Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, March 4, 2011

Dari Jalan Semarak Ke Menara Kuala Lumpur

Bismillahirrahmanirrahim...

Itu bukan tajuk novel mahupun filem, seperti ‘Dari Jemapoh Ke Manchester’. Sebaliknya ia adalah kisah perjalanan singkat saya dan keluarga pada 1 Mac 2011 yang lalu. Saya mengambil cuti rehat pada hari tersebut untuk misi menghantar PakSoo melapor diri di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak. Kami bertolak dari rumah saya seawal jam 8.00 pagi dan tiba di PULAPOL lewat jam 9.00 pagi. Seperti dijangka, jalan agak padat dengan kenderaan yang bertali arus pada waktu puncak menuju destinasi masing-masing. Malah sewaktu kami tiba di PULAPOL, kawasan pagarnya sudah dipenuhi oleh deretan kenderaan mereka yang akan turut melaporkan diri bersama PakSoo. Segak berseluar panjang hitam, berkemeja putih lengkap bertali leher dan berkasut hitam. Itu seragam yang dipakai oleh PakSoo. Kami diminta untuk meletakkan kenderaan di tempat yang dikhaskan sahaja dan tidak dibenarkan memasuki sehingga ke kawasan asrama. Malah kami melambai PakSoo di situ sahaja dan kelihatan sedikit kekecewaan pada wajah abah dan ummi kerana tidak berpeluang menjenguk kediaman yang bakal didiami oleh PakSoo bagi tempoh 6 bulan mendatang. PakSoo sudah dewasa dan itu hakikat yang harus diterima. Dunia baru sedang menanti PakSoo. Dunia yang sekian lama diimpikan oleh PakSoo walaupun pada awalnya mendapat sedikit tentangan daripada abah dan ummi. Namun PakSoo nekad. Cintanya pada dunia kepolisan. Demi kasih seorang ibu, ummi menentang hasrat PakSoo menjadi polis tetapi akhirnya demi sayang seorang ibu jua, ummi merelakan PakSoo meneruskan cita-citanya. Semoga PakSoo menggapai kegemilangan dalam bidang yang dicintainya.


Selamat jalan PakSoo, selamat menempuh alam baru!
Kami tidak lama di situ, tidak sampai setengah jam pun. Usai sesi peluk cium, kami beredar mencari tempat untuk mengisi perut. Sudah pasti saya akan menuju ke salah satu gerai makan yang pernah kami kunjungi semasa tinggal di Keramat sebelum ini. Sasaran kali ini adalah gerai makan di AU2 yang terletak tidak jauh dari Pusat Kesihatan Keramat AU2. Saya pernah beberapa kali ke gerai tersebut kerana pilihan makanan yang pelbagai dan layanan yang pantas. Di samping kemesraan tuan punya gerai yang ringan mulut melayan kerenah para pelanggan. Bagi saya, itu antara kriteria utama apabila saya memilih untuk makan di sesebuah tempat. Saya mudah rasa tersinggung jika mendapat layanan yang kurang wajar apabila berkunjung ke sesebuah tempat makan. Selalunya tempoh 5 minit pertama adalah masa untuk saya menilai sama ada saya akan berkunjung semula ke tempat makan tersebut atau tidak. Jika ketibaan saya terasa seolah-olah tidak dipedulikan dan pelayan pula acuh tak acuh mengambil pesanan, ia merupakan kunjungan saya yang pertama dan terakhir ke situ. Bukan ingin berlagak atau besar kepala tetapi saya merasakan sebagai pelanggan yang mengeluarkan wang untuk sesebuah perkhidmatan atau produk, saya layak mendapat layanan setimpal dengan bayaran yang dibelanjakan.

Usai brunch (breakfast + lunch), saya berkira-kira untuk membawa abah dan ummi ke Pameran Kraftangan yang sedang berlangsung di Kompleks Kraf tetapi dalam perjalanan, saya menukar fikiran untuk membawa mereka ke Menara KL. Ia berpunca daripada perbualan saya bersama ummi sebelum itu.

Mi, penoh naik ke dok lagi Menara KL (Mi, dah pernah naik Menara KL ke belum)?” tanya saya dalam bahasa Terengganu standard kepada ummi.

Penoh la sapa situ tapi dok naik sebab tutup doh. Dok dang la nok naik (Pernah la sampai situ tapi tak naik sebab dah tutup. Tak sempat nak naik),” ujar ummi saya dalam bahasa Terengganu rasmi.

Seingat saya kejadian yang disebutkan oleh ummi adalah sewaktu mengikuti rombongan ke KL yang dianjurkan oleh sekolah tempat abah mengajar beberapa tahun yang lalu. Lalu saya putuskan untuk membawa mereka ke situ. Malah ini juga merupakan pengalaman pertama saya menjejakkan kaki ke situ. Saya pernah ke kawasan Menara KL tetapi hanya sekadar berjogging di Hutan Simpan Bukit Nanas sahaja.

Nun sayup di atas sana
Dengan kadar tiket sebanyak RM38.00 seorang dan RM28.00 seorang untuk warga emas atau kanak-kanak, kami menaiki lif yang disediakan untuk menuju ke dek pemandangan. Ia memakan masa selama 58 saat sahaja untuk berada di paras hampir 300 kaki daripada kaki menara. Sangka kami tidak ramai pengunjung ke situ memandangkan ia adalah hari bekerja, tetapi nyata ia dipenuhi pula oleh para pelancong asing. Hanya kami warga tempatan yang berada di kalangan mereka pada waktu itu. Perbezaan tekanan memang dapat dirasai dengan kesan berdengung dalam telinga apabila berada pada ketinggian tersebut. Puas kami meneropong dan mendengar penerangan tentang kawasan di sekitar KL melalui alat audio visual yang dibekalkan.
Sila simpan tiket sehingga akhir lawatan

Mari meneropong

Hutan Batu

High Chapparal

Yang dalam sangkar tu Iguana, yang kat luar tu saya
Hampir setengah jam berada di puncak, kami turun ke bawah untuk meneruskan sesi lawatan. Dengan kadar tiket tersebut, kami boleh melihat pameran kereta F1 yang dipamerkan di situ dan diberi peluang untuk merasai pengalaman berada di dalamnya. Saya cuba juga untuk memandu kereta tersebut secara simulasi tetapi jarak antara pedal dan tempat duduk yang agak jauh, membataskan keseronokan untuk memandu. Saya tinggalkan pemanduan di separuh perlumbaan. Seterusnya, kami bergambar di atas kuda yang disediakan di situ. Kami sepatutnya boleh menaiki kereta kuda tetapi ia hanya beroperasi selepas jam 2 petang sahaja. Selesai berposing bersama kuda, kami masuk ke destinasi terakhir iaitu taman haiwan atau mini zoo. Nama pun mini zoo, sudah pastilah kawasan pun hanya sekangkang kera sahaja. Paling banyak haiwan yang dipamerkan adalah spesies binatang berbisa seperti ular dan labah-labah. Selebihnya burung-burung, tikus dan kura-kura. Seronok juga apabila sekali sekala melihat gelagat haiwan yang biasanya hanya kita lihat di kaca televisyen. Saya mula terfikir untuk ronda-ronda Zoo Negara pula selepas ini. Kali terakhir saya ke Zoo Negara adalah kira-kira 7 tahun yang lalu bersama BaAn dan keluarga. Sewaktu tinggal di Keramat pula, saya pernah beberapa kali terfikir untuk ke sana tetapi ia hanya kekal sebagai perancangan di dalam minda sahaja. Saya pasti ke sana lagi apabila tiba masanya kelak.

Lawatan ke mini zoo adalah penamat kepada senarai tempat yang boleh dimasuki dalam kadar tiket yang dibayar. Ia satu jumlah yang agak mahal juga jika dibandingkan dengan kemudahan yang disediakan sedangkan saya lihat pelancong tidak putus-putus mengunjunginya. Malah kami tidak berpeluang memasuki Kampung Budaya yang turut disediakan di situ kerana kadar berasingan sebanyak RM16.00 dikenakan untuknya. Mungkin pihak pengurusan boleh mempertimbangkan untuk mengenakan sedikit pengecualian atau pengurangan kepada pemegang MyKad seperti yang dibuat oleh pengurusan kereta kabel di Pulau Langkawi.

Kami habiskan masa hampir 2 jam di situ dan terus beredar pulang ke rumah saya. Jika difikir-fikirkan, setelah sekian lama tinggal di KL, ini merupakan kali pertama saya berkunjung ke Menara KL sedangkan orang lain mungkin sudah berkali-kali menaikinya. Siapa tahu, ia mungkin kunjungan terakhir kerana saya masih belum sempat menjejakkan kaki ke restoran berputar yang terletak di situ.

No comments: