Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, October 4, 2011

Dunia Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim..
Pejam celik, sudah hampir sebulan saya bergelar mahasiswa dan berada dalam dunia ilmu. Sejujurnya, saya lebih tenang sekarang berbanding di alam pekerjaan dahulu. Namun itu tidak bermakna saya membenci dunia pekerjaan kerana dunia itulah yang telah memberi peluang saya ‘berehat’ seketika di dunia ilmu. Meskipun lebih tenang, setiap dunia punya pengisiannya yang tersendiri. Saya juga sibuk berada di dalam dunia ilmu tetapi kesibukan itu menyeronokkan kerna punya teman yang sama-sama mempunyai hala tuju yang sama iaitu berjaya dalam bidang yang dipilih. Lebih ketara apabila dunia undergraduate nyata berbeza dengan postgraduate. Kami dilayan lebih professional dan penuh kematangan. Mungkin kerana mereka menyedari bahawa kami pernah berkhidmat di dalam bidang masing-masing dan tidak mustahil suatu hari nanti kami akan berurusan semula di luar dunia ilmu.
Sebelum memilih tempat pengajian, satu perkara yang saya pohon agar Allah menetapkan hati saya untuk memilih tempat yang memudahkan saya untuk menunaikan solat. Alhamdulillah, pilihan saya tepat apabila bilik kuliah kami terletak dalam kawasan yang menempatkan kemudahan tempat makan, solat dan bilik air yang berdekatan. Menyedari ada sebahagian kami yang datang dari jauh (termasuk saya sendiri) untuk ke kuliah, pensyarah menetapkan waktu kuliah bermula pada jam 9.00 pagi. Oleh kerana saya memilih untuk melalui MRR2, waktu paling lewat dan selamat untuk saya bertolak ke kuliah adalah pada jam 7.30 pagi dan selalunya saya akan tiba sekitar jam 8.15 – 8.30 pagi. Justeru, saya punya setengah jam untuk merehatkan diri dan menunaikan solat Dhuha. Satu amalan yang cuba saya ‘wajib’kan ke atas diri saya untuk diamalkan pada setiap hari. Ia juga antara azam yang cuba saya sempurnakan apabila mendapat peluang untuk ‘berehat’ seketika daripada dunia pekerjaan. Semoga saya terus istiqamah melakukannya terutama apabila kembali ke dunia pekerjaan kelak. Jika di pejabat, saya terpaksa curi-curi untuk melakukannya kerana bimbang dilihat oleh orang lain dan dianggap menunjuk-nunjuk pula di samping bimbang dipanggil bos sewaktu sedang menunaikannya. Jika di pejabat, sudah pasti waktu saya perlu mengikut waktu yang ditetapkan oleh bos dan kadang-kadang apabila mesyuarat atau urusan bermula pada jam 8 pagi, saya pasti akan terlepas peluang untuk menunaikannya.
Namun begitu, satu perkara yang agak menggerunkan buat saya adalah tentang makan tengahari kerana ia disediakan kepada kami setiap kali tamat kuliah. Lauk yang dihidangkan pula bukan calang-calang malah mampu menggugat nafsu makan saya. Aduhai, terpaksalah saya makan juga walaupun saya perlu bekerja keras memastikan kuantiti diambil tidak terlalu banyak. Pemerhatian saya pula mendapati pelajar-pelajar Iran memang jenis yang kuat makan. Nasi sahaja sudah menimbun dicedok sehingga penuh pinggan dan ditambah pula lauk pauk di sekelilingnya. Tanpa segan silu, mereka akan mengambil lauk yang disukai dalam kuantiti yang banyak jika ia adalah kegemaran mereka. Contohnya, mereka akan mengambil ayam goreng sebanyak 2 ketul sedangkan hanya 1 ketul diperuntukkan untuk setiap orang. Mereka juga tidak gemar memakan nasi bersama kuah sebaliknya di makan begitu sahaja bersama ayam goreng. Saya tidak berapa kisah dengan tindakan tersebut kerana setidak-tidaknya saya tidak perlu makan jika lauk pauk sudah dihabiskan oleh mereka.
Sesi pembentangan projek pada petang semalam sedikit menggembirakan hati saya apabila menerima pujian daripada rakan-rakan sekelas. Pada mulanya saya memang amat risau kerana tidak terlalu arif dengan source code projek yang ingin dibentangkan. Menyedari kekurangan diri, saya menawarkan diri untuk menyelesaikan urusan dokumentasi dan penyediaan slides. Manakala untuk sesi pembentangan pula, saya memilih untuk menerangkan bahagian pengenalan dan bahagian source code pula akan diterangkan oleh ahli kumpulan yang lebih arif. Mujur juga ahli kumpulan yang lain memahami kerisauan saya dan membantu menyiapkan projek kami dalam tempoh yang ditetapkan. Saya terasa ingin ketawa apabila menerima pujian yang pembentangan saya sangat jelas dan bersahaja walhal debaran dalam hati hanya Allah yang tahu. Diam-diam saya merasakan, mungkin ini kesan pengalaman daripada dunia pekerjaan yang pernah dilalui sebelum ini iaitu semasa saya aktif menyampaikan taklimat kepada pegawai-pegawai baru. Benarlah, setiap laluan yang Allah aturkan buat kita sebagai hambaNya ada hikmah yang tersembunyi yang kekadang gagal kita fahami sehingga tiba waktunya.
Entah mengapa akhir-akhir ini pula saya sering berfikir, berapa lamakah baki usia yang masih Allah berikan kepada saya? Apakah saya sudah mengisi usia yang berlalu dengan perkara-perkara yang mampu menjamin kehidupan saya di sana kelak? Berapa ramaikah orang yang telah saya sakiti dan masih belum memaafkan saya? Bagaimana pula dengan baki usia yang masih tersisa? Akan terisikah dengan amalan-amalan yang mampu menyelamatkan saya dari azabNya? Pendek kata, sejauh mana saya telah memanfaatkan usia yang diberikan oleh Allah kepada saya di dunia ini?
Seorang sahabat pernah bertanya kepada saya apabila kami berbicara tentang rasa tidak sabar untuk memasuki dunia ilmu,
“Ck, apa yang diharapkan semasa cuti belajar nanti?”
Terus-terang saya agak tergamam apabila mendengar soalan sahabat saya itu. Ia seolah-olah satu tamparan buat diri saya kerana tidak pernah memikirkannya dengan mendalam. Yang pasti, melanjutkan pelajaran merupakan salah satu impian yang telah disenaraikan dalam senarai impian saya. Di samping itu, saya juga tidak dapat menafikan yang tempoh ini juga merupakan satu ‘pelarian’ buat seketika daripada lelah dunia pekerjaan.
Lama juga saya mengambil masa untuk memikirkan jawapan kepada soalan sahabat saya itu. akhirnya saya temui jawapan yang dicari.
“Saya ingin mendapatkan semula kejayaan yang pernah saya nikmati dan menebus kembali kegagalan yang pernah saya lakukan.” (I want to regain what I have got and recapture what I have lost.)
Ok, saya perlu kembali mentelaah pelajaran kerana lusa dan tulat akan menduduki peperiksaan.

No comments: