Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, November 10, 2011

Malu Pada Diri Sendiri

Bismillahirrahmanirrahim...

Jika dirujuk kepada kalendar akademik yang dibekalkan oleh UTM pada awal semester, 7 - 13 November 2011 merupakan cuti pertengahan semester. Namun saya dan rakan-rakan telah diminta untuk menghadiri satu kursus semasa tempoh tersebut dan ia penting sebagai persediaan kami untuk memulakan projek. Maka tiada cuti pertengahan semester bagi kami dan proses pembelajaran diteruskan seperti biasa. Inilah pengorbanan yang harus dilakukan demi sebuah kejayaan.

Setiap hari saya akan bertolak pada jam 8 pagi untuk ke UTM dan kelas akan bermula pada jam 9 pagi hingga 4.30 petang. Ia memang agak meletihkan kerana kandungan subjek yang sebelum ini saya pelajari selama 6 minggu di INTAN, perlu dikhatamkan dalam tempoh 4 hari sahaja. Walau bagaimanapun, saya benar-benar bersyukur kerana setidak-tidaknya saya pernah mempelajarinya dan ia sangat membantu saya sepanjang mengikuti kursus tersebut.

Petang tadi, usai tamat kelas pada jam 4 petang (mujur kelas tamat awal), saya terus pulang ke rumah untuk solat Asar dan menukar pakaian sebelum bertolak ke Masjid Al-Hasanah, Bangi atau saya lebih gemar memanggilnya sebagai masjid hijau. Hati saya tiba-tiba menjadi sangat berat untuk keluar meninggalkan rumah setelah seharian kepenatan mengikuti kursus. Namun saya lawan perasaan itu kerana mengenangkan janji yang telah dibuat untuk menghadirinya. Akhirnya, saya gagahkan juga diri untuk memandu ke masjid.

Setibanya di sana, saya amat terkesan dengan kegigihan orang kuat usrah, Farwina, yang sanggup datang bersama bayi yang baru berusia 30 hari. Saat itu hati saya berkecamuk, menyesali keadaan diri sendiri yang hampir-hampir terpedaya dengan bisikan syaitan. Kemudian saya temui lagi beberapa orang ahli usrah sambil menunggu ketibaan naqibah yang belum kami kenali.

Akhirnya, naqibah yang dinanti tiba dan kami beredar ke sebuah ruang bilik untuk memulakan sesi usrah. Sesi dimulakan dengan bacaan Al-Quran secara bergilir-gilir dan diteruskan dengan sesi ta'aruf atau perkenalan. Antara perkara yang disebut oleh naqibah dan benar-benar menyentuh hati saya adalah bahawa jika penat lelah yang kita harungi dalam hidup ini adalah demi untuk mendapatkan keredhaan Allah, maka kita beruntung. Sekali lagi, saya merasa malu dengan diri sendiri kerana mempunyai perasaan malas malah hampir-hampir membatalkan niat untuk menghadirinya kerana terlalu megikut perasaan yang merasakan kepenatan. Hakikatnya, apabila kita melakukan sesuatu yang baik dan bermanfaat maka kepenatan itu akan beransur pergi tanpa kita sedari.

Memandangkan waktu Maghrib masuk awal iaitu sekitar jam 6.58 malam, maka kami tamatkan sesi tersebut untuk menunaikan solat serta berjanji untuk pertemuan seterusnya pada 22 November 2011 di tempat yang sama.


Selingan:
Usai solat Isyak, saya dan seorang teman sempat singgah di Restoran JM Bariani, Bangi kerana belum sempat untuk mengisi perut sebelum menyertai sesi usrah.  Saya beri kredit kepada tempat ini kerana layanan yang baik, servis yang cepat dan harga yang berpatutan. Ia pasti jadi lokasi pilihan saya pada masa hadapan.

Menu Untuk Pilihan

Pilihan saya - Mee Udang

No comments: