Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, November 7, 2011

Sekitar Aidiladha 1432H

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya pulang ke kampung bersama adik-adik untuk menyambut Aidiladha pada hari Sabtu (5 November 2011). Kami bertolak dari teratak saya pada jam 7.30 pagi dan seperti dijangka, kami perlu menempuh lautan kenderaan di sepanjang Lebuhraya Karak. Kesesakan hanya berkurangan sebaik kami memasuki Lebuhraya Pantai Timur. Alhamdulillah perjalanan selepas itu lancar sehingga kami tiba di destinasi meskipun jumlah kenderaan lebih banyak daripada biasa. Malah kelihatan semua hentian R&R dipenuhi dengan kenderaan sehingga melebihi kawasan yang disediakan. Situasi sebegini adalah normal bagi kami yang sering berulang-alik ke kampung terutama jika ada cuti umum.

Lautan kenderaan di Lebuhraya Karak
Oleh kerana kami berpuasa pada hari tersebut, kami tidak perlu memikirkan untuk mencari tempat makan tengahari dan meneruskan perjalanan sehingga tiba di kampung.

Solat sunat Aidiladha pada tahun ini kami tunaikan di surau Haji Hitam, Alur Tembesu kerana Abah telah diarahkan untuk mengetuai solat sunat di sana. Ia satu pengalaman yang baru iaitu menunaikan solat di surau kerana sebelum ini kami sering menunaikannya di masjid sahaja.

Usai solat sunat Aidiladha, kami terus pulang ke rumah kerana Abah telah diamanahkan oleh saudara mara untuk menyembelih haiwan korban bagi pihak mereka. Lalu kami semua turut menyertai Abah untuk melihat sendiri cara penyembelihan dilakukan. Ada 2 ekor lembu telah disembelih oleh Abah namun berlaku insiden kecil semasa ingin menyembelih lembu kedua apabila ia naik angin setelah melihat lembu pertama dibaringkan untuk dikorbankan. Menyedari kesilapan tersebut, mereka yang memegang lembu tersebut telah bertindak mengambil lapisan khemah untuk menghalang pandangan lembu kedua daripada melihat lembu pertama disembelih. Ternyata tindakan tersebut sudah agak terlambat dan usaha untuk mengorbankan lembu kedua sedikit rumit sehingga hampir-hampir ia terlepas dari ikatan. Mujurlah Abah terus bertahan seorang diri memaut tali yang mengikat lembu tersebut sedangkan lelaki-lelaki yang lebih muda sudah bertempiran melarikan diri. Risau juga jika selepas ini Abah akan sakit urat pula selepas insiden tersebut.


Abah sedang menyembelih lembu sambil kami bertasbih beramai-ramai
Akhirnya, kedua-dua ekor lembu tersebut telah berjaya ditumbangkan dan dagingnya dibahagi-bahagikan kepada golongan yang layak. Kami pula terus beredar dari situ dan pulang ke rumah. Acara kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara hanya kami teruskan pada sebelah petangnya selepas merehatkan diri sebentar pada waktu tengahari.

Secara peribadi, saya sendiri menyertai Qurban yang dianjurkan oleh syarikat swasta di Kemboja. Jika sebelum ini saya memilih syarikat EZQurban, pada tahun ini saya menyertai syarikat Al-Ameen Service pula. Jauh di sudut hati, saya merasakan alangkah lebih baik jika kami adik-beradik dapat berpakat untuk melaksanakan Qurban sesama kami sahaja jika dipanjangkan usia pada tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya. Itu harapan saya, insyaAllah.

Pada sebelah malam pula, kami mengambil peluang untuk makan malam di Mayang Sari Resort, sebuah tempat penginapan yang terletak tidak jauh daripada rumah kami dan betul-betul berhadapan dengan Pantai Teluk Lipat. Nampaknya kami langkah kiri kerana menerima servis yang sangat lambat walaupun harga yang dikenakan agak mahal juga. Bayangkan pesanan untuk minuman hanya diterima selepas 40 minit pesanan dibuat. Bayangkan pula tempoh makanan dihidangkan kepada kami selepas itu. Rasanya ini kunjungan kami yang pertama dan terakhir ke situ.

Pagi esok pula, kami akan bertolak awal pagi untuk pulang ke KL dan perlu tiba sebelum jam 6 petang kerana adik lelaki bongsu, Pak Soo, perlu melaporkan diri semula di PULAPOL.

Sambutan Aidiladha kami pada tahun ini nyata sangat sederhana. Yang penting, kami adik-beradik dapat berkumpul bersama Abah dan Ummi.

No comments: