Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, November 29, 2011

Pelaburan Hartanah

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah lama saya berminat dengan bidang hartanah dan ia merupakan antara bidang yang mampu memberi pulangan yang lumayan jika kita benar-benar mempelajari dan memahami selok-beloknya. Kesungguhan itu telah saya terjemahkan dengan mengajak adik-adik saya untuk turut sama melibatkan diri di dalam bidang ini. Meskipun saya sedar ia satu topik yang cukup sensitif malah paparan berita menunjukkan yang ia antara punca keluarga menjadi berpecah-belah, saya nekad untuk meneruskannya kerana saya yakin segala kepincangan berlaku kerana satu faktor sahaja iaitu TIADA ILMU. Demi untuk memastikan perkara yang sama tidak berlaku kepada saya dan adik-beradik, saya sentiasa berusaha memantapkan diri untuk menambahkan ilmu tentang bidang ini sama ada menerusi bacaan di Internet atau menghadiri kursus-kursus dan seminar yang dianjurkan oleh pakar-pakar bidang hartanah. Antara pakar yang sering menjadi rujukan saya adalah saudara Azizi Ali dan KC Lau malah saya pautkan website mereka ke blog saya agar saya tidak terlepas sebarang perkembangan terkini daripada mereka.



2 minggu saya terima jemputan melalui e-mel untuk menghadiri seminar pengenalan (preview) oleh sebuah syarikat pelaburan hartanah iaitu Azea Property di Subang Empire. Setelah disemak jadual, saya memilih untuk menghadiri slot pada hari Khamis, 24 November 2011, jam 7.30 malam. Ini bermakna saya perlu bertolak terus ke sana sebaik tamat kuliah pada hari tersebut. Sengaja saya pilih untuk bertolak awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sebelum itu saya mohon petunjuk daripadaNya, jika kunjungan saya ke program tersebut memberi manfaat maka permudahkanlah perjalanan saya. Namun jika tiada kebaikan padanya, maka saya redha jika ada halangan untuk saya menghadirinya. Alhamdulillah, perjalanan saya dipermudahkanNya malah saya tiba lebih awal dari waktu ditetapkan. Sementara menunggu masuk waktu Maghrib, saya singgah di Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya dan bertolak ke lokasi program sebaik menunaikan solat Maghrib di situ.

Sebaik memarkirkan kenderaan, saya terus menaiki lif ke aras 9, lokasi program diadakan iaitu ibu pejabat syarikat Azea Property. Sebelum itu, saya sudah menjangkakan yang kehadiran saya pasti akan menimbulkan rasa janggal kerana saya merupakan satu-satunya wanita Islam dan bertudung yang menghadiri program itu. Malah saya sudah dapat merasakan ada mata-mata yang memandang saya dengan seribu satu persoalan namun saya hanya memaniskan wajah dan cuba untuk berbual dengan peserta-peserta lain. Ternyata mereka menerima kehadiran saya dengan baik dan perasaan 'tidak selesa' sebentar tadi hanyalah ilusi saya sendiri sahaja. Saya cuba untuk melibatkan diri dengan sebaik mungkin dalam aktiviti yang diadakan namun pada masa yang sama saya cuba mempertahankan pendirian saya sendiri. Di awal program, penganjur mengadakan sesi perkenalan atau ice breaking iaitu setiap peserta perlu bersalam dengan peserta-peserta yang lain sambil mengucapkan 'Hi, I'm Karimah, a new property investor. Nice to meet you a successful property investor.' Saya hulur dan sambut salam daripada peserta wanita tetapi saya letakkan tapak tangan di dada kiri apabila berhadapan dengan peserta lelaki. Pada mulanya ada wajah-wajah yang kurang senang dengan tindakan saya (respon yang sudah saya jangka) tetapi apabila saya bertegas dengannya, mereka dapat menerimanya dan turut melakukan perkara yang sama apabila berhadapan dengan saya. Ini antara 'pelajaran' yang saya pelajari pada malam itu di samping ilmu tentang bidang hartanah. Antara sebab saya mencekalkan hati untuk kekal berada dalam majlis itu meskipun dikelilingi oleh majoriti bangsa lain adalah kerana teringat kepada kata-kata Saidina Ali Karramallahuwajhah, (lebih kurang maksudnya) agar merebut mutiara ilmu walaupun daripada orang bukan Islam. Di samping itu, saya ingin membuang perasaan selesa yang bersarang di dalam hati saya ini dengan memilih untuk berada dalam suasana kurang selesa. Ternyata 'selesa' atau 'tidak selesa' adalah hanya perasaan yang berada di bawah kawalan kita sendiri. Justeru ketidakselesaan yang saya alami sewaktu mula-mula tiba tadi telah berjaya saya atasi dengan memilih untuk merasa selesa. Saya cuba memberi respon apabila penceramah mengemukakan soalan dan memberi sepenuh perhatian terhadap kandungan ceramah yang disampaikan. Ternyata banyak ilmu baru yang saya pelajari dan membuka minda saya untuk lebih positif dalam bidang hartanah. Sudah pasti ilmu ini akan saya kongsikan bersama adik-adik saya untuk projek pertama kami iaitu sebuah kondominium di Batu Caves. Kami belinya pada tahun lepas dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2012. Ada kesilapan kecil (kerana TIADA ILMU) yang telah kami lakukan dalam projek pertama ini dan menjadi pengajaran kepada kami agar tidak mengulanginya lagi pada masa hadapan.

Antara strategi-strategi yang telah telah dipelajari daripada seminar tersebut adalah:

1. Interest-Only Loan;
2. Capital Refinancing;
3. No-Money-Down.

Ada antaranya yang pernah saya dengar dan ada antaranya merupakan kali pertama didengari. Memandangkan program kali ini hanya bersifat pengenalan, kami ditawarkan untuk mengikuti kelas rutin mengenai hartanah dan dikenakan kadar bayaran tertentu di samping automatik menjadi ahli kelab pelaburan hartanah yang diuruskan oleh syarikat tersebut. Antara kelebihan menjadi ahli adalah diberi keutamaan menerima maklumat terkini tentang projek hartanah terbaru daripada syarikat tersebut. Pendekatan yang digunakan adalah berbentuk perkongsian iaitu setiap unit hartanah akan dimiliki oleh beberapa orang pemilik dan syarikat akan mengurus dan membahagikan keuntungan sewaan unit kepada pemilik-pemilik tersebut. Antara projek-projek yang telah dilaburkan oleh syarikat adalah di di Iskandar, Danga Bay, Lembah Klang dan juga di USA, Jerman dan United Kingdom malah senarai nama pemilik bagi unit-unit tersebut juga turut dipaparkan. Saya merasakan ada logiknya juga pendekatan yang digunakan oleh syarikat malah ia hampir serupa dengan pendekatan yang kami laksanakan untuk projek pertama kami. Dengan pendekatan ini, setiap pemilik berkeupayaan untuk melabur dalam unit hartanah yang dirasakan berpotensi memberi pulangan yang baik pada masa hadapan. Namun begitu, harus diingat, bidang hartanah merupakan satu bidang yang tidak sesuai diceburi oleh golongan 'Get Rich Quick' malah dalam apa jua bidang, prinsip sebegitu hanya akan memakan diri sendiri. Pesan orang-orang tua, cepat dapat, cepat hilang.

Tempoh 3 jam yang berlalu tidak saya rasakan walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Mungkin kerana ia topik yang saya minati dan gaya penceramah yang begitu bersemangat menyampaikan maklumat kepada kami. Saya tinggalkan lokasi program dengan hati yang puas dan gembira kerana kunjugan saya pada malam itu tidak sia-sia.

No comments: