Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, August 17, 2011

Nuzul Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim...

Ramadhan sudah melepasi fasa pertengahannya. Malam tadi saya sempat berbuka puasa dan solat tarawih di Masjid Putra bersama-sama jemaah yang lain. Bersempena dengan kedatangan 17 Ramadhan iaitu hari Al-Quran diturunkan, pihak pengurusan masjid telah menganjurkan satu ceramah berkaitan peristiwa tersebut. Justeru, solat tarawih pada malam tadi hanya dilaksanakan sebanyak 8 rakaat sahaja bagi memberi laluan kepada slot ceramah.

Apabila bercakap mengenai Al-Quran, setiap kali itu juga hati saya akan menjadi sayu kerana menyedari akan kekurangan diri sendiri yang tidak bersungguh-sungguh mendalami kandungannya. Ya benar, saya mengenal dan tahu membaca Al-Quran tetapi sejauh mana saya benar-benar menghayatinya amat sukar untuk saya jawab. Namun begitu, jauh di sudut hati saya tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk setidak-tidaknya mengenal dan tahu untuk membacanya.

Sewaktu menyewa di Shah Alam beberapa tahun yang lalu, saya pernah mengikuti kelas pengajian dewasa anjuran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Tanpa disangka, saya merupakan pelajar paling muda dalam kelas tersebut kerana rata-rata pelajar lain adalah sebaya dengan Abah dan Ummi saya. Kebanyakan mereka adalah pesara atau sudah mempunyai anak-anak yang dewasa dan penglibatan mereka sekadar untuk mengisi masa lapang sahaja. Walau bagaimanapun, kesungguhan dan kegigihan mereka amat saya kagumi kerana sanggup mengikis rasa malu dan ego demi untuk mempelajari ilmu Al-Quran. Kekadang hati saya sebak apabila mendengar pujian makcik-makcik yang mengatakan saya beruntung kerana dapat membaca Al-Quran dengan baik dalam usia yang masih muda. Pujian itu sewajarnya saya kembalikan kepada arwah nenek (saya panggil Wan) yang telah mengajar saya mengaji Al-Quran sejak berusia 7 tahun sehingga saya khatam pada usia 8 tahun. Wan mengajar saya dan adik-beradik serta beberapa orang anak penduduk kampung dengan kaedah tradisional iaitu membaca secara berhadapan seorang demi seorang dan kesilapan akan terus diperbetulkan oleh Wan. Apabila kami melakukan kesilapan, Wan tidak pilih kasih untuk menjatuhkan hukuman dengan merotan kami. Pedihnya memang terasa dan air mata akan bercucuran membasahi wajah namun kesannya, kesilapan itu tidak akan diulangi lagi dan kekal dalam ingatan saya sehingga hari ini.

Di samping itu, kami sempat merasai suasana menimba air telaga untuk dipenuhkan dalam tempayan dan dijadikan air basuhan kaki sebelum memulakan sesi mengaji. Ia antara momen-momen indah dalam hidup saya yang mungkin tidak akan dirasai oleh generasi baru pada hari ini.

Ramadhan kali ini saya ditemani oleh seorang teman yang setia untuk beriadah sebelum berbuka dan seterusnya solat tarawih bersama. Tanpa dirancang, saya akhirnya menjadi penuntun bacaannya hampir setiap hari pada waktu senggang antara solat Maghrib dan Isyak. Meskipun saya sendiri tidak punya tauliah untuk mengajar orang lain, kesungguhan teman saya ini untuk memperbetulkan bacaannya cuba saya sokong dengan mendengar bacaannya di samping berkongsi sedikit ilmu tajwid yang ada pada saya. Secara tidak langsung, sesi itu juga menjadi ruang untuk saya kembali mengulangkaji ilmu yang telah agak lama dipinggirkan malah ada juga yang telah hampir saya lupakan. Astaghfirullahala'zim. Setidak-tidaknya teman saya ini punya kesedaran dan keazaman untuk memperbaiki kelemahan dirinya sendiri dan sebagai seorang teman, saya wajib menyokong penuh hasrat murninya itu. Sabda Baginda Rasullullah SAW,

“(Manusia) yang paling baik di kalangan kamu ialah (mereka) yang belajar Al Quran dan mengajarkannya.”

(Bukhari, Abu Daud dll)

Hadith tersebut menerangkan bahawa golongan yang lebih baik adalah mereka yang mempelajari Al-Quran dan kemudian mengajarkannya kepada orang lain pula.  Jelas di situ, golongan yang ingin mempelajari Al-Quran dinyatakan terlebih dahulu berbanding golongan yang mengajarkannya kepada orang lain. Seharusnya hadith ini menjadi pendorong kepada golongan yang merasa segan atau takut untuk membaca Al-Quran kerana bimbang akan melakukan dosa. Pada saya, orang yang mencuba untuk mempelajari Al-Quran meskipun melakukan kesilapan semasa membacanya adalah jauh lebih mulia daripada orang yang menolak terus untuk mencuba. Al-Quran adalah buku teks utama bagi orang Islam dan ia tidak seharusnya digeruni sebaliknya perlu dikelek dan dikendong walau ke mana jua kaki melangkah. Sepertimana kita merangkak-rangkak sewaktu mula mengenal abjad A, B, C dan seterusnya, begitulah juga dalam soal membaca Al-Quran. Practice makes perfect. Jangan pernah takut untuk mencuba untuk melakukan sesuatu yang sememangnya disuruh dan disukai oleh Allah. Jika dalam urusan pekerjaan, kita begitu taat mematuhi dan menuruti perintah ketua, pasti ketaatan terlebih utama lagi dalam soal memenuhi tuntutan Pencipta kita sendiri. Peringatan ini buat diri saya juga yang terkadang tersasar hingga tega mengenepikan kehebatan dan kemukjizatan Al-Quran. Sesi-sesi bersama Dr. Har akhir-akhir ini tambah menginsafkan saya tentang kealpaan diri selama ini yang dihadiahi dengan nikmat mengenal dan tahu membaca Al-Quran tetapi tidak mencuba untuk menggali sedalam-dalamnya akan ilmu yang terkandung di dalamnya. Semoga masih belum terlambat untuk saya memperbetulkan kesilapan itu. Kepada teman saya yang gigih memperelokkan bacaan, semoga lidahmu dilancarkan untuk menuturkan kalimah suci Allah dan semangat serta usaha itu akan terus mekar meskipun sudah Ramadhan berakhir kelak.

P/s: Selamat bercuti kepada negeri-negeri yang mengambil 17 Ramadhan sebagai cuti umum. Saya bukan salah satu daripadanya :)

No comments: