Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, April 29, 2011

Pra-Kembara Langkawi

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini abah dan ummi akan tiba di KL kerana kami akan bertolak ke Langkawi pada hari Sabtu dengan penerbangan jam 8.15 malam. Turut serta adalah ibu saudara saya, Soo. Agak teruja juga walaupun pernah beberapa kali ke sana sebelum ini tetapi setiap kunjungan pasti akan memberikan pengalaman yang berbeza. Kembara kali ini juga tidak terkecuali. Perancangan awal kembara ini hanya melibatkan 6 orang dewasa sahaja termasuk saya tetapi di saat-saat akhir saya turut mengajak seorang anak buah saya, Adeef, untuk turut serta. Ini kerana Adeef banyak menghabiskan masa dengan To'Ki dan To'Wan sepanjang ketiadaan abang saya berkursus selama 2 minggu di Taiping. Kisah mendapatkan tiket bagi Adeef juga memberikan satu pengalaman menarik buat diri saya iaitu usaha tanpa jemu pasti akan membuahkan hasil jua. Pada mulanya, saya hampir berputus asa kerana gagal mendapatkan tiket untuk Adeef namun akhirnya saya menemui jalan keluar kepada kekusutan tersebut. Jalan penyelesaiannya akan saya ceritakan dalam entri akan datang kerana saat ini saya kelesuan dan keletihan menguruskan pelbagai perkara di lokasi yang berbeza. Mujurlah juga ada kelapangan waktu yang membolehkan saya menyelesaikan semua perancangan pada hari ini dengan baik.

Seawal pagi saya sudah bertolak ke pejabat kerana selepas itu saya bercadang untuk berjumpa bekas pensyarah saya di UIA Gombak. Alhamdulillah, selesai urusan di UIA, saya terus ke Shah Alam pula untuk mengambil dokumen penting dan kemudiannya terus ke Bangi. Di sana, saya singgah sebentar di Pasaraya Warta untuk membeli beberapa barang keperluan dapur yang sudah sekian lama saya senaraikan untuk dibeli. Dari situ pula, saya terus ke UKM untuk membuat penghantaran borang permohonan mengikuti pengajian sarjana. Oleh kerana tarikh tutupnya adalah pada hari ini, maka berduyun-duyunlah manusia yang membanjiri pejabat Pusat Pengajian Siswazah sehingga terpaksa beratur panjang menunggu giliran. 

Kini, saya kembali ke pejabat untuk menyemak beberapa dokumen yang dihantar oleh pihak-pihak luar kepada bos saya. Mujur juga hari ini bos saya bertugas di luar kawasan, memberi ruang kepada saya untuk menyelesaikan urusan-urusan tertunggak termasuk penghantaran borang permohonan sarjana. Tidak sabar rasanya menunggu hari esok untuk memulakan perjalanan ke Langkawi. Tempat penginapan dan kenderaan telah saya tempah awal-awal untuk mengelakkan sebarang kesulitan sewaktu di sana kelak. Kali ini saya tempah homestay sahaja pada kadar harga yang saya rasakan amat berpatutan namun risikonya adalah saya tidak pasti dengan keadaan sebenar homestay tersebut. Harap-harapnya ok. Kenderaan yang dijanjikan pula adalah Toyota Unser. Kadar yang ditawarkan kepada saya bagi penginapan dan penggunaan kereta untuk 3 hari 2 malam adalah RM350 sahaja. Memang agak cuak juga kerana kadar yang dirasakan begitu rendah tapi saya tawakal sahaja. Jika dilihat pada gambar yang dipaparkan dalam laman Mudah.my, rasanya ok.

Kesimpulannya, saya harap kembara kali ini akan ok :)

Wednesday, April 27, 2011

Urusan Yang Belum Selesai

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini saya terpaksa mengambill cuti kerana ada urusan penting yang perlu saya selesaikan di Shah Alam. Apakah urusan penting tersebut tidak boleh saya nyatakan sekarang kerana keadaan masih belum sesuai untuk berbuat demikian. InsyaAllah apabila segala perkara sudah jelas dan kekeliruan yang timbul berjaya dirungkaikan, akan saya kongsikan sebagai panduan bersama agar kesilapan yang sama seperti yang telah saya lakukan (secara tidak sengaja) tidak berulang. Sekarang saya berada di restoran McDonalds Seksyen 3, Shah Alam, mengalas perut sementara menunggu masuk waktu solat Zohor dan ketibaan adik lelaki saya yang juga terlibat dalam permasalahan ini. Meskipun saya diminta untuk hadir pada jam 3 petang, saya lebih gemar untuk tiba lebih awal dan menunggu dengan santai. Saya bukan jenis yang suka terkejar-kejar apabila perlu hadir ke sesuatu lokasi. Tambahan pula Shah Alam memang sentiasa dekat di hati saya malah sudah agak lama juga saya tidak ke sini. Sengaja saya pilih tempat duduk yang menghadap lalulintas. Melihat kenderaan yang bertali arus memenuhi laluan. Sesuatu yang unik tentang bandar Shah Alam adalah laluannya dipenuhi dengan banyak bulatan. Secara peribadi, saya tiada masalah dengannya malah sudah terbiasa dengan bulatan-bulatan yang ada di sini walaupun ramai yang kurang menggemarinya. Selalunya, mereka yang kerap merungut pening dengan kehadiran banyak bulatan di sini adalah mereka yang mungkin baru pertama kali atau jarang ke sini. Bagi saya yang pernah tinggal selama 2 tahun di sini, bulatan adalah sesuatu yang tidak asing dan tidak menimbulkan masalah kepada saya berbanding lampu isyarat.

Beberapa ketika saya merenung aliran lalulintas yang tidak putus-putus memenuhi laluan. Tidak ada satu saat pun laluan itu kosong. Akan sentiasa ada kenderaan yang melaluinya. Mujur juga tidak ada sebarang kemalangan yang berlaku sepanjang saya merenung lalulintas tersebut. Begitulah kehidupan, sama ada kita gemar atau tidak, ia perlu diteruskan. Bayangkan jika sebuah kereta secara tiba-tiba memberhentikan pergerakan di tengah-tengah laluan yang sedang bergerak laju. Saya pasti, kemalangan akan berlaku dan akan ada pemandu-pemandu yang mungkin tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu tersebut kerana tindakan yang tidak masuk akal serta membahayakan pengguna lain. Begitu kehidupan perlu diteruskan meskipun laluannya kekadang tidak kita ketahui penghujungnya kerana berputus asa terhadap kehidupan akan hanya membuahkan kekecewaan kepada diri sendiri jua. Sama seperti berhenti daripada meneruskan perjalanan sudah pasti akan menyebabkan kita tidak sampai ke destinasi yang ingin dituju. Kita mungkin akan tersesat semasa dalam pencarian tetapi lambat laun kita akan menemuinya juga atau jika kita bernasib baik, kita akan terus tiba ke destinasi dituju tanpa banyak halangan.

Dari tempat duduk ini juga saya dapat melihat menara Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Satu tempat yang sering menjadi kunjungan saya suatu masa dulu terutama apabila mengikuti Kelas Pengajian Bahasa Arab di situ. Di samping ia juga menjadi lokasi tempat saya meletakkan kenderaan semasa beriadah di Taman Tasik Shah Alam yang sememangnya berada di sekitar kawasan masjid juga. Kekadang ia juga menjadi lokasi saya 'bersidai' saat berdepan dengan pelbagai masalah kehidupan yang membelenggu pada waktu itu. Jelas, ia cukup istimewa di hati saya. Selepas ini saya akan singgah sebentar di situ untuk solat Zohor untuk melampias kerinduan terhadapnya.

Semoga urusan kami pada petang ini akan dipermudahkanNya. InsyaAllah kami berada di pihak yang benar.

Monday, April 25, 2011

Keperluan vs Kehendak

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebagai pengguna bijak, kita sering diingatkan agar berbelanja mengikut keperluan dan bukannya kehendak. Ada benarnya juga kerana kehendak adalah tidak terbatas. Jika boleh, kita pasti menginginkan perkhidmatan atau barangan yang terbaik namun pesan orang tua, ukur baju di badan sendiri. Sudah pasti kita perlu berbelanja dengan melihat kepada kemampuan diri sendiri juga.

Sebelum ini, saya memang mengelakkan untuk memasang penghawa dingin di teratak saya sebaliknya hanya memasang tint pada semua cermin sahaja. Anggapan saya, itu sudah memadai untuk memastikan keadaan yang selesa. Maka, pada masa itu, pemasangan penghawa dingin hanya merupakan kehendak sahaja. Namun ia akhirnya berubah menjadi keperluan apabila ummi meluahkan ketidakselesaan dan tidak dapat melelapkan mata berikutan suasana yang agak panas di dalam bilik tidur. 2 buah kipas sudah saya tempatkan dalam bilik tersebut namun ia nampaknya tidak memberi kesan yang baik. Akhirnya, saya akur untuk memasang penghawa dingin dalam bilik tidur. Sebuah kehendak yang akhirnya berubah menjadi keperluan. 

Selepas puas meninjau harga yang berpatutan, saya telah membelinya di sebuah kedai elektrik di Bangi pada hari Jumaat yang lalu dan pemasangan dibuat pada hari Sabtu. Saya berpuas hati dengan kualiti dan cara pemasangan kontraktor tersebut walaupun mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Sebelum ini saya dimaklumkan tempoh pemasangan adalah sekitar 1 jam sahaja namun berikutan rekabentuk teratak saya yang agak unik, mereka terpaksa mengambil masa sehingga 3 jam untuk menyelesaikan pemasangan 2 unit penghawa dingin. Saya tidak kisah asalkan hasilnya memuaskan hati.  

2 unit penghawa dingin

Proses pemasangan bermula

Sebahagian peralatan yang dibawa

Menebuk lubang - plastik digunakan untuk menadah habuk dan pecahan simen
Yang lecehnya selepas itu, saya perlu melakukan operasi pembersihan habuk ke seluruh rumah. Saya sempurnakan urusan membersih pada malam itu juga kerana rimas dengan keadaan berhabuk yang melekat-lekat di tapak kaki. Lega rasanya kerana selepas ini abah dan ummi akan lebih selesa apabila bermalam di teratak saya.

Kepada sahabat saya Marhani, saya tahu sebelum ini anda pernah mencadangkan kepada saya untuk memasang penghawa dingin di bilik tidur teratak saya, tetapi pada waktu itu saya masih merasakan ia hanya satu kehendak. Kini saya ambil keputusan untuk memasangnya kerana ia telah berubah menjadi keperluan. Maka jadilah bilik tidur sekarang saya seperti unit hotel :)

Reunion: Impian Kian Nyata

Bismillahirrahmanirrahim...

22 April 2011 - Satu pertemuan telah diaturkan antara wakil kelas MRSM Muar 95/96 untuk memuktamadkan beberapa perkara tentang rancangan reunion yang telah dipersetujui akan diadakan pada 9 Julai 2011. Usai solat maghrib, saya terus bertolak ke lokasi yang dijanjikan iaitu McD Bandar Utama. Saya tidak pernah ke situ sebelum ini tetapi dapat mengagak kedudukannya di sekitar Bandar Utama. Namun untuk memudahkan perjalanan, saya bercadang menggunakan bantuan Cik GPS untuk sampai ke situ sebelum jam 8 malam. Malangnya, saya telah berjaya diperdayakan oleh Cik GPS sehinggakan saya hanya berjaya tiba di tempat dijanjikan pada jam 9 malam. Apabila dilihat semula, rupanya salah saya sendiri kerana tersilap setting pada GPS tersebut. Aduhai, silap sendiri.

Terpedaya olehnya tapi berpunca silap sendiri juga

Rancak bermesyuarat

Mereka yang hadir

Mereka pernah hadir dalam perjalanan kehidupan remaja saya

Alhamdulillah, kehadiran pada kali ini ternyata lebih baik dan banyak perkara yang dapat dimuktamadkan bersama. Untuk membantu perjalanan program, saya secara sukarela telah menawarkan diri untuk menjadi bendahari bagi urusan mengumpulkan yuran penyertaan. Ia berlaku secara spontan atas kesedaran saya perlu menyumbangkan sesuatu demi memastikan impian ini menjadi realiti. Selepas 15 tahun meninggalkan alam persekolahan, ini merupakan pertemuan semula kami yang julung kali diadakan. Sebelum ini memang pernah ada usaha dibuat ke arah itu namun atas sebab-sebab tertentu, ia gagal direalitikan. Saya akui pada waktu itu saya sendiri juga tidak merasakan kesungguhan untuk menjayakannya. Kini apabila saya semakin menyedari akan kepentingan penganjurannya, saya nekad untuk membantu menjayakannya.

Kini, semua wakil kelas termasuk saya sendiri perlu memainkan peranan yang telah diberikan dengan sebaik mungkin terutama dalam menyampaikan maklumat tentang program kepada rakan-rakan sekelas dan memuktamadkan bilangan yang akan hadir. Saya gembira kerana kali ini saya benar-benar menghadirkan diri untuk menjadikan impian reunion ini satu kenyataan. Tidak sabar rasanya menunggu kehadiran hari yang telah ditetapkan.

Kepada rakan-rakan MRSM Muar 95/96 yang terbaca nota saya ini dan masih belum mengetahui tentang program yang akan dianjurkan, masih belum terlambat untuk anda mengambil tahu tentangnya dan mendaftarkan diri. Bayangkan selepas 15 tahun, ini merupakan pertemuan kita semula yang pertama. Pasti banyak yang akan kita bualkan kelak, mengenang kembali kenangan membesar bersama di MRSM Muar. Meskipun anda tidak pernah menghadiri pertemuan-pertemuan yang diadakan sebelum ini, ia tidak menafikan hak anda untuk hadir dan menjayakan program ini malah makna kejayaan program ini adalah apabila anda semua dapat hadir dan turut sama-sama menjayakannya. Program ini merupakan titik permulaan kepada program-program lain yang bakal menyusul bagi graduan MRSM Muar 95/96. Siapa pun anda pada hari ini, apa jua kerjaya atau status anda pada hari ini, ia bukan tititk penentunya kerana yang penting adalah anda pernah menjadi sebahagian daripada warga MRSM Muar 95/96!



Sunday, April 24, 2011

Ulangtahun

Bismillahirrahmanirrahim...

Bos Besar

Bos Kedua Besar

Potong Kek

Jamuan Ringan

22 April 2009 - Itu adalah tarikh penubuhan tempat saya berkhidmat sekarang dan tahun ini (22 April 2011) merupakan ulangtahun keduanya. Secara tiba-tiba, bos besar mengarahkan agar semua urusan mesyuarat pada hari tersebut ditunda kepada tarikh lain dan satu jamuan kecil akan diadakan untuk meraikannya. Pada sebelah pagi, satu majlis bacaan yaasin telah diadakan di surau dan pada sebelah petangnya pula diadakan majlis minum petang. Tersentuh pula saya mendengar ucapan ikhlas daripada bos besar kepada kami semua. Saya akui sememangnya cara bekerja di sini agak berbeza berbanding tempat saya sebelum ini. Beban kerja sememangnya agak berat jika dibandingkan dengan jumlah kakitangan yang mengendalikannya. Namun kami beruntung kerana cara pengurusan bos besar yang tidak menambahkan tekanan yang sedang dihadapi. Banyak perkara baru yang saya pelajari di sini terutama dalam menangani isu-isu sensitif yang melibatkan pihak awam dan swasta. Jika dulu saya hanya banyak berurusan dengan pihak awam sahaja, kini saya perlu menyesuaikan diri untuk berhadapan secara langsung dengan pihak swasta pula. Ia satu pengalaman baru yang amat saya hargai.

Alhamdulillah, hidangan jamuan ringan disediakan kepada kami sebelum kembali meneruskan tugasan seperti biasa.

Thursday, April 21, 2011

Kritikan

Bismillahirrahmanirrahim...

Siapa yang tidak kisah dan gemar menerima kritikan, sila angkat tangan!

Saya yakin semua orang termasuk saya sendiri tidak gemar dan tidak selesa apabila dikritik oleh seseorang. Namun, sebagai seorang yang waras, kita harus cuba melihat setiap perkara yang berlaku dari sudut pandang yang positif.
  1. Sejauh manakah kebenaran kepada kritikan yang dilemparkan?
  2. Siapakah pengkritik tersebut?
Ini dua perkara yang sering menjadi penanda aras buat saya apabila dikritik. Jika perkara yang dikritik adalah benar dan memberi kebaikan kepada saya, maka dengan lapang dada saya akan menerimanya malah saya berterima kasih kepada pengkritik tersebut kerana menegur saya. Kekadang saya sendiri tidak sedar bahawa apa yang saya lakukan ternampak pincang di mata yang memandang. Namun jika perkara yang ditegur adalah semata-mata untuk menyakitkan hati saya sahaja tanpa ada niat ikhlas untuk memperbetulkan saya, maka saya hanya akan membiarkan sahaja kritikan tersebut berlalu tanpa kudis di hati. Setidak-tidaknya saya mendapat pahala atas kritikan tidak berasas yang dilemparkan kepada saya. Seringkali juga saya berasa geram apabila dikritik tanpa bukti yang kukuh tetapi apabila memikirkan tindakbalas tidak akan meredakan keadaan, saya lebih gemar memilih untuk mendiamkan diri sahaja. Saya yakin kebenaran pasti akan terserlah jua.

Kemudian, jika pengkritik tersebut adalah seseorang yang dekat dengan diri saya dan memahami siapa diri saya seperti ahli keluarga dan rakan-rakan karib, maka sewajarnya kritikan tersebut saya ambil berat. Saya pasti mereka menegur dan mengkritik atas dasar kasih sayang dan hubungan yang wujud antara kami. Sudah pasti juga mereka menegur dengan niat untuk menyedar dan memperbetulkan saya. Kehadiran mereka saya anggap sebagai satu anugerah dalam kehidupan ini. 

Hari ini saya dikritik oleh ketua saya sendiri atas keterlanjuran tindakan yang tidak disedari. Satu tabiat yang tidak saya sangka mungkin boleh memberi kesan kepada diri sendiri dan orang lain dalam dunia pekerjaan ini. Maka saya terima teguran beliau dengan hati terbuka kerana perjalanan karier saya masih jauh berbanding beliau yang sudah berada di penghujung perkhidmatan. Saya percaya teguran beliau adalah berdasarkan pengalaman yang telah dilalui sepanjang dalam perkhidmatan. Saya cuba berlapang dada dengan kritikan dan teguran daripada beliau, semoga ada hikmah di sebaliknya.

Membuat Pilihan

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya masih bertungkus-lumus untuk menyediakan dokumen dan mengisi borang untuk memohon kemasukan ke IPTA pada bulan September. Saya perlu segera bertindak kerana ada IPTA yang tarikh tutup permohonannya adalah pada 29 April 2011. Peliknya, sehingga saat ini saya belum dapat memutuskan IPTA yang menjadi pilihan saya untuk melanjutkan pelajaran. Malam tadi saya menghabiskan masa dengan meneliti brosur-brosur IPTA yang saya dapat sewaktu berkunjung ke Postgraduate Fair di Midvalley pada hari Jumaat lepas. Saya dan rakan baik, Azlina memutuskan bahawa itu adalah kunjungan kami yang terakhir untuk mencari maklumat mengenai IPTA. Selepas ini fokus kami adalah untuk melengkapkan borang dan menghantarnya kepada IPTA berkenaan sebelum tarikh tutup. Saya berazam untuk menyelesaikan kesemua permohonan pada bulan ini juga kerana saya sudah menjangkakan yang bulan Mei bakal menjadi bulan yang agak sibuk buat saya kerana ada beberapa projek yang akan mula diproses pada bulan hadapan.

Beberapa orang rakan yang juga akan menyambung pelajaran pada tahun ini telah selesai menghantar borang mereka. Tambah cuak saya mendengarnya sedangkan saya masih lagi keliru dalam membuat pilihan. Pertamanya, tentang lokasi untuk IPTA sama ada di sini atau di Terengganu. Banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan dalam menentukan pilihan ini. Seterusnya, jika saya sudah memilih lokasi tertentu, kaedah pembelajaran juga menjadi antara faktor yang perlu saya teliti sebelum membuat keputusan akhir. Buat masa sekarang, saya lengkapkan semua borang IPTA di sini dan Terengganu yang menawarkan kursus yang ingin saya pohon. Saya berbuat seperti seorang pengail, mencampakkan umpan ke dalam sungai dan menunggu ikan terbaik yang akan memakan umpan tersebut. Mungkin ada yang akan berpendapat tindakan saya itu tidak logik dan seolah-olah tidak mempunyai arah tetapi saya punya pendapat tersendiri. Saya ingin mencuba segala jalan dan ruang yang ada agar pilihan yang saya buat kelak adalah pilihan yang tidak saya kesali dan menjadi ungkitan di kemudian hari. Biarlah keputusan yang saya buat itu adalah keputusan yang telah saya fahami akan baik dan buruknya. Pendek kata, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan yang akan saya buat.

Jika saya memilih untuk melanjutkan pelajaran di Terengganu, kebaikannya sudah tentulah saya akan berada lebih dekat dengan kedua ibu bapa saya dan lebih mudah untuk membantu mereka. Namun kekurangannya pula adalah kursus yang ditawarkan di situ adalah secara research sahaja sedangkan saya merancang untuk mengikuti kursus secara coursework atau sekurang-kurangnya mixed-mode. Pada saya, pemilihan kaedah research adalah lebih sesuai bagi mereka yang mempunyai kerjaya sebagai ahli akademik dan bukannya seperti saya yang akan berada dalam bidang pengurusan. Mengikuti kursus secara research pula tidak memerlukan saya untuk menghadiri kelas sebaliknya lebih kepada atas daya usaha dan kebergantungan kepada supervisor sahaja. Satu perkara yang agak sukar untuk saya jamin keberkesanan pelaksanaannya oleh diri saya. Adalah lebih baik saya memilih sesuatu yang saya yakin boleh saya jayakan dengan baik. Itu belum diambilkira tentang kemudahan penginapan kerana ia tidak disediakan kepada pelajar pascasiswazah. Keutamaan lebih diberikan kepada pelajar prasiswazah. Itu antara faktor yang perlu saya ambilkira juga. Namun saya tetap membuat permohonan ke IPTA di Terengganu kerana masih ada baki beberapa bulan lagi sebelum saya melanjutkan pelajaran. Dalam tempoh itu, pelbagai perkara boleh berlaku dan mungkin mempengaruhi saya untuk membuat keputusan. Setidak-tidaknya pilihan itu tidak saya tinggalkan terus tanpa menoleh ke belakang lagi.

Menyambung pelajaran di sini pula sudah tentulah lebih mudah buat saya kerana teratak sendiri pun sudah saya miliki namun pada masa yang sama, saya juga tidak mahu terikat dengan sesuatu yang akan membuatkan saya terkurung dalam dunia selesa saya sendiri. Memiliki teratak sendiri di sini tidak bermaksud saya akan terus kekal tinggal di sini buat selama-lamanya. Antara sebab saya memutuskan untuk membeli teratak sendiri adalah kerana memenuhi keinginan untuk memiliki aset sendiri dan kemudiannya, kerana saya sendiri sudah tidak larat untuk berpindah-randah daripada satu rumah sewa ke rumah sewa yang lain. Jika ditakdirkan saya perlu berpindah ke tempat lain juga selepas ini, setidak-tidaknya saya sudah mempunyai tempat persinggahan di sini atau saya mungkin akan menyewakannya kepada orang lain. Sesungguhnya perjalanan kehidupan ini masih jauh.

Sebahagian daripada proses melengkapkan borang permohonan adalah saya perlu mendapatkan ulasan dan pengesahan daripada bekas pensyarah di UIA. Alhamdulillah, bekas pensyarah yang saya hubungi masih mengenali saya dan bersetuju untuk dijadikan referee. Lega rasanya. Bila difikir-fikirkan, Allah sentiasa mempermudahkan jalan saya dalam banyak perkara. Hanya saya yang kadang-kala menyukarkan kehidupan sendiri. Teringat saya kepada satu kenyataan yang pernah dibaca sebelum ini tetapi saya lupa siapa penuturnya,

"We don't commit mistakes, we make wrong choices."

Ya, kehidupan adalah tentang memilih dan membuat keputusan yang dirasakan terbaik selepas menimbang pelbagai faktor. Setiap keputusan yang telah dibuat pula sudah pasti ada impaknya sama ada baik atau buruk. Namun sekiranya pilihan yang telah dibuat membawa kepada lebih banyak keburukan, ia tidak pula meletakkan kita sebagai pesalah. Yang penting, kita berani bertanggungjawab terhadap keputusan dan pilihan yang telah dibuat. Tidak ada orang lain yang boleh dipersalahkan selain diri sendiri sahaja. Itulah yang sedang saya buat, membuat pilihan sendiri dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan yang telah diputuskan. Yang pasti, saya menginginkan yang terbaik untuk kedua ibu bapa saya dan juga diri sendiri. Semoga keputusan dan pilihan yang bakal dibuat adalah yang terbaik untuk semua pihak.  

Tuesday, April 19, 2011

Balik Kampung

Bismillahirrahmanirrahim...

[Mode: Waktu tengahari menunggu panggilan daripada bos untuk bertemu bos besar]

Balik kampung atau spesifiknya, pulang ke kampung menziarah abah dan ummi di kampung merupakan sesuatu yang saya wajibkan ke atas diri sendiri sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Jika ada masa terluang, saya cuba juga untuk pulang lebih kerap. Setiap kali pulang ke kampung, ada ketenangan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata hadir dalam diri ini. Buat seketika, saya lupa pada keriuhan kota dan beban kerja yang dipikul. Hidup terasa lebih aman. Perjalanan pula menjadi lebih mudah sejak kewujudan Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Jika dulu, perjalanan melalui jalan lama akan memakan masa 5 hingga 6 jam tetapi melalui LPT, hanya 3 hingga 4 jam sahaja. Sudah tentulah itu tempoh masa bagi perjalanan yang normal selain pada hari perayaan atau cuti umum.

Memang menjadi kebiasaan, perjalanan pulang ke kampung adalah pada hari Jumaat selepas solat Isyak. Perjalanan yang lancar membuatkan kami tiba di kampung pada jam 4 pagi, hari Sabtu. Kali ini saya pulang untuk menghadiahkan GPS kepada abah. Sengaja saya serahkan lebih awal supaya abah punya cukup waktu untuk mengekplorasi dan memahirkan diri dengan penggunaannya. Lucu pula apabila abah begitu teruja dengan GPS tersebut sehingga sanggup bersiap awal untuk ke masjid kerana ingin menggunakan GPS dalam perjalanan nanti. Ada rasa gembira menyelinap dalam diri melihat keterujaan dan keseronokan abah menggunakan GPS. Saya membayangkan agaknya begitulah seronoknya hati ibu bapa melihat kegembiraan anak-anak sewaktu kecil menerima hadiah atau mainan daripada mereka. Dunia umpama roda. Kini tiba giliran saya sebagai anak pula memberi kepada abah dan ummi walau apa yang saya berikan hanyalah secebis daripada apa yang telah mereka berikan kepada saya selama ini. Saya tidak akan mungkin mampu untuk membalasnya. Namun ruang dan peluang yang dikurniakanNya akan saya manfaatkan sebaik mungkin untuk membahagiakan keduanya. Mungkin kedengaran agak melankolik tapi itu azam saya. Ia bukan mudah kerana kekadang cabaran seringkali menduga keazaman itu tetapi saya sering percaya bahawa apa jua kejayaan yang saya nikmati pada hari ini adalah kerana doa mereka jua. Ada keberkatan di situ yang tidak dapat di'mizan'kan dengan harta dunia. 

Pada hari Sabtu, saya bersama ummi dan MakTeh meluangkan masa menziarahi saudara yang dimasukkan ke wad di Hospital Dungun kerana diabetis. Usianya jauh lebih muda berbanding abah dan ummi tetapi tahap kesihatannya kelihatan lebih teruk. Saya bersyukur kerana kesihatan abah dan ummi masih baik dan saya berdoa agar ia berterusan kerana masih banyak yang saya ingin mereka nikmati. Kegembiraan saya bertambah kerana sejak aktiviti bersenam bersama saya di Putrajaya tempohari, abah dan ummi meneruskannya di kampung pula bersama rakan-rakan seusia. Seronok mendengar ummi melaporkan aktiviti senaman mereka yang kini menjadi rutin wajib pada waktu pagi iaitu 3 kali seminggu.

Selepas menziarahi saudara, kami teruskan perjalanan ke Chendering pula, menjenguk keluarga abang kedua (BaHa). Kami sudah sedia maklum yang BaHa tiada di rumah kerana menghadiri kursus di Taiping selama 2 minggu. Hanya tinggal kakak ipar dan anak-anak saudara (saya namakan 3A) sahaja. Kami keluar untuk bersiar-siar ke Seberang Takir, Kuala Terengganu untuk menikmati pelbagai makanan laut digoreng celup tepung di gerai yang terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Tererengganu. 3A cukup seronok dapat melihat kapal terbang turun dan naik sambil menikmati hidangan yang memenuhi meja.  


ICT ~ Ikan Celup Tepung

Sila pilih yang mana berkenan

MakTeh dengan Adam dan Adeef

Saya :p

Asyraaf

Masjid Wakaf Tembesu ~ Solat Asar

Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir

Sebelum pulang, kami singgah sebentar di Pantai Teluk Ketapang untuk memenuhi permintaan Adam dan Adeef yang teringin ke pantai. Mungkin merindui Pantai Teluk Lipat agaknya. Kami hanya pulang ke rumah di Dungun selepas solat Isyak dengan salah seorang anak saudara (Adeef) turut serta.

Besoknya, kami kembali ke KL untuk meneruskan rutin harian. Detik ini sering menjadi detik yang sukar dan selalunya perancangan akan terlewat daripada jadual. Selalunya jangkaan untuk bertolak selepas zohor adalah bermaksud pukul 4 petang. Kali ini kami bertolak pada jam 6.30 petang dan tiba di KL pada jam 11.30 malam. Meskipun saya gemar mengembara dan berkelana melihat tempat orang, kembara pulang ke kampung adalah satu perjalanan yang amat saya rindui. Setidak-tidaknya saya punya kampung :)

P/s: Orang KL @ bandar, sila jangan ambil hati, Peace! 

Friday, April 15, 2011

Orang Besar

Bismillahirrahmanirrahim...

Semasa kita kecil, ayah dan ibu sering berpesan,

"Belajar rajin-rajin ye nak. Nanti dah berjaya jadi orang besar, hidup senang."

Apabila semakin dewasa, fikiran mula berbicara,

"Betul ke hidup boleh senang kalau jadi orang besar?"

"Tahap besar yang bagaimana baru boleh dikatakan senang?"

Bila berjumpa kawan-kawan, ramai yang cakap,

"Wah, hebat kau sekarang ye. Dah jadi orang besar."

Betul ke?

Yang pasti, pagi ini saya terpaksa datang awal ke pejabat dan menunggu hampir 1 jam untuk berjumpa orang lebih besar daripada saya.

Apabila dah jumpa, perbincangan tidak sampai pun 5 minit.

Nampaknya saya belum cukup besar. Hanya saiz badan yang sedang saya usahakan untuk dikecilkan saiznya.

Thursday, April 14, 2011

Nostalgia: Dulu Pahit, Kini Manis

Bismillahirrahmanirrahim...

[Lokasi: Di pejabat, beberapa ketika sebelum beredar pulang]

Rutin bagi penghuni asrama diwajibkan untuk mengulangkaji pelajaran pada waktu yang ditetapkan. Selalunya selepas waktu makan tengahari dan selepas makan malam. Waktu itu diistilahkan sebagai waktu prep iaitu ringkasan kepada preparation atau waktu persediaan. Waktu ini memang cukup mencabar dan masa yang dilalui terasa cukup panjang. Apa tidaknya, perut sudah kenyang terisi, mata pula semakin memberat. Ia satu perjuangan yang cukup perit. Pelbagai aksi dapat dilihat. Ada yang betul-betul mengulangkaji pelajaran meskipun kepala terhangguk-hangguk menahan rasa ngantuk. Sesetengahnya pula ada yang berbual sesama sendiri sehingga mengganggu rakan-rakan yang lain. Lebih lucu apabila ada yang terus lena beralaskan buku. Sedar-sedar peta dunia baru sudah terbentuk di atas helaian muka surat buku. Suasana akan menjadi hening dan semua seolah-olah tekun belajar apabila warden membuat rondaan. Kekadang sengaja tidak mengejutkan rakan yang 'syahid' lena di atas meja untuk mengenakannya supaya terkantoi dengan warden dan didenda. Denda paling lucu yang pernah saya ingat adalah apabila warden mengarahkan pesalah-pesalah bermain bola di padang kerana suasana hingar bingar semasa rondaan dibuat. Tersenyum sendiri saya apabila mengingatkan insiden itu. Bayangkan bermain bola di tengah padang pada waktu malam. Haha.

"Nak main sangat, mainlah puas-puas di padang." Mungkin itu agaknya yang bermain dalam fikiran warden pada waktu itu.

Itu hanya salah satu kenangan yang berada dalam senarai ingatan saya sepanjang tinggal di asrama. Banyak sebenarnya kenangan yang dulunya pahit dan pedih tetapi kini bertukar menjadi kenangan yang cukup manis. Ia tanpa disedari sebenarnya telah membentuk disiplin dalam diri kami.

Solat berjemaah 5 waktu sehari semalam juga merupakan satu kewajipan bagi yang tinggal di asrama. Tanpa gagal, setiap hari saya dan rakan-rakan akan bangun jam 4 pagi kerana jika terlewat akan kehabisan air. Masalah bekalan air merupakan cabaran terbesar buat kami pada masa itu. Dengan sebiji baldi, cebuk air, tuala dan kain basahan, dalam keadaan mata terpisat-pisat dan ngantuk yang masih bersisa, digagahkan juga kaki menuju ke bilik mandi. Kemudian bergilir-gilir untuk mandi kerana jika paip terlepas kepada ahli kumpulan lain, sudah pasti kami tidak akan mendapatnya semula. Bila seorang sedang menggosok gigi, yang lain pula membasuh muka dan menyabun badan. Akhirnya, semua selesai mandi serentak dan kembali ke dorm masing-masing untuk bersiap menuju ke surau/musolla pula. Kadang-kadang oleh kerana waktu masih awal, saya mengulangkaji pelajaran terlebih dahulu walaupun kepala tersengguk-sengguk. Entah apa yang dibaca saya pun tidak pasti. Mungkin sekadar menyejukkan hati sekurang-kurangnya usaha sudah dibuat. Saya fikir bukan kuantiti bacaan yang menjadi ukuran sebaliknya usaha yang dibuat untuk membaca dan keberkatan melakukannya. Ia lebih baik dari duduk berdiam diri mengharap kefahaman itu terbit sendiri atau mungkin gugur dari langit barangkali. Selalunya selepas solat subuh, saya akan segera menukar pakaian dan terus bersarapan di dewan makan dan seringkali saya merupakan antara yang terawal bersarapan. Jika kadang-kala terasa ingin menukar selera, saya akan keluar menyeberang ke gerai yang menjual nasi lemak paling sedap pernah saya makan. Harganya cuma 30 sen dan kami sanggup menunggu sehingga kakak yang menghantar nasi lemak itu datang walaupun ada juga nasi lemak yang dibuat oleh orang lain. Namun rasanya tidak sama. Kadang-kadang kami membuat giliran untuk membeli nasi lemak tersebut pada hari-hari tertentu. Rakan-rakan yang pernah belajar di SMAASZA pasti akan mengetahui nasi lemak yang saya maksudkan itu. Saya tidak tahu sama ada nasi lemak itu masih lagi ada sehingga sekarang atau tidak.

Bercakap tentang solat berjemaah, ada juga waktu-waktu tertentu (mungkin syaitan gemuk bersarang di hati), kami akan mengelakkan diri ke musolla, sebaliknya menguncikan diri di dalam bilik dan menutup lampu supaya pengawas yang meronda menganggap tiada orang. Selalunya seorang ahli dorm akan ditugaskan untuk memerhati pergerakan dan kemunculan pengawas yang membuat rondaan, menangkap sesiapa yang tidak turun solat berjemaah. Kami akan bergilir untuk solat dan menghidupkan kembali lampu apabila kelihatan rakan-rakan yang berjemaah di surau sudah kembali ke dorm masing-masing. Namun ada satu insiden yang cukup mencuit hati saya sehingga hari ini. Ia melibatkan seorang senior dalam dorm saya pada waktu itu yang saya panggil Kak Nor. Dia seorang yang cukup lucu. Seperti biasa, kami bergilir-gilir menunaikan solat di dalam bilik dan seseorang akan ditugaskan untuk mengawasi keadaan. Kebetulan senior yang mengawasi ini pula (saya panggil Kak Na) seorang yang amat suka menyakat orang. Elok Kak Nor sedang rukuk,

"Eh, ada pengawas meronda la," kata Kak Na.

Kak Nor yang sedang rukuk terus mendongakkan kepala sambil berkata,

"Yeke?" sambil terus menyorokkan diri. Port standard untuk menyorok adalah  sama ada di dalam loker ataupun di bawah katil.

Apa lagi, kami yang berada di situ ketawa berdekah-dekah kerana ia hanya gurauan daripada Kak Na semata. Walaupun kedengaran agak melampau tetapi ia tetap mencuit hati saya apabila teringat insiden itu. Ya, ia sangat manis apabila dikenang.

Begitu juga semasa kami telah selesai menduduki PMR, kami cuba mengelakkan diri untuk mengikuti waktu prep. Sepakat mendiamkan diri apabila pengawas membuat rondaan, kami nekad menyorokkan diri di bawah katil. Nasib kami tidak begitu baik apabila warden yang membuat rondaan pada kali ini. Kami syak ada 'mulut-mulut busuk' yang menyampaikan rancangan nakal kami ini kepada beliau kerana pada sebelah petangnya kami duduk melepak berbual-bual untuk mengisi masa lapang dan rancangan untuk mengelakkan diri pada waktu prep ada disebut. Akibatnya, kami didenda untuk berjalan itik di kawasan lapang yang terletak bersebelahan dewan makan iaitu lokasi prep untuk pelajar perempuan. Mujurlah suasana agak kelam membuatkan wajah kami tidak berapa kelihatan oleh mereka.

Nakal juga saya ini semasa di alam persekolahan tetapi ia masih dalam batasan yang saya fahami baik dan buruknya. Denda dan hukuman yang diterima dahulunya pahit namun kini manis apabila dikenang kerana ia membentuk sebahagian diri saya pada hari ini.

Wednesday, April 13, 2011

GPS

Bismillahirrahmanirrahim...

Sepanjang mengembara hampir ke seluruh semenanjung Malaysia, saya lebih gemar berpandukan kepada peta manual sahaja atau papan tanda yang terpampang di tepi jalan. Selebihnya berpandukan kepada logik juga. Namun risikonya adalah banyak masa perlu diperuntukkan kerana akan terbazir dalam tempoh trial and error tersebut. Lagi satu tabiat saya adalah, saya suka kepada proses trial and error kerana lebih mencabar rasanya. Setakat ini buku peta mengandungi jalan-jalan di seluruh Semenanjung Malaysia tidak pernah mengecewakan saya dengan syarat ia adalah versi terkini. Pengalaman di Singapura baru-baru ini telah mengubah pendirian saya. GPS perlu dibeli untuk kembara akan datang untuk menjimatkan masa dan tenaga. Tambahan pula saya akan pergi bersama ahli keluarga yang lain termasuk abah dan ummi. Faktor masa amat penting agar masa yang akan dihabiskan bersama menjadi berbaloi.

Akhirnya, semalam saya beli 2 unit GPS selepas sekian lama cuba untuk mengelak menggunakannya. Ya, saya beli 2 unit kerana 1 unit lagi ingin dihadiahkan kepada abah saya. Baru-baru ini abah telah berkunjung ke teratak saya dan mengeluh keliru dengan jalan-jalan di sini. Saya hanya tersenyum sahaja. Ia normal bagi orang yang tidak tinggal di sini untuk merasa begitu. Lalu saya berniat untuk menghadiahkannya kepada abah untuk memudahkan kunjungan abah ke sini lagi. Selalunya saya akan menjemput abah dan ummi di tepi jalan selepas Tol Gombak dan mengiringi mereka ke teratak saya. Di samping itu, kalau saya keluar untuk bekerja pula, mereka boleh keluar untuk berjalan-jalan tanpa rasa risau akan sesat dengan bantuan GPS. 

Cadangnya GPS ini akan saya gunakan dalam kembara kami pada masa akan datang. Dalam masa terdekat ini, kembara ke Pulau Langkawi dan kemudiannya ke Kuching, Sarawak. Pada awalnya, saya cuba mendapatkan harga pakej daripada agensi pelancongan untuk menguruskan kemudahan kami sewaktu di sana tetapi apabila saya buat perbandingan kadar dengan menguruskannya sendiri, perbezaannya terlalu jauh dan saya syorkan kepada ahli keluarga agar tidak menggunakan kemudahan pakej. Logiknya, pakej diambil kerana memikirkan kita tidak tahu dengan lokasi tempat yang ingin dikunjungi. Justeru, pergerakan kita akan dibantu oleh orang yang lebih arif dengan kawasan di situ. Apabila memikirkan perbezaan harga yang sangat ketara, kami memutuskan untuk memandu sendiri kenderaan ke tempat-tempat yang akan dilawati. Untuk mengelakkan masa terbuang, saya putuskan untuk membeli GPS supaya dapat membantu perjalanan kami kelak.

Saya sebenarnya memang dari dulu tidak berapa gemar dengan penglibatan pihak ketiga dalam urusan perjalanan kecuali jika ia melibatkan jumlah yang ramai. Contohnya seperti kunjungan kami ke Medan, Indonesia pada tahun lepas. Memandangkan kami seramai 19 orang akan ke sana, adalah lebih mudah jika dibantu oleh orang tempatan sendiri. Itu pun saya usahakan juga untuk mendapatkan kadar yang berpatutan daripada agen di sana dan bukannya daripada sini.

Namun bagi kembara yang melibatkan jumlah yang kecil, saya lebih gemar menguruskannya sendiri kerana bebas membuat pilihan penginapan dan menyusunatur pergerakan ke tempat yang ingin dilawati. Yang penting, usaha mendapatkan maklumat secukupnya perlu dibuat dan peralatan yang dapat membantu perjalanan dibawa bersama. Tidak sabar rasanya menggunakan GPS yang baru dibeli sehinggakan ke tempat kerja pun menggunakan GPS. Bukan apa, saya perlu membiasakan diri dengan penggunaannya supaya masalah lain pula tidak timbul semasa kembara nanti iaitu masalah tidak tahu menggunakan GPS dan bukannya kerana tersesat jalan.

Untuk membeli GPS ini pun, pencarian saya memakan masa hampir sebulan lebih melalui pertanyaan dengan kawan-kawan dan juga dengan melayari laman web. Jika ada masa terluang pada hujung minggu pula, saya akan ke kedai-kedai yang menjual GPS untuk mendapatkan kadar harga dan juga spesifikasi yang baik. Saya mungkin agak cerewet sebelum membeli sesuatu barangan atau mengambil sesuatu tindakan tetapi saya merasa perlu untuk berbuat demikian sehingga saya berpuas hati agar apabila berlaku silap di mana-mana kelak, saya tidak menyesal kerana telah melakukan yang terbaik. Selebihnya, mungkin bahagian saya setakat itu sahaja.

Kadang-kadang banyak perkara dalam kehidupan ini yang cuba dielakkan atas sebab-sebab yang kita sendiri faham tetapi kerana keadaan memerlukannya, kita perlu berubah agar tidak terus tinggal dalam tempurung sendiri.

Tuesday, April 12, 2011

Membeli-Belah Alaf Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

Kosmo ~ 11 April 2011

Artikel tersebut saya baca dalam akhbar Kosmo semalam. Saya tersenyum semasa membacanya kerana saya mungkin (atau pasti) salah seorang penyumbang kepada statistik tersebut. Ya, saya kerap membeli barangan secara online terutama barangan eletronik. Ada beberapa faktor yang saya rasa menyebabkan ramai pengguna hari ini (termasuk saya) memilih trend membeli-belah secara online.

  1. Jimat. Katakan saya ingin membeli barangan IT seperti cartridge printer dan yang seangkatan dengannya. Jika dulu, saya pasti akan menaiki bas Intrakota (sekarang RapidKL) ke KL atau menaiki LRT Putra dan kemudian menaiki monorel dan turun di stesen Bukit Bintang untuk ke Plaza Low Yat. Di sana pula, terpaksa membuat pilihan yang pelbagai sehingga rambang mata dibuatnya. Itu belum lagi dikira urusan tawar-menawar yang kadangkala boleh menaikkan suhu darah terutama apabila diperlekeh oleh si peniaga. Sudahlah suhu darah naik kerana ingin mendapatkan harga terbaik, kaki pula lenguh kerana terpaksa keluar-masuk hampir setiap kedai yang ada di situ. Sudahnya harga yang ditawarkan hampir lebih kurang sama saja. Saya syak mesti mereka (peniaga) telah sepakat untuk memberikan kadar harga tertentu pada barangan yang sama. Kini, banyak peniaga yang menawarkan barangan mereka secara online dan kadar harga yang diberikan juga berpatutan malah kadang-kadang jauh lebih murah. Saya juga tidak perlu 'bertekak' dengan peniaga untuk tawar-menawar dan boleh meneruskan pencarian tanpa ada rasa bersalah. Pendek kata, banyak urusan pembelian barangan lebih kerap saya lakukan secara online sahaja kerana ia menjimatkan wang, tenaga dan masa saya. Rasanya kalau ada perkhidmatan pembelian barangan dapur secara online, mungkin saya antara pelanggan pertama yang akan menggunakannya. Haha.
  2. Banyak Pilihan. Saya punya banyak pilihan untuk mencari barangan yang saya inginkan. Kini semakin banyak peniaga yang membuka kedai maya kerana tahu ramai pelanggan kini gemar dengan trend baru ini. Saya bebas mencari selama mana dan pelbagai kedai yang saya inginkan. Saya boleh membuat perbandingan harga dan mendapatkan harga yang saya rasakan berpatutan. Cuma kadang-kala ada juga insiden apabila barangan yang telah dibeli ditemui dengan harga yang lebih rendah di kedai maya lain. Pada saya, itu situasi normal kerana kita juga berdepan keadaan yang sama apabila berurusniaga di luar. Seringkali kita akan berjumpa barangan yang telah dibeli di kedai lain dengan harga yang lebih murah. Bila itu berlaku, saya katakan bahawa itu memang rezeki peniaga tersebut dan saya pula memang telah ditakdirkan untuk membeli daripada dia. Konsepnya, pasrah.
  3. Mudah. Sebelum ini, saya pernah menempah produk kesihatan untuk kegunaan abah dan ummi saya. Saya hanya perlu nyatakan produk yang ingin dibeli, kuantiti dan alamat penghantarannya. Selepas bayaran dibuat, abah dan ummi saya terima produk tersebut dalam masa 2-3 hari tanpa saya perlu pergi ke kedai membelinya dan pulang ke kampung menghantarnya. Saya hanya perlu bayar kos pos dan barangan dihantar bagi pihak saya kepada abah dan ummi. Mudah bukan?
Namun, dalam keseronokan membeli dengan kaedah baru ini, ada beberapa keburukan yang dapat saya kesan sepanjang menggunakannya.
  1. Saya menjadi kurang berkira dengan wang yang saya keluarkan kerana transaksi berlaku secara maya dan saya tidak melihat pergerakan keluar-masuk wang daripada dompet secara fizikal. Yang nampak hanya pertukaran nombor atau pengurangan jumlah daripada akaun. Lebih parah apabila seringkali apabila perasaan ingin mendapatkan barangan tersebut membuak-buak sehingga tidur malam tidak lena, transaksi akan dibuat dengan menggunakan kad kredit terlebih dahulu dengan anggapan bayaran akan dibuat apabila gaji masuk.
  2. Alhamdulillah, sepanjang menggunakan kaedah ini, saya belum pernah tertipu oleh peniaga umpamanya tidak menerima barangan yang dipesan dan bayaran telah dijelaskan. Cuma yang menjadi kerisauan adalah apabila barangan yang diterima tidak sama dengan gambaran yang dilihat dalam kedai maya. Itu cabaran utama yang perlu dihadapi oleh pembeli iaitu sama ada barangan yang diterima menepati kehendak dan kualiti yang diingini atau mudahnya, barangan yang diterima berbaloi dengan bayaran yang telah dijelaskan.
  3. Oleh kerana kita tidak pernah bersua muka dengan peniaga, seringkali kita akan menghadapi kesukaran apabila barangan yang diterima mempunyai masalah. Kita mungkin berdepan dengan peniaga yang menganggap pelanggan sebagai 'pakai buang'. Mereka akan mendiamkan diri apabila pelanggan menyuarakan masalah barangan yang telah dibeli. Mujurlah saya sendiri tidak berdepan dengan situasi begini. Namun saya yakin di luar sana pasti ada pembeli yang pernah berhadapan dengan peniaga yang sebegitu.
  4. Sebagai pembeli, adalah normal memiliki perasaan membuak-buak untuk terus memiliki/memegang barangan yang dibeli tetapi memandangkan penghantaran barangan yang ditempah secara online kebanyakannya dibuat melalui pos, pembeli terpaksa menahan kesabaran untuk menerima barangan tersebut. Selalunya barangan hanya diterima dalam tempoh 2-3 hari selepas pembelian dibuat. Saya katakan kebanyakan kerana ada juga peniaga yang menawarkan khidmat penghantaran ke lokasi pembeli tetapi pembeli terpaksa menanggung kos penghantaran tersebut pula.
Dah jadi macam kajian pula, hehe. Apapun, membeli secara online memang menjadi sebahagian gaya hidup terkini masyarakat terutama yang tinggal di bandar dan saya adalah salah seorang daripadanya :D

Saturday, April 9, 2011

Reunion @ Pertemuan Semula

Bismillahirrahmanirrahim...

Mata saya sebenarnya terasa sangat mengantuk tetapi tangan pula terasa tidak sabar untuk mencoretkan keseronokan yang baru sahaja dilalui tadi. Rakan kami, (Dr) Wan Fariza, telah mewarwarkan tentang butiran pertemuan dalam laman yang dibangunkan dalam Facebook. Jam 8 malam di Teh Tarik Place, The Curve. Seronok dapat bertemu semula dengan insan-insan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan kehidupan ini. Insan-insan yang pernah sama-sama melalui fasa-fasa proses menjadi dewasa dan matang. Alhamdulillah, ini merupakan pertemuan kali kedua antara kami. Kehadiran semakin bertambah dan perancangan kami juga semakin jelas malah tarikh turut dimuktamadkan iaitu pada 9 Julai 2011. Kini setiap wakil kelas yang telah dilantik perlu memulakan gerakan untuk menjejak semula rakan sekelas masing-masing. Ya, kami merancang untuk mengadakan reunion pada tarikh tersebut. Ini merupakan program kali pertama yang dianjurkan oleh batch kami sejak kami meninggalkan MRSM Muar pada tahun 1996. Program ini diharapkan akan menjadi batu asas kepada kesinambungan silaturrahim antara kami kelak. Semoga dengan persepakatan yang telah dicapai akan memudahkan lagi pelaksanaan program pada masa akan datang.

Thursday, April 7, 2011

Penamat

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah agak lama saya mengikuti tulisan Prof Kamil di blognya dengan tag ‘Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan’ namun saya tidak pernah berasa untuk menzahirkannya melalui blog saya. Sejujurnya saya mengagumi perubahan yang telah dilalui dalam kehidupan beliau. Beliau tidak malu mengakui dulu beliau jahil tapi kini beliau jauh lebih arif dari mereka yang merasa diri lebih mengetahui. Perubahan kehidupan beliau adalah 360 darjah. Bagi sesiapa yang pernah membaca kisah hidup beliau melalui bukunya, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, pasti akan memahami apa yang saya katakan tentang beliau.

Ringkasnya, sedari muda Prof Kamil tidak pernah menunaikan solat sehingga beliau dibukakan pintu hati untuk menunaikan fardhu haji bersama isteri. Namun beliau mempunyai seorang isteri, Puan Roza, yang begitu sabar mendoakan agar suaminya dibukakan hati untuk kembali kepada jalan-Nya. Selama 10 tahun Puan Roza bangun solat malam berdoa memohon kepadaNya tanpa jemu. Meskipun tidak menunaikan solat, Prof Kamil meraikan malah tidak menghalang isteri dan anak-anaknya untuk berbuat demikian. Pengalaman sewaktu menunaikan haji telah mengubah Prof Kamil kembali kepada fitrah.

Sekembali dari menunaikan fardhu haji, Prof Kamil meninggalkan terus kegemarannya bermain golf sehingga kadangkala melampaui waktu solat dan melibatkan unsur perjudian. Beliau istiqamah menunaikan solat 5 waktu secara berjemaah di masjid dan turut aktif menyampaikan ceramah di mana sahaja beliau berkelana atau dijemput oleh pihak-pihak tertentu.

Penceritaan ini tidak cukup untuk menggambarkan perubahan total yang telah dilalui oleh beliau. Ia satu perubahan yang memerlukan kekentalan jiwa dan istiqamah yang berterusan. Sebentar tadi saya terpanggil menjenguk laman blog beliau yang sememangnya saban hari menjadi antara blog yang wajib saya lawati. Beliau berkongsi kegembiraan menerima tawaran untuk berhijrah ke Madinah semata-mata kerana ingin berada dekat dengan Makam Rasulullah dan  agar dapat kerap menunaikan umrah bersama keluarga. Ia satu pengorbanan yang cukup besar. Beliau tidak hanya bercakap kosong. Sebelum ini saya pernah membaca hasrat beliau untuk berhijrah ke sana namun tidak menyangka ia secepat itu. Sesungguhnya Allah telah mempermudahkan cita-cita beliau untuk menetap di sana dan disemadikan di sana juga bersama kubur-kubur para syuhada’. Sayu pula rasa hati walaupun saya dan beliau tidak pernah mengenali secara individu antara satu sama lain. Namun saban hari mengikuti perkembangan beliau yang penuh keikhlasan berkongsi rasa membuatkan saya terasa seolah-olah mengenalinya.

Benarlah, semakin kita ingin mendekatiNya, Allah akan semakin mendekati kita malah Allah sememangnya terlalu dekat dengan kita. Lebih dekat dari urat halkum. Mengenali Prof Kamil membuatkan saya merenung jauh erti kehidupan ini. Yang didambakan oleh setiap manusia adalah penamatnya, sama ada pengakhiran yang baik (husnul khotimah) atau pengakhiran yang buruk (suul khotimah), nauzubillah. Jangan mudah menjatuhkan hukuman kepada manusia yang berbuat kesilapan kerana setidak-tidaknya mereka masih berpeluang untuk bertaubat sebelum kembali kepadaNya berbanding kita yang sering merasa diri cukup baik lantas alpa dari mengingatiNya. Bagaimanakah penamat kita kelak?

Wednesday, April 6, 2011

Sarapan

Bismillahirrahmanirrahim...

Terkini, saya amat gemar melayari laman blog Kevin Zahri, instruktor kesihatan yang sememangnya terkenal di Malaysia. Baru-baru ini pula artikel beliau mengenai kepentingan bersarapan disiarkan dalam suratkhabar New Strait Times. Dengan gaya penerangan yang mudah difahami dan kandungan serta faktanya yang menarik, saya kongsikan artikel tersebut untuk manfaat bersama.

Kevin Zahri

NST INTERVIEW: YOUR TICKET TO GOOD HEALTH WITH KEVIN ZAHRI

Following article was featured in the New Strait Times on the 29th March 2011. Written by Zuhaila Sedek.

ZUHAILA SEDEK learns how having a regular and healthy breakfast can help one stay slim. It is 8am and you realise that you will be late to work. The late night outing you had yesterday seems to be taking its toll on you. You rush into the bathroom and out again, grab the nearest dress in your closet and rush off to the office.

You missed something important, though — breakfast.

Did you know that numerous research studies have shown that people who skip breakfast regularly are more likely to develop heart disease, prone to flu and suffer premature death prone. They tend to be obese and are less likely to look after their health in the long run.

As scary as it may sound, skipping breakfast, like what model and actress Liz Hurley is doing, appears to get you nowhere.

Nutritionist and fitness instructor Kevin Zahri says your breakfast determines the quality of your day — whether it is productive or otherwise.

“Breakfast kickstarts your day and it is important to have enough energy to start the day. People who skip their breakfast usually feel sleepy, hungry and lethargic,” he said.

We have brunches too. . But all these are more or less the same.

Kevin says that the longer one waits to have breakfast, the slower his or her metabolism will be.

“With slow metabolism, the conserved energy takes longer to be burnt. When the body takes a longer time to burn energy, it is easier to gain weight,” said Kevin.

Taking regular breakfasts helps you stay slim too, provided you’re not eating something like nasi beriyani.

“Breakfast can help control your appetite. It stabilises blood and sugar levels. This regulates your hunger and energy levels” Kevin explains.

Breakfast can help control your appetite. It stabilises blood and sugar levels. This regulates your hunger and energy levels …

When you miss your breakfast, you tend to eat more during lunch. When you eat too much for lunch, you will feel lethargic and sleepy again.

When you miss your breakfast, you tend to eat more during lunch. When you eat too much for lunch, you will feel lethargic and sleepy again,” he adds.

There is no specific time for a person to have their breakfast but on average, the majority of people have breakfast between 6.30am and 10am.

Breakfasts provide one-third of the daily calories needed for a person. It must be balanced with three main components — carbohydrates, proteins and minerals.

Kevin suggests a general baseline for the intake of these three nutrients: 50 per cent of carbohydrate, 35 per cent of protein and 15 per cent of mineral.

“But it is difficult to give the exact percentage of each nutrient needed because every individual is different,” said Kevin.

He mentions that the determinants for the amount of every nutrient taken depend on a person’s sex, age, height, weight and activities.

“The more active you are, the more calories you need. The taller you are, the more energy you will need. The calorie intake of a cyclist to an office worker, of course, differs.”