Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, September 28, 2011

Perjalanan Baru Bermula

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya merasa sungguh ralat kerana gagal untuk mengemaskini blog dalam tempoh 2-3 minggu kebelakangan ini. Setiap kali saya cuba untuk melakukannya, pasti akan ada batu penghalang yang mematikan niat saya itu. Namun malam ini saya nekad untuk menjayakannya meskipun keadaan kesihatan kurang memberangsangkan. Mungkin natijah tidur yang tidak berapa sempurna akhir-akhir ini.

Saat menulis blog ini juga, ada beberapa tugasan yang masih belum saya lunaskan. Ya, saya kini rasmi bergelar mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Antarabangsa, Jalan Semarak, KL. Ini merupakan minggu ketiga saya di UTM selepas pendaftaran pada 10 September 2011 yang lalu. Perasaan yang saya alami nyata jauh berbeza sewaktu di peringkat ijazah dahulu. Untuk bulan pertama, kelas saya diadakan pada setiap hari dari pagi hingga petang dan dibekalkan dengan tugasan untuk dihantar pada keesokan harinya. Saya akui cukup meletihkan berulang-alik ke kelas pada setiap hari meredah kesesakan trafik yang sentiasa bertali arus. Bila difikir-fikirkan, pelik betul saya ini. Dulu ketika tinggal di Keramat, saya berulang alik ke tempat kerja di Putrajaya. Kini apabila sudah tinggal di Balakong Jaya, saya berulang alik pula ke Jalan Semarak. Nyata saya dan MRR2 tidak dapat dipisahkan. Jika diikutkan, saya boleh memilih untuk melalui Jalan Tun Razak untuk ke UTM tetapi saya tidak tahan untuk berhadapan dengan lautan trafik yang jauh lebih menyesakkan dada berbanding MRR2. Setidak-tidaknya melalui MRR2, aliran trafik masih bergerak meskipun kenderaan banyak sedangkan di Jalan Tun Razak, kenderaan seolah-olah statik dan lebih menyakitkan hati apabila dalam tempoh yang terlalu lama. Pernah satu ketika saya mengambil masa 1 jam untuk bergerak sedangkan dalam keadaan biasa memakan masa hanya 5 minit. Namun selepas ini saya merancang untuk tidak terus pulang sebaik tamat kelas sebaliknya beriadah di Tasik Titiwangsa terlebih dahulu.

Manakala rakan-rakan sekelas saya pula majoriti berasal daripada Iran dan Iraq. Hanya segelintir sahaja yang berasal daripada Sudan malah bilangan pelajar Malaysia juga jauh lebih sedikit. Bayangkan, daripada 18 orang pelajar di dalam kelas, hanya 3 orang sahaja (termasuk saya) pelajar Malaysia. Selebihnya pelajar daripada Iran dan Iraq. Justeru, bahasa rasmi untuk interaksi kami adalah bahasa Inggeris. Setidak-tidaknya saya mampu mengasah kembali kefasihan berinteraksi dalam bahasa Inggeris malah rasanya penggunaan bahasa Inggeris oleh pelajar Malaysia adalah jauh lebih baik daripada mereka. Setakat ini perhubungan saya dengan mereka amat baik dan mereka juga tidak lokek berkongsi ilmu pengetahuan yang dimiliki bersama kami. Saya anggap ini satu pengalaman baru dan berharga buat diri saya sepanjang tempoh pengajian di UTM.

Sejujurnya, program ini benar-benar mencabar keupayaan saya untuk kembali mempelajari dan mengingati topik yang pernah saya pelajari sewaktu di peringkat ijazah. Setelah hampir 8 tahun melupakannya, saya perlu bekerja keras untuk mempraktikkannya kembali. Bayangkan saya tidak pernah mengaplikasikan topik tersebut dalam pekerjaan seharian sebelum ini tetapi apabila memasuki sekolah, saya diminta menyelesaikan permasalahan dengan menggunakan ilmu yang pernah dipelajari dahulu dalam tempoh yang singkat. Buntu juga saya buat seketika tetapi saya anggap ini sebagai satu cabaran kepada diri saya. Dek kerana risau dengan keupayaan diri juga di samping menyiapkan tugasan-tugasan yang diberi, sudah hampir 3 minggu tidur saya tidak begitu lena. Masa seolah-olah tidak mencukupi untuk saya kembali mengingati apa yang pernah dipelajari dahulu sedangkan tugasan perlu disiapkan segera. Hakikatnya, setiap perkara yang dibuat ada duri dan ranjau tersendiri. Jika dulu pening dengan urusan di pejabat yang tak kunjung habis, kini pening pula dengan tugasan yang belum sempurna. Namun saya akui beban itu berbeza berbanding di pejabat malah kepala saya kini terasa lebih ringan berbanding dahulu.

Sepanjang pengamatan saya akhir-akhir ini, timbul satu perasaan kesal kerana tidak berusaha untuk menyambung pelajaran lebih awal tanpa menunggu tawaran biasiswa. Kagum sebenarnya melihat kesungguhan mereka yang melanjutkan pengajian secara separuh masa kerana perlu bergelut antara kewajipan kerja dan pelajaran. Malah ada seorang pelajar yang sanggup datang daripada Johor Bahru pada setiap hujung minggu untuk menghadiri kelas di Kampus KL. Apalah sangat jika dibandingkan dengan saya yang hanya perlu meredah kesesakan dari rumah ke UTM dan boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran sedangkan pelajar tersebut perlu berkorban membahagikan masa antara kerja, keluarga dan pelajaran demi untuk mencapai cita-cita melanjutkan pengajian.

Perjalanan masih jauh untuk saya harungi dan semoga saya terus tabah mengharunginya dengan jaya agar peluang yang telah diberikan ini tidak menjadi sia-sia.

2 comments:

Uncle said...

Salam.

Kalau dah lalu kat MRR2 tu, singgah lah kat rumah uncle sekali!

Carrie-Ma said...

salam,

insyaAllah, boleh jumpa auntie & marina kan :)