Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, March 5, 2011

Pendakian Kali Kedua – Bukit Broga

Bismillahirrahmanirrahim...

Kata orang, pasti ada kali pertama untuk setiap perkara. Bulan lepas saya dan adik-adik menaiki Bukit Broga buat kali pertama. Nampaknya ada kali kedua buat saya. Pagi ini saya menaikinya sekali lagi bersama Juhaida (saya panggil Aju) dan suaminya, Azwan. Aju merupakan rakan sekelas saya sewaktu menuntut di MRSM Muar. Kami duduk bersebelahan di dalam kelas dan meja kami berada di barisan paling hadapan.

Kali ini saya bertolak lebih awal daripada rumah dan kami bertemu di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih. Usai solat subuh, kami terus menuju ke kaki Bukit Broga. Cuaca masih gelap. Mujur saya membawa lampu suluh untuk menerangi perjalanan. Kelihatan ramai pengunjung yang mempunyai hasrat yang sama seperti kami malah jumlahnya lebih ramai berbanding kunjungan sebelum ini.


Kami Sudah Tiba Di Puncak

Saya dan Aju

Seperti biasa, manusia berduyun-duyun mendaki

Buah Senduduk - dulu masa kecil, buah ini kami jadikan peluru untuk senapang kayu @ lastik yang kami buat sendiri

Macam Semut

Sarapan - Cucur Udang Pekan Semenyih

Pendakian kali kedua lebih mudah dan lancar buat saya berbanding kali pertama mendakinya. Malah Aju dan Azwan juga tidak mempunyai masalah untuk mendakinya walaupun ini merupakan pendakian kali pertama buat mereka berdua.

Teringat saya kepada pesanan orang-orang tua iaitu perjalanan kali pertama selalunya akan terasa lambat kerana kita ditegur dan dilambai oleh pepohon yang masih belum mengenali kita. Namun perjalanan pulang dan perjalanan seterusnya akan terasa cepat kerana pepohon sudah mengenali kita. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran kata-kata ini namun memang jika difikir-fikirkan ia sebenarnya berkait dengan mental kita. Perkara yang belum pernah kita lalui atau berbuat, sememangnya terasa sukar kerana kita masih belum arif dengan keadaan atau situasi tersebut. Sebaliknya apabila kita telah faham dan terbiasa dengan keadaan itu, ia akan menjadi lebih mudah. Ibarat kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Pendakian ini seolah-olah satu terapi buat saya sendiri yang masih berdepan dengan perubahan tugas di tempat baru. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari untuk membolehkan saya menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Sepanjang perjalanan juga saya banyak berfikir kaitan antara pendakian kali kedua ini dengan kehidupan. Sememangnya sukar untuk melakukan sesuatu perkara buat kali pertama. Namun dengan iltizam yang kuat, percubaan kali kedua dan seterusnya akan menjadi lebih mudah. Kita sudah belajar daripada kesilapan sepanjang perjalanan kali pertama dan kita akan seboleh mungkin cuba untuk mengelakkannya. Yang penting, jangan sekali-kali berputus asa di tengah perjalanan. Alhamdulillah, kami selamat tiba di puncak walaupun beberapa kali berhenti rehat sepanjang perjalanan. Pada saya, ia bukan soal cepat atau lambat tetapi lebih kepada sama ada matlamat yang dituju berjaya dicapai atau tidak. Setiap orang punya keupayaan tersendiri. Justeru, cepat atau lambat adalah bergantung kepada keupayaan masing-masing namun yang lebih penting adalah penghujungnya. Seronokkah berada di puncak kejayaan seorang diri? Biarlah lambat sedikit, asalkan kita tidak meninggalkan rakan-rakan seperjuangan dan bersama-sama mengecap kejayaan. Ia lebih manis.

No comments: