Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, June 29, 2011

Apabila Masa Terasa Lambat Berlalu

Bismillahirrahmanirrahim...

Ya, itu yang saya rasakan akhir-akhir ini meskipun masih dibebani dengan pelbagai tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Namun keterujaan itu semakin mengendur malah menjadi semakin tidak sabar untuk kembali ke alam akademik. Hari-hari yang dilalui terasa kian hambar apabila seorang demi seorang teman juga sudah mula menerima tawaran daripada IPTA. Seorang teman yang akan melanjutkan pelajaran ke Australia juga sudah menerima tiket penerbangan dan akan berlepas pada 13 Julai 2011. Saya baru sahaja menemui dia pada waktu rehat tadi dan kegembiraan jelas terpancar pada wajahnya. Saya tumpang gembira melihat keseronokan dia dan tidak sabar menunggu saat untuk diri sendiri pula akan tiba. Pagi tadi saya menghubungi pusat siswazah di UTM Skudai dan dimaklumkan permohonan saya masih berada di peringkat penilaian. Aduh, saat-saat begini memang sungguh mendebarkan. Manakala permohonan daripada IPTA-IPTA lain juga begitu. Sehingga hari ini, saya hanya menerima kad penerimaan penghantaran borang sahaja daripada mereka.

Khabarnya, rata-rata IPTA akan mengedarkan surat tawaran pada pertengahan bulan Julai kelak. Jika begitu senarionya, pasti agak kelam kabut juga mengejar masa untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan segala urusan dokumentasi kerana Ramadhan bakal menjelma pada awal Ogos. Seboleh mungkin saya ingin menyelesaikan segala urusan sebelum ketibaan Ramadhan agar tidak perlu berkejar ke sana sini pada bulan tersebut. Perancangan saya adalah untuk menghabiskan baki cuti rehat semasa cuti perayaan Aidilfitri agar saya tidak perlu kembali ke pejabat selepas tamat cuti Aidilfitri kelak. Minda saya sudah diprogramkan sebegitu dan diharapkan agar tidak ada pula sebarang halangan yang akan merencatkan perancangan saya ini.

Jika sebelum ini, semester pembelajaran dijadualkan akan bermula pada bulan Julai 2011 namun selepas penyelarasan yang diumumkan oleh Kerajaan bahawa semester pembelajaran ditunda kepada bulan September 2011, perancangan saya menjadi bercelaru. Pada mulanya agak sukar juga untuk saya menerima perubahan tersebut tetapi apakan daya kerana ia adalah peraturan baru yang ditetapkan oleh Kerajaan. Jika tidak, saat ini saya sudah pasti sibuk dengan segala persiapan untuk memulakan pengajian dan hanya menunggu saat untuk memasuki kuliah.

Apapun jua perancangan yang telah saya buat, Dia telah mengaturkan perancangan yang terlebih baik...


Monday, June 27, 2011

Sesi Meng'Umai'

Bismillahirrahmanirrahim...

24 Jun 2011, Umai Cafe ~ Saya bersyukur kerana mempunyai teman-teman yang baik semasa mengharungi perit getir dalam alam pekerjaan. Mereka teman yang memahami dan menerima saya seadanya. Sebahagiannya pernah bekerjasama dengan saya sebagai ketua dan juga rakan sekerja. Mereka sering menjadi tempat saya mendapatkan pandangan kedua atau untuk meluahkan keresahan di hati saat berdepan dengan pelbagai kerenah manusia. Jika ada masa terluang, saya sering bertemu mereka sekadar untuk bercerita dan juga bertanya khabar di samping berkongsi rezeki sekiranya menerima kenaikan pangkat atau berita gembira. Sesi pertemuan pula saya namakan sempena tempat atau makanan yang ada di situ. Meng'Umai' mengambil nama tempat pertemuan kami pada hari Jumaat yang lalu iaitu di Umai Cafe. Kedudukannya betul-betul berhampiran Menara Alaf Baru yang berada di belakang pejabat saya sahaja. Namun ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini malah sebelum ini saya tidak pernah tahu tentang kewujudan tempat ini. Terima kasih kepada Encik Shahnaz kerana memperkenalkan tempat ini kepada kami :)


Dari kiri: En. Shahnaz, En. Khairul, En. Hanafe

Dari Kiri: Zamri, En. Shahnaz, Azizi

Semua kecuali Ady sebagai jurugambar :)

Sesi ini sebenarnya pernah dirancang sebelum ini oleh Encik Shahnaz @ Abu Wafi yang berhajat untuk membelanja kami tetapi tertangguh kerana ketidaklapangan masing-masing. Akhirnya, petang Jumaat lepas kami berjaya berkumpul malah En. Khairul, bekas ketua saya, sanggup hadir dari Gombak untuk menghadiri sesi pertemuan tersebut. Bentuk perhubungan beginilah yang saya inginkan iaitu meskipun kami tidak lagi bergandingan sebagai ketua dan orang bawahan namun hubungan kami kekal sebagai kawan. Saya tidak pasti tentang orang lain tetapi saya juga menginginkan perkara yang sama dengan bekas orang-orang bawahan saya kerana mereka adalah orang yang paling dekat dengan saya. Saya bersama mereka hampir setiap hari dalam jangka masa yang panjang. Sudah tentu saya mengharapkan seperti berada dalam suasana kekeluargaan yang tidak dicemari dengan perasaan hasad dengki yang kekadang membawa kepada tindakan 'tikam belakang'.

Agak lama juga kami berbual-bual sehingga menghampiri jam 8 malam. Menyedari yang waktu Maghrib kian menghambat, kami segera beredar pulang. Terima kasih kepada yang hadir, terima kasih kepada Encik Shahnaz dan Encik Hanafe kerana membelanja kami dan terima kasih semua kerana menjadi teman saya. Semoga ukhuwwah ini akan berpanjangan.

Friday, June 24, 2011

Kita Hanya Mampu Merancang

Bismillahirrahmanirrahim...

Lucu pula apabila diingat kembali peristiwa semalam dan hari ini. Benarlah, manusia hanya mampu merancang, Dia jua yang menentukan. Semalam, rakan saya Syakirah yang sedang sarat mengandung telah menghubungi saya, mengajak untuk makan sup yang cukup terkenal di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda. Mengidam agaknya. Tempat tersebut khabarnya memang terkenal dengan kelazatan sup dan sesiapa yang ingin makan di situ perlu datang lebih awal. Jika tidak, ia pasti akan kehabisan. Tanpa banyak soal, saya menerima ajakan Syakirah sementelah saya sendiri belum pernah merasai kelazatannya selama bekerja di Putrajaya :)

Tepat jam 12.40 tengahari, saya mencapai kunci kereta dan beg duit dan segera menuju ke kereta untuk menjemput Syakirah di pejabatnya yang hanya memakan masa 5 minit sahaja jaraknya dari pejabat saya. Kami bertemu di lobi dan dengan gembira saya terus memandu menuju destinasi dituju. Namun, sebaik saya memasuki persimpangan pertama dari pejabat Syakirah,

"Alamak, aku dapat SMS Dato' nak jumpa lah," kata Syakirah.

"So, macamana ni? Nak kena jumpa sekarang ke macamana?" tanya saya sambil memperlahankan kelajuan kereta.

"Kejap aku tanya nak jumpa bila" balas Syakirah.

"Ok. Takpe, kalau perlu jumpa sekarang, maknanya terpaksalah kita patah balik," ujar saya pula.

"Yelah, nampaknya kena patah balik. Nak jumpa sekarang," putus Syakirah.

Saya terus membuat pusingan-U di persimpangan lampu isyarat berdekatan untuk berpatah balik ke pejabat Syakirah. Dalam masa yang sama pula, teman sepejabat menghantar SMS mengajak untuk makan tengahari bersamanya. Sudahnya, Syakirah kembali ke pejabat untuk berjumpa ketuanya sementara saya pula mengikut teman sepejabat ke Presint Diplomatik.

Alahai, apa nak dikata. Kita hanya mampu merancang.

Lalu kami berjanji untuk melunaskan semula keinginan makan sup pada hari ini. Malah seorang rakan baik, Azlina a.k.a Arab (geng wajib berjimba di hari Jumaat) juga akan turut serta. Saya SMS Syakirah bertanya sama ada dia lapang atau tidak untuk menggantikan perancangan yang tergendala semalam. Syakirah memberitahu yang dia sedang bermesyuarat dan tidak tahu akan tamat pada jam berapa. Saya mula risau kerana bimbang tidak sempat untuk ke kedai sup tersebut. Sementara Arab pula mengatakan yang kunjungan pada hari Jumaat untuk makan sup di tempat tersebut amat tidak sesuai kerana akan bertembung dengan gerombolan lelaki yang juga akan makan di situ sebelum solat Jumaat di Masjid UNITEN. Menyedari kebenaran kata-kata Arab, saya cadangkan kepada Syakirah untuk membawanya ke sebuah restoran di Bangi yang sering saya kunjungi untuk makan sup iaitu Restoran Sup Urat Ketin. Meskipun Syakirah bersetuju dengan cadangan saya, sekali lagi kami hanya mampu merancang. Mesyuarat yang dihadirinya tamat agak lewat daripada biasa. Akhirnya, saya hanya pergi bersama Arab sahaja dan 'menapau'nya juga untuk Syakirah.

Begitulah keadaannya. Segala-galanya bukan di bawah kawalan kita semata sebaliknya Dia Yang Maha Mengetahui.

Thursday, June 23, 2011

Hikmah

Bismillahirrahmanirrahim...

'Setiap yang berlaku dalam hidup kita pasti ada hikmahnya'.

Itu yang sering dibisikkan kepada diri setiap kali berdepan dengan jalan buntu atau ditimpa sesuatu musibah. Memang ada benarnya kata-kata itu namun menyedari kelemahan sebagai manusia, seringkali juga hati mudah menjadi emosi dan tidak dapat berfikir dengan rasional sebaik ditimpa sesuatu perkara di luar jangkaan. Ia sebenarnya di luar jangkaan manusia sahaja sebaliknya sudah berada dalam jangkaan dan ketentuan Yang Maha Pencipta. Akhir-akhir ini saya  menjadi semakin tidak sabar untuk melanjutkan pengajian meskipun menyedari keputusan daripada IPTA akan hanya mula diedarkan pada pertengahan bulan Julai. Setiap hari di pejabat menjadi hari yang cukup panjang untuk dilalui. Sementelah waktu masuk kerja saya pula adalah waktu pejabat 3 iaitu bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Selalunya saya akan tiba pada jam 8.20 pagi dan meninggalkan pejabat tepat jam 6 petang kecuali ada perkara-perkara  yang perlu diselesaikan segera. Maksimum adalah jam 8 malam tetapi seboleh mungkin saya akan cuba mengelak untuk melebihi jam 6 petang kerana saya ingin beriadah di taman sebelum pulang ke rumah.

Sebenarnya ketibaan saya pada jam 8.20 pagi sentiasa dipersoalkan oleh ketua saya. Katanya, saya tiba lewat kerana dia akan tiba pada jam 7 pagi pada setiap hari. Tepat jam 8.30 pagi pula dia akan mengadap bos besar. Saya sedar amat sukar untuk memuaskan hati semua orang termasuk ketua sendiri. Terus-terang saya tak sanggup untuk tiba jam 7 pagi dan pulang jam 9 malam setiap hari. Hidup ini bukan semata-mata untuk bekerja di pejabat sahaja. Masih banyak perkara lain yang juga penting dalam kehidupan ini yang perlu diberi perhatian umpamanya kesihatan diri. Sudah sekian lama saya mengabaikannya sehingga saya sendiri yang menanggung kesannya. Saya perlu berubah dan mempertahankannya demi kebaikan dan kelangsungan diri sendiri. Namun saya tetap kagum dengan keazaman sesetengah pekerja yang boleh bekerja dalam jangka waktu yang panjang seperti itu. Minta maaf, saya bukan salah seorang daripada mereka kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja.

Jika direnung kembali, saya amat bersyukur kerana setidak-tidaknya saya sudah punya 'jalan keluar' pada bulan September kelak. Syukur juga saya sudah mendapat tawaran itu sebelum saya bertukar ke tempat kerja sekarang. Jika tidak, saya pasti amat sukar untuk saya mendapatkan pelepasan untuk memohon tawaran tersebut. Segala-galanya sudah tersusun rapi untuk saya lalui. Ada hikmahnya juga saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran sebelum saya bertugas di tempat sekarang. Sesungguhnya Dia lebih tahu apa yang terbaik buat diri saya. Manakala cara kerja di sini pula seolah-olah sebagai persediaan kepada diri saya apabila memasuki alam akademik kelak.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah Ayat 216)

Wednesday, June 22, 2011

Rimas

Bismillahirrahmanirrahim...

Terus-terang, saya memang rimas dengan tabiat cakap berulang-ulang perkara yang sama seolah-olah saya ini belum faham apa yang dicakapkan. Pada saya, cakap sekali dengan jelas dan terang sudah mencukupi. Tidak perlu mengulang perkara yang sama kecuali untuk membuat penjelasan lanjut. Sampai satu tahap, boleh jadi menyampah dan meluat pula rasanya. Apapun, sabar saja sebab orang yang cakap begitu berpangkat lebih tinggi dari saya. Untuk tidak mencari pasal, adalah lebih baik saya berlakon buat-buat macam dengar sahaja. Haha. Kalau kawan-kawan atau orang bawahan saya, tidak menjadi masalah untuk saya menegur dengan cara yang berhemah.

Sebelum ini, beberapa orang yang pernah bertugas di bawah beliau juga pernah menyuarakan rasa kurang senang tentang tabiat sebegitu. Memandangkan pada waktu itu saya masih lagi orang baru maka saya tidak begitu mengendahkan komen-komen sebegitu. Tambahan pula, memang menjadi pendirian saya untuk menilai sendiri seseorang yang belum saya kenali dan bukannya berdasarkan pendapat dan pandangan yang diberikan oleh orang lain. Saya mungkin mendengar pandangan yang diberikan oleh orang lain tetapi hanya sebagai makluman sahaja untuk panduan jika saya juga berdepan dengan keadaan yang sama. Namun nampaknya komen–komen tersebut memang ada kebenarannya. Tabiat bercakap meleret-leret tentang sesuatu perkara sedangkan realitinya ia tidak sebegitu rumit. Cara penerangan oleh penyampai yang membuatkan seolah-olah perkara itu nampak begitu rumit.

Saya pula jenis yang cepat hilang sabar dengan cara sedemikian. Secara refleks, wajah saya akan mempamerkan riak kebosanan apabila terpaksa mendengar perkara yang sama berulang-ulang. Saya berpendapat adalah lebih baik masa yang dihabiskan untuk penerangan yang tidak perlu itu dimanfaatkan dengan terus melaksanakan tugasan tersebut dengan kadar segera. Entahlah, lain orang lain ragamnya. Bila keadaan sebegini berlaku, saya menjadi semakin tidak sabar menunggu ketibaan surat tawaran daripada IPTA. Penantian memang satu penyeksaan. Tidak sabar untuk berubah angin meskipun buat sementara cuma. Sungguh!

Tuesday, June 21, 2011

Kasihnya Abah

Bismillahirrahmanirrahim...



Selamat Hari Bapa! Jika dulu, saya hanya mendengar orang menyambut Hari Ibu sahaja tapi kini masyarakat sudah mula meraikan Hari Bapa pula. Pada saya, ia satu perkembangan yang sihat dan dijadikan trend yang patut diteruskan pada masa hadapan. Bercakap soal Hari Bapa, saya tidak tahu bagaimana untuk memulakannya kerana tidak pernah meraikannya dalam erti kata yang sebenarnya. Maksud saya, saya dan adik-beradik tidak pernah meraikan Abah dalam satu majlis khusus kecuali untuk sambutan hari lahir sahaja. Yang pasti, saya amat bersyukur kerana hari ini saya masih punya seorang lelaki yang boleh saya panggil Abah sedang ada insan-insan lain yang sudah lama kehilangan hak itu. Namun, apabila bercakap soal Abah, sejujurnya saya tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Saya fikir sewaktu usia masih kecil (usia 5 tahun ke bawah), saya tidak begitu mengingati bagaimana perwatakan Abah tetapi apabila usia mula menginjak 6 tahun, saya mengingati Abah sebagai seorang yang garang dan tegas dengan anak-anak tetapi sebenarnya begitu menyayangi kami. Begitu sukar untuk Abah mempamerkan kasih sayangnya melalui kata-kata sebaliknya Abah lebih gemar menzahirkannya melalui perbuatan. Sedaya mungkin Abah cuba menyediakan rumah yang baik untuk kami diami dan memastikan segala kelengkapan terutama untuk pelajaran kami dipenuhi. Seingat saya, Abah tidak pernah menolak jika saya meminta duit untuk tujuan pelajaran meskipun selalunya Ummi akan menjadi orang tengahnya. Kegarangan Abah sewaktu muda pula menyebabkan kami adik-beradik tidak berani untuk 'angkat muka' di hadapan Abah. Melihat misai melintang Abah sahaja sudah cukup untuk menggerunkan hati kami.

Setiap kali kami melakukan kenakalan, Ummi akan melaporkannya kepada Abah dan kami harus bersedia untuk menerima hukumannya. Ia mungkin dalam bentuk bebelan atau pukulan. Selalunya rumah nenek yang terletak tidak jauh dari rumah kami akan menjadi tempat persembunyian kami sementara menunggu kemarahan Abah reda. Saya masih ingat satu kejadian sewaktu saya dan abang ketiga, BaHa, berusia dalam lingkungan 8 dan 9 tahun malah ia antara insiden yang masih kekal dalam ingatan saya sehingga sekarang. Namun saya mengenangnya bukan sebagai dendam kepada Abah sebaliknya lebih kepada sebuah kenangan manis zaman kanak-kanak. Dalam keluarga kami, Abah merupakan orang yang bertanggungjawab menyara kami sepenuhnya kerana Ummi hanya seorang surirumah. Sebagai guru sekolah rendah dan tanggungjawab membesarkan 8 orang anak, ia bukan satu tugas yang mudah. Setiap sen menjadi amat berharga buat kami.

Pada suatu hari, Ummi telah meminta saya dan BaHa untuk membeli sebuku roti yang pada waktu itu harganya adalah sekitar 30-40 sen sahaja. Tujuan kami membelinya adalah untuk hidangan minum petang kepada Abah yang akan pulang tidak lama lagi. Mungkin kerana ketiadaan wang kecil, Ummi memberikan wang kertas sebanyak RM1 kepada kami. Setibanya di kedai, roti yang ingin dibeli sudah kehabisan. Entah kenapa, tanpa berfikir 2 kali, kami telah menggunakan wang tersebut untuk membeli makanan ringan. Sesampai di rumah, kami telah dimarahi dengan teruk oleh Ummi tetapi entah kenapa juga, marah seorang ibu selalunya tidak terlalu membekas seperti marahnya seorang ayah. Ia seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Namun kata-kata Ummi yang berbentuk amaran selepas itu amat mengecutkan hati kami,

"Tunggulah Aboh balik kekgi, royat ke Aboh suruh rotan (Tunggulah Abah balik nanti, bagitau pada Abah suruh rotan)!"

Kata-kata itu benar-benar membuatkan kami tidak senang duduk namun sebagai anak kecil, kerisauan itu hanya sementara. Kami ralit bermain sehingga tidak sedar kepulangan Abah dan Ummi benar-benar menunaikan kata-katanya apabila melaporkan perbuatan kami kepada Abah. Usai solat Asar, dengan hanya berkain pelekat dan memegang sebatang rotan, Abah memanggil kami berdua. Saya masih ingat lagi kedudukan kami pada waktu itu yang tinggal di rumah kayu tinggalan arwah datuk. Abah berada di pintu rumah sedang kami berdua berdiri di hadapan beranda di bahagian dapur dan Abah berdiri betul-betul menghadap ke arah kami. Tanpa membuang masa, Abah terus meluru ke arah kami dengan tujuan untuk merotan kami atas laporan yang telah dibuat oleh Ummi. Tanpa banyak soal, kami pun mengatur langkah seribu untuk melarikan diri daripada dirotan Abah tetapi memang nasib kami, terkena juga biratan rotan tersebut. Apapun, kami meneruskan larian menyembunyikan diri di sebalik pokok kelapa tetapi apabila saya toleh ke belakang, Abah masih lagi mengejar saya. Waktu itu, kami sudah berpecah mencari haluan masing-masing untuk menyelamatkan diri. Abah hanya berpatah balik apabila kelibat kami sudah tidak lagi kelihatan di pandangannya. Sambil menangis tersedu-sedu, saya melangkah menuju ke rumah nenek untuk meredakan tangisan. Rupanya BaHa sudah terlebih awal tiba di situ dan kami hanya menunggu di situ kerana masih takut untuk pulang ke rumah. Sebaik masuk waktu Maghrib, kelihatan Ummi berjalan kaki menuju ke rumah nenek untuk menjemput kami pulang. Apabila pulang ke rumah, sudah tentu kami cuba sedaya mungkin mengelak untuk bertembung dengan Abah kerana tidak sanggup melihat kegarangan pada wajah Abah. Namun apabila kami tidur pada waktu malam, saya sering terjaga tetapi berlakon seolah-olah tidak nampak apa-apa, kelihatan Abah menjenguk anak-anaknya seorang demi seorang dan membetulkan kain selimut yang menutupi kami. Kemudian Abah akan memasang lingkaran ubat nyamuk dan meletakkanya di bawah katil agar kami tidak digigit nyamuk. Mungkin kerana masih marah kepada Abah, saya selalunya hanya terus memejamkan mata sahaja.

Meskipun Abah begitu tegas dan garang hampir setiap masa, Abah seorang yang begitu prihatin dengan kesihatan anak-anak. Setiap kali ada antara kami yang demam, Abah pasti akan segera membawa kami ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan segera sedangkan bayarannya adalah lebih mahal berbanding ke hospital. Jika gagal dengan cara moden, Abah akan mencari ikhtiar melalui kaedah tradisional pula.

Sewaktu berusia 6 tahun, kami telah berpindah ke rumah teres yang baru Abah peroleh. Atas kenakalan sendiri, saya telah ditimpa kemalangan ketika memanjat kerusi plastik untuk mencapai tin Milo yang terletak di atas peti sejuk. Kesan jatuhan tersebut, tangan kiri saya telah patah sehingga terpusing ke belakang dan kesakitannya masih saya ingat sehingga hari ini. Saya meraung kesakitan dan Abah yang pada waktu itu baru sahaja pulang dari sekolah telah berlari mendapatkan saya yang sudah semakin kuat raungannya. Tanpa membuang masa, dengan ditemani seorang rakan, Abah terus membawa saya berjumpa dengan tukang urut untuk membetulkan semula kedudukan tulang tangan saya. Sakitnya hanya Allah yang tahu apabila tukang urut tersebut memusingkan kembali tulang tangan saya kembali kepada keadaan saya namun ia tidak menjadi seperti asal. Tulang siku saya hancur remuk dan kesan bengkok masih jelas kelihatan jika diperhatikan dengan teliti. Masih jelas di ingatan saya apabila Abah keluar meninggalkan saya bersama temannya sahaja sewaktu saya meraung diurut oleh tukang urut. Kini, apabila telah dewasa baru saya faham kenapa Abah bertindak begitu. Meskipun garang, Abah tidak sanggup melihat saya meraung kesakitan sebegitu rupa.

Sejak dari kejadian itu, saya dijaga oleh Abah dengan sebaik mungkin dan Abah melarang saya daripada bermain secara lasak dengan kawan-kawan. Makan minum bersuap oleh Ummi dan pada kebanyakan masa, saya hanya bermain di dalam rumah sahaja. Pada hari-hari tertentu pula, tukang urut akan datang untuk membuka balutan pada tangan saya dan menggantikannya dengan yang baru. Abah sebenarnya begitu risau kerana tidak lama selepas kejadian itu, saya akan memulakan persekolahan darjah 1. Kerisauan Abah begitu ketara sehingga Abah menulis surat kepada sekolah memaklumkan keadaan saya dan meminta agar guru memantau saya di sekolah dan tidak melibatkan saya dalam aktiviti-aktiviti lasak. Mungkin kerana itu juga, saya tidak mempunyai minat untuk bermain bola jaring seperti kawan-kawan perempuan yang lain. Ya, saya buta bola jaring sehingga sekarang. Setiap kali hujung minggu atau cuti sekolah pula, Abah akan membawa saya dan nenek yang juga ditimpa kemalangan sehingga patah tulang punggung, ke mana-mana tukang urut untuk memperbetulkan kembali kedudukan tulang tangan saya. Pantang diberitahu oleh kawan-kawan tentang kepakaran tukang urut, Abah pasti akan membawa kami meskipun jauh di negeri lain. Waktu itu juga, Abah akan memanjakan saya dengan mendukung saya setiap kali berjumpa dengan tukang urut. Segala kenangan itu masih segar dalam ingatan saya sehingga sekarang.

Malah Abah masih meneruskan usaha memperbetulkan keadaan tangan saya sehingga saya berusia 15 tahun apabila kami ke negeri Kelantan sebanyak 2 kali. Tempatnya pula jauh ke pedalaman dan saya tidak pasti daripada siapa Abah mendapat tahu tentang kedudukan tempat itu kerana pada waktu itu saya sudah tinggal di asrama. Banyak masa saya dihabiskan di asrama dan kami pergi ke sana pada waktu cuti sekolah. 

Dulu Abah sering mengatakan kepada saya,

"Biarlah tangan bengkok asalkan belajar pandai."

Saya pegang kemas dan erat kata-kata itu dan ia menjadi pendorong kepada saya untuk belajar dengan lebih rajin. Apabila saya semakin dewasa, saya mengelak untuk berbicara tentang tangan sendiri dan ramai yang tidak perasan dengan keadaan saya sehingga saya sendiri memberitahu mereka. Setiap kali memandang tangan kiri, saya tidak dapat mengelak untuk mengingati segala pengorbanan Abah terhadap saya selama ini demi memastikan anak perempuannya memiliki kehidupan yang lebih baik daripadanya. Abah bukannya tidak pandai tetapi tidak mempunyai peluang kerana berdepan masalah keluarga. Bayangkan, Abah berjaya memiliki sijil 4 Thanawi tetapi kerana ketiadaan wang, Abah tidak dapat melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah seperti yang diidam-idamkan dan juga seperti rakan-rakannya yang lain. Selepas mempunyai 2 orang anak pula, Abah gigih mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia untuk membolehkan Abah bergelar seorang guru.

Abah juga hero penyelamat saya apabila menyelamatkan saya dan adik perempuan daripada mati lemas di dalam sungai sewaktu berusia 16 tahun. Jika bukan kerana tindakan pantas Abah, sudah pasti saya kini tidak akan lagi bernafas di muka bumi Allah ini. Begitu panjang kisahnya jika saya ingin berbicara tentang kasihnya Abah. Mana mungkin saya mampu menyenaraikan kesemuanya. Namun saya tidak ingin mengenang kisah-kisah kegarangan Abah semata kerana saya tahu Abah melakukannya kerana sayangkan saya dan adik-beradik. Saya sedar yang saya juga bukanlah anak yang begitu baik. Saya juga pernah banyak kali melukakan hati Abah. Namun kasih Abah pada saya tidak pernah berkurang. Di penghujung usia ini, wajah Abah sudah semakin berkedut dan warna rambut Abah sudah semakin memutih. Malah garang Abah sudah lama mengendur terutama bersama cucu-cucu. Seringkali saya pula yang sering mempermain-mainkan kegarangan Abah dulu. Seorang lelaki yang suatu masa dulu menjadi ketakutan kami kini menduduki tempat yang cukup istimewa di hati saya (air mata saya sudah mula mengalir). Segala yang saya miliki pada hari ini adalah atas usaha gigih dan restu daripada Abah dan Ummi jua. Sedaya mungkin saya cuba menggembirakan hati Abah dengan cara saya sendiri meski saya sedar ia tidak akan mampu menyamai jasa-jasa Abah selama hayat saya ini. Namun selagi nyawa masih dikandung badan, masih belum terlambat untuk saya melafazkan yang saya sayangkan Abah!

Monday, June 20, 2011

Nekad

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam saya nekad 'memecat' ejen insurans yang sudah 4 tahun berurusan dengan saya. Kesabaran saya sudah sampai ke kemuncaknya. Jika sebelum ini saya masih mampu bersabar dengan sikap ambil mudah 'dia', kali ini saya sudah tidak dapat bersabar lagi. Bayangkan, sejak 4 tahun yang lalu, saya merupakan seorang pembayar yang setia kepada beliau tanpa pernah sekalipun gagal atau terlewat membayarnya. Dalam tempoh itu, saya juga menerima apa jua alasan 'dia' termasuk alasan beberapa kali kehilangan nombor telefon bimbit saya. Jika sekali saya mungkin boleh menerimanya tetapi jika sudah berkali-kali, apakah lagi logiknya? Tambahan pula, saya rasa jika 'dia' benar-benar serius untuk menjaga hubungan dengan pelanggan, jalan penyelesaian akan dicari untuk mendapatkan semula nombor telefon bimbit saya dan bukannya membalas 'siapa ni ye?' apabila saya menghantar mesej untuk meminta penjelasan.

Perkara ini sudah lama saya diamkan apabila selama 4 tahun berurusan, hanya 2 kali sahaja 'dia' bertemu dengan saya. Lebih menyakitkan hati apabila 'dia' lewat memberitahu saya tentang kelayakan menaiktaraf pakej yang layak saya terima selepas tidak pernah membuat sebarang tuntutan selama 3 tahun berturut-turut. Tawaran tersebut sepatutnya dimaklumkan kepada saya sebelum tarikh lahir saya pada bulan Oktober. Sebaliknya, 'dia' hanya menghubungi saya pada bulan Disember dan memberi alasan terlepas pandang. Saya terima alasan itu dan terus menandatangani borang berkenaan tanpa banyak soal walaupun berlaku kerugian di pihak saya. Begitu juga dalam soal menukar alamat surat-menyurat apabila saya 2 kali berpindah sebelum ini. Segala-galanya perlu saya uruskan sendiri apabila cubaan mendapatkan bantuan daripada 'dia' gagal. Akhirnya, saya sendiri yang berurusan dengan pihak ibu pejabat dan urusan berjaya diselesaikan dalam tempoh beberapa hari sahaja berbanding menunggu tindakan daripada 'dia' yang memakan masa berbulan-bulan. Itu belum dikira dengan tindakan 'dia' yang hanya mengirim diari tahunan melalui rakan saya yang turut berurusan dengan 'dia' tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada saya. Saya pula yang terpaksa mencari rakan saya untuk mendapatkannya. Setidak-tidaknya 'dia' boleh menelefon saya dan memaklumkan tindakan tersebut terlebih dahulu kepada saya. Pada saya, tindakan sebegitu mencerminkan keikhlasan dan kejujuran 'dia' dalam berurusan dengan pelanggan yang merupakan antara punca pendapatannya pada setiap bulan.

Sejujurnya, saya bukan seorang yang berkira dengan bayaran yang dikeluarkan untuk sesuatu perkhidmatan yang diterima tetapi apabila saya merasakan perkhidmatan yang diterima tidak seperti dijanjikan, saya jadi bengang. Jika 'dia' kemudiannya boleh memberikan alasan-alasan yang munasabah maka saya mungkin boleh memaafkannya tetapi apabila berkali-kali disogokkan dengan alasan yang sama dan tidak menunjukkan sebarang perubahan positif selepas itu, saya tidak boleh lagi bersabar. Daripada berterusan sakit hati, adalah lebih baik saya membebaskan diri dan pergi jauh dari orang sebegitu. Saya tidak tahu jika ada orang tidak sakit hati dengan layanan sebegitu daripada ejen yang sebelum ini menabur pelbagai janji manis jika kita berurusan dengan mereka. Namun, apabila apa yang diingini sudah diperoleh, keadaan menjadi 'cakap tidak serupa bikin'.

Kemuncak kepada tindakan nekad saya adalah apabila 'dia' mendakwa tidak menerima bayaran saya selama 2 bulan menyebabkan saya tidak menerima resit bayaran seperti biasa. Saya terima e-mel daripada 'dia' memohon penjelasan daripada saya tentang bayaran yang belum diterima tersebut. Saya jelaskan kepada 'dia' yang saya tidak pernah gagal membuat sebarang bayaran selama tempoh 4 tahun ini dan saya e-melkan slip transaksi yang saya simpan setiap kali membuat pindahan wang kepada akaun 'dia'. Setiap kali menerima gaji, bayaran kepada 'dia' merupakan antara perkara paling awal yang saya buat. Namun, tiada sebarang makluman saya terima daripada 'dia' selepas saya membalas e-mel tersebut. Lalu saya sms 'dia' bertanyakan status pembayaran sama ada telah dibuat atau belum dan jawapan yang saya terima amat mengecewakan. Sukar benarkah untuk membalas e-mel saya memaklumkan penerimaan slip transaksi yang dimaksudkan? Kenapa tidak terus menghubungi saya apabila merasakan bayaran tidak diterima dan perlu menunggu selama 2 bulan? Sakit hati sungguh apabila mendengar alasan yang entah buat kali keberapa yang 'dia' kehilangan nombor telefon bimbit saya. Jika begitu keadaannya, mengapa tidak bertanya terus nombor telefon saya melalui e-mel? Mengapa perlu menunggu saya untuk menghubungi 'dia' terlebih dahulu? Lebih menyakitkan hati apabila balasan sms yang diterima daripada 'dia' seolah-olah saya pula yang terhegeh-hegeh ingin berurusan dengan 'dia'. Saya harus mencari kesudahan kepada keadaan ini.

Petang semalam saya berjumpa dengan seorang teman lama yang kini menjadi ejen insurans. Lalu saya utarakan permasalahan saya kepadanya. Rupanya ada polisi yang membolehkan pelanggan memohon pertukaran ejen tanpa menjejaskan polisi sedia ada. Lega rasanya. Lalu tanpa rasa bersalah, saya lengkapkan borang memohon pertukaran ejen daripada 'dia' kepada teman saya tanpa memaklumkannya kepada 'dia'. Saya tidak sabar untuk menunggu respon daripada 'dia' apabila diminta menandatangani borang permohonan saya itu. Saya berharap tindakan saya ini akan menyedarkan 'dia' bahawa saya benar-benar serius dengan hasrat saya dan semoga kejadian ini akan membuka mata 'dia' untuk lebih mengambil berat dan bertanggungjawab dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh pelanggan kepada 'dia' selama ini.

Sunday, June 19, 2011

Bowling

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam saya memenuhi ajakan teman-teman sepejabat untuk bermain bowling di The Mines. Turut serta adalah adik saya, MakTeh. Ia hanya perlawanan persahabatan untuk mengeratkan hubungan sesama kami dan tidak melibatkan pihak atasan. Teman-teman sepejabat saya ini memang rajin menganjurkan program yang dapat mengisi masa lapang dan mengeratkan tali silaturrahim. Cuma saya sahaja yang kadangkala tidak berkesempatan untuk menyertainya. Jika dulu, saya rajin juga menyertai badminton, futsal atau bola tampar tapi kini minat itu sudah berkurangan. Kini saya lebih minat kepada aktiviti seperti jogging dan berenang sahaja. Akhir-akhir ini pula saya terfikir tentang menunggang kuda :)

Sebelum

Selepas

Wajah seorang juara :p

Sebahagian teman-teman

MakTeh tunjuk skill

Giliran saya pula

Nama pemenang diumumkan

Ada orang lapar selepas perlawanan walaupun tak menang hadiah :)

Perlawanan bermula jam 2.30 petang melibatkan 3 pusingan. Saya hanya mensasarkan jatuhan pin minimum 100 pin dan mendapat 1 kali strike pada setiap pusingan. Meskipun ia hanya perlawanan persahabatan, saya perlu meletakkan sasaran untuk mencapai kepuasan sendiri. Semasa perlawanan pula, berlaku kesilapan teknikal menyebabkan bola tersangkut pada laluan dan memerlukan bantuan pihak pengurusan tempat bowling. Namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk bermain sehingga akhir yang tamat pada jam 5 petang. Secara keseluruhannya, saya rasa seronok kerana dapat meluangkan masa bersama teman-teman dan juga MakTeh. Sebelum pulang, kami sempat singgah di KFC kerana MakTeh belum makan tengahari sebelum kami bermain bowling. Patutlah baling bola pun tak larat ye :)

Thursday, June 16, 2011

Ketagihan

Bismillahirrahim...

Apabila disebut perkataan ‘ketagih’, ia sering disinonimkan dengan pengambilan dadah. Namun, ketagih sebenarnya boleh merujuk kepada pelbagai perkara lain sama ada positif mahu pun negatif. Umpamanya, ketagih membaca adalah satu tabiat yang baik manakala ketagih bermain permainan video sehingga mengabaikan yang wajib adalah sebaliknya. Pun begitu, sepertimana ketagihan dadah boleh dirawat, begitu juga dengan ketagihan-ketagihan yang lain. Dulu saya amat ketagih menonton filem Hindi sehingga pelajaran saya agak terabai dan mendapat tempat di kelas tercorot. Saya katakan ketagih kerana menjadi satu kemestian untuk menontonnya pada setiap hari Sabtu malah sanggup menghabiskan wang membeli kaset (harganya pada waktu itu sekitar RM4-RM5) padahal pada waktu tersebut rata-rata rakan-rakan saya mengisi masa dengan mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerjarumah. Atas kesedaran sendiri, saya bangkit semula dan memperbaiki kesilapan lalu tetapi ia datang bersama sebuah pengorbanan. Saya ‘haram’kan diri untuk menonton TV sepanjang berada di asrama dan hanya menontonnya apabila bercuti di kampung sahaja. Satu tempoh yang cukup menyeksakan tetapi amat berbaloi apabila saya kembali menempatkan diri di kelas pertama pada tahun seterusnya. Dari situ, saya menyimpulkan yang ia sebenarnya adalah soal ketahanan dalaman untuk menahan diri daripada terus terjebak dalam ketagihan tersebut.

Di samping itu, saya juga punya ketagihan membaca novel sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Mulanya antara sebab saya jatuh cinta dengan pembacaan novel adalah kerana terbaca (sebenarnya sengaja menyelongkar) novel-novel milik abang-abang saya yang mengambil aliran sastera semasa di sekolah menengah. Antara yang saya masih ingat adalah Badai Semalam karya penulis tersohor, Khadijah Hashim dan Seorang Tua Di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah. Pada masa itu, penulisan mereka sememangnya menjadi idola dan rujukan teks para pelajar aliran sastera. Saya amat gemar dengan gaya penulisan mereka yang sangat teliti baik dari segi penggunaan bahasa mahu pun susunan perkataan yang mampu mengikat pembaca untuk duduk, baring menghabiskan bacaan sehingga akhir secepat mungkin. Seringkali juga saya rela meninggalkan masa makan di dewan makan kerana ingin menghabiskan bacaan sesebuah novel. Pada waktu itu juga, novel-novel karya Ahadiat Akashah begitu digilai oleh para remaja seusia saya tetapi saya tidak begitu menggemarinya kerana penggunaan bahasa yang tidak berapa kena dengan jiwa saya. Bagi saya, bahasa lambang peribadi seseorang. Saya gemar kepada penggunaan bahasa dan perkataan yang sempurna dan agak tidak berapa gemar dengan karya tulisan Ahadiat Akashah. Maaf kepada peminat-peminat beliau kerana kenyataan saya ini. Apapun, saya berhak menyatakan pendapat sendiri. Negara demokrasi kan? :)

Secara kebetulan, teman rapat saya pada waktu itu turut mempunyai minat yang sama menggilai bacaan novel. Apabila sudah bertemu teman sekepala, apa lagi makin menjadi-jadi ketagihan saya untuk membaca novel. Walaupun begitu menggemari novel, saya tidak mampu untuk membelinya kerana kekangan kewangan pada waktu itu dan kebanyakannya saya pinjam daripada perpustakaan sahaja. Pernah satu masa dahulu kerana begitu menggemari sebuah novel dan membacanya berulang kali, saya telah menyimpannya sehingga melebihi tarikh pemulangan selama beberapa minggu. Akibatnya, saya telah dipanggil oleh penyelia perpustakaan dan diberi ‘ceramah’ atas sikap tidak bertanggungjawab saya itu. Malah saya turut didenda 10 sen sehari atas kelewatan tersebut. Sejak itu, saya pastikan setiap buku yang dipinjam akan diperbaharui tempohnya setiap 2 minggu dan hanya memulangkannya apabila saya merasa puas dengan kandungannya. Mungkin juga ada benarnya kenyataan sesetengah teman yang menggelar saya ulat buku semasa di bangku sekolah dahulu walaupun saya tidak menyedari hakikat itu. Malah saya akui tabiat itu kekal hingga kini. Di mana-mana sahaja saya berada dan ke mana sahaja saya pergi, sebuah buku atau majalah pasti akan menjadi peneman saya. Jika saya terlupa membawanya pula, saya sanggup singgah di mana-mana kedai buku untuk membelinya. Saya berasa tidak rugi untuk menghabiskan wang membeli buku berbanding menghabiskannya kepada kaset atau VCD seperti yang pernah saya lakukan dahulu. Zaman ketagihan itu sudah berlalu. Kini, saya sanggup melanggan beberapa jenis majalah untuk memastikan ketagihan untuk membaca tetap subur dan mekar dalam diri. Meskipun sekarang pelbagai gajet wujud untuk menggantikan buku, entah kenapa saya tidak begitu tertarik untuk meminatinya lagi. Saya masih gemar untuk membaca buku secara manual yang boleh saya pegang dan lipat sesuka hati. Mungkin masanya belum tiba untuk saya menggantikannya lagi. Akan datang? Wallahua’lam.

Pun begitu, ketagihan membaca novel kian pudar apabila usia semakin menginjak dan genre yang diminati juga sudah berubah. Saya hanya mengikuti perkembangannya dari jauh sahaja dan mendapati banyak nama-nama baru yang muncul menggantikan nama-nama seperti Khadijah Hashim dan Norhayati Berahim. Sibuk dengan urusan kerjaya juga membataskan minat saya itu daripada berkembang kerana tidak lagi punya waktu untuk duduk atau berbaring berjam-jam menghabiskan sebuah buku atau novel. Selalunya apabila bacaan terhenti pada bab-bab tertentu, amat sukar untuk memulakannya semula. Sudahnya, pembacaan hanya terhenti setakat itu sahaja.

Saya perhatikan trend terkini dalam industri hiburan pula adalah mengadaptasi cerita daripada novel kepada filem atau drama. Sebenarnya ia sudah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan tetapi semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Ia satu perkembangan yang menarik terutama kepada pencinta novel seperti saya namun kadang-kadang agak mengecewakan juga kerana adaptasinya agak lari dari karya asalnya. Apapun, drama tetap sebuah drama dan hakikatnya, kandungan novel itu sendiri adalah sebuah bentuk drama yang didokumentasikan sebagai sebuah buku. Saya fikir mengadaptasinya kepada realiti adalah jauh lebih sukar berbanding menulisnya. Sejujurnya, saya turut mengagumi karya-karya hebat saudara dari seberang, Habibur Rahman El-Shirazy yang juga telah berjaya diadaptasi dengan baik ke layar filem. Minggu lepas, saya menonton karya beliau, Bila Cinta Bertasbih dan ia benar-benar sarat dengan banyak ilmu dan pengajaran.

Saya sebenarnya tidak berapa gemar dan mengelak untuk mengikuti sesebuah drama kerana bimbang tidak dapat mengawal diri daripada terus mengikuti siarannya. Sudah pasti tindakan sebegitu akan mengganggu jadual hidup saya terutama pada waktu petang. Dulu sewaktu zaman kegilaan cerita-cerita Sepanyol seperti La Usur Padora, Juana La Virgen dan macam-macam tajuk lagi, saya berjaya mengelakkan diri daripada mengikutinya secara serius. Jika menontonnya pun, saya akan pastikan sekadar untuk mengisi masa lapang sahaja dan bukannya perlu bersungguh-sungguh memastikan saya menontonnya juga walau apapun yang berlaku sehingga mengenepikan perkara yang lebih penting.

Namun begitu, tahun lepas saya tewas dengan tayangan drama Adamaya lakonan Sein dan Lisa Surihani serta anak kecil bernama Mia Sara. Amat sukar untuk menahan diri untuk tidak menontonnya pada setiap Isnin hingga Khamis. Saya berusaha untuk pulang tepat pada masanya supaya dapat tiba sebaik tayangan bermula. Bukan saya sahaja yang mengikutinya tetapi juga adik saya, MakTeh. Setiap hari Isnin hingga Khamis kami akan berusaha untuk tiba tepat pada masanya tetapi pada kebanyakan masa, saya akan terlewat kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan jalanraya pada waktu puncak. Pada waktu itu pula, saya masih tinggal di Keramat bersama adik-adik dan jarak perjalanan pulang daripada Putrajaya pada setiap hari adalah satu perjuangan yang memerlukan ketabahan yang kental. Apapun, alah bisa tegal biasa.



Sejak tamat siaran drama Adamaya, saya cuba menahan diri daripada terperangkap dalam keadaan sebegitu lagi tetapi secara tidak sengaja, saya terjebak sekali lagi pada tahun ini. Mulanya, saya tidak berapa mengendahkan sangat siarannya dan tambahan pula setiap petang saya ada aktiviti riadah di samping kadangkala perlu pulang lewat untuk menyiapkan tugasan. Sebelum itu, saya ada juga terdengar MakTeh menyebut tentang drama tersebut tapi saya tidak berapa ambil kisah sangat sehinggalah apabila pada suatu petang, saya pulang awal dari kerja. Usai mandi dan memasak ala kadar sebagai makan malam serta sementara menunggu masuk waktu Maghrib, saya mengisi masa dengan menonton TV. Drama yang disiarkan bertajuk Nora Elena dan pelakon utamanya adalah Aaron Aziz dan Siti Saleha. Episod yang disiarkan pula sudah masuk yang ke-15. Aduh, kali pertama menontonnya saya sudah tertarik untuk menontonnya lagi pada keesokan hari. Saya memang sengaja cari pasal nampaknya. Akhirnya, saya terus terperangkap dan terlekat untuk terus mengikutinya sehingga akhir dan episod terakhir adalah pada hari ini. Jika tidak silap, teman serumah saya dulu (nota: dia juga seorang kaki novel) pernah membicarakan tentang kandungan novel tersebut yang bertajuk Kasih Yang Suci kepada saya tetapi pada waktu itu, saya tidak berapa ambil kisah sangat. Saya pernah cuba untuk membacanya tetapi seringkali ia terbantut. Seperti saya katakan tadi, ketagihan kepada novel semakin menurun sejak saya memasuki universiti. Keinginan itu tetap ada tetapi masa seringkali tidak menyebelahi saya.

Punca saya tertarik untuk mengikuti drama tersebut rasanya atas sebab-sebab yang sama dirasai oleh penggemar-penggemar drama tersebut seperti dia ini. Saya tidak berapa pandai untuk menghuraikannya tetapi apabila saya membaca ulasan-ulasan yang dibuat oleh penggemar-penggemar yang lain, saya hanya tertawa besar dan mengiakannya sahaja. Harap-harap sebaik tamat siaran drama ini pada petang ini, saya tidak akan lagi terperangkap dalam keadaan sebegini terutama pada waktu Maghrib dan ketagihan ini akan segera sembuh kerana ia ketagihan yang negatif. Huhu.

[Nota: Saya pernah beberapa kali cuba untuk menulis novel tetapi seringkali terbantut dan draf itu masih kekal dalam simpanan saya. Entah bila akan berjaya disempurnakan.]

Tuesday, June 14, 2011

Maafkan Aku Kerana Menduakanmu

Bismillahirrahmanirrahim...

Maafkan aku kerana menduakanmu namun aku tiada pilihan. 4 tahun kita bersama bukan jangka waktu yang singkat. Banyak suka duka, pahit manis yang telah kita tempuh bersama sepanjang tempoh itu malah kau banyak menyimpan rahsia hati diri ini. Seringkali kau menjadi jambatan antara aku dan keluargaku serta teman-temanku. Kau juga begitu teguh menyokong kerjayaku selama ini tanpa jemu malah tidak pernah kudengar keluhan terpacul dari dirimu. Justeru, pada dirimu kuluahkan segala-galanya tanpa sempadan kerana ku tahu kau amat memahami diri ini. Aku ingin kau tahu bahawa tindakanku ini bukan bermakna aku membenci dirimu tetapi kerana aku sayang padamu. Aku tidak sanggup lagi melihat kau dibebani dengan pelbagai perkara yang menyesakkan nafasmu. Aku sedar kau begitu pasrah dan rela diperlakukan sedemikian rupa tetapi hatiku tidak tega melihat kau terus-terusan menanggung seksanya. Lalu terdetik di hati ini untuk mencari pengganti kepada dirimu walau aku sedar tindakanku itu amat zalim terhadapmu. Aku harap kau memahami niatku ini.

V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V

Pudar dimamah usia
Mungkin selepas ini bebanmu akan menjadi sedikit ringan setelah dikerjakan selama 4 tahun tanpa simpati. Kini seri wajahmu jua kian pudar malah pergerakanmu juga menjadi semakin perlahan. Kutahu segalanya berpunca daripada pengabdian sepenuhnya dirimu terhadapku. Malah pendengaranmu juga kekadang tenggelam, kekadang timbul. Hatiku pedih melihat keadaanmu kerana sesekali mulutku lancang memarahi kekuranganmu tanpa menyedari jasa-jasa yang telah kau curahkan selama ini tanpa jemu. Kau begitu setia padaku malah sanggup bersengkang mata selama 4 tahun. Hanya sesekali sahaja kau berehat terutama apabila aku menaiki kapal terbang. Selebihnya, kudratmu kukerah habis-habisan.

Maafkan aku Sony Ericsson P1i. Aku menduakanmu dengan saudaramu sendiri, Sony Ericsson Vivaz Pro. Semoga kehadiran saudara barumu ini akan menceriakan lagi hidup kita berdua. Aku masih lagi dalam proses mengenali dirinya namun kupasti dikau tetap teratas dihatiku selamanya.

Friday, June 10, 2011

TV

Bismillahirrahmanirrahim...



Saya percaya majoriti penduduk di Malaysia memiliki sekurang-kurangnya sebuah televisyen atau ringkasnya TV di rumah masing-masing. Malah saya juga percaya ada yang memiliki lebih daripada satu unit bergantung kepada kemampuan masing-masing. Saya pernah melalui era di mana hanya ada saluran RTM1 dan RTM2 sahaja pada zaman kanak-kanak. TV3 hanya mula bersiaran pada pertengahan tahun 80an. Saya masih teringat kegembiraan kami adik-beradik pada hari pertama menerima siaran TV3 di TV rumah kami. Kelainannya memang jelas terasa dan perubahan yang dibawa memang berbeza dengan pendekatan RTM. Warna yang lebih ceria dan penampilan penyampai yang nampak lebih bergaya serta anggun. Itu pandangan saya pada waktu itu tetapi apabila diimbas kembali gaya itu sekarang, ia nampak kelakar pula. Yang pasti, gaya tersebut sesuai pada zaman itu.

Namun begitu, sebelum kehadiran saluran TV3 pun, kami sudah cukup gembira menikmati pelbagai hidangan rancangan yang disiarkan di RTM. Kegilaan pada rancangan berepisod I Dream Of Geanie yang disiarkan pada jam 2 petang membuatkan saya sanggup mencari alasan nenek yang mengajar kami membaca Al-Quran untuk pulang ke rumah sebentar, kononnya mengambil barang atau membuang air. Pada waktu itu, nenek (arwah) yang kami panggil To’Wan (ibu kepada ummi saya) memang seorang yang sangat garang semasa mengajar kami adik-beradik serta beberapa orang rakan sebaya mengaji Al-Quran. Meskipun cucu sendiri, To’Wan tidak berfikir dua kali untuk merotan atau memarahi kami jika melakukan kesilapan dalam bacaan. Dalam soal ini, saya amat berterima kasih kepada To’Wan kerana hasil didikan beliaulah saya mampu untuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebanyak 2 kali seawal usia 8 tahun. Malah sehingga kini, teguran dan kritikan To’Wan sentiasa terngiang-ngiang di telinga saya setiap kali membaca Al-Quran. Semoga roh To’Wan sentiasa dicucuri rahmat dan mendapat pahala amal jariah yang sentiasa mengalir atas didikan membaca Al-Quran yang telah diberikan kepada kami dan teman-teman sekampung.

Begitu juga dengan rancangan-rancangan seperti Gaban, Kesatria Baju Hitam, Ultraman, Superman, Meoro Attack, Rin Hanekoma, Knight Riders, High Chapparal, BJ and The Bear, McGuyver dan pelbagai lagi rancangan yang telah menghiasi zaman kanak-kanak seusia saya. Lebih lucu, rancangan Meoro Attack dan Rin Hanekoma turut menjadi kegilaan orang dewasa pada waktu itu. Masih jelas di ingatan saya sewaktu zaman kegilaan Meoro Attack, seorang guru yang sepatutnya mengajar kelas tambahan telah membawa kami ke bilik TV sekolah semata-mata untuk menonton rancangan tersebut. Ia satu kenangan yang membuatkan saya tersenyum sendirian apabila teringatkannya. Secara tiba-tiba pula, permainan bola tampar menjadi begitu diminati dan semua berangan-angan untuk membuat aksi sommersault berpusing. Begitu juga dengan drama Jepun yang telah alihsuara iaitu Rin Hanekoma yang telah berjaya membuatkan ramai penonton menitiskan air mata (termasuk saya) kerana begitu terkesan dengan watak yang dibawa malah sanggup mengikuti siaran tersebut sehingga ratusan episod. Namun apabila disuruh menonton rancangan tersebut pada usia sekarang, dengan godaan pelbagai saluran lain, rasanya saya tidak sanggup lagi untuk melakukannya.

Tidak dilupakan slot Drama Minggu Ini yang senantiasa ditunggu-tunggu siarannya. Antara drama yang begitu memberi kesan kepada pemikiran saya adalah sebuah drama yang mengisahkan tentang 3 orang remaja Melayu, Cina dan India (1Malaysia sudah lama wujud sebenarnya dalam pelbagai saluran) yang berbasikal mengembara mencari pengalaman. Jika saya tidak silap, tajuknya adalah ‘seiring dan sejalan’ (mohon dibetulkan jika saya tersilap). Dalam pengembaraan itu, mereka bertemu dengan pelbagai kejadian yang memberi pelbagai pengajaran kepada mereka. Jika boleh disamakan dengan rancangan berbahasa Inggeris, ia sama seperti drama penyiasatan Hardy’s Boys. Meskipun jalan ceritanya agak mudah, namun bagi kanak-kanak seusia saya pada waktu itu, pendedahan kepada rancangan-rancangan yang mengandungi nilai-nilai murni sebegitu sememangnya memberi impak yang baik kepada proses tumbesaran menjadi remaja dan seterusnya dewasa. Ia memang jauh berbeza dengan nilai yang ada dalam rancangan yang disiarkan pada masa kini.

Sejujurnya, saya agak cerewet dalam soal menonton TV. Minat saya lebih kepada rancangan bercorak penyiasatan, perubatan, biografi atau yang berbentuk memberi pengajaran. Jika dulu, saya gemar menonton rancangan seperti McGuyver dan Magnum PI (saya perasan heronya kini berlakon dalam rancangan BlueBloods), kini minat saya beralih kepada CSI, Bones, Fairly Legal, NCIS dan yang seangkatan dengannya. Saya gemar kepada cara mereka berfikir dan mengkoordinasikan maklumat yang dicari oleh setiap anggota yang telah ditugaskan mengikut kepakaran masing-masing.

Apapun pengisian yang disiarkan di TV, hakikatnya ia hanya sebuah kotak hiburan semata. Ada yang mengatakan, orang yang gemar menonton TV, dibuai dengan pelbagai aksi di dalamnya adalah orang yang takut untuk berdepan dengan realiti. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran kenyataan itu kerana saya lebih suka mengambil pendekatan bahawa objek tetap objek. Ia tidak punya akal fikiran seperti seorang manusia. Maka selayaknya manusia lah yang memilih apa yang baik dan yang buruk untuk ditonton dan tindakan itu pula tidak memberi kemudaratan kepadanya. Jika menonton sehingga mengabaikan yang wajib seperti solat, maka sudah tentulah tindakan itu tidak wajar. Namun yang bersalah adalah manusia dan bukannya TV kerana manusia yang memegang alat kawalannya dan bukan sebaliknya. Yang pasti, akhir-akhir ini saya jarang menonton TV pada waktu malam terutama pada hari bekerja. Saya lebih menyayangi waktu tidur yang berkualiti. Justeru, entri ini dibuat kerana saya mula merasakan pembaziran melanggan Astro tetapi amat kurang memanfaatkannya. Saya masih berfikir, wajarkah saya menamatkan perkhidmatannya?

Thursday, June 9, 2011

Fasa Paling Manis

Bismillahirrahmanirrahim...

Kata orang, jika diberi peluang untuk kembali ke masa lampau, rata-rata akan memilih untuk kembali ke alam persekolahan kerana 'manis'nya kehidupan pada waktu itu. Meskipun terpaksa bergelumang dengan pelbagai kerjarumah, ia tetap menjadi satu fasa atau zaman yang paling dirindui apabila usia semakin menginjak dewasa. Saya memahaminya kerana saya juga pernah melalui zaman indah itu.

Sakitnya kepala memikirkan bagaimana memperuntukkan masa untuk menyiapkan kerjarumah tidak sama dengan sakitnya kepala melunaskan tanggungjawab dalam kerjaya. Bengkaknya hati dimarahi guru kerana melakukan kesilapan dalam kerjarumah tidak sama dengan bengkaknya hati dimarahi oleh orang atasan kerana gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Saat itu juga hati mula terdetik untuk mengenali insan berlawanan jantina dan hati mula berbunga mengimpikan masa depan bersama tanpa perlu memikirkan beban membayar bil-bil bulanan atau memastikan pendapatan diperoleh mencukupi untuk meneruskan kehidupan.

Jika tiba waktu cuti sekolah pula, bagi ibu bapa yang mampu, sudah menyediakan jadual program untuk dihadiri oleh anak-anak dan bagi yang kurang mampu, anak-anak akan menikmati waktu senggang dengan slot-slot cerita yang menarik di kaca televisyen pada setiap hari. Cerita-cerita yang ditonton pula akan menjadi antara topik perbualan hangat sebaik memulakan sesi persekolahan bersama teman-teman. Pendek kata, segalanya lebih mudah untuk dihadapi.

Namun, zaman itu sebenarnya titik permulaan kepada siapa kita pada hari ini. Personaliti teman-teman yang kita dampingi turut menyumbang kepada pembentukan peribadi kita pada masa itu dan juga mungkin sehingga hari ini. Ada yang terus kekal bersahabat sehingga kini dan ada pula yang terputus hubungan kerana komitmen masing-masing terhadap kehidupan. Pun begitu, rasa rindu itu tetap menggamit dan jauh di sudut hati tetap mengakui bahawa zaman remaja yang pernah dilalui itu adalah satu fasa yang cukup indah.

Ya, agak berfalsafah sedikit pagi ini kerana memikirkan amanah yang sedang digalas bagi pihak teman-teman. Selepas 14 tahun, kami bakal bersua kembali di bumi Muar insyaAllah pada tarikh keramat, 9 Julai 2011. Selaku bendahari, segala bayaran akan berada dalam tangan saya sehingga tiba tarikh tersebut. Satu amanah yang saya terima dengan sukarela kerana merasakan saya perlu menyumbangkan sesuatu untuk menjayakan program tersebut. Sukar juga membuatkan orang memahami dateline yang dikejar kerana mereka juga seperti saya, punya komitmen terhadap dunia pekerjaan dan juga kehidupan yang sedang dilalui. Namun adakah itu boleh dijadikan penyebab untuk melemahkan semangat dalam berbuat sesuatu yang baik? Sama sekali tidak sebaliknya ia menjadi cabaran untuk berbuat lebih baik. Dalam ruang waktu yang agak mendesak ini, ada juga yang seolah-olah terasa bengang atau tidak puas hati dengan respon dan maklumbalas daripada rakan-rakan yang tidak menunjukkan minat untuk menjayakannya. Saya juga merasa terkesan namun kenyataan daripada salah seorang rakan ada juga benarnya. Katanya,

"Jangan risau, kita hanya berusaha dan buat yang terbaik. InsyaAllah akan jadi meriah nanti."

Kata-kata itu membuatkan saya berfikir. Ada benarnya juga. Seringkali dalam kehidupan ini kita merasa seolah-olah segala usaha telah kita buat untuk mendapatkan sesuatu. Apabila kita gagal mendapatkannya, seringkali juga kita teralpa bahawa segalanya adalah ketentuanNya jua. Sama seperti program kali ini, kami hanya mampu melakukan apa yang terdaya dan menyerahkan kesudahannya kepada Yang Maha Mengetahui. Konsepnya, tawakal selepas berbuat apa yang terdaya dan semaksima mungkin. Segala apa yang diusahakan sebenarnya sudah berada dalam pengetahuanNya. Ia ujian kepada kita untuk menilai sejauh mana kita redha dengan segala ketentuanNya itu. Jika ditakdirkan ada pertemuan antara si polan dan si polan pada hari tersebut, maka tanpa perancangan yang teratur pun, mereka akan bertemu. Sebaliknya, jika ditakdirkan memang tiada pertemuan antara keduanya, mereka tidak akan bertemu meskipun segala perancangan telah diatur serapi mungkin.

Hanya tinggal baki 3 minggu sahaja lagi sebelum tarikh program tiba. Justeru, sisa waktu yang ada ini akan digunakan untuk memenuhi perancangan yang telah diatur dengan sebaik mungkin. Malam ini satu mesyuarat kecil akan diadakan untuk memuktamadkan jumlah penyertaan yang akan hadir dan seterusnya menempah lokasi program serta memperincikan agenda program pada hari tersebut. Cadangannya, kami akan berkumpul di pejabat salah seorang rakan yang sudi menumpangkannya untuk kegunaan mesyuarat di Kota Damansara. Semoga segala-galanya berjalan lancar seperti yang dirancang dan pertemuan ini akan menjadi medan untuk memperkukuhkan kembali ukhuwwah yang pernah terjalin.

"Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadith)


Monday, June 6, 2011

Pemanduan Yang Tidak Pernah Menjemukan

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya tiba agak awal di pejabat. Pertamanya, sekarang masih cuti sekolah dan ia memang antara waktu yang saya gemari kerana trafik akan berkurangan hampir 50% di atas jalan raya pada waktu puncak. Keduanya, saya bersiap awal kerana adik lelaki saya, BaYu@AyahChik, yang bermalam di teratak saya pada malam tadi perlu bertolak pulang ke Puncak Alam pula. Ketiganya, pagi ini saya sendiri terasa masih banyak perkara yang perlu diuruskan untuk persediaan mesyuarat pada minggu hadapan di samping beberapa urusan segera yang perlu diselesaikan juga pada minggu ini.

BaYu bermalam di rumah saya kerana kami tiba dari kampung pada malam tadi lebih kurang jam 12.30 tengah malam. Ia perjalanan yang cukup memenatkan kerana memakan masa hampir 8 jam berbanding 4-5 jam seperti kebiasaannya kami pulang ke kampung. Kesesakan jalan di Lebuhraya Karak yang bermula sebaik kami meninggalkan tol Lebuhraya Pantai Timur telah menyebabkan kelewatan tersebut. Bayangkan, kami bertolak dari rumah di Dungun pada jam 4.30 petang dan jangkaannya kami akan tiba di teratak saya pada jam 10 malam. Namun kesesakan luar biasa di Lebuhraya Karak melambatkan perjalanan kami. Kebetulannya pula, saya yang memandu pada waktu itu. Letih mengikut arus trafik yang hanya bergerak pada kelajuan purata 20-30 km/j sahaja. Sangka saya, mungkin ada kemalangan berlaku di hadapan menyebabkan trafik menjadi sesak dan kesesakan akan hilang apabila kami melepasi kawasan kemalangan. Ternyata sangkaan saya silap apabila punca kesesakan adalah kerana jumlah kenderaan yang banyak. Suasananya sama seperti pulang dari cuti Hari Raya. Kenderaan bertali arus memenuhi laluan Lebuhraya Karak dan kesesakan semakin menjadi-jadi apabila menghampiri pondok Tol Bentong dan Gombak. Saya sengaja mengekalkan kedudukan kereta di laluan paling kanan kerana tidak mahu 'bergaduh' dengan pemandu kenderaan yang mementingkan diri sendiri mengambil laluan kecemasan sebagai jalan mudah untuk lari daripada kesesakan. Tanpa mereka sedari (atau mereka hanya pura-pura tidak menyedarinya), tindakan tersebut telah menyumbang kepada kesesakan yang lebih teruk lagi.

Dalam perjalanan pula, saya dihubungi oleh abang kedua, BaAn, yang turut memulakan perjalanan pulang ke Kota Tinggi, Johor. Mereka sekeluarga bertolak setengah jam lebih awal daripada kami tetapi masih berada dalam kawasan Muadzam Shah sedangkan mereka sepatutnya sudah memasuki Segamat pada waktu tersebut. Nampaknya jumlah kenderaan memang banyak dari pelbagai arah pada malam tadi. Mulanya saya menjangkakan kesesakan akan berlaku pada minggu hadapan kerana ia minggu terakhir cuti sekolah dan pada kebiasaannya akan berlaku banyak pergerakan pada waktu tersebut. Namun, sekali lagi jangkaan saya silap kerana ramai yang sudah bertukar fikiran dan mempunyai jangkaan yang sama seperti saya juga. Hasilnya, kesesakan berlaku pada minggu ini dan bukannya pada minggu hadapan. Walau bagaimanapun, saya tetap menunggu situasi yang akan berlaku pada minggu hadapan sama ada jumlah trafik akan tetap banyak atau akan berkurangan.

Jika difikirkan, keadaan sebegini sebenarnya situasi yang normal dan sering dihadapi oleh penghuni kota apabila ada 'cuti panjang' seperti cuti sekolah atau cuti umum yang bersekali dengan cuti hujung minggu. Ramai yang akan mengambil peluang memanfaatkan cuti untuk saling berkunjung atau menghabiskan masa bercuti bersama ahli keluarga sama ada dengan pulang ke kampung halaman atau menempah tempat penginapan di kawasan-kawasan yang menarik serta jauh dari ibu kota. Justeru, jalan terbaik untuk berhadapan dengan situasi sebegitu adalah dengan menyediakan mental untuk menghadapinya dengan penuh kesabaran dan tidak menambahkan kesesakan sedia ada. Namun saya akui ia bukan perkara yang mudah untuk dilakukan dan seringkali kesabaran akan tercabar jua apabila berhadapan dengan sikap manusia yang tidak bertimbang rasa di jalan raya dan hanya mementingkan diri sahaja. Pemanduan pada malam tadi juga tidak terkecuali tetapi masih dalam keadaan terkawal meskipun hati sedikit membara dengan sikap pengguna yang tidak sabar-sabar untuk menukar laluan dalam kesesakan dan cuba untuk memboloskan juga kenderaan walaupun ruang tidak membenarkannya. Akibatnya, kenderaan lain terpaksa beralah dengan rasa tidak puas hati demi untuk tidak memburukkan lagi keadaan.

Apabila berhadapan dengan keadaan sebegini, saya teringat kepada sebuah artikel yang pernah dibaca bertajuk 'beribadah dalam pemanduan'. Sebuah tulisan yang cukup mudah untuk difahami namun amat sukar untuk diterjemahkan dalam praktikal. Malah saya akui diri saya sendiri terkadang tertewas jua dengan beberapa kesilapan semasa berada di atas jalan raya apabila emosi menguasai diri. Amat sukar untuk meletakkan diri dalam posisi tenang apabila memandu di kawasan bandar dan ia satu rahmat apabila mendapatnya. Kekadang apabila kita memandu dengan penuh berhemah, pemandu lain pula yang akan seolah-olah 'mencabar' kesabaran kita. Kemalangan yang berlaku pada saya baru-baru ini adalah contoh terdekat namun kita juga tidak kurang radangnya apabila kadang-kadang kemarahan menguasai diri. Kopiah di kepala pun sudah dilupakan apabila ada pemandu yang 'mencuit' gaya pemanduan kita. Lantas, bagaimana kita mampu menjayakan atau menterjemahkan konsep beribadah dalam pemanduan seharian? Ayuh sama-sama kita fikirkan. Ia satu kejayaan yang besar jika kita mampu untuk melakukannya kerana setiap ibadah sudah pasti ganjarannya adalah kebaikan jua. InsyaAllah, saya yakin setiap dari kita sebenarnya mempunyai niat untuk menjadi pemandu yang baik pada setiap masa dan kita akan senantiasa cuba untuk melakukannya sebaik mungkin. Namun keadan tertentu yang berlaku menyebabkan emosi menyelubungi diri dan kita seolah-olah hilang kawalan.

Langkah paling mudah yang saya rasakan boleh dipraktikkan untuk memastikan kita sentiasa berada dalam kawalan adalah memulakan pemanduan dengan lafaz Bismillah dan seelok-eloknya disambung dengan doa menaiki kenderaan. Ia adalah sebagai satu program kesedaran dalam diri bahawa setiap gerak langkah dan tindak tanduk kita semasa berada dalam kenderaan adalah berada di bawah izinNya jua. Tanpa izinNya, kenderaan kita tidak akan mampu untuk bergerak meskipun kita sudah memasang enjin yang paling canggih atau tangki minyak diisi penuh dengan petrol. Begitu juga dengan apa jua kejadian dan situasi yang kita alami sepanjang tempoh pemanduan. Ia sudah berada di dalam percaturanNya jua. Begitulah juga dengan apa yang kami alami semalam. Perancangan kami ternyata tidak mampu mengatasi perancanganNya yang Maha Mengetahui. Ternyata kami ditakdirkan untuk meredah lautan kesesakan trafik meskipun perancangan kami sepatutnya tidak begitu. Syukur kerana kami akhirnya selamat tiba ke destinasi tanpa sebarang kecederaan atau terlibat dalam kemalangan. Biar lambat, asal selamat. Alhamdulillah. 

Namun begitu, walau apa jua keadaan yang terpaksa ditempuhi, pemanduan pulang ke kampung halaman tetap tidak pernah menjemukan. Semoga segala kesukaran yang ditempuhi sepanjang perjalanan berulang-alik ke kampung halaman menjadi satu ibadah buat kami kerana kepulangan kami adalah semata-mata untuk meraikan kedua ibu bapa kami, abah dan ummi.

Friday, June 3, 2011

Adab Dalam Majlis

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi semalam saya telah diminta untuk menghadiri satu program yang dirasmikan oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia di Institut Pengurusan Kesihatan, Jalan Bangsar. Kali ini saya tiba agak lewat 10 minit daripada masa sepatutnya iaitu 9 pagi kerana tersilap mengambil laluan ke Jalan Maarof. Rupanya persimpangan itu ditutup pada waktu puncak menyebabkan saya terpaksa membuat pusingan u di persimpangan Abdullah Hukum. Rasa bersalah kerana pada kebiasaannya saya jenis yang suka tiba lebih awal jika perlu menghadiri apa-apa program atau majlis. Contohnya, jika majlis bermula jam 9 pagi, saya sepatutnya sudah tiba selewat-lewatnya pada jam 8.45 pagi atau setidak-tidaknya sebelum ketibaan para VIP. Mujur juga tempat letak kereta mudah diperoleh dan saya terus menuju ke dewan berkenaan. Ini merupakan kali pertama saya tiba di situ walaupun sebelum ini telah banyak kali melalui jalan berkenaan. Agak mudah juga sebenarnya untuk menemui institut tersebut.

Semasa saya tiba di pintu dewan, para VIP termasuk YB Menteri juga sedang memasuki pintu dewan dan kami terus diminta berdiri untuk menyanyikan lagu Negaraku. Usai menyanyikan lagu Negaraku, saya mengambil tempat duduk terdekat yang ada di situ. Di sebelah saya duduk 3 orang wanita dan di belakang saya pula ada 2 orang lelaki yang saya tidak ketahui kepentingannya. Namun melihat dari cara mereka berpakaian yang hanya mengenakan t-shirt dan seluar jean dan peralatan yang dibawa, saya merasakan mereka itu petugas media.


Menteri Kesihatan Malaysia sedang menyampaikan ucapan pembukaan dan perasmian
Suasana berjalan mengikut aturcara yang ditetapkan dan tiba giliran YB Menteri Kesihatan menyampaikan ucapan pembukaan sekaligus merasmikan majlis tersebut. Tabiat saya apabila berada dalam majlis atau kelas, saya lebih suka memberi tumpuan kepada apa yang disampaikan oleh penyampai yang berada di hadapan. Soal faham atau tidak faham topik yang diutarakan adalah perkara no.2. Perkara pertama adalah menghormati kedudukan penyampai yang berada di hadapan dan sedang menyampaikan sesuatu untuk makluman para hadirin. Analoginya mudah. Bayangkan jika kita sendiri menjadi penyampai di hadapan dan apakah perasaan kita jika mendapati para hadirin tidak memberi perhatian kepada perkara yang ingin disampaikan sebaliknya berbual-bual sesama sendiri. Tolak ketepi juga kemahiran-kemahiran yang sepatutnya dipraktikkan oleh penyampai yang baik kerana kita bukan berada dalam pertandingan perbahasan atau pidato.

Namun, tindakan 2 orang lelaki di belakang saya yang bercakap dengan nada yang kuat cukup mengganggu tumpuan saya. Jika hanya seketika masih boleh diterima tetapi perbualan mereka nampaknya menjadi semakin rancak malah gelak tawa kecil sudah mula jelas kedengaran. Wanita di sebelah saya yang dari tadi sibuk mencatit intipati ucapan YB Menteri juga telah menunjukkan reaksi kurang senang dengan tindakan mereka. Saya pula memang cukup pantang dengan spesies yang sengaja mencari pasal dan tidak tahu menghormati majlis orang lain. Jika saya adalah urus setia majlis, sudah pasti dengan segala hormatnya saya akan mempersilakan mereka untuk meninggalkan majlis.

Kemudian tiba giliran acara persembahan daripada Kelab Kebudayaan Negeri Sembilan dan mereka berdua tidak menunjukkan tanda-tanda akan meredakan perbualan yang sedang rancak. Semakin kuat muzik dimainkan, semakin kuat pula nada suara mereka. Tanpa banyak soal, saya terus memalingkan wajah ke belakang dan memandang tepat kedua-duanya sambil mengerutkan wajah dan saya pasti dengan wajah paling garang yang dapat saya paparkan. Saya cuba mengawal diri daripada melontarkan apa-apa perkataan daripada mulut saya dengan harapan mereka akan memahami mesej yang cuba saya sampaikan melalui gerak badan dan riak wajah sebentar tadi.
Persembahan muzik gabungan alat tradisional dan moden yang menghiburkan

Kesannya, mereka berdua mula memperlahankan nada suara dan mungkin menyedari kesilapan mereka. Namun saya yakin perkara sebegitu tidak perlu saya lakukan kepada mereka kerana ia adalah sesuatu yang harus difahami apabila berada dalam sesebuah majlis, tidak kira sama ada ia majlis keagamaan atau majlis rasmi seperti yang diadakan pada hari itu. Jika dilihat dari raut wajah, rasanya mereka lebih berusia daripada saya tetapi amat menghairankan kerana mereka mempamerkan sikap yang tidak sebanding dengan usia. Saya boleh menerima jika ia dilakukan oleh kanak-kanak kecil tetapi tidak jika oleh orang dewasa. Ia adab yang sepatutnya difahami dan dipamerkan sebagai teladan kepada yang lebih muda.

Wednesday, June 1, 2011

Memberi Untuk Menggembirakan Hati Sendiri

Bismillahirrahmanirrahim...

Kadang-kadang kerisauan bertandang apabila bercerita tentang kebaikan yang telah dilakukan kerana bimbang pahala melakukannya akan terhapus dek perasaan riak yang timbul di sebaliknya. Nauzubillah. Namun nawaitunya, jika penceritaan itu mampu membangkitkan perasaan yang sama kepada orang lain untuk merasai keindahan melakukannya, maka saya merasakan ia bukan satu perkara yang salah untuk dikongsi bersama.

Saya pernah membaca tulisan Prof. Kamil di dalam blognya tentang amalan menyukakan hati orang lain dan ternyata saya amat bersetuju dengan kisah yang dipaparkan di dalamnya. Ia nampak kecil tapi kita sering terlepas pandang dan begitu sukar untuk melakukannya. Contohnya,

"Sekali-sekala, cuba lakukan ini, bila sampai di tol yang tidak mahal harganya, misalnya RM1, bayarkan kepada kereta yang di belakang kita. Lihat betapa seronoknya mereka."

Pemahaman tanpa praktikal tidak memberi sebarang erti. Minggu lepas, saya turun ke kafetaria untuk membeli makanan. Sewaktu sedang beratur untuk membayar makanan, ada seorang pekerja cleaner bangunan yang saya lihat dalam keadaan resah dan ia jelas terpapar pada wajahnya. Saya jeling lauk yang dibelinya, hanya nasi dan sejenis lauk atau lebih tepat sayur sahaja. Di tangannya pula menggenggam beberapa keping wang RM1. Tiba-tiba hati saya menjadi sayu. Mungkin keresahan yang terpapar kerana bimbang wang di tangan tidak mampu membayar harga makanan yang dibeli. Tiba giliran saya  untuk membayar makanan yang dibeli dan saya letakkan polisterin di atas meja bayaran. Dia turut meletakkan polisterinnya tapi sedikit jauh daripada saya.

"Akak, kira sekali ye," ujar saya kepada cashier sambil tersenyum kepada pekerja cleaner tersebut.

Di wajahnya jelas terpancar kegembiraan dan keresahan yang sebentar tadi bertandang telah berlalu pergi. Ia begitu mudah. Menggembirakan hati orang lain bermakna menggembirakan hati sendiri. Saya tidak mengenalinya tetapi melihat kegembiraan yang terpancar di wajahnya sudah cukup untuk meringankan beban kesayuan di hati saya.

Keesokan harinya pula, saya ke sekolah adik saya, MakTeh untuk meminjam kereta milik rakannya kerana kereta saya telah dimasukkan ke bengkel selepas kemalangan yang berlaku dan ia akan memakan masa selama 2 minggu untuk disiapkan. Saya ke sana dengan menaiki komuter dan dari situ pula saya menaiki teksi untuk ke sekolah MakTeh. Jaraknya dekat sahaja dan perjalanan memakan masa tidak sampai 10 minit. Tambang yang terpapar pada meter adalah sebanyak RM5.10 dan saya tiada wang kecil.

"Pakcik ada anak?" soal saya kepada pemandu teksi (pakcik) tersebut.

"Ada tapi semua masih belajar," balas pakcik dengan bangga.

"Kalau macam tu, saya sedekah bakinya kepada anak-anak pakcik," ujar saya sambil menghulur not paling kecil yang ada di dalam dompet saya.

"Eh betul ke ni?" tanya pakcik tersebut seperti tidak percaya.

"Betul, pakcik. Saya gembira hari ini dan ingin berkongsi kegembiraan itu," balas saya sambil tersenyum dan melangkah keluar dari teksi.

Dari luar teksi, saya dapat melihat wajah riang pakcik tersebut dan saya berharap sepanjang hari itu dia akan diselubungi kegembiraan menjalankan tugasnya. Saya sebenarnya merasa bersyukur kerana urusan menghantar kereta ke bengkel pada hari tersebut dipermudahkanNya dan tiada banyak halangan yang saya hadapi untuk menguruskannya.

Antara amalan lain yang amat mudah dipraktikkan adalah apabila bermusafir dan singgah di mana-mana masjid semasa dalam perjalanan, pastikan 'jejak' ditinggalkan dengan menyumbangkan sekurang-kurangnya RM1 ke dalam tabung yang disediakan. Siapa tahu itu mungkin kali pertama dan terakhir kita menjejakkan kaki ke situ. Setidak-tidaknya, secara tidak langsung kehadiran/persinggahan kita di situ memberi erti dan makna kepada mereka yang menjadi pengunjung tetap masjid tersebut.

Namun saya sama sekali tidak bermaksud ingin bermegah-megah dengan kebaikan yang telah dilakukan sebaliknya saya hanya dan semata-mata ingin berkongsi kegembiraan apabila melakukannya. Seringkali kita merasa bimbang untuk memberi terutama dalam soal wang ringgit kerana bimbang ia akan kehabisan tetapi pujuklah hati. Yakinlah, dengan memberi kepada yang hak, rezeki akan semakin bertambah dan menyubur. Rezeki itu pula tidak semestinya hadir dalam bentuk wang ringgit kembali sebaliknya mungkin dalam bentuk dipermudahkan urusan harian, hubungan yang baik bersama orang di sekeliling dan sebagainya.

"Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”. (Al-Baqarah : 261)

Itu janjiNya.

”Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya” (H.R. Tabrani)

Itu pula sabda utusanNya.

Ayuh! Jangan takut untuk memberi pada jalanNya. Kongsi-kongsikan juga jika anda punya kaedah mudah lain untuk panduan dan amalan bersama. Semoga usaha kecil ini memberi impak besar dalam kehidupan kita yang fana ini.