Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, June 21, 2011

Kasihnya Abah

Bismillahirrahmanirrahim...



Selamat Hari Bapa! Jika dulu, saya hanya mendengar orang menyambut Hari Ibu sahaja tapi kini masyarakat sudah mula meraikan Hari Bapa pula. Pada saya, ia satu perkembangan yang sihat dan dijadikan trend yang patut diteruskan pada masa hadapan. Bercakap soal Hari Bapa, saya tidak tahu bagaimana untuk memulakannya kerana tidak pernah meraikannya dalam erti kata yang sebenarnya. Maksud saya, saya dan adik-beradik tidak pernah meraikan Abah dalam satu majlis khusus kecuali untuk sambutan hari lahir sahaja. Yang pasti, saya amat bersyukur kerana hari ini saya masih punya seorang lelaki yang boleh saya panggil Abah sedang ada insan-insan lain yang sudah lama kehilangan hak itu. Namun, apabila bercakap soal Abah, sejujurnya saya tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Saya fikir sewaktu usia masih kecil (usia 5 tahun ke bawah), saya tidak begitu mengingati bagaimana perwatakan Abah tetapi apabila usia mula menginjak 6 tahun, saya mengingati Abah sebagai seorang yang garang dan tegas dengan anak-anak tetapi sebenarnya begitu menyayangi kami. Begitu sukar untuk Abah mempamerkan kasih sayangnya melalui kata-kata sebaliknya Abah lebih gemar menzahirkannya melalui perbuatan. Sedaya mungkin Abah cuba menyediakan rumah yang baik untuk kami diami dan memastikan segala kelengkapan terutama untuk pelajaran kami dipenuhi. Seingat saya, Abah tidak pernah menolak jika saya meminta duit untuk tujuan pelajaran meskipun selalunya Ummi akan menjadi orang tengahnya. Kegarangan Abah sewaktu muda pula menyebabkan kami adik-beradik tidak berani untuk 'angkat muka' di hadapan Abah. Melihat misai melintang Abah sahaja sudah cukup untuk menggerunkan hati kami.

Setiap kali kami melakukan kenakalan, Ummi akan melaporkannya kepada Abah dan kami harus bersedia untuk menerima hukumannya. Ia mungkin dalam bentuk bebelan atau pukulan. Selalunya rumah nenek yang terletak tidak jauh dari rumah kami akan menjadi tempat persembunyian kami sementara menunggu kemarahan Abah reda. Saya masih ingat satu kejadian sewaktu saya dan abang ketiga, BaHa, berusia dalam lingkungan 8 dan 9 tahun malah ia antara insiden yang masih kekal dalam ingatan saya sehingga sekarang. Namun saya mengenangnya bukan sebagai dendam kepada Abah sebaliknya lebih kepada sebuah kenangan manis zaman kanak-kanak. Dalam keluarga kami, Abah merupakan orang yang bertanggungjawab menyara kami sepenuhnya kerana Ummi hanya seorang surirumah. Sebagai guru sekolah rendah dan tanggungjawab membesarkan 8 orang anak, ia bukan satu tugas yang mudah. Setiap sen menjadi amat berharga buat kami.

Pada suatu hari, Ummi telah meminta saya dan BaHa untuk membeli sebuku roti yang pada waktu itu harganya adalah sekitar 30-40 sen sahaja. Tujuan kami membelinya adalah untuk hidangan minum petang kepada Abah yang akan pulang tidak lama lagi. Mungkin kerana ketiadaan wang kecil, Ummi memberikan wang kertas sebanyak RM1 kepada kami. Setibanya di kedai, roti yang ingin dibeli sudah kehabisan. Entah kenapa, tanpa berfikir 2 kali, kami telah menggunakan wang tersebut untuk membeli makanan ringan. Sesampai di rumah, kami telah dimarahi dengan teruk oleh Ummi tetapi entah kenapa juga, marah seorang ibu selalunya tidak terlalu membekas seperti marahnya seorang ayah. Ia seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Namun kata-kata Ummi yang berbentuk amaran selepas itu amat mengecutkan hati kami,

"Tunggulah Aboh balik kekgi, royat ke Aboh suruh rotan (Tunggulah Abah balik nanti, bagitau pada Abah suruh rotan)!"

Kata-kata itu benar-benar membuatkan kami tidak senang duduk namun sebagai anak kecil, kerisauan itu hanya sementara. Kami ralit bermain sehingga tidak sedar kepulangan Abah dan Ummi benar-benar menunaikan kata-katanya apabila melaporkan perbuatan kami kepada Abah. Usai solat Asar, dengan hanya berkain pelekat dan memegang sebatang rotan, Abah memanggil kami berdua. Saya masih ingat lagi kedudukan kami pada waktu itu yang tinggal di rumah kayu tinggalan arwah datuk. Abah berada di pintu rumah sedang kami berdua berdiri di hadapan beranda di bahagian dapur dan Abah berdiri betul-betul menghadap ke arah kami. Tanpa membuang masa, Abah terus meluru ke arah kami dengan tujuan untuk merotan kami atas laporan yang telah dibuat oleh Ummi. Tanpa banyak soal, kami pun mengatur langkah seribu untuk melarikan diri daripada dirotan Abah tetapi memang nasib kami, terkena juga biratan rotan tersebut. Apapun, kami meneruskan larian menyembunyikan diri di sebalik pokok kelapa tetapi apabila saya toleh ke belakang, Abah masih lagi mengejar saya. Waktu itu, kami sudah berpecah mencari haluan masing-masing untuk menyelamatkan diri. Abah hanya berpatah balik apabila kelibat kami sudah tidak lagi kelihatan di pandangannya. Sambil menangis tersedu-sedu, saya melangkah menuju ke rumah nenek untuk meredakan tangisan. Rupanya BaHa sudah terlebih awal tiba di situ dan kami hanya menunggu di situ kerana masih takut untuk pulang ke rumah. Sebaik masuk waktu Maghrib, kelihatan Ummi berjalan kaki menuju ke rumah nenek untuk menjemput kami pulang. Apabila pulang ke rumah, sudah tentu kami cuba sedaya mungkin mengelak untuk bertembung dengan Abah kerana tidak sanggup melihat kegarangan pada wajah Abah. Namun apabila kami tidur pada waktu malam, saya sering terjaga tetapi berlakon seolah-olah tidak nampak apa-apa, kelihatan Abah menjenguk anak-anaknya seorang demi seorang dan membetulkan kain selimut yang menutupi kami. Kemudian Abah akan memasang lingkaran ubat nyamuk dan meletakkanya di bawah katil agar kami tidak digigit nyamuk. Mungkin kerana masih marah kepada Abah, saya selalunya hanya terus memejamkan mata sahaja.

Meskipun Abah begitu tegas dan garang hampir setiap masa, Abah seorang yang begitu prihatin dengan kesihatan anak-anak. Setiap kali ada antara kami yang demam, Abah pasti akan segera membawa kami ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan segera sedangkan bayarannya adalah lebih mahal berbanding ke hospital. Jika gagal dengan cara moden, Abah akan mencari ikhtiar melalui kaedah tradisional pula.

Sewaktu berusia 6 tahun, kami telah berpindah ke rumah teres yang baru Abah peroleh. Atas kenakalan sendiri, saya telah ditimpa kemalangan ketika memanjat kerusi plastik untuk mencapai tin Milo yang terletak di atas peti sejuk. Kesan jatuhan tersebut, tangan kiri saya telah patah sehingga terpusing ke belakang dan kesakitannya masih saya ingat sehingga hari ini. Saya meraung kesakitan dan Abah yang pada waktu itu baru sahaja pulang dari sekolah telah berlari mendapatkan saya yang sudah semakin kuat raungannya. Tanpa membuang masa, dengan ditemani seorang rakan, Abah terus membawa saya berjumpa dengan tukang urut untuk membetulkan semula kedudukan tulang tangan saya. Sakitnya hanya Allah yang tahu apabila tukang urut tersebut memusingkan kembali tulang tangan saya kembali kepada keadaan saya namun ia tidak menjadi seperti asal. Tulang siku saya hancur remuk dan kesan bengkok masih jelas kelihatan jika diperhatikan dengan teliti. Masih jelas di ingatan saya apabila Abah keluar meninggalkan saya bersama temannya sahaja sewaktu saya meraung diurut oleh tukang urut. Kini, apabila telah dewasa baru saya faham kenapa Abah bertindak begitu. Meskipun garang, Abah tidak sanggup melihat saya meraung kesakitan sebegitu rupa.

Sejak dari kejadian itu, saya dijaga oleh Abah dengan sebaik mungkin dan Abah melarang saya daripada bermain secara lasak dengan kawan-kawan. Makan minum bersuap oleh Ummi dan pada kebanyakan masa, saya hanya bermain di dalam rumah sahaja. Pada hari-hari tertentu pula, tukang urut akan datang untuk membuka balutan pada tangan saya dan menggantikannya dengan yang baru. Abah sebenarnya begitu risau kerana tidak lama selepas kejadian itu, saya akan memulakan persekolahan darjah 1. Kerisauan Abah begitu ketara sehingga Abah menulis surat kepada sekolah memaklumkan keadaan saya dan meminta agar guru memantau saya di sekolah dan tidak melibatkan saya dalam aktiviti-aktiviti lasak. Mungkin kerana itu juga, saya tidak mempunyai minat untuk bermain bola jaring seperti kawan-kawan perempuan yang lain. Ya, saya buta bola jaring sehingga sekarang. Setiap kali hujung minggu atau cuti sekolah pula, Abah akan membawa saya dan nenek yang juga ditimpa kemalangan sehingga patah tulang punggung, ke mana-mana tukang urut untuk memperbetulkan kembali kedudukan tulang tangan saya. Pantang diberitahu oleh kawan-kawan tentang kepakaran tukang urut, Abah pasti akan membawa kami meskipun jauh di negeri lain. Waktu itu juga, Abah akan memanjakan saya dengan mendukung saya setiap kali berjumpa dengan tukang urut. Segala kenangan itu masih segar dalam ingatan saya sehingga sekarang.

Malah Abah masih meneruskan usaha memperbetulkan keadaan tangan saya sehingga saya berusia 15 tahun apabila kami ke negeri Kelantan sebanyak 2 kali. Tempatnya pula jauh ke pedalaman dan saya tidak pasti daripada siapa Abah mendapat tahu tentang kedudukan tempat itu kerana pada waktu itu saya sudah tinggal di asrama. Banyak masa saya dihabiskan di asrama dan kami pergi ke sana pada waktu cuti sekolah. 

Dulu Abah sering mengatakan kepada saya,

"Biarlah tangan bengkok asalkan belajar pandai."

Saya pegang kemas dan erat kata-kata itu dan ia menjadi pendorong kepada saya untuk belajar dengan lebih rajin. Apabila saya semakin dewasa, saya mengelak untuk berbicara tentang tangan sendiri dan ramai yang tidak perasan dengan keadaan saya sehingga saya sendiri memberitahu mereka. Setiap kali memandang tangan kiri, saya tidak dapat mengelak untuk mengingati segala pengorbanan Abah terhadap saya selama ini demi memastikan anak perempuannya memiliki kehidupan yang lebih baik daripadanya. Abah bukannya tidak pandai tetapi tidak mempunyai peluang kerana berdepan masalah keluarga. Bayangkan, Abah berjaya memiliki sijil 4 Thanawi tetapi kerana ketiadaan wang, Abah tidak dapat melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah seperti yang diidam-idamkan dan juga seperti rakan-rakannya yang lain. Selepas mempunyai 2 orang anak pula, Abah gigih mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia untuk membolehkan Abah bergelar seorang guru.

Abah juga hero penyelamat saya apabila menyelamatkan saya dan adik perempuan daripada mati lemas di dalam sungai sewaktu berusia 16 tahun. Jika bukan kerana tindakan pantas Abah, sudah pasti saya kini tidak akan lagi bernafas di muka bumi Allah ini. Begitu panjang kisahnya jika saya ingin berbicara tentang kasihnya Abah. Mana mungkin saya mampu menyenaraikan kesemuanya. Namun saya tidak ingin mengenang kisah-kisah kegarangan Abah semata kerana saya tahu Abah melakukannya kerana sayangkan saya dan adik-beradik. Saya sedar yang saya juga bukanlah anak yang begitu baik. Saya juga pernah banyak kali melukakan hati Abah. Namun kasih Abah pada saya tidak pernah berkurang. Di penghujung usia ini, wajah Abah sudah semakin berkedut dan warna rambut Abah sudah semakin memutih. Malah garang Abah sudah lama mengendur terutama bersama cucu-cucu. Seringkali saya pula yang sering mempermain-mainkan kegarangan Abah dulu. Seorang lelaki yang suatu masa dulu menjadi ketakutan kami kini menduduki tempat yang cukup istimewa di hati saya (air mata saya sudah mula mengalir). Segala yang saya miliki pada hari ini adalah atas usaha gigih dan restu daripada Abah dan Ummi jua. Sedaya mungkin saya cuba menggembirakan hati Abah dengan cara saya sendiri meski saya sedar ia tidak akan mampu menyamai jasa-jasa Abah selama hayat saya ini. Namun selagi nyawa masih dikandung badan, masih belum terlambat untuk saya melafazkan yang saya sayangkan Abah!

No comments: