Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, December 9, 2011

Bocor Lagi

Bismillahirrahmanirrahim...




Tayar kereta saya bocor lagi. Ya, ia bukan kali kedua tapi keempat dan atas sebab yang sama iaitu tercucuk objek tajam seperti paku dan skru. Kali ini jelas kelihatan sebatang skru terbenam ke dalam tayar kereta saya. Pagi ini bila saya perlu bergegas ke kuliah, sebaik memanaskan enjin dan membuka pintu pagar, hati saya tergerak untuk menjenguk keadaan tayar. MasyaAllah, ia leper seleper-lepernya. Langsung tiada angin. Dugaan sungguh kerana saya perlu segera ke UTM untuk menghantar tugasan yang tamat tempoh pada hari ini. Petangnya pula saya perlu berada di Putrajaya untuk menghadiri sesi taklimat. Segera saya buka but untuk mengeluarkan tayar ganti.

"Aduh, mana pula spanar ni?" bebel saya apabila gagal menemui beg spanar yang sentiasa ada dalam but kereta sebelum ini.

Saya selongkar but, gelisik segenap ruang but tapi masih gagal menemuinya. Parah! Buntu! Lalu saya teringat kali ketiga tayar ini bocor sewaktu dipandu oleh adik saya, MakTeh.

"MakTeh, U letak kat mana beg spanar kereta I?" tanya saya kepada MakTeh selepas cubaan panggilan kali keempat atau kelima.

Kesabaran saya mula tergugat tapi saya cuba melawan rasa amarah itu. Ia bukan salah MakTeh. Sudah pasti dia tidak menginginkan sesuatu yang tidak baik berlaku kepada saya.

"Ini dugaan. Pasti ada hikmah di sebaliknya," ujar saya mengingatkan diri sendiri.

Lalu saya hubungi seorang teman di tempat kerja lama untuk mendapatkan bantuannya.

"Mizi, awak sibuk tak?" soal saya.

"Kenapa Cik Mah? Sibuk tu tidak lah sangat tapi ada sedikit urusan," jawab Mizi dengan menggunakan panggilan yang hanya digunakan oleh teman-teman rapat sahaja.

"Macam ni, tayar kereta saya bocor dan nak dijadikan cerita, spanar pula tak ada dalam but. Kalau tak menyusahkan awak, boleh tak datang sekejap?" terang saya kepada Mizi.

"Cik Mah di rumah ke sekarang?" soal Mizi lagi dan saya mengiyakannya.

"Ok, saya ada sedikit perbincangan. Saya habiskan perbincangan dan bergerak ke rumah Cik Mah ya," janji Mizi.

"Terima kasih banyak ya Mizi".

Syukur masih ada teman yang sudi membantu dalam saat-saat memerlukan. Itu tanda Allah masih menyayangi diri saya dan mahu saya insaf atas kekhilafan yang pernah saya lakukan sama ada secara sengaja atau tidak. Pada masa yang sama, jiran saya pulang ke rumahnya kerana kurang sihat. Saya meminjam spanar miliknya namun saiznya tidak sama. Terpaksalah saya menunggu Mizi datang meskipun debaran di dada semakin memuncak. Bimbang tidak sempat sampai ke UTM sebelum waktu rehat tengahari. Saat menulis catatan ini saya masih menunggu ketibaan Mizi di bangku di halaman teratak saya. Ia satu penantian yang cukup panjang dan mendebarkan.

Namun begitu, saya redha. Pasti ada pengajaran yang ingin diberikan kepada saya pada hari ini terutama dalam memastikan kewujudan beg spanar di dalam but kereta pada setiap masa. Setidak-tidaknya kejadian ini berlaku di teratak saya sendiri dan bukannya sewaktu saya memandu di atas jalan. Saat ini juga saya diberi peluang melihat siapakah teman yang sebenar-benarnya dan sudi membantu saat kita membutuhkan bantuan mereka.

P/s: Buat Mizi, jangan risau, malam ini saya belanja makan di Saba' Cyberjaya :)

No comments: