Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, November 17, 2011

Dugaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kejadian ini berlaku pada hari Jumaat lepas. Ketika itu saya sedang menyiapkan tugasan di netbook comel yang telah dimiliki sejak lebih setahun yang lalu. Tanpa disangka, skrinnya tiba-tiba menjadi gelap. MasyaAllah! Apa sudah jadi? Saya gelabah. Macam-macam perkara bermain dalam kepala. Data yang digunakan selama ini ada tersimpan di situ dan saya masih belum sempat untuk membuat back up. Kepala saya ligat berfikir mencari jalan penyelesaian segera. Lantas saya teringat kepada TV LCD yang boleh digunakan sebagai medium paparan. Puas saya belek dan telek, namun usaha saya menemui jalan buntu apabila gagal memaparkannya di skrin TV. Cuak. Ya, saya cuak kerana ada tugasan yang perlu saya selesaikan segera. Esok pula hari Sabtu, bermakna jika dihantar ke pusat servis, saya mungkin perlu meninggalkannya selama beberapa hari untuk diperbaiki sedangkan saya perlu menggunakannya untuk menyiapkan tugasan. Saya tiada jalan lain. Fikiran saya hanya memikirkan untuk membeli laptop baru sahaja.

Keesokan harinya pula, seorang teman telah meminta saya untuk menemaninya ke Hospital Mata Tun Hussein Onn yang terletak di Petaling Jaya. Saya mula berkira-kira untuk mengunjungi Digital Mall yang terletak tidak jauh dari situ sementara teman saya menyelesaikan urusannya.

Seawal pagi Sabtu, saya bertolak ke Bangi untuk menjemput teman saya dan kami terus menuju ke Petaling Jaya. Alhamdulillah, urusan teman saya di pusat mata tidak memakan masa yang lama dan teman saya juga ingin ke Digital Mall bersama saya. Mulanya saya risau juga kerana teman saya ini baru selesai menjalani pembedahan kecil ke atas matanya. Saya bimbang jika dia tidak dapat bergerak terlalu banyak dan akan menimbulkan komplikasi lain pula.

Sebaik pintu kedai dibuka, kami terus mengunjungi kedai-kedai yang ada di situ. Sangka saya urusan akan selesai dengan cepat tetapi ternyata urusan untuk memilih yang terbaik amat sukar untuk dibuat. Kami berlegar-legar dari satu kedai ke kedai yang lain sehingga tidak sedar masa berlalu. Jam sudah memasuki pukul 2 petang dan kami masih belum memutuskan pilihan yang ingin dibeli. Masa menjadi sangat suntuk kerana saya perlu bergegas ke Putrajaya pula selepas itu untuk menghadiri program yang akan bermula jam 5.30 petang. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk membeli sebuah laptop jenama Samsung dengan saiz skrin 14 inci. Kenapa Samsung jadi pilihan? Mungkin kerana netbook saya sebelum ini dan printer yang dibeli baru-baru ini juga berjenama yang sama. Bila hati sudah suka...

Lucunya, teman saya yang tidak bercadang untuk membeli komputer juga turut terjebak sama. Namun sebelum ini dia pernah berura-ura menyatakan untuk membeli sebuah desktop tetapi saya tidak menyangka yang kami akan membelinya pada masa yang sama. Alhamdulillah, urusan selesai pada jam 4.30 petang dan kami terus bergegas pulang kerana saya perlu ke Putrajaya pula.


Mujur aliran trafik tidak terlalu sesak dan saya terus menuju ke Putrajaya sebaik menghantar teman saya pulang di Bangi. Lega kerana saya berjaya tiba sebelum jam 5.30 petang malah sempat solat Asar di situ.

Usai tamat program sekitar jam 11 malam, saya terus pulang ke teratak. Sudah tentulah saya begitu teruja untuk membelek laptop yang baru dibeli meskipun keletihan mengikuti program sebentar tadi masih bersisa. Sebelum itu, terdetik di hati saya untuk cuba menghidupkan netbook. Aduhai, ia terpapar di TV LCD dan saya dapat memindahkan fail-fail yang ada di dalamnya kepada external hard disk. Namun ada hikmahnya juga saya membeli laptop baru kerana ternyata paparan skrinnya masih tidak stabil. Sekejap gelap dan sekejap lagi terpapar semula. Ia masih perlu dihantar ke pusat servis untuk diperiksa masalah sebenarnya. Jika tidak, pasti saya tidak dapat menyiapkan tugasan pada masa yang ditetapkan.

Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri. Ini sebahagian daripada dugaan yang perlu saya tempuh sebagai seorang pelajar. Syukur ia rosak sewaktu saya menyiapkan tugasan rutin. Bayangkan jika ia rosak sewaktu saya sedang menyiapkan projek akhir. Tidak terbayang bagaimana gusarnya saya jika itu yang berlaku. Ada pengajaran yang ingin Allah sampaikan kepada saya iaitu jangan suka bertangguh. Saya sering berniat untuk menyimpan fail sebagai back up di dalam external hard disk tetapi niat hanya tinggal sekadar niat sehingga kejadian ini. Selepas kejadian itu, saya akan pastikan setiap tugasan yang dibuat di laptop akan segera disalin ke dalam external hard disk.

Jangan suka bertangguh!

No comments: