Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, October 26, 2011

Semalam di Pulau Mutiara - Episod 1

Bismillahirrahmanirrahim...

2 minggu lepas saya meluangkan masa untuk memenuhi janji kepada seorang teman baik, Sharliza, yang juga sudah saya anggap seperti adik sendiri di Pulau Pinang. Sudah beberapa kali sebenarnya saya berjanji untuk melawatnya tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa membatalkannya. Kali ini saya nekad untuk meneruskan perancangan yang telah dibuat. Awal-awal lagi saya sudah menempah tiket pergi dan balik ke sana. Memang menjadi tabiat saya menggunakan pengangkutan yang berbeza untuk pergi dan balik setiap kali berkunjung ke sesuatu tempat. Alasannya adalah supaya saya melalui pengalaman yang berbeza sewaktu pergi dan balik ke sesuatu destinasi.

Untuk perjalanan kali ini, saya tempah tiket penerbangan Firefly untuk perjalanan pergi dan tiket bas Transnasional untuk perjalanan pulang. Memandangkan saya perlu menaiki penerbangan di Terminal Subang, bantuan adik perempuan (MakTeh) diperlukan untuk menghantar saya ke sana. Penerbangan jam 9.55 pagi berjalan lancar dan saya tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas lebih kurang jam 11.00 pagi.

Tiba di sana, destinasi pertama yang kami kunjungi adalah Rumah P.Ramlee. Kami menghabiskan masa hampir 1 jam di situ dan banyak perkara menarik mengenai legenda negara ini yang saya ketahui. Menatap gambar-gambar arwah sepanjang hayat bergelar anak bangsawan menambahkan kekaguman saya terhadap bakat yang dimiliki oleh beliau. Nyata filem nukilan beliau jauh lebih besar dari sekadar sebuah filem berbentuk hiburan tetapi mengandungi mesej yang cukup mendalam. Jika slogan 1Malaysia baru diperkenalkan akhir-akhir ini, pada pengamatan saya, filem-filem beliau telah lebih awal memaparkan elemen tersebut.




Dari Rumah P.Ramlee, saya dibawa oleh Sharliza pusing-pusing sekitar bandar dan singgah untuk membeli samosa kegemarannya. Satu perkara yang memang tidak dapat dielakkan apabila berkunjung ke Pulau Pinang adalah menikmati makanannya yang pelbagai. Sebelum ini saya pernah beberapa kali berkunjung ke Pulau Pinang namun atas urusan rasmi sahaja. Justeru, saya tidak berpeluang untuk menerokai dan menikmati pelbagai makanan dan tempat-tempat menarik di sekitarnya. Meskipun kunjungan kali ini hanya semalam, saya cuba untuk menikmatinya dengan sebaik mungkin bersama Sharliza.


Seterusnya, kami singgah di Padang Kota Lama untuk menikmati mee goreng sotong dan ABC. Aduhai, ia memang menepati selera dan citarasa saya. Tanpa dirancang, di situ saya telah bertemu dengan seorang teman yang berkhidmat di sana.


Pertemuan yang tidak dirancang
Usai makan, kami melawat tempat bersejarah iaitu Fort Cornwallis. Ia terletak berdekatan dengan medan selera Padang Kota Lama dan bayaran sebanyak RM2 dikenakan sebagai tiket masuk.



Dari Padang Kota, kami menuju ke terminal feri untuk yang juga terletak tidak jauh dari situ. Ini merupakan pengalaman pertama saya dalam seumur hidup menaiki feri di Pulau Pinang dan saya tidak dapat mengelak untuk merasa teruja. Menariknya, tiada sebarang bayaran dikenakan bagi perjalanan keluar daripada bandar dan perjalanan hanya memakan masa lebih kurang 20 minit sahaja.



Tiba di seberang, kami sempat singgah sebentar di stesen keretapi Butterworth yang terletak berdekatan dengan terminal feri. Ia stesen yang pernah saya kunjungi lebih 10 tahun yang lalu iaitu sewaktu dalam perjalanan menuju ke Arau. Perjalanan kami dilencongkan ke stesen Butterworth kerana berlaku kemalangan di laluan yang sepatutnya kami lalui.


Penat meronda-ronda, perut juga sudah berkeroncong minta diisi. Dari situ, kami bergerak ke sebuah restoran bernama Puncak Mutiara yang terletak di Kampung Pelet di daerah Bukit Mertajam. Secara kebetulan, tempat tersebut terltak tidak jauh daripada rumah Sharliza. Kami tiba di situ sekitar jam 7.30 malam dan masih banyak tempat kosong yang belum dipenuhi oleh pelanggan. Saya puji dengan sistem pengurusan di sini dalam memenuhi pesanan pelanggan. Bukan sahaja tempat yang disediakan selesa, hidangan makanan yang pelbagai tetapi juga tempoh menyiapkan pesanan yang berpatutan. Malah pada saya, harganya juga berbaloi dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Sudah pasti saya akan kembali lagi ke sini bersama Abah dan Ummi serta adik-beradik yang lain pada masa akan datang, insyaAllah.


Kami tinggalkan kafe tersebut pada jam 9.30 malam dan terus pulang ke rumah Sharliza yang terletak di Penaga. Usai mandi, kami terus melelapkan mata kerana masih ada misi yang perlu kami penuhi pada keesokkan harinya.

No comments: