Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, October 26, 2011

Semalam di Pulau Mutiara - Episod Akhir

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari kedua dimulakan seawal jam 7 pagi. Jika diikutkan hati, memang saya hanya ingin melelapkan mata sahaja tetapi apabila mengenangkan peluang sebegini tidak akan berulang, saya gagahkan diri untuk bangun dan bersiap. Sebenarnya kami sudah merancang untuk berjalan-jalan sekitar kawasan sawah padi. Syukur saya diberi peluang untuk menikmati keindahan udara segar kampung. Ia sungguh mendamaikan apabila menyusuri kawasan sawah padi yang saujana mata memandang dan dihiasi oleh bunyi kicauan beburung yang terbang mencari rezeki.



Hampir 1 jam juga kami meluangkan masa berjalan-jalan dan mengeluarkan peluh. Saya tidak menyesal langsung mengorbankan masa tidur untuk menikmati keindahan suasana pagi :)

Usai bersarapan, kami segera bertolak ke destinasi pada hari ini iaitu Pulau Aman. Dalam perjalanan, kami sempat singgah sebentar di pejabat tempat Sharliza bertugas untuk mencetak tiket bas saya. Dari situ, kami meneruskan perjalanan ke jeti Batu Musang untuk menaiki bot ke Pulau Aman. Kadar tambang yang dikenakan untuk perjalanan dua hala adalah RM6 seorang sahaja untuk perjalanan yang memakan masa lebih kurang 20 minit sahaja. Malah perkhidmatan bot merupakan antara sumber pendapatan utama penduduk Pulau Aman selain kegiatan menangkap ikan.



Mujur juga kami tiba awal di jeti tersebut kerana tidak perlu berebut-rebut dengan pengunjung lain yang juga ingin ke sana. Ia merupakan antara lokasi kegemaran penggemar makanan laut kerana mereka boleh membeli makanan laut yang segar daripada nelayan yang baru pulang dari laut. Di samping itu, kami boleh melawat kawasan sekitar sebelum menikmati hidangan makan tengahari di sebuah restoran terapung yang dikendalikan oleh salah seorang penduduk di situ. Untuk melawat pulau tersebut, pengunjung boleh menyewa basikal daripada penduduk kampung pada kadar RM2 sejam tetapi kami memilih untuk berjalan kaki sahaja. Setidak-tidaknya dapat juga mengeluarkan peluh di samping laluan yang saya dapati kurang sesuai untuk dilalui dengan basikal berikutan kedudukan rumah yang terlalu dekat antara satu sama lain.



Bagi yang ingin menginap di pulau ini terutama kaki pancing, mereka boleh menyewa homestay milik penduduk atau chalet yang dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia pada kadar yang berpatutan. Bagi yang sudah biasa dengan pulau ini, mereka akan datang bersama keluarga untuk mencari siput biji nangka (saya memanggilnya remis) yang amat mudah diperoleh apabila air surut. Saya memang kagum dan teruja melihat betapa mudahnya untuk memperoleh hasil siput biji nangka di sebalik pasir yang dikuis. Hasilnya memang cukup berbaloi dan memuaskan hati. Dek kerana begitu teruja melihat keasyikan sebuah keluarga mencari siput biji nangka, saya dekati mereka dan bertanya lebih lanjut tentang aktiviti yang sedang mereka lakukan. Ternyata ia merupakan aktiviti rutin keluarga mereka pada hujung minggu malah terdapat beberapa keluarga lain yang turut menjalankan aktiviti yang sama.


Kemudian kami teruskan perjalanan ke sebuah lokasi yang dinamakan Telaga Emas. Telaga tersebut dinamakan dengan nama tersebut berdasarkan sebuah cerita yang mengatakan orang pertama yang menggali telaga tersebut telah menemui emas sewaktu mencangkul. Walau bagaimanapun, apabila dianalisa oleh British yang berada di Pulau Pinang pada waktu itu, batu tersebut bukanlah emas sebaliknya hanya sebongkah batu yang berwarna keemasan. Saya cuba untuk merasai kandungan air telaga tersebut dan ternyata ia terasa tawar meskipun terletak bersebelahan dengan air laut.


Tanpa disedari, hari sudah semakin meninggi dan perut juga sudah terasa lapar minta diisi. Kami segera menuju ke restoran terapung berdekatan jeti untuk menikmati hidangan istimewa yang disediakan di situ iaitu mee udang. Dek kerana terlalu dahaga, kami memesan 4 gelas air (teh ais masih belum tiba). Namun ada satu kekurangan jika mahu makan di sini iaitu pelanggan perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi untuk berdepan dengan pemilik restoran yang agak 'kurang ajar' ketika melayan pelanggan. Malah Sharliza sudah terlebih awal mengingatkan saya kepada situasi ini. Mungkin kerana dia sudah mengetahui sikap cerewet saya apabila berhadapan keadaan sebegini. Justeru, saya hanya membiarkan sahaja tingkah 'kurang ajar' tersebut asalkan pesanan yang dibuat disempurnakan oleh mereka. Pada pengamatan saya, mereka bersikap begitu kerana hanya itulah satu-satunya restoran yang beroperasi di situ. Yang lain-lain, cuma gerai kecil dan ala kadar sahaja.




Kami tinggalkan Pulau Aman sekitar jam 1.30 petang dan terus bergerak ke Penang Sentral kerana bas saya dijadualkan akan bertolak pada jam 3.00 petang. Alhamdulillah kami tiba awal di sana dan sempat menunaikan solat terlebih dahulu di masjid berhampiran.



Saya tinggalkan Pulau Pinang dengan niat untuk kembali lagi bersama Abah, Ummi dan adik-adik suatu hari nanti. Masih banyak tempat-tempat menarik yang belum saya terokai di sini malah masih ada satu janji yang perlu saya penuhi iaitu makan tengahari bersama emak Sharliza. Sedih pula apabila emak Sharliza menyatakan rasa terkilan tidak dapat menjamu saya untuk makan tengahari di rumahnya kerana kunjungan saya yang begitu singkat. InsyaAllah, saya akan kembali lagi untuk memenuhi janji itu.

2 comments:

Uncle said...

Salam.

Walaupun Uncle membesar di Penang dan bersekolah jugak disana, tapi pasal apalah Uncle sendiri tak pernah merayap ke pulau aman!!!

Carrie-Ma said...

Salam uncle,

maknanya penang tu bukan dalam tangan uncle lagi lah hehe. takpe, ada masa lagi utk jejak lepas ni . lagipun, biasalah uncle. mcm saya org terengganu, sah2 tak semua tempat saya dah jejak.