Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, December 11, 2011

Solat Sunat Gerhana Bulan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kredit: Minda Akob

Sejujurnya, saya hanya menyedari tentang kejadian ini apabila membaca status rakan-rakan di Facebook. Justeru, saya pasangkan niat untuk turut serta menunaikan solat sunat gerhana apabila gagal melakukannya sebelum ini iaitu sekitar bulan Jun. Oleh kerana solat ini sunat diadakan secara berjemaah, saya berhajat untuk menunaikannya di Masjid UPM kerana berdekatan dengan teratak sendiri. Namun sewaktu dalam perjalanan ke sana, saya menukar laluan ke Masjid Putra kerana kenangan menunaikan solat tarawih di sana sepanjang bulan Ramadhan yang lalu datang menggamit. Mujur saya sempat tiba untuk menyertai solat Isyak terlebih dahulu. Usai solat Isyak, Imam menerangkan tentang kaedah pelaksanaan solat sunat gerhana di samping turut menitipkan manfaat yang terkandung di sebalik pelaksanaannya. Antara yang saya ingat adalah bahawa kejadian gerhana merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan Allah sebagai peringatan kepada manusia bahawa akan tiba hari di mana bulan, matahari dan bintang-bintang akan gugur dan musnah iaitu hari kiamat. Ia bukan sebagaimana yang ditafsirkan oleh sesetengah manusia yang mengaitkan kejadian ini dengan kematian atau lain-lain perkara khurafat yang boleh menyesatkan.

Berhubung kaedah atau kaifiat pelaksanaannya pula, saya akui silap sendiri tidak mencari terlebih dahulu di Internet atau buku-buku berkaitan. Namun mujurlah Imam bertindak untuk menerangkannya kepada kami terlebih dahulu sebelum solat dimulakan. Mungkin beliau sendiri maklum bahawa ia adalah solat yang jarang dilakukan menyebabkan ada segelintir jemaah (termasuk saya sendiri) yang terlupa malah langsung tidak tahu tentang pelaksanaannya. Rupa-rupanya solat sunat gerhana dilaksanakan dalam 2 rakaat, 4 rukuk dan 1 salam iaitu 2 rukuk ditunaikan dalam setiap rakaat. Antara 2 rukuk tersebut pula, surah Al-Fatihah dan surah berkaitan dibaca oleh Imam dan sujud adalah selepas bangkit daripada rukuk yang kedua. Subnallah, ia satu ilmu baru buat saya. Sebaik tamat solat, Imam membaca 2 khutbah dan seterusnya membaca doa sebagai penutup. Ia hampir menyamai kaifiat solat sunat hari raya iaitu khutbah dibaca selepas tamat solat dan berbeza dengan solat Jumaat iaitu khutbah adalah sebelum solat. Imam juga memberitahu adalah sunat untuk melihat bulan terlebih dahulu sebelum menunaikan solat sunat gerhana. Namun, kami tidak dapat berbuat demikian berikutan bulan dilitupi oleh awan.

Alhamdulillah, segalanya berakhir sekitar jam 10 malam dan saya sempat mengambil sedikit hidangan yang disediakan untuk dibawa pulang.

Sungguh! Ia satu pengalaman yang cukup berharga buat saya.

Walau bagaimanapun, saya merasai sedikit kekecewaan apabila melihat kawasan masjid dipenuhi oleh pengunjung yang datang bersantai bersama keluarga tetapi tidak ramai yang mengambil peluang untuk menyertai solat sunat berjemaah di dalam masjid. Alangkah indahnya jika mereka bersama keluarga masing-masing mencuri sedikit masa santai untuk sama-sama menghayati kebesaran Allah SWT, semoga dengan itu akan menambahkan rahmah kepada bumi Malaysia yang tercinta ini. Wallhua'lam. Itu hanya pandangan saya, insan kerdil yang sentiasa berusaha agar hari ini menjadi lebih baik daripada semalam, insyaAllah.

No comments: