Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, December 9, 2011

Sarat

Bismillahirrahmanirrahim...


Hari ini memang penuh dengan dugaan. Apa tidaknya, jika pagi tadi tayar belakang sebelah kiri bocor, di sebelah petangnya pula, tayar belakang sebelah kanan pula yang bocor. Pagi tadi, dengan bantuan teman-teman pejabat lama, tayar belakang kiri berjaya ditukar dengan tayar ganti. Oleh kerana saya perlu segera ke UTM untuk menghantar tugasan, saya tangguhkan terlebih dahulu urusan menampal tayar yang bocor itu dan terus memandu menuju ke UTM. Dari UTM pula, saya perlu bergegas ke JPA untuk menghadiri sesi taklimat pada jam 3 petang.

Usai urusan di UTM sekitar jam 2.40 petang, saya terus memecut ke Putrajaya untuk menghadiri taklimat tersebut. Pada masa yang sama, saya telah berjanji untuk bertemu dengan seorang teman sebelum sama-sama mendengar taklimat. Saya akui merasa sedikit kelainan terutama semasa mengambil selekoh tetapi sangka saya, ia kesan tayar ganti yang masih terpasang pada bahagian belakang. Saya abaikan sahaja ketidakselesaan itu dan meneruskan pemanduan sehingga tiba di destinasi pada jam 3.15 petang. Teman saya sudah sedia menanti sementara saya mencari tempat letak kereta.

"Eh, tayar kereta kau bocorlah. Dah leper," tegur teman saya.

"Yeke?" balas saya sedikit terkejut sambil memberhentikan kereta dan keluar untuk melihat sendiri keadaan tayar.

"Astaghfirullahala'zim. Tayar sebelah sana pun belum sempat ganti, tayar sebelah sini pula bocor," luah saya spontan.

Namun begitu, saya parkirkan kereta terlebih dahulu dan kami segera menuju ke auditorium, tempat di mana taklimat diadakan. Dalam pada itu, akaun telefon saya pula disekat kerana sudah melebihi had maksimum. Aduhai, buntu sekejap fikiran saya saat itu. Lalu dengan perasaan yang segan tapi terpaksa, saya pinjam telefon teman saya untuk cuba menghubungi adik-adik jika ada yang dapat membantu. Nampaknya nasib tidak menyebelahi saya apabila adik saya, MakTeh, sudah dalam perjalanan pulang ke kampung dan adik lelaki saya, BaYu, pula sedang bertugas dan saya tahu agak sukar untuk dia meninggalkannya begitu sahaja. Perancangan saya pada masa itu adalah untuk meminjam tayar ganti kereta BaYu yang sejenama dengan kereta saya.

Akhirnya, BaYu mencadangkan agar saya menggunakan khidmat trak penunda (tow truck) kerana ia merupakan salah satu kemudahan yang disediakan oleh syarikat insurans. Justeru saya cuba menghubungi pihak Etiqa untuk mendapatkan khidmat bantuan berhubung perkara tersebut. Alhamdulillah, saya boleh menggunakan perkhidmatan trak penunda bagi jarak 50 km pertama secara percuma bagi tujuan penghantaran kereta ke bengkel. Tempoh masa yang dijanjikan untuk trak penunda tiba adalah sekitar 45 minit hingga 1 jam. Berikutan sedikit salah faham, trak penunda tiba lewat daripada tempoh dijanjikan namun kemesraan pemandunya membuatkan saya tidak sampai hati untuk mengomel tentang kelewatannya.

Dari situ, kami bergerak menuju ke Serdang untuk mencari kedai tayar yang masih beroperasi kerana jam sudah menunjukkan pukul 7 malam. Lucunya saya diminta untuk menaiki lori penunda bersama pemandu untuk memudahkan pergerakan menuju ke kedai dimaksudkan kerana pemandu tersebut kurang arif dengan kawasan tersebut. Alhamdulillah, kami menjumpai sebuah kedai tayar yang sudah bersiap-siap untuk ditutup tetapi akhirnya sudi untuk membantu kami. Segala urusan selesai dengan baik dan kami sempat solat Maghrib di masjid UPM.

Sesungguhnya, hari ini sarat dengan ujian daripadaNya. Bermula dengan tayar belakang sebelah kiri bocor, laluan telefon bimbit disekat, merempit untuk menghantar tugasan dan kemudiannya tayar belakang sebelah kanan pula bocor sehingga khidmat lori penunda diperlukan.

Pengajaran yang saya peroleh pada hari ini adalah:

  1. Apabila fikiran berkecamuk, pertimbangan akan menjadi kabur sehingga perkara yang jelas di depan mata juga tidak akan dapat dilihat. Sebaliknya, ketenangan akan membuka jalan kepada kita untuk mencari penyelesaian yang efektif;
  2. Benar kata orang, teman sebenar hanya dapat dikenal sewaktu kita berada dalam saat-saat memerlukan. Mereka membantu seikhlasnya;
  3. Manfaatkan khidmat yang disediakan oleh syarikat insurans semaksimanya sebagai balasan atas jumlah wang yang telah kita keluarkan kepada mereka;
  4. Setiap yang berlaku adalah berpunca daripada dosa-dosa yang dilakukan oleh diri sendiri dan dugaan yang ditimpakan adalah sebagai penyuci atau kaffarah kepadanya.

Wallahua'lam.

No comments: