Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, March 31, 2011

Ulasan: Cabaran Tanpa Nasi – Fasa 1

Bismillahirrahmanirrahim...


Cabaran ini telah saya mulakan pada hari terakhir saya berkursus di INTAN iaitu 18 Februari 2011. Selama tempoh itu, saya menahan diri sepenuhnya daripada makan nasi sebagai hidangan sarapan, makan tengahari dan makan malam. Saya gantikan nasi dengan oat dan roti. Kini, kedua-dua makanan ruji ini adalah stok yang sentiasa ada di rumah saya menggantikan beras. Saya akui ia sesuatu yang cukup sukar untuk dimulakan dan diteruskan namun saya nekad. Jika bukan sekarang, bila lagi? Di samping itu, saya pastikan untuk jogging pada sebelah petang atau pada hujung minggu dan meneruskan rutin berenang sekurang-kurangnya sekali seminggu.
 
Cabarannya memang cukup kuat dan saya perlu tabahkan hati agar matlamat untuk menurunkan kolesterol ke paras normal dapat dicapai. Saya gerun mendengar fakta jika paras kolesterol tersebut mencecah paras bahaya, saya mungkin akan mendapat tekanan darah tinggi dan perlu bergantung kepada ubat sepanjang hayat. Justeru, saya rela mengorbankan nikmat makanan untuk seketika demi kelangsungan dan kualiti hidup yang lebih baik.
 
Sebelum ini memang saya sudah pernah mencuba untuk melakukan cabaran ini namun seringkali saya tewas kepada nafsu sendiri. Akhirnya, cabaran menjadi seperti melepaskan batuk di tangga dan hangat-hangat tahi ayam. Kali ini saya nekad untuk meneruskannya juga dan untuk membantu saya memotivasikan diri, saya isytiharkan kepada rakan-rakan agar mereka memahami niat saya. Pada mulanya saya berasa bimbang juga kepada kata-kata yang mungkin akan mematahkan semangat saya tetapi Alhamdulillah mereka memberi sokongan kepada usaha saya. Dari situ, saya mula mencari alternatif kepada cara masakan oat untuk membolehkan saya memakannya dan melupakan nasi daripada ingatan. Saya ubah cara pemakanan secara total. Jika sebelum ini, saya bedal makanan sesuka hati tanpa secalit rasa bimbang, kini saya lebih berhati-hati. Walaupun kedengaran juga gurauan rakan-rakan yang mengatakan saya rugi dan hilang nikmat makan atau menyogok saya dengan sindiran ‘makanlah sementara masih boleh’, saya cekalkan hati dan menerimanya sebagai sesuatu yang positif.
 
Dalam tempoh itu juga, ada beberapa dugaan yang harus saya hadapi dan jika saya tidak cukup kuat semangat maka cabaran hanya akan tinggal nama sahaja.
  • Dugaan paling besar adalah apabila saya pulang ke kampung. Secara kebetulan, ada kenduri dibuat di kampung dan saya pulang untuk membantu menjayakannya. Ia memang sesuatu yang menduga nafsu makan apabila terpaksa berhadapan dengan lauk pauk yang cukup menyelerakan. Namun saya ‘tutup mata’ dan memujuk hati daripada memandang kesedapannya tetapi cuba untuk memfokuskan kepada keadaan diri sendiri. Perut saya sudah sekian lama ‘dicampakkan’ dengan pelbagai makanan yang kadang-kadang melebihi had kapasiti sehingga akhirnya badan saya yang menjadi mangsa. Kasihan perut dan badan saya. Alhamdulillah, saya berjaya menahan diri daripada memakan nasi bersama lauk pauk tersebut sebaliknya saya gantikan dengan roti dan kuantiti lauk yang sedikit sahaja. Ternyata ia sudah cukup untuk mengenyangkan perut saya;
  • Dugaan lain apabila saya diajak oleh rakan baik untuk menemaninya dan suami mendaki Bukit Broga. Sekian lama menganggap nasi merupakan sumber tenaga utama, saya merasa bimbang tidak mempunyai keupayaan dan stamina untuk mendakinya. Namun ternyata saya silap kerana saya berjaya mendakinya dan lebih menggembirakan apabila stamina saya jauh lebih baik berbanding sebelum ini; dan
  • Tidak dilupakan, dalam tempoh itu juga saya berkelana ke Singapura dan cabaran untuk mengelakkan mengambil nasi sebagai pembekal tenaga juga amat mencengkam jiwa. Di samping menjadi kebiasaan jika ke tempat orang, kita sudah pasti ingin mencuba pelbagai jenis makanan yang tiada di tempat sendiri. Namun saya kuatkan semangat juga untuk meyakinkan diri bahawa nasi bukan satu-satunya sumber tenaga. Justeru, saya tidak menjamah walau sebutir nasi pun sewaktu di sana.
 
Akhirnya, 19 Mac 2011 menjadi tarikh keramat apabila cabaran 30 hari tanpa nasi berjaya saya lalui dengan jaya. Rakan-rakan yang mengikuti perkembangan cabaran saya juga tidak sabar-sabar ingin mengetahui perubahan yang saya alami selepas tamat tempoh cabaran. Lalu saya timbang berat badan terkini dengan penuh debaran. Syukur Alhamdulillah, berat badan saya berkurangan sebanyak 5 kg! Ia satu jumlah yang tidak saya jangka kerana saya hanya berjaya memenuhi cabaran tanpa nasi sahaja tetapi gagal memenuhi sasaran untuk bersenam dan berenang sepenuhnya. Dari situ saya sedar, nasi merupakan punca utama berat badan saya meningkat dan satu-satunya cara untuk saya menurunkan berat badan adalah dengan tidak mengambil nasi sebagai makanan utama. Perubahan paling ketara dapat saya rasakan apabila pakaian saya sudah menjadi semakin longgar. Bayangkan jika selama ini saya memakai seluar jean bersaiz 38, kini saya menukarnya kepada saiz 34 dan itu pun saya merasa masih longgar. Mungkin saya perlu membeli saiz lebih kecil pula.
 
Melihat perubahan positif yang diperoleh, saya memutuskan untuk meneruskan cabaran untuk tempoh sebulan lagi. Jika berjaya, saya akan meneruskannya lagi sehingga saya tidak perlu lagi bergantung kepada nasi dan mencapai sasaran berat badan yang diingini. Sejujurnya, ketika saya memutuskan untuk memulakan cabaran ini, penurunan berat badan merupakan sasaran sampingan sahaja. Ketika itu, keutamaan saya adalah kepada kualiti dan tahap kesihatan yang lebih baik. Ia bertitik tolak dari keinginan saya untuk mengembara melihat dunia dan perjalanan hidup yang akan dilalui masih panjang. Saya anggap penurunan berat badan adalah satu bonus kepada peningkatan kualiti kesihatan yang diperoleh.
 
Sepanjang tempoh cabaran ini, ada beberapa perkara yang saya pelajari iaitu:
  • Jika kita betul-betul inginkan sesuatu perkara, kita fokus pada matlamat tersebut dan berusaha ke arah itu dan hanya pada itu sahaja;
  • Dalam keadaan terdesak, kita akan mampu melakukan sesuatu di luar batas kepercayaan kita sendiri. Segala-galanya bermula dalam fikiran kita sendiri. Jika kita sudah meletakkan ketetapan bahawa kita mampu untuk melakukannya, maka kita sudah berada di separuh perjalanan kejayaan;
  • Nasi bukan merupakan satu-satunya sumber tenaga. Makanan lain yang berkhasiat juga boleh memberi tenaga untuk kita melakukan aktiviti. Segala-galanya terletak pada minda sendiri. Saya cuba memadamkan kenyataan bahawa nasi merupakan satu-satunya sumber tenaga untuk meneruskan kehidupan. Ternyata saya masih mampu kenyang dengan memakan oat atau roti. Ia memang sesuatu yang sukar untuk diubah setelah sekian lama dibesarkan dengan persepsi bahawa nasi adalah makanan ruji rakyat Malaysia; dan
  • Pesan Rasulullah, makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang. Seringkali kita makan melampaui batas sehingga walaupun perut sudah memberikan isyarat dengan bunyi sendawa, kita masih terus mengisinya dengan pelbagai makanan. Pelbagai alasan turut diberi untuk menjustifikasikan tindakan. Alasan tidak mahu membazir atau rugi kerana mungkin peluang untuk memakannya tidak akan diperoleh lagi selepas ini, adalah antara alasan-alasan yang lazim kita wujudkan. Setelah habis cabaran fasa 1, saya sedar bahawa perut saya sudah tidak boleh menerima kuantiti makanan melebihi hadnya. Saya menjadi cepat kenyang namun ia tidak pula mengurangkan tenaga saya. Malah saya jadi lebih cergas dalam melaksanakan tugasan di pejabat dan yang pasti, saya tidak mengantuk pada waktu tengahari.
Menyedari kesan positif daripada cabaran ini, saya nekad untuk meneruskannya kepada fasa 2 pula. Namun sempat juga saya meng’hadiah’kan diri selepas berjaya menempuh cabaran fasa 1 dengan hidangan nasi sebanyak 2 kali. Kali pertama pada minggu lepas bersama MakTeh dan kali kedua adalah semalam sebagai menghormati hasrat seorang rakan untuk membelanja rakan-rakan sebagai tanda syukur atas Anugerah Pencapaian Cemerlang yang diterimanya. Apapun, saya perasan yang perut saya sudah tidak mampu menerima kuantiti makanan terutama nasi dalam jumlah yang banyak seperti dulu dan saya amat gembira dengan perubahan ini.
 
Cabaran fasa 2 sedang berjalan dan saya tidak sabar untuk melihat hasilnya. Siapa tahu saya akan meneruskannya sehingga ke fasa 3 pula? Tunggu dan lihat!

Wednesday, March 30, 2011

Kartunis Lat

Bismillahirrahmanirrahim...

29 Mac 2011 (Selasa) - Saya bukan seorang peminat tegar kartun tetapi karya Datuk Lat (atau nama sebenarnya Mohd Noor bin Khalid) sememangnya antara bacaan saya sewaktu kecil selain Bujal dan Bambino. Justeru, apabila ditawarkan 2 keping tiket untuk menonton teater muzikal Lat The Kampung Boy, saya terus bersetuju untuk menerimanya. Mulanya saya memang risau juga kerana kebetulan ada mesyuarat yang perlu saya uruskan pada pukul 5.30 petang. Namun saya cuba sedaya mungkin agar mesyuarat dihabiskan sebelum jam 7 malam supaya saya mempunyai sedikit masa untuk perjalanan ke Istana Budaya. Tambah ngeri apabila membayangkan lautan trafik yang perlu diharungi untuk ke sana. Fikiran saya mula berkira-kira pilihan laluan yang dapat mengelakkan saya daripada terperangkap dalam kesesakan.

Mesyuarat tamat jam 6.50 petang. Tanpa banyak soal, saya terus mengemaskan dokumen dan mencapai beg untuk bertolak ke IB. Malah ketua pun tidak saya maklumkan tentang pemergian saya kerana bimbang akan diajak untuk berdiskusi pula. Lega rasanya kerana trafik lancar dan seolah-olah memahami debaran di hati saya. Bayangkan saya bertolak pada jam 7 malam dari Putrajaya dan saya tiba di IB jam 7.45 malam. Satu perjalanan yang agak lancar dan diluar jangkaan saya. Tiba di sana, MakTeh sudah sedia menunggu di surau IB. Jumlah penonton memang kelihatan agak ramai berbanding kunjungan kami sebelum ini. Usai solat Maghrib, kami ke kafe sebentar untuk mengalas perut yang sudah berkeroncong. MakTeh teruja betul dapat berjumpa Ramli Sarip tapi tak sempat pula bergambar bersama beliau.

Jam 8.30 malam, pengumuman dibuat untuk menjemput penonton memasuki dewan. Jika kunjungan pertama ke IB, kami duduk di tingkat paling atas, kunjungan kedua pula di tingkat tengah, kunjungan ketiga nampaknya kami lebih bernasib baik kerana diberikan tempat duduk betul-betul di hadapan pentas.   




Pengarah - Hans Isaac

Persembahan bermula 10 minit kemudian dengan suasana di kampung di daerah Gopeng, Perak dan zaman kanak-kanak Lat. Sungguh comel kanak-kanak yang memainkan watak sebagai kawan-kawan Lat dan Jalil Hamid pula memainkan watak sebagai bapa Lat yang dipanggil Apak (ringkasan bapak agaknya). Ia membuatkan saya terimbau kepada zaman kanak-kanak sendiri yang juga berasal dari kampung. Rasa bangga pula mempunyai kampung walau ia tidak berwajah seperti dahulu. Dari kecil Lat memang mempunyai bakat melukis dan sering dimarahi oleh ibunya kerana menconteng rumah sendiri. Namun Apak seorang yang sporting dan banyak memberikan dorongan kepada Lat untuk mengasah bakatnya. Apabila Apak mendapat kerja baru di pekan, Lat terpaksa meninggalkan kampung yang dicintai namun di situ dia bertemu seorang guru yang menyokong bakat melukis yang dimilikinya. Malah watak guru itu, Cikgu Siew (saya tak pasti ejaan sebenarnya) antara watak yang turut dimasukkan dalam karya Lat.

"Do What You Love and Love What You Do - DWYL, LWYD" itu pesan cikgu Siew kepada Lat.

Benarlah, guru memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan seorang pelajar dalam membantu mengenal potensi diri dan mengembangkannya selain ibu bapa. Semasa di pekan juga, Lat mendapat teman baru, Frankie Vee yang kekal berkawan dengannya sehingga dewasa. Apak tetap meneruskan sokongannya mengasah bakat Lat untuk melukis dan akhirnya karya pertama Lat telah diterbitkan dalam sebuah majalah semasa Lat masih di bangku sekolah.

Babak seterusnya adalah Lat versi dewasa yang dimainkan oleh Awie. Rasanya semua penonton memang menunggu kemunculan Awie kerana dewan bergema dengan sorakan sebaik Lat versi kanak-kanak menghilang dan Awie muncuk sebagai Lat dewasa. Dulu saya hanya mengenali Awie sebagai penyanyi rock sahaja dan tidak menggemari watak-wataknya dalam filem terdahulu. Kelucuan Awie terserlah sewaktu mula bekerja bersama Afdlin Shauki, Hans Isaac dan AC Mizal. Malam ini juga persembahan Awie tidak menghampakan.

Lat memulakan kerjaya sebagai wartawan jenayah namun tidak menemui kepuasan dalam kerjayanya dan merasa bosan dengan kehidupan di bandar. Babak ketua Lat dijayakan oleh pelakon berpengalaman, Omar Abdullah sebagai Pak Samad Ismail. Memang kelakar dan tak kering gusi setiap kali melihat gandingan ini di atas pentas. Kata MakTeh, tawa saya kedengaran terlalu kuat. Huhu. Apakan daya, memang sangat kelakar dan beberapa kali juga saya terpaksa mengelap air mata. Bukan kerana sedih tetapi kerana terlalu kelakar. Pak Samad walaupun terkenal dengan kegarangannya, turut bertanggungjawab membantu Lat mengembangkan minat dan bakatnya melukis kartun.

Seterusnya, Lat menerima berita kematian Apak yang merupakan peminat No.1 nya. Babak ini cukup menyentuh hati sehingga kolam air mata saya hampir tumpah. Ingatan saya pada masa itu sudah pasti terhadap abah dan ummi saya di kampung. Saya tidak mampu untuk membayangkan jika saya berada di tempat Lat, menerima berita pemergian insan yang dikasihi.

Lat kemudian berkahwin dengan pilihan sendiri dan mula menjalani kehidupan yang sangat sibuk apabila karyanya mula mendapat perhatian sehingga ke luar negara. Saya baru tahu yang karya-karya Lat telah diterjemahkan kepada pelbagai bahasa di seluruh dunia. Secara tidak langsung, Lat menjadi duta memperkenalkan Malaysia kepada dunia. Karya Lat adalah paparan kehidupan sebenar di kampung yang sentiasa dirinduinya. Dipendekkan cerita, kesibukan Lat membuatkan keluarganya merasa tersisih dan Lat berdepan krisis rumahtangga. Pesan Apak, "Apak bahagiakan mak kamu maka mak kamu bahagiakan kita sekeluarga' membuatkan Lat nekad membawa isteri dan anak-anaknya kembali ke Gopeng, Perak. Satu lagi pesan Apak yang saya rasa patut direnung adalah setiap ciptaan Ilahi ada peranannya. Begitu kejadian bulan dan matahari silih berganti menjadikan adanya siang dan malam. Matahari bersinar dan melindungi bulan agar siang hadir dan manusia dapat bekerja mencari rezeki. Namun matahari beredar memberi peluang kepada bulan memancarkan sinarnya pula dan malam hadir agar manusia dapat berehat daripada kesibukan pekerjaan dan memberi tumpuan kepada keluarga. Ringkasnya, kata Apak "Kerja siang jangan berlarut sehingga malam". Mendalam dan penuh makna.

Puas rasanya dapat menonton sehingga ke akhir. Buat kali pertama, saya tidak mengantuk menuju penghujungnya seperti persembahan yang saya tonton sebelum ini. Kali ini saya kekal segar sehingga ke penamat dan meninggalkan IB pada jam 11.50 malam. Banyak yang saya pelajari daripada persembahan tersebut dan kisah hidup seorang kartunis bergelar Datuk Lat.

Tuesday, March 29, 2011

Hari Santai

Bismillahirrahmanirrahim...

27 Mac 2011 (Ahad) - Pagi ini saya sepatutnya mendaki Bukit Broga bersama abang sulung (BaMa) namun di saat-saat akhir BaMa terpaksa menunda perancangan itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Secara kebetulan, teman baik dari Pulau Pinang, Sharliza, singgah bermalam di rumah saya kerana perlu menghadiri sesi temuduga di Putrajaya pada pagi Isnin. Lalu kami putuskan untuk ke Jalan TAR, KL dengan menaiki komuter di stesen Serdang. Usai sarapan ringkas, kami bertolak dengan menaiki kereta saya ke stesen komuter Serdang. Sudah agak lama juga sebenarnya saya tidak menaiki komuter. Ini juga merupakan pengalaman pertama saya menaiki koc wanita. Namun sungguh mengecewakan melihat beberapa orang lelaki yang tidak menghormati peraturan yang telah ditetapkan. Saya istilahkan mereka ini sebagai golongan yang tidak faham bahasa. Meluat dan menyampah dengan sikap keras kepala segelintir lelaki yang tetap juga memasuki koc yang terang-terangan dikhususkan untuk wanita sahaja. Sengaja saya jeling tajam kepada mereka sehingga timbul rasa serba-salah di mata mereka. Entah apa yang cuba dibuktikan oleh mereka juga tidak saya fahami. Perjalanan lancar dan memakan masa selama 20 minit sahaja untuk kami tiba di stesen Bank Negara.

Sharliza - teman baik dari Penang, sukanya dia dapat naik tren

Koc wanita
Kami terus memasuki deretan kedai sepanjang Jalan TAR sehingga kami bertemu sebuah restoran yang terletak beberapa selang sahaja daripada pasaraya KAMDAR. Restoran Zam Zam. Itu nama tempat kami makan tengahari. Pertama kali terpandang restoran tersebut kami terus jatuh hati. Tanpa banyak soal, kami setuju untuk makan tengahari di situ. Sharliza memesan murtabak dan sirap selasih sementara saya memesan bihun goreng dan teh lemon ais. Dengan servis yang pantas dan hidangan yang menyelerakan, kami pasti akan berkunjung lagi ke situ jika ke Jalan TAR kelak.

Usai makan tengahari, kami terus ke KAMDAR membeli pakaian dan pada jam 2.30 petang, kami bergegas menaiki komuter kembali ke Serdang kerana saya sudah berjanji untuk berjumpa seorang lagi teman baik, Azlina @ Arab di Masjid UPM. Seperti dirancang, kami tiba jam 3 petang di stesen komuter Serdang dan terus menaiki kereta menuju ke Masjid UPM. Kami sebenarnya sudah merancang untuk ke pameran pascasiswazah UPM pada hari ini yang sudah masuk hari terakhir. Sebelum ke sana, kami sempat solat Zuhur terlebih dahulu di Masjid UPM.

Restoran ZamZam

Menu yang ringkas tapi menarik

Teh limau ais dan sirap selasih

Murtabak dan kari kambing yang sangat sedap

Bihun goreng je, masih dalam cabaran tanpa nasi



Kami tiba di dewan pameran pada jam 4 petang dan ia akan ditutup pada jam 5 petang. Sempat jugalah kami mendapatkan sedikit sebanyak maklumat tentang kursus-kursus pascasiswazah yang ditawarkan di UPM. Untungnya, sesiapa yang mendaftar semasa hari pameran akan mendapat pengecualian bayaran proses sebanyak RM60. Kami sebenarnya tidak tahu menahu tentang perkara ini dan hanya mengetahuinya apabila dimaklumkan oleh salah seorang staf di situ.

Usai mendapatkan maklumat yang dikehendaki, kami berhenti rehat untuk minum sebentar di sebuah gerai di dalam UPM sebelum ke Masjid UPM semula untuk solat Asar. Kemudian saya dan Sharliza meneruskan perjalanan ke Kajang sementara Arab dan Izzah pula kembali ke Seri Kembangan. Menyebut tentang Izzah, kehadiran si kecil ini yang penuh dengan keletah mencuit hati cukup menceriakan kami sepanjang pertemuan.

Sesi pendaftaran online

Arab dan Izzah, peace!

Izzah yang mencuit hati

Dari Kajang, kami ke Seri Kembangan pula untuk bertemu seorang rakan. Sebelum itu, kami sempat singgah di Masjid UPM untuk solat Maghrib terlebih dahulu. Kami bertemu di sebuah restoran bernama Chara Kampung di sekitar Seri Kembangan. Restoran ini juga menyediakan hidangan yang kena dengan selera kami. Nampaknya restoran ini juga akan disenaraikan dalam senarai restoran yang akan dikunjungi lagi pada masa hadapan.

Asam boi dan ice blended milo

Makan malam yang menyelerakan

Alangkah seronoknya bila sekali sekala dapat bersantai begini...

Saturday, March 26, 2011

Deko Deko

Bismillahirrahmanirrahim...

Rasanya semua orang yang sudah memiliki teratak sendiri, pasti merasai apa yang saya rasai iaitu yang saya istilahkan sebagai 'gila deko'. Setiap letak duduk barang perlu sempurna, dari sekecil-kecil benda sehingga kepada yang paling besar. Lucunya, seorang rakan pernah berkata kepada saya,

"Eh, tak sangka ck suka benda-benda macam ni ek."

Saya hanya tersengih. Setiap orang ada keinginan tersendiri yang kadang-kadang tidak terpamer secara luaran. Universalnya, siapa yang tidak gemar melihat rumah berada dalam keadaan kemas dan teratur. Kepenatan seharian di pejabat boleh hilang sebaik menjejak kaki ke rumah yang kemas. Saya tidak tahu tentang orang lain tetapi saya gemar kepada keadaan yang teratur. Bukan sahaja sedap mata memandang tetapi juga ia gambaran peribadi seseorang.

Sebaik menerima kunci teratak baru pada bulan September tahun lepas, saya sudah mula melilau-lilau mencari konsep yang sesuai. Saya seorang yang ringkas. Justeru, saya gemar kepada hiasan yang ringkas dan tidak menyemakkan ruang. Saya kurang gemar dengan hiasan bunga-bungaan yang memenuhi ruang sebaliknya lebih suka ruang diletakkan perabot yang membuatkan ruang nampak lebih luas. Kini, sudah hampir 4 bulan saya mendiami teratak baru. Dalam tempoh itu, ada saja perubahan yang ingin saya buat pada ruang dan kadang-kadang pada susunan perabot. Untuk peringkat awal ini, saya lebih utamakan perabot utama seperti sofa, meja makan dan kabinet. Untuk hiasan atau deko dinding, saya masih mencari-cari konsep yang sesuai. Jadi, kalau ada masa terluang pasti saya akan penuhi dengan melayari laman-laman web untuk melihat-lihat konsep yang memikat hati saya, jika ada.




Gambar-gambar ihsan felicitadeco
Malam ini, saya berjumpa dengan laman web felicitadeco dan saya agak menggemari konsep hiasan yang dipaparkan. Nampak moden dan ringkas. Namun saya belum memutuskan sama ada untuk membeli apa-apa daripada laman itu cuma konsep yang dipaparkan boleh dijadikan contoh rujukan untuk mendeko teratak sendiri :)

Thursday, March 24, 2011

Sah!

Bismillahirrahmanirrahim...

Notis Penyiaran
Lega rasanya apabila berita yang ditunggu-tunggu telah tiba. Alhamdulillah, semalam saya hubungi JPA sekadar untuk bertanyakan status penerimaan borang-borang yang dihantar sebelum ini. Sebaliknya, saya terima khabar gembira yang dinanti-nanti. Hari ini saya terima surat tersebut iaitu pengesahan dalam jawatan. Syukur kerana sasaran saya untuk disahkan dalam jawatan pada gred sekarang sebelum saya melanjutkan pengajian pada bulan September kelak sudah tercapai. Jika sebelum ini, kami berada dalam pemangkuan dan status pengesahan kami seolah-olah digantung tidak bertali. Namun saya nekad untuk memohon melanjutkan pengajian meskipun berdepan dengan risiko kehilangan sebahagian besar elaun jika bercuti belajar sebelum disahkan dalam jawatan. Saya serahkan segala-galanya kepada takdir. Seandainya setakat itu sahaja rezeki saya maka saya terima. Saya tidak mahu menjadi tamak namun ternyata nasib menyebelahi saya. Saya dapat kedua-duanya, biasiswa melanjutkan pelajaran dan disahkan jawatan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan sebelum ini.

Sebelum ini, kami dimaklumkan yang jawatan kami tidak akan disahkan sehingga genap 8 tahun dalam perkhidmatan, iaitu pada tahun 2012. Saya sering percaya, setiap polisi ciptaan manusia tidak kekal. Ia boleh berubah mengikut keperluan. Tidak perlu melenting atau terlalu mempersoalkan sesuatu perkara yang tidak kita fahami. Teruskan usaha dengan sesuatu yang berada dalam kawalan kita. Justeru, saya teruskan juga hasrat melanjutkan pengajian dan akhirnya permohonan saya telah diterima. Hari ini pula saya terima notis pengesahan dalam jawatan.

Maka nikmat tuhan kamu yang manakah yang ingin kamu dustakan?

Tuesday, March 22, 2011

Ter...tempah Jua

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini, saya rasa agak lemau kerana semalam saya MC atas sebab yang hanya saya dan MakTeh yang faham. Walaupun ada urusan yang perlu dibereskan, saya ketepikan buat sementara dan membuka e-mel. Saya terima iklan AirAsia untuk promosi tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak. Saya teringat kepada niat saya untuk kembali ke bumi Kuching semula selepas kunjungan kali pertama (kembara pertama menaiki kapal terbang bersama keluarga) tidak memuaskan hati. As i said, I love travelling! Maka, rasa untuk ke sana hadir semula dan saya SMS Bakarians yang berminat untuk menyertainya. Abah dan ummi sudah tentulah ahli tetap dan wajib hadir, tanpa perlu banyak soal lagi. Untuk mendapat tiket promosi, saya perlu segera bertindak.

SMS diterima daripada abang kedua (BaAn) dan MakTeh mengesahkan penyertaan. Abang sulung (BaMa) pula berada di Bali atas urusan kerja dan hanya akan kembali pada hari Khamis. Dia turut menyatakan minat untuk turut serta tapi perlu berbincang dengan ahli keluarga terlebih dahulu. Manakala yang lain-lain pula belum memberikan respon. Maka, saya telah ter...tempah tiket ke Kuching, Sarawak pada 16 September 2011 iaitu cuti umum sempena Hari Malaysia. Kami akan berada di sana selama 3 hari 2 malam sahaja dan saya masih belum mengetahui apa pengisiannya kelak. Sudah pasti, tugasan seterusnya adalah membuat susunan jadual perjalanan sewaktu di sana. Masih banyak masa untuk itu dan rasanya pada tarikh tersebut saya sudah memulakan pengajian di IPTA yang belum ditentukan lagi.

Bagi sesetengah orang, ia mungkin satu pembaziran tetapi bagi saya, ia satu pengalaman yang cukup berharga. Jika ahli keluarga saya tidak turut serta pun, saya pasti akan ke sana juga, sekurang-kurangnya membawa abah dan ummi bersama. Namun bak kata bijak pandai, the more the merrier!

Mood berubah, kembali bersemangat meneruskan tugasan :)

Monday, March 21, 2011

Kembara Ke Kota Singa – Episod 3 (Akhir)

Bismillahirrahmanirrahim...


Penginapan kami, Dunlop Backpackers Hostel

Mencari petunjuk ke jalan yang benar

Brilliant!

Can you spot The Merlion?

Yang kecil pun ok la

Anderson Bridge

Geylang Road

Istana Kampung Gelam

'Bilik Mandi' :)

Changi Airport tapi transit je, penerbangan kami di Terminal Bajet

Terminal Bajet

Tindakan MakTeh mewarna yang telah mencabar kanak-kanak lain sehingga terlopong

13 Mac 2011 – Kami sudah bersiap seawal jam 7.30 pagi kerana ingin memulakan perjalanan seawal mungkin. Kali ini kami nekad untuk menggantikan kembali masa yang ‘terbuang’ semalam. Kami terus menuju ke pondok bas terdekat dan terus menaiki bas pertama yang lalu di situ. Tujuan kami adalah Merlion Park. Sewaktu kami tiba di situ, jalan masih lengang dan tidak ramai pengunjung di situ kecuali sekumpulan pejalan kaki yang sedang menjalankan aktiviti mereka. Namun sungguh mengecewakan apabila singa besar berada dalam penyelenggaraan. Kami tidak tahu apa yang ingin dibuat terhadap replika tersebut. Kami hanya berpeluang melihat replika bersaiz kecil sahaja. Tidak mahu berlama-lama di situ, kami menaiki bas ke Pasar Geylang Serai untuk bersarapan dan membeli buah tangan. Berada di kawasan ini membuatkan saya cukup rindu kepada masakan Malaysia. Di kawasan ini juga kelihatan lebih ramai orang Melayu berbanding kawasan-kawasan lain yang telah kami jejaki. Kami bersarapan dengan begitu berselera dan meronda-ronda kawasan sekitar di situ. Suasana di situ membuatkan saya terasa seperti berada di Pasar Payang, Kuala Terengganu.

Dari situ, kami menaiki bas ke Arab Street pula untuk memenuhi hasrat MakNik membeli sedikit cenderamata. Teringat pula kisah semalam apabila kami mundar-mandir di situ mencari tempat penginapan dan akhirnya kami mandi di Masjid Sultan. Semasa di situ juga, kami sempat menjengah Istana Kampung Gelam.

Penerbangan kami dijadualkan pada jam 5.40 petang tetapi saya berhasrat untuk mendaftar masuk lebih awal kerana cerita seorang teman tentang kemudahan menarik yang disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. Justeru, dari Arab Street kami terus bertolak ke Changi Airport dengan menaiki MRT. Kami tiba di sana lebih kurang jam 2 petang tetapi dimaklumkan bahawa penerbangan kami akan berlepas dari Terminal Bajet. Kalau di Malaysia, Changi Airport sama seperti KLIA dan Terminal Bajet pula seperti LCCT. Maka melepaslah peluang kami untuk merasai kemudahan menarik tersebut. Ruang tersebut hanya boleh dimasuki oleh penumpang yang menaiki penerbangan yang berlepas dari Terminal 2 dan 3 sahaja. Malah untuk ke Terminal Bajet, kami perlu menaiki shuttle bus yang disediakan di situ. Tiba di terminal, kami terus tunaikan solat jama’ terlebih dahulu dan mujurlah ada ruang khusus disediakan. Memandangkan waktu untuk berlepas masih belum tiba, kami berlegar-legar di premis-premis untuk menghabiskan dollar terakhir dalam tangan kami.

Penerbangan berlepas pada jam 6.10 petang dan kami tiba jam 6.45 petang. Agak terkejut juga kerana mengikut jadual, penerbangan akan mengambil masa 1 jam. Apakah ada aksi merempit juga di udara? Huhu.

Tiada yang lebih menyeronokkan apabila dapat kembali ke tanahair sendiri. Meskipun jaraknya hanya bersebelahan sahaja dan dalam tempoh masa yang singkat, ia tetap menerbitkan kerinduan yang sukar ditafsirkan. Ia sama seperti kembara kami ke Medan sebelum ini. Kelegaan memang jelas terasa sebaik kapal terbang mencecah KLIA.

Kembara kali ini memang cukup meletihkan namun ia satu pengalaman yang cukup berharga buat saya. Meskipun tidak semua tempat yang disasarkan berjaya dijejaki, saya puas kerana yakin selepas ini, kami sudah arif dengan jalan-jalan di sekitar Singapura selepas meredahnya dengan hanya berjalan kaki sahaja. Rasa seolah-olah tidak percaya yang kami telah melakukannya juga terbit tetapi hakikatnya kami telah melakukannya. Kadang-kadang dalam hidup ini, kita sering merasa seolah-olah tidak berdaya atau tidak mampu untuk melakukan sesuatu perkara. Lebih parah apabila kita tidak pasti dengan apa yang ingin dicapai atau arah yang ingin dituju. Kita punya 2 pilihan sama ada untuk meneruskan langkah atau berputus asa sebelum berusaha untuk melakukannya. Ternyata usaha berterusan akan membuahkan hasil. Terus-terang saya hampir berputus asa apabila kami gagal menemui tempat penginapan bersesuaian sedangkan jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Akhirnya, nasib menyebelahi kami apabila kami teruskan juga pencarian dan menemui hostel yang murah dan bersesuaian di kawasan Little India. Malah hostel kami juga terletak bersebelahan dengan Masjid Abdul Ghafoor.

Apa yang telah dilalui membuatkan saya terfikir dengan perjalanan dalam kehidupan ini. Ia membantu membina kekuatan dalam diri. Saat kita merasakan kita tidak lagi berdaya, jalan yang tinggal adalah untuk meneruskan langkah kerana di hujungnya pasti akan ada sinar yang menanti, insyaAllah.

Jika ditanya sama ada saya akan kembali ke Singapura lagi atau tidak selepas ini, jawapan saya adalah ya dan tidak. Ya kerana saya telah berjanji untuk membawa abah dan ummi pula ke sini dan hanya jika selepas ini saya telah membuat tempahan penginapan lebih awal, sama ada ia hotel atau hostel. Tidak pula jika saya masih gagal memahami sistem pengangkutan awam yang dikatakan efisien di sana. Haha. Itu hanya alasan kecil kerana yang pasti, silapnya pada diri sendiri kerana tidak memperlengkapkan diri dengan maklumat yang perlu sebelum ke sana. Kunjungan selepas ini pasti lebih baik. :)

Saturday, March 19, 2011

Kembara Ke Kota Singa – Episod 2

Bismillahirrahmanirrahim...

Proses 'penapakan' bermula

deretan kedai-kedai lama

segala lorong kami redah

bihun goreng katanya, huhu

hotel 81, sebuah hotel bajet yang cawangannya merata-rata tetapi meletakkan harga 3 kali ganda pada musim cuti bagi pengunjung walk-in. lebih baik tempah secara online

melepaskan lelah sebelum 'dipaksa' mendengar hikayat cerita seorang makcik

transformasi, daripada kasut kepada selipar

sesat, tengok peta dulu

keletihan - bersedia untuk makan orang huhu

menapak dari terang ke gelap

pasang cadar - akhirnya...
Dari Stesen Tanjung Pagar, kami mula menapak ke stesen MRT terdekat. Proses ‘penapakan’ ke MRT mengambil masa hampir 15 minit. Agak jauh juga sebenarnya dalam keadaan kami yang masih keletihan tapi langkah harus diteruskan. Ini merupakan kali pertama kami menaiki MRT, jadi kami agak jakun dengan sistem mereka. Perkara pertama yang bermain dalam kepala yang perlu kami buat adalah mencari tempat tinggal. Namun kami tidak menentukan kawasan tertentu untuk diduduki. Ia bergantung kepada suasana yang akan kami lihat semasa meronda kelak. Berbeza dengan kembara–kembara saya sebelum ini, saya terlebih dahulu menempah penginapan untuk didiami. Untuk kembara kali ini, kami sepakat tidak menempahnya lebih awal dan itu merupakan kesilapan paling besar yang menyebabkan kembara kami tidak berjalan seperti dirancang.

Kami menaiki MRT dan berhenti di stesen Al-Junied. Dari situ kami berjalan kaki menyusuri jalan untuk mencari tempat penginapan namun hampa. Sasaran kami hanyalah hostel atau setidak-tidaknya hotel bajet. Kami lupa yang ia musim cuti sekolah dan juga cuti hujung minggu menyebabkan banyak premis menaikkan kadar sewa mereka. Kecewa dengan harga yang terlalu tinggi, kami nekad meneruskan langkah mencari hostel sahaja. Dengan berbekalkan buku panduan pinjaman seorang rakan, kami melewati jalan-jalan untuk mencari tempat penginapan namun kami gagal menemuinya. Saya mula merasa kesal kerana tidak menempahnya lebih awal kerana perbezaan harga memang sangat ketara berbanding walk-in. Kadarnya lebih murah jika menempah secara online. Kami buntu. Kami berjalan kaki pada kebanyakan masa sehingga hari semakin meninggi. Segala ceruk jalan kami jejaki dan melalui lorong-lorong yang kurang dilalui oleh orang lain, berharap akan bertemu dengan hostel yang dicari. Kadang-kadang kami menaiki bas dengan tambang SGD1 tetapi pada kebanyakan masa kami hanya berjalan kaki sahaja.

Akhirnya, kami berhenti makan tengahari di sebuah restoran di Geylang Road. Saya pesan bihun goreng sahaja kerana masih dalam cabaran 30 hari tanpa nasi. Ia satu cabaran berganda buat saya kerana terpaksa menahan diri mencuba makanan di tempat orang tetapi cabaran tetap cabaran. Saya mesti kuat semangat. Usai makan, kami teruskan menapak lagi sehingga kaki kami melecet dan terpaksa berhenti membeli selipar sebagai gantinya. Ini satu lagi pengajaran kepada kami jika ingin musafir. Pastikan kasut yang dipakai selesa dan bersesuaian. Saya memakai kasut sukan tetapi ia sedikit longgar menyebabkan tapak kaki saya bergesel dengan tapak kasut dan melecet. Akhirnya, kami bertiga hanya memakai selipar sahaja. Sungguh melucukan apabila dikenang kembali.

Gagal mendapatkan penginapan pada kadar sesuai di Geylang Road, kami berhenti solat jama’ zohor dan asar di salah sebuah masjid di situ yang saya lupa namanya. Di sini, berlaku satu insiden yang cukup meletihkan apabila kami terpaksa melayan seorang makcik yang tidak kami kenali bercerita tentang kisah kehidupannya. Semuanya bermula apabila MakNik berniat untuk bertanya sama ada makcik tersebut mengetahui kedudukan hostel di sekitar kawasan tersebut. Namun makcik tersebut membuka cerita mengenai rumah lamanya yang besar dan luas tetapi telah dijual. Sekarang makcik tersebut mendiami rumah 2 bilik sahaja dan menantunya turut tinggal bersama. Katanya, jika menantu tidak tinggal sekali, pasti dia akan mempelawa kami untuk tumpang bermalam. Aduh, pening kepala kami apabila dia mula bercerita mengenai menantu yang tidak disenangi dan kisah kehidupannya yang pernah menjalani pembedahan membuang payudara. Kami tidak bermaksud untuk berlaku kurang sopan tetapi dalam keadaan kami yang mengejar masa dan kepenatan, kami perlu segera beredar untuk mencari tempat tinggal sebelum hari semakin gelap. Jalan terakhir untuk mengelak terus mendengar satu demi satu cerita daripada makcik tersebut, saya minta izin untuk solat terlebih dahulu dan memberi isyarat kepada MakTeh dan MakNik agar mencari jalan untuk berbuat yang sama. Kami terpaksa melayan cerita makcik tersebut hampir 45 minit dan ia sungguh meletihkan.

Destinasi kami seterusnya adalah Arab Street dan berharap untuk menemui hostel di situ namun harapan kami tidak kesampaian lagi. Hampir-hampir kami berputus harap tetapi kami tetap akan meneruskan pencarian kami. Sebelum meneruskan perjalanan, kami membersihkan diri dan menyegarkan badan terlebih dahulu di Masjid Sultan, Arab Street. Ya, kami tidak mandi sejak tiba di Singapura. Kantoi! Ini pun salah satu punca kami menjadi sangat letih.

Usai menyegarkan badan, kami menapak ke Bugis Village pula dan akhirnya kami tiba di kawasan Little India. Beberapa buah hostel telah kami tanya sepanjang perjalanan namun semuanya penuh kerana ia musim cuti sekolah. Hari sudah gelap dan kami sudah semakin cuak. Jalan terakhir adalah tidur di masjid atau di Changi Airport. Akhirnya, kami ternampak sebuah hostel di sebuah lorong. Kami segera masuk dan bertanyakan harga yang ditawarkan serta masih ada kekosongan atau tidak. Lega rasanya apabila kekosongan masih ada bagi female dorm dan kadarnya SGD28 seorang. Kami tidak kisah dengan keadaan dorm asalkan bukan mixed dorm dan kadarnya berpatutan. Namun rupanya kemudahan yang disediakan jauh lebih baik dari disangkakan malah kami mendapat roommates daripada German yang sangat baik. Anak kecilnya pula petah berkata-kata dan mesra walaupun baru berusia 5 tahun. Rugi pula rasanya tidak sempat mengambil gambar dengan mereka. Tanpa melengahkan masa, kami segera merehatkan badan dan membersihkan diri sebelum keluar merayau mencari makan malam pula. Rasanya berat badan saya memang turun mendadak sepanjang di sana kerana makan yang tidak seberapa. Kami gagal mencari tempat makan berdekatan kerana hari sudah semakin lewat dan kami juga sudah tidak larat untuk menapak lagi. Lalu kami singgah untuk mengalas perut di restoran makanan segera Kings’s Burger sahaja.

Malam itu kami tidur dengan nyenyak selepas keletihan seharian menapak. Puncanya kerana kami gagal memahami sistem pengangkutan awam di Singapura dan gagal membaca peta yang sungguh tidak user-friendly. Mungkin bagi sesetengah orang, kemudahan pengangkutan awam di Singapura adalah sangat efisien tetapi bagi first-timers seperti kami, ia satu pengalaman yang cukup meletihkan. Namun kami tidak berputus asa. Esok masih ada.

Kembara Ke Kota Singa – Episod 1

Bismillahirrahmanirrahim...

Laluan dalam gerabak

Borang imigresen

Lepak

Woodlands checkpoint

Sila beratur dan bersedia dengan paspot


Akhirnya...Stesen Keretapi Tanjung Pagar

Akhirnya, hari yang ditunggu (11 Mac 2011) tiba. Saya hanya menyediakan knapsack kecil sahaja untuk membawa keperluan bagi kembara kali ini. Untuk pergerakan pula, saya sudah merencana untuk meninggalkan pejabat tepat jam 5.30 petang, namun tanpa disangka ada halangan di saat-saat akhir. Walaupun saya bertungkus-lumus menghabiskan kerja sebelum jam 5.30 petang, saya telah dihubungi oleh ketua saya sewaktu sedang memandu pulang untuk membantu menyediakan satu dokumen yang penting. Dengan hati yang berat, saya berpatah balik ke pejabat meskipun debaran dalam hati hanya Tuhan yang tahu kerana bimbang akan ketinggalan tren. Perancangannya kami akan bertemu di KL Sentral sebelum jam 11 malam. Saya merancang untuk menaiki tren KLIA Transit daripada Putrajaya ke sana. Tugasan yang diberi segera saya siapkan dan saya mohon izin untuk pulang pada jam 7 malam. Debaran di hati semakin kuat namun saya redah sahaja. Tiba di rumah, saya capai apa yang patut, mandi, solat maghrib, kemas rumah ala kadar dan bertolak ke stesen Putrajaya Sentral pada jam 8.30 malam. Tiba di sana, saya terus menaiki tren untuk ke KL Sentral. Alhamdulillah, saya tiba di sana jam 9 malam dan perkara pertama yang dibuat adalah solat qasar isyak. Perut pula sudah berkeroncong minta diisi kerana saya tidak sempat untuk makan malam sebelum bertolak tadi. Saya sms MakTeh memaklumkan ketibaan saya dan meminta mereka (MakTeh dan rakannya, MakNik) berdua segera datang ke sini. Harapnya sempatlah untuk makan malam bersama sebelum menaiki tren jam 11 malam. Saya hanya melilau-lilau di sekitar deretan kedai dalam KL Sentral sementara menunggu ketibaan mereka namun kebanyakan premis sudah mula berkemas untuk tutup. Kecewa juga lalu saya duduk di ruang yang disediakan. Saya keluarkan buku nota sambil memerhati gelagat manusia yang pelbagai. Masing-masing dalam dunia sendiri. Begitu juga saya.

Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 malam tetapi mereka berdua belum muncul. Saya semakin resah, bimbang akan ketinggalan tren. Teringat saya kepada insiden petang tadi apabila terpaksa berpatah balik ke pejabat. Pesan orang tua, jika ingin mengembara atau musafir, tidak elok berpatah balik kerana akan sesat. Entah ya atau tidak pesanan ini, saya kurang pasti. Yang pasti, ia menambahkan resah di hati saya.

“Diminta kepada penumpang tren ke Singapura, jam 11 malam untuk memasuki ruang berlepas.”

Pengumuman sudah dibuat dan penumpang mula bergerak menuju ke gerabak masing-masing sedang saya masih menanti kemunculan mereka. Semua penumpang sudah mengambil tempat mereka di dalam tren sementara saya masih mundar-mandir di hadapan pintu menunggu kemunculan keduanya. Akhirnya, kelibat mereka kelihatan pada jam 10.50 malam. Aduh! Bagai nak luruh jantung saya. Nyaris-nyaris saya pasrah jika ditakdirkan terlepas tren gara-gara kelewatan mereka. Tanpa banyak soal, kami terus berlari memasuki ruang berlepas dan menuju ke gerabak L3. Lega. Saya sebenarnya sudah tidak sabar untuk merehatkan diri secukupnya di atas katil dan mengembalikan tenaga untuk perjalanan keesokan harinya.

Namun tidur saya tidak begitu nyenyak. Agak mencabar melelapkan mata dalam sebuah objek yang meluncur laju dan terasa diolang-oleng seperti di dalam bot. Saya sering terjaga apabila keretapi melanggar penyambung di antara rel. Perut yang dari tadi belum diisi juga sudah semakin rancak memainkan irama yang hilang rentaknya. Lalu saya bangun menuju ke kafe yang terletak di hujung gerabak. Saya lupa berapa gerabak yang perlu saya lalui tetapi saya perlu melalui gerabak bagi penumpang yang duduk di kerusi. Simpati pula melihat ada yang memangku anak kecil di pangkuan dan ada pula anak-anak kecil yang duduk berhimpit-himpit sambil kepala terlentok di atas satu sama lain. Terasa sungguh bersyukur kerana saya memilih untuk membeli tiket katil.

Kafe hanya menjual minuman panas, air mineral dan burger sahaja. Itu pun pada harga dua kali ganda daripada biasa. Tiada pilihan lain, saya terpaksa membelinya juga. Nak dijadikan cerita pula, peniaga kafe tiada wang kecil untuk pulangan baki menyebabkan saya terpaksa meminta bantuan MakTeh untuk membayarnya.

Akhirnya saya berjaya melelapkan mata untuk 3 jam tetapi bangun semula pada jam 6 pagi untuk solat subuh. Kami tunaikannya dalam keadaan yang termampu.

“Borang Imigresen! Borang Imigresen!”

Kakitangan KTMB sudah mula meronda di dalam gerabak untuk mengedarkan borang tersebut kepada penumpang yang akan merentasi sempadan termasuk kami. Selepas itu, kakitangan imigresen Malaysia pula masuk untuk membuat semakan paspot dan borang yang telah diedarkan. Urusan menjadi cepat dan lancar kerana mereka sendiri bergerak dari satu gerabak ke gerabak yang lain. Jangkanya kami sudah menghampiri Singapura tetapi apabila mendengar pengumuman yang dibuat, saya sudah merasa pelik. Perjalanan kami baru tiba di JB Sentral. Mengikut jadual, kami sepatutnya tiba di Stesen Tanjung Pagar, Singapura pada jam 7 pagi.

Akhirnya, kami terima maklumat yang perjalanan akan terhenti selama 2 jam di JB Sentral kerana berlaku penutupan jalan di sebelah Singapura. Aduh, rugi 2 jam. Bosan berbaring, kami keluar meronda-ronda sekitar JB Sentral dan sempat bersarapan di KFC. Perjalanan hanya diteruskan pada jam 9.15 pagi dan kami berhenti di stesen Woodlands untuk urusan pemeriksaan paspot. Di sini, kami kerugian masa lagi. Lebih sejam kami terpaksa menunggu segala urusan selesai. Malah di sini kami terpaksa membawa keluar semua barangan untuk pemeriksaan di kaunter. Kami semakin resah kerana hari semakin meninggi sedangkan kami masih belum tiba di destinasi yang dituju. Banyak masa sudah terbuang dan perancangan kami pasti akan berubah.

Selesai pemeriksaan, kami kembali ke gerabak untuk meneruskan perjalanan. Akhirnya, kami tiba di stesen Tanjung Pagar pada jam 11 pagi. Kami sudah kerugian banyak masa. Namun, untuk tidak membuang lebih banyak masa, kami teruskan perjalanan ke stesen MRT terdekat. Dari sini, pengembaraan kami yang penuh dengan cabaran suka duka bermula...