Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, March 17, 2011

Ia Bukan Soal Wang

Bismillahirrahmanirrahim...



Malam tadi saya iklankan 2 barangan yang tidak saya perlukan lagi iaitu meja komputer dan rak buku di laman Mudah.my. Meja komputer itu sudah berusia hampir 9 tahun. Saya belinya daripada seorang sahabat sewaktu saya masih menuntut di UIA. Namun keadaannya masih baik, cuma ada kesan kotoran dan karat yang boleh dibersihkan. Sebelum ini meja tersebut berada di rumah di kampung saya tetapi saya minta adik perempuan saya, MakTeh membawanya ke sini untuk ditempatkan di teratak baru.

Rak buku pasang siap pula saya beli pada akhir tahun lalu di Giant Seri Kembangan pada harga RM99. Saya pasang sendiri rak tersebut yang memakan masa hampir 1 jam. Dengan bantuan adik-adik, saya berusaha keras meletakkannya pada dinding tetapi ia tidak sesuai digantung kerana diperbuat daripada habuk kayu yang dipadatkan. Ia tidak mampu menanggung beban buku yang menimbun. Lalu saya putuskan untuk mencari perabot lain yang lebih sesuai dengan saiz bilik ketiga yang agak sempit dan yang paling penting, rak yang mampu menampung beban buku-buku dan dokumen milik saya. Akhirnya, saya beli sebuah rak yang sesuai, cantuman rak buku dan meja belajar. Saya ambil keputusan untuk menjual rak buku pada harga RM40 dan meja komputer pada harga RM20.

Kurang sejam selepas iklan dipaparkan, saya menerima sms daripada pembeli yang berminat untuk membeli meja komputer. Tanpa banyak soal, saya terus menerima permintaan beliau dan kami berjanji untuk bertemu pada malam ini. Hari ini pula saya terima lebih 20 panggilan dan sms bertanyakan mengenai iklan tersebut tetapi semuanya terpaksa saya tolak dengan baik. Nampaknya saya perlu memadamkan iklan tersebut dengan segera. Untuk rak pula, pembeli akan datang pada minggu hadapan kerana saya akan pulang ke kampung pada malam esok.

Sebentar tadi, kami bertemu di tempat dan masa yang dijanjikan. Pembeli datang bersama isteri dan 2 orang anak mereka.

“Boleh kurang lagi tak?” tanya beliau dalam nada bergurau.

Saya hanya tersenyum sambil menyambut duit sebanyak RM20 yang dihulur.

“Tak apalah, bagi saya RM10 saja. Bakinya saya sedekahkan pada anak-anak,” ujar saya sambil menghulurkan not RM10 kepada beliau.

Nyata beliau terkejut dengan tindakan saya tetapi ia satu kepuasan kepada saya. Ia bukan soal wang. Ia lebih kepada rasa seronok melihat orang lain gembira. Saya bukan berniat ingin membangga diri atau riak (nauzubillahiminzalik) tetapi sekadar berkongsi rasa gembira berbuat kebajikan. JanjiNya sangat benar.

No comments: