Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, December 28, 2011

Jejak Sejarah - Bukit Besi

Bismillahirrahmanirrahim...


"Terletak kira-kira 33km daripada Bandar Dungun dan 77km daripada Kuala Terengganu di dalam Daerah Dungun. Bukit Besi pernah menjadi salah satu tempat yang menjadi sebutan ramai ketika dahulu yang mana ianya merupakan pusat pengeluaran bijih besi yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara sekitar tahun 1916 sebelum ditutup sekitar tahun 1970. Bermula dengan penemuan bijih besi oleh seorang ahli kajibumi Jepun bernama Kuhara kini Bukit Besi hanya meninggalkan sisa-sisa sejarah untuk generasi sekarang."

Sumber atau cerita penuh di laman Visit Terengganu.

Sebelum ini, saya pernah mendengar cerita seorang sepupu tentang sebuah kawasan rekreasi yang terletak di Bukit Besi. Lalu saya menyimpan hasrat untuk ke sana dan Alhamdulillah berjaya merealisasikan hasrat tersebut semasa pulang ke kampung untuk cuti Krismas. Lebih tepat lagi kami bertolak ke sana selepas bersarapan di Hotel UiTM Dungun.

Perjalanan kami ke sana hanya memakan masa kira-kira 45 minit sahaja daripada Teratak Bakarians. Ternyata tidak ramai yang mengetahui tentang tempat ini kerana hanya kelihatan beberapa buah kenderaan sahaja yang berada di situ pada cuti umum. Mujur juga ada gerai yang menjual keropok goreng dan pisang goreng untuk 'diborong' oleh kami. Lebih menarik tempat ini sebenarnya terletak bersebelahan dengan Kelab Golf Bukit Besi yang tidak pernah saya ketahui kewujudannya dan UiTM Bukit Besi yang ditangguhkan pembinaannya. Sungguh, terbit sedikit rasa malu kerana banyak yang masih saya kurang arif tentang negeri sendiri. Maka antara azam pada masa hadapan adalah untuk meneroka negeri sendiri dengan lebih kerap.

Mulanya, saya sangka tiada yang menarik tentang tempat tersebut namun apabila ditanya kepada peniaga di situ, ternyata ada kawasan air terjun yang sangat indah dan menarik untuk dinikmati. Tanpa berlengah, anak-anak kecil bertukar pakaian untuk mandi-manda. Saya sendiri pun teringin untuk mandi tetapi apabila mengenangkan yang pakaian ganti tidak dibawa, hasrat itu terpaksa saya pendamkan sahaja. Apa tidaknya, perancangan awal adalah untuk menjenguk tempat itu sahaja kerana teringatkan cerita sepupu saya dan tidak mempunyai perancangan untuk mandi. Namun saya sudah mempunyai perancangan pada masa akan datang untuk datang lagi ke situ bersama keluarga dengan aktiviti yang pelbagai.

Kemudahan rekreasi aktiviti air juga turut disediakan di situ iaitu kayak, paddle boat dan bot laju tetapi malangnya ia tidak diuruskan dengan sebaik mungkin. Pertama, tiada kemudahan kaunter disediakan di situ menyebabkan kami tidak tahu ke mana hendak dirujuk untuk menggunakan kemudahan tersebut.

Kedua, petugas yang ditempatkan di situ tidak memainkan peranan sewajarnya apabila hanya melihat kami terkial-kial mencari petugas di situ sehingga terpaksa membuat panggilan sendiri kepada nombor telefon yang tertera di situ. Kami dimaklumkan sepatutnya ada petugas di situ tetapi sebaliknya berlaku.

Ketiga, kemudahan jaket keselamatan tidak disediakan secukupnya malah lebih tepat lagi, hanya 4 unit jaket yang sudah lusuh tergantung di satu sudut jeti. Petugas di situ pula tidak mengutamakan pemakaiannya apabila membenarkan ahli keluarga saya menaiki paddle boat tanpa memakai jaket keselamatan walhal peraturan tertera di papan notis mewajibkan pemakaiannya pada setiap masa sewaktu menggunakan kemudahan rekreasi air.

Seterusnya, kadar yang dikenakan kepada kami juga berbeza dan jauh lebih tinggi daripada kadar yang dipaparkan iaitu RM4 untuk kayak dan RM5 untuk paddle boat sedangkan harga yang dipaparkan adalah RM3 untuk kayak dan RM4.50 untuk paddle boat. Malas untuk bertekak, kami terus menjelaskan kadar yang dinyatakan oleh petugas tersebut walaupun jauh di sudut hati, amat tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diterima.

Di samping itu juga, keadaan jeti seolah-olah berada dalam keadaan yang tidak terurus dan bakal mengundang bahaya kepada pengunjung jika terus dibiarkan dalam keadaan begitu. Saya turut merakamkan gambar-gambar berkaitan tetapi ia masih ada dalam simpanan adik saya. InsyaAllah akan saya kongsikan sebaik menerimanya daripada adik saya.

Kami tinggalkan tempat itu sekitar jam 2 petang dan kali ini melalui jalan pulang yang berbeza. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di Masjid Sultan Mahmud yang terletak di bandar Al-Muktafi Billah Shah. Hati saya tergerak untuk singgah apabila melihat keindahan masjid yang tersergam indah daripada jauh di samping memenuhi kebiasaan saya untuk meninggalkan 'jejak' di masjid yang pertama kali dijejaki.

Yang pasti, tempat itu akan saya kunjungi lagi selepas ini bersama keluarga dan senarai aktiviti yang sudah ligat bermain serta tersenarai di dalam kepala saya, insyaAllah :) 

Hotel UiTM Dungun

Bismillahirrahmanirrahim...

Sumber: Hotel UiTM Dungun

Kepulangan saya ke kampung pada cuti Krismas baru-baru ini agak unik kerana jadual padat dengan aktiviti bersama keluarga. Seawal pagi Ahad kami bertolak ke Hotel UiTM Dungun yang terletak kira-kira 2 km sahaja daripada Teratak Bakarians. Ia terletak berhadapan dengan Kelab Golf Desa Dungun. Tujuan kami adalah untuk merasai sendiri menu sarapan yang disediakan di situ. Menurut Abah yang pernah beberapa kali ke situ sebelum ini bersama teman-temannya, makanan yang dihidangkan menepati selera dan harganya juga berpatutan. Kadar bagi dewasa adalah RM14 seorang dan bagi kanak-kanak berusia 7 - 12 tahun, kadar separuh harga dikenakan. Manakala kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah pula adalah percuma. Untungnya rombongan kami terdiri daripada 12 orang dewasa dan 7 orang kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah. Maka kami hanya perlu membayar untuk jumlah dewasa sahaja.



Suasana agak kelam kelibut pada awalnya berikutan mereka tidak menjangkakan jumlah pengunjung yang ramai tidak seperti hari-hari biasa. Kami terpaksa menunggu mereka mengisi semula makanan yang dihidangkan kerana hampir semua sudah dihabiskan oleh pengunjung lain. Usai sarapan, kami menghabiskan masa berfoto dan bersantai di taman permainan sambil menikmati hembusan angin pantai yang agak kuat. Kanak-kanak merupakan insan yang paling seronok dapat bermain bersama sepupu-sepupu mereka. Kami tinggalkan tempat tersebut sekitar jam 10 pagi kerana ada misi lain yang ingin kami lakukan selepas itu. 

Friday, December 23, 2011

Tegas atau Garang?

Bismillahirrahmanirrahim...

Sesi persembahan

Saya berada di UTM saat menulis entri ini sambil menunggu panggilan daripada adik lelaki bongsu, PakSoo, untuk menjemputnya yang dibenarkan bercuti sempena Krismas daripada kursus yang sedang diikuti di PULAPOL.

Lega rasanya (Alhamdulillah) apabila sesi persembahan semalam dan pagi ini yang kami usahakan sejak 2 bulan yang lalu berjalan lancar malah mendapat komen membina daripada pensyarah. Segala penat lelah berulang alik ke UTM, tidur malam yang tidak berapa lena dan pertikaman lidah atas nama perbincangan terasa berbaloi. Malah segala perasaan marah dan geram sebelum ini akibat tindakan sesetengah ahli kumpulan yang kurang memberi kerjasama turut hilang di angin lalu. Pelik juga perasaan ini malah saya sering begitu. Marah yang tidak kekal lama. Namun marah saya bertempat atau saya lebih suka mengatakan yang saya seorang yang tegas terutama dalam soal yang membabitkan pihak lain.

Dalam kes ini, ia merupakan tugasan kumpulan maka sewajarnya sumbangan yang setara patut diberikan oleh setiap ahli. Justeru, apabila ada yang cuba mencuri tulang atau tidak menunjukkan kesungguhan yang diharapkan, saya terpaksa bertegas dengan mereka kerna natijahnya akan turut melibatkan kami kelak. Sebelum memulakan tugasan, kami tidak melantik sesiapa sebagai ketua kumpulan kerana merasakan masing-masing sudah dewasa dan mampu bertanggungjawab terhadap bahagian yang telah ditetapkan bersama. Namun apabila masa berjalan dan berlaku beberapa perkara yang bakal menyebabkan tugasan kami tergendala, saya terpaksa 'menawarkan diri' (lebih tepat memvetokan diri) untuk mengepalainya. Saya sedar tindakan saya ini bakal mengundang ketidakpuasan hati di kalangan sesetengah mereka tetapi saya juga sedar sesuatu harus dibuat jika ingin tugasan ini siap pada masa yang ditetapkan. Saya tolak ke tepi perasaan tidak puas hati mereka terhadap saya asalkan tugasan dapat disiapkan seperti dirancang. Alhamdulillah, akhirnya dokumen berjaya disiapkan pada masa yang ditetapkan meskipun saya sudah terasa seperti mayat berjalan (zombie) pada minggu ini akibat waktu tidur yang tidak menentu.

Saya sedar dan amat pasti ada antara mereka yang tidak berapa gemar dengan ketegasan tersebut malah turut menganggap saya seorang yang terlalu cerewet. Saya telan sahaja kritikan mereka demi tugasan yang perlu diutamakan dan disempurnakan. Saya 'paksa' mereka untuk menyiapkan bahagian masing-masing dan mengemelnya kepada saya dengan segera untuk saya cantum dan cetak sebelum hari persembahan. Seperti dijangka, ada yang hanya mengemelnya kepada saya pada jam 5 pagi sedangkan waktu persembahan dijadualkan pada jam 9.30 pagi. Usai proses kompilasi, saya cetak dokumen dan buat persiapan seperti mengendalikan mesyuarat di pejabat malah turut menyediakan video perakam untuk tujuan penilaian peribadi. Saya tidak kisah akan penat lelah untuk melakukannya asalkan persembahan berjalan lancar.

Seorang teman baik pernah menegur yang sikap tegas saya ini mungkin disalahanggap sebagai garang. Hakikatnya, saya amat cerewet apabila ia berkaitan dengan urusan pekerjaan atau urusan-urusan rasmi lain yang melibatkan pihak ketiga.

Dalam proses tersebut, akibat tidak tahan dengan kerenah mereka, saya terpaksa meluahkannya kepada pensyarah untuk mendapatkan pandangan dan nasihat berhadapan dengan tingkah laku sebegitu. Saya perlu melakukan sesuatu kerana masa yang perlu kami lalui bersama selepas ini masih panjang. Akan ada lagi tugasan yang perlu kami jalankan bersama kelak. Saya hormat dan kagum dengan penerimaan pensyarah serta teguran tanpa bias yang diberikan kepada kami sebaik tamat sesi persembahan. Saya terima teguran pensyarah bahawa apa yang berlaku merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran juga iaitu kaedah untuk menjalinkan hubungan kerjasama di peringkat global. Sudah pasti, pelbagai kerenah dan tingkah dapat dilihat dan dipelajari daripada situasi ini.

Anehnya, sebaik tamat sesi persembahan dan komen diberi oleh pensyarah, segala beban yang dipikul selama ini terasa ringan. Malah rasa bengang dengan ketidakseriusan ahli kumpulan berlalu begitu sahaja. Setelah direnung dan diamati, saya sedar bahawa kami baru sahaja berkenalan dan ini merupakan tugasan pertama kami pada semester ini dan ia masih berada di peringkat awal. Lebih mengharukan apabila ahli kumpulan yang sebelum ini begitu 'degil' untuk mengikuti setiap persetujuan bersama yang ditetapkan oleh kumpulan mengucapkan terima kasih kepada saya atas usaha yang telah diberikan untuk menyiapkan tugasan tersebut. Mungkin 'dia' sudah mula nampak tujuan sebenar saya terpaksa bertegas dan mengepalai tugasan tanpa lantikan rasmi. Moga kesedarannya itu akan berpanjangan dalam semester-semester akan datang jua. Jika tidak, saya tidak akan teragak-agak untuk bersikap tegas kembali demi sebuah kejayaan yang menanti di penghujung pengajian. Ketidakseriusan oleh segelintir ahli kumpulan tidak seharusnya menjadi beban kepada ahli kumpulan yang benar-benar serius dalam melakukan tugasan mereka. Untuk mempertahankan hak itu, saya sedia untuk melakukan apa jua yang termampu asalkan hak kami terpelihara.

Garang? Wallahua'lam. Pesan Rasululllah, setiap perbuatan adalah tergantung ke atas niatnya.

Tuesday, December 20, 2011

Berkurung

Bismillahirrahmanirrahim...

gubuk pembelajaran

Sudah 2 hari saya tidak ke mana-mana. Hanya berkurung di dalam rumah sahaja, spesifiknya di gubuk pembelajaran. Dek tuntutan tugasan yang perlu disempurnakan segera memaksa saya untuk mengurung diri di situ. Minggu ini ada 2 laporan dan 2 persembahan yang perlu kami selesaikan. Bermula esok hingga Jumaat pula, saya akan kembali berulang-alik ke UTM untuk membuat persembahan selepas 2 hari ini diperuntukkan untuk menyiapkan laporannya. Lebih mencabar ia bukan tugasan individu tetapi berkumpulan. Jujur saya katakan, meskipun ada pepatah mengatakan 'two heads are better than one', ia jauh lebih mencabar berbanding melakukannya sendirian. Ia menjadi mudah jika semua ahli kumpulan sepakat namun ia menjadi amat sukar apabila perlu berdepan dengan kerenah manusia yang datang dari latar belakang dan budaya yang berbeza. Apa pun yang berlaku, tugasan yang diberi perlu disempurnakan. Selebihnya, saya serahkan kepada yang bijaksana untuk menilainya.

Namun dalam tempoh kurungan itu, sempat pula saya meluangkan masa untuk membuat persiapan bagi kembara Bandung pada awal Januari 2012. Kembara yang sepatutnya kami tempuhi pada awal bulan Februari 2012 terpaksa saya awalkan kerana berita gembira yang saya terima sebelum ini. Meskipun kesahihan saya untuk terlibat dalam program tersebut masih 50-50, saya fikir adalah lebih baik saya mengambil jalan selamat untuk meminda tarikh kembara kami. Seandainya rezeki saya untuk terpilih menyertai program tersebut ada, maka saya perlu memperuntukkan masa selama sebulan iaitu Februari 2012 untuk mengikutinya. Tindakan saya ini sememangnya mengundang pelbagai kesukaran apabila saya terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk meminda tarikh tiket penerbangan malah kos penerbangan bertambah sekali ganda. Saya tutup mata sahaja dengan aliran keluar kos tersebut kerana saya lakukannya demi kedua ibu bapa saya. Harapan telah diberikan kepada mereka sebelum ini dan saya tidak sanggup melihat mereka kecewa.

Susulan pindaan tarikh dan pertambahan kos tersebut, saya terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan kos ground package di sana kelak. Jika sebelum ini saya sudah membuat pra-tempahan pakej dengan ejen di sana, saya terpaksa mencari alternatif lain yang mampu menawarkan harga yang jauh lebih murah. Pencarian maklumat saya teruskan melalui jejak pengunjung-pengunjung lain yang pernah menjejakkan kaki ke sana (termasuk blog seorang teman, Marhani hehe). Ini untungnya apabila maklumat berada di hujung jari. Alhamdulillah, saya temui kaedah untuk mengurangkan kos sewaktu di sana meskipun saya perlu membuat 'kerja lebih' untuk mencari maklumat tentangnya. Ia berbaloi kerana saya dapat mengurangkan hampir 1/4 daripada kos yang ditawarkan oleh ejen sebelum ini. Malah saya juga dapat menempah penginapan yang lebih selesa untuk kembara kami kelak. Nawaitunya cuma satu, menggembirakan hati kedua ibu bapa saya. Ini cara saya membalas jasa mereka selama ini sehingga saya mampu memiliki apa jua yang ada pada diri saya pada hari ini.

Dalam pada itu, berjaya juga saya menyiapkan 1 laporan semalam dan hari ini, 1 lagi masih sedang diusahakan. Nampaknya ada potensi untuk tidur lewat pada malam ini kerana sebahagian ahli kumpulan masih belum menghantar bahagian mereka kepada saya sedangkan sudah bersetuju sebelum ini untuk menghantarnya sebelum jam 5 petang.

Cadangnya juga pada hari ini, saya ingin mengeluarkan peluh di taman sekitar Putrajaya tapi harapan tidak kesampaian apabila hujan turun dengan lebatnya. Sudah musim tengkujuh, apa nak dikatakan lagi. Manusialah yang kena cari jalan untuk sesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.

Mujur juga saya sudah membeli stok makanan mencukupi untuk tempoh 2 hari persembunyian ini. Dalam saat-saat genting begini, setiap saat dan ketika adalah sangat berharga. Ok, masa untuk kembali fokus kepada tugasan.

Sunday, December 18, 2011

Tambah Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya dan adik lelaki, BaYu, gigih bangun awal dan bertolak ke Maju Junction, KL untuk menghadiri program POWER! anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Kami tiba sekitar jam 9.20 pagi, lebih awal daripada masa program yang dijadualkan bermula jam 9.30 pagi. Sungguh mendamaikan memandu pada hujung minggu. Alangkah baiknya jika setiap hari begini (dalam mimpi la kan!).

Sudah agak lama juga saya tidak ke Maju Junction. Jika ke sini, mental perlu bersedia untuk memandu menaiki laluan ke tempat letak kereta yang memeningkan kepala. Bagi yang pernah melaluinya, pasti akan memahami maksud saya ini.

Tiba di kaunter, petugas sudah sedia menunggu dan kelihatan beberapa orang peserta sudah tiba lebih awal daripada kami. Kagum dengan kesungguhan mereka yang sanggup datang awal pada hujung minggu untuk mendapatkan ilmu. Kami diberikan borang profail untuk dilengkapkan dan turut membeli dua buah buku panduan kewangan seperti dalam gambar di bawah. Ia dijual dalam dua bahasa pada harga RM5 sebuah. Jadi kami beli kedua-dua versi iaitu versi Bahasa Inggeris untuk saya dan versi Bahasa Melayu untuk BaYu.

RM5 sebuah

Program dimulakan tepat jam 9.30 pagi di bilik taklimat yang selesa. Kandungan ceramah merupakan olahan daripada kandungan buku yang dibeli dan dibahagikan kepada dua slot. Slot pertama antara jam 9.30 pagi hingga 11.00 pagi dan slot kedua disambung pada jam 11.30 pagi hingga 1.00 petang. Mujur juga mereka menyediakan minum pagi berupa bihun goreng dan kuih muih semasa waktu rehat antara jam 11 - 11.30 pagi kerana kami belum bersarapan.

Topik-topik yang dibincangkan sebenarnya sudah diketahui namun sukar atau liat untuk diamalkan menyebabkan ilmu yang tidak memberi manfaat. Antara yang dibincangkan adalah jenis-jenis faedah yang ada dalam institusi bank, kaedah merancang perbelanjaan, teknik menilai aset dan liabiliti serta beberapa topik yang sudah sering didengari sebelum ini.

Namun, kehadiran saya dalam program ini membangkitkan kembali keazaman untuk mengurus kewangan peribadi dengan lebih serius. Bukan saya tidak pernah menyediakan bajet peribadi sebelum ini namun seringkali ia hanya tergantung di situ sahaja dan akhirnya terbengkalai tanpa tindakan susulan.


Majlis tamat

Program akhirnya tamat sekitar jam 1.00 petang dan menariknya kami diberikan sijil kehadiran. Ada juga kenangan menghadiri kursus ini. Sebelum pulang, kami sempat singgah ke kompleks Pertama yang hanya terletak bersebelahan Maju Junction. Aduhai, tempat yang sungguh nostalgia sejak zaman belajar di UIA dulu.


Usai urusan di sana, kami pulang dengan azam baru. Langkah pertama, aktifkan kembali perekodan bajet peribadi!

Thursday, December 15, 2011

Berita Gembira

Bismillahirrahmanirrahim...

Benarlah janjiNya, bersama-sama kesukaran itu ada kemudahan. Sejak kembali ke alam akademik, hidup saya hanya tertumpu sepenuhnya kepada tugasan dan projek yang diberi untuk disempurnakan. Tempoh pembelajaran terasa begitu singkat sedangkan begitu banyak perkara yang belum saya ketahui dan perlu saya pelajari.  Pendek kata, setiap hari masa saya banyak dihabiskan di UTM sahaja. Ia berbeza dengan apa yang saya harapkan sebelum ini iaitu lebih banyak masa terluang untuk urusan-urusan lain namun sebaliknya berlaku. Namun, keadaan ini normal bagi pelajar semester pertama. Jika dirujuk kepada pelan pengajian, kesibukan untuk menyiapkan tugasan akan berkurangan dalam semester-semester berikutnya.

Hari Selasa merupakan hari persembahan untuk subjek disertasi 1 pada semester ini. Ia cukup merisaukan saya kerana masih belum cukup bersedia untuk berhadapan dengannya. Namun saya perlu melakukannya dan rela untuk dikomen dan menerima maklumbalas untuk penambahbaikan daripada para panel. Masa yang diperuntukkan untuk setiap persembahan adalah 15 minit sahaja dan 10 minit adalah untuk sesi soal jawab. Saya hadir pada sesi pagi meskipun giliran persembahan saya adalah pada jam 2.00 petang untuk melihat persembahan pelajar-pelajar lain dan mempelajari kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan agar tidak saya ulangi apabila tiba giliran saya kelak.

Sengaja saya bawa perakam video untuk merakam persembahan sendiri dan dibuat penilaian agar sebarang kelemahan dapat diperbaiki pada masa hadapan. Ia selalu begitu. Apabila menonton kembali persembahan yang telah dibuat, saya pasti merasakan yang saya belum melakukan yang terbaik. Akan terbit perasaan 'kenapa aku tak buat macam ni? Kenapa aku tak cakap macam ni?' dan pelbagai kalau lagi. Malah, masa keseluruhan sesi persembahan saya melangkaui masa yang ditetapkan iaitu selama 40 minit sedangkan had masa adalah 25 minit sahaja. Persembahan saya habis tepat pada masanya iaitu 15 minit namun masa selebihnya digunakan oleh panel untuk bertanya pelbagai soalan kepada saya sehingga kadang-kadang saya sendiri jadi keliru dengan jawapan yang saya beri kepada mereka. Haha. Apapun, saya terima setiap komen dan pendapat mereka dengan hati terbuka kerana inilah yang dinamakan proses pembelajaran. Ia bukan tentang hasilnya tetapi proses yang dilalui untuk meraih dan menuai buahnya.

Usai persembahan disertasi, kerisauan saya masih pada projek dan tugasan lain yang sedang dalam proses untuk disempurnakan. Namun, berita gembira yang saya terima daripada pensyarah seawal pagi semalam, sedikit sebanyak mampu mengubat kerisauan yang sedang bersarang di hati. Malah cukup jika saya katakan benar-benar merasa syukur memilih UTM sebagai tempat pengajian. Rupanya ada sesuatu yang telah Allah tentukan buat saya di situ. Allahuakbar! Allahuakbar! Walhamdulillah. Apapun, berita itu tidak dapat saya kongsikan sekarang dek kerana masih ada beberapa prosedur yang perlu disempurnakan sebelum saya benar-benar disahkan layak menyertai program tersebut. Meskipun begitu, ia sudah cukup menggembirakan hati saya dan mengubat kerisauan yang melanda. Terima kasih Allah.

Sunday, December 11, 2011

Al-Maktabah

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi tadi saya berada di sini.




Bukan untuk bermain golf atau istilahnya 'menebas' tetapi ke suatu destinasi baru yang sentiasa dekat di hati saya. Perjalanan menuju ke situ sungguh mendamaikan. Menelusuri jalan yang dihiasi dengan pepohon hijau di kiri dan kanannya. Jiwa saya menjadi bugar.



Saya sepatutnya berada di sini, al-maktabah atau dalam Bahasa Melayunya perpustakaan, sehingga petang tetapi atas kejahilan diri sendiri, saya terpaksa mencari alternatif lain. Kejahilan itu adalah apabila saya terlupa bahawa hari ini merupakan cuti umum bersempena dengan ulangtahun keputeraan DYMM Sultan Selangor malah ia hanya akan dibuka pada hari Selasa kelak. Hajat saya ke sini adalah untuk melihat sendiri Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam yang baru dirasmikan pembukaannya oleh DYMM Sultan Selangor semalam. Ini merupakan tapak baru kepada sebuah perpustakaan yang sebelum ini bertempat di pusat bandar Shah Alam.



Dulu ia merupakan antara salah satu tempat yang menjadi kegemaran saya untuk menghabiskan masa. Kini, apabila ia sudah berpindah ke bangunan baru yang lebih baik, hati saya terpanggil untuk menjenguknya. Namun niat saya bukan untuk sekadar menjenguk sahaja sebaliknya untuk mencari bahan bagi tugasan yang sedang dilaksanakan berkaitan dengan pengurusan perpustakaan.

Akhirnya, demi untuk melampiaskan keinginan menyiapkan tugasan, saya beralih arah ke perpustakaan UTM KL.



Yang pasti, saya pasti akan ke sana lagi selepas ini, insyaAllah.

Solat Sunat Gerhana Bulan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kredit: Minda Akob

Sejujurnya, saya hanya menyedari tentang kejadian ini apabila membaca status rakan-rakan di Facebook. Justeru, saya pasangkan niat untuk turut serta menunaikan solat sunat gerhana apabila gagal melakukannya sebelum ini iaitu sekitar bulan Jun. Oleh kerana solat ini sunat diadakan secara berjemaah, saya berhajat untuk menunaikannya di Masjid UPM kerana berdekatan dengan teratak sendiri. Namun sewaktu dalam perjalanan ke sana, saya menukar laluan ke Masjid Putra kerana kenangan menunaikan solat tarawih di sana sepanjang bulan Ramadhan yang lalu datang menggamit. Mujur saya sempat tiba untuk menyertai solat Isyak terlebih dahulu. Usai solat Isyak, Imam menerangkan tentang kaedah pelaksanaan solat sunat gerhana di samping turut menitipkan manfaat yang terkandung di sebalik pelaksanaannya. Antara yang saya ingat adalah bahawa kejadian gerhana merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan Allah sebagai peringatan kepada manusia bahawa akan tiba hari di mana bulan, matahari dan bintang-bintang akan gugur dan musnah iaitu hari kiamat. Ia bukan sebagaimana yang ditafsirkan oleh sesetengah manusia yang mengaitkan kejadian ini dengan kematian atau lain-lain perkara khurafat yang boleh menyesatkan.

Berhubung kaedah atau kaifiat pelaksanaannya pula, saya akui silap sendiri tidak mencari terlebih dahulu di Internet atau buku-buku berkaitan. Namun mujurlah Imam bertindak untuk menerangkannya kepada kami terlebih dahulu sebelum solat dimulakan. Mungkin beliau sendiri maklum bahawa ia adalah solat yang jarang dilakukan menyebabkan ada segelintir jemaah (termasuk saya sendiri) yang terlupa malah langsung tidak tahu tentang pelaksanaannya. Rupa-rupanya solat sunat gerhana dilaksanakan dalam 2 rakaat, 4 rukuk dan 1 salam iaitu 2 rukuk ditunaikan dalam setiap rakaat. Antara 2 rukuk tersebut pula, surah Al-Fatihah dan surah berkaitan dibaca oleh Imam dan sujud adalah selepas bangkit daripada rukuk yang kedua. Subnallah, ia satu ilmu baru buat saya. Sebaik tamat solat, Imam membaca 2 khutbah dan seterusnya membaca doa sebagai penutup. Ia hampir menyamai kaifiat solat sunat hari raya iaitu khutbah dibaca selepas tamat solat dan berbeza dengan solat Jumaat iaitu khutbah adalah sebelum solat. Imam juga memberitahu adalah sunat untuk melihat bulan terlebih dahulu sebelum menunaikan solat sunat gerhana. Namun, kami tidak dapat berbuat demikian berikutan bulan dilitupi oleh awan.

Alhamdulillah, segalanya berakhir sekitar jam 10 malam dan saya sempat mengambil sedikit hidangan yang disediakan untuk dibawa pulang.

Sungguh! Ia satu pengalaman yang cukup berharga buat saya.

Walau bagaimanapun, saya merasai sedikit kekecewaan apabila melihat kawasan masjid dipenuhi oleh pengunjung yang datang bersantai bersama keluarga tetapi tidak ramai yang mengambil peluang untuk menyertai solat sunat berjemaah di dalam masjid. Alangkah indahnya jika mereka bersama keluarga masing-masing mencuri sedikit masa santai untuk sama-sama menghayati kebesaran Allah SWT, semoga dengan itu akan menambahkan rahmah kepada bumi Malaysia yang tercinta ini. Wallhua'lam. Itu hanya pandangan saya, insan kerdil yang sentiasa berusaha agar hari ini menjadi lebih baik daripada semalam, insyaAllah.

Friday, December 9, 2011

Sarat

Bismillahirrahmanirrahim...


Hari ini memang penuh dengan dugaan. Apa tidaknya, jika pagi tadi tayar belakang sebelah kiri bocor, di sebelah petangnya pula, tayar belakang sebelah kanan pula yang bocor. Pagi tadi, dengan bantuan teman-teman pejabat lama, tayar belakang kiri berjaya ditukar dengan tayar ganti. Oleh kerana saya perlu segera ke UTM untuk menghantar tugasan, saya tangguhkan terlebih dahulu urusan menampal tayar yang bocor itu dan terus memandu menuju ke UTM. Dari UTM pula, saya perlu bergegas ke JPA untuk menghadiri sesi taklimat pada jam 3 petang.

Usai urusan di UTM sekitar jam 2.40 petang, saya terus memecut ke Putrajaya untuk menghadiri taklimat tersebut. Pada masa yang sama, saya telah berjanji untuk bertemu dengan seorang teman sebelum sama-sama mendengar taklimat. Saya akui merasa sedikit kelainan terutama semasa mengambil selekoh tetapi sangka saya, ia kesan tayar ganti yang masih terpasang pada bahagian belakang. Saya abaikan sahaja ketidakselesaan itu dan meneruskan pemanduan sehingga tiba di destinasi pada jam 3.15 petang. Teman saya sudah sedia menanti sementara saya mencari tempat letak kereta.

"Eh, tayar kereta kau bocorlah. Dah leper," tegur teman saya.

"Yeke?" balas saya sedikit terkejut sambil memberhentikan kereta dan keluar untuk melihat sendiri keadaan tayar.

"Astaghfirullahala'zim. Tayar sebelah sana pun belum sempat ganti, tayar sebelah sini pula bocor," luah saya spontan.

Namun begitu, saya parkirkan kereta terlebih dahulu dan kami segera menuju ke auditorium, tempat di mana taklimat diadakan. Dalam pada itu, akaun telefon saya pula disekat kerana sudah melebihi had maksimum. Aduhai, buntu sekejap fikiran saya saat itu. Lalu dengan perasaan yang segan tapi terpaksa, saya pinjam telefon teman saya untuk cuba menghubungi adik-adik jika ada yang dapat membantu. Nampaknya nasib tidak menyebelahi saya apabila adik saya, MakTeh, sudah dalam perjalanan pulang ke kampung dan adik lelaki saya, BaYu, pula sedang bertugas dan saya tahu agak sukar untuk dia meninggalkannya begitu sahaja. Perancangan saya pada masa itu adalah untuk meminjam tayar ganti kereta BaYu yang sejenama dengan kereta saya.

Akhirnya, BaYu mencadangkan agar saya menggunakan khidmat trak penunda (tow truck) kerana ia merupakan salah satu kemudahan yang disediakan oleh syarikat insurans. Justeru saya cuba menghubungi pihak Etiqa untuk mendapatkan khidmat bantuan berhubung perkara tersebut. Alhamdulillah, saya boleh menggunakan perkhidmatan trak penunda bagi jarak 50 km pertama secara percuma bagi tujuan penghantaran kereta ke bengkel. Tempoh masa yang dijanjikan untuk trak penunda tiba adalah sekitar 45 minit hingga 1 jam. Berikutan sedikit salah faham, trak penunda tiba lewat daripada tempoh dijanjikan namun kemesraan pemandunya membuatkan saya tidak sampai hati untuk mengomel tentang kelewatannya.

Dari situ, kami bergerak menuju ke Serdang untuk mencari kedai tayar yang masih beroperasi kerana jam sudah menunjukkan pukul 7 malam. Lucunya saya diminta untuk menaiki lori penunda bersama pemandu untuk memudahkan pergerakan menuju ke kedai dimaksudkan kerana pemandu tersebut kurang arif dengan kawasan tersebut. Alhamdulillah, kami menjumpai sebuah kedai tayar yang sudah bersiap-siap untuk ditutup tetapi akhirnya sudi untuk membantu kami. Segala urusan selesai dengan baik dan kami sempat solat Maghrib di masjid UPM.

Sesungguhnya, hari ini sarat dengan ujian daripadaNya. Bermula dengan tayar belakang sebelah kiri bocor, laluan telefon bimbit disekat, merempit untuk menghantar tugasan dan kemudiannya tayar belakang sebelah kanan pula bocor sehingga khidmat lori penunda diperlukan.

Pengajaran yang saya peroleh pada hari ini adalah:

  1. Apabila fikiran berkecamuk, pertimbangan akan menjadi kabur sehingga perkara yang jelas di depan mata juga tidak akan dapat dilihat. Sebaliknya, ketenangan akan membuka jalan kepada kita untuk mencari penyelesaian yang efektif;
  2. Benar kata orang, teman sebenar hanya dapat dikenal sewaktu kita berada dalam saat-saat memerlukan. Mereka membantu seikhlasnya;
  3. Manfaatkan khidmat yang disediakan oleh syarikat insurans semaksimanya sebagai balasan atas jumlah wang yang telah kita keluarkan kepada mereka;
  4. Setiap yang berlaku adalah berpunca daripada dosa-dosa yang dilakukan oleh diri sendiri dan dugaan yang ditimpakan adalah sebagai penyuci atau kaffarah kepadanya.

Wallahua'lam.

Bocor Lagi

Bismillahirrahmanirrahim...




Tayar kereta saya bocor lagi. Ya, ia bukan kali kedua tapi keempat dan atas sebab yang sama iaitu tercucuk objek tajam seperti paku dan skru. Kali ini jelas kelihatan sebatang skru terbenam ke dalam tayar kereta saya. Pagi ini bila saya perlu bergegas ke kuliah, sebaik memanaskan enjin dan membuka pintu pagar, hati saya tergerak untuk menjenguk keadaan tayar. MasyaAllah, ia leper seleper-lepernya. Langsung tiada angin. Dugaan sungguh kerana saya perlu segera ke UTM untuk menghantar tugasan yang tamat tempoh pada hari ini. Petangnya pula saya perlu berada di Putrajaya untuk menghadiri sesi taklimat. Segera saya buka but untuk mengeluarkan tayar ganti.

"Aduh, mana pula spanar ni?" bebel saya apabila gagal menemui beg spanar yang sentiasa ada dalam but kereta sebelum ini.

Saya selongkar but, gelisik segenap ruang but tapi masih gagal menemuinya. Parah! Buntu! Lalu saya teringat kali ketiga tayar ini bocor sewaktu dipandu oleh adik saya, MakTeh.

"MakTeh, U letak kat mana beg spanar kereta I?" tanya saya kepada MakTeh selepas cubaan panggilan kali keempat atau kelima.

Kesabaran saya mula tergugat tapi saya cuba melawan rasa amarah itu. Ia bukan salah MakTeh. Sudah pasti dia tidak menginginkan sesuatu yang tidak baik berlaku kepada saya.

"Ini dugaan. Pasti ada hikmah di sebaliknya," ujar saya mengingatkan diri sendiri.

Lalu saya hubungi seorang teman di tempat kerja lama untuk mendapatkan bantuannya.

"Mizi, awak sibuk tak?" soal saya.

"Kenapa Cik Mah? Sibuk tu tidak lah sangat tapi ada sedikit urusan," jawab Mizi dengan menggunakan panggilan yang hanya digunakan oleh teman-teman rapat sahaja.

"Macam ni, tayar kereta saya bocor dan nak dijadikan cerita, spanar pula tak ada dalam but. Kalau tak menyusahkan awak, boleh tak datang sekejap?" terang saya kepada Mizi.

"Cik Mah di rumah ke sekarang?" soal Mizi lagi dan saya mengiyakannya.

"Ok, saya ada sedikit perbincangan. Saya habiskan perbincangan dan bergerak ke rumah Cik Mah ya," janji Mizi.

"Terima kasih banyak ya Mizi".

Syukur masih ada teman yang sudi membantu dalam saat-saat memerlukan. Itu tanda Allah masih menyayangi diri saya dan mahu saya insaf atas kekhilafan yang pernah saya lakukan sama ada secara sengaja atau tidak. Pada masa yang sama, jiran saya pulang ke rumahnya kerana kurang sihat. Saya meminjam spanar miliknya namun saiznya tidak sama. Terpaksalah saya menunggu Mizi datang meskipun debaran di dada semakin memuncak. Bimbang tidak sempat sampai ke UTM sebelum waktu rehat tengahari. Saat menulis catatan ini saya masih menunggu ketibaan Mizi di bangku di halaman teratak saya. Ia satu penantian yang cukup panjang dan mendebarkan.

Namun begitu, saya redha. Pasti ada pengajaran yang ingin diberikan kepada saya pada hari ini terutama dalam memastikan kewujudan beg spanar di dalam but kereta pada setiap masa. Setidak-tidaknya kejadian ini berlaku di teratak saya sendiri dan bukannya sewaktu saya memandu di atas jalan. Saat ini juga saya diberi peluang melihat siapakah teman yang sebenar-benarnya dan sudi membantu saat kita membutuhkan bantuan mereka.

P/s: Buat Mizi, jangan risau, malam ini saya belanja makan di Saba' Cyberjaya :)

Sunday, December 4, 2011

Untuk Kesekian Kalinya, Cameron Lagi

Bismillahirrahmanirrahim...

Kalau sudah itu suratannya, tiada daya saya mengubahnya. Itulah ketentuanNya. Meskipun saya sudah berniat untuk berehat daripada mengunjungi Cameron Highlands pada tahun ini, niat itu berkubur begitu sahaja kerana tanpa dirancang, kami sepakat ke sana pada hari Sabtu lepas. Memang menjadi kebiasaan, dalam banyak keadaan, aktiviti kami berbentuk ad-hoc dan menggunakan konsep 'redah je. Begitu juga dengan aktiviti kali ini apabila kami sepakat untuk ke CH hanya pada malam tadi sewaktu makan malam di Shah Alam. Secara kebetulan, abang ke3 saya, BaHa dan keluarga juga dalam perjalanan pulang ke rumah mertuanya di Kulim, Kedah. Maka kami bertolak pada pagi Sabtu untuk ke Cameron Highlands seketika dan BaHa kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kulim sementara saya dan yang lain pulang ke KL. Kami memang tidak merancang untuk bermalam di sana kerana mengetahui sekarang adalah musim cuti sekolah.

Dah dekat

Saya dan anak saudara, Adeef Amin

Ia hanya kunjungan ringkas dan buat pertama kalinya saya tidak membeli walau sebiji pun buah strawberi. Saya akui sedikit jemu dengannya kesan kunjungan yang kerap sebelum ini. Kali ini kami menaiki CH melalui Simpang Pulai dan destinasi pertama yang kami kunjungi adalah ladang teh BOH di Sungai Palas. Laluan ke situ sememangnya agak mencabar tetapi berbaloi kerana dapat melihat sendiri dauh teh diproses sehingga menjadi serbuk teh. Kanak-kanak sudah pasti orang yang paling teruja melihat proses tersebut.

Destinasi pertama - BOH Tea Centre Sg Palas
Dari situ, kami ke Kea Farm untuk membeli sayuran dan sudah pastinya jagung madu. Ia antara perkara yang wajib dibeli jika berkunjung ke CH. Usai membeli-belah di situ, kami berpecah mengikut haluan masing-masing. BaHa dan keluarga menuruni semula laluan Simpang Pulai untuk meneruskan perjalanan ke Kulim, Kedah sementara saya, BaAn dan keluarga serta MakTeh meneruskan perjalanan menghala ke Tapah. Dalam perjalanan, kami sempat singgah di pasar malam Brinchang, Masjid Abu Bakar dan satu lagi destinasi wajib iaitu Bharat Plantations Cafe.

Masjid Abu Bakar, Cameron Highlands

Minum petang di Bharat Plantations Cafe

Usai minum petang, kami singgah sebentar di sebuah nurseri untuk membeli bunga dan kemudian kembali ke KL melalui jalan Tapah. Kami tiba di KL sekitar jam 10 malam. Satu perjalanan ringkas yang tidak dirancang tetapi menyeronokkan.

i-City, Shah Alam

Bismillahirrahmanirrahim...

Jumaat lepas, kelas saya tamat pada jam 5 petang. Saya dapati ada miscalls daripada abang dan adik yang berkumpul di teratak saya.

"Ya MakTeh, kenapa u call I?" saya hubungi semula adik untuk mengetahui tujuan mereka menelefon saya sebentar tadi.

"U kat mana? Kiteorang nak gi i-City ni. U nak join tak?" ujar MakTeh.

"Mmmm. I baru habis kelas ni. Oklah, I pergi terus ke sana. Jumpa kat i-City," jawab saya menyetujui ajakan mereka.

Memang agak sukar untuk saya menolak ajakan apabila melibatkan keluarga sendiri. Justeru meskipun keletihan seharian menghadiri kelas, saya gagahkan juga demi mereka. Sebelum ini saya pernah mengunjungi i-City sewaktu ia mula-mula dibuka dan pada masa itu tiada sebarang bayaran masuk dikenakan. Saya ada mendengar kini bayaran masuk dikenakan tetapi saya tidak tahu kadarnya.

Kami tiba di sana sekitar jam 8.30 malam dan jumlah pengunjung agak ramai. Ia fenomena normal kerana cuti sekolah sudah bermula namun jumlahnya masih selesa buat kami. Sewaktu kunjungan kali pertama dulu, rumah sajli yang dinamakan snowalk masih belum wujud. Justeru kami ambil peluang untuk mencuba sendiri suasana tersebut. Wah, kadar tiketnya agak mahal juga pada saya iaitu RM25 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak berumur 3 - 12 tahun.

Usai membeli tiket, kami ke kaunter jaket untuk dipakai sebelum memasuki rumah salji. Bagi saya, keadaan jaket agak teruk dan berbau mungkin kesan penggunaan berulang kali tanpa dibasuh. Di samping itu, pengunjung perlu menyewa kasut but dan stokin pula pada kadar RM5 sepasang dan sejumlah deposit juga perlu diletakkan sebagai cagaran. Pada saya, ia satu jumlah yang agak mahal terutama bagi yang datang dalam jumlah yang ramai seperti kami.

Semua dah pakai jaket

Bersama Bakarians Junior

Adam Amin dalam rumah igloo

Adeef Amin, menggigil-gigil tapi tetap nak main

Suhu di dalam rumah salji amat sejuk dan keadaan permukaannya juga agak licin malah ada beberapa orang pengunjung yang jatuh tergelincir terutama kanak-kanak. Saya dapati ia menjadi licin kerana permukaannya adalah susunan air batu yang diliputi oleh air batu yang diparut supaya kelihatan seperti salji. Secara keseluruhannya, kami berasa seperti berada dalam sebuah peti sejuk yang besar pada suhu yang sangat tinggi. Rasanya cukuplah sekali kami memasuki tempat tersebut kerana tiada aktiviti yang menarik di dalamnya selain kesejukan melampau.

Dari situ, saya bawa mereka ke Geng's Corner, milik LesCopaque yang menerbitkan siri kartun Upin dan Ipin. Sengaja saya bawa ke situ kerana sudah pasti kanak-kanak gembira melihat kartun kegemaran mereka.

Di Geng's Corner

Menjamu selera

Alhamdulillah servis dan kualiti makanannya memuaskan hati kami malah harganya juga berpatutan. Kami tinggalkan Geng's Corner sekitar jam 11.30 malam dan tanpa dirancang, kami bersetuju untuk berkunjung ke Cameron Highlands pula pada keesokan harinya.