Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, March 2, 2011

Gelaran

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya bukan merujuk kepada mana-mana gelaran pangkat atau anugerah yang diterima oleh seseorang atas kurniaan Sultan atau Raja, sebaliknya gelaran yang digunakan oleh kita semua di kalangan ahli keluarga. Saya fikir sedikit sebanyak ia memainkan peranan penting dalam sesebuah keluarga. Gelaran menzahirkan rasa hormat yang terkadang tidak terucap melalui lidah atau perbuatan. Umpamanya, gelaran kepada ibu bapa seperti abah, ummi, abi, walid, mama, papa, mummy, daddy dan pelbagai lagi gelaran yang diberikan adalah lambang atau manifestasi rasa hormat kita terhadap insan yang telah memainkan peranan yang paling penting terhadap kehidupan kita. Namun, apabila diamati, gelaran itu berubah-ubah apabila usia semakin meningkat dan masa semakin beranjak. Abah dan Ummi kemudiannya akan menjadi To’ki dan To’Wan.

Semasa kecil, kami menggunakan panggilan ‘kau’ dan ‘aku’ sahaja dalam pergaulan harian. Panggilan itu hanya berubah kepada gelaran tertentu apabila kami semakin meningkat remaja dan kami dapati panggilan itu kedengaran agak kasar. Saya masih ingat, orang yang memulakan penguatkuasaan gelaran di kalangan adik-beradik kami adalah abang sulung iaitu Karma Amin, yang kini kami panggil BaMa (ringkasan Abang Ma, bahasa SMS, sekarang semua nak ringkas kan). Mungkin kerana dia semakin dewasa dan panggilan ‘kau’, ‘aku’ terhadapnya di hadapan rakan-rakan kedengaran tidak manis, kami adik-adik dipaksa memanggilnya dengan gelaran ‘Abang’ sebelum namanya. Jika kami tidak menggunakan gelaran itu apabila memanggilnya, dia tidak akan menyahut panggilan kami. Dalam keterpaksaan, kami akur dengan peraturan baru yang ditetapkan dan Alhamdulillah ia kekal sehingga sekarang.

Begitu juga dengan gelaran kepada abang kedua, Karman Amin menjadi BaAn (ringkasan Abang An), abang ketiga, Md Hanafiah Amin menjadi BaHa (ringkasan Abang Ha).

Sebagai anak perempuan sulung pula, saya dipanggil Kak Imah (walaupun saya sering mendengar dipanggil Kek Mah huhu). Seterusnya, adik perempuan saya, Kasyidah Aminah dipanggil Kak Idah dan adik perempuan bongsu (atau busuk? hihi) dipanggil Kak Ya.

Akhir sekali, adik lelaki pertama, Kamarul Amin, dipanggil BaYu (ringkasan Abang Yu) dan adik lelaki bongsu, Shahrul Amin dipanggil Adik atau Adik Chah.

Saya tidak pasti dengan keluarga lain tetapi bagi kami, di samping gelaran rasmi, kami turut mempunyai gelaran tidak rasmi yang muncul atas kriteria-kriteria unik yang kami miliki. Selalunya abah atau adik-beradik sendiri yang memulakannya sebagai modal untuk kutuk-mengutuk di antara satu sama lain apabila bergaduh.

Contohnya, BaAn dipanggil kerang busuk kerana suka tersengih tanpa sebab dalam banyak keadaan dan BaHa dipanggil Hamid Gurkha kerana namanya Hanafiah Amin yang menghampiri sebutan Hamid. Saya pula digelar ‘sotong kering’ kerana badan yang kurus kering (suatu masa dahulu huhu) di samping satu kriteria tambahan yang tidak manis dinyatakan di sini (kepada adik beradikku, sila jangan jadi nasi tambah ye, AURAT tu). Ia muncul secara tiba-tiba semasa bermain/bergaduh dan terus melekat sehingga kini malah digunakan dalam sesi kutuk mengutuk versi dewasa pula.

Kami gelarkan keluarga kecil ini sebagai The Bakarians sempena menghormati nama abah, Abdullah @ Abu Bakar.

Masa berubah. Apabila ada yang telah mendirikan rumahtangga, gelaran kepada ahli keluarga juga turut berubah. Abah menjadi To’Ki (Atuk Lelaki), Ummi menjadi To’Wan (Atuk Perempuan), BaMa menjadi AyahLong, BaAn menjadi AyahNgah, BaHa menjadi AyahDe, Kak Imah menjadi MakLong, Kak Idah menjadi MakNgah, Kak Ya menjadi MakTeh, BaYu menjadi AyahChik dan Adik menjadi PakSoo.

Apa jua gelaran yang diberi, ia satu anugerah yang amat mahal dan cukup berharga kerana tidak semua orang berpeluang memilikinya.

No comments: