Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, September 10, 2011

Hari Kemenangan

Bismillahirrahmanirrahim...


Gara-gara sibuk menyambut Aidilfitri, blog saya terabai daripada dikemaskini meskipun banyak perkara yang ingin dikongsi. Namun beraya di kampung sememangnya memberikan cabaran kepada saya untuk menghadap laptop kerana broadband dimonopoli oleh anak-anak buah. Aduhai anak-anak zaman sekarang, celik IT mengalahkan orang dewasa sehingga kadang-kadang memeningkan kepala juga.

Aidilfitri kali ini hanya abang kedua, BaHa dan keluarga sahaja yang tidak dapat beraya bersama kami kerana giliran beraya pada tahun ini di sebelah mertuanya. PakSoo yang sebelum ini yang menyangka tidak mendapat cuti raya juga turut diberi pelepasan selama 3 hari dan kembali melaporkan diri pada hari raya kedua. Begitulah keadaannya apabila masing-masing sudah berkeluarga, perlu mengikut giliran beraya yang telah dipersetujui bersama. Secara peribadi, saya berpendapat itulah yang seadilnya tetapi kekadang hairan juga dengan kes-kes tertentu apabila ada pasangan yang bercerai-berai kerana tidak mahu beralah tentang giliran beraya. Hari raya yang sepatutnya menjadi hari untuk merapatkan silaturrahim akhirnya bertukar menjadi sebaliknya pula.

Sudah menjadi rutin tahunan, saya akan menempah sate daripada pembekal yang sama namun tahun ini jumlahnya agak berkurangan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Ia berlaku kerana kesilapan komunikasi yang berlaku antara kami apabila saya tidak menerima SMS memaklumkan yang tempahan sate sudah dibuka. Mujur juga saya tergerak hati untuk bertanya kepada pembekal tersebut 3 hari sebelum ketibaan hari raya. Atas timbang rasa pembekal tersebut juga, akhirnya tempahan dibuka khusus kepada saya tetapi pada jumlah yang lebih kurang daripada tahun-tahun sebelumnya.

Saya akui Aidilfitri kali ini lebih tenang berikutan sudah mula bercuti belajar meskipun kuliah akan bermula pada 12 September. Banyak urusan peribadi yang dapat saya lunaskan termasuk membawa Abah dan Ummi ke rumah tukang urut untuk mengurut lutut keduanya kesan kecederaan tidak lama dahulu.

Yang pasti, keceriaan Aidilfitri kini milik anak-anak kecil terutama anak-anak buah yang begitu ria dan seronok bermain bersama sepupu-sepupu.

No comments: