Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, February 28, 2011

Kecil Tapi Bermakna

Bismillahirrahmanirrahim...

Hidup umpama air laut. Ada pasang surutnya. Terkadang tenang mendamaikan jiwa, terkadang kuat menghempas apabila badai melanda. Seperti dinyatakan dalam entri sebelum ini, hari Jumaat yang lalu saya berada dalam situasi yang agak terganggu. Semuanya gara-gara saya dimarahi tanpa usul periksa oleh pihak atasan dan saya tidak diberi peluang untuk menerangkan keadaan sebenar. Saya rasa tersepit dan dada sebu dengan pelbagai perasaan yang cukup merobek hati dan perasaan. Saya pasti tidak seorang pun yang gemar apabila dituduh tanpa diberi peluang untuk menerangkan keadaan sebenar kerana tidak seorang pun yang ingin melakukan kesilapan dengan sengaja. Sekiranya salah tersebut berpunca dari kelemahan diri sendiri, dengan rela hati saya akan mengakui dan menerimanya sebagai salah satu perkara yang perlu saya perbaiki pada masa hadapan. Namun sekiranya kesilapan berpunca daripada pihak lain dan peluang tidak diberi untuk menerangkan kedudukan sebenar, agak berat untuk saya menerimanya.

Menjadi tabiat saya, apabila geram atau bengang, saya tidak gemar untuk menyimpannya lama-lama. Saya lebih suka untuk meluahkannya kepada rakan-rakan atau teman-teman sepejabat yang saya anggap boleh saya percayai. Kadang-kadang meluahkannya bukan bermaksud kita mengharapkan mereka untuk menyokong tindakan yang diambil atau situasi yang sedang dialami, sebaliknya cukup sekadar untuk menjadi pendengar sahaja. Seringkali pula saya akan kembali merenung apa yang telah berlaku dari sudut pandang yang berbeza sebaik melepaskan apa yang terbuku di hati.

Mungkin apa yang berlaku adalah kafarah ke atas dosa-dosa yang telah saya lakukan,” saya cuba memujuk hati sendiri.

Selalunya ia benar. Musibah menimpa diri sebagai satu peringatan atas kelalaian yang berpunca daripada diri sendiri. Balasannya mungkin dalam bentuk yang pelbagai. Hal yang sama juga apabila diri ditimpa musibah seperti kecederaan fizikal yang minor, saya anggap itu adalah sebagai satu cara untuk Allah mengampunkan dosa-dosa yang telah saya lakukan. Justeru, apabila saya dimarahi oleh pihak atasan, saya cuba memujuk hati dengan menyatakan bahawa mungkin itu manifestasi kemurkaan Allah atas dosa yang telah saya lakukan. Jika dimarahi manusia sudah cukup membuatkan saya menjeruk rasa, bayangkan pula bagaimana rasanya dimurkai Allah Taala. Itu sudah cukup untuk membuatkan saya merasa kerdil sebagai hambaNya.

Namun, dalam kegundahan itu, ada satu insiden pada hari Jumaat lepas yang mengubat hati saya apabila saya berbual-bual bersama teman sepejabat yang lebih junior dalam perkhidmatan. Saya kurang gemar melabel mereka sebagai ‘orang bawahan’ sebaliknya lebih cenderung menganggap mereka sebagai ahli pasukan kerana hakikatnya matlamat kami sama. Yang membezakan kami cuma pada usia dan juga giliran memasuki perkhidmatan. Namun itu tidak bermakna mereka ‘kurang’ berbanding saya. Hakikatnya, kami saling memerlukan. Justeru, saya cuba untuk mengurangkan protokol dan merapatkan jurang yang saya perasan wujud sebelum kehadiran saya di sini lagi. Mustahil untuk saya menghapuskannya dalam sekelip mata namun itu tidak bermakna saya harus berdiam diri. Saya mulakan dengan kelompok kecil yang dekat dengan saya sendiri. Namun saya tidak mengharapkan mereka untuk melihat apa yang saya lakukan itu sebagai sesuatu yang perlu dibangga-banggakan atau dipuji kerana yang saya pentingkan adalah wujud keselesaan antara kami untuk berinteraksi. Saya yakin keselesaan akan mencipta kepercayaan dan seterusnya keseronokan dalam bekerja. Apa yang saya lakukan kepada mereka adalah apa yang saya harapkan berlaku kepada saya jua. Saya mengharapkan keselesaan apabila berinteraksi dengan sesiapa jua terutama mereka yang sering saya temui lebih 8 jam setiap hari, 5 hari seminggu. Saya sering merasakan bahawa kepercayaan adalah amat penting dalam sesebuah perhubungan kerana ia akan menerbitkan rasa hormat. Ia bukan satu rasa hormat berbentuk paksaan sebaliknya lahir dari hati nurani yang luhur atas kepercayaan yang telah terbina. Ia bukan satu proses yang mudah tetapi tidak mustahil.

Justeru, apabila saya berbual bersama mereka pada hari Jumaat lepas, kata-kata mereka yang tidak saya jangka akan dilafazkan, sedikit sebanyak telah menyejukkan hati saya.

Puan, tahu tak? Puan adalah satu-satunya KPP yang boleh duduk borak-borak dengan kitaorang macam biasa. Kira macam kami tak segan sangat dengan puan,” itu luahan mereka.

Janganlah macam tu. Saya rasa KPP yang lain tu terlalu banyak kerja berbanding saya,” jawab saya cuba untuk berjenaka dengan mereka.

Betul puan. Masa puan kursus hari tu, kami tertunggu-tunggu bila puan nak balik,” balas mereka bersungguh-sungguh.

Saya tergamam dan hanya tersengih mendengar kata-kata mereka. Tidak tahu apa lagi yang ingin dijawab kerana jawapan saya mungkin boleh membawa kepada pelbagai interpretasi. Namun kata-kata mereka yang saya rasakan begitu ikhlas telah meredakan badai yang sedang melanda hati saya. Rupa-rupanya tindakan saya yang gemar memulakan salam dan menegur sapa mereka apabila berselisih memberikan kesan di hati mereka. Saya tidak berniat lain. Hanya sekadar memanjangkan sunnah Nabi kerana pesan Baginda, antara perkara yang paling mudah untuk menyebarkan kasih sayng adalah dengan memberi salam. Ia nampak kecil tapi kesannya besar.

Friday, February 25, 2011

Kesilapan

Bismillahirrahmanirrahim...


Minggu ini merupakan minggu pertama saya kembali ke pejabat selepas berkursus selama 6 minggu di INTAN. Saya akan berada di sini selama 7 bulan lagi sebelum memasuki IPTA pada bulan September kelak. Satu tempoh yang saya rasakan cukup panjang walaupun ada sesetengah rakan yang berkata, ia hanya sekejap sahaja. Namun saya merasakan sebaliknya. Ia satu tempoh yang cukup lama dan panjang untuk dilalui. Mungkin kedengaran sedikit negatif lagaknya tetapi saya hanya menyatakan kenyataan yang sedang dihadapi. Mungkin juga kerana hati saya sudah tidak sabar-sabar untuk kembali ke alam akademik. Sejujurnya, saya benar-benar menikmati momen-momen indah sewaktu berkursus di INTAN tempohari. Meskipun dibebani dengan pelbagai tugasan, kuiz dan peperiksaan sepanjang tempoh kursus, suasananya cukup berbeza. Di sana saya punya rakan dan teman untuk sama-sama memikul beban yang ditanggung membuatkan saya merasa kuat untuk meneruskan langkah. Setiap tugasan yang diberi kami selesaikan bersama-sama meskipun wujud jua watak-watak manusia yang cuba melarikan diri daripada tanggungjawab. Namun itu adalah watak-watak yang biasa kita temui dalam kehidupan ini dan setidak-tidaknya itu memberi kita peluang untuk mengenali wajah sebenar mereka agar kita lebih berhati-hati seandainya kita ditakdirkan untuk berurusan dengan golongan ini kelak. Yang penting, pastikan diri kita tidak sama sekali tergolong dalam kelompok itu. Benar kata bijak pandai, kita akan melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati serta tanpa perlu disuruh sekiranya kita meminati atau menyukai aktiviti tersebut. Sebaliknya, situasi berbuat sesuatu seperti melepaskan batuk di tangga akan tercetus.

Kembali ke pejabat bermakna saya perlu berjuang sendirian. Suasana di sini memang jauh berbeza dengan tempat kerja saya sebelum ini. Lain padang, lain belalang. Kata bijak pandai lagi, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Saya cuba sedaya upaya mempositifkan diri mendepaninya dengan sabar namun semakin hari saya semakin lemah. Berjuang bersendirian membuat saya menjadi cepat letih dan penat malah kurang bersemangat dalam melaksanakan tugasan dan setiap hari adalah satu perjuangan yang cukup mencabar buat diri saya. Hari pertama memasuki pejabat, saya berazam menutup lembaran lama dan membuka lembaran baru demi tempoh 7 bulan yang perlu dilalui. Kepada rakan sepejabat, saya mohon bantuan agar membantu saya merealisasikan azam ini walau saya tahu mereka jua mungkin sedang berdepan masalah yang sama. Namun saya percaya kami perlu saling menyokong. Setidak-tidaknya kami punya satu sama lain terutama apabila melalui saat-saat getir seperti hari ini.

Saya akui saya telah melakukan kesilapan dan saya terima apa jua natijahnya dengan penuh tanggungjawab. Pendirian saya, tiada manusia yang lepas dari melakukan kesilapan. Yang penting, belajar dari kesilapan dan pastikan ia tidak berulang pada masa hadapan. Dunia yang sedang saya hadapi ini adalah satu dunia baru yang sedikit asing bagi saya. Meskipun telah memasuki bulan ke-6 di sini, saya masih belum mendapat satu posisi yang saya rasakan selesa. Keterasingan masih saya rasakan meskipun berada dalam riuh manusia dan jajaran mesyuarat yang tidak kunjung putus. Ada sesuatu yang kurang di sini, membuatkan saya gagal mempamerkan potensi sebenar diri saya. 6 bulan di sini, saya masih belum menemui kepuasan yang sering saya sasarkan setiap kali selesai melakukan sesuatu tugasan. Saya masih mencari-cari di mana silapnya sehingga saya perlu berdepan dengan situasi ini? Namun ini bukan manifestasi kekecewaan atas tindakan saya bertukar angin dahulu. Sekali melangkah, pantang mundur kembali. Saya yakin dengan keputusan yang telah dibuat namun saya masih mencari-cari hikmah atas apa yang sedang saya lalui kini. Pasti Allah ingin mengajar saya tentang sesuatu. Itu yang sedang saya cari. Saya akur akan janjiNya, bersama-sama kesukaran adalah kemudahan. Kini, saya berdepan jalan sukar yang dihujungnya pasti adalah jalan yang mudah. Saya tidak boleh berhenti melangkah meski terpaksa memijak onak dan duri di sepanjang perjalanan. Ia menyakitkan namun ia bukan alasan untuk saya beralah.

Benar saya kecewa apabila dihambur dengan kemarahan oleh pihak atasan atas kesilapan yang telah saya lakukan meskipun ia bukan tindakan yang saya sengajakan. Apapun, kesilapan tetap kesilapan dan ia telah saya lakukan. Soalnya, adakah sesiapa dalam dunia ini yang berani mengangkat tangan dan mengaku bahawa dia tidak pernah melakukan sebarang kesilapan? Saya yakin tidak seorang pun terkecuali daripada melakukan kesilapan termasuk saya sendiri. Namun yang saya kesali adalah cara situasi itu dikendalikan yang saya rasakan penuh dengan emosi dan kurang profesional. Dilabel sebagai pegawai muda generasi baru, saya tidak dapat menerima pendekatan sebegitu. Mereka mendakwa dunia sudah berubah dan mendesak orang lain untuk turut berubah sama, namun hakikatnya diri mereka sendiri masih di takuk lama. Agak sukar untuk saya menerima keadaan yang boleh diibaratkan seperti ketam mengajar anak berjalan betul. Ya benar, ada hukum yang mendakwa seorang ketua sentiasa betul namun jangan dilupa, ketua juga seorang manusia. Tidak lepas dari melakukan kesilapan. Alangkah indahnya jika kebenaran ini dapat difahami oleh kedua-dua pihak. Pasti wujud mahabbah dalam melaksanakan pekerjaan. Pun begitu, saya juga sedar, saya tidak akan mampu merubah mereka dengan daya upaya saya sendirian. Justeru, apa pun berlaku, saya akan tetap bersabar sehingga tiba saat saya akan melangkah pergi dari sini.

Yang pasti, seandainya saya berada di tempat mereka kelak, saya akan cuba untuk tidak berkelakuan seperti mereka, insyaAllah.

Wednesday, February 23, 2011

Pra-Kembara Ke Kota Singa - Episod 2

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya sentiasa teruja dan cuba untuk seteliti mungkin setiap kali merancang untuk percutian atau satu-satu perjalanan yang akan ditempuh. Saya lebih gemar mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang tempat yang akan dikunjungi agar dapat menjimatkan masa sewaktu berada di lokasi yang dituju. Pendek kata, saya cuba untuk memaksimumkan penggunaan masa yang terhad di sesuatu tempat dengan sebaik mungkin.

Lain orang mungkin lain caranya. Namun bagi saya, setiap kali merancang untuk sebuah kembara, ada beberapa perkara yang saya tetapkan dan ambilkira iaitu antaranya adalah niat/objektif kembara, teman kembara, kaedah pengangkutan, kemudahan penginapan dan senarai tempat-tempat yang ingin dilawati. Sudah pasti saya cuba untuk mendapatkan semua perkara tersebut dengan bajet yang paling minima tanpa mengorbankan pengalaman berharga yang ingin diraih. Tindakan yang sama saya ambil untuk kembara ke Kota Singa kelak.

Perkara paling asas adalah tetapkan niat atau nawaitu - Nawaitu saya adalah untuk melihat sendiri dan merasai pengalaman berkelana ke bumi asing. Semoga dengan itu saya akan lebih bersyukur dengan nikmat yang ada di bumi sendiri. Paling penting, kembara mengajar seseorang untuk menyesuaikan diri apabila berada dalam sesuatu keadaan jauh di luar zon selesa. Kembara juga mengajar seseorang untuk menjadi kreatif dan berfikir dengan pantas untuk membuat keputusan apabila berada dalam keadaan terdesak. Hakikatnya manusia menjadi lebih kreatif apabila berada dalam keadaan tertekan dan mampu menunjukkan potensi sebenar yang sekian lama terpendam dalam diri. Pesan orang tua, malu bertanya sesat jalan. Kembara akan membuka lingkaran ‘malu tidak bertempat’ yang ada dalam diri seseorang. Jalan paling mudah untuk sampai ke sesebuah destinasi adalah dengan bertanya kepada penduduk setempat atau mereka yang pernah melalui jalan tersebut.

Teman kembara - Kali ini saya akan ke Kota Singa bertiga iaitu bersama adik perempuan dan seorang rakannya. Pastikan teman kembara yang dipilih seorang yang tidak terlalu cerewet, tidak terlalu berkira dan mudah untuk diajak berbincang. Jika tidak, pasti tempoh kembara akan menjadi satu perjalanan yang cukup menyeksakan dan cukup menyakitkan hati.

Tarikh yang bersesuaian - Seeloknya elakkan tarikh yang bertembung dengan cuti perayaan atau cuti umum. Rasionalnya, kebanyakan peniaga akan menaikkan harga pada hari cuti tersebut. Untuk kembara kali ini, kami memilih untuk bertolak pada 11 Mac 2011 dan pulang pada 13 Mac 2011. Saya cuba untuk memilih tarikh yang tidak memerlukan saya untuk mengambil cuti rehat.

Rancang pengangkutan yang ingin digunakan - Pengangkutan untuk perjalanan pergi dan balik tidak semestinya sama. Oleh kerana masa yang kami peruntukkan bagi kembara kali ini agak terhad iaitu 3 hari 2 malam sahaja, kami perlu memilih pengangkutan yang dapat memberikan kami masa yang cukup di bumi Singapura kelak tetapi pada masa yang sama tidak memerlukan perbelanjaan yang besar. Saya telah membuat senarai pengangkutan yang boleh digunakan dan yang paling penting menjimatkan bajet bagi kembara kali ini, iaitu bas, kereta api dan kapal terbang. Untuk merasai pengalaman berbeza, perkhidmatan bas telah awal-awal dikeluarkan daripada senarai. Bermakna yang tinggal hanya kemudahan kereta api dan kapal terbang sahaja. Kami memutuskan untuk bertolak pada Jumaat malam (11/3) dengan menaiki kereta api dan pulang pada hari Ahad (13/3) dengan menaiki kapal terbang.  


Untuk perkhidmatan kapal terbang pula, saya senaraikan perkhidmatan udara tambang murah yang ditawarkan dalam pasaran untuk laluan KL-Singapura. Saya dapati syarikat Tiger Airways ada menawarkan promosi harga murah pada tarikh tersebut malah jauh lebih rendah daripada harga tambang yang ditawarkan oleh AirAsia. Tanpa berlengah, saya terus membuat tempahan tiket bagi tarikh kepulangan kami kelak.

Walaupun telah melakukan carian yang saya rasakan menyeluruh dan membuat pilihan pengangkutan yang bersesuaian, nyata Allah menetapkan aturan yang lain buat saya. Saya langsung tidak terfikir untuk menyenaraikan satu lagi alternatif perjalanan pulang daripada Singapura iaitu dengan bertolak menaiki bas dan menaiki kapal terbang di Johor Bharu. Malah ada satu lagi alternatif pengangkutan daripada Singapura ke JB iaitu keretapi. Saya hanya teringat tentang perbualan bersama seorang rakan yang pernah beberapa kali ke Singapura untuk menaiki bas daripada Singapura dan kemudian meneruskan perjalanan ke KL dengan menaiki kapal terbang selepas tempahan tiket kapal terbang selesai dibuat. Mulanya saya kecewa juga dengan tindakan yang boleh dikatakan sedikit terburu-buru (teruja sebenarnya dengan harga ditawarkan) tapi betul juga kata rakan saya itu, mungkin ini peluang untuk saya melihat sendiri keadaan lapangan terbang Changi di Singapura. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Memang menjadi niat saya untuk membawa abah dan ummi pula ke Singapura selepas ini. Sekurang-kurangnya dengan ‘kesilapan’ ini membuka jalan kepada saya untuk melihat pelbagai alternatif keluar—masuk Singapura dengan perbelanjaan yang berpatutan.

Penginapan – Memandangkan objektif kembara pada kali ini adalah untuk mencari pengalaman di bumi asing, saya merasakan tidak berbaloi untuk menempah hotel kerana yang penting adalah kami mempunyai tempat untuk melelapkan mata buat seketika dan bertukar pakaian. Untuk itu, setakat ini tiada tempahan awal hotel dibuat bagi sebaliknya tumpuan kami adalah kepada backpackers’ hostel atau hotel bajet sahaja, bergantung kepada harga yang ditawarkan. Namun kami masih belum memutuskan sama ada untuk membuat tempahan awal hostel bersesuaian kerana perlu mengkaji terlebih dahulu kesesuaian kedudukan penginapan tersebut dengan jarak tempat-tempat yang ingin dikunjungi. Malah saya masih mencari-cari maklumat penginapan (hostel) daripada laman web bersesuaian dan cuba untuk memperincikannya agar tidak membuat pilihan yang kurang tepat.

Solat - Awal-awal lagi saya sudah mendapatkan senarai waktu solat daripada laman web JAKIM sebagai panduan ketika di sana. Turut dibawa adalah penunjuk arah kiblat jika kebetulan penginapan kami kelak tidak menyediakan kemudahan tersebut. Maklumlah berada di tempat orang, sudah pasti berbeza dengan tempat sendiri. Tidak perlu merungut sebaliknya perlu memastikan segala kelengkapan yang perlu dibawa secukupnya. Sudah menjadi adat, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum (amat bernasib baik jika tidak dibahamnya). Lagi pula, kemudahan solat jama’ boleh kami gunakan sepanjang berada dalam musafir.

Pakaian solat - Untuk wanita, jika dalam keadaan biasa, kita selalunya memakai kain telekung untuk bersolat. Namun dalam kembara, eloklah difikirkan satu kaedah pemakaian yang bersesuaian tetapi masih menutup aurat untuk menunaikan solat. Jadi, saya memikirkan untuk membawa sehelai kain sejadah sahaja untuk dijadikan alas dan stokin untuk dipakai semasa solat. Islam itu mudah. Asalkan menutup aurat, solat dapat ditunaikan. Yang penting, jumlah pakaian yang dibawa hanya ala kadar sahaja bersesuaian dengan beg yang akan digunakan adalah knapsack sahaja.

Maklumat/Rujukan – Saya cuba untuk menyenaraikan terlebih dahulu lokasi-lokasi menarik yang boleh dikunjungi untuk mengelakkan pembaziran masa kelak. Seorang rakan juga telah bermurah hati untuk meminjamkan 3 buah buku sebagai panduan sebelum ke sana. Rakan ini saya juga telah jauh mengembara ke serata pelusuk dunia terutama ke Negara Timur Tengah. Justeru, kesediaan beliau untuk meminjamkan buku-buku milik beliau kepada saya umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Mulanya saya bercadang untuk membeli sebuah buku sebagai panduan tetapi nampaknya hasrat itu tidak perlu diteruskan lagi.

Menghitung hari...

Monday, February 21, 2011

Pra-Kembara ke Kota Singa - Episod 1

Bismillahirrahmanirrahim...


Dulu saya pernah mempersoalkan tindakan abah yang sering ‘mengangkut’ kami (ummi dan adik-beradik) hampir ke semua tempat yang abah kunjungi termasuk berkunjung ke rumah saudara mara yang terletak di pedalaman. Saya sering merasakan ia satu momen yang menyukarkan. Bayangkan 8 orang anak-anak termasuk abang-abang saya yang sudah meningkat remaja ‘disumbatkan’ ke dalam sebuah kereta tanpa penghawa dingin. Masing-masing berebut ingin berada di tepi tingkap untuk mendapatkan udara dan seringkali kami dimarahi abah kerana kebingitan yang timbul dari perebutan kami. Selalunya adik-adik yang masih kecil akan terpaksa beralah dengan abang-abang dengan alasan adalah bahaya anak kecil duduk di tepi pintu, bimbang jatuh tergolek. Ummi yang duduk di sebelah abah pula akan memangku 2 orang adik lelaki bongsu yang masih kecil. Apabila bertembung dengan polis pula, cepat-cepat salah seorang daripada mereka akan disorokkan di bawah ruang kaki. Begitulah keadaannya setiap kali kami ingin ke mana-mana namun abah amat jarang meninggalkan kami di rumah.

Apabila saya meningkat remaja, saya temui jawapan kepada persoalan yang pernah bermain dalam kepala saya. Kata abah,

“Abah bawa berjalan-jalan supaya kamu tahu bahawa dunia ciptaan Allah ini luas. Masih banyak perkara yang belum kita lihat.”

Jawapan yang abah berikan hanya saya telan dan simpan dalam memori fikiran sahaja. Ia tidak menjadi kudis namun kesannya kami adik-beradik gemar berkelana. Tidak betah untuk duduk diam sahaja terutama pada hujung minggu. Ada sahaja destinasi yang ingin dituju dan dinikmati pemandangannya.

Kini saya sedar, tindakan abah telah membentuk satu perspektif dan dimensi kami terhadap kehidupan ini, bahawa dunia ini cukup luas untuk diterokai. Masih banyak perkara yang boleh dipelajari dan ia tidak hanya terhad kepada ruang lingkup kehidupan seharian sahaja.

Melihat senarai kembara teman-teman pula membuat saya merasa cukup kerdil. Mereka telah jauh melangkah sementelah saya masih di sini. Masih banyak yang belum saya lihat dan lalui dalam kehidupan ini sedangkan ia satu pengalaman yang cukup berharga. Senarai kembara sedia ada perlu dipanjangkan lagi dan langkah seterusnya adalah ke bumi Singapura tetapi dengan cara yang sedikit berbeza.

Tiket pengangkutan telah berada dalam tangan. InsyaAllah, 11 Mac 2011 akan menjadi titik baru dalam senarai kembara saya. Pengalaman baru ini akan saya kongsi dari semasa ke semasa bermula dengan pemilihan pengangkutan sehingga kami kembali ke KL kelak.

Sebagai langkah awal, saya telah mula mendapatkan maklumat daripada rakan-rakan yang pernah ke sana sebelum ini di samping melayari laman-laman web berkaitan. Semoga kembara kami dipermudahkan-Nya.

Saturday, February 19, 2011

Dalam Hati Ada Taman

Bismillahirrahmanirrahim...

1. Taman Tasik Titiwangsa
2. Taman Tasik Shah Alam
3. Taman Tasik Permaisuri
4. Kelab Tasik, Presint 8, Putrajaya
5. Taman Tasik Ampang Hilir
6. Tasik Cempaka, Bangi
7. Taman Putra Perdana, Putrajaya

Itu nama-nama taman yang ada dalam hati saya.

Taman Tasik Titiwangsa: Saya sering ke sini dengan menaiki motorsikal sewaktu masih menuntut di UIA Gombak kerana ini taman terdekat yang saya ketahui. Taman ini kemudiannya menjadi lokasi kunjungan riadah saya apabila tinggal di Keramat bersama adik-adik walaupun kunjungan itu tidak sekerap dirancang. Namun ada gerai cendol di situ yang telah berjaya memikat hati saya. Cerita mengenai gerai cendol ini pernah saya tulis dalam entri sebelum ini.

Taman Tasik Shah Alam: Taman ini benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya. Taman ini yang terletak bersebelahan dengan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah merupakan salah satu lokasi saya untuk mengeluarkan peluh sama ada pada waktu pagi atau petang. Waktu itu saya masih mengajar di UiTM Shah Alam dan waktu kelas saya kebanyakkannya pada waktu malam. Jadi saya punya banyak waktu untuk melakukan aktiviti mengeluarkan peluh dan saya benar-benar menikmatinya.

Taman ini turut menjadi saksi kegigihan saya mempersiapkan diri untuk menjalani ujian larian yang merupakan salah satu kriteria ujian bagi jawatan yang saya pohon. Ujian tersebut memerlukan saya untuk menghabiskan larian sejauh 2.4km dalam tempoh 20 minit sahaja. Alhamdulillah, berkat kesungguhan mencuba untuk melakukan yang terbaik, saya telah berjaya dalam ujian tersebut. Saya sering mengingatkan diri sendiri agar bersaing dengan piawai diri sendiri terlebih dahulu sebelum bersaing dengan piawai sebenar. Taman ini benar-benar dekat di hati saya kerana hampir 2 tahun tinggal di Shah Alam, taman ini telah menjadi sebahagian daripada hidup saya.

Taman Tasik Permaisuri: Apabila saya berpindah ke Bandar Tasik Selatan, taman ini menjadi lokasi kegemaran saya untuk mengeluarkan peluh terutama pada hujung minggu. Saya gemar dengan lanskap dan trek laluannya yang mencabar dan pelbagai. Malah pelbagai aktiviti diadakan secara sukarela oleh pengunjung dan saya boleh memilih untuk menyertai mana-mana kumpulan yang ada di situ. Contohnya, ada sekumpulan yang mengadakan aerobik rancak, santai dan ada yang memilih Tai-Chi. Tiada sebarang syarat untuk menyertainya dan kita bebas untuk memilih mana-mana kumpulan yang diminati. Kadang-kadang saya hanya ke sana bersendirian sahaja atau sekali sekala ditemani oleh rakan serumah. Pada kebanyakan waktu pula, saya akan ke sana bersama teman baik, Azlina dan Yun. Kami sering bertemu di sana untuk beriadah di samping berborak-borak sambil menikmati sarapan di sebuah gerai makan yang terletak tidak jauh dari taman itu.

Kelab Tasik, Presint 8, Putrajaya: Saya sering ke sini selepas tamat waktu kerja namun kunjungan itu terhenti apabila saya gagal untuk meninggalkan pejabat pada waktu yang diharapkan. Lantas saya terpaksa melupakan seketika aktiviti beriadah selepas waktu kerja apabila masa seolah-olah tidak berpihak kepada saya. Namun terus-terang, saya agak menyukai trek laluannya yang dihiasi oleh rimbunan pepohon yang cukup menyegarkan apabila kita melaluinya. Terasa seolah-olah oksigen yang segar sedang dihirup memasuki setiap urat saraf yang mengalir dalam anggota badan.

Taman Tasik Ampang Hilir: Taman ini juga merupakan salah satu taman yang pernah saya kunjungi sewaktu tinggal di Keramat. Namun saya kurang menggemari struktur trek lariannya yang tidak berhubung antara penghujung. Bermakna saya tidak dapat menghabiskan larian satu pusingan sebaliknya terpaksa berpatah balik setiap kali tiba ke penghujungnya.

Tasik Cempaka, Bangi: Kini, apabila tinggal di Balakong Jaya, saya mula mencari-cari lokasi bersesuaian untuk mengeluarkan peluh sekurang-kurangnya pada hujung minggu. Lalu saya putuskan untuk memilih taman ini. Namun saya akui saya kurang gemar dengan treknya. Sama seperti Taman Tasik Ampang Hilir, saya kurang gemar dengan penghujung trek yang tidak bercantum antara satu sama lain. Terasa seperti seolah-olah tidak lengkap pusingan larian yang dibuat. Lalu saya mula mencari-cari lokasi lain yang menepati citarasa saya.

Taman Putra Perdana, Putrajaya: Semenjak mengikuti kursus di INTAN, saya dapati saya punya waktu untuk beriadah apabila kelas tamat awal dan saya mampu tiba di rumah sebelum jam 6.00 petang. Awalnya saya berazam untuk beriadah di INTAN sahaja sebaik tamat kelas tetapi apabila memikirkan trafik yang perlu saya hadapi jika pulang pada waktu puncak, saya batalkan hasrat untuk beriadah di INTAN walaupun saya sedikit kecewa. Ini kerana INTAN mempunyai segala kelengkapan yang saya gemari iaitu gimansium, kolam renang dan sauna. Lalu saya mula berkira-kira untuk mencari lokasi yang sesuai untuk meneruskan aktiviti kegemaran saya. Akhirnya, saya putuskan untuk mencuba trek di Taman Putra Perdana, Putrajaya. Anehnya, setelah hampir 5 tahun bertugas di Putrajaya, ini merupakan kali pertama saya datang ke sini untuk beriadah. Saya pernah datang ke sini sebelum ini tetapi sekadar membawa adik-adik bersiar-siar. Saya jatuh cinta pada trek di sini pada kunjungan kali ini. Akhirnya, saya menemui trek yang mampu mengikat saya untuk meneruskan kembali aktiviti kegemaran saya.


Putrajaya punya banyak lokasi menarik

Indahnya ciptaan Ilahi



Saya bukan peminat sukan tegar tetapi saya tidak ingin jatuh sakit. Paling merisaukan apabila keputusan ujian kesihatan yang saya jalani menunjukkan paras kolesterol saya telah berada pada tahap membimbangkan. Jika saya tidak bertindak dan kandungan kolesterol mencecah paras bahaya, saya tidak akan dapat berpatah balik lagi. Saya membayangkan yang segala impian saya akan musnah. Masih banyak yang ingin saya kecapi dalam hidup ini dan untuk itu, saya memerlukan keadaan kesihatan yang baik.


Putrajaya nyata punya banyak lokasi riadah yang menarik untuk dinikmati namun saya pasti tidak ramai yang mampu untuk menikmatinya terutama pada hari bekerja. Saya merujuk kenyataan ini kepada diri sendiri. Hambatan kerja sering membantutkan hasrat saya untuk beriadah selepas waktu bekerja malah pakaian sukan yang dibawa hanya kekal terperuk di dalam bonet kereta. Kekecewaan memang tidak dapat dinafikan namun saya harus berubah demi kebaikan diri sendiri. Sebagai langkah permulaan, saya tetapkan cabaran 30 hari kepada diri sendiri dan saya berharap untuk terus istiqamah kepadanya.

Cabaran 30 Hari

Bismillahirrahmanirrahim...
Semakin hari kerisauan terhadap tahap kesihatan diri sendiri semakin saya rasai namun tiada sebarang tindakan penyelesaian yang saya ambil. Malah saya juga dapat merasakan stamina diri saya semakin berkurangan berikutan gaya hidup yang tidak teratur.
Justeru, saya nekad untuk mencabar diri sendiri selama 30 hari dengan:
  1. Menahan diri daripada memakan nasi dan minuman berais atau bergas;
  2. Aktiviti senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu (Sabtu/Ahad, Selasa, Khamis); dan 
  3. Aktiviti berenang sekurang-kurangnya sekali seminggu (Rabu).
Melihat beberapa orang rakan ditimpa penyakit dalam usia yang masih muda membuatkan saya gerun. Mencegah lebih baik daripada merawat di samping saya tidak mahu membebankan orang lain kerana keadaan kesihatan saya yang kurang baik. Saya lebih gemar memastikan diri saya dalam keadaan yang baik agar dapat membantu orang lain. Paling penting, saya sedar ‘akal yang sihat ada pada badan yang sihat’.
Sukar? Memang tidak dapat saya nafikan lagi tetapi saya harus bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk. Masih banyak perkara yang ingin saya kecapi dalam hidup ini dan saya tidak ingin faktor kesihatan menjadi penghalangnya. Saya juga tidak menafikan, antara penyebab utama kepada tekad saya ini adalah rentetan kepada hasrat saya untuk merealisasikan impian mengembara melihat keindahan dan keluasan dunia.
Tarikh tamat cabaran saya adalah pada 18 Mac 2011. Ia sukar tapi tidak mustahil.
Chaiyok2!

Wednesday, February 16, 2011

Kembara

Bismillahirrahmanirrahim...

Mari-Mari Cultural Village, Sabah
1. Mengembara mengelilingi Malaysia;

2. Mengembara ke Timur Tengah – jejak rasul; dan

3. Mengembara mengelilingi Eropah.

Itu adalah 3 perkara yang baru saya tambah dalam senarai impian. Saya tulis impian yang ingin saya capai kerana menurut pakar motivasi, impian perlu ditulis untuk memastikannya menjadi kenyataan. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran saranan ini namun saya tidak dapat menafikan yang beberapa impian yang pernah saya senaraikan sebelum ini telah menjadi realiti. Meskipun tidak semua impian tersebut telah menjadi realiti, kemanisan melihat sebahagian senarai impian menjadi kenyataan adalah sesuatu yang cukup bermakna dalam hidup saya. Mana-mana impian yang belum menjadi kenyataan pula akan saya kekalkan dalam senarai tersebut dengan keyakinan ia akan menjadi kenyataan.

Pesan orang-orang tua, jauh berjalan, luas pandangan. Saya amat bersetuju dengan pesanan ini malah mengakui bahawa mereka yang banyak mengembara sama ada di dalam atau luar negara akan memiliki perspektif yang berbeza berbanding mereka yang tidak. Banyak pelajaran dan pengajaran yang dapat dipelajari di samping menimba pengalaman apabila berada di luar kelompok/zon selesa yang telah sekian lama kita diami. Seringkali kita hanya menghargai sesuatu perkara apabila kita tidak lagi memilikinya. Justeru, kembara dengan keluar daripada zon selesa buat seketika, sama ada rumah atau pejabat, pasti akan membuka mata kita untuk membina sudut pandang berbeza dalam kehidupan kita. Malah kita pasti akan lebih menghargai apa yang kita miliki di Negara sendiri apabila kita membuat perbandingan dengan Negara lain. Seorang teman yang melanjutkan pengajian di luar Negara pernah berkata,

“Aku rasa nak cium lantai KLIA bila jejak kaki kat Malaysia.”

Saya yakin teman saya itu tidak akan berbuat demikian namun itu adalah ekspresi kepada kerinduan beliau kepada Malaysia sepanjang tempoh pengajian di luar Negara.

Saya gemar mengembara melihat alam ciptaan Ilahi. Alhamdulillah, 14 negeri telah berjaya saya jejakkan kaki namun masih banyak juga tempat-tempat menarik yang belum saya terokai. Menjadi tabiat saya untuk memandu melalui jalan dalam apabila merentasi sesebuah negeri kerana gemar singgah di tempat-tempat menarik yang ada di situ. Hasrat saya selepas ini adalah untuk merentasi Malaysia dengan menaiki keretapi pula.

Senarai kembara saya ke luar negeri pula masih berada pada paras yang rendah. Setakat ini, Negara-negara yang telah berjaya dijejaki adalah Mekah, Madinah, Singapura dan Medan, Indonesia. Masih banyak tempat yang belum saya terokai dan saya begitu teruja untuk menjadikannya satu realiti. Keterujaan ini semakin melonjak-lonjak apabila melihat senarai Negara yang telah dijejaki oleh seorang rakan yang lebih muda daripada saya. Rakan ini baru saya kenali dalam kursus yang sedang dijalani di INTAN tetapi saya nyata cemburu melihat kembara perjalanan yang telah dilalui oleh beliau. Senarainya begitu panjang dan saya pasti pelbagai pengalaman menarik telah beliau kutip sepanjang tempoh pengembaraan tersebut.

Saya masih ingat hasrat abah saya untuk mengembara mengelilingi Malaysia bersama anak-anak. Sedaya mungkin saya cuba menjadikan impian itu satu kenyataan. Kembara Medan pada tahun lepas adalah satu permulaan yang baik. Meskipun letih menguruskan segala persiapan, saya tidak dapat menafikan yang saya puas kerana dapat menggembirakan hati abah dan ummi. Sementara itu, saya akan cuba memenuhi impian sendiri untuk berkelana melihat keindahan alam ciptaanNya. Impian saya mungkin masih jauh dari kenyataan tetapi dengan keinginan dan usaha yang bersungguh-sungguh, tidak mustahil ia pasti akan menjadi kenyataan. Langkah pertama adalah dengan menyertai Kelab Backpackers Malaysia yang baru saya ketahui kewujudannya melalui laman Facebook.

“A journey of a thousand miles must begin with a single step”

Saturday, February 12, 2011

Buku

Bismillahirrahmanirrahim...


Kali terakhir saya membeli buku teks adalah kira-kira 7 tahun yang lalu iaitu tahun akhir di IPTA. Selepas tempoh itu, saya sering membeli buku tetapi buku teks tidak tersenarai dalam belian tersebut. Pagi ini, saya ke Pekan Buku, UM untuk membeli beberapa buah buku teks yang perlu digunakan sebagai rujukan dalam kursus yang sedang saya ikuti.

Saya memang mencintai buku malah mengidamkan untuk mempunyai mini perpustakaan sendiri di rumah. Kecintaan terhadap buku telah wujud dalam diri saya sejak kecil lagi. Saya masih ingat bergelumang dalam longgokan buku milik abah walaupun sering dimarahi oleh ummi kerana kerap menyepahkannya. Malah saya sering ke perpustakaan apabila mempunyai masa terluang walaupun terpaksa mengayuh basikal untuk ke sana. Saya gemar dengan suasana dalam perpustakaan yang dianggap sebagai gedung ilmu. Dek kerana itu, saya tidak kisah jika perlu menghabiskan banyak masa di perpustakaan pada setiap hari.

Sejak berada dalam alam kerjaya, untuk mengubat kerinduan terhadap perpustakaan, saya sering menghabiskan masa di kedai buku seperti MPH jika berkelapangan malah saya mampu menghabiskan masa 2-3 jam di situ menyelak buku-buku yang tersusun di rak-rak. Akhirnya, saya pasti akan membeli sekurang-kurangnya sebuah buku /majalah apabila meninggalkan kedai tersebut. Di samping itu, saya turut melanggan majalah SOLUSI dan Readers’ Digest agar saya sentiasa mempunyai buku atau majalah untuk dibaca.

Kini, meskipun teknologi membolehkan kita untuk mendapatkan maklumat dengan hujung jari sahaja, saya tidak dapat menolak tentang kepentingan buku secara nyata yang dapat dibelek, dikelek dan di’lunyai’kan. Ada sesuatu yang berbeza apabila dapat menghidu bau buku yang dibaca. Kedengarannya mungkin keterlaluan tetapi itulah hakikatnya malah tidur saya pasti ditemani sebuah buku atau majalah. Saya juga akan memastikan sebuah buku atau majalah berada di dalam kereta terutama apabila saya perlu menunggu seseorang/kawan untuk berjumpa. Tabiat saya yang suka tiba lebih awal apabila berjanji untuk satu-satu pertemuan membolehkan saya mengisi masa menunggu dengan membaca buku.

Hari ini, beberapa ratus RM melayang untuk membeli buku rujukan tetapi saya kira ia satu pelaburan yang berbaloi memandangkan saya pasti akan memerlukannya sewaktu menyambung pengajian kelak. Tambahan pula, jumlah tersebut membolehkan saya untuk mendapatkan rebat cukai pendapatan bagi tahun ini. :)

Wednesday, February 9, 2011

Tangguh

Bismillahirrahmanirrahim...
Kamar Perbicaraan
Ini merupakan pengalaman pertama saya menghadiri sesi pendengaran di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Sesi ini merupakan lanjutan kes tuntutan ke atas kontraktor kabinet dapur yang telah saya daftarkan secara online sebelum ini. Tuntutan ini saya buat untuk mendapatkan kata putus terhadap lebihan bayaran yang telah dicajkan oleh kontraktor tersebut terhadap saya sebelum ini. Malah hal tersebut hanya saya sedari apabila membuat semakan semula terhadap resit-resit pembayaran yang telah saya buat memandangkan tempoh untuk pembayaran cukai pendapatan akan bermula pada bulan Mac. Sebaik menyedari kesilapan yang berlaku, saya cuba untuk mengadakan perbincangan bersama kontraktor tersebut namun gagal menemui jalan penyelesaian malah pihak kontraktor memberi pelbagai alasan untuk ‘menghalalkan’ jumlah tersebut. Justeru saya tiada pilihan lain kecuali membawa perkara tersebut kepada pihak ketiga iaitu TTPM.

Memandangkan ini pengalaman pertama, saya ditemani PakSu tiba setengah jam lebih awal daripada masa yang ditetapkan. Jangkaan saya masa yang dimaklumkan dalam surat panggilan adalah masa yang telah ditentukan untuk perbicaraan kes saya namun ternyata jangkaan saya meleset. Rupa-rupanya masa yang ditetapkan adalah merupakan masa perbicaraan kes bermula dan saya harus menunggu giliran kes dipanggil oleh Presiden iaitu hakim yang akan membuat keputusan ke atas perbicaraan kes. Kes pertama memakan masa melebihi satu jam setengah membuatkan saya semakin resah kerana perlu bergegas ke INTAN Kiara pula untuk menduduki peperiksaan. Malah saya terpaksa meminta pelepasan daripada penyelia kursus untuk menghadiri sesi pendengaran tersebut dan melewatkan waktu untuk menduduki peperiksaan.

Selesai kes pertama, giliran kes saya dipanggil namun Presiden memutuskan untuk menangguhkan perbicaraan kes saya kerana pihak penentang gagal untuk hadir pada sesi tersebut. Walaupun saya kecewa dengan keputusan yang dibuat, saya terima penangguhan yang dibuat atas dasar pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Setidak-tidaknya saya dapat melihat bagaimana sesi pendengaran dan perbicaraan sekaligus keputusan dibuat oleh Presiden. Penangguhan yang dibuat akan memberi lebih ruang kepada saya untuk melengkapkan maklumat dan dokumen yang patut dibawa semasa sesi pendengaran. Pengalaman melihat bagaimana kekalutan semasa kes pertama berlangsung berikutan kedua-dua pihak gagal mengemukakan dokumen secara teratur dan lengkap. Malah tindakan mereka telah menyebabkan masa yang diambil untuk menyelesaikan tuntutan masing-masing memakan masa lebih panjang. Yang pasti, tabiat saya yang gemar untuk menyimpan setiap resit pembayaran yang telah dibuat selama ini merupakan satu tabiat yang penting dan menguntungkan diri sendiri apabila berhadapan dengan situasi begini. Setiap keputusan yang dibuat oleh Presiden hanya mengambilkira tuntutan yang disertakan dengan bukti dokumen pembayaran/pembelian sahaja.

Kes saya telah ditangguhkan kepada 16 Mac 2011 dan saya berharap agar kata putus dapat diperoleh pada tarikh tersebut.

Tuesday, February 8, 2011

Su

Bismillahirrahmanirrahim...

Kini rata-rata kenduri mengamalkan kaedah makan secara buffet dan makanan ditempah daripada katerer sahaja. Majlis perkahwinan sepupu saya di kampung yang diadakan pada cuti Raya Cina baru-baru ini tidak terkecuali diadakan secara buffet tetapi makanan yang dihidangkan dan dimasak secara bergotong-royong. Ini merupakan majlis perkahwinan pertama bagi ibu saudara saya yang dipanggil Su iaitu adik bongsu kepada ummi saya. Memandangkan Su seorang ibu tunggal kerana kematian suami, semua adik-beradik berpakat untuk membantu Su menjayakan majlis ini termasuk saya dan adik-beradik. Secara peribadi, saya cuba untuk membantu Su sama ada dari segi kewangan mahu pun tenaga kerana beliau turut memainkan peranan dalam perjalanan kehidupan saya. Sewaktu masih bergelar anak dara, Su banyak meluangkan masa menjaga kami yang masih kecil. Saya masih ingat Su sering membawa saya dan abang ketiga ke Bandar Dungun untuk membeli barang-barang. Antara kenangan yang masih segar dalam ingatan saya adalah apabila Su membelikan alat tulis kepada saya iaitu sebatang pensil dan sebentuk pemadam sedangkan waktu itu saya masih belum memasuki alam persekolahan. Pemberian tersebut saya manfaatkan untuk menconteng dinding rumah kayu kami dengan abjad-abjad dan nombor-nombor yang saya tahu. Malah Su sering turut serta dalam banyak kembara keluarga kami termasuk ke Singapura. Jika kami mengadakan kenduri atau majlis pula, Su merupakan antara orang yang paling sibuk dan banyak membantu kami sehingga pernah sanggup bermalam di rumah kami. Justeru, inilah masa yang paling sesuai untuk kami membalas segala kebaikan Su selama ini.

Apabila Su mendirikan rumah tangga, saya sering mengikut Su ke kampung halaman Pak Su (panggilan kepada suami Su) di Manir, Kuala Terengganu malah saya pernah tinggal selama seminggu di sana sewaktu cuti penggal persekolahan. Apabila saya sudah semakin dewasa dan mempunyai lesen memandu sendiri, seringkali juga saya melawat Su di sana. Pekerjaan Pak Su memerlukan mereka sekeluarga berpindah ke Kuantan dan di situ juga Pak Su ditimpa kemalangan dan menemui ajal. Su dan anak-anak kembali ke kampung dan tinggal bersama dengan arwah Tok Wan. Kehidupan Su begitu mencabar untuk membesarkan 4 orang anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian.

Kini, saya fikir Su mampu menarik nafas lega apabila 3 daripada 4 orang anak sudah mempunyai pekerjaan sendiri. Hanya tinggal anak bongsu yang baru mendapat keputusan SPM dan menunggu panggilan untuk menyambung pelajaran.



kaum lelaki melapah daging lembu

kaum ibu menyediakan rempah untuk masakan daging

ini betul-betul ye, saya membantu ummi menyediakan rempah untuk menggulai daging

bersama ibu saudara, partner in crime ummi mengetuai aktiviti memasak

ummi :)

hidangan makan beradap yang disediakan oleh abang-abang saya. Adam tumpang sekaki bergambar sebelum hidangan dibawa ke rumah Su 

Saya sering mengambil peluang untuk menjenguk Su apabila pulang ke kampung walaupun hanya untuk seketika. Untuk majlis kali ini, saya dan adik-beradik cuba membantu sedaya mungkin untuk menjayakannya. Kami hadir lebih awal untuk membantu menyediakan segala persiapan termasuk abang-abang saya yang menyediakan hidangan untuk makan beradap dengan bantuan isteri-isteri mereka.seperti biasa, ummi saya mengetuai penyediaan masakan manakala abah saya pula telah diminta oleh Su untuk menjadi saksi semasa akad nikah dijalankan pada hari Khamis.

Seronok juga apabila sekali sekala dapat berkumpul bersama saudara mara yang semakin jarang ditemui kerana masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri. Pelbagai ragam dan kerenah dapat dilihat malah turut ada aksi ‘tunjuk pandai’ dalam setiap perkara yang ingin dibuat terutama di kalangan yang lebih berusia apabila masing-masing tidak mahu beralah dengan pendapat sendiri. Namun sepertimana cepatnya kepanasan itu timbul, secepat itu jugalah ia berlalu apabila segala urusan selesai. Yang pasti, semua pihak ingin memberikan yang terbaik untuk membantu Su.

Selesai majlis pada lewat petang Jumaat, kami pulang untuk membersihkan diri dan kembali selepas Isyak untuk membantu membersihkan halaman dan perkakasan yang telah digunakan. Meskipun kepenatan tetapi hati kami puas kerana dapat memberikan yang terbaik buat Su.

Malam Sabtu pula kami hadir ke rumah ibu saudara (kami panggil Makcik) yang terletak bersebelahan rumah Su untuk mengadakan majlis tahlil pemergian hari ke-40 bapa saudara kami. Abah telah diminta oleh Makcik untuk mengetuai bacaan tahlil tersebut. Usai majlis, kami beredar kerana kedua-dua abang saya perlu bertolak pulang dan saya pula perlu berkemas untuk bertolak pada keesokan paginya.

Seperti dijangka, perjalanan pulang ke KL cukup mencabar. Laporan trafik yang kami dengar melalui radio menunjukkan semua arah mengalami kesesakan yang teruk termasuk Lebuhraya Karak yang bakal kami lalui. Di tengah perjalanan, kami memutuskan untuk menukar haluan melalui jalan alternatif Lebuhraya Tun Razak-Kuala Pilah. Pada mulanya perjalanan agak lancar tetapi cabaran hadir apabila kami memasuki Kuala Pilah. Hampir 2 jam kami terperangkap dalam kesesakan dan perjalanan memakan masa hampir 12 jam berbanding 5 jam pada hari biasa. Namun kami dikira bernasib baik kerana jika melalui Lebuhraya Karak, tempoh perjalanan pasti lebih panjang.

Kepenatan sudah pasti tidak dapat dielakkan tetapi apabila dikenang kembali kepenatan yang dialami adalah demi menggembirakan hati Su, saya puas.

Tuesday, February 1, 2011

Menuju Puncak Broga

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebelum ini saya sering mendengar cerita daripada kawan-kawan yang telah berjaya menawan puncak Bukit Broga yang terletak di Semenyih. Rata-rata ke sana dengan tujuan untuk melihat keindahan matahari terbit. Adik perempuan saya (MakTeh) juga telah beberapa kali menyuarakan hasrat untuk menaikinya dan beberapa kali juga kami telah menangguhkannya atas faktor-faktor kesuntukan masa. Tambahan pula sebelum ini kami agak sibuk dengan urusan pindah rumah. Namun akhirnya kami telah bersetuju untuk menaikinya pada hari Sabtu, 29 Januari 2011. Perancangan awal adalah untuk mula menaikinya pada jam 5 pagi dan cuba tiba di puncak untuk menikmati sendiri keindahan matahari terbit sepertimana yang dicanang oleh rakan-rakan sebelum ini.

boleh tahan juga trek laluannya

adik yang setia menemani

adik-adik peneman sepanjang perjalanan

i'll be there

usaha tangga kejayaan

laluan 'sliding'
Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, kami hanya memulakan perjalanan pada jam 7.00 pagi dengan berbekalkan sandwich yang telah saya sediakan sejak dari malam tadi. Alhamdulillah cuaca baik dan bilangan pengunjung tidak begitu ramai seperti dialami oleh MT yang berkunjung bersama rombongan sekolahnya kira-kira 2 minggu sebelum ini. Kami letakkan kereta di ruangan yang disediakan dengan kadar bayaran sebanyak RM2.

Tanpa sesi warming up, kami terus memulakan perjalanan sambil menikmati bekalan sandwich yang dibawa. Segalanya bermula dengan baik walaupun saya sudah mula merasakan kesan memulakan perjalanan tanpa warming up. Kali terakhir saya mengikuti ekspedisi memasuki hutan adalah kira-kira 3 tahun yang lalu. Perjalanan kali ini memang mencabar tahap stamina saya malah terpaksa beberapa kali berhenti di sepanjang pendakian. Mujurlah saya ditemani oleh 2 orang adik yang setia menemani sepanjang perjalanan. Jika diikutkan hati, memang saya sudah terasa untuk berpatah balik namun kerana memikirkan azam untuk menjejakkan kaki ke puncak, saya gagahkan juga kaki untuk meneruskan langkah. Malah saya terpaksa berhenti rehat kira-kira 10 minit apabila roti yang telah dimakan tadi bergelodak di dalam perut dan hampir-hampir saya termuntah. Alhamdulillah pendakian menjadi semakin mudah apabila stamina saya semakin pulih dan saya sudah memahami rentak untuk mendakinya. Disebabkan kejadian itu, pendakian yang sepatutnya hanya memakan masa selama 40 minit menjadi 1 jam. Ada 3 puncak yang perlu kami tawan dan kepuasan jelas terasa apabila berjaya menjejakkan kaki di puncak pertama. Semangat untuk meneruskan pendakian semakin membara dan kami teruskan pendakian sehingga ke puncaknya. Syukur dengan izinNya saya dan adik-adik berjaya menyempurnakan misi kami.

Subhanallah! Memang indah melihat ciptaan Ilahi yang diseliputi kabus. Apapun, kami tidak dapat melihat suasana matahari terbit kerana cuaca yang agak mendung. Kami habiskan masa melepak di atas puncak selama 2 jam sebelum turun semula ke bawah dan masa diambil untuk turun hanya memakan masa selama 15 minit sahaja.

Merenung kembali pendakian yang telah dilalui, banyak yang saya pelajari dan semakin saya mengenali diri sendiri.
  1. Beberapa kali saya terasa seperti ingin berpatah balik apabila saya benar-benar terasa tidak larat untuk meneruskan pendakian. Namun demi untuk menyahut dan memenuhi keinginan dalam diri untuk menjejakkan kaki ke puncak, saya gagahkan juga kaki untuk melangkah. Begitulah juga dalam kehidupan ini. Seringkali kita merasa patah semangat dengan kesukaran dan halangan yang mendepani, namun itu tidak memberi kita kata putus untuk berhenti meneruskan kehidupan. Kita tidak akan pernah tahu apa yang terbentang di hadapan kita seandainya kita berhenti melangkah. Teruskan melangkah dan insyaAllah pasti ada hamparan yang indah di penghujungnya;
  2. Beberapa kali saya berhenti untuk memulihkan diri dari keletihan dan beberapa kali itu juga adik-adik saya setia menunggu saya walaupun mereka boleh meneruskan perjalanan ke puncak terlebih dahulu. Dalam kehidupan ini, kita akan sentiasa memerlukan sokongan insan-insan terdekat terutama keluarga untuk meneruskan langkah. Kita tidak akan mampu meneruskannya sendirian tanpa sokongan padu mereka. Jika pun kita mampu melakukannya, kemanisannya tidak akan sama tanpa kehadiran keluarga. Satu perkara yang cukup indah tentang keluarga adalah mereka akan tetap menerima diri kita walau dalam keadaan apa sekalipun. Mereka menerima diri kita seadanya. Malah kejayaan menjadi lebih indah apabila diraikan bersama keluarga; dan
  3. Bertindak mengikut piawai sendiri. Saya sering mengingatkan diri, ‘i might be slow but i will be there’. Seringkali dalam kehidupan ini kita melakukan sesuatu berdasarkan apa yang pernah dicapai oleh orang sebelumnya. Bermakna kita cuba mencabar piawai yang ditetapkan oleh orang lain sedangkan kita sebenarnya sedang mencabar piawai diri sendiri. Diri kita adalah berbeza dengan orang lain sepertimana setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kejayaan adalah sebuah perjalanan dan bukannya destinasi malah kehidupan di dunia ini hanya sebuah persinggahan. Saya mungkin mengambil masa yang lama untuk tiba di puncak berbanding orang lain tetapi saya tetap akan tiba ke puncaknya. Saya tidak akan berputus asa di tengah jalan untuk mencapai impian saya. Alhamdulillah, saya berjaya tiba ke puncak dan lebih manis saya tiba bersama keluarga saya.