Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, October 29, 2011

Adat Permainan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kalah dan menang adalah adat permainan. Sudah pasti akan ada salah satu pihak yang terpaksa menerima hakikat bahawa kemenangan adalah bukan milik mereka. Saya bukan peminat bola sepak tetapi apabila negeri sendiri, Terengganu, berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Piala Malaysia, sedikit sebanyak saya merasa terpanggil untuk mengambil tahu tentangnya. Namun saya tidak menontonnya secara langsung kerana tidak gemar dengan perasaan berdebar-debar setiap kali berlaku aksi-aksi mendebarkan yang bakal meluruhkan jantung. Ada juga rakan-rakan senegeri yang begitu bersemangat membeli tiket dan hadir sendiri di Stadium Shah Alam pada malam ini. Saya hanya mengikuti perkembangan daripada laman Facebook sahaja di samping menyiapkan tugasan akademik yang perlu saya selesaikan segera.

Perkembangan menggembirakan yang saya dengar adalah apabila pasukan Terengganu berjaya menembus gol lawan iaitu Negeri Sembilan dengan 1 mata. Namun di saat-saat akhir, atas kesilapan penjaga gol pasukan Terengganu, pasukan lawan berjaya mara dan mendapat 2 gol. Ia sudah pasti satu kekalahan yang tidak dijangka sama sekali dan sedikit mengecewakan. Hakikatnya, itulah erti sebuah permainan. Kemenangan dan kekalahan bukan satu perkara mutlak dan ia boleh berubah tanpa disangka-sangka.

Begitulah jua gambarannya dengan kehidupan ini. Orang yang berada di bawah, tidak selamanya akan berada di situ seandainya dia gigih untuk berubah memperbaiki keadaan diri. Maka kejayaan yang tidak disangka-sangka akan diterima olehnya. Justeru, singkirkan ruang untuk berputus asa dan teruskan melangkah. Tidak mustahil kejayaan akan berada dalam genggaman.

Meskipun pasukan Terengganu kalah kepada pasukan Negeri Sembilan pada malam ini, mereka sudah melakukan yang terbaik. Mereka tetap menang di mata rakyat Terengganu. InsyaAllah, tahun depan cuba lagi. Peteh Ganu Peteh!

P/s: Saya perlu bertolak ke LCCT sekarang untuk menjemput adik, MakTeh dan rakan-rakan, yang pulang dari KK, Sabah.


No comments: