Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, November 1, 2011

Kuasa Imaginasi

Bismillahirrahmanirrahim...

Hujung minggu lepas iaitu pada hari Ahad, saya telah meluangkan masa untuk menghadiri satu kursus yang dinamakan Kisah Transformasi 360. Ia dikendalikan oleh seorang doktor perubatan bernama Dr. Noordin Darus (DND). Penyertaan saya dalam kursus ini sebenarnya adalah secara tidak sengaja iaitu semasa saya melayari Internet untuk mencari maklumat tentang kursus-kursus soft skills yang boleh saya ikuti semasa sedang cuti belajar ini. Tambahan pula, sejak dari dulu lagi saya memang gemar menghadiri sebarang kursus atau program yang saya rasakan boleh memberi ilmu baru kepada saya di samping menambahkan keyakinan diri apabila berada dalam kelompok manusia yang belum dikenali. Pelbagai kursus telah saya ikuti sebelum ini dan kosnya saya tanggung sendiri kerana saya fikir tidak rugi untuk melaburkan sedikit wang demi kebaikan diri sendiri. Lantas, apabila terbaca tentang kursus tersebut, saya segera mendaftarkan diri dan menjelaskan bayaran penyertaan sebanyak RM50. Lokasi kursus adalah di dewan Plenary, SACC Mall, Shah Alam bermula pada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Ini merupakan kali pertama saya mengikuti kursus kendalian DND walaupun sebelum ini sudah mengetahui sedikit sebanyak tentang latar belakang beliau. Malah mereka yang sebaya atau hampir sebaya dengan saya pasti masih mengingati aksi Dr. Noordin yang mengajar cara senaman melalui rancangan Selamat Pagi Malaysia dan juga rancangan TV Pendidikan di sekolah satu masa dahulu.

Sebelum ini juga saya pernah terbaca tentang cerita beliau yang diuji dengan penyakit kanser dan telah sembuh sepenuhnya selepas menemui rahsia dan kuasa air. Hasilnya, penemuan itu telah beliau komersilkan dan dijual melalui syarikat milik beliau sendiri. Kini, apabila telah berjaya, beliau ingin berkongsi rahsia kejayaan atau jatuh bangun dalam perniagaan sebelum mencapai kejayaan seperti hari ini.

Namun begitu, pada penghujungnya, saya dapati objektif sebenar kursus 3 jam tersebut hanya sebagai preview kepada kursus 2 hari yang dijadualkan pada bulan Disember kelak dan bayaran yang dikenakan adalah lebih tinggi. Meskipun saya tiada niat untuk menyertai kursus tersebut pada masa akan datang, kehadiran saya pada sesi review tersebut sedikit sebanyak memberi ilmu yang boleh dipraktikkan jika ingin menjadi lebih berjaya. Malah, kalau boleh saya katakan, ia lebih kepada mengingati kembali (refresh) kerana ilmu-ilmu yang pernah dipelajari tetapi berkubur dek kerana tidak dipraktikkan dengan sebenar-benarnya.

Umpamanya, saya pernah beberapa kali sebelum ini membaca dan mengikuti kursus kendalian motivator yang menerangkan tentang kuasa imaginasi. Menurut mereka, imaginasi yang spesifik akan menguatkan lagi keinginan kita untuk berusaha dan mencapai kejayaan yang diinginkan. Dalam erti kata lain, kemampuan kita untuk menggambarkan atau membayangkan 'wajah' kejayaan yang ingin dicapai, akan meningkatkan lagi peratusan untuk menjadikannya satu kenyataan. Sebagai contoh, jika seseorang itu menginginkan pada suatu hari nanti untuk memiliki sebuah kereta mewah, maka dia harus membayangkan perkara-perkara berikut:
  1. Apakah jenis kereta tersebut?
  2. Berapakah jumlah tempat duduk di dalamnya?
  3. Apakah warna kereta tersebut?
  4. Berapakah kekuatan enjin kereta tersebut?
  5. Adakah tempat duduknya disaluti kain atau kulit?
  6. Di sebelah manakah kedudukan ahli keluarga kelak semasa membawa mereka menaikinya?

dan pelbagai lagi soalan berkaitan yang membayangkan apakah yang ingin dilakukan terhadap kereta tersebut dan ciri-ciri yang perlu ada padanya. Seringkali yang berlaku adalah kita sendiri gagal memahami dan menjelaskan kemahuan sebenar kita terhadap sesuatu objek atau perkara. Kita hanya sekadar melafazkan keinginan untuk memilikinya di bibir sahaja tetapi tidak menyematnya dengan sungguh-sungguh di hati dan minda kita. Justeru, ketidaksungguhan itu dikatakan sebagai salah satu punca kegagalan mencapai apa yang kita inginkan.

Saya akui ada kebenaran dalam teori tersebut malah teknik tersebut pada pandangan saya, boleh disamakan dengan sifat seseorang yang berwawasan. Seorang yang mempunyai visi dan matlamat yang jelas tentang destinasi yang ingin dituju dan lanskap yang mewarnainya. Kesungguhan ini juga sepatutnya diterjemahkan dalam doa yang setiap hari kita panjatkan kepada Allah Taala dengan menyatakan sejelas-jelasnya keinginan sebenar kita kepada Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Jauh juga saya termenung, menenggelamkan diri, merenung kebenaran di sebalik kenyataan itu. Apakah selama ini saya gagal menggambarkan dengan sejelas-jelasnya tentang apa yang saya inginkan sehingga kekadang saya gagal untuk memperolehnya? Pun begitu, sebagai seorang Muslim, pemahaman sebegini tidak pula bermakna kita bersikap mengenepikan elemen takdir dan tawakal. Sejauh mana pun usaha yang kita lakukan, sekuat mana kudrat pun yang kita curahkan, titik penentu muktamad hanya padaNya jua. Pun begitu, Dia Maha Adil. Telah dijanjikan, Dia pasti memberi kepada yang meminta dengan bersungguh-sungguh malah kekadang apa yang diberiNya jauh lebih baik dari apa yang kita pohon. Subhanallah.

Masih ada beberapa perkara lagi yang DND kongsikan semasa kursus tersebut tetapi saya masih belum berkesempatan untuk mencoretkannya di blog ini. InsyaAllah sebaik berkelapangan (lusa saya akan menduduki ujian), akan cuba saya kongsikan untuk manfaat bersama.

No comments: