Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, May 31, 2011

Hari Keluarga 2011

Bismillahirrahmanirrahim...

Keluarga sememangnya satu anugerah buat setiap insan. Justeru, memilikinya bermakna ada harga yang harus dibayar. Ia tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit namun juga dalam bentuk masa, tenaga dan hati serta perasaan. Saya tidak fikir ada keluarga yang tidak langsung mempunyai masalah namun ia tidak menghalang kita daripada meneruskan kehidupan. Masalah akan sentiasa ada sehingga kadang-kadang membuat kita hilang punca dan buntu untuk menghadapinya. Pun begitu, tidak dinafikan juga masih banyak lagi perkara menggembirakan yang boleh difokuskan yang turut menuntut kesabaran yang cukup tinggi untuk berhadapan dengannya.

Jika tahun lepas, kami sekeluarga Bakarians, bercuti ke Medan, Indonesia, tahun ini pula kami ke Tasik Kenyir. Lucunya, walaupun kami warga Terengganu, selama ini kami tidak pernah benar-benar menikmati keindahan yang ada di situ. Sebelum ini, kami hanya singgah sahaja di jeti dan pernah sekali kami menyewa bot untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di situ. Lalu selepas mendapatkan persetujuan semua, saya menggunakan kemudahan sebagai kakitangan Kerajaan dengan menempah Rumah Peranginan Persekutuan Kenyir selama 2 hari 1 malam.

Seperti biasa, saya akan menjadi urus setia tidak rasmi kepada penganjuran kembara keluarga. Sejujurnya, ia bukan satu tugas yang mudah meskipun hanya melibatkan keluarga sendiri sahaja namun saya percaya itulah harga yang harus dibayar untuk mempertahankan sebuah keluarga. Pernah juga saya merasa kecewa atas beberapa sebab yang saya pasti pernah dilalui oleh orang/keluarga lain juga tetapi apabila mengenang kembali senyuman kegembiraan yang terpancar pada wajah abah dan ummi, saya kembali menjadi kuat. Mungkin ada yang akan merasakan saya seolah-olah membuka pekung di dada tetapi saya hanya mengatakan tentang realiti. Saya percaya semua keluarga mempunyai masalah tersendiri namun itu tidak menghalang mereka daripada meneruskan kehidupan. Ringkasnya, tidak ada manusia yang tidak mempunyai masalah namun sebagai hambaNya, saya percaya dengan janjiNya yang memberi beban yang akan mampu ditanggung.

Tempahan telah saya buat 3 bulan lebih awal daripada tarikh yang dicadangkan iaitu 29 hingga 30 Mei 2011. Bercakap pasal pemilihan tarikh sahaja, sudah cukup untuk memeningkan kepala kerana ada sebahagian adik-beradik yang bertugas di sebelah Pantai Timur dan sebahagian lagi di Pantai Barat. Maka tarikh yang dipilih perlu memenuhi kemudahan kedua-dua pihak untuk bercuti. Akhirnya, tarikh pada awal cuti persekolahan dipilih dan kedua-dua pihak perlu berkorban untuk memohon cuti sama ada pada hari Ahad atau Isnin. Bagi saya sudah tentulah saya perlu memohon cuti pada hari Isnin namun bagi adik saya, MakTeh yang bertugas sebagai guru, ia bukan masalah besar kerana sememangnya sudah berada dalam cuti persekolahan. Walau bagaimanapun, atas sebab masing-masing, 2 orang adik saya tidak dapat turut serta dalam percutian kali ini.

Memandangkan rumah penginapan tersebut tidak menyediakan kemudahan makan/minum, kami perlu menyediakannya sendiri dan sedikit bayaran perlu dikutip daripada setiap Bakarians. Menu juga perlu difikirkan dan perkara tersebut telah diserahkan kepada yang pakar dalam soal ini iaitu ummi kami. Menu wajib pula sudah tentu BBQ ayam, sotong dan udang. 

Seperti dirancang, kami bertolak seawal jam 9.30 pagi daripada rumah di Dungun menuju ke rumah abang kedua, BaHa di Chendering. Dari situ, kami terus bertolak ke Tasik Kenyir yang memakan masa hampir 1 jam. Tiba di sana, kami terus memunggah barangan ke jeti dan menunggu bot milik penginapan berkenaan datang menjemput kami. Disebabkan jumlah yang ramai (16 dewasa, 6 kanak-kanak) dan barangan yang agak banyak, 2 buah bot diperlukan untuk mengangkut kami. Perjalanan dari jeti ke tempat penginapan pula hanya memakan masa kira-kira 20 minit sahaja.

Bergambar di Chendering sebelum bertolak ke Tasik Kenyir

Bergambar lagi, bila nak gerak ni?

Penginapan kami di sana adalah 2 unit banglo iaitu 1 unit dengan 3 bilik dan 1 unit lagi dengan 2 bilik. Usai memunggah barangan ke banglo dan merehatkan diri, kami berjalan kaki ke Taman Herba yang terletak tidak jauh dari situ. Namun agak mencabar juga perjalanannya terutama bagi ummi kerana keadaan muka bumi yang berbukit di situ. Yang pasti, dikelilingi pepohon menghijau pada petang hari sungguh mendamaikan.

Kemudian, kami berkayak berjemaah menguasai Tasik Kenyir hehe. Poyo je, padahal sekitar kawasan jeti sahaja. Ia memang menyeronokkan sehingga kami leka waktu sudah menghampiri Maghrib. Unggun api perlu dihidupkan untuk acara BBQ pula. Saya puji pengurusan penginapan di sana kerana menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan seperti periuk nasi, ketuhar, peti sejuk, pinggan mangkuk malah boleh dikatakan hampir kesemua peralatan yang diperlukan ada. Kami cuma perlu membawa bahannya sahaja.



Untuk pengisian semasa berBBQ pula, kami adakan pertandingan meniup belon untuk kategori sekolah rendah dan sekolah menengah. Cadangnya nak adakan pertandingan musical chair untuk dewasa tetapi kerana tiada ruang yang bersesuaian, hasrat itu dibatalkan dan hanya diisi dengan acara pembahagian hadiah dan makan-makan sahaja. Kanak-kanak pula sudah tentulah 'ceria' kerana kemudahan astro turut disediakan di rumah penginapan. Terpaksalah kami orang dewasa menonton Astro Ceria bersama-sama mereka.

Keesokkan paginya pula, seawal jam 8 pagi kami bertolak ke kawasan air terjun Saok dengan menaiki bot yang hanya memakan masa selama 5 minit sahaja. Tapi kalau kena berenang ke sana, pasti jauh juga :)

Kami bawa bekalan sarapan ke sana dan memakannya sambil mandi-manda. Airnya begitu sejuk sehingga mencengkam tulang ditambah pula dengan suasana pagi yang cukup nyaman. Lebih menyeronokkan apabila kami dapat mandi-manda di dalam tasik sebelum bertolak pulang ke rumah penginapan.

Sarapan

ikan duyung
Kembali ke jeti rumah penginapan (Pulau Sah Besar), kami teruskan lagi acara mandi manda sehingga abah pun turut serta. Namun, setiap yang bermula akan ada akhirnya jua. Kami perlu mendaftar keluar pada jam 12 tengahari dan kembali ke jeti Pengkalan Gawi tetapi kami akhirnya, hanya mendaftar keluar pada jam 1.30 petang. Apakan daya, bila sudah ramai, bilik air pun tidak mencukupi dan terpaksa menunggu giliran untuk menggunakannya. Itu belum dicampur dengan anak-anak kecil yang berlari-larian ke sana sini.

Masa untuk pulang
Dari jeti Pengkalan Gawi, kami ke Pusat Hidupan Liar Negeri Terengganu yang terletak kira-kira 56km daripada situ. Nak dijadikan cerita, minyak kereta abah pula hampir kehabisan dan tiada sebarang tanda-tanda akan ada stesen minyak di sepanjang perjalanan. Memang penuh debaran tetapi kami akhirnya tiba di sana dengan selamat. Hanya ada seekor gajah sahaja di situ dan kami dilayan dengan baik oleh petugas di situ malah kami juga diberi peluang untuk menaiki gajah tersebut. Lucu apabila melihat anak-anak kecil berebut-rebut untuk menaiki gajah.
Nama gajah ini Suria
Hampir 1 jam kami di situ dan kami tinggalkan tempat itu kerana saya, adik dan abang perlu kembali ke KL pada malam itu juga. Namun debaran masih berterusan kerana minyak kereta abah yang saya pandu akan kehabisan pada bila-bila masa sahaja. Saya cuma mampu membaca ayat Kursi sebanyak-banyaknya sepanjang pemanduan agar ditemukan dengan jalan penyelesaiannya. Saya teruskan sahaja pemanduan kerana tiada jalan lain selain mencari stesen minyak terdekat. Hampir 60km memandu, akhirnya petrol kering kontang dan berhenti betul-betul di hadapan sebuah kedai runcit. Mujurlah kedai runcit tersebut menjual petrol pada harga RM3 sebotol. Abah saya membeli sebanyak 2 botol dan merasakan ia sudah mencukupi untuk sampai ke pekan Kuala Berang. Memang menjadi rezeki pekedai tersebut apabila kami turut 'menyerbu' membeli roti dan air kerana kami masih belum makan tengahari sejak tiba di jeti Pengkalan Gawi.

Ternyata 2 botol petrol masih belum mencukupi kerana ia habis sekali lagi di tengah perjalanan tetapi mujurlah sudah semakin hampir dengan pekan Kuala Berang. Sementara menunggu petrol diisi, kami singgah untuk makan tengahari pada jam 6 petang di sebuah restoran berdekatan. Lauknya cukup ringkas dan ala kampung tapi mungkin kerana kelaparan, kami makan dengan begitu berselera.

Akhirnya, abang kedua dan keluarga meneruskan perjalanan pulang ke Chendering sementara yang lain-lain kembali ke Dungun. Tiba di rumah, saya terus bersiap untuk pulang ke KL bersama adik lelaki dan kami tiba di KL pada jam 1.45 pagi. Ia memang sungguh memenatkan namun itu harga yang harus dibayar untuk sebuah keluarga. Pun begitu, kepenatan itu berlalu apabila menatap gambar di bawah.
Abah saya...it's priceles!!!

Saturday, May 28, 2011

Sejenak Di Kuala Selangor

Bismillahirrahmanirrahim...

Hujung minggu lepas, saya dan keluarga menghabiskan masa di Kuala Selangor. Perjalanan daripada KL melalui jalan Sungai Buloh hanya memakan masa kurang daripada 1 jam untuk tiba di destinasi yang dituju. Kami mendaftar masuk pada hari Sabtu di sebuah penginapan yang menyediakan kemudahan yang sangat minima. Ringkasnya, keadaan sebenar penginapan tersebut adalah berbeza daripada gambaran yang ditunjukkan dalam laman web. Ia hanya indah khabar daripada rupa. Justeru, saya enggan menyatakan nama dan kedudukan sebenar tempat tersebut di dalam blog saya ini.

Usai melepaskan lelah, kami ke masjid berdekatan (Masjid Al-Naim) untuk menunaikan solat zohor kerana tanpa disedari, kami telah terlupa membawa kain telekung sendiri. Lalu kami sepakat untuk meminjam kain telekung yang diwakafkan di masjid tersebut untuk kegunaan di penginapan kami dan akan memulangkannya kembali sebelum bertolak pulang ke KL. Agenda seterusnya adalah mengisi perut yang sudah berkeroncong minta diisi. Hajat dihati ingin mencari gerai yang menjual mee udang namun tidak diketahui lokasi sebenarnya. Lalu kami melilau-lilau di sepanjang perjalanan dengan harapan akan ternampak gerai yang menjual mee udang. Namun pencarian kami hampir menemui kebuntuan apabila tiada sebarang tanda yang menampakkan ciri-ciri gerai yang dicari. Akhirnya, kami temui sebuah gerai yang menjual soto di kawasan Pasir Penambang. Nasib adik saya, MakTeh, agak kurang baik apabila mendapat 'isi' tambahan selain udang dan daging iaitu kaki lipas. Terus hilang rasa lapar apabila melihat kaki lipas yang elok berada di sebalik soto. Hampir putus selera kami dibuatnya dan tidak dapat dipastikan sama ada ia berasal daripada dalam periuk sup atau mee sahaja.

Dalam perjalanan pulang, kami akhirnya menemui sebuah gerai menjual mee udang yang terletak tidak jauh dari Bandar Malawati. Untuk mengubat kekecewaan semasa memakan soto sebelum ini, kami berhenti sekali lagi untuk makan mee udang. Perut masih terasa kenyang tetapi nafsu mengatasinya jua dan kepadatan memang jelas terasa.

Untuk makan malam pula, kami ke kawasan Medan Ikan Bakar Jeram. Memang ada tempat khusus yang mampu memuatkan ratusan pelanggan pada satu-satu masa kerana terdapat deretan tempat makan yang memenuhi kawasan di situ. Pendek kata, memang banyak pilihan makanan laut yang tersedia di situ.

Keesokan harinya, kami singgah sebentar di Bukit Malawati. Sejujurnya, ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ meskipun kawasan tersebut sudah sering saya lalui sebelum ini. Ya, ia antara jalan-jalan dalam yang saya sering dilalui apabila menuju ke negeri-negeri di sebelah utara. Kadar tiket untuk dewasa adalah sebanyak RM3 dan RM1 untuk kanak-kanak berusia 5 tahun ke atas. Dengan kadar tersebut, pelawat turut dibenarkan untuk menaiki kemudahan tren yang disediakan untuk melawat tempat-tempat bersejarah yang ada di dalam kawasan Bukit Malawati. Walau bagaimanapun, keadaan menjadi leceh apabila perlu menunggu agak lama untuk menaiki tren seterusnya jika telah berhenti di lokasi tertentu. Ditambah pula dengan jumlah kera yang agak banyak dan merisaukan juga jika berlaku kejadian tidak diingini.







Namun begitu, saya tidak menafikan banyak bahan sejarah yang boleh dipelajari sepanjang berada di situ. Ada sebuah muzium di situ yang menempatkan segala catatan peristiwa mengenai negeri Selangor. Menariknya apabila salah satu cerita mengenai asal usul nama Selangor adalah daripada perkataan 'se-langau' iaitu ringkasan kepada 'seekor langau'. Binatang tersebut dikatakan telah hinggap di atas hidung seorang pahlawan yang berhenti lelah di sebuah kawasan. Pahlawan tersebut dikatakan seorang yang begitu gagah dan perkasa sehingga tidak pernah dikalahkan oleh sesiapa. Beliau telah cuba untuk menghalau langau tadi tetapi tidak sempat sehingga tertampar hidung sendiri. Lalu beliau menamakan kawasan tersebut sempena seekor langau yang telah berjaya menewaskan beliau.

Di situ juga terdapat muzium permainan tradisional, perigi beracun dan juga makam diraja. Di samping itu, terdapat juga taman ikan air tawar dan taman alam yang begitu digemari oleh pencinta alam sekitar. Namun saya akui agak merugikan juga menaiki tren kerana tidak semua kawasan dapat dilawati berikutan ia hanya berhenti di lokasi tertentu sahaja. Jika ingin melawat juga, kita perlu berjalan kaki sendiri ke situ. Pun begitu, Bukit Malawati punya nilai sejarah tersendiri dan perlu dilawati terutama oleh anak jati Selangor.

Thursday, May 19, 2011

Bila 'Kucing' Tiada...

Bismillahirrahmanirrahim...

'Kucing' yang saya maksudkan adalah bos saya hehe. Seringkali hubungan antara ketua dan orang bawahan diibaratkan seperti kucing dan tikus. Apabila kucing tiada, tikus akan bermaharajalela. Ia patut diubah kerana era sudah berubah. Sekarang adalah era transformasi!

Buat masa sekarang, bos saya tiada di pejabat kerana mempunyai urusan rasmi di luar negara selama seminggu. Itu bermakna kami akan terlepas daripada 'cengkaman' beliau sepanjang minggu ini. Bila saya gunakan perkataan 'cengkaman', ia seolah-olah bos saya seorang yang zalim tetapi hakikatnya ia tidak begitu. Saya cuma menggambarkan suasana yang sedikit relaks sepanjang ketiadaan beliau dan ia memberi ruang kepada saya dan rakan-rakan untuk menguruskan beberapa urusan yang tertunggak. Ditambah pula saya baru sahaja ditimpa kemalangan, maka banyak urusan yang perlu saya selesaikan sebelum bos saya kembali ke pejabat.

Setakat ini, saya tidak punya masalah besar dengan bos sekarang malah dari beberapa segi, saya amat menghormati beliau terutama dalam soal menjaga kebajikan orang bawahan. Beliau turut merasa risau apabila kesihatan kami sebagai anak-anak buah terganggu atau ada urusan keluarga yang perlu kami selesaikan. Dengan senang hati beliau akan melepaskan kami untuk menyelesaikannya. Namun saya juga tidak menafikan yang pada awalnya, amat sukar bagi saya untuk mencari titik kesesuaian dengan beliau. Alhamdulillah masa berlalu,  saya semakin memahami kehendak dan karakter beliau sehingga kadang-kadang saya merasa bersalah pula apabila gagal melaksanakan tugasan seperti yang diharapkan. Saya pernah dimarahi oleh beliau kerana melakukan kesilapan dalam keurusetiaan mesyuarat namun amarahnya tidak berpanjangan. Keesokkan harinya, beliau akan melayan saya seperti tiada apa yang berlaku sebelum ini.

Meskipun tempoh saya bertugas di sini akan menghampiri penghujungnya pada September ini, saya tidak ingin melalui hari-hari di tempat sekarang dengan penuh kesengsaraan dan meninggalkan nama buruk kelak. Saya ingin datang ke pejabat dengan hati yang tenang dan dapat menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan sebaik mungkin. Komunikasi. Itu satu-satunya jalan keluar terbaik yang dapat saya fikirkan dan itupun yang telah saya lakukan. Saya perlu memperbaiki keadaan antara kami untuk kebaikan bersama. Saya pasti beliau juga berasa kurang senang memiliki perasaan 'tidak sebulu' dengan saya namun beliau berada di kerusi bos dan saya pula anak buahnya. Bos mempunyai ego tersendiri yang kadang-kadang sukar untuk kita tafsirkan sehingga kita sendiri menjadi bos kelak. Perhubungan antara bos dan anak buah sering saya ibaratkan seperti benci tapi sayang. It's a love and hate relationship. Kita mungkin tidak menyukai sesetengah tindakan bos tetapi kita tidak dapat mengelak daripadanya kerana dia bos kita. Meskipun saya kurang bersetuju dengan kata-kata keramat, boss is always right, saya juga tidak menafikan kebenarannya. Pada saya, boss is always right apabila dia sentiasa menjalankan tanggungjawab sepenuhnya sebagai seorang pemimpin. Namun bos yang hanya berlagak seperti seorang bos tetapi tidak memainkan peranannya adalah tidak layak dianggap sentiasa betul. Jika kita mengatakan dia betul pun, itu hanya untuk mengaburi matanya atau sekadar malas untuk mencari pasal dengan dia. Hormat? Saya pasti itu tidak akan ada. Yang ada cuma rasa menyampah dan sakit hati sahaja.

Jika direnung kembali, fasa mencari titik kesesuaian bersama bos saya memang penuh dengan drama. Saya pernah beberapa kali duduk berhadapan dengan beliau malah pernah sehingga tempoh 2 jam, berbicara dari hati ke hati tentang perasaan masing-masing. Saya luahkan segala-galanya yang terbuku di hati yang menyebabkan saya gagal menyempurnakan tugasan yang diberi dengan sebaik mungkin. Saya akui waktu itu saya masih lagi berada dalam fasa pembelajaran tugasan baru sehingga kadangkala saya gagal memahami maksud tersirat di sebalik setiap arahan yang diberikan oleh beliau. Sesi luahan tersebut berlaku di peringkat awal saya bertugas di bawah tanggungjawab beliau. Keadaan tersebut begitu membebankan hati saya sehingga turut mengganggu prestasi kerja saya sedangkan jauh di sudut hati saya ingin melakukan yang terbaik. Ia lebih kepada kepuasan diri sendiri untuk mencabar potensi diri dan bukannya bertujuan untuk mengampu atau membodek mana-mana pihak terutama bos saya. Lantas saya ambil keputusan untuk meluahkan apa yang terbuku di hati dan terserahlah kepada beliau sama ada untuk menerimanya atau tidak. Mujur beliau menerima luahan saya dan pada masa yang sama turut meluahkan pandangan beliau terhadap saya dan pengharapan yang beliau letakkan kepada saya.

Sejak itu, saya semakin dapat memahami apa yang cuba beliau sampaikan kepada saya dan natijahnya, saya semakin memahami tanggungjawab yang perlu saya lunaskan. Lalu saya simpulkan bahawa antara punca kemerosotan prestasi sesebuah organisasi, jika dilihat dengan mata hati, adalah kerana kegagalan hubungan antara ketua dan orang bawahan. Tanggungjawab untuk menjayakan hubungan itu pula bersifat 2 hala. Kedua-dua pihak perlu bersedia untuk mewujudkan dan memeliharanya. Ia bukan bersifat 'sedia ada' kerana sifat itu hanya pada Allah. Segala-gala yang ada di dunia ini adalah fana dan kita perlu berusaha untuk memastikan ke'ada'annya atau kehadirannya. Menuding jari bahawa ia tanggungjawab sebelah pihak sahaja hanya akan lebih memburukkan keadaan sahaja.

Di samping itu, perlu juga ada kesediaan untuk beralah jika telah melakukan kesilapan tidak kira sama ada orang itu adalah bos atau orang bawahan kerana yang penting adalah objektif organisasi. Apalah gunanya mempertahankan keegoan masing-masing jika hanya membawa kemusnahan kepada organisasi. Pada akhirnya, kedua-dua pihak akan terhumban ke lembah kerugian.

Saya bersyukur dan gembira kerana kini hubungan antara saya dan bos semakin baik malah beliau juga sudah dapat menerima saya seadanya. Saya kira kepercayaan telah wujud antara kami dan ia sesuatu yang cukup penting dalam apa jua bentuk hubungan. Semoga kegembiraan ini akan berterusan sehingga sampai saat saya meninggalkan tempat ini dan saya dapat pergi melanjutkan pengajian dengan hati yang puas.

Oh ya, saya terlupa, bos saya seorang perempuan!

Tuesday, May 17, 2011

Kisah Malang Tidak Berbau

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah. Syukur kerana dugaan yang menimpa seperti dalam entri semalam sudah berlalu. Pada mulanya saya agak risau juga jika ia akan berlarutan untuk tempoh yang lama dan mengganggu tugasan harian saya. Sesungguhnya Allah masih menyayangi saya. Dia sentiasa menghantar peringatan kepada saya saat saya sedikit terlalai daripada mengingatiNya. 

Kejadian berlaku pada petang semalam (16/05/2011) sewaktu saya baru sahaja keluar dari persimpangan bangunan pejabat di Presint 2. Segalanya berlaku sangat pantas dan saya seolah-olah bermimpi sewaktu ia berlaku. Namun hakikatnya ia telah berlaku dan Alhamdulillah jalan penyelesaian telah dicapai.

Sebaik keluar dari persimpangan, saya berhenti di belakang sebuah lori kerana lampu isyarat berwarna merah. Saya sengaja memastikan jarak antara kereta saya dan lori tersebut pada ruang sebuah kenderaan dan memang itu tabiat saya setiap kali berada di belakang kenderaan berat seperti lori, treler atau bas. Lampu isyarat bertukar hijau dan saya menunggu lori tersebut untuk bergerak terlebih dahulu sebelum saya sendiri memasukkan gear kepada 'D' untuk turut bergerak. Namun secara tiba-tiba, sebaliknya berlaku apabila lori tersebut mula bergerak secara mengundur ke arah kereta saya. Sangka saya, ia hanya bergerak sedikit sahaja ke belakang untuk mengambil lajak sebelum bergerak laju ke hadapan. Ternyata sangkaan saya meleset. Belakang lori tersebut semakin mengundur dan saya membunyikan hon sekuat-kuatnya untuk memberi amaran kepada pemandu lori tersebut. Saya melihat kepada cermin tengah dan mendapati ada sebuah kereta lain di belakang kereta saya. Saya sebenarnya bercadang untuk mengundur agar dapat mengelakkan pelanggaran tersebut. Walau bagaimanapun, saya tidak dapat mengelakkannya lagi kerana tiada ruang mencukupi untuk saya mengundur. Lori tersebut semakin laju mengundur menghampiri bonet hadapan kereta saya.

"Grnggggggggggg'" kuat bunyi yang terhasil dari pelanggaran itu.

Bonet hadapan kereta saya benar-benar terperosok ke bawah palang belakang lori tersebut.

"Aduh, dah kena," hanya itu yang mampu saya ucapkan.

Segera saya hidupkan isyarat kecemasan dan kereta belakang pula dengan pantas berlalu daripada belakang kereta saya ke laluan sebelah. Jika tidak, pasti kereta saya akan menjadi seperti sandwic. Memang banyak kereta yang berada di laluan sebelah kerana ia waktu pulang dari kerja. Saya keluar dari kereta dan cuba untuk bertenang tetapi ternyata emosi sedikit sebanyak terbit jua kesan tidak percaya kejadian yang seolah-olah mimpi itu.

"Kenapa ni? Kenapa mengundur? Takkan tak nampak kereta saya di belakang? Lepas tu saya dah siap hon kuat-kuat tapi makin laju pula awak mengundur," luah saya dengan penuh kegeraman.

Semakin kuat saya hon, semakin laju lori tersebut mengundur

"Maaf kak, saya tersalah masuk gear undur," ucap pemandu lori tersebut dengan wajah penuh kekesalan.

Serta-merta kemarahan saya kendur kerana tindakan pemandu tersebut yang tidak cuba menegakkan benang yang basah. Turut bersamanya di dalam lori tersebut adalah 2 orang rakan yang turut tidak putus-putus memohon maaf atas kesilapan rakan mereka. Sebelum terlupa, saya segera mengambil gambar keadaan kereta saya kesan pelanggaran tadi dan gambar lori terbabit. Saya juga turut meminta nombor telefon pemandu terbabit untuk simpanan. Selepas berbincang, kami bersetuju untuk sama-sama membuat aduan di balai polis.

Ranap bonet hadapan kereta saya

Jarak lebih dekat, kesan warna merah dari palang belakang lori jelas kelihatan pada bonet hadapan kereta

Kami bergerak bersama-sama ke arah balai polis dan saya menuruti mereka daripada belakang. Dalam perjalanan, lori tersebut tiba-tiba berhenti di tepi jalan dan saya sudah berasa hairan namun saya turut memberhentikan kereta saya. Rupa-rupanya mereka telah menghubungi penyelia mereka dan meminta agar diselesaikan di luar sahaja tanpa perlu membuat repot polis. Saya diminta untuk bercakap sendiri dengan penyelia mereka melalui telefon dan diberi jaminan bahawa segala bayaran pembaikian akan ditanggung oleh syarikat mereka.

"Saya nak repair di bengkel Suzuki, bukan di bengkel-bengkel biasa," tegas saya.

"Jangan risau, kami akan tanggung," jawab penyelia tersebut, tetap dengan pendiriannya.

"Masalahnya apa jaminan yang awak tidak akan menipu saya? Lagipun awak masih belum tengok kerosakan kereta saya," persoal saya pula, masih tidak puas hati dengan jaminan lisan yang diberikan.

"Jangan risau, kami tak tipu. Syarikat kami akan tanggung semuanya. Sekejap lagi akak bagi nombor telefon akak pada saya dan saya akan telefon akak balik," balas penyelia tersebut.

"Tapi apa jaminannya yang awak akan telefon saya?" soal saya masih kurang yakin dengan kata-kata penyelia tersebut.

"Ok, akak ambil nombor IC saya ni, XXXXXX-XX-XXXX. Kalau akak masih tak percaya, esok kita jumpa dan saya akan serahkan salinan fotostat IC saya," kata penyelia itu lagi.

Saya segera mencatit nombor yang diberikan walau saya tidak pasti sama ada ia benar atau tidak. Dalam masa yang sama, ada seorang pemuda yang memberhentikan keretanya di hadapan lori tersebut. Mungkin dia dapat mengagak apa yang telah berlaku apabila melihat keadaan kereta saya. Rupanya dia adalah seorang penjawat awam yang turut melakukan kerja sambilan sebagai runner bagi sebuah bengkel kereta. Kehadirannya amat saya hargai kerana sedikit sebanyak dia turut membantu saya membuat anggaran kos pembaikian kerosakan kereta saya. Jumlahnya hampir mencecah RM8k.

IC pemandu lori
Akhirnya saya bersetuju untuk menyelesaikannya di luar sahaja tetapi  saya meminta untuk mengambil gambar kad pengenalan pemandu lori tersebut sebagai jaminan sebelum saya bertemu penyelianya. Di samping itu, saya juga turut mengambil gambar pemandu tersebut bersama rakan-rakannya untuk kegunaan pada masa hadapan, sekiranya diperlukan. Pada mulanya memang pemandu tersebut agak berat hati untuk membenarkan saya berbuat demikian tapi saya bertegas ia adalah sebagai jaminan kepada saya sebelum berjumpa dengan penyelia mereka. Secara jujur, saya sememangnya mula bersimpati melihat wajah pemuda tersebut tetapi pada masa yang sama saya harus mengutamakan urusan pembaikian kereta saya terlebih dahulu.

Tidur malam saya tidak lena. Pelbagai kerisauan mula bermain-main di kepala saya mengenangkan apa yang akan berlaku apabila berjumpa penyelia mereka nanti. Saya cuba mempositifkan fikiran dan berserah kepadaNya agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Di samping itu, saya juga turut melayari laman web Suzuki untuk melihat jika ada pusat servis yang beroperasi pada cuti umum. Namun harapan saya hampa.

Penyelia tersebut pula telah menepati janjinya untuk menghubungi saya dan kami berjanji untuk berjumpa pada pagi tadi, jam 10 di Balai Polis Kepong. Saya sengaja memilih jalan selamat untuk bertemu di situ kerana saya tidak pasti bagaimana personaliti orang yang akan saya temui. Saya juga memilih untuk bertemu di sana kerana kedudukan rumah adik saya, MakTeh, yang terletak hampir dengannya dan dia akan turut menemani saya bertemu penyelia tersebut.

Saya bertolak seawal jam 8.30 pagi dari rumah menuju ke rumah MakTeh dan rakannya, MakNik, terlebih dahulu sebelum terus bertolak ke tempat dijanjikan. Kami tiba lebih awal dari waktu dijanjikan dan ternyata penyelia tersebut menepati janjinya kerana turut tiba lebih awal di sana. Dia agak terkejut melihat kerosakan pada kereta saya kerana dimaklumkan yang kerosakan hanya minima dan kerana itu dia bersetuju untuk menanggung kos pembaikiannya. Rasa terkejutnya bertambah apabila saya maklumkan kos anggaran adalah sekitar RM8k.

"Saya ingatkan sekitar RM1k - 2k sahaja," jelas penyelia tersebut memberi penjelasan ke atas jaminannya semalam untuk menanggung seluruh kos pembaikian.

"Habis sekarang macamana? Itu sebab semalam saya cakap, awak belum tengok lagi kerosakan kereta saya tapi dah sanggup jamin akan tanggung," balas saya.

"Saya minta maaf. Kalau macam ni, memang kena buat tuntutan insurans la nampaknya," jawab penyelia tersebut.

Syukur kerana penyelia tersebut begitu profesional menangani situasi tersebut dan tidak cuba untuk memutarbelitkan kejadian yang telah berlaku.

"Ok, macam ni akak, sekarang kita sama-sama ke balai polis dan buat repot. Akak pergi dulu nanti saya akan pergi sana sebab tunggu driver tu datang."

Itu kata putus yang kami capai. Saya sebenarnya tidak tahu apa yang ingin diharapkan lagi. Yang penting, saya perlu menyelesaikan bahagian saya untuk membuat repot sebelum tamat tempoh 24 jam. Lalu kami bergegas menuju ke Ibu Pejabat Putrajaya. Nampaknya hanya saya sahaja pengadu yang berurusan pada hari ini. Seorang pegawai polis yang bertugas segera mengambil repot saya beserta butiran yang diperlukan. Selesai urusan pengaduan, saya perlu berjumpa pegawai penyiasat untuk soal siasat terperinci kejadian yang berlaku. Pegawai tersebut menyuarakan kebimbangan sekiranya pihak satu lagi akan membuat repot yang berlawanan dengan repot saya. Jika itu berlaku, maka akan menyukarkan proses tuntutan insurans saya ke atas syarikat tersebut dan saya perlu menggunakan insurans sendiri. Sesuatu yang amat berat untuk saya lakukan kerana NCD kereta saya sudah mencecah 45%. Saya memaklumkan bahawa pihak syarikat telah berjanji akan datang pada hari ini juga untuk membuat repot berkenaan dan membantu proses tuntutan tersebut namun pegawai penyiasat tersebut menerangkan kepada saya yang selalunya pihak yang dituntut akan mengubah kenyataan mereka terutama apabila disogok dengan pelbagai kemungkinan oleh pihak-pihak lain. Tiada apa yang mampu saya buat kecuali menunggu pihak syarikat menunaikan janji untuk hadir membuat repot pada hari yang sama.

"Sarjan, apa jadi kalau syarikat tu tak hadir buat repot hari ni?" soal saya memohon penjelasan lagi.

"Kita boleh caj syarikat tu dengan Seksyen XX (saya lupa huhu) kerana gagal membuat repot dalam tempoh 24 jam dan kita akan blacklist syarikat tu," jelas Sarjan.

"Apa implikasi kepada syarikat tu kalau kena blacklist?" soal saya lagi.

"Macam-macam. Contohnya mereka tak dapat renew lesen perniagaan, renew roadtax dan insurance," terang Sarjan lagi.

Alhamdulillah, pihak syarikat akhirnya tiba seperti dijanjikan bersama pemandu dan lori yang terbabit dalam kejadian semalam. Lega sungguh rasanya. Ternyata telahan saya benar. Mereka nampak seperti benar-benar ingin membantu memperbetulkan kesilapan yang telah berlaku. Tekaan pegawai penyiasat sebentar tadi pula silap. Namun pihak syarikat ingin meminta tolak ansur saya untuk meletakkan nama pemandu lain kerana pemandu terbabit tidak mempunyai lesen memandu. Aduhai, padanlah dia begitu berat hati untuk membenarkan saya mengambil gambar ICnya semalam. Atas saranan Sarjan, saya bersetuju kerana jika diteruskan juga tuntutan ke atas syarikat dengan menyatakan nama pemandu sebenar, pihak insurans akan menolak permohonan saya. Tambahan pula, pihak syarikat juga telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses soal siasat tersebut. Niat saya cuma untuk memperbaiki kerosakan yang telah berlaku dan tuntutan dibuat ke atas insurans syarikat. Jika tindakan itu mampu menyelesaikan kekusutan yang timbul, saya sedia untuk bertolak ansur dalam soal itu.

Pagi esok saya akan menghantar kereta saya ke bengkel Suzuki dan proses tuntutan akan diuruskan oleh mereka berdasarkan dokumen-dokumen yang akan saya serahkan kepada mereka. Saya juga bercadang untuk memohon disediakan kereta lain sementara menunggu kereta saya siap dibaiki yang akan memakan masa sekurang-kurangnya 2 minggu. Aduh, bahagian inilah yang paling saya risaukan kerana saya akan 'patah kaki' tanpa kereta terutama untuk ke tempat kerja. Jalan terakhir adalah meminjam kereta MakTeh huhu (MakTeh, sudikah dikau membantu kakakmu yang comel ini?)

Melihat kerosakan pada kereta saya, mungkin ramai yang akan beranggapan kesilapan adalah di pihak saya. Terserahlah. Apa jua anggapan mereka tidak akan mampu mengubah fakta kejadian dan saya tidak perlu ambil pusing tentang anggapan itu. Mujur juga bahagian enjin kereta tidak terjejas dan saya masih boleh memandunya pulang namun saya tidak dapat mengelak mata-mata yang memandang saya sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Ia cukup merimaskan tetapi saya pujuk hati sendiri dengan mengatakan bahawa,

"Cacat pada kereta boleh dibaiki, bagaimana pula sekiranya cacat anggota? Lebih parah jika cacat hati."

Setidak-tidaknya saya masih boleh memandu kereta saya untuk ke balai polis dan menghantarnya ke bengkel untuk dibaiki. Setidak-tidaknya saya terlepas dari sebarang kecederaan daripada kemalangan tersebut. Masih banyak perkara lain yang boleh saya syukuri selain daripada mengenang dugaan yang menimpa.

Sepanjang kejadian ini, ada beberapa perkara yang saya pelajari iaitu:

  1. Redha. Pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Syukur kerana nyawa masih di badan dan tiada sebarang kecederaan fizikal;
  2. Segera menghubungi polis ke tempat kejadian agar kenyataan yang dicatat daripada kedua-dua pihak terlibat tidak sempat untuk dipengaruhi oleh anasir-anasir luar;
  3. Dapatkan sebanyak butiran daripada pihak terlibat seperti nama penuh, nombor IC, jenis kereta dan gunakan teknologi yang ada seperti kamera pada telefon untuk mengambil sebanyak mungkin gambar yang boleh membantu proses membuat repot kelak;
  4. Cuba mengambil tahu sedikit sebanyak tentang prosedur tuntutan insurans dan hak-hak anda yang ada; dan
  5. Cuba bertindak profesional iaitu untuk mencari jalan penyelesaian dan bukannya untuk lebih mengusutkan keadaan.

Monday, May 16, 2011

Malang Tidak Berbau

Bismillahirrahmanirrahim...

Benar kata orang, malang tidak berbau. Hari ini saya telah melaluinya tanpa saya menjangkanya. Ia berlaku seperti mimpi kepada saya. Hakikatnya, ia telah benar-benar berlaku. Jika diikutkan hati sudah tentu saya merasa sangat marah dan geram dengan pelakunya kerana tanpa semena-mena telah menyusahkan hidup saya. Namun apabila direnung sedalam-dalamnya, saya redha dengan ketentuanNya. Pasti ada hikmah di sebaliknya dan paling penting ia satu peringatan atau ketukan kepada saya agar menginsafi kesilapan yang telah dilakukan.

Justeru, dalam masa terdekat ini, saya akan sibuk ke beberapa tempat untuk menguruskannya. Memang memenatkan tetapi saya tiada pilihan. Ia harus diselesaikan dengan segera. Mujur juga ketua saya bertugas di luar pejabat selama seminggu. Harap saya mempunyai masa yang cukup untuk menyelesaikannya dengan segera. Dalam tempoh itu juga, blog saya juga mungkin akan sedikit terabai kerana fikiran saya agak sedikit terganggu dengan musibah terbaru ini.

Namun saya yakin, Allah pasti akan menimpakan dugaan atas kapasiti yang Dia tahu saya mampu untuk menanggungnya.

Guru

Bismillahirrahmanirrahim...

16 Mei 2011 ~ Tarikh keramat buat semua para guru atau cikgu. Sewaktu di bangku sekolah dulu, ini merupakan antara hari yang dinanti-nantikan oleh saya. Bukan kerana berpeluang untuk meraikan para guru tetapi kerana kelas tidak akan diadakan pada hari tersebut dan digantikan dengan sambutan hari guru. Haha. Harap para guru tidak berkecil hati mendengar kenyataan saya ini. Maklumlah, masa tu masih budak mentah lagi. Kami memang menghormati para guru tetapi rasa menghargai pada usia itu mungkin tidak sama dengan usia sekarang. Ya, saya amat berterima kasih kepada para guru yang telah sudi mengajar saya selama ini, baik daripada zaman sekolah rendah, menengah dan juga universiti. Malah mungkin tidak terlalu melampau juga jika saya berterima kasih lebih awal kepada bakal guru saya di peringkat sarjana kelak.

Bagi saya, ucapan terima kasih adalah tanda syukur saya kepada curahan ilmu yang telah diterima daripada para guru selama ini. Namun, saya lebih mengingati guru-guru yang 'bengkeng' (rujuk Kamus Bahasa Terengganu, 'bengkeng' membawa maksud garang) berbanding guru-guru lain. Mungkin kerana sikap mereka yang begitu bersungguh-sungguh mengajar kami tanpa mengambilkira sama ada kami menyukai mereka atau tidak. Yang penting, kami memahami apa yang diajar, dapat menyelesaikan setiap tugasan yang diberi dalam masa yang ditetapkan dan akhirnya mendapat keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan. Ternyata, kegigihan mereka benar-benar meninggalkan kesan di hati kami.

Sewaktu saya berada di darjah 1 Hijau, guru kelas saya adalah cikgu Jahara. Beliau seorang yang cukup tegas dalam menjalankan tugasnya. Satu insiden yang masih saya ingat sehingga hari ini adalah apabila buku saya telah dibaling oleh beliau di dalam kelas di hadapan khalayak rakan. Ia kerana saya telah mengotorkan buku latihan matematik dengan warna daripada kertas warna yang turut berada di dalam beg sekolah saya. Ditakdirkan sehari sebelum itu, hujan lebat turun sewaktu saya berjalan kaki pulang ke rumah menyebabkan beg sekolah saya basah kuyup. Secara kebetulan, saya turut memasukkan kertas warna berwarna merah di dalamnya untuk kegunaan kelas pendidikan seni. Warna kertas tersebut yang basah terkena air hujan telah menyerap mengenai buku latihan saya dan beberapa buah buku lain di dalam beg sekolah tersebut. Cikgu Jahara memang seorang yang mementingkan kebersihan terutama dalam soal penjagaan buku-buku. Pagi esoknya, kami dikehendaki untuk menghantar buku latihan matematik untuk ditanda oleh beliau. Saya turut menghantarnya tanpa berfikir 2 kali dan kami ralit bermain bersama kawan-kawan semasa beliau menanda buku-buku kami. Sebaik selesai, beliau akan memanggil nama kami untuk mengambilnya di hadapan kelas. Secara tiba-tiba, apabila tiba kepada giliran nama saya, beliau telah mencampak buku latihan saya jauh terperosok sehingga hampir terkeluar dari pintu kelas. Saya masih ingat betapa malu dan sedihnya saya pada masa itu berjalan ke hadapan kelas untuk mengambil buku yang telah dicampak oleh beliau kerana dikotori dengan warna merah. Beliau memarahi saya kerana tidak menjaga kebersihan buku latihan tersebut walaupun semua soalan telah dijawab dengan betul. Bermula dari saat itu, saya begitu berhati-hati menjaga kebersihan setiap buku yang saya miliki dan mengasingkan kertas warna di dalam plastik sebelum memasukkannya ke dalam beg sekolah. Saya tidak menyimpan dendam kepada beliau kerana perbuatan yang boleh dianggap memalukan saya sebaliknya berterima kasih kepada beliau kerana telah menerbitkan sikap menghormati buku yang mengandungi ilmu yang amat berharga. Malah tabiat itu kekal sehingga kini apabila saya begitu teliti menjaga setiap buku yang saya beli. Ringkasnya, ajaran beliau agar jika ingin ilmu yang dituntut diberkati, maka hormatilah medium yang menempatkan ilmu tersebut. Saya tidak pernah mengkhabarkan tindakan cikgu Jahara kepada abah dan ummi kerana saya yakin akan lebih dimarahi oleh keduanya kerana kecuaian sendiri. Adalah lebih baik untuk saya mendiamkan diri sahaja dan menerimanya sebagai sebuah pengajaran.

Banyak lagi hukuman yang telah saya terima daripada para guru sepanjang usia persekolahan namun ia tidak menjadi kudis kepada saya sebaliknya saya amat menghargainya kerana saya yakin niat mereka adalah untuk mendidik saya semata-mata dan bukan untuk menghukum saya secara membuta tuli. Jika direnung kembali, hukuman itu saya terima berpunca daripada kesilapan saya sendiri. Contohnya, saya dan beberapa rakan sekelas dirotan kerana gagal menyiapkan kerjarumah yang diberi dan juga kerana melakukan kesilapan tatabahasa dalam tugasan karangan. Sehingga hari ini, saya masih mengingati kesilapan yang telah dilakukan dan tidak akan mengulanginya lagi pada masa hadapan.

"Guru, hanya doa yang mampu kupanjatkan atas curahan bakti kalian selama ini. Semoga kalian terus dirahmati oleh Allah Taala walau di mana jua kalian berada."

Terima kasih!

Sunday, May 15, 2011

Waktu

Bismillahirrahmanirrahim...

Apabila bercakap soal waktu, ia pasti akan dikaitkan dengan jam tangan. Saya tidak ingat pada usia berapa saya mula memakai jam tangan tetapi ia menjadi antara perkara paling penting buat saya semasa mula memasuki asrama. Harga jam tangan yang dipakai pula tidak pernah melebihi harga RM10 dan kebanyakannya saya beli di pasar malam sahaja. Namun bukan harganya yang menjadi keutamaan saya tapi keselesaan dan kemudahan memakainya. Saya pula bukanlah seorang yang cerewet dalam soal jenama atau fesyen terkini baik dalam soal jam tangan, pakaian atau kasut. Saya akan pakai apa sahaja yang selesa pada pandangan sendiri. Ya, saya seorang yang ringkas dan bukan seorang yang mahir dalam soal fesyen terkini. Sehingga kini, jika dalam soal kasut, saya lebih gemar ke kedai BATA sahaja berbanding ke kedai-kedai ternama kerana pertama, harganya sudah pasti jauh lebih murah dan keduanya saya tidak akan menjadi rambang mata serta keliru untuk membuat pilihan yang ditawarkan. Ada yang mengatakan bahawa harga yang mahal adalah kerana kualiti yang ditawarkan. Bermakna jangka hayat pemakaiannya akan menjadi lebih panjang. Saya pula jenis yang tidak kisah dengan semua itu sebaliknya lebih gemar mengutamakan keselesaan sahaja. Jika saya boleh mendapatkan keselesaan pada harga berpatutan, kenapa tidak?

Namun, saya juga tidak menolak sepenuhnya kepentingan kualiti barangan berjenama kerana saya akan membelinya jika ada potongan diskaun pada musim jualan murah dan ia hanya jika saya memerlukannya sahaja. Kekadang saya hairan dengan sesetengah wanita (lelaki pun ada) yang gemar menjadikan koleksi beg tangan atau kasut sehingga sanggup memperuntukkan ruangan khas untuk barangan tersebut. Adakah mereka mampu untuk memakainya sepanjang hidup mereka? Bayangkan 6000 koleksi beg tangan. Itu yang saya tonton dalam rancangan Astana pada petang tadi. Aduhai, mempunyai 3 buah beg tangan pun sudah terlalu banyak bagi saya. Sehingga kini, saya hanya mempunyai sepasang kasut sahaja untuk ke pejabat, sepasang untuk berjalan-jalan dan sepasang untuk aktiviti sukan. Selebihnya hanya 2 pasang selipar untuk aktiviti santai. Saya hanya membelinya jika kondisi kasut/selipar sedia ada sudah berada dalam keadaan tidak selesa untuk dipakai.

Begitu juga dengan jam tangan, saya hanya memiliki seutas jam tangan sejak dari dahulu dan sejak bekerja, harganya tidak pernah melewati RM50. Namun apabila jam tangan terakhir yang saya miliki sudah rosak, saya putuskan untuk membeli yang lebih baik pada kadar harga yang lebih mahal sedikit. Itupun harganya tidak melepasi RM200 sahaja dan saya berhajat untuk memakainya pada tempoh yang lama.

Tahun lepas, saya terima hadiah seutas jam tangan daripada rakan-rakan (bekas anak-anak buah saya) sempena perpisahan dan pertukaran saya ke tempat baru. Oleh kerana saya sudah memiliki jam tangan sendiri, saya hanya menyimpan pemberian tersebut kemas di dalam kotaknya. 2 minggu lepas, saya kehilangan atau lebih tepat, terlupa tempat letak jam tangan sedia ada dan sehingga kini saya masih gagal menemuinya. Saya pasti ia berada di sekitar saya tetapi puas saya bongkar dan selongkar segala beg dan ruang inci rumah, kereta serta pejabat namun masih tidak menemuinya juga. Maka saya ambil pendirian, jika jam tangan itu masih ditakdirkan masih rezeki saya, maka saya akan menemuinya semula namun jika ditakdirkan ia bukan lagi rezeki saya, maka ia akan berkubur di tempat yang saya sendiri tidak pasti. 

Justeru, saya perlu berterima kasih atas pemberian rakan-rakan saya itu kerana ini masa untuk saya menggunakannya. Saya jadi canggung jika tidak memakai jam tangan terutama apabila berada di pejabat dan di luar rumah.

Bukan harga jadi nilaian tapi tanda ingatan mereka kepada saya

Saya tidak tahu berapa harga jam tangan tersebut kerana bukan itu yang menjadi kepentingannya. Yang saya utamakan adalah tanda ingatan mereka terhadap saya dan kepentingan kegunaannya kepada saya. Untuk itu, saya perlu berterima kasih kepada mereka atas pemberian tersebut.

Terima kasih!

Saturday, May 14, 2011

Datang Untuk Meraikan, Mengapa Menyusahkan?

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya baru sahaja pulang dari meraikan kenduri perkahwinan teman seperjuangan dalam perkhidmatan yang telah dikenali sejak 6 tahun yang lalu. Majlis diadakan di dewan Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya. Saya telah berjanji untuk bertemu dengan 2 orang sahabat dan sama-sama menghadiri majlis tersebut. Saya tiba awal di sana dan hanya menunggu di dalam kereta sahaja. Menjadi kebiasaan, tempat meletak kenderaan tidak mencukupi terutama jika ada majlis yang dianjurkan di situ. Lalu saya berhenti di tepi laluan berhampiran yang merupakan jalan sehala. Namun saya sudah mengambilkira ruang agar tidak menghalang laluan kenderaan lain. Secara tiba-tiba, ada sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan lalu memberhentikan kenderaan betul-betul di hadapan kereta saya. Pelik juga, takkan pula pemandu tu tidak perasan kepada papan tanda laluan sehala yang jelas tertera di situ. Lebih pelik, takkan pemandu tersebut tidak terfikir bagaimana dia ingin keluar daripada laluan tersebut nanti jika ada kenderaan lain pula yang meletak kenderaan di belakangnya? Aduh, saya pula yang terlebih fikir atas tindakan yang sungguh tidak patut itu. Niat untuk datang meraikan majlis tetapi mengapa perlu melakukan perkara yang boleh menyusahkan orang lain pula? Hairan sungguh dengan pemikiran sesetengah orang yang hanya memikirkan kemudahan untuk diri sendiri sahaja.

Kenderaan yang diletakkan melawan arus jalan sehala

Tidak lama kemudian, 2 sahabat yang dinanti tiba. Kami terus memasuki dewan dan menikmati hidangan yang disediakan. Seronok rasanya dapat bertemu dengan rakan-rakan lain yang pernah sama-sama melalui susah senang semasa berkursus selama 6 bulan di INTAN dulu.

Kepada sahabat saya, Adilah Hudzari, tahniah dan semoga berbahagia sehingga ke syurga.

Tahniah!

Thursday, May 12, 2011

Tahi Lalat

Bismillahirrahmanirrahim...

Kata orang-orang tua, kalau ada tahi lalat di mana-mana bahagian anggota kaki, itu tandanya pemilik kaki itu 'kuat berjalan' atau akan merantau melihat dunia. Apabila saya tilik kaki sendiri, saya temui tahi lalat yang dimaksudkan terletak betul-betul di bahagian betis. Adakah itu penyebab saya menjadi begitu teruja untuk berkelana dan sentiasa ditakdirkan berada di luar kampung halaman sendiri? Saya senyum sendiri. Kekadang kata-kata orang tua itu ada benarnya, kekadang pula hanya sekadar untuk menyedapkan hati seseorang sahaja. Namun jika baik kesannya, apa salahnya kata-kata itu diterima dengan cara yang positif. Malah saya tidak tahu sejauh mana kebenaran kata-kata itu kerana saya tidak pula boleh menilik kaki setiap orang untuk bertanya sama ada mereka punya tahi lalat pada anggota kaki atau tidak. Anda boleh menelitinya sendiri dan memastikan kebenaran kata-kata itu wujud pada anda atau tidak. Saya juga tidak pasti sama ada telah wujud kajian oleh pihak-pihak tertentu tentang kata-kata ini. Jika ada, anda dipersilakan untuk berkongsinya bagi rujukan bersama.

Kata orang, jauh berjalan luas pandangan. Ada pula sebahagian yang berkata luas pemandangan. Tanpa merujuk kepada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, saya lebih suka menyimpulkannya sebagai berikut,

"Jauh berjalan, luas pemandangan dan pandangan"

Ada yang tidak bersetuju? Itu sudah pasti kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Ini blog saya dan saya bebas menyatakan pendapat saya yang dirasakan betul pada fikiran saya dan pendapat saya bebas untuk dipertikaikan. Keras bunyinya? Maaf, saya cuma menyatakan realitinya sahaja. Melalut pula, tajuk asal tadi tentang tahi lalat.

Saya gunakan kedua-dua frasa itu kerana pada pendapat saya ia membawa maksud yang berbeza dari segi pemahamannya. Pandangan adalah lebih kepada buah fikiran, idea dan pendapat manakala pemandangan pula adalah merujuk kepada gambaran, suasana dan keadaan sesebuah tempat atau lokasi yang menjadi tempat kunjungan. Justeru, orang yang banyak berkelana dan merantau sudah pasti akan melihat banyak perkara yang tidak ada di tempat sendiri. Sudah tentu juga dia akan melalui pengalaman yang berbeza sepanjang tempoh berada di perantauan itu. Secara tidak langsung, dia juga akan dapat melihat pemandangan yang berbeza daripada apa yang pernah dilihat sebelum ini. Dalam erti kata lain, dia sudah keluar daripada tempurung yang selama ini menutupi pemandangannya terhadap dunia luar. Hasil pemandangan yang pelbagai itulah yang memberi seseorang itu keupayaan untuk memberi pandangan dari sudut pandang yang berbeza dan tidak terjangkau oleh orang yang selama ini hanya tinggal dalam dunia selesa sendiri. Oleh sebab itu juga saya meletakkan perkataan pemandangan sebelum perkataan pandangan kerana seseorang hanya boleh memberi pandangan selepas melalui pemandangan yang berbeza daripada orang lain.

Jika dilihat pada sejarah juga, kegiatan berkelana terutamanya untuk tujuan perdagangan merupakan satu aktiviti yang cukup terkenal suatu masa dahulu. Ia menyingkap satu tabir baru kepada dunia apabila sempadan antara negara menjadi semakin terbuka dan ia semakin ternampak jelas pada hari ini. Ditambah pula dengan kehadiran penerbangan kos rendah yang membolehkan hampir setiap orang yang sebelum ini merasakan kapal terbang hanyalah pengangkutan untuk orang kaya sahaja, kini mampu untuk menaikinya juga. Begitu juga dengan jaringan teknologi iaitu Internet yang jelas menjadikan dunia seolah-olah tanpa sempadan. Meskipun tidak dapat berhubung secara fizikal, kita tetap dapat berkomunikasi secara maya.

Dengan paparan yang sebegitu indah di pelbagai saluran media, keinginan untuk melihat dunia luar semakin membuak-buak dan saya turut tidak terkecuali. Jangan disalahkan pada tahi lalat, kita punya naluri dan akal fikiran sendiri. Kita sendiri yang membuat keputusan atas setiap tindakan yang dibuat. Yang pasti, saya kini begitu tergoda setiap kali melihat tawaran-tawaran penerbangan yang cukup menggoncang dada, malah benteng pertahanan diri bisa rebah namun apabila memikirkan antara keperluan dan kehendak serta keutamaan, akal dipaksa untuk masuk campur. Sabar, masanya akan tiba.

Adakah anda mempunyai tahi lalat di kaki?


Wednesday, May 11, 2011

Episod Cabaran Tanpa Nasi

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebelum memulakan cabaran ini, sejujurnya sebahagian daripada diri saya memang merasa bimbang jika gagal untuk menyempurnakannya dan bakal menjadi seperti hangat-hangat tahi ayam lagi. Namun, kebimbangan itu beransur hilang apabila saya berjaya melepasi tempoh 2 minggu pertama dengan jaya dan seterusnya semakin yakin yang saya mampu melaksanakannya apabila tempoh 30 hari yang disasarkan berjaya dicapai. Malah lebih menggembirakan apabila jumlah berat badan saya juga turut berkurangan kesan daripada cabaran tersebut. Melihat kepada kejayaan fasa 1 tersebut, saya nekad meneruskannya kepada fasa 2 pula dan Alhamdulillah kini saya sudah bersedia untuk memulakan fasa 3 pula. Namun begitu, percutian ke Pulau Langkawi baru-baru ini telah menyebabkan sedikit ketirisan kepada hasrat saya itu. Saya terpaksa menunda tempoh cabaran fasa 3 kepada minggu ini kerana ketirisan tersebut. Kini, saya sudah bersedia untuk memasuki fasa 3 pula. InsyaAllah saya akan cuba untuk konsisten dan bertahan demi tahap kesihatan yang lebih baik. Seronok pula rasanya apabila menerima pujian daripada rakan-rakan yang mengatakan saya sudah semakin kurus. Alhamdulillah, saya anggap itu adalah sebagai bonus kepada apa yang sedang saya usahakan kerana misi saya yang sebenarnya adalah tahap kesihatan yang lebih baik. KPInya adalah tahap kolesterol yang semakin berkurangan berbanding sebelum ini dan kadar Body Mass Index (BMI) yang bersesuaian dengan ketinggian saya. Alangkah baiknya jika saya sudah memulakannya dari awal lagi. Apapun, better late than never.

Kesan besar yang dapat saya rasakan daripada usaha ini adalah saya semakin menjaga apa yang dimasukkan ke dalam perut saya. Jika sebelum ini, saya akan makan apa sahaja mengikut nafsu asal sedap sahaja dan pada bila-bila masa yang saya kehendaki tetapi kini saya cuba untuk mengawal kekerapan pengambilannya dan juga kuantiti yang diambil. Sebelum ini, saya sering beranggapan hanya nasi sahaja yang mampu memberikan rasa kenyang kepada perut saya tetapi rupanya saya silap. Masih banyak lagi makanan lain yang boleh dimakan dan mampu memberikan rasa kenyang kepada perut saya. Jika dulu, menu sarapan saya sudah pasti akan berkonsepkan nasi (nasi lemak/nasi goreng/nasi dagang/nasi kerabu/nasi minyak) tapi kini saya gantikan dengan sandwich yang dipelbagaikan kandungannya. Untuk makan malam pula, saya gantikan nasi dengan oat dan pengambilan buah-buahan jika saya masih merasa lapar selepas itu. Secara tidak langsung, saya dapati perbelanjaan harian saya juga menjadi lebih terkawal berbanding sebelum ini. Kini saya hanya berbelanja untuk makan tengahari sahaja yang sudah tentunya tidak melibatkan pengambilan nasi. Itupun pada kadar yang saya rasakan wajar dan tidak terlalu menurut nafsu. Ada rakan yang bertanya, apa yang saya makan pada waktu tengahari jika bukan nasi? Saya hanya tersenyum kerana seperti saya dulu, rakan saya itu mungkin sudah meletakkan persepsi bahawa makan tengahari mesti berkonsepkan nasi sehingga tidak nampak masih banyak makanan lain yang juga mengenyangkan. Jawapan saya, makanlah apa sahaja asalkan bukan nasi. Hakikatnya, tanpa disedari, banyak kesilapan yang telah saya lakukan dalam soal pemakanan selama ini dan saya seolah-olah telah berlaku zalim terhadap perut sendiri. Saya makan sesuka hati tanpa memikirkan kesannya kepada perut saya yang terpaksa menanggung akibatnya.

Lebih menyeronokkan apabila usaha saya ini sudah difahami oleh ummi yang turut mengikut jejak langkah saya mengurangkan pengambilan nasi dalam kehidupan seharian. Namun ummi mengurangkannya secara berkala kerana perlu mengambil ubat darah tinggi dan ummi sedang dalam proses untuk mempengaruhi abah pula. Jadi saya tidak lagi perlu risau berhadapan dengan lauk-pauk yang menggoda nafsu setiap kali pulang ke kampung dan rasa bersalah tidak menjamahnya kerana ummi sudah memahami niat saya.

Seorang teman yang juga berhasrat meninggalkan pengambilan nasi pernah menyuarakan kepada saya tentang kesukaran menahan diri daripada memakan masakan ibunya di rumah. Lalu saya kongsikan pengalaman saya yang mewarwarkan hasrat dan keinginan saya untuk menahan diri daripada mengambil nasi kepada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat agar mereka faham tindakan saya dan turut menyokongnya. Alhamdulillah, saya kini tidak lagi berhadapan dengan masalah diejek atau dipermain-mainkan oleh mereka selepas saya membuktikan kesungguhan saya untuk merealisasikannya. Yang penting, saya harus kuat dan membuktikan kata-kata saya dengan tindakan. Jika saya gagal, ia bukan kerana orang lain tetapi kerana kegagalan diri sendiri mengawal nafsu dan istiqamah dengan azam yang telah dinukilkan.

Saya akui pada peringkat awal cabaran ini, ia sesuatu yang cukup sukar untuk dimulakan dan perasaan untuk memakan nasi begitu meronta-ronta dalam diri saya. Namun, benar pesan orang tua, alah bisa tegal biasa. Benar juga pesan ahli psikologi bahawa jika kita ingin menjadikan sesuatu perilaku itu sebagai tabiat atau kebiasaan, amalkannya selama 21 hari secara berterusan. Saya sudah melakukannya dan sudah merasai kebenarannya malah semakin gembira melakukannya. Jika dulu, saya pasti tidak akan dapat menahan diri daripada memakan nasi jika diletakkan di hadapan saya, kini ia tidak lagi menjadi masalah besar malah saya sudah boleh mengawal minda saya untuk tidak terlalu memikirkannya sangat sebaliknya mencari alternatif lain yang lebih baik. Ia sukar tapi tidak mustahil untuk dilakukan :))

Tuesday, May 10, 2011

Mood

Bismillahirrahmanirrahim...

[Situasi: Di pejabat dan bos tiada sepanjang waktu pagi - sedang cuba mengumpul kekuatan untuk memulakan tugasan]

Mood minggu ini adalah sangat 'mandem'. Itu istilah yang saya gunakan untuk menggambarkan perasaan apabila saya tiada mood untuk melakukan sesuatu perkara. Buat masa sekarang, tiada mood untuk bekerja seperti biasa kerana memikirkan urusan permohonan ke IPTA yang masih belum selesai. Hanya satu permohonan telah saya hantar iaitu ke UKM. Itupun dihantar pada saat-saat akhir. Ibaratnya air sudah berada di paras hidung. Kalau kaki tergelincir sedikit, pasti lemas jadinya huhu. Untuk permohonan ke UTM pula, saya bercadang untuk hantar terus semasa hari terbuka UTM pada hujung minggu ini.

Entahlah, mood ini kadang-kadang sukar nak ditentukan. Kalau datang masa rajin dan bersemangat, memang laju je semua kerja dibereskan tapi bila datang mood mim alif lam sin, memang serba tak kena dan sangat perlahan tindakannya. Tambah pula sejak balik dari bengkel di Cameron Highlands, perasaan tu berat je nak datang ke pejabat setiap pagi. Setiap kali bangun pagi, satu perjuangan yang maha besar untuk melawan perasaan mengantuk dan bangun bersiap untuk ke tempat kerja. Risau juga kalau-kalau tabiat begini terbawa-bawa sehingga ke masa belajar nanti. Harap-harap tidaklah.

Malam tadi pun tidur agak lewat juga kerana menonton TV. Tambah pula sekarang setiap Selasa hingga Khamis ada disiarkan cerita kegemaran saya di saluran AXN iaitu CSI dan Leverage. Saya memang gemar menonton cerita-cerita berbentuk penyiasatan dan perubatan. Pendek kata, apa sahaja cerita berbentuk penyiasatan dan perubatan akan saya tonton tidak kira ia filem atau drama. Sebelum tu, pulang dari kerja, saya pergi ke salon kegemaran di Serdang untuk berurut kerana badan terasa agak lenguh-lenguh. Memang dah lama saya berhajat nak berurut tapi masa selalu tak menyebelahi saya. Minggu depan pula saya bercadang nak berbekam di tempat biasa di Seri Rampai, Setapak. Memang aktiviti berurut dan berbekam ni saya cuba amalkan setiap bulan atau sekurang-kurangnya 2 bulan sekali. Yelah, bukan kereta sahaja yang perlu diservis tetapi badan pun sama juga malah servis badan rasanya lebih aula (utama) daripada benda-benda lain. Kalau badan dah sakit, semua benda tak boleh dibuat dan serba tak kena. Jadi sebelum terlambat, adalah lebih baik saya mencegahnya dari awal. Setakat ini kedua-dua servis yang ditawarkan tidak mengecewakan saya kerana saya ini agak cerewet juga orangnya. Saya juga cepat 'terasa hati' kalau servis yang ditawarkan dirasakan tidak berbaloi dengan bayaran yang dikenakan. Selalunya jika itu berlaku, ia akan menjadi kunjungan yang pertama dan terakhir saya ke situ. Harap-harap perkara tersebut tidak akan terjadi kepada kedua-dua lokasi kegemaran saya ini.

Dalam masa yang sama, saya juga sedang menguruskan percutian keluarga (cuti lagi? hehe) ke Tasik Kenyir pada 29 hingga 30 Mei 2011 ini. Kali ini penyertaannya akan lebih ramai kerana tarikh tersebut adalah semasa minggu pertama cuti persekolahan. Saya menjadi urus setia utamanya kerana tempat penginapan ditempah dengan menggunakan kelayakan saya sebagai kakitangan Kerajaan iaitu Rumah Penginapan Persekutuan, Tasik Kenyir. Bila dah namanya urus setia utama, semua perkara perlu saya uruskan termasuk penginapan dan pergerakan bot sewaktu di sana. Saya tidak kisah melakukannya asalkan mendapat kerjasama semua yang terlibat. Setakat ini, Alhamdulillah segala perancangan berjalan lancar dan saya berharap tidak akan berlaku perkara-perkara yang tidak menyeronokkan. Pada saya, aktiviti begini perlu diadakan sekali sekala oleh setiap keluarga kerana dapat mengeratkan tali silaturrahim sesama sendiri. Maklum sahajalah bila usia semakin menginjak, tanggungjawab semakin bertambah, banyak tuntutan lain perlu dipenuhi menyebabkan pertemuan antara adik beradik menjadi semakin tidak kerap lalu semakin lama menjadi semakin jauh. Lalu terjadilah insiden sepupu tidak mengenali sepupu sendiri meskipun berjalan berlanggar bahu. Mempunyai saudara-mara adalah satu rahmat daripadaNya. Lalu syukurilah nikmat itu dengan menjaganya dan tidak lokek menyumbang baik dari segi wang, tenaga atau masa demi untuk memelihara keutuhannya.  

Sekian luahan mood hari ini...Jom teruskan kerja!

Monday, May 9, 2011

Laluan Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

Arahan untuk menghadiri bengkel di Cameron Highlands (CH) ini telah saya terima sebelum bercuti ke Pulau Langkawi lagi. Pada masa itu, saya belum memutuskan sama ada ingin memandu kereta sendiri atau menaiki kemudahan bas jabatan yang disediakan kerana urusan berkaitan kereta saya masih belum diselesaikan. Alhamdulillah, pulang dari bercuti, urusan berkaitan kereta saya telah dapat diselesaikan dan saya putuskan untuk memandu sendiri ke sana. Ada beberapa sebab saya memilih untuk memandu sendiri ke sana walaupun kemudahan bas ada disediakan iaitu pertamanya, saya tidak gemar terikat dengan waktu bertolak yang ditetapkan oleh jabatan kerana ada beberapa urusan yang perlu saya selesaikan sebelum bertolak ke sana. Keduanya, saya bercadang untuk singgah menemui adik saya, MakTeh di Kepong dalam perjalanan ke CH kelak. Ketiganya, saya bimbang akan 'patah kaki' sewaktu di sana kelak kerana saya ini jenis yang suka mengekplorasi sesuatu kawasan dan kadang-kadang agak sukar menemui orang yang mempunyai minat seperti saya juga di sana. Kebanyakan mereka gemar berehat di bilik sahaja sementara saya gemar berjalan-jalan melihat tempat orang. Keempatnya, jabatan ada menganjurkan lawatan pada hari terakhir bengkel dan saya risau lawatan berakhir agak lewat dan akan meletihkan kerana perlu 'tunggu-menunggu' ahli lawatan yang lain. Lalu saya putuskan untuk pulang terus sebaik selesai majlis penutup tanpa menyertai sesi lawatan yang diaturkan. Lagipun, saya sudah beberapa kali datang ke sini sebelum ini dan tidak mustahil untuk saya datang lagi ke sini pada masa akan datang.

Saya bertolak dari rumah pada hari Jumaat, 6 Mei 2011 dan singgah di pejabat seketika untuk menyelesaikan beberapa urusan dokumentasi yang perlu diselesaikan segera. Saya bimbang untuk menangguhkannya kerana tidak ingin kelam-kabut sekembali dari bengkel kelak. Usai urusan tersebut, saya terus bertolak ke Kepong untuk menemui MakTeh dan makan tengahari bersama. Saya putuskan untuk meneruskan perjalanan ke CH dengan menurut arahan GPS yang saya bawa bersama. Jika sebelum ini, jalan dalam yang biasa saya gunakan adalah jalan Ulu Yam-Kuala Kubu Bharu-Tanjung Malim-Sungkai-Kampar-Bidor-Gopeng-Tapah. Tabiat gemar melalui jalan dalam berbanding lebuhraya juga merupakan antara salah satu sebab mengapa saya memilih untuk memandu kereta sendiri ke sana. Kali ini dengan bantuan GPS, saya dibawa memasuki Lebuhraya Karak dan keluar di persimpangan Bentong Barat. Memang saya agak hairan dengan arah yang ditunjukkan tetapi saya turutkan juga kerana perasaan ingin tahu tentang laluan baru. Siapa tahu ini mungkin satu pengalaman baru buat saya. Keluar di persimpangan Bentong Barat, saya memasuki pekan Bentong dan melalui jalan dalam yang dikelilingi oleh pokok kelapa sawit namun bilangan kenderaan yang melalui jalan tersebut tetap bertali arus.

Perjalanan dengan bantuan cik GPS

Simpang ke Lurah Bilut

Ladang kelapa sawit di kiri kanan perjalanan

Singgah untuk solat jama'

Tempat dituju ~ Hotel Heritage, Cameron Highlands

Tujuan perjalanan
Saya kemudiannya memasuki pekan Raub dan meneruskan perjalanan dengan menikmati pemandangan yang hampir sama seperti sebelum ini iaitu dipenuhi dengan pokok kelapa sawit. Cuma sekali sekala saya dapat melihat ladang pokok pisang di antara ladang-ladang kelapa sawit. Saya juga dapat melihat suasana kampung yang melatari perjalanan melalui jalan tersebut. Melihat papan tanda air terjun, homestay, felda dan paling menarik saya menemui Lurah Bilut, satu kawasan yang telah difilemkan kisahnya oleh aktor Rosyam Nor sebagai filem bertajuk 'Bilut'. Jika saya punya masa yang panjang, sudah pasti saya akan memasuki kawasan tersebut untuk melihat sendiri keadaan kawasan tersebut. Namun apabila mengenangkan yang saya perlu sampai di CH sebelum jam 6 petang, saya teruskan perjalanan dan menyimpan kemas hasrat itu dalam benak saya.

Pemanduan di jalan begini juga memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kerana akan berdepan dengan lori yang akan memperlahankan kelajuan kita. Selepas hampir 2 jam memandu, saya berhenti seketika di sebuah masjid yang terletak di Sungai Koyan. Ia terletak betul-betul di sebelah Balai Polis Sungai Koyan. Saya putuskan untuk berhenti solat seketika kerana GPS menunjukkan bahawa saya perlu memasuki persimpangan selepas balai polis yang akan membawa saya ke laluan lebuhraya. Satu perkara yang cukup mendamaikan setiap kali saya bertemu dengan masjid yang belum pernah saya jejaki. Rasa janggal memang terasa kerana saya hanya memandu sendirian sahaja tetapi saya cuba rasionalkan diri bahawa saya datang dengan niat baik, insyaAllah tiada perkara buruk yang akan menimpa kepada saya.

Usai solat dan berehat meregangkan urat seketika, saya teruskan perjalanan memasuki laluan yang diberitahu oleh GPS. Laluan kali ini masih lagi dipenuhi dengan ladang kelapa sawit tetapi keadaan jalan yang dilalui adalah lebih baik yang kelebarannya adalah lebih luas. Dengan melalui jalan tersebut, saya dijangka tiba di CH sebelum jam 6 petang. Tambah menghairankan apabila GPS mencatatkan laluan tersebut sebagai 'Highway' tetapi tiada pondok tol yang saya temui sepanjang laluan tersebut. Saya tekadkan hati meneruskan juga perjalanan kerana sudah tiada laluan lain yang boleh dilalui lagi. Saya meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada arah yang telah ditunjukkan oleh GPS dan sudah pastilah kepadaNya jua. Saya teruskan pemanduan dan di sepanjang perjalanan seterusnya saya menemui ramai orang asli di pinggir-pinggir jalan dan sebahagiannya ada anak-anak kecil yang bermain di tepi jalan. Satu pemandangan yang cukup mengelirukan kerana saya seolah-olah melalui halaman rumah mereka tetapi laluan tersebut sangat lebar. Mereka pula seolah-olah tidak menghiraukan kehadiran saya dan meneruskan kehidupan mereka seperti biasa. Sekali sekala saya bertembung dengan kereta yang turut melalui laluan tersebut tetapi saya akui jumlahnya tidak sebanyak seperti sebelum ini.

Saya akhirnya tiba di kawasan yang saya rasakan sama seperti melalui laluan Lebuhraya Simpang Pulai tetapi ia sedikit berbeza. Lega rasanya kerana ia bermakna tempat yang ingin saya tuju sudah semakin hampir. Benar jangkaan saya kerana persimpangan Ringlet sudah semakin mendekat apabila ternampak jelas papan tanda arahnya. Dari situ, saya sudah tahu ke mana arah yang perlu saya ambil dan Alhamdulillah saya tiba di Hotel Heritage seperti masa yang ditetapkan oleh GPS iaitu 3 jam setengah dan kadar bayaran tol adalah RM8 sahaja. Apabila ditanya oleh rakan-rakan sepejabat arah saya datang, saya hanya menjawab dari arah Tapah dan mereka begitu kagum kerana saya tahu jalan untuk ke situ dan mampu memandu dalam keadaan laluan bengkang-bengkok yang boleh memualkan bagi mereka yang tidak biasa melaluinya. Saya hanya tersenyum kerana ini bukan kali pertama saya memandu ke sini sebaliknya sudah beberapa kali bersama keluarga sebelum ini.

Kebenaran mengenai laluan tersebut hanya saya ketahui semasa majlis penutup bengkel yang disempurnakan oleh YB SK Devamany, wakil rakyat CH. Lebuhraya yang telah saya lalui tersebut adalah lebuhraya baru yang belum digazetkan pun lagi untuk dilalui oleh awam. Ia baru siap dibina atas permintaan YM Tengku Mahkota Pahang untuk mempercepatkan akses ke CH dan ia dibina betul-betul melalui perkampungan asal orang asli. Maka terjawablah persoalan mengapa saya merasa seperti memandu di halaman rumah mereka sebelum ini. Ini bermakna jika saya datang daripada arah Terengganu, saya boleh melalui jalan tersebut untuk ke CH tanpa perlu ke KL terlebih dahulu seperti sebelum ini. Namun, rasanya laluan tersebut lebih sesuai untuk dilalui pada waktu siang sahaja untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti bertemu dengan binatang buas atau untuk mendapatkan bantuan jika ditimpa malang. Nauzubillahiminzalik.

Sesungguhnya, pemanduan kali ini benar-benar memberi satu pengalaman baru kepada saya apabila menemui laluan baru ke CH. Mungkin juga ada yang telah pernah melaluinya tetapi ia baru bagi saya. Namun jika dilihat kepada penerangan Dato' Devamany, laluan tersebut masih baru dan belum dibuka kepada awam untuk dilalui dan saya mungkin antara yang terawal melaluinya.

Untuk perjalanan pulang pula, saya melalui jalan dalam Simpang Pulai-Tapah-Bidor-Kampar-Gopeng-Sungkai-Tanjung Malim-Ulu Yam untuk pulang ke KL. Saya menikmati pemandangan kiri kanan jalan yang penuh dengan warna warni kehidupan. Saya seronok melihat suasana kampung dan deretan gerai kecil yang menjual hasil tanaman mereka. Selalunya saya akan singgah untuk membeli buah-buahan untuk dijadikan buah tangan.

Bagaimanapun, bagi setiap perjalanan yang dibuat, saya akan pastikan kereta telah diselenggara terlebih dahulu dan perlu ada sedikit sebanyak ilmu asas tentang kereta seperti menukar tayar jika ditakdirkan bocor semasa dalam perjalanan dan paling penting, periksa kadar air penyejuk di bahagian enjin sebelum bertolak. Ia satu tabiat yang diajar oleh abah saya setiap kali kami akan melakukan perjalanan jauh. Seterusnya, pasangkan niat bahawa setiap perjalanan adalah keranaNya jua dan setiap yang berlaku dalam perjalanan pergi dan balik adalah ketentuanNya jua yang sudah pasti mengandungi hikmah tersendiri. Malah jadikan juga amalan untuk solat sunat Tahiyatul Masjid dan solat sunat Musafir setiap kali bertemu dengan masjid yang tidak pernah dijejaki semasa dalam perjalanan. Bukanlah pula bermaksud kita perlu berhenti untuk solat sunat di setiap masjid yang ditemui dalam perjalanan tetapi disekalikan apabila kita berhenti untuk solat jama'. Saya jadikan amalan tersebut sebagai satu kaedah untuk meninggalkan 'jejak' di mana-mana bumi asing yang dipijak malah ia juga sebagai 'tangkal' kepada saya saat berada dalam musafir. Ia juga satu kesedaran kepada saya bahawa setiap inci bumi yang dipijak ini adalah milikNya jua. Saya hanyalah musafir yang menumpang lalu seketika untuk menikmati keindahan ciptaanNya.

Saturday, May 7, 2011

Kembara Langkawi

Bismillahirrahmanirrahim...

Percutian ini telah saya dan MakTeh rancang sejak awal tahun lagi dan tiket promosi MAS juga telah ditempah. Kami turut mempelawa ibu saudara, Soo untuk turut serta sebagai tanda ingatan kerana menjaga kami adik-beradik semasa kecil dan juga kerana banyak membantu setiap kali kami mengadakan kenduri/majlis di kampung. Perancangan awalnya, hanya 5 orang dewasa iaitu saya, MakTeh, Abah, Ummi dan Soo sahaja akan menyertai percutian ini. Namun di saat-saat akhir saya putuskan untuk turut mengajak anak saudara, Adeef untuk turut serta kerana Adeef banyak menghabiskan masa bersama Abah dan Ummi sepanjang tempoh BaHa berkursus. Sebaik mendapat lampu hijau daripada mama Adeef, Kak Syima, saya terus menempah tiket kapal terbang untuk Adeef. Malangnya hanya tiket pergi sahaja yang ada dan tiket pulang sudah habis dijual dan yang ada pula pada masa yang berlainan daripada kami. Lalu antara pilihan yang ada adalah membeli tiket pulang dengan penerbangan AirAsia dan salah seorang daripada kami perlu menemani Adeef. Malangnya tiket AirAsia yang masih tinggal hanya pada kadar yang saya rasakan terlalu tinggi untuk dibeli. Lalu saya meneruskan pencarian tiket Firefly pula tetapi malangnya ia juga telah habis dijual. Saya buntu memikirkan jalan keluar untuk kekusutan tersebut kerana tiket pergi sudah dibeli. Kini, hanya tinggal 2 pilihan sahaja iaitu sama ada membeli tiket AirAsia pada kadar tinggi atau membatalkan penyertaan Adeef tapi tidak sampai hati pula rasanya. 

Kekusutan itu saya suarakan kepada MakTeh untuk sama-sama memikirkan jalan keluarnya dan MakTeh telah mencadangkan agar membeli tiket daripada lapangan terbang di negeri berhampiran iaitu Kedah dan Pulau Pinang. Saya segera teringat kepada seorang rakan yang bekerja di Pulau Pinang (Sharliza) dan bercadang mendapatkan pertolongan dia untuk membawa saya dan Adeef daripada jeti Kuala Kedah ke Lapangan Terbang Bayan Lepas. Alhamdulillah, Sharliza bersetuju untuk membantu saya dan tempahan tiket kapal terbang MAS daripada Pulau Pinang telah dibuat pada kadar yang saya rasakan berpatutan. Untuk memudahkan urusan juga, saya terus menempah tiket feri pada jam 11.30 pagi untuk saya dan Adeef.

Akhirnya, seperti dirancang, saya dan keluarga telah menaiki penerbangan pada 30 April 2011, jam 8.15 malam daripada KLIA ke Langkawi. Untuk memudahkan urusan perjalanan, saya tinggalkan kenderaan di Putrajaya Sentral dan menaiki tren KLIA Transit ke KLIA. Turut menghantar kami ke KLIA adalah BaHa dan keluarga.

Abah dan 3A

Untuk urusan penginapan dan pengangkutan sewaktu di sana pula, saya telah buat tempahan lebih awal daripada Encik Basri yang saya kenali melalui laman Mudah. Saya akui penginapan pada kali ini hanya sederhana sahaja bersesuaian dengan kadar harga yang ditawarkan. Fikir saya, biarlah bersederhana untuk penginapan agar lebihan tersebut dapat digunakan untuk aktiviti percutian kelak termasuk untuk membeli-belah. Ketibaan kami disambut oleh Encik Basri dan isteri dan dibawa terus ke tempat penginapan menaiki Toyota Unser.

Keesokan paginya, kami keluar seawal jam 8.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan untuk menaiki kereta kabel. Dalam perjalanan, kami sempat singgah untuk sarapan terlebih dahulu dan kemudiannya terus ke destinasi dituju. Tempat tersebut telah dipenuhi oleh mereka yang datang lebih awal dari kami dan telah bersedia beratur menunggu giliran menaiki kereta kabel. Kami agak bernasib baik kerana terselamat daripada beratur panjang untuk membeli tiket kerana kami dapat melihat dereta manusia yang beratur untuk membeli tiket sewaktu kami pula sedang beratur untuk menaiki kereta kabel di tingkat atas. Lenguh juga kaki kami berdiri hampir 1 jam menunggu giliran menaiki kereta kabel di samping bergilir-gilir melayan kerenah Adeef yang sudah tidak sabar untuk menaiki kereta kabel.

Harga tiket boleh tahan juga kerana tempoh promosi untuk pemegang MyKad sudah tamat. Rupa-rupanya ia hanya untuk 3 tahun pertama sahaja. Kini harga yang dikenakan adalah RM30 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak. Terkejut juga saya tetapi memikirkan ini merupakan pengalaman pertama bagi Soo dan keterujaan Adeef untuk menaikinya, saya bayar juga tanpa fikir 2 kali.

Beratur hampir 1 jam menunggu giliran untuk menaiki kereta kabel

Mujur kami terselamat daripada kejadian seperti ini
Lega rasanya bila giliran kami untuk menaik kereta kabel akhirnya tiba juga. Adeef sudah tentulah orang yang paling seronok. Rasanya Soo pun sama teruja kerana tidak pernah menaikinya sedangkan kami sudah 3 kali menaikinya sebelum ini. Kali ini ummi lebih berani dan tidak menangis seperti kali pertama menaikinya dulu. Ia memang satu pengalaman yang menyeronokkan cuma kali ini ia lebih mencabar kerana jumlah pengunjung yang ramai menyebabkan kami terpaksa menunggu lama untuk menaiki kereta kabel daripada stesen pertama ke puncak dan seterusnya untuk turun ke bawah.

Saya dan Soo

Puncak - bersama Adeef

Matahari tegak atas kepala

Jenuh menggalas Adeef naik tangga

Kami tiba di stesen paling atas pada waktu tengahari, tepat jam 12 tengahari dan cuaca sememangnya sangat panas tetapi pemandangan daripada atas sana memang cukup indah. Satu lagi kejayaan ummi pada kali ini adalah berjaya untuk tiba di jambatan gantung. Sebelum ini memang ummi mengelak untuk ke sana kerana gayat. Stamina saya pula benar-benar teruji apabila terpaksa menggalas Adeef yang sudah tidak larat untuk berjalan menaiki tangga daripada jambatan gantung sehingga ke stesen pertama. Mulanya abah menawarkan diri untuk mendukung Adeef tetapi saya tidak sampai hati untuk membiarkan abah melakukannya. Selagi terdaya saya tidak akan membebankan abah. Saya bawa abah ke sini untuk bercuti merehatkan diri dan biarlah abah menikmati sepenuhnya percutian ini.

Dari situ, kami bergerak ke Pantai Cenang untuk makan tengahari dan seterusnya solat jama' zohor dan asar di Masjid Kedawang. Pergerakan kami kali ini agak lancar tanpa aksi 'sesat barat' dengan bantuan GPS yang saya bawa bersama. Destinasi kami seterusnya adalah Taman Agroteknologi MARDI. Seronok rasanya dapat menikmati buah-buahan segar yang dipetik terus daripada pokok dan dimakan tanpa perlu dibasuh kerana mereka tidak menggunakan sebarang bahan kimia tambahan pada pokok-pokok tersebut. Kami turut dibawa mengelilingi taman buah-buahan dengan menaiki lori kecil yang diubahsuai dengan tambahan tempat duduk.


Petik dan makan sepuasnya secara percuma

Kami berada di situ sehingga tamat waktu operasi iaitu 5 petang. Destinasi wajib kemudiannya adalah ke pekan Kuah untuk memenuhi hajat ummi dan soo membeli pinggan mangkuk. Saya ikutkan saja dan terus memandu menuju Idaman Suri. Saya pula hanya membeli coklat sahaja kerana saya memang tidak berniat untuk membeli perkara-perkara lain termasuk pinggan mangkuk. Saya hanya bercadang untuk menikmati suasana sahaja di samping melayani keperluan mereka.

Keduanya sungguh sakan membeli-belah dan kami hanya meninggalkan pekan Kuah pada jam 8 malam. Sebelum tidur, kami menyusun dan menanda barangan yang akan dimasukkan ke dalam kargo pada keesokan hari.

Perjalanan pulang adalah cukup mencabar kerana saya dan Adeef akan menaiki feri terlebih dahulu ke Kuala Kedah sebelum menaiki kapal terbang dari Bayan Lepas. Yang lain pula akan pulang terus ke KLIA daripada Langkawi. Mujurlah segala barangan Adeef telah saya serahkan kepada MakTeh untuk dibawa pulang dan saya hanya membawa Adeef dan barangan sendiri sahaja.

Dalam perjalanan ke jeti Kuah, kami sempat singgah sebentar di kawasan Beras Terbakar yang berada dalam kawasan perumahan yang masih dihuni oleh pewarisnya.


Pintu masuk ke kawasan Beras Terbakar

Sebelum menaiki feri, kami sempat juga singgah di Dataran Lang untuk bergambar dengan ikon Pulau Lagenda. Pada masa tersebut, hujan mula turun membuatkan saya mula risau untuk menaiki feri bersama Adeef tetapi saya tiada pilihan. Manakala yang lain pula meneruskan perjalanan ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke KLIA. Di jeti, manusia memang sangat ramai tetapi saya bernasib baik kerana mendapat laluan mudah dan dibenarkan terus masuk tanpa sebarang pemeriksaan kastam.




Perjalanan menaiki feri ke Kuala Kedah memakan masa hampir 2 jam juga sehingga Adeef lena tidur dalam pangkuan saya. Mujur juga Adeef tidak banyak kerenah semasa di dalam feri malah cukup teruja untuk menaiki feri. Tiba di jeti Kuala Kedah pada jam 1.30 petang dan kami terus dibawa menuju ke lapangan terbang Bayan Lepas. Berdebar-debar juga kerana keadaan trafik yang agak sesak malah kaunter daftar masuk sudah ditutup sewaktu kami tiba di sana. Tak dapat saya bayangkan jika kami terlepas penerbangan tersebut tetapi mujurlah mungkin kerana kasihan melihat Adeef, petugas tersebut telah bersetuju membantu kami untuk mendaftar masuk. Kami terus bergegas masuk ke balai berlepas untuk menaiki penerbangan jam 5.25 petang. Memandangkan saya belum solat, saya ambil peluang untuk solat terlebih dahulu meskipun masa semakin suntuk. Saya bimbang akan terlepas waktu jika menangguhkannya sehingga tiba di KLIA. Mujurlah pintu pelepasan kami berada betul-betul di sebelah surau dan tanpa berlengah saya terus menunaikan kewajipan tersebut. Elok sahaja saya keluar daripada surau, para penumpang sudah beratur panjang menunggu giliran untuk memasuki pesawat. Tanpa disangka, saya dipanggil masuk terlebih dahulu kerana membawa Adeef. Saya pasti penumpang yang telah lama beratur menjeling tajam pada saya. Haha.

Semasa dalam penerbangan pula, Adeef telah melakukan aksi yang melucukan semasa memakan kacang sehingga mendapat hadiah 2 dozen kacang daripada pramugari.

Jangkaan saya benar kerana kami tiba di KLIA jam 6.45 petang dan saya sudah pasti tidak akan sempat untuk solat jama' zohor dan asar jika saya menangguhkannya tadi. Dari KLIA, kami menaiki tren ke Putrajaya Sentral dan berjumpa MakTeh di sana yang menjemput kami pulang ke teratak saya.

Ini Adeef punya
Lega rasanya apabila kaki menjejak lantai teratak sendiri dan keletihan memang jelas terasa tetapi saya puas. Dapat melihat kegembiraan abah, ummi dan soo adalah sesuatu yang tidak ada harganya dalam dunia ini. Benarlah kata orang, wang boleh dicari tapi ia tidak mampu membeli kebahagiaan. Ya benar, wang adalah diperlukan dalam hidup tetapi wang yang banyak tidak akan membawa sebarang makna jika ia tidak mampu memberi kebahagiaan kepada insan-insan tersayang terutama abah ummi. Biar sedikit asal berkat dari banyak tapi mudarat. Namun lebih baik jika banyak dan berkat. InsyaAllah, kita tidak akan pernah rugi jika menggembirakan hati ibu bapa malah keberkatan akan lebih bertambah sama ada ia dalam bentuk wang ringgit, pekerjaan mahupun kehidupan harian. Jangan pernah gusar untuk membelanjakannya kepada ibu bapa kerana Allah pasti akan menghadirkan lebih banyak rezeki dalam bentuk-bentuk yang tidak kita sangka. Ia pasti!