Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, November 19, 2011

Jika Allah Mengizinkan

Bismillahirrahmanirrahim...

Petang semalam, kelas saya tamat agak lewat iaitu sekitar jam 5.10 petang. Usai kelas, saya bertemu pula seketika dengan seorang teman yang mempunyai urusan di UTM. Banyak yang kami perbualkan dan ia berkisar tentang prosedur untuk menyambung pelajaran kerana teman saya ini telah memilih UTM sebagai pusat pengajian. Namun perbualan kami tidak dapat diteruskan kerana saya sudah berjanji dengan seorang teman lain untuk menghadiri satu program di Cyberjaya. Program dijangka bermula jam 8.30 malam dan saya perlu singgah menjemput teman saya terlebih dahulu di Bangi kerana dia masih belum boleh memandu pada waktu malam kesan pembedahan mata pada minggu lepas.

Seperti dijangka, trafik pada hari Jumaat memang sesak luar biasa dan ditambah pula dengan cuaca hujan. Saya mengambil masa lebih 1 jam untuk keluar dari Jalan Semarak ke Jalan Tun Razak dan hanya berjaya memasuki lebuhraya pada jam 7 malam. Sangka saya, sudah pasti kami akan terlewat untuk menghadiri program tersebut malah perasaan saya sudah 50-50. Namun saya yakin, jika Allah mengizinkan saya untuk hadir maka Dia akan mempermudahkan perjalanan ini.

Antara sebab saya begitu teruja untuk mengikuti program ini adalah kerana moderatornya adalah seseorang yang saya kagumi iaitu Dr. Har dan salah seorang panelnya pula iaitu Dr. Azlina Roszy adalah naqibah bagi program usrah yang sedang saya ikuti baru-baru ini. Di samping itu, sememangnya menjadi kegemaran saya untuk mengikuti apa jua majlis ilmu yang saya rasakan mampu memberi manfaat pada diri sendiri. Malah tajuknya yang begitu relevan dengan apa yang berlaku baru-baru ini juga turut menggamit saya untuk mendapatkan sendiri gambaran lebih jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku agar penilaian yang dibuat lebih objektif. Salah seorang panelnya iaitu Encik Raffie, seorang sukarelawan Yayasan Salam, yang dijemput untuk berkongsi pengalaman menjadi sukarelawan bersama golongan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transexual).

Alhamdulillah, trafik lancar sebaik memasuki lebuhraya meskipun jumlah kenderaan bertali arus. Saya tiba sekitar jam 7.20 malam di rumah teman saya dan kami terus bertolak menuju ke destinasi. Perut saya pula berkeroncong minta diisi dan saya mencadangkan agar kami singgah sebentar untuk makan malam sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi dituju. Program tersebut diadakan di Kolej Universiti Sains dan Perubatan Cyberjaya dan ia lokasi yang tidak pernah saya kunjungi sebelum ini. Lebih menggusarkan apabila Cyberjaya bukanlah satu tempat yang saya arif dengan laluannya. Saya hanya memandu mengikut papan tanda yang disediakan semata. Natijahnya, kami 'makan buah langsat' (istilah yang saya gunakan apabila sesat) selama hampir setengah jam dan ia cukup merisaukan saya. Akhirnya, dengan pertolongan seorang sahabat yang memberi bantuan melalui panggilan telefon, kami berjaya tiba di lokasi berkenaan tepat jam 8.30 malam. Saya tunda dahulu perasaan lapar kerana bimbang kami sudah terlewat. Ternyata seperti dijangka, suasana masih lengang dan urus setia memaklumkan yang program akan bermula pada jam 9 malam.




Lalu saya dan teman mencuri masa untuk makan malam di sebuah restoran yang menghidangkan makanan Arab iaitu Saba' Cyerjaya. Lebih baik kami makan terlebih dahulu kerana yakin program pasti akan tamat lewat. Ia satu kunjungan yang tidak dirancang tetapi menggembirakan hati saya kerana seringkali saya hanya mendengar teman-teman yang pernah menikmati hidangan di sini menceritakan pengalaman masing-masing. Malam ini saya berpeluang menikmatinya sendiri dan ia memang tidak mengecewakan. Namun cadangan saya agar setiap hidangan yang ditempah dikongsi bersama mungkin 2 orang, kerana jumlah hidangannya yang agak banyak. Pun begitu, tiada halangan untuk menghabiskannya seorang diri jika tahap selera anda sememangnya tinggi dan kapasiti perut anda mencukupi untuk menampungnya. Saya? Gagal untuk menghabiskan huhu. Yang pasti, saya akan kembali lagi ke sini bersama keluarga.




Usai makan malam ekspres, kami bergegas kembali ke lokasi program dan ucapan perasmian sedang berjalan sewaktu kami tiba. Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan oleh Allah Taala. Keyakinan saya begitu sejak dari dulu. Jika Allah mengizinkan saya untuk melakukan atau mendapatkan sesuatu perkara, maka laluan yang akan ditempuh akan dipermudahkanNya. Namun seandainya Allah telah merancang perkara yang lebih baik buat saya atau Allah menginginkan saya untuk menangguhkannya buat seketika, maka akan ada halangan tertentu di tengah laluan yang memberi 'signal' kepada saya agar berhenti daripada meneruskannya.   

Saya ikuti sesi wacana dengan penuh tumpuan dan berjaya bertahan sehingga jam 11.30 malam. Ia sarat dengan perbincangan yang membuka mata dan pintu hati yang selama ini agak skeptikal terhadap golongan LGBT. Ia satu topik yang sentiasa relevan dan memerlukan perhatian banyak pihak. Kenyataan saya ini jangan pula disalahertikan namun saya merasakan ada kebenarannya dalam kenyataan yang diutarakan oleh ahli panel. Siapa pun mereka, bagaimanapun tingkah mereka, mereka tetap sebahagian daripada kelompok masyarakat yang perlu diberi perhatian dan dibantu secara berterusan. Tindakan menghukum tanpa mengutamakan unsur tarbiah akan membuatkan mereka menjadi lebih jauh daripada masyarakat sedangkan kita tahu kesannya amat buruk kepada sesebuah masyarakat dan akhirnya negara. Mereka perlu diberi perhatian kerana Islam sendiri telah menggariskan hak-hak yang nyata buat mereka dan menjadi tanggungjawab masyarakat untuk memberikan kepada mereka hak-hak itu dengan sewajarnya. Memberi bukan dalam erti kata mengizinkan segala perbuatan mungkar lagi dilaknati Allah yang mereka perjuangkan, sebaliknya memberitahu kepada mereka agar kembali kepada ajaranNya. Ada hak mereka di dalamnya yang telah diabaikan dan tidak diberi perhatian sebaiknya oleh masyarakat yang mendakwa diri mereka normal.

Saya jadi gerun mendengar realiti sebenar masalah yang berkait dengan seksualiti ini kerana ia jauh lebih besar dari berkisar sekadar AIDS, HIV dan yang sewaktu dengannya. Ia isu yang perlu ditangani oleh setiap warga masyarakat kerana seringkali ia berlaku dalam keluarga sendiri dan akhirnya menyumbang kepada kemurungan dan masalah-masalah lain yang jarang dipaparkan kepada umum melalui media.

Golongan agamawan pula meminta media agar tidak terlalu mengsensasikan perkara ini atas dasar politik kerana mereka sedang gigih mencari jalan untuk mendekati golongan ini. Tindakan keterlaluan mengsensasikan isu ini akan membuatkan mereka menjadi lebih jauh dan jurang yang wujud akan menjadi lebih luas.

Saya insaf mendengar kenyataan Encik Raffi yang menyatakan bahawa golongan ini sebenarnya ingin sekali mendekati agama namun pelbagai halangan termasuk pandangan masyarakat yang gemar menghukum membuatkan mereka menjadi jauh hati dan kembali kepada rakan-rakan yang menerima keadaan diri mereka. Sejauh mana peranan kita sebagai ahli masyarakat dalam soal ini? Spesifiknya, apakah sumbangan saya kepada mereka? Setidak-tidaknya, jika kita tidak mampu membantu mereka secara terus, usahlah kita melabel mereka atau dengan perkataan lebih mudah, menghukum mereka. Apakah jaminan yang kita ini akan masuk syurga berbanding mereka kerana kata salah seorang panel iaitu Dr. Azizi, Islam itu adil. Jika dibandingkan darjat antara seorang lelaki yang normal dan dapat berkahwin untuk mengawal diri dan seorang lelaki khunsa yang sudah pasti tidak dapat berkahwin, sudah pasti darjat lelaki khunsa itu lebih tinggi jika dia dapat mengawal diri daripada terjebak ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Ia ilmu baru buat saya.

Secara kesimpulannya, banyak input baru yang saya perolehi melalui program ini dan ia lebih membuka minda saya yang diakui agak skeptikal apabila berbicara soal LGBT. Kehadiran mereka adalah satu ujian buat kita yang dilahirkan normal dalam membantu mereka agar kembali kepada syariat Allah.

Saya tinggalkan auditorium bersama teman sekitar jam 11.30 malam, singgah di Bangi dan tiba di teratak sekitar jam 12.30 malam. Ia satu hari yang penat tetapi berbaloi.

Jika Alah mengizinkan, segalanya pasti!

No comments: