Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, October 29, 2011

Adat Permainan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kalah dan menang adalah adat permainan. Sudah pasti akan ada salah satu pihak yang terpaksa menerima hakikat bahawa kemenangan adalah bukan milik mereka. Saya bukan peminat bola sepak tetapi apabila negeri sendiri, Terengganu, berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Piala Malaysia, sedikit sebanyak saya merasa terpanggil untuk mengambil tahu tentangnya. Namun saya tidak menontonnya secara langsung kerana tidak gemar dengan perasaan berdebar-debar setiap kali berlaku aksi-aksi mendebarkan yang bakal meluruhkan jantung. Ada juga rakan-rakan senegeri yang begitu bersemangat membeli tiket dan hadir sendiri di Stadium Shah Alam pada malam ini. Saya hanya mengikuti perkembangan daripada laman Facebook sahaja di samping menyiapkan tugasan akademik yang perlu saya selesaikan segera.

Perkembangan menggembirakan yang saya dengar adalah apabila pasukan Terengganu berjaya menembus gol lawan iaitu Negeri Sembilan dengan 1 mata. Namun di saat-saat akhir, atas kesilapan penjaga gol pasukan Terengganu, pasukan lawan berjaya mara dan mendapat 2 gol. Ia sudah pasti satu kekalahan yang tidak dijangka sama sekali dan sedikit mengecewakan. Hakikatnya, itulah erti sebuah permainan. Kemenangan dan kekalahan bukan satu perkara mutlak dan ia boleh berubah tanpa disangka-sangka.

Begitulah jua gambarannya dengan kehidupan ini. Orang yang berada di bawah, tidak selamanya akan berada di situ seandainya dia gigih untuk berubah memperbaiki keadaan diri. Maka kejayaan yang tidak disangka-sangka akan diterima olehnya. Justeru, singkirkan ruang untuk berputus asa dan teruskan melangkah. Tidak mustahil kejayaan akan berada dalam genggaman.

Meskipun pasukan Terengganu kalah kepada pasukan Negeri Sembilan pada malam ini, mereka sudah melakukan yang terbaik. Mereka tetap menang di mata rakyat Terengganu. InsyaAllah, tahun depan cuba lagi. Peteh Ganu Peteh!

P/s: Saya perlu bertolak ke LCCT sekarang untuk menjemput adik, MakTeh dan rakan-rakan, yang pulang dari KK, Sabah.


Lain Padang Lain Belalang

Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap minggu, saya perlu hadir ke UTM KL sekurang-kurangnya 3 kali untuk menghadiri kelas yang telah dijadualkan. Namun kadang-kadang jumlah itu akan bertambah jika ada urusan lain yang perlu saya selesaikan seperti berjumpa dengan pensyarah dan mendapatkan bahan tambahan untuk tugasan yang diberikan. Bagi semester ini, rakan sekelas pula hanya seramai 6 orang sahaja dan hanya 2 orang (termasuk saya) adalah warga Malaysia. Selebihnya adalah 3 orang warga Iran dan seorang warga Nigeria. Saya akui agak janggal bergaul dengan mereka selepas beberapa tahun berada dalam dunia selesa di alam pekerjaan. Saya perlu menyesuaikan diri untuk memahami sikap dan budaya mereka untuk memudahkan saya berhadapan dengan mereka apabila perlu menyelesaikan tugasan bersama kelak. Ia memang jauh berbeza dengan budaya orang Malaysia terutama apabila berhadapan dengan pensyarah. Tindakan salah seorang daripada warga Iran semalam cukup mengganggu saya malah membuatkan saya jadi sedikit sedih.

Minggu lepas, pensyarah telah mengedarkan sebuah artikel kepada kami sebagai salah satu bacaan tambahan kepada subjek yang sedang kami pelajari. Semalam kami telah ditanya oleh pensyarah sama ada kami telah membaca artikel tersebut atau tidak kerana beliau ingin membincangkan beberapa perkara tentang kandungannya. Sejujurnya, saya juga bersalah kerana belum membaca artikel tersebut tetapi saya hanya mendiamkan diri sahaja dan menerima kesalahan yang telah dilakukan. Namun respon salah seorang daripada warga Iran terhadap pertanyaan pensyarah membuatkan saya benar-benar terkejut,

"Prof., it's true that you gave this article to us but you didn't mentioned that it is important and we need to read it because you want to discuss it today."

"So, it's my fault for not telling you that you must read this article?" soal pensyarah kepada warga Iran tersebut dalam nada yang dapat saya rasakan agak tidak selesa.

"Yes!" balas warga Iran itu dengan yakin dan membuatkan saya lebih tersentak.

Saya langsung tidak menyangka yang warga Iran tersebut sanggup bertindak sebegitu kepada pensyarah yang pada pandangan saya, seorang yang amat baik dan bertimbang rasa.

"Ok well, then I will just go to our subject and put aside the article," balas pensyarah dengan nada yang cukup profesional.

Saya sedih. Seorang pensyarah/guru tidak layak diperlakukan sedemikian rupa. Meskipun beliau tidak menyatakan apa yang harus dilakukan terhadap artikel tersebut, sebagai seorang yang terpelajar dan berada di peringkat Master, kami harus tahu tanggungjawab yang perlu kami penuhi. Justeru, saya tidak dapat menerima tindakbalas warga Iran tersebut terhadap pensyarah kami dan ia cukup mengganggu perhatian saya sepanjang berada di dalam kelas.

Lalu sebaik tamat kelas dan sama-sama menikmati makan tengahari bersama pensyarah, saya suarakan perkara yang mengganggu fikiran saya sebentar tadi kepada pensyarah. Ia satu perkara baru buat saya dan tidak dapat menerimanya. Pensyarah saya hanya tersenyum dan menyatakan yang beliau sudah arif dengan pelbagai kerenah mereka dan meminta saya agar tidak terlalu risau dengan keadaan tersebut. Saya merasa sedikit lega dengan kenyataan beliau dan sebahagian beban yang bertandang di hati berlalu pergi. Saya perlu meluahkannya atau ia akan terus menghantui dan membebankan hati saya.

Seperkara lagi yang cukup mengganggu saya tentang tingkah mereka adalah dalam soal menunaikan solat. Hanya beberapa kerat sahaja yang dilihat menunaikan solat sementara majoriti seolah-olah tidak menghiraukannya langsung. Lebih menyedihkan apabila ada yang bertanya jenis solat yang ditunaikan. Malah mereka juga tidak menunaikan solat Jumaat kerana pemahaman mereka adalah ia tidak diwajibkan. Namun begitu, sedikit ruang yang ada apabila berbicara bersama mereka cuba saya manfaatkan dengan menyelongkar pandangan mereka tentang solat. Jika sedikit usaha kecil saya ini dapat membuatkan mereka berfikir tentangnya, ia sudah cukup memberi makna kepada saya. Saya sedar saya bukanlah seorang 'ustazah' untuk mengajar mereka tentang agama kerana diri sendiri masih disaluti kekurangan tetapi sedikit peluang yang ada tidak patut dibiarkan begitu sahaja.  

Pada masa yang sama, ini peluang untuk diri saya lebih terbuka dalam menerima perbezaan sesama manusia dan cuba menerima mereka seadanya di samping cuba untuk saling memperbaiki kelemahan yang ada. Saya akui mereka juga punya kelebihan tersendiri seperti keyakinan dalam menyatakan sesuatu yang mereka yakini dan sesetengahnya pula amat baik hati dalam menghulurkan bantuan terutama dalam menyiapkan tugasan.

Saya harus menerimanya, lain padang lain belalangnya! Ini juga satu proses pembelajaran buat diri saya.

Wednesday, October 26, 2011

Semalam di Pulau Mutiara - Episod Akhir

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari kedua dimulakan seawal jam 7 pagi. Jika diikutkan hati, memang saya hanya ingin melelapkan mata sahaja tetapi apabila mengenangkan peluang sebegini tidak akan berulang, saya gagahkan diri untuk bangun dan bersiap. Sebenarnya kami sudah merancang untuk berjalan-jalan sekitar kawasan sawah padi. Syukur saya diberi peluang untuk menikmati keindahan udara segar kampung. Ia sungguh mendamaikan apabila menyusuri kawasan sawah padi yang saujana mata memandang dan dihiasi oleh bunyi kicauan beburung yang terbang mencari rezeki.



Hampir 1 jam juga kami meluangkan masa berjalan-jalan dan mengeluarkan peluh. Saya tidak menyesal langsung mengorbankan masa tidur untuk menikmati keindahan suasana pagi :)

Usai bersarapan, kami segera bertolak ke destinasi pada hari ini iaitu Pulau Aman. Dalam perjalanan, kami sempat singgah sebentar di pejabat tempat Sharliza bertugas untuk mencetak tiket bas saya. Dari situ, kami meneruskan perjalanan ke jeti Batu Musang untuk menaiki bot ke Pulau Aman. Kadar tambang yang dikenakan untuk perjalanan dua hala adalah RM6 seorang sahaja untuk perjalanan yang memakan masa lebih kurang 20 minit sahaja. Malah perkhidmatan bot merupakan antara sumber pendapatan utama penduduk Pulau Aman selain kegiatan menangkap ikan.



Mujur juga kami tiba awal di jeti tersebut kerana tidak perlu berebut-rebut dengan pengunjung lain yang juga ingin ke sana. Ia merupakan antara lokasi kegemaran penggemar makanan laut kerana mereka boleh membeli makanan laut yang segar daripada nelayan yang baru pulang dari laut. Di samping itu, kami boleh melawat kawasan sekitar sebelum menikmati hidangan makan tengahari di sebuah restoran terapung yang dikendalikan oleh salah seorang penduduk di situ. Untuk melawat pulau tersebut, pengunjung boleh menyewa basikal daripada penduduk kampung pada kadar RM2 sejam tetapi kami memilih untuk berjalan kaki sahaja. Setidak-tidaknya dapat juga mengeluarkan peluh di samping laluan yang saya dapati kurang sesuai untuk dilalui dengan basikal berikutan kedudukan rumah yang terlalu dekat antara satu sama lain.



Bagi yang ingin menginap di pulau ini terutama kaki pancing, mereka boleh menyewa homestay milik penduduk atau chalet yang dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia pada kadar yang berpatutan. Bagi yang sudah biasa dengan pulau ini, mereka akan datang bersama keluarga untuk mencari siput biji nangka (saya memanggilnya remis) yang amat mudah diperoleh apabila air surut. Saya memang kagum dan teruja melihat betapa mudahnya untuk memperoleh hasil siput biji nangka di sebalik pasir yang dikuis. Hasilnya memang cukup berbaloi dan memuaskan hati. Dek kerana begitu teruja melihat keasyikan sebuah keluarga mencari siput biji nangka, saya dekati mereka dan bertanya lebih lanjut tentang aktiviti yang sedang mereka lakukan. Ternyata ia merupakan aktiviti rutin keluarga mereka pada hujung minggu malah terdapat beberapa keluarga lain yang turut menjalankan aktiviti yang sama.


Kemudian kami teruskan perjalanan ke sebuah lokasi yang dinamakan Telaga Emas. Telaga tersebut dinamakan dengan nama tersebut berdasarkan sebuah cerita yang mengatakan orang pertama yang menggali telaga tersebut telah menemui emas sewaktu mencangkul. Walau bagaimanapun, apabila dianalisa oleh British yang berada di Pulau Pinang pada waktu itu, batu tersebut bukanlah emas sebaliknya hanya sebongkah batu yang berwarna keemasan. Saya cuba untuk merasai kandungan air telaga tersebut dan ternyata ia terasa tawar meskipun terletak bersebelahan dengan air laut.


Tanpa disedari, hari sudah semakin meninggi dan perut juga sudah terasa lapar minta diisi. Kami segera menuju ke restoran terapung berdekatan jeti untuk menikmati hidangan istimewa yang disediakan di situ iaitu mee udang. Dek kerana terlalu dahaga, kami memesan 4 gelas air (teh ais masih belum tiba). Namun ada satu kekurangan jika mahu makan di sini iaitu pelanggan perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi untuk berdepan dengan pemilik restoran yang agak 'kurang ajar' ketika melayan pelanggan. Malah Sharliza sudah terlebih awal mengingatkan saya kepada situasi ini. Mungkin kerana dia sudah mengetahui sikap cerewet saya apabila berhadapan keadaan sebegini. Justeru, saya hanya membiarkan sahaja tingkah 'kurang ajar' tersebut asalkan pesanan yang dibuat disempurnakan oleh mereka. Pada pengamatan saya, mereka bersikap begitu kerana hanya itulah satu-satunya restoran yang beroperasi di situ. Yang lain-lain, cuma gerai kecil dan ala kadar sahaja.




Kami tinggalkan Pulau Aman sekitar jam 1.30 petang dan terus bergerak ke Penang Sentral kerana bas saya dijadualkan akan bertolak pada jam 3.00 petang. Alhamdulillah kami tiba awal di sana dan sempat menunaikan solat terlebih dahulu di masjid berhampiran.



Saya tinggalkan Pulau Pinang dengan niat untuk kembali lagi bersama Abah, Ummi dan adik-adik suatu hari nanti. Masih banyak tempat-tempat menarik yang belum saya terokai di sini malah masih ada satu janji yang perlu saya penuhi iaitu makan tengahari bersama emak Sharliza. Sedih pula apabila emak Sharliza menyatakan rasa terkilan tidak dapat menjamu saya untuk makan tengahari di rumahnya kerana kunjungan saya yang begitu singkat. InsyaAllah, saya akan kembali lagi untuk memenuhi janji itu.

Semalam di Pulau Mutiara - Episod 1

Bismillahirrahmanirrahim...

2 minggu lepas saya meluangkan masa untuk memenuhi janji kepada seorang teman baik, Sharliza, yang juga sudah saya anggap seperti adik sendiri di Pulau Pinang. Sudah beberapa kali sebenarnya saya berjanji untuk melawatnya tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa membatalkannya. Kali ini saya nekad untuk meneruskan perancangan yang telah dibuat. Awal-awal lagi saya sudah menempah tiket pergi dan balik ke sana. Memang menjadi tabiat saya menggunakan pengangkutan yang berbeza untuk pergi dan balik setiap kali berkunjung ke sesuatu tempat. Alasannya adalah supaya saya melalui pengalaman yang berbeza sewaktu pergi dan balik ke sesuatu destinasi.

Untuk perjalanan kali ini, saya tempah tiket penerbangan Firefly untuk perjalanan pergi dan tiket bas Transnasional untuk perjalanan pulang. Memandangkan saya perlu menaiki penerbangan di Terminal Subang, bantuan adik perempuan (MakTeh) diperlukan untuk menghantar saya ke sana. Penerbangan jam 9.55 pagi berjalan lancar dan saya tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas lebih kurang jam 11.00 pagi.

Tiba di sana, destinasi pertama yang kami kunjungi adalah Rumah P.Ramlee. Kami menghabiskan masa hampir 1 jam di situ dan banyak perkara menarik mengenai legenda negara ini yang saya ketahui. Menatap gambar-gambar arwah sepanjang hayat bergelar anak bangsawan menambahkan kekaguman saya terhadap bakat yang dimiliki oleh beliau. Nyata filem nukilan beliau jauh lebih besar dari sekadar sebuah filem berbentuk hiburan tetapi mengandungi mesej yang cukup mendalam. Jika slogan 1Malaysia baru diperkenalkan akhir-akhir ini, pada pengamatan saya, filem-filem beliau telah lebih awal memaparkan elemen tersebut.




Dari Rumah P.Ramlee, saya dibawa oleh Sharliza pusing-pusing sekitar bandar dan singgah untuk membeli samosa kegemarannya. Satu perkara yang memang tidak dapat dielakkan apabila berkunjung ke Pulau Pinang adalah menikmati makanannya yang pelbagai. Sebelum ini saya pernah beberapa kali berkunjung ke Pulau Pinang namun atas urusan rasmi sahaja. Justeru, saya tidak berpeluang untuk menerokai dan menikmati pelbagai makanan dan tempat-tempat menarik di sekitarnya. Meskipun kunjungan kali ini hanya semalam, saya cuba untuk menikmatinya dengan sebaik mungkin bersama Sharliza.


Seterusnya, kami singgah di Padang Kota Lama untuk menikmati mee goreng sotong dan ABC. Aduhai, ia memang menepati selera dan citarasa saya. Tanpa dirancang, di situ saya telah bertemu dengan seorang teman yang berkhidmat di sana.


Pertemuan yang tidak dirancang
Usai makan, kami melawat tempat bersejarah iaitu Fort Cornwallis. Ia terletak berdekatan dengan medan selera Padang Kota Lama dan bayaran sebanyak RM2 dikenakan sebagai tiket masuk.



Dari Padang Kota, kami menuju ke terminal feri untuk yang juga terletak tidak jauh dari situ. Ini merupakan pengalaman pertama saya dalam seumur hidup menaiki feri di Pulau Pinang dan saya tidak dapat mengelak untuk merasa teruja. Menariknya, tiada sebarang bayaran dikenakan bagi perjalanan keluar daripada bandar dan perjalanan hanya memakan masa lebih kurang 20 minit sahaja.



Tiba di seberang, kami sempat singgah sebentar di stesen keretapi Butterworth yang terletak berdekatan dengan terminal feri. Ia stesen yang pernah saya kunjungi lebih 10 tahun yang lalu iaitu sewaktu dalam perjalanan menuju ke Arau. Perjalanan kami dilencongkan ke stesen Butterworth kerana berlaku kemalangan di laluan yang sepatutnya kami lalui.


Penat meronda-ronda, perut juga sudah berkeroncong minta diisi. Dari situ, kami bergerak ke sebuah restoran bernama Puncak Mutiara yang terletak di Kampung Pelet di daerah Bukit Mertajam. Secara kebetulan, tempat tersebut terltak tidak jauh daripada rumah Sharliza. Kami tiba di situ sekitar jam 7.30 malam dan masih banyak tempat kosong yang belum dipenuhi oleh pelanggan. Saya puji dengan sistem pengurusan di sini dalam memenuhi pesanan pelanggan. Bukan sahaja tempat yang disediakan selesa, hidangan makanan yang pelbagai tetapi juga tempoh menyiapkan pesanan yang berpatutan. Malah pada saya, harganya juga berbaloi dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Sudah pasti saya akan kembali lagi ke sini bersama Abah dan Ummi serta adik-beradik yang lain pada masa akan datang, insyaAllah.


Kami tinggalkan kafe tersebut pada jam 9.30 malam dan terus pulang ke rumah Sharliza yang terletak di Penaga. Usai mandi, kami terus melelapkan mata kerana masih ada misi yang perlu kami penuhi pada keesokkan harinya.

Thursday, October 13, 2011

Pengorbanan

Bismillahirrahmanirrahim...

Di sebalik setiap kejayaan yang diraih, ada harga sebuah pengorbanan yang harus dibayar. Meskipun sudah hampir sebulan bergelar mahasiswa, saya masih lagi dalam fasa penyesuaian terutama apabila berdepan dengan timbunan tugasan yang bertali arus. Ia sedikit sebanyak menyebabkan banyak masa saya dihabiskan untuk menyempurnakan tugasan-tugasan tersebut. Namun saya tidak merasakan ia satu beban kerana seperti saya nyatakan dalam entri terdahulu, saya gemar bergelumang dalam alam akademik.

Subjek pertama yang harus saya ambil adalah pengaturcaraan (programming). Terus-terang, ia bukan subjek yang saya gemari malah antara sebab saya memilih Kejuruteraan Mekatronik di peringkat ijazah sarjana muda adalah kerana saya kurang menggemari subjek pengaturcaraan di bawah Kejuruteraan Komputer. Kali ini saya tiada pilihan kerana ia adalah subjek yang wajib dipelajari di dalam program Pengurusan Teknologi Maklumat yang sedang saya ikuti sekarang. Begitulah kehidupan, seringkali perkara yang kurang kita gemari dan cuba elakkan itulah yang sering mendekati kita malah tanpa kita sedari, ia yang terbaik buat diri kita. Pembelajaran pada kali ini agak mencabar kerana sudah hampir 9 tahun saya meninggalkannya dan langsung tidak dipraktikkan sewaktu di alam pekerjaan. Ia satu cabaran yang agak besar buat saya kerana rata-rata teman sepengajian adalah terdiri di kalangan pengaturcara (programmer) dan pensyarah yang terlibat dalam bidang tersebut sedangkan saya datang dari bidang pengurusan. Malah pensyarah subjek juga agak terkejut apabila saya maklumkan latarbelakang pekerjaan saya yang agak menyimpang daripada program yang sedang saya ikuti. Menurut beliau, program ini selalunya diambil oleh mereka yang terlibat dalam bidang pengajaran atau setidak-tidaknya bekerja dalam bidang tersebut secara langsung. Sedikit sebanyak perasaan saya agak tergugat juga dengan komen pensyarah tetapi saya punya alasan tersendiri memilih untuk mengikuti pengajian ini. Saya yakin ada hikmah yang belum saya ketahui di sebalik keputusan saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini. Cabarannya, saya perlu bekerja lebih keras berbanding teman-teman sepengajian yang lain malah perlu meluangkan lebih masa untuk kembali memahami subjek yang pernah saya pelajari tetapi tidak pernah saya amalkan. Benarlah, ilmu tanpa amal ibarat pohon yang rendang tetapi tidak mengeluarkan buah.

Memandangkan subjek tersebut hanya sebuah subjek pengenalan ringkas, ia dihabiskan dalam tempoh 5 hari sahaja dan ujian diadakan pada minggu berikutnya. Saya agak tertekan kerana merasakan masa yang tersedia tidak mencukupi untuk membolehkan saya memahami semula kandungan subjek dan bersedia untuk berdepan dengan ujian. Seperti dijangka, saya gagal menjawab ujian yang diberikan dengan baik. Saya sedih dan terdetik di hati untuk mengugurkan sahaja subjek tersebut pada semester ini. Fikiran saya buntu mengenangkan keputusan yang akan saya terima bagi subjek tersebut. Perasaan juga berbelah bagi sama ada menerima sahaja keputusannya kelak atau menggugurkannya terlebih dahulu.

Dalam kebuntuan itu, saya menerima e-mel mengandungi jadual waktu bagi pengajian separuh masa yang diadakan pada setiap hujung minggu. Lantas saya cuba menghubungi seorang pelajar separuh masa untuk mengetahui kedudukan pengajian mereka bagi subjek berkenaan. Alhamdulillah, ia merupakan kelas pertama mereka. Lalu saya hubungi pensyarah untuk mendapatkan pandangan kedua berhubung keadaan saya kerana tidak yakin akan lulus subjek berkenaan. Saya mohon juga kebenaran agar diberi peluang kedua untuk menduduki semula ujian berkenaan. Lega apabila pensyarah memahami kesulitan yang saya hadapi dan mengizinkan saya untuk mengikuti kelas bersama pelajar separuh masa dan seterusnya menduduki semula ujian.

Pada masa yang sama, saya sudah membelikan tiket kapal terbang untuk Abah dan Ummi datang ke KL pada hari Sabtu kerana kami merancang untuk menjenguk cucu baru di Tanjung Malim. Perancangannya, saya akan menjemput Abah dan Ummi di KLIA, singgah mengambil adik perempuan (MakTeh) di Sri Damansara dan terus menuju ke Tanjung Malim. Justeru, saya jadi tersepit antara pelajaran dan perancangan yang telah dibuat bersama keluarga. Meskipun prinsip dan keutamaan saya adalah keluarga, dalam keadaan ini, saya jadi keliru kerana ia turut melibatkan masa hadapan saya sendiri. Secara kebetulan, MakTeh pula perlu menghadiri kursus pada hari Sabtu. Akhirnya saya hubungi adik lelaki (BaYu) meminta bantuan untuk menjemput Abah dan Ummi bagi pihak saya dan membawa keduanya ke Tanjung Malim. Saya pula akan menyusul kemudian sebaik tamat kelas bersama MakTeh.

Tersentuh juga hati ini apabila mendengar Abah berkata,

"Dia yang suruh orang datang, dia pula yang ada kelas."

Lalu saya katakan kepada Abah bahawa inilah dinamakan Qada' dan Qadar. Sesungguhnya kita hanya mampu merancang dan Dia jua yang menentukannya. Hanya kepadaNya saya berserah semoga Abah dan Ummi memahami keadaan saya ini.

Seperti dijanjikan, usai tamat kelas jam 5 petang, saya terus menuju ke rumah  MakTeh dan bergerak ke Tanjung Malim untuk menemui Abah dan Ummi. Mereka bermalam di sana sementara saya terpaksa bertolak pulang pada malam itu juga kerana perlu menghadiri kelas pada keesokan paginya. Ia satu perjalanan yang cukup meletihkan tetapi demi Abah dan Ummi, saya gagahkan jua untuk hadir. Keesokan harinya, saya aturkan untuk meraikan Abah, Ummi dan adik-adik untuk makan tengahari di Restoran Nelayan di Tasik Titiwangsa. Saya memilih tempat itu kerana terletak berdekatan dengan UTM dan mudah untuk saya bergegas ke sana sebentar untuk makan tengahari bersama mereka. Alhamdulilllah, kami sempat makan bersama meskipun hidangan yang ditempah tidak seperti diharapkan. Usai makan tengahari, saya bergegas kembali semula ke UTM untuk meneruskan pembelajaran.

Untuk menggantikan masa yang tidak dapat diluangkan bersama Abah dan Ummi pada hujung minggu, saya ambil keputusan untuk membawa Abah dan Ummi berkunjung ke rumah abang kedua (BaAn) di Ulu Tiram, Johor. Mujur juga tiada sebarang kelas perlu saya hadiri pada hari Isnin dan Selasa. Kami tiba di sana lebih kurang jam 5.30 petang dan pemanduan ke sana selama hampir 4 jam agak memenatkan juga. Malamnya, BaAn dan keluarga membawa kami berjalan-jalan dan makan malam di sebuah restoran makanan laut. Memandangkan Abah dan Ummi akan bertolak pulang ke kampung pada jam 12.45 tengahari pada hari Selasa, kami bertolak pulang seawal jam 8.00 pagi. Saya terpaksa memandu dengan kelajuan purata 140 km/j untuk mengejar masa penerbangan. Alhamdulillah, kami berjaya tiba di LCCT pada jam 11.20 pagi dan terus bergegas untuk mendaftar masuk. Tanpa disangka, pendaftaran masuk sendiri di mesin telah disekat atas alasan ia sudah melebihi masa yang ditetapkan iaitu 2 jam lebih awal. Lalu saya utarakan masalah kepada petugas kaunter pelanggan tetapi menerima respon yang kurang menyenangkan malah diminta untuk membayar RM10 untuk membolehkan pendaftaran masuk dibuat. Ia cukup menyakitkan hati saya dan diringkaskan cerita, saya akhirnya berjaya mendaftar masuk Abah dan Ummi tanpa sebarang caj tambahan. Walau bagaimanapun, ia satu pengalaman yang cukup menyakitkan hati dan menambahkan rasa geram terhadap pengurusan AirAsia yang semakin menyerupai ASTRO. Segala-segalanya berasaskan keuntungan semata sedangkan perkhidmatan disediakan tidak mencapai standard yang memuaskan hati pelanggan.

Pada pagi hari Rabu pula, abang ketiga (BaHa) tiba bersama keluarga kerana akan mengikuti bengkel di Klang. Tanpa dirancang, saya diajak oleh BaHa untuk menemaninya ke pejabat peguam untuk menyelesaikan urusan pembelian rumah yang telah sekian lama tertangguh. Mujur juga kelas saya pada hari tersebut telah ditunda kepada tarikh lain. Maka seharian saya menemani BaHa membantu menguruskan hal tersebut.

Hari ini pula seharian saya di UTM menghadiri kuliah untuk subjek seterusnya. Bila difikirkan kembali, benar saya letih ke sana ke mari di samping berdepan dengan tugasan yang tidak putus-putus, namun saya insaf tiada perkara yang percuma dalam hidup ini. Ada harga yang harus dibayar untuk mendapatkannya dan saya tidak menyesal menghabiskan masa, tenaga dan wang demi keluarga sendiri. Mungkin ini harga sebuah pengorbanan yang harus saya bayar untuk meraih sebuah kejayaan. Saya cuma berdoa agar Allah memberikan saya kesihatan yang baik agar tidak perlu membebankan dan manyusahkan mana-mana ahli keluarga terutama Abah dan Ummi.

Wednesday, October 5, 2011

Berkurung

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudut pandang seorang pelajar
Sudah 2 hari berturut-turut saya mengurungkan diri. Semalam seharian di rumah dan hari ini pula di perpustakaan UTM. Memang begitu amalan saya jika bakal berdepan dengan ujian atau peperiksaan sejak dari zaman persekolahan lagi. Hanya jika perlu sahaja saya akan menyertai perbincangan kumpulan. Sesetengah orang mungkin lebih gemar belajar secara berkumpulan tetapi untuk diri saya, kaedah itu kurang berkesan terutama untuk subjek yang belum saya fahami sepenuhnya. Seringkali perbincangan ilmiah akan berakhir dengan borak-borak kosong dan akhirnya topik utama yang sepatutnya menjadi keutamaan terbiar begitu sahaja. Dalam sisa waktu yang masih ada ini, saya cuba untuk memahami kandungan subjek untuk menghadapi peperiksaan yang akan diadakan pada esok dan lusa.

Sedikit kesalan timbul kerana semalam mentelaah di rumah sahaja. Tumpuan saya agak terganggu apabila berada di rumah. Bila mata terasa penat dan mengantuk, saya pasang televisyen, lipat kain, sapu lantai dan melakukan kerja-kerja rumah. Kesudahannya, saya jadi ralit dan masa mentelaah tidak digunakan semaksima mungkin. Pagi tadi saya nekad untuk berkurung di perpustakaan pula. Ternyata tumpuan saya lebih terarah dan masa yang ada digunakan sepenuhnya. Hanya pada waktu rehat sahaja saya berhenti sebentar untuk makan tengahari dan solat. Saat ini saya masih di sini, di dalam bilik yang dipanggil Carrel Room. Ia bilik yang dikhususkan hanya untuk pelajar postgraduate dan lebih privasi untuk mentelaah secara individu.

Untuk balik ke rumah pada waktu begini juga adalah satu tindakan yang kurang bijak kerana kesesakan jalan raya yang sudah pasti memeningkan kepala. Justeru, saya memutuskan untuk pulang selesai solat Maghrib kelak. Saya memang berdebar untuk menghadapi peperiksaan tersebut kerana merasa belum cukup persediaan yang dibuat. Namun saya tiada pilihan. Tarikh, masa dan tempat sudah ditetapkan. Saya harus melaluinya juga meskipun masih belum bersedia sepenuhnya.

Semoga usaha kecil saya ini akan dapat membantu dan memudahkan saya untuk melalui peperiksaan pada hari esok dan lusa dengan baik.

Tuesday, October 4, 2011

Dunia Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim..
Pejam celik, sudah hampir sebulan saya bergelar mahasiswa dan berada dalam dunia ilmu. Sejujurnya, saya lebih tenang sekarang berbanding di alam pekerjaan dahulu. Namun itu tidak bermakna saya membenci dunia pekerjaan kerana dunia itulah yang telah memberi peluang saya ‘berehat’ seketika di dunia ilmu. Meskipun lebih tenang, setiap dunia punya pengisiannya yang tersendiri. Saya juga sibuk berada di dalam dunia ilmu tetapi kesibukan itu menyeronokkan kerna punya teman yang sama-sama mempunyai hala tuju yang sama iaitu berjaya dalam bidang yang dipilih. Lebih ketara apabila dunia undergraduate nyata berbeza dengan postgraduate. Kami dilayan lebih professional dan penuh kematangan. Mungkin kerana mereka menyedari bahawa kami pernah berkhidmat di dalam bidang masing-masing dan tidak mustahil suatu hari nanti kami akan berurusan semula di luar dunia ilmu.
Sebelum memilih tempat pengajian, satu perkara yang saya pohon agar Allah menetapkan hati saya untuk memilih tempat yang memudahkan saya untuk menunaikan solat. Alhamdulillah, pilihan saya tepat apabila bilik kuliah kami terletak dalam kawasan yang menempatkan kemudahan tempat makan, solat dan bilik air yang berdekatan. Menyedari ada sebahagian kami yang datang dari jauh (termasuk saya sendiri) untuk ke kuliah, pensyarah menetapkan waktu kuliah bermula pada jam 9.00 pagi. Oleh kerana saya memilih untuk melalui MRR2, waktu paling lewat dan selamat untuk saya bertolak ke kuliah adalah pada jam 7.30 pagi dan selalunya saya akan tiba sekitar jam 8.15 – 8.30 pagi. Justeru, saya punya setengah jam untuk merehatkan diri dan menunaikan solat Dhuha. Satu amalan yang cuba saya ‘wajib’kan ke atas diri saya untuk diamalkan pada setiap hari. Ia juga antara azam yang cuba saya sempurnakan apabila mendapat peluang untuk ‘berehat’ seketika daripada dunia pekerjaan. Semoga saya terus istiqamah melakukannya terutama apabila kembali ke dunia pekerjaan kelak. Jika di pejabat, saya terpaksa curi-curi untuk melakukannya kerana bimbang dilihat oleh orang lain dan dianggap menunjuk-nunjuk pula di samping bimbang dipanggil bos sewaktu sedang menunaikannya. Jika di pejabat, sudah pasti waktu saya perlu mengikut waktu yang ditetapkan oleh bos dan kadang-kadang apabila mesyuarat atau urusan bermula pada jam 8 pagi, saya pasti akan terlepas peluang untuk menunaikannya.
Namun begitu, satu perkara yang agak menggerunkan buat saya adalah tentang makan tengahari kerana ia disediakan kepada kami setiap kali tamat kuliah. Lauk yang dihidangkan pula bukan calang-calang malah mampu menggugat nafsu makan saya. Aduhai, terpaksalah saya makan juga walaupun saya perlu bekerja keras memastikan kuantiti diambil tidak terlalu banyak. Pemerhatian saya pula mendapati pelajar-pelajar Iran memang jenis yang kuat makan. Nasi sahaja sudah menimbun dicedok sehingga penuh pinggan dan ditambah pula lauk pauk di sekelilingnya. Tanpa segan silu, mereka akan mengambil lauk yang disukai dalam kuantiti yang banyak jika ia adalah kegemaran mereka. Contohnya, mereka akan mengambil ayam goreng sebanyak 2 ketul sedangkan hanya 1 ketul diperuntukkan untuk setiap orang. Mereka juga tidak gemar memakan nasi bersama kuah sebaliknya di makan begitu sahaja bersama ayam goreng. Saya tidak berapa kisah dengan tindakan tersebut kerana setidak-tidaknya saya tidak perlu makan jika lauk pauk sudah dihabiskan oleh mereka.
Sesi pembentangan projek pada petang semalam sedikit menggembirakan hati saya apabila menerima pujian daripada rakan-rakan sekelas. Pada mulanya saya memang amat risau kerana tidak terlalu arif dengan source code projek yang ingin dibentangkan. Menyedari kekurangan diri, saya menawarkan diri untuk menyelesaikan urusan dokumentasi dan penyediaan slides. Manakala untuk sesi pembentangan pula, saya memilih untuk menerangkan bahagian pengenalan dan bahagian source code pula akan diterangkan oleh ahli kumpulan yang lebih arif. Mujur juga ahli kumpulan yang lain memahami kerisauan saya dan membantu menyiapkan projek kami dalam tempoh yang ditetapkan. Saya terasa ingin ketawa apabila menerima pujian yang pembentangan saya sangat jelas dan bersahaja walhal debaran dalam hati hanya Allah yang tahu. Diam-diam saya merasakan, mungkin ini kesan pengalaman daripada dunia pekerjaan yang pernah dilalui sebelum ini iaitu semasa saya aktif menyampaikan taklimat kepada pegawai-pegawai baru. Benarlah, setiap laluan yang Allah aturkan buat kita sebagai hambaNya ada hikmah yang tersembunyi yang kekadang gagal kita fahami sehingga tiba waktunya.
Entah mengapa akhir-akhir ini pula saya sering berfikir, berapa lamakah baki usia yang masih Allah berikan kepada saya? Apakah saya sudah mengisi usia yang berlalu dengan perkara-perkara yang mampu menjamin kehidupan saya di sana kelak? Berapa ramaikah orang yang telah saya sakiti dan masih belum memaafkan saya? Bagaimana pula dengan baki usia yang masih tersisa? Akan terisikah dengan amalan-amalan yang mampu menyelamatkan saya dari azabNya? Pendek kata, sejauh mana saya telah memanfaatkan usia yang diberikan oleh Allah kepada saya di dunia ini?
Seorang sahabat pernah bertanya kepada saya apabila kami berbicara tentang rasa tidak sabar untuk memasuki dunia ilmu,
“Ck, apa yang diharapkan semasa cuti belajar nanti?”
Terus-terang saya agak tergamam apabila mendengar soalan sahabat saya itu. Ia seolah-olah satu tamparan buat diri saya kerana tidak pernah memikirkannya dengan mendalam. Yang pasti, melanjutkan pelajaran merupakan salah satu impian yang telah disenaraikan dalam senarai impian saya. Di samping itu, saya juga tidak dapat menafikan yang tempoh ini juga merupakan satu ‘pelarian’ buat seketika daripada lelah dunia pekerjaan.
Lama juga saya mengambil masa untuk memikirkan jawapan kepada soalan sahabat saya itu. akhirnya saya temui jawapan yang dicari.
“Saya ingin mendapatkan semula kejayaan yang pernah saya nikmati dan menebus kembali kegagalan yang pernah saya lakukan.” (I want to regain what I have got and recapture what I have lost.)
Ok, saya perlu kembali mentelaah pelajaran kerana lusa dan tulat akan menduduki peperiksaan.

Sunday, October 2, 2011

Bye Bye Astro!

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah agak lama saya berhasrat untuk menamatkan perkhidmatan siaran di ASTRO di teratak saya ini. Alasan-alasan utama saya mengambil tindakan sedemikian adalah:
  1. Saya rasa membazir menjelaskan bayaran bulanan pakej yang hanya kerap menyiarkan siaran ulangan sahaja sehingga akhirnya saya hanya menonton siaran yang tidak perlu dilanggan iaitu RTM, TV3, TV8, NTV7 dan terbaru siaran TV Al-Hijrah;
  2. Ia sebagai tanda protes saya terhadap sikap monopoli pihak ASTRO yang sewenang-wenangnya mengenakan caj tambahan terhadap pengguna tanpa makluman awal malah tanpa mendapatkan kelulusan pihak berautoriti terlebih dahulu; dan
  3. Saya ingin fokus terhadap program Master yang sedang saya ikuti meskipun saya sendiri kurang menonton televisyen kecuali apabila terlalu bosan sahaja.
Akhirnya beberapa hari lepas saya nekad menghubungi pihak ASTRO untuk memaklumkan notis penamatan perkhidmatan. Polisi ASTRO pula adalah notis akan berkuatkuasa selepas 30 hari makluman dibuat dan saya perlu memulangkan smart card kepada cawangan ASTRO berdekatan dalam tempoh 3 bulan. Jika tidak, saya perlu membayar caj sebanyak RM80. Sebenarnya notis penamatan perkhidmatan hanya dapat saya buat baru-baru ini kerana menunggu tempoh genap setahun langganan iaitu pada 25 September. Jika saya menamatkan perkhidmatan sebelum tempoh itu, saya boleh dikenakan bayaran penalti sebanyak RM500. Mujur juga saya merujuk kepada terma dan syarat penamatan perkhidmatan sebelum berbuat demikian dan terperasan mengenai syarat tempoh minimum penamatan perkhidmatan tersebut.

Lebih menarik, tindakan ini juga turut telah dibuat oleh Abah dan Ummi di kampung yang merasa tertipu dengan pelbagai caj tambahan yang dikenakan oleh pihak ASTRO sebelum ini. Semoga selepas ini banyak masa akan dapat diluangkan kepada aktiviti yang lebih bermanfaat selain menonton televisyen.