Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, December 20, 2011

Berkurung

Bismillahirrahmanirrahim...

gubuk pembelajaran

Sudah 2 hari saya tidak ke mana-mana. Hanya berkurung di dalam rumah sahaja, spesifiknya di gubuk pembelajaran. Dek tuntutan tugasan yang perlu disempurnakan segera memaksa saya untuk mengurung diri di situ. Minggu ini ada 2 laporan dan 2 persembahan yang perlu kami selesaikan. Bermula esok hingga Jumaat pula, saya akan kembali berulang-alik ke UTM untuk membuat persembahan selepas 2 hari ini diperuntukkan untuk menyiapkan laporannya. Lebih mencabar ia bukan tugasan individu tetapi berkumpulan. Jujur saya katakan, meskipun ada pepatah mengatakan 'two heads are better than one', ia jauh lebih mencabar berbanding melakukannya sendirian. Ia menjadi mudah jika semua ahli kumpulan sepakat namun ia menjadi amat sukar apabila perlu berdepan dengan kerenah manusia yang datang dari latar belakang dan budaya yang berbeza. Apa pun yang berlaku, tugasan yang diberi perlu disempurnakan. Selebihnya, saya serahkan kepada yang bijaksana untuk menilainya.

Namun dalam tempoh kurungan itu, sempat pula saya meluangkan masa untuk membuat persiapan bagi kembara Bandung pada awal Januari 2012. Kembara yang sepatutnya kami tempuhi pada awal bulan Februari 2012 terpaksa saya awalkan kerana berita gembira yang saya terima sebelum ini. Meskipun kesahihan saya untuk terlibat dalam program tersebut masih 50-50, saya fikir adalah lebih baik saya mengambil jalan selamat untuk meminda tarikh kembara kami. Seandainya rezeki saya untuk terpilih menyertai program tersebut ada, maka saya perlu memperuntukkan masa selama sebulan iaitu Februari 2012 untuk mengikutinya. Tindakan saya ini sememangnya mengundang pelbagai kesukaran apabila saya terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk meminda tarikh tiket penerbangan malah kos penerbangan bertambah sekali ganda. Saya tutup mata sahaja dengan aliran keluar kos tersebut kerana saya lakukannya demi kedua ibu bapa saya. Harapan telah diberikan kepada mereka sebelum ini dan saya tidak sanggup melihat mereka kecewa.

Susulan pindaan tarikh dan pertambahan kos tersebut, saya terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan kos ground package di sana kelak. Jika sebelum ini saya sudah membuat pra-tempahan pakej dengan ejen di sana, saya terpaksa mencari alternatif lain yang mampu menawarkan harga yang jauh lebih murah. Pencarian maklumat saya teruskan melalui jejak pengunjung-pengunjung lain yang pernah menjejakkan kaki ke sana (termasuk blog seorang teman, Marhani hehe). Ini untungnya apabila maklumat berada di hujung jari. Alhamdulillah, saya temui kaedah untuk mengurangkan kos sewaktu di sana meskipun saya perlu membuat 'kerja lebih' untuk mencari maklumat tentangnya. Ia berbaloi kerana saya dapat mengurangkan hampir 1/4 daripada kos yang ditawarkan oleh ejen sebelum ini. Malah saya juga dapat menempah penginapan yang lebih selesa untuk kembara kami kelak. Nawaitunya cuma satu, menggembirakan hati kedua ibu bapa saya. Ini cara saya membalas jasa mereka selama ini sehingga saya mampu memiliki apa jua yang ada pada diri saya pada hari ini.

Dalam pada itu, berjaya juga saya menyiapkan 1 laporan semalam dan hari ini, 1 lagi masih sedang diusahakan. Nampaknya ada potensi untuk tidur lewat pada malam ini kerana sebahagian ahli kumpulan masih belum menghantar bahagian mereka kepada saya sedangkan sudah bersetuju sebelum ini untuk menghantarnya sebelum jam 5 petang.

Cadangnya juga pada hari ini, saya ingin mengeluarkan peluh di taman sekitar Putrajaya tapi harapan tidak kesampaian apabila hujan turun dengan lebatnya. Sudah musim tengkujuh, apa nak dikatakan lagi. Manusialah yang kena cari jalan untuk sesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.

Mujur juga saya sudah membeli stok makanan mencukupi untuk tempoh 2 hari persembunyian ini. Dalam saat-saat genting begini, setiap saat dan ketika adalah sangat berharga. Ok, masa untuk kembali fokus kepada tugasan.

No comments: