Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, August 25, 2011

Ramadhan Kali Ini

Bismillahirrahmanirrahim...

Suasana di pejabat sudah mula sunyi sepi kerana sudah ada rakan-rakan yang bercuti raya. Saya masih lagi di pejabat menghabiskan saki baki waktu di samping mengemaskini fail dan barang-barang. Malah saya belum memutuskan sama ada untuk bertolak pulang ke kampung sama ada pada hari Sabtu atau Ahad. Tanpa saya sedari, sudah genap setahun saya di sini. Meskipun saya sepatutnya memasuki pejabat semula sebelum mula menghadiri kuliah yang akan bermula pada 12 September, saya memilih untuk menghabiskan baki cuti rehat dan meneruskan cuti sehingga tiba waktu kuliah. Ini bermakna saya akan bercuti selama 2 minggu sebelum memulakan sesi kuliah di UTM. Namun begitu, ada beberapa urusan yang masih belum selesai berkaitan urusan menyambung pelajaran dan saya bercadang untuk menguruskannya dalam saki baki waktu yang tersisa itu.

Tanpa kita sedari, hari ini sudah 25 Ramadhan dan hanya tinggal baki beberapa hari lagi sebelum Syawal memunculkan diri. Meskipun ada yang menyatakan kesedihan dengan pemergian Ramadhan, pada saya ia adalah ketentuan daripadaNya jua. Pasti ada hikmah dan sebab musabab yang cukup kukuh mengapa Allah menetapkan aturanNya sedemikian rupa. Yang penting, ruang untuk beribadah dan meraih sebanyak mungkin pahala yang telah Allah sediakan sepanjang bulan Ramadhan ini telah kita pergunakan dengan sebaik mungkin tanpa sekelumit rasa kesal apabila Syawal tiba kelak. Syawal adalah pemberian/hadiah daripada Allah sebagai hari untuk meraikan kemenangan setelah melalui Ramadhan kepada hamba-hambaNya. Tegakah kita untuk menolak pemberianNya? Malah perjuangan selepas Ramadhan adalah perjuangan yang sebenar-benarnya untuk melihat sama ada apa jua ibadah yang diperlakukan sepanjang Ramadhan akan berjaya diteruskan malah dipertingkatkan pada bulan-bulan lain.

Ramadhan kali ini nyata agak berbeza buat saya kerana kekerapan menghadiri majlis berbuka puasa di luar berbanding tahun-tahun yang lalu. Malah sehingga hari ini, belum pernah sekali pun saya berbuka puasa sendirian di rumah. Syukur kepadaNya atas kurniaan nikmat ini. Setelah dikira, ada 9 majlis berbuka puasa yang menyediakan buffet telah saya hadiri sepanjang Ramadhan ini dan majlis semalam di PICC adalah yang terakhir. Sebahagiannya ada yang perlu saya bayar sendiri dan sebahagian lagi dibelanja oleh ketua. Selebihnya pula sudah pasti saya akan berbuka puasa di masjid sahaja bersama teman-teman. Sepanjang pengamatan saya berbuka puasa secara buffet pula, bayaran yang dikenakan seringkali tidak sepadan dengan apa yang kita makan malah akhirnya terjadi pembaziran. Sejujurnya, saya lebih gemar berbuka puasa di masjid sahaja agar mudah untuk menunaikan solat berjemaah namun demi memenuhi undangan dan juga merapatkan ukhuwwah bersama teman-teman, saya mengorbankan keinginan itu untuk bersama mereka. Saya anggap ia satu tindakan sebagai menunjukkan rasa syukur saya atas nikmat persahabatan yang terjalin antara kami.

Jika dibandingkan dengan tahun lepas sewaktu masih tinggal bersama adik-adik di Keramat, masa saya banyak dihabiskan di dalam kereta sahaja dan banyak kali juga saya terpaksa berbuka puasa di dalam kereta. Lebih menyedihkan apabila jarak untuk tiba ke rumah hanya beberapa meter sahaja tetapi kerana kesesakan jalanraya, saya terpaksa berbuka di dalam kereta terlebih dahulu.

Namun begitu, di samping soal makan, Ramadhan kali ini juga memberi makna yang lebih mendalam buat diri saya apabila setelah sekian lama hanya solat tarawih sebanyak 8 rakaat sahaja, saya gagahkan diri untuk bertahan sehingga 23 rakaat termasuk witir. Ajaibnya, saya mampu melakukannya sedangkan selama ini saya sering merasakan tidak mampu untuk berbuat demikian. Ternyata yang tidak mampu selama ini hanyalah nafsu saya sedangkan hakikat dalam diri menginginkannya. Terasa betapa rugi mensia-siakan Ramadhan-Ramadhan yang berlalu sebelum ini sedangkan belum pasti kita akan bertemu dengan Ramadhan akan datang. Dek kerana selama ini merutinkan diri melaksanakan solat Tarawih hanya sebanyak 8 rakaat sahaja, ia memang satu cabaran yang cukup besar untuk mengubahnya namun Alhamdulillah berkat kesungguhan, saya berjaya melakukannya juga meskipun hanya bermula selepas 10 hari Ramadhan berlalu. Dari situ saya belajar bahawa yang segalanya bermula dari kehendak hati sendiri. Jika hati menginginkannya, pasti kita akan mampu melakukannya namun jika hati sudah berkata sebaliknya, ia akan hanya menjadi hangat-hangat tahi ayam. Cubalah untuk tidak berganjak sebaik selesai bacaan doa pada rakaat ke-8 dan kekal sehingga 10 rakaat, rasa sayang untuk meninggalkannya akan timbul dan akhirnya meneruskan hingga akhir. Semoga saya terus bertahan menghabiskan solat Tarawih sehingga penghujung Ramadhan.

Jika tahun-tahun sebelum ini, saya dan adik-adik pasti akan memperuntukkan hari-hari tertentu pada hujung minggu untuk keluar membeli-belah baju raya dengan warna tema tertentu, tahun ini saya langsung tidak ambil pusing tentangnya. Saya hanya membeli sepasang baju kurung sahaja dan sudah pasti tahun ini tiada warna temanya. Saya harus menerima hakikat bahawa apabila masing-masing sudah dewasa dan membawa haluan sendiri, keadaan menjadi semakin sukar untuk melakukan apa yang sering dilakukan bersama sebelum ini. Mungkin sudah tiba masanya untuk saya memfokuskan kepada keperluan diri sendiri pula daripada terlalu memikirkan tentang diri orang lain sahaja.

Yang nyata, Ramadhan kali ini memang cukup berbeza buat saya. Entah sempat atau tidak bersua dengan Ramadhan pada tahun hadapan meskipun hati ini amat merindui kehadirannya.

"Seandainya Ramadhan kali ini adalah yang terakhir buat diri yang kerdil ini, Kau terimalah Ya Allah segala amal ibadat yang diperlakukan sepanjang bulan ini."

Wednesday, August 24, 2011

Ketupat Sotong dan Aiskrim Strawberi

Bismillahirrahmanirrahim...

Ketupat Sotong

Beberapa hari lepas, saya nyatakan pada status di FB keinginan untuk memakan ketupat sotong iaitu sejenis kuih tradisional yang terkenal di negeri-negeri Pantai Timur. Saya baru sahaja menikmati keenakannya sewaktu pulang menyambut Ramadhan di kampung baru-baru ini tetapi saya tidak pernah menemuinya dijual di sini. Lucunya, kenyataan saya di FB menarik perhatian beberapa orang teman sehingga ada yang meminta saya memasaknya kerana mengidam dan ada yang meminta resepi untuk mencubanya sendiri. Demi memenuhi hasrat teman-teman, usai urusan servis kereta pada pagi Sabtu, saya terus menuju ke Tesco Cheras untuk membeli sotong segar. Saya borong 3 kilo sotong beserta bahan-bahan berkaitan untuk membuat ketupat sotong. Secara kebetulan, saya bercadang untuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama teman-teman lama di SMAASZA pada hari tersebut. Justeru, saya bercadang untuk membawanya bagi memenuhi permintaan beberapa orang teman sebelum ini dan sebahagiannya pula untuk teman-teman yang mengidam.

Pada saya, penyediaan ketupat sotong adalah sangat mudah. Fasa melecehkan cuma semasa untuk membersihkan sotong daripada kotoran dakwat hitam dan juga membuang kulit sotong. Terserah citarasa masing-masing sama ada untuk membuang kulit merah yang meliputi sotong atau tidak tetapi saya lebih gemar menikmati ketupat sotong tanpa kulitnya. Ada yang sengaja tidak membuangnya agar warna kuah kelak bertukar menjadi merah.

Sotong yang telah siap dibersihkan
Selain sotong, bahan-bahan lain yang diperlukan adalah,

1. Beras pulut
2. Pencungkil gigi
3. Santan
4. Halba
5. Serai
6. Bawang putih
7. Bawang merah
8. Halia
9. Garam
10. Gula kasar/Gula melaka

Pencungkil gigi
Pada saya, cara untuk membuatnya cukup mudah dan ringkas asalkan kesemua bahan-bahan yang diperlukan mencukupi. Mula-mula beras pulut yang telah dibersihkan dimasukkan ke dalam sotong pada kadar separuh sahaja. Disarankan untuk tidak memasukkan beras pulut dengan padat supaya apabila pulut mengembang, kulit sotong tidak terkoyak kerana ruang yang ada tidak mampu menampungnya.

Beras pulut

Beras pulut yang telah dibersihkan dimasukkan ke dalam sotong

Kemudian sotong dicucuk dengan pencungkil gigi agar beras pulut yang telah dimasukkan ke dalamnya tidak terkeluar semasa proses memasak kelak. Sementara itu, bahan-bahan lain iaitu bawang merah, bawang putih dan halia dimayang halus sebelum dimasukkan ke dalam periuk yang mengandungi santan. Kemudian hidupkan api sambil santan dikacau supaya tidak pecah minyak. Seterusnya masukkan halba, serai, gula dan garam ke dalam campuran santan tadi dan tunggu hingga santan mendidih. Apabila santan sudah mendidih, masukkan sotong-sotong yang telah siap dimasukkan beras pulut tadi ke dalamnya dan biarkan beras pulut hingga masak. Warna kuah pula akan menjadi putih sekiranya kita menggunakan gula kasar dan warna coklat pula apabila menggunakan gula melaka namun kedua-duanya saya gemari juga. Selalunya masa diambil untuk beras pulut masak cuma sekitar 10-15 minit sahaja. Mudah bukan?

Sotong dimasukkan ke dalam kuah santan yang mendidih

Sesudah masakan siap, bolehlah dihidang dan sesuai dimakan untuk minum petang bersama keluarga atau ada juga sesetengah orang yang menjadikannya pencuci mulut selepas makan tengahari atau makan malam. Terserah pada citarasa masing-masing. Kalau pada saya, bila-bila masa pun sesuai dimakan cuma jangan diamalkan selalu kerana kandungan kolesterolnya yang agak tinggi di samping harga sotong yang boleh tahan juga :)

Aiskrim Strawberi

Saya memborong banyak buah strawaberi semasa kunjungan terakhir ke Cameron Highland sebelum Ramadhan baru-baru ini. Saya memang berniat untuk mengisar dan menjadikannya aiskrim sepertimana yang dinikmati di Cameron sebelum ini. Harganya sekitar RM1 sebatang dan saiznya lebih kecil. Namun niat saya itu sering terhalang kerana saya terlupa untuk membeli plastik aiskrim yang akhirnya saya beli di sebuah kedai di belakang teratak saya sahaja. Justeru, 2 hari lepas, usai memasak makanan untuk sahur, saya mengeluarkan strawberi daripada peti sejuk dan mengisarnya. Kemudian saya campurkan sedikit air gula untuk mengurangkan rasa masam strawberi.

Strawberi sebelum dikisar

Plastik aiskrim
Akhirnya, saya masukkan hasil kisaran strawberi dan air gula ke dalam plastik aiskrim dan diikat kemas-kemas. Hasilnya, saya peroleh sekitar 25 batang aiskrim. Nyam nyam! Tidak sabar untuk menikmatinya. Proses paling penting sudah tentulah dengan membekukannya di dalam peti sejuk sebelum boleh dinikmati kesedapannya.

Ikat kemas-kemas

Sejuk beku

Kini, setiap hari selepas pulang dari solat tarawih, benda pertama yang akan saya cari adalah aiskrim strawberi. Nyam nyam! :D 

Wednesday, August 17, 2011

Nuzul Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim...

Ramadhan sudah melepasi fasa pertengahannya. Malam tadi saya sempat berbuka puasa dan solat tarawih di Masjid Putra bersama-sama jemaah yang lain. Bersempena dengan kedatangan 17 Ramadhan iaitu hari Al-Quran diturunkan, pihak pengurusan masjid telah menganjurkan satu ceramah berkaitan peristiwa tersebut. Justeru, solat tarawih pada malam tadi hanya dilaksanakan sebanyak 8 rakaat sahaja bagi memberi laluan kepada slot ceramah.

Apabila bercakap mengenai Al-Quran, setiap kali itu juga hati saya akan menjadi sayu kerana menyedari akan kekurangan diri sendiri yang tidak bersungguh-sungguh mendalami kandungannya. Ya benar, saya mengenal dan tahu membaca Al-Quran tetapi sejauh mana saya benar-benar menghayatinya amat sukar untuk saya jawab. Namun begitu, jauh di sudut hati saya tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk setidak-tidaknya mengenal dan tahu untuk membacanya.

Sewaktu menyewa di Shah Alam beberapa tahun yang lalu, saya pernah mengikuti kelas pengajian dewasa anjuran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Tanpa disangka, saya merupakan pelajar paling muda dalam kelas tersebut kerana rata-rata pelajar lain adalah sebaya dengan Abah dan Ummi saya. Kebanyakan mereka adalah pesara atau sudah mempunyai anak-anak yang dewasa dan penglibatan mereka sekadar untuk mengisi masa lapang sahaja. Walau bagaimanapun, kesungguhan dan kegigihan mereka amat saya kagumi kerana sanggup mengikis rasa malu dan ego demi untuk mempelajari ilmu Al-Quran. Kekadang hati saya sebak apabila mendengar pujian makcik-makcik yang mengatakan saya beruntung kerana dapat membaca Al-Quran dengan baik dalam usia yang masih muda. Pujian itu sewajarnya saya kembalikan kepada arwah nenek (saya panggil Wan) yang telah mengajar saya mengaji Al-Quran sejak berusia 7 tahun sehingga saya khatam pada usia 8 tahun. Wan mengajar saya dan adik-beradik serta beberapa orang anak penduduk kampung dengan kaedah tradisional iaitu membaca secara berhadapan seorang demi seorang dan kesilapan akan terus diperbetulkan oleh Wan. Apabila kami melakukan kesilapan, Wan tidak pilih kasih untuk menjatuhkan hukuman dengan merotan kami. Pedihnya memang terasa dan air mata akan bercucuran membasahi wajah namun kesannya, kesilapan itu tidak akan diulangi lagi dan kekal dalam ingatan saya sehingga hari ini.

Di samping itu, kami sempat merasai suasana menimba air telaga untuk dipenuhkan dalam tempayan dan dijadikan air basuhan kaki sebelum memulakan sesi mengaji. Ia antara momen-momen indah dalam hidup saya yang mungkin tidak akan dirasai oleh generasi baru pada hari ini.

Ramadhan kali ini saya ditemani oleh seorang teman yang setia untuk beriadah sebelum berbuka dan seterusnya solat tarawih bersama. Tanpa dirancang, saya akhirnya menjadi penuntun bacaannya hampir setiap hari pada waktu senggang antara solat Maghrib dan Isyak. Meskipun saya sendiri tidak punya tauliah untuk mengajar orang lain, kesungguhan teman saya ini untuk memperbetulkan bacaannya cuba saya sokong dengan mendengar bacaannya di samping berkongsi sedikit ilmu tajwid yang ada pada saya. Secara tidak langsung, sesi itu juga menjadi ruang untuk saya kembali mengulangkaji ilmu yang telah agak lama dipinggirkan malah ada juga yang telah hampir saya lupakan. Astaghfirullahala'zim. Setidak-tidaknya teman saya ini punya kesedaran dan keazaman untuk memperbaiki kelemahan dirinya sendiri dan sebagai seorang teman, saya wajib menyokong penuh hasrat murninya itu. Sabda Baginda Rasullullah SAW,

“(Manusia) yang paling baik di kalangan kamu ialah (mereka) yang belajar Al Quran dan mengajarkannya.”

(Bukhari, Abu Daud dll)

Hadith tersebut menerangkan bahawa golongan yang lebih baik adalah mereka yang mempelajari Al-Quran dan kemudian mengajarkannya kepada orang lain pula.  Jelas di situ, golongan yang ingin mempelajari Al-Quran dinyatakan terlebih dahulu berbanding golongan yang mengajarkannya kepada orang lain. Seharusnya hadith ini menjadi pendorong kepada golongan yang merasa segan atau takut untuk membaca Al-Quran kerana bimbang akan melakukan dosa. Pada saya, orang yang mencuba untuk mempelajari Al-Quran meskipun melakukan kesilapan semasa membacanya adalah jauh lebih mulia daripada orang yang menolak terus untuk mencuba. Al-Quran adalah buku teks utama bagi orang Islam dan ia tidak seharusnya digeruni sebaliknya perlu dikelek dan dikendong walau ke mana jua kaki melangkah. Sepertimana kita merangkak-rangkak sewaktu mula mengenal abjad A, B, C dan seterusnya, begitulah juga dalam soal membaca Al-Quran. Practice makes perfect. Jangan pernah takut untuk mencuba untuk melakukan sesuatu yang sememangnya disuruh dan disukai oleh Allah. Jika dalam urusan pekerjaan, kita begitu taat mematuhi dan menuruti perintah ketua, pasti ketaatan terlebih utama lagi dalam soal memenuhi tuntutan Pencipta kita sendiri. Peringatan ini buat diri saya juga yang terkadang tersasar hingga tega mengenepikan kehebatan dan kemukjizatan Al-Quran. Sesi-sesi bersama Dr. Har akhir-akhir ini tambah menginsafkan saya tentang kealpaan diri selama ini yang dihadiahi dengan nikmat mengenal dan tahu membaca Al-Quran tetapi tidak mencuba untuk menggali sedalam-dalamnya akan ilmu yang terkandung di dalamnya. Semoga masih belum terlambat untuk saya memperbetulkan kesilapan itu. Kepada teman saya yang gigih memperelokkan bacaan, semoga lidahmu dilancarkan untuk menuturkan kalimah suci Allah dan semangat serta usaha itu akan terus mekar meskipun sudah Ramadhan berakhir kelak.

P/s: Selamat bercuti kepada negeri-negeri yang mengambil 17 Ramadhan sebagai cuti umum. Saya bukan salah satu daripadanya :)

Tuesday, August 16, 2011

Majlis Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim...

14 Ogos 2011 - Saya ada nyatakan dalam entri sebelum ini yang saya berpeluang menghadiri sesi usrah bersama Dr. Harlina (Dr. Har) di rumah beliau yang terletak di Alam Damai, Cheras. Sejak dari mula urus setia mengumumkan tarikh pertemuan seterusnya, saya sudah berniat untuk menghadirkan diri pada sesi tersebut. Sebenarnya sesi kali ini adalah lanjutan sesi sebelum ini yang telah saya hadiri pada 17 Julai 2011 yang lalu. Bagi sesi kali ini, lokasi majlis ilmu diadakan di rumah Dr. Har sendiri yang terletak bersebelahan dengan Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai. Pada saya, kedudukan rumah Dr. Har memang strategik berikutan ruang tempat letak kereta masjid boleh digunakan oleh peserta-peserta majlis ilmu. Namun begitu, saya terlewat selama 10 minit daripada masa ditetapkan iaitu jam 11 pagi kerana kesilapan mengambil simpang menyebabkan saya terlajak dan terpaksa membuat pusingan U untuk kembali ke laluan yang betul.

Setibanya di sana, saya dapati majlis sudah bermula dan ruang tamu rumah Dr. Har sudah dipenuhi oleh pencinta-pencinta ilmu. Segan juga kerana terlewat tiba sedangkan perbincangan sudah bermula. Sudah agak lama juga tidak menghadiri majlis sebegini dan duduk berhimpit-himpit di antara satu sama lain. Menariknya, saya mampu bertahan bersila begitu selama hampir 2 jam dan begitu fokus sehingga tidak sedar jam sudah menghampiri pukul 1 petang. Majlis perlu dihentikan untuk memberi laluan kepada persediaan untuk solat Zuhur pula. Terasa sungguh berharga meluangkan masa untuk menghadirinya terutama dalam bulan Ramadhan. Meskipun saya hanya datang bersendirian sahaja, keramahan dan kemesraan rakan-rakan usrah yang hadir termasuk Dr. Har sendiri membuatkan saya tidak terasa terlalu asing berada di kalangan mereka. Ada sesuatu yang indah di situ dan tidak mampu saya ungkapkan dengan kata-kata. Mungkinkah ini yang dinamakan kemanisan ukhhuwwah?

Ada beberapa perkara yang dibincangkan dalam majlis tersebut bersama kami dan buku rujukan utama masih Al-Quran dan buku karangan saudara Fathi Yakan, 'Apa Makna Saya Menganut Islam'. Saya senaraikan berdasarkan catitan yang dibuat iaitu:

  1. Mengalah bukan bererti kalah. Dr.Har mengaitkan keadaan ini terutama bagi pasangan suami isteri agar untuk mengekalkan sebuah perkahwinan, adalah lebih baik jika si isteri mengalah dalam perkara-perkara remeh seperti jalan yang ingin dilalui untuk ke sesuatu tempat, jenis kicap dan pelbagai lagi perkara yang tidak melanggar syariat;
  2. Bulan Ramadhan adalah bulan transformasi daripada menjadi hamba manusia kepada menjadi hamba Allah;
  3. Iman adalah penyebab yang menimbulkan keseronokan dalam beribadah;
  4. Menurut Saidina Ali Karramallahuwajhah, ada 3 tingkat keimanan iaitu i) orang yang beribadat semata-mata untuk mengharapkan pahala/keuntungan semata dan golongan ini dipanggil 'peniaga', ii) orang yang beribadat kerana takut dengan azab Allah adalah orang yang 'penakut', iii) orang yang beribadat kerana rasa syukur dipilih oleh Allah menjadi hambaNya adalah orang yang paling beruntung. Ibadah tingkat i) dan ii) masih diterima namun kemanisan ibadah tidak akan mampu dirasai oleh golongan tersebut;
  5. Surah At-Tahrim, ayat 10-12 adalah perumpamaan bagi orang-orang yang beriman iaitu i) kisah Asiah yang tetap beriman meskipun bersuamikan Firaun, ii) kisah Maryam, ibu kepada Nabi Allah Isa;
  6. Bulan Ramadhan juga adalah bulan untuk naik pangkat;
  7. Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah;
  8. 5 sumber kekayaan Ramadhan adalah i) Al-Quran, ii) Solat Tarawih, iii) Zikir, Ma'thurat antara waktu selepas Subuh dan Dhuha, iv) Solat berjemaah di masjid, v) istighfar;
  9. Strategi untuk mendapat Lailatulqadar, i) puasa, ii) solat Maghrib berjemaah, iii) solat Isyak berjemaah, iv) solat Tarawih, v) Qiamullail, vi) Sahur, vii) solat Subuh.

Itu antara perkara-perkara yang dibincangkan dan masih banyak lagi sebenarnya mutiara ilmu yang dikongsikan oleh Dr. Har bersama kami semasa sesi tersebut tetapi tidak mampu saya rakamkan kesemuanya. Mungkin saya perlu bawa perakam suara dalam sesi seterusnya.

Ada hikmah juga saya menyambung pengajian di dalam negara sahaja kerana ini bermakna saya masih dapat menghadiri sesi-sesi lain pada masa akan datang. Saya berazam untuk cuba memastikan diri tetap istiqamah menghadirinya kerana saya yakin, jika ingin menjadi baik, mendampingi orang-orang yang juga mempunyai matlamat yang sama adalah satu daripada syarat-syaratnya.

Monday, August 15, 2011

Kuasa Pengguna

Bismillahirrahmanirrahim...

14 Ogos 2011 - Terus terang sehingga hari ini saya tidak pernah membeli apa-apa barangan daripada Courts. Namun apabila melihat tawaran tuntutan treatpoints Maybankard yang melayakkan saya untuk menuntut sebuah kerusi pejabat daripada Courts, saya putuskan untuk menuntutnya segera sebelum tamat tempoh pada 31 Ogos 2011. Secara kebetulan, saya memang sedang mencari kerusi tersebut untuk diletakkan di bilik ketiga yang memuatkan meja belajar. Justeru, tawaran ini memang tepat pada masanya.

Item yang ingin dituntut

Tengahari tadi, usai sesi usrah di rumah Dr. Harlina Siraj dan solat zuhur, saya terus ke Courts cawangan The Mines memandangkan kedudukannya yang paling hampir dengan teratak saya. Seperti biasa, kadar bayaran parking pada hujung minggu adalah sebanyak RM2 berbanding pada hari bekerja sebanyak RM1 sahaja. Saya segera menuju ke premis Courts yang terletak di aras 3 The Mines.

"Dik, akak nak tanya. Macamana nak redeem treatpoints Maybank di sini?" soal saya kepada salah seorang staf yang ada di situ.

"Akak perlu ke kaunter juruwang," balas staf tersebut.

Saya menuju ke tempat yang diarahkan.

"Dik, akak datang ni nak redeem treatpoints Maybank. Akak nak office chair," terang saya kepada juruwang (JW) bertugas.

"Sekejap saya semak ada stok ke tak ya," ujar JW tersebut.

Saya menunggu selama 15 minit sambil meninjau-ninjau barangan yang diletakkan di ruang legar premis sementara menunggu JW kembali. Sedikit pun saya tidak terdetik untuk membelinya. Saya sering merasakan pakej yang ditawarkan oleh Courts adalah lebih mahal berbanding tempat-tempat lain. Tidak lama kemudian, JW tadi muncul dengan membawa sehelai kertas yang menyenaraikan item yang layak diredeem.

"Minta maaf akak. Item tu dah habis stok," terang JW kepada saya.

"Ala, yeke? Habis tu macamana ya? Akak risau tak sempat je sebab promosi tu sampai akhir bulan ni je kan?" balas saya kepada JW.

"Cuba akak cari di cawangan lain kalau-kalau ada," ujar JW memberi cadangan.

"Bila stok baru di sini akan masuk?" soal saya kepada JW kerana masih belum berpuas hati dengan keterangan yang diberi.

"Tak pasti la kak," jawab JW acuh tak acuh.

"Cawangan terdekat kat mana ye?" soal saya lagi walaupun saya sudah mengetahuinya daripada laman web Courts.

Mungkin kerana saya sengaja ingin melihat sejauh mana kesungguhan JW tersebut melayan pelanggan.

"Kajang atau Cheras," balas JW ringkas.

Malas untuk memanjangkan lagi pertanyaan, saya segera beredar menuju ke cawangan Kajang. Tiba di sana, saya berurusan di kaunter berkenaan dan diminta oleh staf bertugas untuk tunggu sebentar kerana dia ingin menyemak sama ada stok masih ada atau tidak. Tidak lama kemudian, dia muncul kembali.

"Akak, minta maaf sebab stok item tu dah habis. Stok item tu cuma ada di cawangan The Mines je," terang staf tersebut.

Hah! Memang saya terkejut besar mendengar kenyataan staf tersebut.

"Biar betul dik. Akak memang datang dari cawangan The Mines tadi. Cawangan sana bagitahu stok di sana pun dah habis," terang saya kepada staf tersebut.

"Saya dah telefon cawangan The Mines. Stok memang masih ada. Akak jumpa Ija, dia stock controller kat sana" ujarnya lagi.

"Hairan betul. Tadi kata tak ada. Jadi saya kena pergi sana ke?" soal saya lagi.

"Nampaknya macam itulah," jawab staf itu.

"Ok, saya pergi ke sana. Terima kasih. Tadi orang sana cakap tak ada, sekarang ada pula," rungut saya sambil berlalu pergi.

Saya ambil keputusan untuk menyelesaikan urusan tersebut pada hari ini juga kerana bimbang tidak sempat menuntutnya sebelum tamat tempoh promosi. Maka saya terus berpatah balik ke The Mines dan mujur juga trafik lancar menyebabkan saya mengambil masa yang singkat sahaja untuk sampai ke sana. Disebabkan itu juga, saya terpaksa membayar tiket parkir kereta sekali lagi. Usai memarkirkan kereta, saya terus menuju ke kaunter JW dan mujurlah JW yang saya temui tadi masih ada di situ.

"Dik, ingat tak tadi akak datang tanya pasal nak redeem kerusi pejabat guna treatpoints dan adik cakap stok dah habis?" soal saya kepada JW tersebut.

JW menganggukkan kepala tanda masih mengenali saya.

"Akak ke cawangan Kajang tadi. Katanya stok hanya ada di sini sahaja," balas saya semula.

JW tersebut ternyata terkejut dengan kenyataan saya dan menunjukkan riak tidak puas hati dengan kenyataan saya itu.

"Tapi saya dah check tadi, memang tak ada stok kat sini," jawab JW itu.

"Habis tu, kenapa cawangan Kajang bagitahu stok ada di sini?" soal saya lagi.

"Tapi cawangan sana tak ada call kami pun tanya," ujar JW masih tidak puas hati dengan soalan saya.

"Manalah saya tahu, dah orang sana bagitahu dia dah call sini. Diaorang suruh saya jumpa Ija, stock controller kat sini. Korang ni biar betul, macam tak bagi saya redeem je," tegas saya.

Memang diakui saat ini saya sudah mula merasa geram dengan sikap acuh tidak acuh JW tersebut namun saya masih cuba mengawal diri kerana mengenangkan yang saya berpuasa. JW pula membuat panggilan menghubungi staf lebih senior mungkin, meminta agar datang untuk membantunya.

Benar sangkaan saya. Tidak lama selepas itu, seorang staf lain muncul dan menghampiri saya.

"Sori cik, stok item tu memang dah habis," ujar staf senior tersebut kepada saya tanpa bertanya terlebih dahulu kepada saya tentang situasi sebenar yang berlaku.

Berdasarkan kenyataan yang diberi, saya beranggapan mungkin JW tadi sudah menceritakan apa yang berlaku kepadanya sewaktu perbualan melalui telefon tadi.

"Masalahnya, saya dah ke Kajang. Orang sana yang bagitahu stok ada di sini sahaja," balas saya.

Saya akui memang sangat tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan dan ditambah pula dengan sikap tidak membantu yang ditunjukkan.

"Akak kena tunggu stok baru sampailah," kata staf itu lagi sambil matanya meliar ke sekeliling.

Kesabaran saya mula tergugat.

"Saya tak kira, saya mesti dapatkan stok tu sebab saya telah diperbodohkan ke sana ke mari sedangkan awak boleh semak dahulu kedudukan stok dan bukannya menyuruh pelanggan berkejar ke mana-mana cawangan mencarinya sendiri," luah saya dengan nada kesal.

"Masalahnya, sistem pun tak tepat kak. Kadang-kadang apa yang dipaparkan tak semestinya ada," terang staf tersebut menambahkan lagi kebingungan saya.

"Itu bukan masalah saya. Takkan saya sebagai pelanggan pula nak kena tahu apa yang ada dalam sistem tu betul atau tak. Sekarang saya mahukan jaminan yang bila stok masuk, saya akan dapat 1 unit item tu," ujar saya memberi cadangan altenatif.

"Oklah kak, kita akan buatkan invois untuk akak. Nanti stok dah masuk, kita akan hubungi akak untuk datang ambil," kata staf itu menyetujui keinginan saya.

Bukankah lebih mudah jika sejak mula lagi mereka memberikan alternatif sebegitu kepada saya dan bukannya dengan memberi jawapan dan tindakan yang semakin memburukkan keadaan. Apa yang paling saya kesali adalah ketidaksungguhan mereka dalam membantu pelanggan selepas kesukaran yang dialami oleh pelanggan adalah berpunca daripada ketidakcekapan mereka sendiri. Saya masih boleh menerima jika mereka meminta maaf selepas kekeliruan yang berlaku dan seterusnya mereka memberi alternatif kepada saya untuk dipertimbangkan. Tindakan membiarkan sahaja mana-mana pelanggan berada dalam kekeliruan sememangnya boleh mencetuskan suasana yang kurang menyenangkan. Pelanggan merasa tidak dihargai lantas memberikan respon yang tidak terjangka. Dalam kes saya, akhirnya saya mendapat tempahan untuk unit tersebut sebaik stok baru sampai namun itu pun selepas saya sendiri yang bertegas untuk mendapatkannya juga. Jika saya hanya berlalu begitu sahaja dan menerima apa jua layanan acuh tidak acuh yang diberikan, sudah pasti saya tidak akan mendapatnya.

Entahlah, kadang-kadang saya hairan dengan sikap sesetengah pekerja yang dipertanggungjawabkan untuk melayan pelanggan. Seolah-olah tidak ternampak keikhlasan apabila melakukannya. Saya pula jenis yang amat pantang jika terasa hak sebagai pengguna diperkotak-katikkan kerana saya merasakan kita mengeluarkan sejumlah wang untuk mendapatkannya. Kita bukan ingin mendapatkannya secara percuma. Sesetengah orang mungkin akan merasakan yang saya ini seorang yang cerewet tapi pada saya, cerewet saya kena pada tempatnya. Ini soal hak kita sebagai pengguna dan jika kita terasa hak itu diabaikan atau tidak diterima sedangkan kita membayar untuk mendapatkannya, maka kita selayaknya menuntut kembali bahagian yang tidak diperoleh itu. Terserahlah bentuk pengembalian yang ingin diberikan oleh peniaga atau penyedia perkhidmatan asalkan kita dilayan seadilnya.

Saya berpendapat tindakan tidak ambil kisah pengguna terhadap hak-hak mereka sendiri menyebabkan  peniaga atau penyedia perkhidmatan juga tidak ambil peduli tentang kepentingannya. Amat sukar mencari peniaga yang benar-benar jujur pada hari ini selain mengharapkan keuntungan semata-matanya. Selagi itu berlaku, selagi itulah saya akan memastikan apa yang saya terima adalah setimpal dengan apa yang saya bayar.

Saturday, August 13, 2011

Kepuasan

Bismillahirrahmanirrahim...

Akhir-akhir ini saya agak aktif membantu menjayakan beberapa program bersama rakan-rakan. Ia bermula dengan program reunion MRSM Muar pada awal bulan Julai yang lalu. Sejak itu, saya semakin seronok menganjurkan pertemuan demi pertemuan meskipun ia menuntut banyak pengorbanan dari segi masa dan tenaga. Namun benar kata orang, apabila kita merasa seronok melakukan sesuatu perkara maka kita tidak akan merasai keletihan atau kepenatannya. Malah kepenatan itu berlalu sebaik kepuasan menjayakan program terbit. Sepanjang bulan Ramadhan ini, ada beberapa program iftar (berbuka puasa) yang saya anjurkan dan Alhamdulillah, program pertama pada petang semalam berjalan lancar meskipun jumlah kehadiran hanya 3/4 daripada sasaran sebenar. Saya menjangkakan kehadiran adalah sekitar 50 orang tetapi angka 40 orang sudah cukup menggembirakan saya. Terasa berbaloi memperuntukkan sebahagian masa untuk merencana dan menguruskannya. Masih ada beberapa program berbuka puasa yang akan dianjurkan dalam masa terdekat ini. Kesedaran ini timbul kesan menjayakan program reunion dan apabila saya mula nampak akan kepentingannya dalam kehidupan ini. Mungkin saya agak terlewat menyedarinya tetapi hakikatnya hidup ini terletak bukan pada menerima tetapi sebaliknya pada memberi. Memberi dalam erti kata yang cukup luas sama ada bentuk kewangan, sokongan moral dan apa jua bentuk lain yang dapat membantu menggembirakan orang lain atau setidak-tidaknya membuat orang lain merasa lebih dihargai.

Saya akui sebelum ini saya juga memandang sambil lewa akan kepentingan alumni malah agak kurang memberi komitmen untuk menjayakan program-program berkaitan dengannya. Kini saya sedar, peranan alumni bukan setakat menganjurkan program sebaliknya ia berperanan sebagai wadah untuk memastikan ukhuwwah yang terjalin dapat diikat kemas dan dipelihara sebaiknya. Ia boleh diibaratkan sebagai satu sistem sokongan yang diperlukan untuk membolehkan kita saling menyokong antara satu sama lain. Siapa sangka usaha yang mungkin nampak kecil tetapi tanpa sedar memberi kesan yang besar kepada orang lain. Yang penting, keinginan untuk memberi itu tetap hadir dan mekar dalam diri kita kerana meminjam slogan Ustaz Hasrizal Jamil, pemilik blog Saifulislam, erti hidup pada memberi. Setiap kali keresahan atau kesempitan hadir dalam hidup kita maka memberilah kerana dengan itu akan dapat meringankan beban yang kita tanggung. Pada pandangan mata kasar, fenomena ini mungkin ternampak pelik kerana untuk menambah tabungan di bank, kita perlu sentiasa menambah wang dan bukan sebaliknya. Begitulah indahnya Islam. Bahawa yang menjadi ukuran sebenarnya bukanlah nilaian wang atau aset yang dimiliki tetapi sejauh mana ketulusan hati si pemilik untuk berkongsi nikmat itu dengan orang lain. Bahawa sesungguhnya apa jua yang ada di dunia adalah milikNya semata. Manusia hanya bertindak sebagai pemegang amanahNya sahaja. Sepertimana seorang pemegang amanah yang dilantik dalam kes anak di bawah umur yang kehilangan penjaga perlu menyerahkan amanah itu apabila anak yang dijaga mencecah usia matang, begitulah juga kita perlu menyerahkan amanah Allah kepada pihak yang berhak apabila tiba masanya. Jika kita gagal bertindak sewajarnya sebagai pemegang amanah dalam urusan dunia maka kita akan dicop sebagai seorang yang pecah amanah dan boleh diambil tindakan undang-undang, hal yang sama boleh berlaku apabila kita bertindak yang sama dengan amanah Allah.

Semoga saya sentiasa mensyukuri nikmat kurniaanNya ini.

P/s: Petang ini saya akan berbuka puasa bersama adik-adik di House of Nasi Kerabu :)

Wednesday, August 10, 2011

Masa Yang Berlalu

Bismillahirrahmanirrahim...

Pejam celik, pejam celik, hari ini sudah 10 Ramadhan. Terasa cukup pantas masa berlalu. Seperti baru semalam mendengar pengumuman tarikh permulaan 1 Ramadhan. Begitulah masa berlalu tanpa kita sedari. Semakin usia menginjak, semakin pantas masa berlalu meninggalkan kita, tanpa menoleh ke belakang lagi. Bagi yang tahu menghargai masa, pasti akan mengisinya dengan pelbagai perkara yang mendatangkan manfaat dan sentiasa mencuba untuk meraih ganjaran sebesar-besarnya yang disediakan olehNya kepada hamba-hambaNya.

Jika 2 hujung minggu pertama Ramadhan saya habiskan di kampung bersama Abah dan Ummi, hujung-hujung minggu seterusnya sebelum tiba 1 Syawal, akan saya habiskan di sini sahaja. Setakat ini saya tidak punya sebarang perancangan untuk berkelana pada bulan Ramadhan. Alhamdulillah, jadual buka puasa pada kali ini dipenuhi dengan aktiviti bersama rakan-rakan sekolah dan juga rakan-rakan sekerja. Selebihnya saya berbuka puasa di masjid sekitar Putrajaya sahaja bersama teman-teman yang ingin turut serta. Lebih menarik Ramadhan kali ini tidak membataskan aktiviti saya untuk beriadah sebelum tiba waktu buka puasa malah turut disertai juga oleh seorang teman. Sekadar berjalan-jalan di taman sekitar 30 minit sudah cukup memadai untuk memastikan momentum untuk beriadah tidak akan menurun meskipun pada bulan Ramadhan. Tambahan pula saya mengambil nasi sekali sehari sepanjang bulan Ramadhan. Justeru, ia perlu saya seimbangkan dengan aktiviti riadah selepas beberapa bulan memberhentikan pengambilan nasi. Bimbang juga badan saya tidak akan mempunyai tenaga yang cukup untuk berpuasa. Namun ternyata puasa itu memang cukup indah. Setiap kali berbuka, sebenarnya tidak perlu mengambil makanan yang banyak  untuk merasa kenyang. Cukup sekadar mengambil beberapa ulas kurma, beberapa potong kuih dan segelas air sahaja.
Azam saya pada kali ini adalah untuk mengelakkan diri daripada mengunjungi pasar Ramadhan untuk mengelakkan pembaziran kerana seringkali jika ke sana, yang dibeli bukan kerana memenuhi lapar pada perut tetapi lapar di mata. Apa yang ternampak di mata, semua terasa mampu dihadamkan sedangkan hakikatnya perut tidak menginginkannya. Adalah lebih baik untuk saya mengelakkan diri daripada menjejakkan kaki ke situ dan hadir untuk berbuka puasa di masjid sahaja. Malah lauk yang disediakan di masjid juga tidak kurang enaknya. Ramadhan kali ini saya memilih untuk berbuka di Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai masjid besi berbanding tahun-tahun sebelum ini di Masjid Putra. Malah saya dapati sudah ramai yang lebih gemar berbuka bersama keluarga di sini dan turut membawa bekalan tambahan sendiri. Suasananya lebih mendamaikan dan begitu tenang. Agendanya juga mudah sahaja dan difahami oleh jemaah yang hadir. Sebaik azan Maghrib dilaungkan,  jemaah akan berbuka puasa dengan hidangan kurma dan kuih terlebih dahulu. Seterusnya solat Maghrib berjemaah dan selepas itu barulah dihidangkan dengan makanan yang lebih berat iaitu nasi dan lauk pauk. Sementara menunggu masuk waktu Isyak pula, masa senggang boleh diisi dengan membaca Al-Quran. Usai solat Isyak, jemaah akan sama-sama solat sunat Tarawih dan hidangan moreh turut disediakan sebelum pulang. Suasana begini amat sukar ditemui atau dilihat pada bulan-bulan selain Ramadhan. Terdetik di hati ini alangkah baiknya jika ia dapat diteruskan pada bulan-bulan lain juga.

Ramadhan sudah memasuki fasa kedua, fasa keampunan dan fasa rahmah akan berlalu pada hari ini. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk merebut segala manfaat yang terkandung dalam fasa ini dengan melakukan amalan-amalan wajib dan sunat dengan sebanyak mungkin. Semoga pada akhirnya kita akan diberi peluang untuk bertemu dengan malam penuh barkah, malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu lailatulqadar. Masih belum terlewat untuk kita berusaha untuk meraihnya dan semoga kita tidak akan tergolong sebagai orang-orang yang rugi kerana mensia-siakan masa emas yang disediakanNya. InsyaAllah.

Friday, August 5, 2011

Dilema Membuat Keputusan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kehidupan memang sentiasa menuntut kita untuk berdepan dengan pelbagai pilihan dan memutuskan untuk membuat pilihan yang dirasakan terbaik. Setiap hari apabila siang menjelma, kita berdepan dengan pilihan sama ada untuk bangun atau meneruskan tidur. Kemudian, pilihan perlu dibuat dalam soal menentukan pengambilan sarapan sama ada yang berkhasiat atau sebaliknya. Begitulah seterusnya termasuk soal memilih untuk melakukan kebaikan atau kejahatan dan sama ada untuk meneruskan kehidupan atau mengakhirinya dengan sebuah kematian. Meskipun ajal dan maut berada dalam ketentuan Allah jua, ramai juga yang telah memilih untuk 'mati' sebelum tiba masanya. Mereka ini adalah golongan yang sudah mengaku kalah sebelum berjuang. Suka atau tidak suka, mahu atau tidak mahu, kita perlu membuat pilihan yang dirasakan terbaik dan sudah pasti pilihan itu kita buat setelah memohon petunjuk daripadaNya jua. Sebaik keputusan telah dibuat, kita serahkan kepadaNya kembali untuk menentukan jalan seterusnya yang perlu dilalui.

Ini merupakan minggu-minggu akhir sebelum saya mula bercuti belajar dan saya terpaksa berdepan dengan keadaan yang memerlukan saya untuk membuat pilihan yang terbaik agar tidak menyesal di kemudian hari. Sebelum ini, saya begitu risau menanti keputusan permohonan daripada IPTA-IPTA yang saya pohon sama ada diterima atau ditolak. Kini apabila keputusan telah diterima, saya pula berada dalam dilema untuk membuat pilihan IPTA kerana hampir semua tempat yang dipohon memberikan respon yang positif. Meskipun saya sudah menetapkan pilihan pertama adalah UTM, namun apabila menerima jawapan daripada UKM yang turut menerima permohonan saya, ia sedikit sebanyak menggugat pendirian saya. Manakala untuk IPTA di Terengganu pula iaitu UNISZA dan UMT, saya terpaksa menolak untuk memasukinya kerana bidang yang ditawarkan agak tidak bersesuaian dengan bidang yang telah ditetapkan oleh penaja. Tambahan pula, kaedah pembelajaran yang ditawarkan pula adalah secara penyelidikan (research) sahaja sedangkan saya merancang untuk menyambung pelajaran sama ada secara kerja kursus (coursework) ataupun campuran (mix mode). Saya bukan bermaksud untuk mencari jalan mudah dengan memilih sama ada coursework atau mix mode tetapi saya melakukannya kerana menyedari keupayaan yang ada pada diri sendiri. Saya tidak ingin melakukannya kerana ingin membuktikannya kepada orang lain sebaliknya lebih kepada kepuasan untuk diri sendiri. Saya yakin kita tidak akan pernah mampu untuk memuaskan hati orang lain yang sentiasa sarat dengan pelbagai pendapat dan ekspektasi yang melangit. Justeru, adalah lebih baik jika saya bersaing dengan diri sendiri sahaja kerana setiap manusia itu unik dan istimewa dengan cara mereka tersendiri.

Untuk membantu saya membuat pilihan, saya hubungi bekas pensyarah di UIA dan beberapa orang teman yang sedang melanjutkan pengajian Master dan PhD untuk mendapatkan pandangan mereka. Saya perlu betul-betul pasti dan yakin dengan pilihan yang akan dibuat agar tidak pula menyalahkan diri sendiri kelak. Justeru, saya senaraikan saranan dan pendapat yang diberikan oleh mereka dari segi baik dan buruknya setiap pilihan yang diterima. Saya gabungkan pula input-input tersebut dengan senarai saya sendiri dan akhirnya saya mohon petunjuk daripada Allah Taala agar keputusan yang akan saya ambil adalah yang terbaik buat saya. Saat pilihan telah dibuat, saya serahkan segala-galanya sama ada baik atau buruk kepada Allah Taala jua untuk menentukannya. Hakikatnya, hanya Dia sahaja Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diri saya dan saya yakin bahawa setiap ketentuanNya itu pasti terkandung hikmah yang tersendiri. Sebagai hamba, kebergantungan saya hanya padaNya yang sudah pasti menentukan yang terbaik buat hamba-hambaNya.

Semalam merupakan hari terakhir untuk memberi jawapan sama ada menerima atau menolak tawaran daripada pihak UTM sedangkan UKM pula tidak menetapkan sebarang tarikh akhir untuk memberi jawapan terhadap tawarannya. Selepas mengambilkira pelbagai faktor dan mempertimbangkan dengan sedalam-dalamnya pro dan kontra yang telah disenaraikan bagi setiap pilihan, akhirnya saya memutuskan untuk menyambung pelajaran di UTM. Sesi pembelajarannya akan diadakan di Kampus Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan saya dikehendaki untuk mendaftarkan diri ke sana pada 10 September 2011. Ini bermakna dunia baru saya akan bermula sebaik tamat cuti Hari Raya Aidilfitri kelak. Doa saya semoga keputusan dan pilihan yang telah saya buat ini adalah yang terbaik buat saya. Malam ini saya akan pulang ke kampung untuk bertemu Abah dan Ummi. Niat saya adalah untuk mendapatkan restu atas pilihan yang telah saya buat dan semoga keputusan saya tidak mengecewakan mereka berdua.

Thursday, August 4, 2011

Supplement

Bismillahirrahmanirrahim...

Baru-baru ini saya ada menyuarakan kerisauan di dalam blog tentang tahap kesihatan Ummi yang semakin merosot kesan penyakit kencing manis. Lalu seorang teman iaitu Aida Manap, telah menyarankan kepada saya agar membelikan supplement keluaran Vitahealth iaitu Debtin 6 Plus untuk diambil oleh Ummi. Supplement tersebut telah diambil oleh ayahnya yang juga menghidap penyakit kencing manis. Menurut Aida, ayahnya telah berjaya mengurangkan kandungan gula dalam darah selepas mengambil Debtin 6 Plus di samping pengambilan ubat yang telah dibekalkan oleh doktor. Tidak rugi rasanya jika saya turut membelinya untuk digunakan oleh Ummi andai ia dapat membantu Ummi memulihkan kembali tahap kesihatannya. Seboleh-bolehnya saya ingin mengelak Ummi daripada terpaksa bergantung kepada pengambilan suntikan insulin pada setiap hari sepertimana yang telah disarankan oleh doktor. Saya mahu Ummi sentiasa sihat agar mudah untuk beraktiviti bersama anak-anak dan cucu-cucu di samping mudah untuk menjalankan ibadah. Aktiviti terdekat, kami akan berkelana ke Kuching, Sarawak pada pertengahan September kelak.

Yang ini untuk Ummi
Justeru sejak beberapa hari lalu, saya telah memulakan pencarian supplement tersebut di laman web Vitahealth dan mendapati harganya adalah RM99 sebotol yang mengandungi 60 kapsul. Namun begitu, tempahan perlu dibuat secara online dan barangan akan diterima dalam tempoh 3 hingga 5 hari. Saya tidak berkira dengan harga yang ditawarkan sebaliknya saya ingin mendapatkannya dengan segera untuk dibawa pulang ke kampung pada malam esok.

Hari ini sebaik tamat waktu pejabat, saya singgah di Alamanda, Putrajaya untuk mencari supplement tersebut di farmasi Watson dan Guardian namun pencarian saya menemui kegagalan. Hairan juga apabila supplement tersebut gagal diperoleh di situ. Lalu saya berkira-kira sama ada untuk meneruskan pencarian di lokasi lain pada hari ini juga atau menundanya kepada hari esok sahaja. Saya mohon daripada Allah agar membantu saya untuk membuat keputusan tersebut. Akhirnya, saya ikut kata hati dan terus memandu menuju ke The Mines dan sasaran saya adalah Pharmacy Caring yang terletak di aras 2. Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkanNya apabila saya dapat memarkirkan kenderaan tanpa perlu menghabiskan banyak masa mencarinya dan terus menuju ke farmasi berkenaan. Nasib saya lebih baik apabila farmasi tersebut ada menawarkan diskaun dan saya dapat membeli supplement tersebut pada harga RM74.95 sahaja.

Yang ini pula untuk saya
Sejak dahulu, saya sendiri kurang memberi perhatian terhadap keperluan pengambilan supplement. Bukan pula saya tidak pernah berusaha untuk mengambilnya tetapi ia sering menjadi seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Entah kenapa hari ini saya terdetik membelikannya untuk diri sendiri. Lalu saya rujuk pegawai farmasi yang bertugas tentang produk yang paling sesuai untuk diambil. Beliau telah menyarankan produk multivitamin berjenama Centrum pada kadar harga yang berpatutan. Tanpa banyak soal, saya terus membeli produk tersebut di samping supplement untuk Ummi. Semoga saya istiqamah dengan pengambilan supplement tersebut pada kali ini. Sesungguhnya pengambilan supplement ini hanyalah usaha saya untuk menjaga kesihatan namun yang menyembuhkan saya adalah Dia jua.

Benarlah, setiap perbuatan ditentukan oleh niat. Niat yang baik pula pasti akan dipermudahkanNya. Misi saya berjalan lancar dan berjaya tiba di rumah 10 minit lebih awal sebelum azan Maghrib berkumandang. Selamat berbuka puasa!

Wednesday, August 3, 2011

Usaha Kecil

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya hadir ke pejabat seperti biasa, tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat. Sebaik memasuki bilik, pembantu kepada Pengarah saya muncul menjenggukkan wajah di sebalik daun pintu,

"Dapat e-mel tak? Pagi ini ada mesyuarat seksyen, jam 8.45 pagi," katanya sambil tersenyum.

"Oh ye ke? Saya belum sempat buka e-mel lagi. Kejap lagi saya check ye. Terima kasih," balas saya sambil segera menghidupkan komputer yang berada di hadapan saya.

Benar, mesyuarat seksyen akan diadakan pada hari ini bersama Pengarah pada jam 8.45 pagi. Terus-terang saya kurang pasti pengisian mesyuarat tersebut tetapi andaian saya mungkin kerana beliau ingin mendapatkan status perkembangan urusan di pejabat selepas 2 hari beliau bercuti. Keadaan kesihatan saya yang kurang memuaskan sejak semalam menyebabkan saya kurang bersedia untuk menghadirinya tetapi saya tidak punya pilihan.

Andaian saya, selain untuk mendapatkan status terkini urusan di pejabat daripada kami, beliau juga ingin membincangkan perubahan mendadak yang baru sahaja berlaku pada minggu lepas. Ia dianggap mendadak kerana keputusan dibuat oleh Ketua Pengarah tanpa sebarang makluman awal bersama pengarah-pengarah sebelum itu. Malah perubahan tersebut turut melibatkan salah seorang kakitangan seksyen kami yang lebih senior. Sudah pasti tindakan tersebut agak merisaukan beliau dan ditambah pula dengan saya sendiri yang akan mula bercuti belajar selepas Hari Raya Aidilfitri kelak. Beliau akan menghadapi kekurangan tenaga kerja untuk melaksanakan projek-projek yang sedia ada di bawah seliaan seksyen. 

Selain itu, beliau turut menyuarakan hasrat untuk mengembalikan struktur organisasi dalam seksyen kepada struktur hirarki berbanding sekarang yang menggunakan flat structure. Cadangan beliau sedikit sebanyak mengejutkan saya lantaran sebelum ini saya pernah menyuarakan pendapat saya tentang kesan buruk pelaksanaan flat structure kepada beliau tetapi ditolak mentah-mentah atas alasan ia adalah arahan daripada Ketua Pengarah. Sebagai orang bawahan, saya akur dengan arahan yang diberi dan melaksanakan arahan tersebut dengan sebaik mungkin. Pun begitu, dari semasa ke semasa, rakan-rakan seseksyen turut menyuarakan kesukaran mereka dengan pelaksanaan flat structure yang dirasakan semakin menambahkan beban tugasan harian mereka. Secara peribadi, saya sudah menyatakan pendapat saya tentang pelaksanaan tersebut tetapi jika ditolak, saya akan menurutnya sahaja. Lebih-lebih lagi apabila saya sudah mengetahui yang saya tidak akan kekal lama di sini kerana akan mula bercuti belajar pada bulan September kelak.

Namun, desakan demi desakan yang diterima dalam menjalankan tugas sehingga turut menjejaskan tumpuan saya kepada bidang tugas, menyebabkan saya nekad mengambil keputusan untuk menyampaikan kenyataan dan pendapat saya kepada pihak pengurusan atasan. Saya luahkan apa yang terbuku di hati selama ini di samping mewakili rakan-rakan yang turut mempunyai pendapat yang sama kepada beliau dan terserahlah kepada pihak pengurusan atasan bagaimana untuk menilainya. Pendapat saya pula hanya menjurus kepada kelemahan diri saya sendiri yang 'gagal' menerima perubahan tersebut dan bukannya menyalahkan mana-mana pihak. Saya percaya pihak atasan juga punya alasan tersendiri sewaktu membuat keputusan tersebut. Mungkin kerana saya sudah terbiasa dengan cara kerja yang mempunyai struktur organisasi yang lengkap lantas perubahan kepada flat structure yang memaksa saya untuk bekerja sendirian membuatkan saya sukar menerima perubahan tersebut. Pun begitu, saya berpendapat setiap individu adalah berbeza. Ada yang berkeupayaan atau lebih gemar untuk bekerja secara individu dan ada yang sebaliknya. Setelah diamati, saya termasuk dalam kategori kedua iaitu lebih gemar untuk bekerja secara berpasukan. Bukan pula bermaksud saya tidak boleh bekerja secara sendirian tetapi saya menjadi lebih efisien apabila bekerja dalam satu pasukan. Saya sering percaya, 'two heads are better than one'. Justeru, apabila ditanya oleh pengarah tentang pelaksanaan flat structure, saya menyatakan secara jujur apa yang saya rasakan selama ini. Meskipun pihak pengurusan atasan merasakan ia satu langkah drastik yang mampu mempercepatkan proses, namun sebagai pelaksana, saya merasakan pada masa yang sama, ia satu tindakan yang memudarkan semangat berpasukan. Kakitangan menjadi terlalu fokus kepada projek masing-masing sehingga menjadi kurang peduli kepada hal-ehwal rakan-rakan seseksyen. Saya akui ia mampu mempercepatkan proses kerja tetapi kakitangan menjadi 'hilang jiwa' dalam melakukannya kerana kurang interaksi secara langsung antara satu sama lain. Malah kenyataan saya itu bukan mewakili diri saya sendiri sahaja sebaliknya turut menyampaikan pendapat rakan-rakan sekerja yang turut merasakan perkara yang sama.

Beliau jelas tampak terkejut dengan kenyataan saya tetapi saya percaya jika benar ingin mendapatkan pandangan, harus punya jiwa yang besar untuk mendengar dan menerimanya. Jika tidak, lebih baik bersikap autokratik sahaja dan tutup sahaja ruang kepada perbincangan. Namun saya yakin jika mereka terus menutup telinga, perkara ini akan menjadi seperti kanser. Dalam diam menyerang dan membunuh jiwa-jiwa yang ikhlas melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Lega rasanya apabila pendapat yang diberikan akhirnya diterima dan mendapat sokongan rakan-rakan sekerja yang lain. Tambah lega apabila Pengarah bersedia menerima pendapat yang diberikan dan memutuskan untuk mengembalikan struktur organisasi kepada asal iaitu secara hirarki. Meskipun baki masa saya di sini tidak lama iaitu kurang dari sebulan, setidak-tidaknya mendengar seorang rakan mengucapkan terima kasih kerana tindakan saya membawa perkara ini ke atas telah sedikit sebanyak membantu mereka meneruskan tugasan kelak, sudah cukup untuk melegakan hati saya.

Bagi sesetengah orang, tindakan saya ini mungkin boleh dianggap terlalu lantang dan mungkin juga 'melawan cakap' kerana begitu berani mempersoalkan arahan yang telah diberikan tetapi saya bukan mengambil tindakan membuat tuli. Tindakan itu saya ambil selepas saya sendiri melaksanakan terlebih dahulu arahan yang telah diberi dan merasai sendiri bahangnya di samping turut mendapat maklumbalas yang sama daripada rakan-rakan. Jika hanya saya seorang yang tidak dapat menerima perubahan tersebut, saya mungkin beranggapan bahawa yang bermasalah adalah saya kerana tidak dapat menerima perubahan dan proses pemurnian perlu dilakukan di pihak saya. Namun apabila majoriti turut merasakan perkara yang sama, saya berpendapat ia perlu dikemukakan kembali kepada pihak pengurusan atasan untuk diperhalusi kembali keperluan pelaksanaannya. Jika perkara tersebut hanya didiamkan sahaja dan berterusan 'cakap-cakap belakang' sahaja,  saya fikir ia tidak akan menyelesaikan masalah malah mungkin akan memburukkan lagi keadaan. Setidak-tidaknya, dengan membawa ia ke hadapan untuk diperbincangkan, kita sudah mengambil usaha yang sepatutnya. Selebihnya, terserahlah kepada ketentuanNya jua. Kita ini berurusan dengan manusia yang punya hati dan perasaan. Jika diterangkan dengan alasan-alasan yang kukuh dan sejelas-jelasnya, insyaAllah mereka akan memahaminya. Yang penting, jangan bersikap 'lempar batu, sembunyi tangan'. Wallahua'lam.

Tuesday, August 2, 2011

Kembara Pra-Ramadhan 1432H

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah beberapa kali saya datang ke Cameron Highland sebelum ini tetapi untuk rekod, ini kali ketiga saya ke Cameron Highland pada tahun ini sahaja. Kali pertama adalah semasa mengikuti urusan rasmi anjuran pejabat, kali kedua bersama teman-teman dan kali ini iaitu kali ketiga bersama ahli keluarga. Nampaknya selepas ini saya perlu me'rehat'kan diri daripada datang ke sini lagi dalam masa terdekat. Namun apa yang menariknya, ketiga-tiga kunjungan saya tersebut dipenuhi dengan lawatan ke tempat-tempat yang berbeza tetapi buah tangan yang diborong pula sudah pasti sama iaitu teh dan buah strawberi. Saya namakan kembara ini sebagai kembara pra-Ramadhan kerana ia merupakan aktiviti terakhir kami sebelum menyambut Ramadhan. Dari situ, kami akan terus pulang ke kampung untuk menyambut Ramadhan bersama Abah dan Ummi.

Impian Jadi Nyata
Kunjungan kali ini juga adalah untuk memenuhi impian saya menginap di Hotel Equatorial, Cameron Highland. Mungkin kedengaran agak lucu tetapi saya sudah lama menyimpan hasrat untuk menginap di sini iaitu sejak kali pertama datang ke sini pada tahun 2002. Waktu itu saya diajak oleh abang kedua, BaAn dan keluarga untuk turut serta ke sana. Ia hanya kunjungan singkat dan kami tidak bermalam di situ. Selepas itu, kami pernah beberapa kali datang lagi ke sini tetapi menginap di sebuah apartmen selama 1 malam.

Saya akui Cameron Highland memang sebuah tempat yang selesa dan mendamaikan terutama untuk me'lari'kan diri daripada kebingitan kota. Udaranya yang nyaman secara semulajadi tanpa memerlukan sokongan penghawa dingin sememangnya cukup menyelesakan. Perancangan awalnya saya berhajat untuk turut mengajak Abah dan Ummi turut serta dalam kembara ini tetapi apabila masa tidak menyebelahi Abah yang perlu mempersiapkan diri bertugas sebagai imam solat Tarawih, akhirnya hanya kami adik-beradik sahaja yang menyertai kembara ini.

Sungai Palas BOH Tea Plantation

Sengaja kami tiba awal di sana agar dapat memanfaatkan masa dengan semaksima mungkin. Destinasi pertama dituju sebaik tiba di sana adalah Sungai Palas BOH Tea Plantation. Ia terletak di kaki Gunung Brinchang dan laluan untuk ke sana sememangnya agak mencabar berikutan keadaan jalan yang sempit di lereng-lereng bukit. Saya perlu membunyikan hon setiap kali tiba di selekoh tajam dan kadang-kala memberhentikan kenderaan apabila bertembung dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan. Dalam kunjungan sebelum ini, kami gagal untuk memasuki tempat ini kerana tiba agak lewat petang sedangkan tempat tersebut dibuka sehingga jam 4.30 petang sahaja. Pemanduan penuh mencabar ke situ memang berbaloi kerana suasana dan pemandangannya yang begitu indah dan nyaman terbentang luas di hadapan mata. Lebih menarik apabila kami berpeluang melawat kilang membuat teh BOH yang telah mula beroperasi sejak tahun 1929. Sempat juga kami memborong beberapa paket teh untuk dibawa pulang dan harganya pula memang jauh lebih murah berbanding harga di pasaran.

Hampir 1 jam di situ, kami menuruni kembali lereng bukit dan kali ini perjalanan terasa lebih singkat. Mungkin benar juga pesanan orang tua, semasa kita pergi pokok-pokok masih belum mengenali kita dan sibuk 'menegur' kita tetapi apabila kita pulang, mereka sudah mengenali kita. Sejauh mana kebenaran fakta ini tidak pula saya ketahui tetapi hal ini memang kita alami setiap kali menjejakkan kaki di bumi asing.

Berbaloi perjalanan mencabar yang ditempuh untuk tiba ke sini

Untungnya, Hotel Equatorial terletak tidak jauh dari simpang yang kami turuni, lalu kami terus mendaftar masuk ke situ pada jam 2.30 petang. Kami diberi bilik penginapan pada aras 11 dan bersebelahan antara satu sama lain. Alhamdulillah, tercapai juga impian saya untuk menikmati panorama indah Cameron Highland dari situ.

Manusia dan alam tidak dapat dipisahkan

Usai solat dan berehat seketika, kami meneruskan lawatan kerana tidak mahu membazirkan masa. Waktu bersantai di dalam bilik adalah pada waktu malam kelak. Destinasi kami yang seterusnya adalah Taman Agroteknologi MARDI yang terletak di Tanah Rata. Sengaja kami ke situ terlebih dahulu kerana bimbang tidak sempat melawatnya pada keesokkan hari. Dengan kadar bayaran RM3 bagi dewasa, RM1.50 bagi kanak-kanak berusia 7 tahun ke atas, kami dapat menikmati pelbagai spesies bunga-bungaan yang ditanam dan dijadikan lanskap di situ. Di samping itu, terdapat juga tanaman sayuran seperti tomato dan labu air yang merupakan hasil kajian MARDI untuk membantu para petani. Manusia dan alam memang sebati dan tidak dapat dipisahkan. Mungkin kerana itu saya merasa cukup damai dikelilingi oleh pelbagai bungaan dan tumbuhan di situ. Kami tinggalkan tempat tersebut pada jam 5 petang dan sempat singgah di salah sebuah gerai makan untuk mengalas perut kerana kami belum makan tengahari sejak tiba tadi.

Seterusnya, kami bercadang untuk melawat ladang strawberi yang terletak bersebelahan dengan Hotel Rosa Pasadena, Brinchang tetapi malangnya apabila kami tiba di sana, ia sudah ditutup kerana waktu operasi hanya sehingga jam 5.30 petang sahaja. Lalu kami singgah di pasar malam Brinchang untuk membeli makanan dan buah tangan kerana tidak bercadang untuk keluar lagi pada waktu malam. Kebiasaannya, saya lebih gemar memarkirkan kenderaan di tepi jalan sahaja dan agak jauh daripada tapak pasar malam tetapi apabila memikirkan kehadiran anak-anak kecil dan ibu mengandung, saya putuskan untuk memarkir kenderaan di tapak yang disediakan dan dikenakan caj sebanyak RM3.

Lanskap yang menarik

Usai membeli apa yang patut, kami kembali ke hotel untuk beristirehat dan menikmati suasana malam di bilik penginapan. Aduhai, kenyamanannya memang menggamit saya untuk melelapkan mata ditambah pula dengan selimut tebal yang membaluti tubuh. Tiada apa yang menarik pada waktu malam di sini kecuali kedinginan dan kenyamanan udara yang sungguh mendamaikan. Sudah pasti suasana ini cukup berbeda dan tidak akan diperoleh apabila berada di ibu kota.


Pasar malam Brinchang

Seawal pagi esoknya, kami bersiap untuk mendaftar keluar dan bertolak pulang ke kampung dengan melalui pekan Ringlet. Namun sebelum itu, kami sempat singgah sebentar di Kea Farm, ladang strawberi dan pasar tani Brinchang untuk membeli buah tangan. Tidak lengkap kunjungan ke sini jika tidak membeli jagung, sayur-sayuran dan buah strawberi untuk dibawa pulang. Destinasi terakhir kami sebelum pulang adalah kafe Bharat Plantations dan kami sempat menikmati seteko air teh di situ sebelum meneruskan perjalanan.

Kafe Bharat Plantation

Masjid Kg Kuala Teh, Jerantut

Perjalanan pulang sememangnya agak mencabar kerana melalui jalan dalam dan bukannya lebuhraya. Ia adalah jalan yang pernah saya tempuhi semasa kunjungan kali pertama ke Cameron Highland pada tahun ini. Namun kali ini, perjalanan diteruskan dengan memasuki daerah Jerantut, Raub, Kuala Lipis, Jengka dan akhirnya Maran. Kasihan kereta saya kerana didera melalui jalan yang kekadang berlopak dan berlubang serta dikelilingi ileh ladang kelapa sawit sepanjang hampir 5 jam perjalanan sebelum kami tiba di Kuantan. Jalan yang elok hanya kami temui sewaktu menghampiri pekan Maran dan kami keluar di persimpangan Agro Resort Sungai Semuji. Dari situ, barulah kami memasuki Lebuhraya Pantai Timur dan keluar di persimpangan Gambang. Hanya saya sahaja yang memandu sendirian sepanjang perjalanan dan ia memang pemanduan yang cukup meletihkan. Namun keletihan itu berbaloi kerana saya gemar memandu terutama di laluan yang mencabar.

Pembuka Selera

Dalam perjalanan, kami sempat singgah untuk solat di Masjid Kampung Kuala Teh, Jerantut dan makan tengahari di Restoran Selera Moksu, Jerantut. Kami memang makan dengan sangat berselera kerana hidangan yang disediakan adalah lauk kampung berulam daun gajus dan sambal tempoyak yang cukup menggiurkan.

Restoran Selera Moksu

Ketika berada di bandar Kuantan, berlaku satu insiden yang mendukacitakan apabila kereta saya telah disaman oleh penguatkuasa kerana tidak membayar tiket parking. Dek kerana keletihan memandu dan kekeliruan dengan peraturan perlu membayar parking walaupun pada hari Ahad, saya sedikit naik angin terhadap penguatkuasa tersebut. Pun begitu, saya segera beredar dari situ kerana bimbang kemarahan saya akan makin membara jika masih lagi berhadapan dengan penguatkuasa tersebut. Saya perlu segera beredar untuk meredakan amarah di hati atau saya mungkin akan memburukkan lagi keadaan. Tujuan saya singgah di situ adalah untuk menghantar adik ipar yang memarkirkan kereta di tempat letak kereta berhampiran dan saya hanya singgah sebentar sahaja di situ. Tambahan pula, saya beranggapan tiada sebarang bayaran parking dikenakan pada hujung minggu seperti amalan di KL. Akhirnya, saya minta bantuan adik ipar untuk menjelaskan kadar saman yang telah dikenakan terhadap kesalahan tersebut.

Jangkanya, kami akan tiba di kampung (Dungun) pada jam 5 petang tetapi kerana kelewatan melalui jalan dalam, kami hanya tiba pada jam 7.30 malam. Usai melepaskan lelah seketika, kami terus mandi dan bersiap untuk mendengar pengumuman Penyimpan Mohor Besar tentang tarikh permulaan puasa. Sah, puasa bermula seperti dijadualkan iaitu pada hari Isnin dan kami akan menunaikan solat Tarawih bermula pada malam tersebut. Solat kami di masjid diimamkan oleh Abah yang pada mulanya hanya merancang untuk melakukannya sebanyak 8 rakaat sahaja kerana keadaan kesihatan yang kurang memuaskan tetapi apabila tiada pengganti, Abah akhirnya telah menghabiskan solat sehingga 23 rakaat. Kami? 8 rakaat sahaja kerana terus-terang keletihan masih jelas bersisa dalam diri kesan perjalanan jauh yang baru berakhir.

Untuk sahur pula, kami bangun seawal jam 4.30 pagi dan makan secara ala kadar sahaja tetapi daya penariknya adalah petai. Ya, saya akan makan nasi sekali sehari sepanjang Ramadhan sama ada semasa berbuka atau bersahur. Nampaknya terpaksalah saya 'berpuasa' daripada cabaran tanpa nasi saya sepanjang bulan ini. Namun, ia akan saya teruskan semula sebaik tamat bulan Ramadhan kelak.

Malam tadi, selepas solat Tarawih, kami bertolak pulang ke KL dengan membawa bekal lauk untuk bersahur. Perjalanan hanya mengambil masa selama 4 jam sahaja kerana keadaan trafik yang lengang dan kali ini pemanduan oleh 2 orang pemandu iaitu saya dan adik lelaki, BaYu. Saya tewas melawan rasa ngantuk di tengah perjalanan dan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, pemanduan diteruskan oleh BaYu. Kini, saya kembali kepada rutin harian di pejabat dan masih belum memutuskan lokasi untuk berbuka puasa kelak.

Jika diikutkan hati, saya ingin pulang lagi ke kampung pada minggu hadapan tetapi mungkin dengan menaiki bas sahaja. Kasihan juga kereta saya lunyai dikerjakan ke sana dan ke mari. Sekali sekala ia perlu diberi rehat.

Apa Lagi Yang Saya Suka Tentang Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...

Berbeza dengan bulan-bulan lain, rancangan-rancangan yang disiarkan di televisyen mahupun di radio juga lebih bersifat Islamik dan diselang-seli dengan bacaan Al-Quran hampir pada setiap masa. Ia membuatkan saya terasa lebih damai apabila menontonnya atau mendengarnya dan sesungguhnya itulah keperluan naluri fitrah seorang manusia yang sentiasa gemar kepada apa jua bentuk kebaikan. Alangkah indahnya jika perkara ini diteruskan pada bulan-bulan lain. Benarlah, Ramadhan adalah madrasah kepada kita untuk berdepan dengan pelbagai cabaran pada bulan-bulan lain. Ia bulan yang menyedarkan kita bahawa yang kita kejar adalah sebenarnya cinta Ilahi dan ia adalah sumber kedamaian hakiki. Jika kita berjaya melepasi dan lulus segala ujian sepanjang bulan Ramadhan, maka kita pasti mampu mengharungi segala ujian pada bulan-bulan lain. Mungkin itu kayu pengukurnya sama ada amalan yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan diterima olehNya atau tidak.

Semoga segala amalan kita semua pada tahun ini akan diterima olehNya jua. Amin.