Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, October 13, 2011

Pengorbanan

Bismillahirrahmanirrahim...

Di sebalik setiap kejayaan yang diraih, ada harga sebuah pengorbanan yang harus dibayar. Meskipun sudah hampir sebulan bergelar mahasiswa, saya masih lagi dalam fasa penyesuaian terutama apabila berdepan dengan timbunan tugasan yang bertali arus. Ia sedikit sebanyak menyebabkan banyak masa saya dihabiskan untuk menyempurnakan tugasan-tugasan tersebut. Namun saya tidak merasakan ia satu beban kerana seperti saya nyatakan dalam entri terdahulu, saya gemar bergelumang dalam alam akademik.

Subjek pertama yang harus saya ambil adalah pengaturcaraan (programming). Terus-terang, ia bukan subjek yang saya gemari malah antara sebab saya memilih Kejuruteraan Mekatronik di peringkat ijazah sarjana muda adalah kerana saya kurang menggemari subjek pengaturcaraan di bawah Kejuruteraan Komputer. Kali ini saya tiada pilihan kerana ia adalah subjek yang wajib dipelajari di dalam program Pengurusan Teknologi Maklumat yang sedang saya ikuti sekarang. Begitulah kehidupan, seringkali perkara yang kurang kita gemari dan cuba elakkan itulah yang sering mendekati kita malah tanpa kita sedari, ia yang terbaik buat diri kita. Pembelajaran pada kali ini agak mencabar kerana sudah hampir 9 tahun saya meninggalkannya dan langsung tidak dipraktikkan sewaktu di alam pekerjaan. Ia satu cabaran yang agak besar buat saya kerana rata-rata teman sepengajian adalah terdiri di kalangan pengaturcara (programmer) dan pensyarah yang terlibat dalam bidang tersebut sedangkan saya datang dari bidang pengurusan. Malah pensyarah subjek juga agak terkejut apabila saya maklumkan latarbelakang pekerjaan saya yang agak menyimpang daripada program yang sedang saya ikuti. Menurut beliau, program ini selalunya diambil oleh mereka yang terlibat dalam bidang pengajaran atau setidak-tidaknya bekerja dalam bidang tersebut secara langsung. Sedikit sebanyak perasaan saya agak tergugat juga dengan komen pensyarah tetapi saya punya alasan tersendiri memilih untuk mengikuti pengajian ini. Saya yakin ada hikmah yang belum saya ketahui di sebalik keputusan saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini. Cabarannya, saya perlu bekerja lebih keras berbanding teman-teman sepengajian yang lain malah perlu meluangkan lebih masa untuk kembali memahami subjek yang pernah saya pelajari tetapi tidak pernah saya amalkan. Benarlah, ilmu tanpa amal ibarat pohon yang rendang tetapi tidak mengeluarkan buah.

Memandangkan subjek tersebut hanya sebuah subjek pengenalan ringkas, ia dihabiskan dalam tempoh 5 hari sahaja dan ujian diadakan pada minggu berikutnya. Saya agak tertekan kerana merasakan masa yang tersedia tidak mencukupi untuk membolehkan saya memahami semula kandungan subjek dan bersedia untuk berdepan dengan ujian. Seperti dijangka, saya gagal menjawab ujian yang diberikan dengan baik. Saya sedih dan terdetik di hati untuk mengugurkan sahaja subjek tersebut pada semester ini. Fikiran saya buntu mengenangkan keputusan yang akan saya terima bagi subjek tersebut. Perasaan juga berbelah bagi sama ada menerima sahaja keputusannya kelak atau menggugurkannya terlebih dahulu.

Dalam kebuntuan itu, saya menerima e-mel mengandungi jadual waktu bagi pengajian separuh masa yang diadakan pada setiap hujung minggu. Lantas saya cuba menghubungi seorang pelajar separuh masa untuk mengetahui kedudukan pengajian mereka bagi subjek berkenaan. Alhamdulillah, ia merupakan kelas pertama mereka. Lalu saya hubungi pensyarah untuk mendapatkan pandangan kedua berhubung keadaan saya kerana tidak yakin akan lulus subjek berkenaan. Saya mohon juga kebenaran agar diberi peluang kedua untuk menduduki semula ujian berkenaan. Lega apabila pensyarah memahami kesulitan yang saya hadapi dan mengizinkan saya untuk mengikuti kelas bersama pelajar separuh masa dan seterusnya menduduki semula ujian.

Pada masa yang sama, saya sudah membelikan tiket kapal terbang untuk Abah dan Ummi datang ke KL pada hari Sabtu kerana kami merancang untuk menjenguk cucu baru di Tanjung Malim. Perancangannya, saya akan menjemput Abah dan Ummi di KLIA, singgah mengambil adik perempuan (MakTeh) di Sri Damansara dan terus menuju ke Tanjung Malim. Justeru, saya jadi tersepit antara pelajaran dan perancangan yang telah dibuat bersama keluarga. Meskipun prinsip dan keutamaan saya adalah keluarga, dalam keadaan ini, saya jadi keliru kerana ia turut melibatkan masa hadapan saya sendiri. Secara kebetulan, MakTeh pula perlu menghadiri kursus pada hari Sabtu. Akhirnya saya hubungi adik lelaki (BaYu) meminta bantuan untuk menjemput Abah dan Ummi bagi pihak saya dan membawa keduanya ke Tanjung Malim. Saya pula akan menyusul kemudian sebaik tamat kelas bersama MakTeh.

Tersentuh juga hati ini apabila mendengar Abah berkata,

"Dia yang suruh orang datang, dia pula yang ada kelas."

Lalu saya katakan kepada Abah bahawa inilah dinamakan Qada' dan Qadar. Sesungguhnya kita hanya mampu merancang dan Dia jua yang menentukannya. Hanya kepadaNya saya berserah semoga Abah dan Ummi memahami keadaan saya ini.

Seperti dijanjikan, usai tamat kelas jam 5 petang, saya terus menuju ke rumah  MakTeh dan bergerak ke Tanjung Malim untuk menemui Abah dan Ummi. Mereka bermalam di sana sementara saya terpaksa bertolak pulang pada malam itu juga kerana perlu menghadiri kelas pada keesokan paginya. Ia satu perjalanan yang cukup meletihkan tetapi demi Abah dan Ummi, saya gagahkan jua untuk hadir. Keesokan harinya, saya aturkan untuk meraikan Abah, Ummi dan adik-adik untuk makan tengahari di Restoran Nelayan di Tasik Titiwangsa. Saya memilih tempat itu kerana terletak berdekatan dengan UTM dan mudah untuk saya bergegas ke sana sebentar untuk makan tengahari bersama mereka. Alhamdulilllah, kami sempat makan bersama meskipun hidangan yang ditempah tidak seperti diharapkan. Usai makan tengahari, saya bergegas kembali semula ke UTM untuk meneruskan pembelajaran.

Untuk menggantikan masa yang tidak dapat diluangkan bersama Abah dan Ummi pada hujung minggu, saya ambil keputusan untuk membawa Abah dan Ummi berkunjung ke rumah abang kedua (BaAn) di Ulu Tiram, Johor. Mujur juga tiada sebarang kelas perlu saya hadiri pada hari Isnin dan Selasa. Kami tiba di sana lebih kurang jam 5.30 petang dan pemanduan ke sana selama hampir 4 jam agak memenatkan juga. Malamnya, BaAn dan keluarga membawa kami berjalan-jalan dan makan malam di sebuah restoran makanan laut. Memandangkan Abah dan Ummi akan bertolak pulang ke kampung pada jam 12.45 tengahari pada hari Selasa, kami bertolak pulang seawal jam 8.00 pagi. Saya terpaksa memandu dengan kelajuan purata 140 km/j untuk mengejar masa penerbangan. Alhamdulillah, kami berjaya tiba di LCCT pada jam 11.20 pagi dan terus bergegas untuk mendaftar masuk. Tanpa disangka, pendaftaran masuk sendiri di mesin telah disekat atas alasan ia sudah melebihi masa yang ditetapkan iaitu 2 jam lebih awal. Lalu saya utarakan masalah kepada petugas kaunter pelanggan tetapi menerima respon yang kurang menyenangkan malah diminta untuk membayar RM10 untuk membolehkan pendaftaran masuk dibuat. Ia cukup menyakitkan hati saya dan diringkaskan cerita, saya akhirnya berjaya mendaftar masuk Abah dan Ummi tanpa sebarang caj tambahan. Walau bagaimanapun, ia satu pengalaman yang cukup menyakitkan hati dan menambahkan rasa geram terhadap pengurusan AirAsia yang semakin menyerupai ASTRO. Segala-segalanya berasaskan keuntungan semata sedangkan perkhidmatan disediakan tidak mencapai standard yang memuaskan hati pelanggan.

Pada pagi hari Rabu pula, abang ketiga (BaHa) tiba bersama keluarga kerana akan mengikuti bengkel di Klang. Tanpa dirancang, saya diajak oleh BaHa untuk menemaninya ke pejabat peguam untuk menyelesaikan urusan pembelian rumah yang telah sekian lama tertangguh. Mujur juga kelas saya pada hari tersebut telah ditunda kepada tarikh lain. Maka seharian saya menemani BaHa membantu menguruskan hal tersebut.

Hari ini pula seharian saya di UTM menghadiri kuliah untuk subjek seterusnya. Bila difikirkan kembali, benar saya letih ke sana ke mari di samping berdepan dengan tugasan yang tidak putus-putus, namun saya insaf tiada perkara yang percuma dalam hidup ini. Ada harga yang harus dibayar untuk mendapatkannya dan saya tidak menyesal menghabiskan masa, tenaga dan wang demi keluarga sendiri. Mungkin ini harga sebuah pengorbanan yang harus saya bayar untuk meraih sebuah kejayaan. Saya cuma berdoa agar Allah memberikan saya kesihatan yang baik agar tidak perlu membebankan dan manyusahkan mana-mana ahli keluarga terutama Abah dan Ummi.

No comments: