dibeli dan dibahagikan kepada dua slot. Slot pertama antara jam 9.30 pagi hingga 11.00 pagi dan slot kedua disambung pada jam 11.30 pagi hingga 1.00 petang. Mujur juga mereka menyediakan minum pagi berupa bihun goreng dan kuih muih semasa waktu rehat antara jam 11 - 11.30 pagi kerana kami belum bersarapan.

Topik-topik yang dibincangkan sebenarnya sudah diketahui namun sukar atau liat untuk diamalkan menyebabkan ilmu yang tidak memberi manfaat. Antara yang dibincangkan adalah jenis-jenis faedah yang ada dalam institusi bank, kaedah merancang perbelanjaan, teknik menilai aset dan liabiliti serta beberapa topik yang sudah sering didengari sebelum ini.

Namun, kehadiran saya dalam program ini membangkitkan kembali keazaman untuk mengurus kewangan peribadi dengan lebih serius. Bukan saya tidak pernah menyediakan bajet peribadi sebelum ini namun seringkali ia hanya tergantung di situ sahaja dan akhirnya terbengkalai tanpa tindakan susulan.


Majlis tamat

Program akhirnya tamat sekitar jam 1.00 petang dan menariknya kami diberikan sijil kehadiran. Ada juga kenangan menghadiri kursus ini. Sebelum pulang, kami sempat singgah ke kompleks Pertama yang hanya terletak bersebelahan Maju Junction. Aduhai, tempat yang sungguh nostalgia sejak zaman belajar di UIA dulu.


Usai urusan di sana, kami pulang dengan azam baru. Langkah pertama, aktifkan kembali perekodan bajet peribadi!

No comments: