Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, October 29, 2011

Lain Padang Lain Belalang

Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap minggu, saya perlu hadir ke UTM KL sekurang-kurangnya 3 kali untuk menghadiri kelas yang telah dijadualkan. Namun kadang-kadang jumlah itu akan bertambah jika ada urusan lain yang perlu saya selesaikan seperti berjumpa dengan pensyarah dan mendapatkan bahan tambahan untuk tugasan yang diberikan. Bagi semester ini, rakan sekelas pula hanya seramai 6 orang sahaja dan hanya 2 orang (termasuk saya) adalah warga Malaysia. Selebihnya adalah 3 orang warga Iran dan seorang warga Nigeria. Saya akui agak janggal bergaul dengan mereka selepas beberapa tahun berada dalam dunia selesa di alam pekerjaan. Saya perlu menyesuaikan diri untuk memahami sikap dan budaya mereka untuk memudahkan saya berhadapan dengan mereka apabila perlu menyelesaikan tugasan bersama kelak. Ia memang jauh berbeza dengan budaya orang Malaysia terutama apabila berhadapan dengan pensyarah. Tindakan salah seorang daripada warga Iran semalam cukup mengganggu saya malah membuatkan saya jadi sedikit sedih.

Minggu lepas, pensyarah telah mengedarkan sebuah artikel kepada kami sebagai salah satu bacaan tambahan kepada subjek yang sedang kami pelajari. Semalam kami telah ditanya oleh pensyarah sama ada kami telah membaca artikel tersebut atau tidak kerana beliau ingin membincangkan beberapa perkara tentang kandungannya. Sejujurnya, saya juga bersalah kerana belum membaca artikel tersebut tetapi saya hanya mendiamkan diri sahaja dan menerima kesalahan yang telah dilakukan. Namun respon salah seorang daripada warga Iran terhadap pertanyaan pensyarah membuatkan saya benar-benar terkejut,

"Prof., it's true that you gave this article to us but you didn't mentioned that it is important and we need to read it because you want to discuss it today."

"So, it's my fault for not telling you that you must read this article?" soal pensyarah kepada warga Iran tersebut dalam nada yang dapat saya rasakan agak tidak selesa.

"Yes!" balas warga Iran itu dengan yakin dan membuatkan saya lebih tersentak.

Saya langsung tidak menyangka yang warga Iran tersebut sanggup bertindak sebegitu kepada pensyarah yang pada pandangan saya, seorang yang amat baik dan bertimbang rasa.

"Ok well, then I will just go to our subject and put aside the article," balas pensyarah dengan nada yang cukup profesional.

Saya sedih. Seorang pensyarah/guru tidak layak diperlakukan sedemikian rupa. Meskipun beliau tidak menyatakan apa yang harus dilakukan terhadap artikel tersebut, sebagai seorang yang terpelajar dan berada di peringkat Master, kami harus tahu tanggungjawab yang perlu kami penuhi. Justeru, saya tidak dapat menerima tindakbalas warga Iran tersebut terhadap pensyarah kami dan ia cukup mengganggu perhatian saya sepanjang berada di dalam kelas.

Lalu sebaik tamat kelas dan sama-sama menikmati makan tengahari bersama pensyarah, saya suarakan perkara yang mengganggu fikiran saya sebentar tadi kepada pensyarah. Ia satu perkara baru buat saya dan tidak dapat menerimanya. Pensyarah saya hanya tersenyum dan menyatakan yang beliau sudah arif dengan pelbagai kerenah mereka dan meminta saya agar tidak terlalu risau dengan keadaan tersebut. Saya merasa sedikit lega dengan kenyataan beliau dan sebahagian beban yang bertandang di hati berlalu pergi. Saya perlu meluahkannya atau ia akan terus menghantui dan membebankan hati saya.

Seperkara lagi yang cukup mengganggu saya tentang tingkah mereka adalah dalam soal menunaikan solat. Hanya beberapa kerat sahaja yang dilihat menunaikan solat sementara majoriti seolah-olah tidak menghiraukannya langsung. Lebih menyedihkan apabila ada yang bertanya jenis solat yang ditunaikan. Malah mereka juga tidak menunaikan solat Jumaat kerana pemahaman mereka adalah ia tidak diwajibkan. Namun begitu, sedikit ruang yang ada apabila berbicara bersama mereka cuba saya manfaatkan dengan menyelongkar pandangan mereka tentang solat. Jika sedikit usaha kecil saya ini dapat membuatkan mereka berfikir tentangnya, ia sudah cukup memberi makna kepada saya. Saya sedar saya bukanlah seorang 'ustazah' untuk mengajar mereka tentang agama kerana diri sendiri masih disaluti kekurangan tetapi sedikit peluang yang ada tidak patut dibiarkan begitu sahaja.  

Pada masa yang sama, ini peluang untuk diri saya lebih terbuka dalam menerima perbezaan sesama manusia dan cuba menerima mereka seadanya di samping cuba untuk saling memperbaiki kelemahan yang ada. Saya akui mereka juga punya kelebihan tersendiri seperti keyakinan dalam menyatakan sesuatu yang mereka yakini dan sesetengahnya pula amat baik hati dalam menghulurkan bantuan terutama dalam menyiapkan tugasan.

Saya harus menerimanya, lain padang lain belalangnya! Ini juga satu proses pembelajaran buat diri saya.

2 comments:

nur said...

salam perkenalan :)
mmg pelajar dari Iran terlalu outspoken... perkara yang sama juga berlaku kepada kawan saya yg mempunyai pelajar Iran.

Sebelum ujian, pelajar Iran berkenaan cakap,"madam, can you give me a sample of test question?". Then kwn saya balas, "You can look at tutorial questions and examples in lecture."

Student tu boleh balas, "No, you not understand my question!" dengan nada yg tinggi. Kawan saya mmg sgt terkejut masa tu. Dah la minta soalan test, kita suruh rujuk soalan tutorial tak nak. Lepas tu boleh ckp kita pulak yg tak faham soalan.

Mmg kena bykkan sabar nak berdepan dgn mereka.

carrie-ma said...

salam nur,

salam perkenalan kembali. terima kasih singgah :)

saya baru je nak memahami & mengenali perangai diaorang ni. kekadang menyakitkan hati tapi kadang2 lucu juga. sedikit sebanyak saya dah faham percaturan diaorang ni. kadang2 xtahu sgt pun tapi 'berlagak' tahu. mcmlah lecturer tu xdapat kesan yg dia tu sebenarnya tahu atau buat2 tahu.

anyway, this is just a start. hopefully getting better lepas ni.