Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, August 25, 2011

Ramadhan Kali Ini

Bismillahirrahmanirrahim...

Suasana di pejabat sudah mula sunyi sepi kerana sudah ada rakan-rakan yang bercuti raya. Saya masih lagi di pejabat menghabiskan saki baki waktu di samping mengemaskini fail dan barang-barang. Malah saya belum memutuskan sama ada untuk bertolak pulang ke kampung sama ada pada hari Sabtu atau Ahad. Tanpa saya sedari, sudah genap setahun saya di sini. Meskipun saya sepatutnya memasuki pejabat semula sebelum mula menghadiri kuliah yang akan bermula pada 12 September, saya memilih untuk menghabiskan baki cuti rehat dan meneruskan cuti sehingga tiba waktu kuliah. Ini bermakna saya akan bercuti selama 2 minggu sebelum memulakan sesi kuliah di UTM. Namun begitu, ada beberapa urusan yang masih belum selesai berkaitan urusan menyambung pelajaran dan saya bercadang untuk menguruskannya dalam saki baki waktu yang tersisa itu.

Tanpa kita sedari, hari ini sudah 25 Ramadhan dan hanya tinggal baki beberapa hari lagi sebelum Syawal memunculkan diri. Meskipun ada yang menyatakan kesedihan dengan pemergian Ramadhan, pada saya ia adalah ketentuan daripadaNya jua. Pasti ada hikmah dan sebab musabab yang cukup kukuh mengapa Allah menetapkan aturanNya sedemikian rupa. Yang penting, ruang untuk beribadah dan meraih sebanyak mungkin pahala yang telah Allah sediakan sepanjang bulan Ramadhan ini telah kita pergunakan dengan sebaik mungkin tanpa sekelumit rasa kesal apabila Syawal tiba kelak. Syawal adalah pemberian/hadiah daripada Allah sebagai hari untuk meraikan kemenangan setelah melalui Ramadhan kepada hamba-hambaNya. Tegakah kita untuk menolak pemberianNya? Malah perjuangan selepas Ramadhan adalah perjuangan yang sebenar-benarnya untuk melihat sama ada apa jua ibadah yang diperlakukan sepanjang Ramadhan akan berjaya diteruskan malah dipertingkatkan pada bulan-bulan lain.

Ramadhan kali ini nyata agak berbeza buat saya kerana kekerapan menghadiri majlis berbuka puasa di luar berbanding tahun-tahun yang lalu. Malah sehingga hari ini, belum pernah sekali pun saya berbuka puasa sendirian di rumah. Syukur kepadaNya atas kurniaan nikmat ini. Setelah dikira, ada 9 majlis berbuka puasa yang menyediakan buffet telah saya hadiri sepanjang Ramadhan ini dan majlis semalam di PICC adalah yang terakhir. Sebahagiannya ada yang perlu saya bayar sendiri dan sebahagian lagi dibelanja oleh ketua. Selebihnya pula sudah pasti saya akan berbuka puasa di masjid sahaja bersama teman-teman. Sepanjang pengamatan saya berbuka puasa secara buffet pula, bayaran yang dikenakan seringkali tidak sepadan dengan apa yang kita makan malah akhirnya terjadi pembaziran. Sejujurnya, saya lebih gemar berbuka puasa di masjid sahaja agar mudah untuk menunaikan solat berjemaah namun demi memenuhi undangan dan juga merapatkan ukhuwwah bersama teman-teman, saya mengorbankan keinginan itu untuk bersama mereka. Saya anggap ia satu tindakan sebagai menunjukkan rasa syukur saya atas nikmat persahabatan yang terjalin antara kami.

Jika dibandingkan dengan tahun lepas sewaktu masih tinggal bersama adik-adik di Keramat, masa saya banyak dihabiskan di dalam kereta sahaja dan banyak kali juga saya terpaksa berbuka puasa di dalam kereta. Lebih menyedihkan apabila jarak untuk tiba ke rumah hanya beberapa meter sahaja tetapi kerana kesesakan jalanraya, saya terpaksa berbuka di dalam kereta terlebih dahulu.

Namun begitu, di samping soal makan, Ramadhan kali ini juga memberi makna yang lebih mendalam buat diri saya apabila setelah sekian lama hanya solat tarawih sebanyak 8 rakaat sahaja, saya gagahkan diri untuk bertahan sehingga 23 rakaat termasuk witir. Ajaibnya, saya mampu melakukannya sedangkan selama ini saya sering merasakan tidak mampu untuk berbuat demikian. Ternyata yang tidak mampu selama ini hanyalah nafsu saya sedangkan hakikat dalam diri menginginkannya. Terasa betapa rugi mensia-siakan Ramadhan-Ramadhan yang berlalu sebelum ini sedangkan belum pasti kita akan bertemu dengan Ramadhan akan datang. Dek kerana selama ini merutinkan diri melaksanakan solat Tarawih hanya sebanyak 8 rakaat sahaja, ia memang satu cabaran yang cukup besar untuk mengubahnya namun Alhamdulillah berkat kesungguhan, saya berjaya melakukannya juga meskipun hanya bermula selepas 10 hari Ramadhan berlalu. Dari situ saya belajar bahawa yang segalanya bermula dari kehendak hati sendiri. Jika hati menginginkannya, pasti kita akan mampu melakukannya namun jika hati sudah berkata sebaliknya, ia akan hanya menjadi hangat-hangat tahi ayam. Cubalah untuk tidak berganjak sebaik selesai bacaan doa pada rakaat ke-8 dan kekal sehingga 10 rakaat, rasa sayang untuk meninggalkannya akan timbul dan akhirnya meneruskan hingga akhir. Semoga saya terus bertahan menghabiskan solat Tarawih sehingga penghujung Ramadhan.

Jika tahun-tahun sebelum ini, saya dan adik-adik pasti akan memperuntukkan hari-hari tertentu pada hujung minggu untuk keluar membeli-belah baju raya dengan warna tema tertentu, tahun ini saya langsung tidak ambil pusing tentangnya. Saya hanya membeli sepasang baju kurung sahaja dan sudah pasti tahun ini tiada warna temanya. Saya harus menerima hakikat bahawa apabila masing-masing sudah dewasa dan membawa haluan sendiri, keadaan menjadi semakin sukar untuk melakukan apa yang sering dilakukan bersama sebelum ini. Mungkin sudah tiba masanya untuk saya memfokuskan kepada keperluan diri sendiri pula daripada terlalu memikirkan tentang diri orang lain sahaja.

Yang nyata, Ramadhan kali ini memang cukup berbeza buat saya. Entah sempat atau tidak bersua dengan Ramadhan pada tahun hadapan meskipun hati ini amat merindui kehadirannya.

"Seandainya Ramadhan kali ini adalah yang terakhir buat diri yang kerdil ini, Kau terimalah Ya Allah segala amal ibadat yang diperlakukan sepanjang bulan ini."

No comments: