Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, July 29, 2011

Apa Yang Saya Suka Tentang Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...

Marhaban Ya Ramadhan! Selamat datang wahai bulan yang penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan keampunan. Minggu hadapan ummat Islam akan mula melakukan ibadah puasa. Terasa sungguh cepat masa berlalu. Sedar tidak sedar, bermakna sudah setahun saya berada di tempat kerja sekarang kerana saya melaporkan diri di sini pada tahun lepas di bulan Ramadhan juga. Alhamdulillah, tahun ini saya tidak perlu berpuasa ganti kerana diberi peluang oleh Allah untuk berpuasa penuh pada tahun lepas. Alangkah indahnya jika tahun ini juga saya diberi peluang yang sama.

Secara peribadi, saya menanti-nanti kehadiran Ramadhan kerana beberapa sebab:
  1. Pada bulan ini, semua orang berebut-rebut untuk melakukan amal ibadat berbanding dengan bulan-bulan lain. Masjid-masjid dan surau-surau penuh dengan jemaah yang ingin meraih ruang-ruang pahala yang disediakan kepada mereka yang mengkehendakinya. Buat sementara, dunia terasa sungguh aman dan manusia berehat sebentar dari mengejar kemewahan dunia sebaliknya mengejar kenikmatan cinta Ilahi.
  2. Jika pada bulan-bulan lain, saya terpaksa memikirkan tempat makan yang ingin dikunjungi atau makanan yang ingin dimakan untuk makan tengahari tetapi pada bulan puasa, waktu tersebut dapat diisi dengan aktiviti seperti tadarus Al-Quran.
  3. Perbelanjaan menjadi lebih jimat kerana kebiasaannya saya hanya membeli makanan secara ala kadar sahaja atau jika kesuntukan masa, saya akan berbuka puasa di masjid sahaja. Usai berbuka puasa pula, saya boleh terus solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta seterusnya solat Tarawih.
  4. Wajah-wajah manusia menjadi lebih baik dan tenang apabila dipandang. Mungkin kerana syaitan yang selama ini menggoda dan menghasut telah dirantai menyebabkan kita dapat menyerlahkan fitrah sebenar hati seorang yang bernama manusia. Hakikatnya, jiwa kita ini bersih dan sentiasa gemar kepada apa jua bentuk kebaikan.
  5. Saya menjadi mudah bangkit dari tidur untuk bersahur dan jika punya waktu, boleh juga menunaikan qiamullail. Entah mengapa ia cukup sukar untuk dilakukan pada bulan-bulan lain.
  6. InsyaAllah, ini Ramadhan terakhir sebelum saya memegang status sebagai mahasiswa. Azam saya, di ruang kesempatan yang ada ini, saya ingin memanfaatkannya bersama Abah dan Ummi di kampung. Di saat ini, Allah memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk berbakti kepada Abah dan Ummi. Ia jawapan kepada doa-doa yang sering saya pohon setiap kali selepas solat agar saya diberi peluang untuk berbakti kepada keduanya dengan sebaik mungkin. Kerisauan saya tentang kesihatan Ummi semakin meningkat apabila baru benar-benar faham tentang keadaan tahap kencing manis yang dihidapi oleh Ummi beberapa tahun kebelakangan ini. Saya akui agak kurang memberi perhatian sebelum ini apabila mendengar Ummi memberitahu tahap gula dalam badan setiap kali membuat pemeriksaan dengan doktor. Selepas ini, saya akan cuba untuk hadir bersama Ummi semasa menjalani pemeriksaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada doktor. Penerangan oleh Dr. Hasbi baru-baru ini amat merisaukan saya dan saya mula mencari pelbagai maklumat berkaitan untuk membantu Ummi mengawal keadaan penyakit kencing manis yang dihidapi.
  7. Akhirnya, sudah pastilah kerana selepas sebulan berpuasa, kita diberi nikmat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Hari kemenangan dan hari untuk bermaaf-maafan bersama ahli keluarga, sanak saudara dan handai taulan.

 “Ya Allah, jika ditakdirkan Ramadhan pada tahun ini adalah yang terakhir buat kami, maka Kau berikanlah kami peluang agar dapat menjadikan Ramadhan pada tahun ini Ramadhan yang terbaik.”

Gerak Hati

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya percaya ramai antara kita yang sering mengatakan 'mujur hati aku tergerak untuk...' apabila terselamat dari melakukan sesuatu yang mungkin membawa mudarat sama ada secara fizikal atau mental. Hakikatnya, Allah yang telah menggerakkan hati kita agar berbuat sesuatu atau mengambil tindakan tertentu yang akhirnya memberi kebaikan kepada kita jua.

2 hari lepas, sewaktu memberhentikan kereta untuk membuka pintu pagar, hati saya digerakkan oleh Allah untuk melihat objek kecil yang terlekat pada tayar belakang. Rupa-rupanya ia adalah skru yang terbenam ke dalam tayar yang saya sendiri tidak tahu sudah berapa lama ia berada di situ. Hanya pada hari itu baru saya perasan akan kewujudannya dan saya bersyukur tidak berlaku apa-apa yang membahayakan nyawa saya sebelum itu. Jika ditakdirkan ia sudah ada di situ semasa kami ke Cameron Highland pada hujung minggu lepas, maka hanya rasa syukur yang tidak terhingga dapat dizahirkan kerana tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini sepanjang tempoh itu. Namun tayar masih berada dalam keadaan baik kerana kedudukan skru yang terbenam secara menegak terus ke dalam tayar. Saya pasti jika ia terbenam dalam keadaan senget atau menyerong, sudah pasti tayar saya akan menjadi kempis.

Saya hanya memarkirkan kereta tanpa mempedulikan untuk menukarkan tayar tersebut dengan tayar ganti. Niat saya jika pada pagi esok tayar menjadi kempis, saya akan menukarnya tetapi jika masih dalam keadaan baik, saya akan terus memandunya dan akan ke bengkel untuk menampalnya. Sayang pula untuk menggantikannya dengan tayar baru kerana keadaan bunga tayar yang masih elok. Alhamdulillah, tayar masih dalam keadaan baik pada pagi esoknya dan saya memulakan perjalanan ke tempat kerja dalam keadaan skru masih terbenam pada tayar. Saya memandu dengan kelajuan yang sederhana kerana tetap diseliputi perasaan bimbang dengan kemungkinan yang boleh terjadi jika tayar tiba-tiba menjadi kempis atau meletup. Akhirnya, saya tiba dengan selamat ke pejabat dan merancang untuk keluar sebentar pada waktu rehat tengahari untuk ke bengkel di kawasan Serdang Raya. 

Seperti dirancang, saya keluar pada waktu tengahari untuk ke bengkel berkenaan dalam keadaan berdebar-debar dan berdoa agar sempat sampai ke destinasi dituju. Keyakinan saya tinggi untuk meneruskan pemanduan kerana seperti saya katakan tadi, kedudukan skru yang terbenam secara menegak ke dalam tayar biasanya memakan masa yang agak lama sebelum tayar menjadi kempis. Mujur juga tidak ramai pelanggan di bengkel tersebut dan tayar kereta saya terus dirawat dan dikenakan bayaran sebanyak RM6 sahaja. Lebih menggembirakan apabila tuan punya bengkel masih mengingati saya yang pernah datang ke situ pada minggu lepas untuk membuat alignment dan balancing tayar. Katanya, dia cam saya kerana jenis kereta saya yang jarang dimiliki oleh orang lain. Nampaknya ada kelebihan juga memiliki sesuatu yang berbeza daripada orang lain. 

Apabila difikir-fikirkan semula, jika hati saya tidak digerakkan oleh Allah untuk meneliti objek yang terlekat pada tayar sebelum ini, sudah pasti saya akan meneruskan pemanduan untuk pulang ke kampung pada hujung minggu ini dan saya enggan membayangkan kemungkinan-kemungkinan lain yang boleh terjadi. Nauzubillah. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang.

Wednesday, July 27, 2011

Demi Abah dan Ummi

Bismillahirrahmanirrahim...
Seperti dinyatakan dalam entri sebelum ini, sebaik tiba dari Cameron Highland (CH) dan teman-teman pulang ke rumah masing-masing, saya terus memecut ke PULAPOL Jalan Semarak pula untuk bertemu Abah, Ummi dan adik-beradik yang telah sedia menunggu sejak jam 2 petang. Saya cuba mengenepikan kepenatan memandu sejak semalam dan memfokuskan diri untuk bertemu Abah dan Ummi yang tiba pada malam sebelumnya dengan menaiki kapal terbang. Pada mulanya saya sudah berbelah bahagi sama ada ingin menyertai percutian ke CH atau tidak memandangkan Abah dan Ummi bercadang untuk datang ke KL melawat PakSoo buat kali pertama. Percutian ini sudah lama saya rancang bersama teman-teman dan jika perlu membatalkannya bersama Abah dan Ummi saya tidak kisah namun rasa ralat pasti akan hadir jua kerana saya sendiri tidak gemar jika janji dimungkiri. Meskipun saya punya alasan yang kukuh untuk tidak menyertainya, saya yakin niat yang baik pasti akan dibantuNya jua. Niat saya bercuti bersama teman-teman adalah untuk meraikan seorang teman yang pulang bercuti dari Saudi Arabia di samping mengeratkan tali persahabatan bersama mereka.

Alhamdulillah, waktu melawat PakSoo ditetapkan pada hari Ahad bermula jam 10 pagi. Abah pula perlu menghadiri kursus pada hari Sabtu dan hanya boleh bertolak ke KL selepas tamat kursus. Sudah pasti Abah dan Ummi perlu bertolak pada waktu malam ke KL. Seboleh mungkin saya tidak membenarkan Abah untuk memandu pada jarak yang jauh pada waktu malam. Tambahan pula lutut Abah masih sakit kesan tergeliat semasa bercuti di Tasik Kenyir sebelum ini. Lalu saya putuskan untuk membeli tiket kapal terbang buat mereka berdua pada hari Sabtu malam. Penerbangan dijangka pada jam 9.20 malam dan abang ketiga, BaHa, akan menghantar keduanya ke lapangan terbang. Adik perempuan saya, MakTeh, pula akan menjemput keduanya di LCCT dan membawa mereka bermalam di rumahnya di Bandar Sri Damansara. Segala-galanya berjalan lancar kecuali insiden penerbangan daripada Kuala Terengganu ditunda sehingga jam 12.30 malam. Kasihan Abah dan Ummi berjam-jam menunggu waktu berlepas. 
Pada hari lawatan, abang kedua, BaAn dan keluarga juga turut datang dari Kota Tinggi, Johor untuk melawat PakSoo. Ini merupakan kunjungan kali pertama buat Abah, Ummi dan BaAn. Rancak berborak sehingga tidak sedar waktu lawatan sudah hampir ke penghujung. Dalam kerancakan berbual itu, Abah secara tiba-tiba menyuarakan hasrat untuk menziarahi adik perempuan saya, MakNgah di Tanjung Malim. MakNgah tinggal di sana kerana bertugas di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Mulanya Ummi membantah hasrat Abah mungkin kerana keletihan perjalanan semalam masih bersisa sementara saya juga sudah mula merasai keletihan kerana pemanduan yang berterusan sejak 2 hari yang lepas. Malah keletihan memandu pulang dari CH juga masih terasa. Namun saya hanya mendiamkan diri sahaja mendengar hasrat Abah dan mempertimbangkan sama ada untuk menunaikannya atau tidak.
Usai bersalam-salaman, BaAn dan keluarga bergerak pulang ke Johor sementara kami kembali ke rumah MakTeh. Dalam pada itu, saya masih lagi memikirkan kemungkinan menunaikan hasrat Abah untuk ke Tanjung Malim tadi. Akhirnya dengan sokongan MakTeh, saya putuskan untuk membawa Abah dan Ummi ke rumah MakNgah dan bermalam di sana. Keletihan mula beransur hilang apabila air membasahi badan dan bimbang Abah akan tidur dalam keadaan terkilan. Sebelum bertolak, saya semak hotel yang ada di sana kerana merancang untuk bermalam di sana sahaja. Rasanya tidak mampu lagi untuk saya memandu pulang ke KL pula pada malam yang sama. Alhamdulillah, kami tiba di sana lebih kurang jam 11 malam dan terus ke rumah MakNgah. Jam 12 tengah malam, kami bergerak menuju ke hotel berhampiran pekan dan akhirnya mendaftar masuk di Hotel Cahaya pada kadar RM60 semalam. Sungguh lega rasanya apabila dapat merehatkan diri di atas tilam selepas seharian memandu.
Keesokan paginya, MakNgah singgah di hotel bertemu kami sebelum ke UPSI dan kami pula meneruskan perjalanan pulang ke KL. Saya dan MakTeh? Kami mohon cuti pada hari tersebut demi untuk memenuhi hasrat Abah dan Ummi. Dalam perjalanan pulang, saya sempat menghubungi teman lama semenjak tingkatan 1 iaitu Dr. Hasbi yang kini memiliki klinik sendiri di Rawang. Sengaja saya bawa Abah berjumpa Dr. Hasbi untuk memeriksa keadaan lutut kerana Abah berhasrat untuk singgah di farmasi membeli ubat penahan sakit sahaja. Saya fikir tindakan sebegitu tidak akan membuatkan kesakitan itu hilang malah mungkin akan lebih memudaratkan lagi lutut Abah. Benar seperti dijangka, tindakan memakan ubat penahan sakit semata tidak akan menghilangkan kesakitan itu,  lalu Dr. Hasbi menyarankan pengambilan ubat lain yang boleh menyembuhkan (dengan izin Allah) kesakitan tersebut.

Abah dirawat oleh seorang teman sekolah saya yang kini memiliki klinik sendiri

Selesai urusan Abah, Ummi pula mengadu sakit gigi. Tanpa banyak soal, saya terus teringat kepada teman sekolah, Dr. Kuay, yang membuka klinik gigi di Cheras. Saya terus memandu ke sana tetapi kerana kesilapan tidak memaklumkan terlebih awal kunjungan ke situ dan kebetulan Dr. Kuay pula terlalu sibuk memenuhi temujanji pesakit, saya menukar haluan mencari klinik gigi berdekatan. Kami akhirnya ke klinik gigi yang terletak di pekan Serdang. Ternyata gigi Ummi dijangkiti kuman dan ia menyebabkan rasa sakit sehingga demam urat. Selesai urusan Ummi, kami kembali ke teratak saya untuk merehatkan badan dan saya sendiri belum lagi menunaikan solat Zohor. Cadangan awalnya Abah dan Ummi akan pulang menaiki bas pada waktu malam hari yang sama tetapi apabila melihat keadaan Ummi, saya dan MakTeh membuat keputusan menempah tiket kapal terbang untuk penerbangan keesokan harinya.

Oleh kerana perjalanan sebelum ini adalah menggunakan kereta MakTeh dan kereta saya direhatkan seketika di rumah MakTeh, kami berdua menaiki komuter selepas solat Isyak untuk mengambilnya semula. Sengaja kami minta Abah menghantar kami berdua ke stesen komuter berdekatan supaya kami tidak perlu memandu pulang dengan 2 buah kereta ke teratak saya. Kelakar pula melihat Abah begitu risau tidak menemui jalan pulang ke teratak saya selepas menghantar kami.

Ketika di rumah MakTeh, Abah SMS meminta kami membelikan nasi kerana sepanjang hari belum memakan nasi. Abah memang begitu. Wajib mengambil nasi walaupun sekali dalam sehari. Jika tidak, Abah sanggup bangun saat orang lain lena tidur untuk mengisi perut. Sangka saya, Abah sudah kenyang apabila bihun goreng yang dimakan agak banyak semasa makan malam. Sudahnya kami tiba di teratak saya pada jam 12.15 tengah malam dan saya  terus segera menuju ke katil.

Keesokan harinya, saya tidak sampai hati membiarkan MakTeh menghantar Abah dan Ummi ke LCCT dan kemudiannya berkejaran untuk ke sekolah sesi petang pula. Lalu saya mohon kebenaran cuti kecemasan daripada ketua untuk menghantar Abah dan Ummi ke LCCT. Sayu hati melihat keduanya melambai dari jauh apabila sudah memasuki balai berlepas.

Saya akui 2,3 hari ini memang agak memenatkan tetapi saya puas. Ini peluang saya untuk berbakti kepada kedua ibu bapa sementara mereka masih ada. Saya tidak menafikan kekadang terbit perasaan letih memenuhi keperluan Abah dan Ummi terutama dari segi kewangan dan masa terutama sewaktu di awal memasuki dunia pekerjaan. Namun saya cuba sedaya upaya untuk melawan perasaan itu dan memenuhi kehendak Abah dan Ummi. Semua itu adalah godaan dan bisikan syaitan untuk menghalang manusia melakukan kebaikan. Umpamanya, saya perlu memperuntukkan wang untuk membeli tiket kapal terbang Abah dan Ummi untuk datang ke sini serta memohon cuti kecemasan untuk menghantar Abah dan Ummi ke LCCT. Namun saya tidak menyesal malah tidak akan berkompromi sama sekali jika diberi pilihan antara ibu bapa dan pekerjaan. Ibu bapa atau keluarga adalah keutamaan saya. Mereka tiada galang gantinya sedangkan pekerjaan boleh datang dan pergi. Saya yakin keberkatan itu ada apabila mengutamakan ibu bapa malah kemudahan dalam urusan pekerjaan juga akan hadir kesan memuliakan keduanya. Manakala soal wang pula, walaupun saya banyak berhabis untuk keduanya, tidak pernah pula saya kesesakan wang untuk mengisi petrol atau kelaparan kerana tidak cukup wang. Perasaan 'cukup' itu amat berbeza malah sehingga hari ini, saya tidak pernah keputusan wang. Bukan pula saya ingin berbangga dengan sedikit usaha kecil ini tetapi sekadar berkongsi agar tidak merasa lokek atau takut jika perlu membantu ibu bapa terutama dalam soal kewangan. Jika bukan sekarang, bila lagi? Manusia sering berada dalam kerugian dan seringkali pula hanya tahu menghargai sesuatu atau seseorang saat ia/dia tiada lagi di sisi. Nauzubillah.

Tuesday, July 26, 2011

Kembara Berakhir Jua

Bismillahirrahmanirrahim...

Kembali ke apartmen, kami bersantai-santai sambil menikmati makanan yang dibeli di pasar malam dan menonton TV. Mujur juga pemilik apartmen menyediakan kemudahan Astro dan WIFI untuk kemudahan kami. Awalnya saya bercadang untuk tidur awal tetapi akhirnya terpengaruh dengan Fatimah dan Hajjah Shikin yang menonton cerekarama di TV3 bertajuk Rasukan Anjasmoro diselang seli dengan siaran perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Singapura. Kecewa dengan kekalahan pasukan Malaysia, kami meneruskan tontonan cerekarama yang boleh dianggap agak seram juga. Sungguh lucu apabila keseraman itu terbawa-bawa sehingga kami memastikan agar tingkap bilik ditutup kemas kerana terdapat satu adegan seram tingkap rumah terbuka dengan sendiri semasa Anjasmoro mengganggu pelakon wanita utama iaitu Eja. Akibatnya, kami tidur pada jam 12 tengah malam. Tidur saya memang cukup lena dan hanya bangkit apabila dikejutkan oleh Hajjah Shikin untuk solat Subuh. Kesejukan dan kenyamanannya benar-benar mencengkam sehingga ke tulang sumsum. Mujur juga pemilik menyediakan heater di dalam tandas. Jika tidak, saya tidak dapat membayangkan bagaimana untuk mandi dan buang air dengan suhu air yang benar-benar sejuk seperti berada dalam peti ais.


Jam 9 pagi, kami terus mendaftar keluar dan singgah sebentar di pasar tani Brinchang untuk membeli bekalan wajib iaitu jagung dan strawberi. Harganya jauh lebih murah jika dibandingkan dengan membelinya di kebun strawberi yang sememangnya melata di sana. Seterusnya, kami bersarapan di Kea Farm dan sempat singgah di pasar tani di sana pula untuk memenuhi hajat Farah Salma dan Fatimah untuk membeli bunga-bungaan segar. Bagi saya pula, ini merupakan kali pertama saya singgah di tempat ini meskipun sudah beberapa kali menjejakkan kaki di Cameron Highland. Antara sebab saya tidak pernah ke sini sebelum ini adalah kerana rimas dengan kesesakan di situ yang sentiasa penuh dengan pengunjung malah perlu meletakkan kenderaan agak jauh daripada tempat yang ingin dituju. Mujur juga kunjungan kali ini lebih mudah apabila mendapat tempat letak kereta yang strategik dan dekat dengan tempat yang ingin dikunjungi.


Usai memborong bunga-bungaan, kami meneruskan perjalanan melalui Simpang Pulai menuruni Cameron Highland. Dalam perjalanan, kami bertembung dengan 2 kemalangan yang melibatkan konvoi motosikal dan salah satunya melibatkan kematian. Destinasi terakhir sebelum pulang ke KL adalah sebuah kilang coklat berjenama Avant. Ini juga merupakan kunjungan kali pertama saya ke situ dan saya begitu teruja melihat susunan pelbagai jenis coklat yang rapi dipamerkan di atas rak-rak.



Dari situ, kami terus memasuki lebuhraya untuk pulang ke KL kerana saya perlu bergegas ke PULAPOL pula untuk menemui abah, ummi dan adik-beradik saya yang datang untuk melawat PakSoo. Alhamdulillah, perjalanan kami lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini dan kami singgah untuk solat jama' di hentian R&R Sungai Buloh. Kami tiba di teratak saya pada jam 3 petang dan selepas ketiga-tiga teman saya itu bertolak pulang ke rumah masing-masing, saya terus bergerak ke PULAPOL. Saya tiba di sana lebih kurang jam 3.40 petang dan ahli keluarga saya sudah berkumpul di sana sejak jam 2 petang bersama PakSoo.


Kepenatan saya memandu hilang sebaik memandang wajah-wajah ahli keluarga di hadapan mata. Hujung minggu ini saya terasa sungguh bermakna apabila dapat meluangkan masa bersama teman-teman dan juga keluarga. Maka nikmat Tuhan yang manakah yang ingin saya dustakan?

Saturday, July 23, 2011

Sejenak Di Cameron Highland

Bismillahirrahmanirrahim...

Bersiaran daripada Cameron Highland :)
Segalanya bermula apabila saya menyuarakan keinginan untuk ke Cameron Highland di laman FB. Ada teman-teman yang menyatakan keinginan untuk turut serta. Setelah kata sepakat dicapai, saya terus membuat pencarian penginapan di sana melalui laman mudah.my. Untuk menjimatkan kos, kami bersetuju untuk menginap di apartmen sahaja. Lalu saya membuat tempahan berkenaan dengan pemilik apartmen iaitu Encik Ramli.

Hajjah Shikin, Pachat, Tmot
Percutian singkat pada kali ini turut disertai oleh seorang teman, Hajjah Shikin, yang sedang pulang bercuti daripada Arab Saudi. Kami bertolak daripada teratak saya pada jam 9 pagi dan meneruskan perjalanan melalui lebuhraya. Dalam perjalanan, kami singgah di R&R Rawang untuk sarapan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi dituju. Alhamdulillah perjalanan kami lancar melalui Simpang Pulai dan tiba di perhentian pertama iaitu Bharat Plantations pada waktu tengahari. Kami singgah untuk menikmati hidangan teh di samping mengalas perut dan menikmati pemandangan kebun teh.

Alas perut

Saya dan Hajjah Shikin
Usai mengalas perut, kami terus mendaftar masuk ke apartmen yang terletak di Tanah Rata. Kami amat berpuashati dengan kemudahan yang disediakan malah kagum melihat kesungguhan pemilik menghias apartmen. Ia membuat kami terasa seperti berada di rumah sendiri malah lebih menyeronokkan apabila udara yang begitu segar dapat dinikmati kerana kedudukan apartmen yang terletak di atas bukit. Tambahan pula hujan turun sebaik kami memasuki kawasan Tanah Rata dan ia menambahkan lagi kedinginan dan kenyamanan yang sedang dinikmati.

Bilik Ke2

Pemandangan dari tingkap bilik ke2

Dapur Kering
Usai merehatkan diri buat seketika dan solat jamak, kami memulakan sesi merayau-rayau dengan destinasi pertama dituju adalah kafe Bharat Plantations yang akan ditemui sekiranya melalui jalan Tapah. Seterusnya, kami ke Taman Agro Al-Mashoor yang terletak di Kampung Taman Sedia. Walaupun sebelum ini saya pernah beberapa kali datang ke Cameron Highland, ini merupakan kali pertama saya sampai ke taman ini. Mungkin kerana kedudukannya yang agak jauh ke belakang menyebabkan ramai pengunjung tidak perasan tentang kewujudannya. Saya mendapat tahu tentang tempat ini pun secara tidak sengaja iaitu semasa melayari Internet untuk mencari maklumat tentang Cameron Highland. Kami mengambil peluang untuk menikmati strawberi bersalut coklat dan membeli beberapa produk berasaskan strawberi sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.


Dari situ, kami terus ke Pasar Tani Brinchang yang sudah pasti dipenuhi dengan ramai pengunjung lain. Oleh kerana hujan masih turun rintik-rintik, teman-teman saya telah membeli baju hujan untuk dipakai semasa membeli-belah di pasar tani namun saya tidak membelinya kerana sudah mempunyai payung. Lagak mereka bertiga kelihatan seperti ikon DIGI yang merayau-rayau di Cameron Highland pula.


Kami turut membeli makanan untuk makan malam dan sudah pasti turut memborong buah strawberi, buah yang wajib dibeli jika berkunjung ke sini. Sebelum kembali ke apartmen, kami sempat makan malam di sebuah restoran bersebelahan Masjid Brinchang. Malam ini kami bersantai sepuasnya di apartmen sambil menonton TV yang dilengkapi kemudahan Astro.

Cadangnya, esok pagi kami akan terus mendaftar keluar dan singgah di beberapa lokasi di sepanjang perjalanan sebelum pulang ke KL melalui Simpang Pulai. Biarpun hanya seketika, saya gembira kerana dapat meluangkan masa berkualiti bersama teman-teman di samping dapat melarikan diri dari kekusutan tempat kerja. Lebih menarik, saya akan datang ke sini sekali lagi pada minggu hadapan bersama adik-adik pula.

Yang Ditunggu Sudah Tiba

Bismillahirrahmanirrahim...



Ketibaan surat tawaran daripada UTM pada petang Jumaat benar-benar menggembirakan saya kerana ia adalah sesuatu yang sememangnya saya nantikan. Makluman tentang penerimaan untuk memasuki UTM sudah saya ketahui lebih awal daripada semakan secara atas talian tetapi ketibaan surat ini amat saya perlukan untuk membolehkan proses seterusnya dilaksanakan dengan segera. Selepas ini, saya perlu mendapatkan surat pelepasan cuti belajar daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dan membuat pemeriksaan kesihatan. Mujur juga saya sudah meminta bantuan teman yang bertugas di HKL untuk tujuan tersebut.

2 minggu kebelakangan ini saya akui begitu tertekan dengan tuntutan kerja yang semakin mendesak malah tumpuan saya kepada kerja juga semakin terganggu dan keinginan untuk memasuki alam akademik semakin membuak-buak. Justeru,  saya merasa sangat lega dengan ketibaan surat tersebut dan beban di kepala terasa sedikit ringan. Namun saya cuba sedaya mungkin untuk menyelesaikan tugas yang telah diamanahkan dengan sebaiknya sebelum menyambung pelajaran. Sebolehnya saya cuba mengelak untuk meninggalkan nama buruk setelah saya meninggalkan tempat kerja sekarang.

Syukur laluan saya untuk 'berehat' sebentar dari kesibukan urusan kerja dipermudahkanNya. Alhamdulillah.

Tuesday, July 19, 2011

Usrah

Bismillahirrahmanirrahim...


Perkataan usrah berasal dari kalimah Arab, (الأسرة ) yang bermaksud keluarga. Manakala menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, keluarga bermaksud kaum, saudara mara, kaum kerabat, sanak saudara atau pun ia disebut sebagai famili.

Manakala dari segi istilahnya pula, usrah bermaksud kumpulan atau individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam, berusaha dan tolong-menolong di antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam berdasarkan kepada perintah Allah di dalam surah al-Maaidah ayat 2 yang bermaksud,

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolong dalam membuat dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaan-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya)."

Pembentukan Usrah yang pertama yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w ialah di rumah al-Arqam bin Abi –Arqam. Rasul mengajar mereka yang hadir setiap ayat Quran yang diturunkan. Baginda juga menekankan proses pembinaan sifat-sifat luhur seperti baik hati,amanah, bertanggungjawab, bercakap benar, berani dan sebagainya di dalam diri para sahabat.

Justeru, ‘usrah’ bukan sahaja tempat untuk menyampaikan atau mendapatkan ilmu, malahan ia merupakan tempat untuk sesama ahli kumpulan membincangkan sesuatu masalah yang timbul dan juga tempat untuk membentuk peribadi dan sahsiah ahli usrah dan saling membantu apabila ada ahli yang ditimpa kesusahan. Usrah juga merupakan satu medium dakwah untuk berdialog mengenai Islam secara dinamik.

Kali pertama saya mengikuti program usrah adalah sewaktu menuntut di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu dan kali terakhir pula adalah sewaktu masih menuntut di UIA iaitu kira-kira 8 tahun yang lalu. Itupun kerana usrah merupakan antara perkara yang wajib dihadiri dan saya menghadirinya demi untuk memenuhkan tuntutan jam kredit yang ditetapkan. Sejujurnya, saya tidak pernah benar-benar menghayati akan kepentingan dan keperluan pelaksanaan program tersebut.
 
Minggu lepas, saya terbaca makluman di laman FB milik Wardina tentang satu program yang dinamakan Big Usrah Circle akan diadakan pada 17 Julai 2011 bertempat di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras. Apa yang membuatkan saya tertarik hati untuk menyertai program ini adalah kerana penceramah yang akan mengisi slot tersebut adalah seseorang yang sememangnya saya kagumi kerana latar belakangnya yang agak menarik. Beliau yang saya maksudkan adalah Profesor Madya Dr. Harlina Binti Siraj. Saya mengagumi beliau kerana selain cemerlang dalam dunia pekerjaan sehingga berjaya menjadi doktor pakar perubatan sakit puan, pada masa yang sama beliau juga aktif dalam kerja-kerja sukarelawan malah sanggup mengorbankan banyak masa demi sesuatu yang beliau percayai. Namun saya yakin, ramai juga yang hadir kerana faktor kehadiran Wardina dan Catriona Ross yang saya rasa memberikan pengaruh yang baik terutama kepada adik-adik remaja. Boleh dikatakan ramai yang begitu teruja untuk menyertai program usrah ini kerana turut dihadiri oleh Wardina tetapi kehadiran saya adalah kerana ingin bersua sendiri dengan Dr. Harlina (beliau membahasakan diri sebagai Dr.Har). Saya akui Dr.Har turut dikaitkan dengan sebuah parti politik, namun itu tidak sepatutnya menjadi penghalang selagi perkara yang disampaikan tidak menjurus ke arah unsur-unsur politik. Itu prinsip saya kerana kita bebas untuk mendengar sebarang pendapat daripada sesiapa sahaja. Pada akhirnya, kita dikurniakan akal fikiran oleh Allah Taala untuk menilai dan membuat keputusan sendiri.
 
Kehadiran saya semalam turut ditemani seorang rakan, Haizum, yang secara kebetulan menyatakan persetujuan untuk hadir pada saat-saat akhir. Mujur juga lokasi program mudah untuk ditemui hasil bantuan AJK program yang telah menge-melkan peta lokasi kepada saya lebih awal. Sejurus tiba, kami terus menyertai jemaah untuk menunaikan solat Asar. Usai solat Asar, sempat juga saya bersalam dengan Wardina yang kebetulan duduk bersebelahan dengan saya bersama anak-anaknya. Dia memaklumkan yang lokasi program adalah di tingkat atas masjid dan meminta kami semua berkumpul di sana. Saya puji pengurusan masjid yang menyediakan kemudahan yang selesa kepada jemaah yang hadir termasuk meja yang mencukupi serta kemudahan ICT untuk kegunaan penceramah.
 
Kehadiran yang melebihi 70 orang sememangnya cukup mengujakan Dr. Har yang tidak menjangka jumlahnya akan mencecah seramai itu. Pebincangan beliau menggunakan tafsir Al-Quran dan buku rujukan bertajuk 'Apa Makna Saya Menganut Islam' karya saudara Fathi Yakan. Sebuah buku yang pernah saya gunakan sebagai rujukan semasa mempelajari salah sebuah subjek di UIA tetapi tidak benar-benar saya hayati kandungannya. Kini saya amat merasa kerugian itu namun diharap masih belum terlambat untuk saya menghayati semula kandungannya. Kebiasaannya program yang diadakan pada waktu petang akan mengundang rasa mengantuk namun anehnya saya kekal segar mengikuti perbincangan dan kupasan oleh Dr. Har sehingga akhir iaitu ketika hampir masuk waktu Maghrib. Mungkin kerana saya sudah menetapkan minda dari awal untuk benar-benar memanfaatkan kunjungan pada kali ini dan penyampainya pula adalah seseorang yang saya hormati. Pertemuan seterusnya insyaAllah akan diadakan pada bulan Ramadhan dan waktu serta harinya akan dimaklumkan kemudian kepada kami melalui e-mel.
 
Usai solat Maghrib, kami bersurai namun saya dengan sukarela menghantar seorang teman yang baru dikenali ke rumahnya di Pandan Jaya. Kesungguhannya yang sanggup datang dengan menaiki pengangkutan dan berjalan kaki kerana tidak menjumpainya lokasi program amat saya kagumi. Malah hampir-hampir dia memutuskan untuk berpatah balik kerana usaha mencari lokasi program gagal. Namun akhirnya dia menemui juga masjid tersebut setelah bertanya kepada seseorang yang ditemui di sekitar kawasan itu. Mulanya dia hanya meminta tolong saya untuk menghantarnya ke mana-mana stesen bas atau teksi berdekatan tetapi apabila melihat waktu yang sudah agak lewat dan berbahaya bagi seorang wanita untuk berjalan seorang diri, saya memutuskan untuk menghantarnya terus pulang ke rumah. Secara kebetulan, Haizum juga perlu berjumpa dengan seorang rakan yang akan membantunya menyiapkan tugasan master di Hotel De Palma, Ampang. Justeru, keputusan saya untuk menghantar teman baru itu pulang ke rumah sebenarnya turut membantu Haizum. Alhamdulillah, perjalanan pergi dan balik lancar tanpa sebarang kesesakan trafik walaupun saya melalui MRR2.
 
Sungguh saya terasa benar-benar puas kerana dapat mengisi masa hujung minggu dengan sesuatu yang bermanfaat malah ia adalah sesuatu yang sudah lama saya dambakan. Saya mencari ruang untuk saya melibatkan dalam program yang boleh membuatkan saya sentiasa merasa dekat padaNya. Sedaya mungkin saya akan cuba untuk memastikan diri untuk hadir bagi program akan datang.

Thursday, July 14, 2011

Itu KetentuanNya

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam tadi saya sempat melayari blog teman-teman dan salah satunya adalah blog rakan blogger yang menamakan dirinya nafastari. Saya tidak meletakkan pautan ke blog beliau namun saya perasan yang beliau pernah beberapa kali singgah ke laman blog saya sebelum ini melalui catatan yang ditinggalkan dan juga pada pautan yang ditinggalkan di laluan trafik untuk blog. Malam tadi saya perasan yang beliau ada singgah di blog saya dan saya terasa untuk melawat laman blog beliau kembali. Namun kemaskini terkini yang terpapar di laman blog beliau amat mengejutkan saya kerana ia adalah catatan daripada isteri beliau memaklumkan yang pemilik blog telah kembali ke rahmatullah pada 1 Mac 2011. Sejujurnya, saya tidak mengenali arwah yang menamakan dirinya nafastari namun pernah beberapa kali menyinggah di blog beliau untuk membaca hasil karya yang dinukilkan. Antara sebab saya membaca tulisan arwah adalah kerana saya perasan arwah berasal daripada negeri yang sama dengan saya iaitu Terengganu dan selebihnya, saya gemar kepada gaya penceritaan arwah tentang pengalaman hidup di negara orang.

Atas rasa ingin tahu, saya klik pautan ke blog isteri arwah yang menggelarkan dirinya mawarnafastari. Ia kerana saya ingin benar tahu punca kematian arwah yang saya pasti ada diceritakan dalam blog isteri arwah. Tekaan saya benar apabila saya menemui catatan isteri arwah tentang pemergian arwah yang ditimpa kemalangan akibat dilanggar oleh kuda yang terlepas daripada jagaan pemiliknya. MasyaAllah! Saya pernah membaca berita mengenai kejadian ini beberapa bulan yang lalu di dalam media massa dan dimaklumkan oleh teman-teman kerana ia melibatkan pegawai yang berada dalam perkhidmatan yang sama dengan saya. Malah saya juga pernah membaca catatan seorang teman di blog beliau tentang pemergian arwah namun saya sama sekali tidak menyangka yang orang yang dimaksudkan oleh teman saya itu adalah pemilik blog nafastari. Sesungguhnya Allah Maha Besar dan hanya Dia Yang Maha Berkuasa atas semua perkara baik yang nyata mahu pun yang ghaib.

Saya teruskan membaca catatan isteri arwah yang begitu meruntun hati. Arwah meninggalkan 2 orang anak yang masih kecil dan arwah dikenang sebagai seorang suami dan ayah yang baik serta juga anak yang baik. Ia kisah benar yang sedang dilalui oleh seorang isteri yang baru kehilangan suami dan diamanahkan tanggungjawab untuk membesarkan 2 orang zuriat yang masih belum mengerti apa-apa. Meskipun saya tidak pernah mengenali arwah secara dekat sebaliknya hanya melalui tulisan-tulisan arwah sahaja, saya mendoakan agar roh arwah ditempatkan di kalangan para solihin. Semoga isteri arwah juga diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan membesarkan amanah yang ditinggalkan oleh beliau. 

"Sesungguhnya mati itu dekat. Apabila ia datang, tidak terlewat atau tercepat walaupun sesaat."

Wednesday, July 13, 2011

Tanjung Piai ~ Hajat Tercapai

Bismillahirrahmanirrahim...

10 Julai 2011 ~ Tanjung Piai sememangnya antara tempat yang termasuk dalam senarai tempat yang ingin saya kunjungi. Alhamdulillah, impian akhirnya menjadi kenyataan pada hari Ahad lepas. Perjalanan dari Muar memakan masa 2 jam menuju ke Tanjung Piai yang terletak dalam daerah Pontian, Johor dan merupakan penghujung selatan Tanah Besar Asia. Tempat ini berada di bawah tanggungjawab Perbadanan Taman Negara Johor dan pelawat yang ingin masuk ke sini dikenakan bayaran sebanyak RM5 untuk dewasa, RM3 untuk pelajar dan percuma untuk kanak-kanak. Manakala kadar untuk bukan warganegara Malaysia adalah 2 kali ganda daripada harga dewasa.

Saya memulakan perjalanan daripada Muar lebih kurang jam 12.30 tengahari dan tiba di sana pada jam 2.30 petang. Sebelum itu, saya sudah berjanji dengan abang kedua, BaAn, yang datang bersama keluarga dari arah Kota Tinggi untuk berjumpa di sekitar kawasan di situ. Sebaik tiba, kami sempat melawat Resort Tanjung Piai yang merupakan satu-satunya resort yang ada di situ menawarkan kemudahan penginapan kepada pelawat.



Kemudian kami menjamu buah durian yang dibeli semasa dalam perjalanan tadi kerana tidak dibenarkan membawa makanan semasa berada di dalam kawasan taman negara. Ia untuk mengelakkan daripada gangguan kera dan monyet yang ada di situ. Usai sesi makan durian, kami terus menuju ke dalam Taman Negara dan membeli tiket di kaunter yang disediakan. Dari situ kami berjalan kaki melalui jambatan merentasi hutan bakau menuju ke kawasan yang dimaksudkan iaitu titik penghujung selatan Tanah Besar Asia.  



Satu kepuasan apabila berjaya menjejakkan kaki di situ sepertimana yang diidamkan. Secara kebetulan pula, cuaca agak mendung dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa ketibaan kami. Hampir 1 jam juga kami menghabiskan masa di situ untuk menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi di samping menghayati papan tanda tertera kata-kata hikmah yang diletakkan di situ. Antaranya kata-kata Julius Caesar yang berbunyi Veni, Vedi, Vici dan membawa maksud I came, I saw, I conquered.



Begitu juga sepanjang perjalanan kembali ke pintu masuk, kami dihidangkan dengan deretan mutiara kata yang sungguh bermakna. Contohnya,
  • mata melihat, hati mentafsir, tangan mencorakkan alam sumber ilmu dan inspirasi,
  • we cannot change others but when we change ourselves, we may end up changing the world,
  • the more we know about nature, the more prepared we are about our future.


Setiba di kaunter, saya dapati sijil yang menjadi bukti ketibaan pelawat di situ ada dijual pada kadar RM5 sekeping. Sebagai tanda kenangan, saya terus menempah sijil tersebut untuk saya, MakTeh dan BaAn.


Syukur Alhamdulillah, akhirnya impian menjadi kenyataan. Benarlah, impian yang dicatitkan pasti akan menjadi kenyataan.

Tuesday, July 12, 2011

Pertemuan Semula Yang Meninggalkan 1000 Kenangan

Bismillahirrahmanirrahim...

9 Julai 2011 ~ Tarikh keramat buat kami bekas pelajar MRSM Muar 95/96 apabila berjaya menganjurkan program pertemuan semula @ reunion buat pertama kali selepas 15 tahun meninggalkan bangku maktab. Tiada yang lebih menggembirakan apabila bertemu semula dengan para guru yang telah mencurahkan bakti mendidik tanpa jemu. Kehadiran hampir 30 orang guru cukup menghangatkan lagi suasana. Ada yang seolah-olah kehilangan kata-kata apabila bersua kembali dengan para sahabat yang sama-sama membesar di usia remaja. Keletihan menganjurkan program ini hilang begitu sahaja saat melihat para guru memaparkan senyuman kegembiraan dan rasa terharu diraikan dalam majlis makan malam. Sesungguhnya apa yang kami lakukan ini sangat kecil nilaiannya jika dibandingkan dengan jasa yang telah dicurahkan oleh para guru kepada kami selama 2 tahun berada di MRSM Muar.

Backdrop, simple yet creative

Menu Makan Malam

Goodies Bags

Meja Pendaftaran

Dewan

Cikgu Sheikh, insan yang banyak menyokong bakat penulisan saya

Cikgu Atan, warden yang paling digeruni pelajar suatu masa dulu

Bergambar kenangan

Tenaga Penggerak, I am proud to be part of the team
Kepuasan yang diperoleh tidak pernah saya rasakan sebelum ini seperti apabila mengendalikan program-program rasmi. Kali ini perasaan itu cukup berbeza dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Benarlah, jika sesuatu pekerjaan itu dilakukan dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan balasan, ia pasti akan membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka. Terasa berbaloi menggagahkan diri menghadiri beberapa siri perbincangan selepas tamat waktu pejabat bersama teman-teman seperjuangan lain dan mencuri masa menyelesaikan tugasan yang dipertanggungjawabkan apabila melihat hasilnya pada malam itu.

Sejujurnya, saya amat jarang melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti begini secara langsung. Malah sejak dari zaman persekolahan lagi, penglibatan saya dalam sesuatu persatuan atau kelab hanya sekadar untuk memenuhi syarat kredit. Saya sering mengelak dipertanggungjawabkan untuk memegang jawatan tertentu kerana berasa akan mengganggu waktu pembelajaran saya. Seringkali saya hanya akan memegang jawatan yang saya ketahui tidak akan menyebabkan saya meluangkan banyak waktu sehingga terpaksa bergelut dengan masa belajar. Semasa di universiti pula, saya telah dipaksarela oleh rakan-rakan sebaya untuk menjawat jawatan sebagai exco dalam Badan Perwakilan Pelajar kerana rata-rata pelajar kejuruteraan memang tidak berminat untuk menyertainya. Namun saya akui sumbangan saya pada waktu itu amatlah kecil jika dibandingkan dengan rakan-rakan exco yang lain. Itu pemikiran saya pada waktu itu tetapi apabila masa berlalu dan pemikiran saya juga sudah berubah, saya mula menyedari akan kepentingan melibatkan diri dalam aktiviti berpersatuan. Lalu apabila rakan-rakan alumni MRSM Muar mengadakan mesyuarat, saya tawarkan diri untuk turut serta dan akhirnya menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada AJK iaitu sebagai bendahari. Saya fikir saya perlu meletakkan diri dalam kedudukan yang tidak kurang pentingnya jika saya benar-benar ingin membantu untuk menjayakan program ini. Sebelum ini saya sememangnya tidak akan sekali-kali menawarkan diri untuk menjawat sesuatu jawatan kecuali jika diarahkan. Namun ia berbeza pada kali ini kerana saya sendiri yang menawarkan diri untuk menjadi bendahari. Saya tidak pernah menyesal malah bersyukur kerana saya menjadi lebih mengenali rakan-rakan yang menghubungi saya untuk mendaftarkan kehadiran dan juga menjelaskan bayaran penyertaan. Alhamdulillah, penyertaan yang pada awalnya hanya sekitar 50 orang sahaja akhirnya mencecah 100 orang pada saat-saat akhir. Ia sesuatu yang sungguh mengujakan dan membuatkan kami lebih bersemangat untuk menjayakannya. Turut menambahkan semangat kami adalah sokongan kewangan yang telah diberikan oleh rakan-rakan yang lebih berjaya dalam bidang perniagaan sehingga mampu menanggung kos kehadiran para guru ke makan malam.

Saya masih ingat kerisauan Adha, rakan yang dipertanggungjawabkan untuk menjemput para guru yang akan menghadiri makan malam kerana maklumbalas positif yang diterima daripada para guru untuk menghadiri makan malam. Dengan keadaan kewangan yang begitu terhad, kami sebenarnya hanya mensasarkan jemputan guru seramai 5 orang sahaja tetapi apabila merasakan wujud ketidakwajaran di situ, kami membuat keputusan menjemput semua guru yang pernah mendidik kami. Namun begitu, kerisauan kami adalah kerana bimbang tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan meraikan para guru. Lalu saya putuskan untuk meneruskannya juga kerana jika niat kita adalah untuk melakukan perkara yang baik, insyaAllah akan dipermudahkanNya jua. Akhirnya, berkat sumbangan rakan-rakan yang tidak dapat menghadiri program tetapi bersedia untuk memberi sokongan kewangan telah membantu kami untuk menampung kos tersebut.

Pujian pengetua terhadap batch kami yang meraikan para guru amat menyentuh hati kerana ini merupakan kali pertama mereka diraikan sebegini oleh bekas pelajar. Terasa sebak apabila mendengar luahan pengetua yang begitu menghargai sedikit usaha kecil yang kami buat tetapi dipandang besar oleh mereka.

Namun, ini hanya permulaan. Masih banyak yang perlu dilakukan oleh kami termasuk diri saya sendiri. Oleh sebab itu, saya tidak menolak apabila dicalonkan semula dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pertama Alumni MRSM Muar 95/96 sebagai bendahari. Secara peribadi, saya merasakan sumbangan diri sendiri yang diberikan terhadap persatuan ini masih belum memadai. Saya ingin turut sama membantu menyumbang apa yang terdaya malah sudah banyak cadangan aktiviti yang diterima daripada para alumni sejak program tamat. Syukur kerana mereka (termasuk saya sendiri) sudah mulai nampak akan kepentingan peranan alumni. Ia satu platform untuk kita mewujudkan jambatan antara sekolah dan bekas pelajar. Semoga ukhuwwah yang terjalin ini akan terus mekar sepanjang masa.

Saturday, July 9, 2011

Pertemuan Semula ~ Kehangatan Bermula

Bismillahirrahmanirrahim...

Selamat datang ke Bandar Maharani

Saya kini berada di Muar atau lebih dikenali dengan nama Bandar Maharani untuk menghadiri program pertemuan semula (reunion) MRSM Muar 95/96. Saya bertolak jam 11 pagi dan tiba di Muar hampir jam 3 petang kerana melalui jalan persekutuan dan bukannya lebuhraya. Saya memang gemar melalui jalan dalam kerana dapat melalui banyak tempat menarik di sepanjang perjalanan. Namun perjalanan tadi agak mendebarkan juga apabila terpaksa melalui beberapa sekatan jalanraya dan saya tiba agak lewat daripada dijangka. Sepatutnya saya tiba di hotel pada jam 2 petang memandangkan teman saya, Haidhir, yang sama-sama bertanggungjawab dalam urusan tempahan penginapan dan dewan tidak dapat hadir di saat-saat akhir atas sebab kecemasan. Maka segala urusan tersebut diserahkan kepada saya sepenuhnya. Saat ini saya amat bersyukur kerana pernah terlibat dalam urusan sebegini semasa menjalankan tugas rasmi di tempat kerja lama. Justeru, apabila Haidhir memaklumkan kepada saya tentang ketidakhadirannya, saya dengan senang hati menerima tugasan ini.

Hotel yang akan menjadi lokasi makan malam adalah Hotel Muar Traders. Lega rasanya apabila keadaan hotel memuaskan termasuk penyediaan dewan yang telah disempurnakan lebih awal. Usai mendaftar masuk, saya dan teman, Dr Wan Fariza, segera bergegas ke maktab untuk menghadiri sesi perbincangan akhir bersama pihak maktab dan ia lebih kepada courtesy visit kerana sebelum ini, kami belum pernah mengadakan perbincangan secara bersemuka bersama pihak maktab untuk menganjurkan program ini. Sementara itu, 2 orang teman, Aziha dan Rohaizan, pula telah terlebih awal tiba di sana. Kehangatan yang dirasai memang berbeza sewaktu melangkah masuk ke pejabat pengetua berbanding semasa masih bergelar pelajar di situ. Syukur kerana pihak maktab memang memberi kerjasama baik dan begitu gembira dengan penganjuran program ini dan ia sedikit sebanyak semakin membangkitkan semangat kami untuk meneruskan usaha murni sebegini pada masa hadapan. Banyak yang kami perbualkan bersama pengetua sambil mengenang kisah-kisah lalu yang masih mekar di ingatan kami. Usai perbincangan, kami dibawa oleh kaunselor untuk melawat sekeliling maktab termasuk tempat-tempat yang akan menjadi lokasi program kelak. Ternyata sudah banyak perubahan fizikal yang berlaku dan masih banyak juga tempat yang masih sama tidak berubah. Seakan tidak percaya tempoh 15 tahun sudah berlalu.


Kembali ke hotel, saya sempat berjalan kaki sepanjang deretan kedai di bandar Muar dan ternyata sudah banyak perubahan di sini malah sempat makan mee bandung di salah sebuah gerai di tepi sungai Muar. Kemudian kami berkumpul di dewan untuk perbincangan terakhir agar setiap yang terlibat benar-benar faham peranan masing-masing. Syukur juga kerana kehadiran sememangnya amat memberangsangkan dan suasana menjadi riuh rendah dengan cerita-cerita lama yang kini menjadi kenangan manis.



Design t-shirt hasil kreativiti seorang teman
Segalanya selesai pada jam 2 pagi dan sehingga saat ini mata saya masih belum mengantuk malah sedikit risau untuk menghadapi hari esok. Hanya doa dipohon semoga segalanya berjalan lancar, insyaAllah. Yang pasti, saya gembira kerana turut menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah bagi kami ini.



Thursday, July 7, 2011

Dompet

Bismillahirrahmanirrahim...

Gambar sekadar hiasan
Saya memang tidak berapa gemar membawa sebarang beg tangan apabila keluar membeli-belah atau sekadar berjalan-jalan. Seboleh mungkin saya cuba untuk memuatkan segala dokumen penting seperti MyKad, lesen memandu, kad kredit, kad ATM dan sedikit wang di dalam sebuah dompet sahaja. Dompet itu pula boleh saya muatkan di dalam poket seluar sahaja dan saya boleh berjalan berlenggang dengan selesa. Beberapa kali juga saya telah menukar ganti dompet dan seringkali berpunca daripada keadaannya yang sudah lusuh.

Baru-baru ini saya terpaksa mengasingkan pelbagai kad termasuk kad kredit, kad ATM, kad MESRA, Bonuslink dan pelbagai kad keahlian lain kepada 2 dompet kerana jumlahnya yang menyesakkan dompet sedia ada. Saya asingkan berdasarkan kekerapan penggunaan dan kepentingannya. Lalu saya sering membawa dompet pertama yang mengandungi MyKad, lesen memandu, kad kredit dan kad ATM sementara dompet kedua akan saya bawa mengikut keperluan penggunaannya. Dek kerana sering membawa dompet pertama sahaja, saya telah tersalah letak dompet kedua di suatu lokasi yang saya sendiri tidak pasti. Malam tadi, puas saya membongkar segala beg yang ada di dalam rumah untuk mencari dompet kedua sehingga jam 2 pagi tetapi sehingga sekarang saya masih gagal menemuinya. Aduhai, dugaan betul. Memanglah kandungan dompet kedua itu tidak berapa penting berbanding dompet pertama tetapi ada beberapa keping kad keahlian seperti MPH yang juga agak penting buat saya. Setelah agak lama mengabaikannya, saya gagal menemuinya apabila mula memerlukan penggunaannya. Nampaknya, malam nanti saya akan teruskan operasi mencarinya lagi sebelum bertolak ke Muar pada keesokan pagi. Saya yakin ia ada di dalam rumah saya tetapi di lokasi yang masih belum gagal saya ingati.

Saya selalu merasakan apabila kita terlalu mengkehendaki atau mencari sesuatu barang atau perkara, seringkali kita akan gagal menemuinya kerana diselubungi dengan emosi sehingga proses pencarian menjadi tidak fokus malah tempoh pencarian juga menjadi panjang. Lalu saya hentikan pencarian saya pada malam tadi dan berharap agar dalam tempoh bertenang ini, ingatan tentang kedudukan dompet kedua akan hadir, InsyaAllah, sebelum pencarian seterusnya diteruskan pada malam ini. Semoga pencarian saya pada malam ini akan membuahkan hasil. Robbi Yassir Wala Tua'ssir. Jika tidak, mungkin Allah masih ingin menguji saya atas kecuaian sendiri dan belum mengizinkan saya untuk menemuinya sehingga waktu yang ditentukanNya.

Wednesday, July 6, 2011

Bulan Ini Bulan Berkelana

Bismillahirrahmanirrahim...


Julai 2011. Hujung minggu saya pada bulan ini bakal dipenuhi dengan pelbagai perancangan. Awal bulan (minggu lepas), saya pulang ke kampung untuk meraikan majlis perkahwinan adik lelaki. Tiba di kampung jam 4 pagi, perlu segera bersiap untuk kenduri pula pada siangnya. Ahad petang pula, selepas solat Asar, bertolak pulang ke KL semula. Rasa letihnya memang luar biasa.

Hujung minggu ini pula, saya akan ke Johor untuk program pertemuan semula di Muar. Alang-alang, saya dan adik perempuan, MakTeh dan rakannya, MakNik, merancang berkunjung ke Tanjung Piai dengan turut disertai oleh abang kedua, BaAn dan keluarga yang tinggal di Kota Tinggi. Sudah lama saya berhajat untuk menjejakkan kaki ke situ dan ia memang tercatat dalam senarai tempat-tempat yang ingin saya kunjungi.

Hujung minggu seterusnya pula, saya merancang untuk melawat adik bongsu, PakSoo di PULAPOL dan berkemungkinan besar akan turut disertai oleh Abah dan Ummi. Jika perancangan menjadi, selepas melawat PakSoo, saya ingin membawa Abah dan Ummi untuk bercuti ke suatu lokasi yang saya pasti akan digemari oleh mereka. Perkara ini sengaja saya rahsiakan daripada pengetahuan Abah dan Ummi kerana kepastian sama ada sesi lawatan dibenarkan pada minggu tersebut masih belum dapat dipastikan oleh PakSoo. Atas faktor keselamatan dan sebab musabab yang hanya pihak PULAPOL ketahui, selalunya kebenaran melawat hanya akan diketahui pada saat-saat akhir. Jika perancangan untuk melawat PakSoo tidak menjadi, saya sudah mempunyai perancangan lain iaitu untuk ke Janda Baik, Pahang. Sudah lama saya merancang untuk ke sini tetapi sering terhalang dan sekali lagi, ia turut tercatat dalam senarai tempat-tempat yang ingin saya kunjungi. Jika berkesempatan, saya juga berhajat untuk singgah di sebuah rumah percutian milik keluarga seorang teman yang terletak di sana iaitu Sailor Rest.

Hujung minggu hadapannya pula, saya dan teman-teman sekerja sudah merancang untuk bercuti ke Cameron Highland. Pada awalnya, saya hanya menyuarakan hasrat untuk ke sana di FB, mungkin bersendirian, tetapi apabila ada teman-teman yang ingin turut serta termasuk seorang teman yang pulang bercuti dari Arab Saudi, kami sepakat menempah sebuah apartmen di sana. InsyaAllah kami akan bertolak pada hari Sabtu, 23 Julai 2011 ke sana dan pulang pada keesokkan harinya ke KL.

Hujung minggu terakhir Julai pula saya pasti akan pulang ke kampung untuk menyambut awal Ramadhan di sana. Memang menjadi kebiasaan saya untuk berbuat demikian pada setiap tahun namun saya juga sudah membayangkan kesesakan yang bakal ditempuhi kerana 1 Ramadhan jatuh pada hari Isnin. Pasti ramai yang akan mengambil cuti pada hari tersebut untuk pulang ke kampung. Namun saya tiada pilihan. Ini jalan yang saya pilih dan pasti semua orang juga ingin meraikan kedatangan Ramadhan bersama keluarga masing-masing. Ya Allah, berikanlah aku kesempatan untuk bertemu dan beramal dengan Ramadhan pada tahun ini.

Pertemuan Semula ~ Masanya Kian Hampir

Bismillahirrahmanirrahim...

Tanggal 9 Julai 2011 kian mendekat. Debarannya semakin terasa kerana semakin dekat tarikhnya, semakin kerisauan meningkat sama ada segala persiapan sudah berjaya disempurnakan. Namun sejujurnya, saya benar-benar rasa gembira dan terharu kerana dapat bekerjasama dengan rakan-rakan yang benar-benar memberi komitmen sepenuhnya kepada program ini. Masakan tidak, penyertaan dan sumbangan sebagai AJK program ini adalah secara sukarela. Tiada sebarang imbalan berbentuk kewangan akan diterima sebaliknya memerlukan curahan masa dan tenaga tanpa mengenal masa dan penat lelah. Cabarannya adalah lebih kepada untuk membahagikan masa antara tugas hakiki yang menjadi sumber pendapatan dan tugas sukarela yang juga memerlukan komitmen yang tinggi. Bagi yang sudah bekerluarga pula, cabarannya sudah pasti semakin tinggi. Kadang-kadang saya akui pernah juga merasa letih menjawab pelbagai persoalan daripada rakan-rakan sedangkan segala maklumat sudah dipaparkan dalam laman Facebook. Namun, saya cuba singkirkan jauh-jauh perasaan itu dan memandangnya sebagai salah satu peluang untuk berinteraksi dengan teman-teman yang suatu masa dulu pernah bersama-sama berada di bawah satu bumbung menuntut ilmu di bumi Muar. Malah lebih menarik, ada sesetengahnya tidak pernah saya ketahui kewujudannya pun sebelum ini tetapi sekarang boleh berbual-bual seolah sudah lama mengenali. Tergelak kecil saya apabila mengenangkan perkara ini.

Bayangkan, jumlah keseluruhan pelajar pada masa itu adalah melebihi 400 orang dan kami dibahagikan kepada 17 kelas mengikut aliran sama ada Sains Gunaan atau Sains Tulen. Terus-terang, saya akui gagal mengenali kesemua mereka kecuali yang benar-benar rapat kerana berasal dari negeri yang sama, belajar dalam satu kelas, tinggal di asrama yang sama atau pernah bergiat dalam persatuan badan beruniform yang sama. Pun begitu, masih belum terlewat untuk saya menyambung dan menyuburkan kembali tali ukhuwwah yang pernah terjalin antara kami suatu masa dahulu malah ia lebih relevan apabila masing-masing sudah berada dalam bidang/kerjaya yang siapa tahu boleh membantu antara satu sama lain. Di saat-saat genting apabila berhadapan dengan sesuatu masalah, pastinya kehadiran seorang yang bernama kawan untuk membantu adalah satu rahmat dan anugerah yang tidak ternilai.

InsyaAllah, saya akan bertolak ke Muar pada hari Jumaat ini dan bertemu dengan rakan-rakan AJK di MRSM untuk mengadakan courtesy visit bersama para guru sebelum program bermula pada hari Sabtu. Sebelum ini saya pernah juga singgah untuk sekadar menjenguk sekolah lama tetapi kunjungan pada kali ini pasti lain benar rasanya. Doa saya semoga segala perancangan yang telah diatur akan berjalan lancar dan hasrat kami untuk menubuhkan persatuan alumni akan menjadi kenyataan. Amin.

Friday, July 1, 2011

Pertemuan Semula ~ Menggamit Memori

Bismillahirrahmanirrahim...

30 Jun 2011 ~ Dalam entri sebelum ini, saya pernah menyatakan yang saya dan teman-teman seperjuangan di MRSM Muar sedang giat mengusahakan program pertemuan semula yang telah ditetapkan pada 9 Julai 2011. Saya merasa sungguh teruja kerana ini merupakan pertemuan semula kami selepas 15 tahun menjalani kehidupan masing-masing sebaik tamat tingkatan lima. Program sehari yang akan bermula pada jam 7.30 pagi di tempat kami mula mengenali iaitu MRSM Muar dan berakhir dengan makan malam di Hotel Muar Traders. Malam tadi kami mengadakan perbincangan terakhir sebelum bersua pada hari kejadian. Sesi perbincangan kami adakan di pejabat salah seorang rakan kami, Fatti, di Cova Square, Kota Damansara. Tempat ini menjadi tempat rasmi kami untuk sesi perbincangan kerana kedudukannya yang mudah untuk dikunjungi dan suasana yang lebih selesa untuk berbincang. Sebelum ini, kami pernah beberapa kali mengadakan perbincangan di tempat-tempat terbuka seperti IKEA, The Curve dan McD Bandar Utama, namun ia gagal mencapai objektif sebenar perbincangan kami. Akhirnya, Fatti secara sukarela telah menawarkan penggunaan ruang pejabatnya sebagai lokasi tetap sesi perbincangan kami. Lebih mengharukan apabila Fatti turut menyediakan juadah buat kami pada setiap sesi perbincangan. Juadahnya pula bukan calang-calang dan istimewa seperti pizza.  

Dari kiri: Ketua AJK, Aziha dan Mayady@Eddie

Dari Kiri: Lin Cas, Shikin (Doktor), Saya ~ serius kan perbincangan kami hehe

Dari Kiri: Adha (Komander Tentera Laut), Wan Fariza (Doktor), Fatti (penaja lokasi perbincangan)

Dari Kiri: Bob (Konsultan), Syukran (Jurutera Toyota), Rafihan (Ejen Prudential)

Meskipun kehadiran pada kali ini tidak seramai seperti sebelum ini, kami tetap meneruskan sesi perbincangan kerana perlu memuktamadkan semua perkara yang telah dirancang sebelum ini. Ketidakhadiran sesetengah AJK pula kerana komitmen mereka kepada kerja dan perkara-perkara lain yang juga penting. Namun begitu, komitmen yang diberikan oleh mereka terhadap program ini amat membanggakan saya. Penglibatan saya pada kali ini sebagai bendahari, AJK logistik dan juga koordinator hari kerjaya sungguh mengujakan kerana kerjasama baik yang saya terima daripada rakan-rakan seperjuangan. Saat ini saya merasakan betapa indahnya anugerah dan nikmat ukhuwwah yang telah dianugerahkanNya kepada saya.

Saya akui terpaksa bergelut dengan waktu untuk memberikan tumpuan antara tugas di pejabat dan tugas-tugas sukarela untuk program ini tetapi kepuasan yang saya perolehi daripadanya sangat berbaloi. Sebagai bendahari, bermakna segala urusan kewangan akan berada di bawah tanggungjawab saya termasuk urusan pembayaran yuran penyertaan, penerimaan sumbangan dan juga pembayaran kepada hotel. Menguruskan penerimaan yuran penyertaan juga memang merenyahkan tetapi amat menyeronokkan apabila setiap hari melihat peningkatan jumlah penyertaan. Pengalaman saya sebelum ini yang banyak berurusan dengan pihak hotel untuk urusan rasmi turut memberi kelebihan kepada saya. Turut membantu saya dalam urusan ini adalah Hidhir, bekas rakan sekelas yang kini bertugas sebagai statistician. Sejujurnya, sokongan dan bantuan mereka yang memberi komitmen menjalankan tugas sukarela sebagai AJK benar-benar membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjayakan program ini.

Saya akui pada awalnya saya juga berasa risau dengan jumlah penyertaan yang tidak menggalakkan namun keyakinan untuk menjayakannya tetap ada kerana jika kali ini kami gagal untuk melakukannya, ia pasti akan berkubur begitu sahaja pada masa akan datang. Untuk itu, kami teruskan juga usaha mewarwarkan program ini kepada rakan-rakan sama ada melalui Facebook, emel atau menghubungi sendiri melalui telefon. Selaku bendahari pula, saya perlu memastikan setiap bayaran yang dibuat oleh rakan-rakan yang akan hadir diterima melalui akaun saya sendiri. Lebih mengharukan apabila sumbangan sama ada berbentuk kewangan atau barangan turut diterima daripada rakan-rakan yang tidak dapat menghadirkan diri pada hari tersebut. Sebahagiannya pula ada yang sanggup meluangkan masa pulang ke tanah air meskipun sekarang sedang bertugas di luar negara. Saya tidak dapat mengelak untuk tumpang merasa bangga dengan kejayaan mereka pada hari ini. Masing-masing sudah berjaya dalam bidang mereka sendiri. Namun saya juga ada mendengar cerita tentang rakan-rakan yang belum berjaya. Saya gunakan istilah belum kerana mungkin atas faktor-faktor tertentu, kejayaan sedikit lewat menjengah mereka. Walau bagaimanapun, istilah berjaya itu sendiri adalah sesuatu yang sungguh subjektif. Pada saya, seseorang itu sudah dikira berjaya jika mampu menanggung setidak-tidaknya diri sendiri dan tidak menyusahkan orang lain. Pendek kata, asalkan tidak menjadi penjenayah, itu sudah boleh dianggap berjaya. Namun begitu, pertemuan semula ini diharap akan dapat menggamit memori bersama rakan-rakan kepada zaman paling manis dalam fasa kehidupan yang pernah dilalui. Mungkin juga ia medan untuk rakan-rakan yang telah berjaya membantu yang belum berjaya. Segalanya berkemungkinan asalkan nawaitunya adalah baik.

Kini, hanya tinggal beberapa perkara terakhir yang perlu dibereskan sebelum tanggal 9 Julai. Alhamdulillah, penyertaan sudah mencecah hampir 100 orang dan kehadiran guru juga agak memberangsangkan. Banyak aktiviti yang dirancang untuk memenuhi program tersebut bermula dengan hari kerjaya bersama adik-adik di sebelah siang dan berakhir dengan acara makan malam bersama guru-guru. Pening juga kami memikirkan kaedah terbaik untuk berkongsi pengalaman kami yang tidak seberapa ini dengan adik-adik. Harap-harap tidak ada yang semakin keliru pula selepas berjumpa kami. Hehe.

Apapun, secara keseluruhannya, saya amat amat gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh rakan-rakan seperjuangan demi untuk menjayakan program yang julung-julung kali diadakan oleh alumni MRSM Muar 95/96 ini. Ini hanyalah langkah pertama kerana selepas ini banyak perkara yang ingin dibuat sebaik mendapat mandat dan sokongan daripada rakan-rakan yang lain. Meskipun kami AJK sementara mungkin tidak lagi berperanan selepas pertemuan ini, saya sudah cukup gembira kerana perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama. Perbincangan terakhir pada malam tadi berakhir jam 11 malam dan saya tiba di rumah jam 12.30 tengah malam. Semoga segalanya akan berjalan lancar seperti dirancang.

Ju dan Esah

Bismillahirrahmanirrahim...

28 Jun 2011 ~ Lebih kurang jam 12.30 tengahari, saya terima panggilan daripada sepupu (saya panggil Ju) memaklumkan yang dia dan kakaknya, Esah ditimpa kemalangan pada pagi tadi. Kemalangan berlaku apabila Ju dan Esah yang menaiki motosikal dilanggar oleh sebuah kereta yang keluar daripada persimpangan jalan. Jika berdasarkan cerita Ju, kesalahan adalah di pihak pemandu kereta kerana tidak berhenti sebelum keluar daripada simpang. Menurut Ju, dia cedera pada kaki kiri dan Esah pula patah paha kiri. Namun saya tidak pula dapat menjangka tahap keseriusan kecederaan yang dialami oleh mereka berdua. Memandangkan pada waktu itu saya sendiri sedang bergegas menyelesaikan urusan pejabat, saya berjanji dengan Ju untuk ke Hospital Kajang selepas tamat waktu pejabat.

Sebaik tamat waktu pejabat, saya terus bergegas ke Hospital Kajang dan tiba di sana pada jam 6.30 petang. Mujur juga trafik tidak terlalu sesak kerana saya bimbang akan tiba melepasi waktu melawat yang dibenarkan. Ju telah memaklumkan yang Esah ditempatkan di wad tingkat 3. Lalu saya terus menuju ke situ tetapi sebaik tiba di sana, tiada nama Esah yang saya temui dalam senarai pesakit. Saya hubungi Ju dan diberitahu yang Esah telah dibawa masuk ke dewan pembedahan sejak jam 4.45 petang tadi.

"Nampaknya serius juga kecederaan yang dialami oleh Esah jika begini keadaannya," itu fikir saya.

Saya turun ke tingkat bawah dan saya temui adik-beradik serta sepupu-sepupu yang lain sudah sedia menunggu di situ. Menurut mereka, kecederaan dialami Esah agak teruk juga sehingga ada bahagian tulang punggung yang terkeluar dari daging. Saya pula yang ngeri mendengar cerita mereka kerana saya sendiri memang kurang gemar dengan suasana hospital. Seboleh mungkin saya mengelak untuk ke hospital kecuali dalam keadaan terpaksa. Ibu Esah yang juga ibu saudara saya (Soo), juga telah tiba dari Terengganu pada petang tadi bersama keluarga besannya. Kemudian saya menemui Soo yang berehat di surau. Pada wajahnya, jelas terpapar kerisauan. Sudah pasti Soo bimbang dengan keadaan anak perempuan tunggalnya yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Malah andaian saya, mungkin juga Soo bimbang kerana arwah suami juga meninggal kerana kemalangan. Segera saya dekati Soo dan menyalaminya. Tidak tahu apa yang ingin dikatakan, lalu saya hubungi Ummi di kampung untuk berbicara dengan adiknya, Soo. Sebenarnya Soo belum sempat menceritakan kejadian sebenar kepada Ummi sebelum bertolak ke sini. Baru sekarang Soo berpeluang untuk bercerita kejadian yang berlaku kepada Ummi.

Jam sudah menghampiri pukul 8 malam dan proses pembedahan yang dilalui oleh Esah belum menunjukkan tanda-tanda akan selesai. Lalu saya sarankan Soo untuk pulang ke rumah terlebih dahulu dan berehat sementara menunggu proses pembedahan selesai. Tambahan pula, Soo masih belum sempat berehat sejak tiba dari kampung. Saya berpesan kepada sepupu yang lain agar menghubungi saya jika proses pembedahan Esah sudah selesai. Saya berjanji untuk berkunjung lagi pada keesokan harinya pada waktu tengahari kerana saya ada urusan lain pada sebelah petang dan malamnya. Alhamdulillah, jam 9 malam saya terima panggilan daripada sepupu memaklumkan yang Esah sudah selesai menjalani pembedahan.

Keesokan harinya, seperti dijanjikan, saya minta izin daripada ketua untuk keluar lebih awal daripada pejabat pada waktu tengahari. Setibanya saya di sana, hanya ada Esah dan suaminya yang saya panggil Mizi sahaja dan kelibat Soo tidak pula kelihatan. Rupanya Mizi baru sahaja menggantikan tempat Soo yang tidur bersama Esah di hospital pada malam tadi. Sayu hati saya melihat keadaan Esah walaupun cuba saya sembunyikan dalam gelak tawa bersama Mizi. Masa yang agak panjang, mungkin bertahun-tahun, diperlukan untuk pulih sepenuhnya dari kecederaan. Seboleh mungkin saya tidak mahu mewujudkan suasana tertekan dan sedih dengan kejadian yang menimpa mereka kerana ini semua adalah ujian buat kita semua. Ujian buat mereka yang baru bergelar pasangan suami isteri dan ujian kepada kami sebagai saudara terdekat dalam menunaikan hak dan tanggungjawab terhadap mereka. Di pihak saya, hanya sumbangan sokongan moral dan kewangan yang tidak seberapa mampu diberi. Selebihnya saya minta mereka maklumkan kepada saya jika memerlukan bantuan lain. Apa yang termampu diusahakan akan cuba saya bantu dengan sedaya mungkin.

Sebenarnya, saya ada merakamkan gambar kecederaan dialami Esah tetapi tidak sampai hati pula untuk memuatnaiknya di dalam blog malah untuk merakamkannya juga saya sudah teragak-agak kerana berasa tidak wajar untuk memaparkan kesakitannya kepada umum seolah-olah ia satu perkara yang menggembirakan.

Mendengar kesungguhan Mizi pula yang selepas ini sanggup berulang-alik ke kampung untuk membawa Soo dan ibunya bergilir-gilir menjaga Esah membuatkan saya merasa kagum dengan kebaikannya. Dia cuba melakukan yang terbaik sebagai suami, anak dan juga menantu. Lalu saya ingatkan Mizi agar menghubungi saya terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung kerana jika secara kebetulan saya juga pulang ke kampung pada minggu tersebut, maka saya boleh menumpangkan mereka. Mungkin itu akan dapat meringankan beban Mizi berulang-alik menghantar dan mengambil ibunya dan Soo.

Kecederaan Ju pula menjadi lengkap apabila sebelum ini pernah terlibat dalam kemalangan dan patah kaki kanan. Kali ini, kecederaan pada kaki kiri pula. Tiada kecederaan dalaman lain dan hanya kesan-kesan lebam pada badan timbul mungkin kesan hentakan dan terjatuh semasa kemalangan. Buat sementara, Ju masih berehat di rumah sahaja sementara menunggu kecederaan pulih. Nampaknya Soo terpaksa bercuti buat sementara daripada bekerja untuk menjaga Ju dan Esah. Dugaan bertimpa-timpa datang kepada Soo. Semoga Soo terus tabah menghadapi ujian daripadaNya ini dan sebagai anak saudara, saya akan cuba membantu apa yang termampu.