Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, November 29, 2011

Pelaburan Hartanah

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah lama saya berminat dengan bidang hartanah dan ia merupakan antara bidang yang mampu memberi pulangan yang lumayan jika kita benar-benar mempelajari dan memahami selok-beloknya. Kesungguhan itu telah saya terjemahkan dengan mengajak adik-adik saya untuk turut sama melibatkan diri di dalam bidang ini. Meskipun saya sedar ia satu topik yang cukup sensitif malah paparan berita menunjukkan yang ia antara punca keluarga menjadi berpecah-belah, saya nekad untuk meneruskannya kerana saya yakin segala kepincangan berlaku kerana satu faktor sahaja iaitu TIADA ILMU. Demi untuk memastikan perkara yang sama tidak berlaku kepada saya dan adik-beradik, saya sentiasa berusaha memantapkan diri untuk menambahkan ilmu tentang bidang ini sama ada menerusi bacaan di Internet atau menghadiri kursus-kursus dan seminar yang dianjurkan oleh pakar-pakar bidang hartanah. Antara pakar yang sering menjadi rujukan saya adalah saudara Azizi Ali dan KC Lau malah saya pautkan website mereka ke blog saya agar saya tidak terlepas sebarang perkembangan terkini daripada mereka.



2 minggu saya terima jemputan melalui e-mel untuk menghadiri seminar pengenalan (preview) oleh sebuah syarikat pelaburan hartanah iaitu Azea Property di Subang Empire. Setelah disemak jadual, saya memilih untuk menghadiri slot pada hari Khamis, 24 November 2011, jam 7.30 malam. Ini bermakna saya perlu bertolak terus ke sana sebaik tamat kuliah pada hari tersebut. Sengaja saya pilih untuk bertolak awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sebelum itu saya mohon petunjuk daripadaNya, jika kunjungan saya ke program tersebut memberi manfaat maka permudahkanlah perjalanan saya. Namun jika tiada kebaikan padanya, maka saya redha jika ada halangan untuk saya menghadirinya. Alhamdulillah, perjalanan saya dipermudahkanNya malah saya tiba lebih awal dari waktu ditetapkan. Sementara menunggu masuk waktu Maghrib, saya singgah di Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya dan bertolak ke lokasi program sebaik menunaikan solat Maghrib di situ.

Sebaik memarkirkan kenderaan, saya terus menaiki lif ke aras 9, lokasi program diadakan iaitu ibu pejabat syarikat Azea Property. Sebelum itu, saya sudah menjangkakan yang kehadiran saya pasti akan menimbulkan rasa janggal kerana saya merupakan satu-satunya wanita Islam dan bertudung yang menghadiri program itu. Malah saya sudah dapat merasakan ada mata-mata yang memandang saya dengan seribu satu persoalan namun saya hanya memaniskan wajah dan cuba untuk berbual dengan peserta-peserta lain. Ternyata mereka menerima kehadiran saya dengan baik dan perasaan 'tidak selesa' sebentar tadi hanyalah ilusi saya sendiri sahaja. Saya cuba untuk melibatkan diri dengan sebaik mungkin dalam aktiviti yang diadakan namun pada masa yang sama saya cuba mempertahankan pendirian saya sendiri. Di awal program, penganjur mengadakan sesi perkenalan atau ice breaking iaitu setiap peserta perlu bersalam dengan peserta-peserta yang lain sambil mengucapkan 'Hi, I'm Karimah, a new property investor. Nice to meet you a successful property investor.' Saya hulur dan sambut salam daripada peserta wanita tetapi saya letakkan tapak tangan di dada kiri apabila berhadapan dengan peserta lelaki. Pada mulanya ada wajah-wajah yang kurang senang dengan tindakan saya (respon yang sudah saya jangka) tetapi apabila saya bertegas dengannya, mereka dapat menerimanya dan turut melakukan perkara yang sama apabila berhadapan dengan saya. Ini antara 'pelajaran' yang saya pelajari pada malam itu di samping ilmu tentang bidang hartanah. Antara sebab saya mencekalkan hati untuk kekal berada dalam majlis itu meskipun dikelilingi oleh majoriti bangsa lain adalah kerana teringat kepada kata-kata Saidina Ali Karramallahuwajhah, (lebih kurang maksudnya) agar merebut mutiara ilmu walaupun daripada orang bukan Islam. Di samping itu, saya ingin membuang perasaan selesa yang bersarang di dalam hati saya ini dengan memilih untuk berada dalam suasana kurang selesa. Ternyata 'selesa' atau 'tidak selesa' adalah hanya perasaan yang berada di bawah kawalan kita sendiri. Justeru ketidakselesaan yang saya alami sewaktu mula-mula tiba tadi telah berjaya saya atasi dengan memilih untuk merasa selesa. Saya cuba memberi respon apabila penceramah mengemukakan soalan dan memberi sepenuh perhatian terhadap kandungan ceramah yang disampaikan. Ternyata banyak ilmu baru yang saya pelajari dan membuka minda saya untuk lebih positif dalam bidang hartanah. Sudah pasti ilmu ini akan saya kongsikan bersama adik-adik saya untuk projek pertama kami iaitu sebuah kondominium di Batu Caves. Kami belinya pada tahun lepas dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2012. Ada kesilapan kecil (kerana TIADA ILMU) yang telah kami lakukan dalam projek pertama ini dan menjadi pengajaran kepada kami agar tidak mengulanginya lagi pada masa hadapan.

Antara strategi-strategi yang telah telah dipelajari daripada seminar tersebut adalah:

1. Interest-Only Loan;
2. Capital Refinancing;
3. No-Money-Down.

Ada antaranya yang pernah saya dengar dan ada antaranya merupakan kali pertama didengari. Memandangkan program kali ini hanya bersifat pengenalan, kami ditawarkan untuk mengikuti kelas rutin mengenai hartanah dan dikenakan kadar bayaran tertentu di samping automatik menjadi ahli kelab pelaburan hartanah yang diuruskan oleh syarikat tersebut. Antara kelebihan menjadi ahli adalah diberi keutamaan menerima maklumat terkini tentang projek hartanah terbaru daripada syarikat tersebut. Pendekatan yang digunakan adalah berbentuk perkongsian iaitu setiap unit hartanah akan dimiliki oleh beberapa orang pemilik dan syarikat akan mengurus dan membahagikan keuntungan sewaan unit kepada pemilik-pemilik tersebut. Antara projek-projek yang telah dilaburkan oleh syarikat adalah di di Iskandar, Danga Bay, Lembah Klang dan juga di USA, Jerman dan United Kingdom malah senarai nama pemilik bagi unit-unit tersebut juga turut dipaparkan. Saya merasakan ada logiknya juga pendekatan yang digunakan oleh syarikat malah ia hampir serupa dengan pendekatan yang kami laksanakan untuk projek pertama kami. Dengan pendekatan ini, setiap pemilik berkeupayaan untuk melabur dalam unit hartanah yang dirasakan berpotensi memberi pulangan yang baik pada masa hadapan. Namun begitu, harus diingat, bidang hartanah merupakan satu bidang yang tidak sesuai diceburi oleh golongan 'Get Rich Quick' malah dalam apa jua bidang, prinsip sebegitu hanya akan memakan diri sendiri. Pesan orang-orang tua, cepat dapat, cepat hilang.

Tempoh 3 jam yang berlalu tidak saya rasakan walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Mungkin kerana ia topik yang saya minati dan gaya penceramah yang begitu bersemangat menyampaikan maklumat kepada kami. Saya tinggalkan lokasi program dengan hati yang puas dan gembira kerana kunjugan saya pada malam itu tidak sia-sia.

Thursday, November 24, 2011

Kisah Transformasi 360 Darjah

Bismillahirrahmanirrahim...

Entah kenapa saya tidak dapat melelapkan mata sedangkan jam sudah melebihi 1.30 pagi dan ada kuliah yang perlu dihadiri pada keesokan pagi. Lalu saya teringat kepada entri sebelum ini mengenai sebuah program di Shah Alam yang pernah saya ikuti iatu Kisah Transformasi 360 Darjah kendalian Dr. Noordin Darus (DND). Antara perkara yang dikongsikan oleh beliau dan telah saya nyatakan dalam entri sebelum sebelum ini adalah kuasa imaginasi.  

Secara ringkasnya, perkara-perkara lain yang turut dikongsikan dan merupakan formula kejayaan beliau adalah:

  1. Jangan takut kepada ketidakselesaan kerana ia adalah pemangkin kepada kita untuk terus berusaha ke arah kejayaan. Oleh itu, tidak selesa tidak semestinya tidak bagus dengan syarat ia dipandang secara positif.
  2. Dr (Desired Result) = [M (Motif) + B (Berjaya) + A (Action)] kuasa G (God) => Formula kejayaan DND.
  3. Dr dan M perlu spesifik dan jelas malah perlu dinyatakan dengan terperinci.
  4. Berjaya = Tekanan (Stress) iaitu tekanan yang positif dan terkawal. Ia menjadi penggalak kepada kita untuk terus berusaha dan berubah ke arah kecemerlangan.
  5. Kemudian, setiap kejayaan memerlukan tindakan (action) dan seterusnya membawa kepada kesediaan untuk melakukan pengorbanan.
  6. Namun begitu, sebagai Muslim, harus insaf bahawa setiap segala yang diusahakan adalah di bawah kekuasaan dan izin Allah jua.
  7. Prinsip My life, I decide iaitu kita sendiri adalah penentu kepada keadaan kehidupan kita sama ada berjaya atau tidak.
  8. Dalam hidup setiap orang, pasti akan bertemu titik perubahan (turning point) yang akan merubah paradigma tentang kehidupan. Bagi DND, saat beliau didiagnosis menghidap kanser merupakan titik perubahan kemuncak dalam kehidupan beliau yang telah merubah seluruh kehidupan beliau dan perkara ini telah diterjemahkan dalam program berkenaan.
  9. Terapi MIFIRO = MI (Minda) + FI (Fizikal) + Ro (Rohani)
  10. 7 rahsia kejayaan DND:
    • Ketenangan jiwa;
    • Kesihatan;
    • Jaga silaturrahim;
    • Percaya kepada kebebasan kewangan;
    • Ada tujuan hidup;
    • Amal jariah kepada masyarakat; dan
    • Bersyukur;
Setiap perkara tersebut tidak dihuraikan secara terperinci kerana masa yang terhad iaitu 3 jam dan ia merupakan slot pengenalan sahaja (preview). Kami dijemput untuk mengikuti kursus selama 2 hari pada bulan Disember tetapi atas sebab peribadi, saya tidak bercadang untuk mengikuti program tersebut. Pun begitu, saya menghargai sedikit ilmu yang telah dikongsikan dan semoga ia memberi manfaat kepada saya kelak. Wallahua'lam.

Monday, November 21, 2011

Syabas Harimau Muda

Bismillahirrahmanirrahim...


Sepanjang pengamatan saya, rakyat Malaysia sering berbeza pendapat dalam soal politik namun ada satu soal yang mereka sepakat dan ia adalah bola sepak. Terus terang, saya bukan peminat sukan bola sepak namun apabila perlawanan malam ini melibatkan 'abang' dan 'adik', saya merasa teruja untuk mengikuti perkembangannya.

Pun begitu, saya hanya mengikuti perkembangan melalui kemaskini status teman-teman di FB sahaja kerana tidak sanggup mengalami sesak nafas sewaktu menontonnya. Cukuplah saya mendengar khabar daripada teman-teman yang tidak putus-putus memaklumkannya di FB. Jika tidak menonton pun, debaran itu dapat saya rasai, bayangkan jika saya menontonnya. Silap haribulan, bantuan CPR perlu diberikan terutama pada saat-saat genting.

Syukur, akhirnya emas menjadi milik Malaysia meskipun pelbagai berita disebarkan oleh media tentang suasana yang perlu dihadapi oleh pasukan Malaysia berdepan kerenah penonton Indonesia.

Sudah suratanNya, malam ini emas milik Malaysia.

Syabas wira-wira negara!

Seketika di TBS

Bismillahirrahmanirrahim...


Jakun hehe

TBS, singkatan kepada Terminal Bersepadu Selatan. Malam tadi merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ dan saya tidak dapat menafikan yang ia satu tempat yang menarik. Melangkah ke dalamnya terasa seumpama memasuki lapangan terbang. Kedengaran sedikit keterlaluan tetapi itu perasaan yang saya alami tatkala melangkah masuk ke dalam ruang TBS. Suasananya memang jauh berbeza dengan terminal bas suatu masa dahulu malah jauh lebih selesa dengan kemudahan paparan maklumat yang jelas di skrin-skrin LCD yang diletakkan di sudut-sudut dalam TBS. Mungkin selepas ini saya boleh mencuba untuk menjejakkan kaki ke Pudu Sentral pula. Yang pasti, saya akan cuba untuk menaiki bas daripada TBS suatu hari nanti.

Kenapa saya ke TBS? Oh ya, saya sebenarnya telah berjanji untuk bertemu dengan rakan-rakan Alumni Muar untuk mengadakan mesyuarat di situ. Sudah agak lama kami tidak berkumpul sebaik tamat program pada bulan Julai yang lalu. Kami sepatutnya berkumpul pada jam 8.30 malam namun atas komitmen masing-masing termasuk seorang rakan yang bertugas sebagai doktor tetapi sanggup datang sebaik menamatkan tugas di hospital, mesyuarat kami hanya bermula sekitar jam 9.15 malam. Pun begitu, saya masih belum sempat menjenguk premis-premis yang ada di sekitar ruang dalam TBS. Pasti saya akan datang lagi ke sini kerana deretan kedai makanannya juga kelihatan menarik. Ia cukup sesuai dijadikan lokasi tetap untuk pertemuan-pertemuan kami pada masa akan datang.

InsyaAllah, saya pasti akan datang ke sini lagi :)

Ya, Saya Silap

Bismillahirrahmanirrahim...

Kepada sesiapa yang berkenaan,

Tiada manusia terlepas dari melakukan kesilapan. Begitu juga dengan diri saya. Saya akui kekhilafan diri namun setiap orang ada cara tersendiri untuk menerimanya. Sesetengah orang mungkin gemar agar orang yang melakukan kesilapan diaibkan dengan memaksa orang itu membuat pengakuan terbuka atas kekhilafan yang telah dilakukan atas alasan mereka yang tersendiri. Namun saya juga punya alasan tersendiri untuk memilih jalan yang harus dilalui. Ketahuilah bahawa memperbetulkan kekhilafan yang telah dilakukan adalah salah satu bentuk penerimaan atas kekhilafan yang telah dilakukan. Anda mungkin gemar mendengar pengakuan rasa bersalah daripada mulut saya namun apa natijahnya? Anda gemar saya terus-menerus dihukum atas kekhilafan atau kebodohan yang tidak saya sengajakan? Jika anda ingin bercakap soal menjatuhkan hukuman kepada orang lain, ini permulaannya. Mulakan dengan diri sendiri. Saya tidak menghukum anda kerana membuat teguran di blog saya malah saya berterima kasih kerana ia cermin 'kegelojohan' atau 'keghairahan' saya dalam memaparkan tulisan saya untuk berkongsi ilmu/maklumat yang saya peroleh. Lantas saya segera ambil tindakan pembetulan agar ia tidak terus menimbulkan kegawatan. Namun, tindakan membuka pekung di dada bukanlah cara saya. Anda datang ke rumah (blog) saya tanpa diundang namun saya menghargai kunjungan anda. Sepertimana kunjungan ke rumah seseorang perlu disertakan dengan adab, begitu juga dengan anda. Saya alu-alukan kedatangan anda namun jika kedatangan anda hanya untuk mengaibkan saya dengan secara terbuka, maka kedatangan anda tidak saya perlukan. Anda mungkin marah dengan kata-kata saya ini tetapi saya tegaskan sekali lagi, ini rumah saya.

Saya amat berterima kasih atas teguran anda dan tindakan pembetulan sudah saya lakukan. Ia satu pengajaran bermakna buat saya agar lebih berhati-hati pada masa hadapan namun tidak perlu saya terus membuka pekung di dada. Tingkah laku sebegini, yang gemar melihat orang lain diaibkan adalah satu tindakan menghukum dan bukannya mentarbiah. Anda berhak menilai saya dari apa jua sudut namun hanya saya yang lebih mengenali diri saya sendiri. Tidak ingatkah anda tentang bagaimana Rasulullah memberi maklumbalas terhadap seorang lelaki yang mengaku telah melakukan dosa besar iaitu zina kepada Baginda tetapi dinasihatkan agar bertaubat. Baginda tidak meminta lelaki itu membuat pengakuan terbuka atas dosa yang telah dilakukan malah hukuman hanya dijatuhkan apabila lelaki itu datang berulang kali membuat pengakuan kepada Baginda. Lantas apa hak anda untuk 'memaksa' dan 'menjatuhkan hukuman' kepada saya atas kekhilafan yang telah saya lakukan?

Terserah kepada anda bagaimana untuk menerima atau menolak kenyataan saya ini. Saya tidak meminta anda untuk menonjolkan siapa diri anda malah saya tidak merasakan keperluan kepada tindakan sebegitu.

Ya, saya silap tetapi anda tidak berhak menghukum saya!

Wassalam.

Saturday, November 19, 2011

Jika Allah Mengizinkan

Bismillahirrahmanirrahim...

Petang semalam, kelas saya tamat agak lewat iaitu sekitar jam 5.10 petang. Usai kelas, saya bertemu pula seketika dengan seorang teman yang mempunyai urusan di UTM. Banyak yang kami perbualkan dan ia berkisar tentang prosedur untuk menyambung pelajaran kerana teman saya ini telah memilih UTM sebagai pusat pengajian. Namun perbualan kami tidak dapat diteruskan kerana saya sudah berjanji dengan seorang teman lain untuk menghadiri satu program di Cyberjaya. Program dijangka bermula jam 8.30 malam dan saya perlu singgah menjemput teman saya terlebih dahulu di Bangi kerana dia masih belum boleh memandu pada waktu malam kesan pembedahan mata pada minggu lepas.

Seperti dijangka, trafik pada hari Jumaat memang sesak luar biasa dan ditambah pula dengan cuaca hujan. Saya mengambil masa lebih 1 jam untuk keluar dari Jalan Semarak ke Jalan Tun Razak dan hanya berjaya memasuki lebuhraya pada jam 7 malam. Sangka saya, sudah pasti kami akan terlewat untuk menghadiri program tersebut malah perasaan saya sudah 50-50. Namun saya yakin, jika Allah mengizinkan saya untuk hadir maka Dia akan mempermudahkan perjalanan ini.

Antara sebab saya begitu teruja untuk mengikuti program ini adalah kerana moderatornya adalah seseorang yang saya kagumi iaitu Dr. Har dan salah seorang panelnya pula iaitu Dr. Azlina Roszy adalah naqibah bagi program usrah yang sedang saya ikuti baru-baru ini. Di samping itu, sememangnya menjadi kegemaran saya untuk mengikuti apa jua majlis ilmu yang saya rasakan mampu memberi manfaat pada diri sendiri. Malah tajuknya yang begitu relevan dengan apa yang berlaku baru-baru ini juga turut menggamit saya untuk mendapatkan sendiri gambaran lebih jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku agar penilaian yang dibuat lebih objektif. Salah seorang panelnya iaitu Encik Raffie, seorang sukarelawan Yayasan Salam, yang dijemput untuk berkongsi pengalaman menjadi sukarelawan bersama golongan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transexual).

Alhamdulillah, trafik lancar sebaik memasuki lebuhraya meskipun jumlah kenderaan bertali arus. Saya tiba sekitar jam 7.20 malam di rumah teman saya dan kami terus bertolak menuju ke destinasi. Perut saya pula berkeroncong minta diisi dan saya mencadangkan agar kami singgah sebentar untuk makan malam sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi dituju. Program tersebut diadakan di Kolej Universiti Sains dan Perubatan Cyberjaya dan ia lokasi yang tidak pernah saya kunjungi sebelum ini. Lebih menggusarkan apabila Cyberjaya bukanlah satu tempat yang saya arif dengan laluannya. Saya hanya memandu mengikut papan tanda yang disediakan semata. Natijahnya, kami 'makan buah langsat' (istilah yang saya gunakan apabila sesat) selama hampir setengah jam dan ia cukup merisaukan saya. Akhirnya, dengan pertolongan seorang sahabat yang memberi bantuan melalui panggilan telefon, kami berjaya tiba di lokasi berkenaan tepat jam 8.30 malam. Saya tunda dahulu perasaan lapar kerana bimbang kami sudah terlewat. Ternyata seperti dijangka, suasana masih lengang dan urus setia memaklumkan yang program akan bermula pada jam 9 malam.




Lalu saya dan teman mencuri masa untuk makan malam di sebuah restoran yang menghidangkan makanan Arab iaitu Saba' Cyerjaya. Lebih baik kami makan terlebih dahulu kerana yakin program pasti akan tamat lewat. Ia satu kunjungan yang tidak dirancang tetapi menggembirakan hati saya kerana seringkali saya hanya mendengar teman-teman yang pernah menikmati hidangan di sini menceritakan pengalaman masing-masing. Malam ini saya berpeluang menikmatinya sendiri dan ia memang tidak mengecewakan. Namun cadangan saya agar setiap hidangan yang ditempah dikongsi bersama mungkin 2 orang, kerana jumlah hidangannya yang agak banyak. Pun begitu, tiada halangan untuk menghabiskannya seorang diri jika tahap selera anda sememangnya tinggi dan kapasiti perut anda mencukupi untuk menampungnya. Saya? Gagal untuk menghabiskan huhu. Yang pasti, saya akan kembali lagi ke sini bersama keluarga.




Usai makan malam ekspres, kami bergegas kembali ke lokasi program dan ucapan perasmian sedang berjalan sewaktu kami tiba. Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan oleh Allah Taala. Keyakinan saya begitu sejak dari dulu. Jika Allah mengizinkan saya untuk melakukan atau mendapatkan sesuatu perkara, maka laluan yang akan ditempuh akan dipermudahkanNya. Namun seandainya Allah telah merancang perkara yang lebih baik buat saya atau Allah menginginkan saya untuk menangguhkannya buat seketika, maka akan ada halangan tertentu di tengah laluan yang memberi 'signal' kepada saya agar berhenti daripada meneruskannya.   

Saya ikuti sesi wacana dengan penuh tumpuan dan berjaya bertahan sehingga jam 11.30 malam. Ia sarat dengan perbincangan yang membuka mata dan pintu hati yang selama ini agak skeptikal terhadap golongan LGBT. Ia satu topik yang sentiasa relevan dan memerlukan perhatian banyak pihak. Kenyataan saya ini jangan pula disalahertikan namun saya merasakan ada kebenarannya dalam kenyataan yang diutarakan oleh ahli panel. Siapa pun mereka, bagaimanapun tingkah mereka, mereka tetap sebahagian daripada kelompok masyarakat yang perlu diberi perhatian dan dibantu secara berterusan. Tindakan menghukum tanpa mengutamakan unsur tarbiah akan membuatkan mereka menjadi lebih jauh daripada masyarakat sedangkan kita tahu kesannya amat buruk kepada sesebuah masyarakat dan akhirnya negara. Mereka perlu diberi perhatian kerana Islam sendiri telah menggariskan hak-hak yang nyata buat mereka dan menjadi tanggungjawab masyarakat untuk memberikan kepada mereka hak-hak itu dengan sewajarnya. Memberi bukan dalam erti kata mengizinkan segala perbuatan mungkar lagi dilaknati Allah yang mereka perjuangkan, sebaliknya memberitahu kepada mereka agar kembali kepada ajaranNya. Ada hak mereka di dalamnya yang telah diabaikan dan tidak diberi perhatian sebaiknya oleh masyarakat yang mendakwa diri mereka normal.

Saya jadi gerun mendengar realiti sebenar masalah yang berkait dengan seksualiti ini kerana ia jauh lebih besar dari berkisar sekadar AIDS, HIV dan yang sewaktu dengannya. Ia isu yang perlu ditangani oleh setiap warga masyarakat kerana seringkali ia berlaku dalam keluarga sendiri dan akhirnya menyumbang kepada kemurungan dan masalah-masalah lain yang jarang dipaparkan kepada umum melalui media.

Golongan agamawan pula meminta media agar tidak terlalu mengsensasikan perkara ini atas dasar politik kerana mereka sedang gigih mencari jalan untuk mendekati golongan ini. Tindakan keterlaluan mengsensasikan isu ini akan membuatkan mereka menjadi lebih jauh dan jurang yang wujud akan menjadi lebih luas.

Saya insaf mendengar kenyataan Encik Raffi yang menyatakan bahawa golongan ini sebenarnya ingin sekali mendekati agama namun pelbagai halangan termasuk pandangan masyarakat yang gemar menghukum membuatkan mereka menjadi jauh hati dan kembali kepada rakan-rakan yang menerima keadaan diri mereka. Sejauh mana peranan kita sebagai ahli masyarakat dalam soal ini? Spesifiknya, apakah sumbangan saya kepada mereka? Setidak-tidaknya, jika kita tidak mampu membantu mereka secara terus, usahlah kita melabel mereka atau dengan perkataan lebih mudah, menghukum mereka. Apakah jaminan yang kita ini akan masuk syurga berbanding mereka kerana kata salah seorang panel iaitu Dr. Azizi, Islam itu adil. Jika dibandingkan darjat antara seorang lelaki yang normal dan dapat berkahwin untuk mengawal diri dan seorang lelaki khunsa yang sudah pasti tidak dapat berkahwin, sudah pasti darjat lelaki khunsa itu lebih tinggi jika dia dapat mengawal diri daripada terjebak ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Ia ilmu baru buat saya.

Secara kesimpulannya, banyak input baru yang saya perolehi melalui program ini dan ia lebih membuka minda saya yang diakui agak skeptikal apabila berbicara soal LGBT. Kehadiran mereka adalah satu ujian buat kita yang dilahirkan normal dalam membantu mereka agar kembali kepada syariat Allah.

Saya tinggalkan auditorium bersama teman sekitar jam 11.30 malam, singgah di Bangi dan tiba di teratak sekitar jam 12.30 malam. Ia satu hari yang penat tetapi berbaloi.

Jika Alah mengizinkan, segalanya pasti!

Thursday, November 17, 2011

Dugaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kejadian ini berlaku pada hari Jumaat lepas. Ketika itu saya sedang menyiapkan tugasan di netbook comel yang telah dimiliki sejak lebih setahun yang lalu. Tanpa disangka, skrinnya tiba-tiba menjadi gelap. MasyaAllah! Apa sudah jadi? Saya gelabah. Macam-macam perkara bermain dalam kepala. Data yang digunakan selama ini ada tersimpan di situ dan saya masih belum sempat untuk membuat back up. Kepala saya ligat berfikir mencari jalan penyelesaian segera. Lantas saya teringat kepada TV LCD yang boleh digunakan sebagai medium paparan. Puas saya belek dan telek, namun usaha saya menemui jalan buntu apabila gagal memaparkannya di skrin TV. Cuak. Ya, saya cuak kerana ada tugasan yang perlu saya selesaikan segera. Esok pula hari Sabtu, bermakna jika dihantar ke pusat servis, saya mungkin perlu meninggalkannya selama beberapa hari untuk diperbaiki sedangkan saya perlu menggunakannya untuk menyiapkan tugasan. Saya tiada jalan lain. Fikiran saya hanya memikirkan untuk membeli laptop baru sahaja.

Keesokan harinya pula, seorang teman telah meminta saya untuk menemaninya ke Hospital Mata Tun Hussein Onn yang terletak di Petaling Jaya. Saya mula berkira-kira untuk mengunjungi Digital Mall yang terletak tidak jauh dari situ sementara teman saya menyelesaikan urusannya.

Seawal pagi Sabtu, saya bertolak ke Bangi untuk menjemput teman saya dan kami terus menuju ke Petaling Jaya. Alhamdulillah, urusan teman saya di pusat mata tidak memakan masa yang lama dan teman saya juga ingin ke Digital Mall bersama saya. Mulanya saya risau juga kerana teman saya ini baru selesai menjalani pembedahan kecil ke atas matanya. Saya bimbang jika dia tidak dapat bergerak terlalu banyak dan akan menimbulkan komplikasi lain pula.

Sebaik pintu kedai dibuka, kami terus mengunjungi kedai-kedai yang ada di situ. Sangka saya urusan akan selesai dengan cepat tetapi ternyata urusan untuk memilih yang terbaik amat sukar untuk dibuat. Kami berlegar-legar dari satu kedai ke kedai yang lain sehingga tidak sedar masa berlalu. Jam sudah memasuki pukul 2 petang dan kami masih belum memutuskan pilihan yang ingin dibeli. Masa menjadi sangat suntuk kerana saya perlu bergegas ke Putrajaya pula selepas itu untuk menghadiri program yang akan bermula jam 5.30 petang. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk membeli sebuah laptop jenama Samsung dengan saiz skrin 14 inci. Kenapa Samsung jadi pilihan? Mungkin kerana netbook saya sebelum ini dan printer yang dibeli baru-baru ini juga berjenama yang sama. Bila hati sudah suka...

Lucunya, teman saya yang tidak bercadang untuk membeli komputer juga turut terjebak sama. Namun sebelum ini dia pernah berura-ura menyatakan untuk membeli sebuah desktop tetapi saya tidak menyangka yang kami akan membelinya pada masa yang sama. Alhamdulillah, urusan selesai pada jam 4.30 petang dan kami terus bergegas pulang kerana saya perlu ke Putrajaya pula.


Mujur aliran trafik tidak terlalu sesak dan saya terus menuju ke Putrajaya sebaik menghantar teman saya pulang di Bangi. Lega kerana saya berjaya tiba sebelum jam 5.30 petang malah sempat solat Asar di situ.

Usai tamat program sekitar jam 11 malam, saya terus pulang ke teratak. Sudah tentulah saya begitu teruja untuk membelek laptop yang baru dibeli meskipun keletihan mengikuti program sebentar tadi masih bersisa. Sebelum itu, terdetik di hati saya untuk cuba menghidupkan netbook. Aduhai, ia terpapar di TV LCD dan saya dapat memindahkan fail-fail yang ada di dalamnya kepada external hard disk. Namun ada hikmahnya juga saya membeli laptop baru kerana ternyata paparan skrinnya masih tidak stabil. Sekejap gelap dan sekejap lagi terpapar semula. Ia masih perlu dihantar ke pusat servis untuk diperiksa masalah sebenarnya. Jika tidak, pasti saya tidak dapat menyiapkan tugasan pada masa yang ditetapkan.

Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri. Ini sebahagian daripada dugaan yang perlu saya tempuh sebagai seorang pelajar. Syukur ia rosak sewaktu saya menyiapkan tugasan rutin. Bayangkan jika ia rosak sewaktu saya sedang menyiapkan projek akhir. Tidak terbayang bagaimana gusarnya saya jika itu yang berlaku. Ada pengajaran yang ingin Allah sampaikan kepada saya iaitu jangan suka bertangguh. Saya sering berniat untuk menyimpan fail sebagai back up di dalam external hard disk tetapi niat hanya tinggal sekadar niat sehingga kejadian ini. Selepas kejadian itu, saya akan pastikan setiap tugasan yang dibuat di laptop akan segera disalin ke dalam external hard disk.

Jangan suka bertangguh!

Monday, November 14, 2011

Selamat Hari Lahir Abah

Bismillahirrahmanirrahim...




14 November ~ Hari ini Abah genap berusia 65 tahun. Sanah hilwah ya Abi. Jasamu membesarkan daku tidak mungkin dapat kubalas. Kasih sayangmu yang sering dilahirkan melalui perbuatan amat menyentuh hatiku. Hanya doa mampu kupanjatkan semoga Abah terus dipanjangkan usia dan dikurniakan kesihatan yang baik. Semoga daku sempat membahagiakanmu di sepanjang baki usia yang masih tersisa ini. Amin.

Thursday, November 10, 2011

Malu Pada Diri Sendiri

Bismillahirrahmanirrahim...

Jika dirujuk kepada kalendar akademik yang dibekalkan oleh UTM pada awal semester, 7 - 13 November 2011 merupakan cuti pertengahan semester. Namun saya dan rakan-rakan telah diminta untuk menghadiri satu kursus semasa tempoh tersebut dan ia penting sebagai persediaan kami untuk memulakan projek. Maka tiada cuti pertengahan semester bagi kami dan proses pembelajaran diteruskan seperti biasa. Inilah pengorbanan yang harus dilakukan demi sebuah kejayaan.

Setiap hari saya akan bertolak pada jam 8 pagi untuk ke UTM dan kelas akan bermula pada jam 9 pagi hingga 4.30 petang. Ia memang agak meletihkan kerana kandungan subjek yang sebelum ini saya pelajari selama 6 minggu di INTAN, perlu dikhatamkan dalam tempoh 4 hari sahaja. Walau bagaimanapun, saya benar-benar bersyukur kerana setidak-tidaknya saya pernah mempelajarinya dan ia sangat membantu saya sepanjang mengikuti kursus tersebut.

Petang tadi, usai tamat kelas pada jam 4 petang (mujur kelas tamat awal), saya terus pulang ke rumah untuk solat Asar dan menukar pakaian sebelum bertolak ke Masjid Al-Hasanah, Bangi atau saya lebih gemar memanggilnya sebagai masjid hijau. Hati saya tiba-tiba menjadi sangat berat untuk keluar meninggalkan rumah setelah seharian kepenatan mengikuti kursus. Namun saya lawan perasaan itu kerana mengenangkan janji yang telah dibuat untuk menghadirinya. Akhirnya, saya gagahkan juga diri untuk memandu ke masjid.

Setibanya di sana, saya amat terkesan dengan kegigihan orang kuat usrah, Farwina, yang sanggup datang bersama bayi yang baru berusia 30 hari. Saat itu hati saya berkecamuk, menyesali keadaan diri sendiri yang hampir-hampir terpedaya dengan bisikan syaitan. Kemudian saya temui lagi beberapa orang ahli usrah sambil menunggu ketibaan naqibah yang belum kami kenali.

Akhirnya, naqibah yang dinanti tiba dan kami beredar ke sebuah ruang bilik untuk memulakan sesi usrah. Sesi dimulakan dengan bacaan Al-Quran secara bergilir-gilir dan diteruskan dengan sesi ta'aruf atau perkenalan. Antara perkara yang disebut oleh naqibah dan benar-benar menyentuh hati saya adalah bahawa jika penat lelah yang kita harungi dalam hidup ini adalah demi untuk mendapatkan keredhaan Allah, maka kita beruntung. Sekali lagi, saya merasa malu dengan diri sendiri kerana mempunyai perasaan malas malah hampir-hampir membatalkan niat untuk menghadirinya kerana terlalu megikut perasaan yang merasakan kepenatan. Hakikatnya, apabila kita melakukan sesuatu yang baik dan bermanfaat maka kepenatan itu akan beransur pergi tanpa kita sedari.

Memandangkan waktu Maghrib masuk awal iaitu sekitar jam 6.58 malam, maka kami tamatkan sesi tersebut untuk menunaikan solat serta berjanji untuk pertemuan seterusnya pada 22 November 2011 di tempat yang sama.


Selingan:
Usai solat Isyak, saya dan seorang teman sempat singgah di Restoran JM Bariani, Bangi kerana belum sempat untuk mengisi perut sebelum menyertai sesi usrah.  Saya beri kredit kepada tempat ini kerana layanan yang baik, servis yang cepat dan harga yang berpatutan. Ia pasti jadi lokasi pilihan saya pada masa hadapan.

Menu Untuk Pilihan

Pilihan saya - Mee Udang

Monday, November 7, 2011

Sekitar Aidiladha 1432H

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya pulang ke kampung bersama adik-adik untuk menyambut Aidiladha pada hari Sabtu (5 November 2011). Kami bertolak dari teratak saya pada jam 7.30 pagi dan seperti dijangka, kami perlu menempuh lautan kenderaan di sepanjang Lebuhraya Karak. Kesesakan hanya berkurangan sebaik kami memasuki Lebuhraya Pantai Timur. Alhamdulillah perjalanan selepas itu lancar sehingga kami tiba di destinasi meskipun jumlah kenderaan lebih banyak daripada biasa. Malah kelihatan semua hentian R&R dipenuhi dengan kenderaan sehingga melebihi kawasan yang disediakan. Situasi sebegini adalah normal bagi kami yang sering berulang-alik ke kampung terutama jika ada cuti umum.

Lautan kenderaan di Lebuhraya Karak
Oleh kerana kami berpuasa pada hari tersebut, kami tidak perlu memikirkan untuk mencari tempat makan tengahari dan meneruskan perjalanan sehingga tiba di kampung.

Solat sunat Aidiladha pada tahun ini kami tunaikan di surau Haji Hitam, Alur Tembesu kerana Abah telah diarahkan untuk mengetuai solat sunat di sana. Ia satu pengalaman yang baru iaitu menunaikan solat di surau kerana sebelum ini kami sering menunaikannya di masjid sahaja.

Usai solat sunat Aidiladha, kami terus pulang ke rumah kerana Abah telah diamanahkan oleh saudara mara untuk menyembelih haiwan korban bagi pihak mereka. Lalu kami semua turut menyertai Abah untuk melihat sendiri cara penyembelihan dilakukan. Ada 2 ekor lembu telah disembelih oleh Abah namun berlaku insiden kecil semasa ingin menyembelih lembu kedua apabila ia naik angin setelah melihat lembu pertama dibaringkan untuk dikorbankan. Menyedari kesilapan tersebut, mereka yang memegang lembu tersebut telah bertindak mengambil lapisan khemah untuk menghalang pandangan lembu kedua daripada melihat lembu pertama disembelih. Ternyata tindakan tersebut sudah agak terlambat dan usaha untuk mengorbankan lembu kedua sedikit rumit sehingga hampir-hampir ia terlepas dari ikatan. Mujurlah Abah terus bertahan seorang diri memaut tali yang mengikat lembu tersebut sedangkan lelaki-lelaki yang lebih muda sudah bertempiran melarikan diri. Risau juga jika selepas ini Abah akan sakit urat pula selepas insiden tersebut.


Abah sedang menyembelih lembu sambil kami bertasbih beramai-ramai
Akhirnya, kedua-dua ekor lembu tersebut telah berjaya ditumbangkan dan dagingnya dibahagi-bahagikan kepada golongan yang layak. Kami pula terus beredar dari situ dan pulang ke rumah. Acara kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara hanya kami teruskan pada sebelah petangnya selepas merehatkan diri sebentar pada waktu tengahari.

Secara peribadi, saya sendiri menyertai Qurban yang dianjurkan oleh syarikat swasta di Kemboja. Jika sebelum ini saya memilih syarikat EZQurban, pada tahun ini saya menyertai syarikat Al-Ameen Service pula. Jauh di sudut hati, saya merasakan alangkah lebih baik jika kami adik-beradik dapat berpakat untuk melaksanakan Qurban sesama kami sahaja jika dipanjangkan usia pada tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya. Itu harapan saya, insyaAllah.

Pada sebelah malam pula, kami mengambil peluang untuk makan malam di Mayang Sari Resort, sebuah tempat penginapan yang terletak tidak jauh daripada rumah kami dan betul-betul berhadapan dengan Pantai Teluk Lipat. Nampaknya kami langkah kiri kerana menerima servis yang sangat lambat walaupun harga yang dikenakan agak mahal juga. Bayangkan pesanan untuk minuman hanya diterima selepas 40 minit pesanan dibuat. Bayangkan pula tempoh makanan dihidangkan kepada kami selepas itu. Rasanya ini kunjungan kami yang pertama dan terakhir ke situ.

Pagi esok pula, kami akan bertolak awal pagi untuk pulang ke KL dan perlu tiba sebelum jam 6 petang kerana adik lelaki bongsu, Pak Soo, perlu melaporkan diri semula di PULAPOL.

Sambutan Aidiladha kami pada tahun ini nyata sangat sederhana. Yang penting, kami adik-beradik dapat berkumpul bersama Abah dan Ummi.

Tuesday, November 1, 2011

Kuasa Imaginasi

Bismillahirrahmanirrahim...

Hujung minggu lepas iaitu pada hari Ahad, saya telah meluangkan masa untuk menghadiri satu kursus yang dinamakan Kisah Transformasi 360. Ia dikendalikan oleh seorang doktor perubatan bernama Dr. Noordin Darus (DND). Penyertaan saya dalam kursus ini sebenarnya adalah secara tidak sengaja iaitu semasa saya melayari Internet untuk mencari maklumat tentang kursus-kursus soft skills yang boleh saya ikuti semasa sedang cuti belajar ini. Tambahan pula, sejak dari dulu lagi saya memang gemar menghadiri sebarang kursus atau program yang saya rasakan boleh memberi ilmu baru kepada saya di samping menambahkan keyakinan diri apabila berada dalam kelompok manusia yang belum dikenali. Pelbagai kursus telah saya ikuti sebelum ini dan kosnya saya tanggung sendiri kerana saya fikir tidak rugi untuk melaburkan sedikit wang demi kebaikan diri sendiri. Lantas, apabila terbaca tentang kursus tersebut, saya segera mendaftarkan diri dan menjelaskan bayaran penyertaan sebanyak RM50. Lokasi kursus adalah di dewan Plenary, SACC Mall, Shah Alam bermula pada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Ini merupakan kali pertama saya mengikuti kursus kendalian DND walaupun sebelum ini sudah mengetahui sedikit sebanyak tentang latar belakang beliau. Malah mereka yang sebaya atau hampir sebaya dengan saya pasti masih mengingati aksi Dr. Noordin yang mengajar cara senaman melalui rancangan Selamat Pagi Malaysia dan juga rancangan TV Pendidikan di sekolah satu masa dahulu.

Sebelum ini juga saya pernah terbaca tentang cerita beliau yang diuji dengan penyakit kanser dan telah sembuh sepenuhnya selepas menemui rahsia dan kuasa air. Hasilnya, penemuan itu telah beliau komersilkan dan dijual melalui syarikat milik beliau sendiri. Kini, apabila telah berjaya, beliau ingin berkongsi rahsia kejayaan atau jatuh bangun dalam perniagaan sebelum mencapai kejayaan seperti hari ini.

Namun begitu, pada penghujungnya, saya dapati objektif sebenar kursus 3 jam tersebut hanya sebagai preview kepada kursus 2 hari yang dijadualkan pada bulan Disember kelak dan bayaran yang dikenakan adalah lebih tinggi. Meskipun saya tiada niat untuk menyertai kursus tersebut pada masa akan datang, kehadiran saya pada sesi review tersebut sedikit sebanyak memberi ilmu yang boleh dipraktikkan jika ingin menjadi lebih berjaya. Malah, kalau boleh saya katakan, ia lebih kepada mengingati kembali (refresh) kerana ilmu-ilmu yang pernah dipelajari tetapi berkubur dek kerana tidak dipraktikkan dengan sebenar-benarnya.

Umpamanya, saya pernah beberapa kali sebelum ini membaca dan mengikuti kursus kendalian motivator yang menerangkan tentang kuasa imaginasi. Menurut mereka, imaginasi yang spesifik akan menguatkan lagi keinginan kita untuk berusaha dan mencapai kejayaan yang diinginkan. Dalam erti kata lain, kemampuan kita untuk menggambarkan atau membayangkan 'wajah' kejayaan yang ingin dicapai, akan meningkatkan lagi peratusan untuk menjadikannya satu kenyataan. Sebagai contoh, jika seseorang itu menginginkan pada suatu hari nanti untuk memiliki sebuah kereta mewah, maka dia harus membayangkan perkara-perkara berikut:
  1. Apakah jenis kereta tersebut?
  2. Berapakah jumlah tempat duduk di dalamnya?
  3. Apakah warna kereta tersebut?
  4. Berapakah kekuatan enjin kereta tersebut?
  5. Adakah tempat duduknya disaluti kain atau kulit?
  6. Di sebelah manakah kedudukan ahli keluarga kelak semasa membawa mereka menaikinya?

dan pelbagai lagi soalan berkaitan yang membayangkan apakah yang ingin dilakukan terhadap kereta tersebut dan ciri-ciri yang perlu ada padanya. Seringkali yang berlaku adalah kita sendiri gagal memahami dan menjelaskan kemahuan sebenar kita terhadap sesuatu objek atau perkara. Kita hanya sekadar melafazkan keinginan untuk memilikinya di bibir sahaja tetapi tidak menyematnya dengan sungguh-sungguh di hati dan minda kita. Justeru, ketidaksungguhan itu dikatakan sebagai salah satu punca kegagalan mencapai apa yang kita inginkan.

Saya akui ada kebenaran dalam teori tersebut malah teknik tersebut pada pandangan saya, boleh disamakan dengan sifat seseorang yang berwawasan. Seorang yang mempunyai visi dan matlamat yang jelas tentang destinasi yang ingin dituju dan lanskap yang mewarnainya. Kesungguhan ini juga sepatutnya diterjemahkan dalam doa yang setiap hari kita panjatkan kepada Allah Taala dengan menyatakan sejelas-jelasnya keinginan sebenar kita kepada Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Jauh juga saya termenung, menenggelamkan diri, merenung kebenaran di sebalik kenyataan itu. Apakah selama ini saya gagal menggambarkan dengan sejelas-jelasnya tentang apa yang saya inginkan sehingga kekadang saya gagal untuk memperolehnya? Pun begitu, sebagai seorang Muslim, pemahaman sebegini tidak pula bermakna kita bersikap mengenepikan elemen takdir dan tawakal. Sejauh mana pun usaha yang kita lakukan, sekuat mana kudrat pun yang kita curahkan, titik penentu muktamad hanya padaNya jua. Pun begitu, Dia Maha Adil. Telah dijanjikan, Dia pasti memberi kepada yang meminta dengan bersungguh-sungguh malah kekadang apa yang diberiNya jauh lebih baik dari apa yang kita pohon. Subhanallah.

Masih ada beberapa perkara lagi yang DND kongsikan semasa kursus tersebut tetapi saya masih belum berkesempatan untuk mencoretkannya di blog ini. InsyaAllah sebaik berkelapangan (lusa saya akan menduduki ujian), akan cuba saya kongsikan untuk manfaat bersama.