Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, January 21, 2011

Kuasa Maaf

Bismillahirrahmanirrahim...

Ramadhan lalu, kereta saya telah digesel oleh sebuah motosikal yang mencelah-celah di tengah kesesakan jalan raya. Waktu itu memang saya kecewa melihat kesan calar yang terhasil pada sisi kiri berhampiran bumper hadapan. Namun saya hanya membiarkannya sahaja atas sebab-sebab yang saya sendiri sudah lupa. Salah satu sebabnya mungkin kerana kesibukan menguruskan perpindahan tempat kerja dan juga rumah baru. Apapun, saya memang berhasrat untuk memperbaikinya apabila berkelapangan.

Semalam, saya ke Wangsa Maju selepas selesai urusan di Ampang. Saya memberhentikan kenderaan berhampiran Bank Islam untuk mengambil wang. Tempat letak kereta memang agak terhad di kawasan tersebut. Memandangkan tiada ruang kosong yang tersedia dan saya bercadang untuk singgah sebentar sahaja, saya telah memberhentikan kereta bersebelahan sebuah kereta yang berada dalam tempat letak kereta. Sebaik saya ingin keluar, kereta di hadapan saya bergerak keluar dari ruang tempat letak kereta dan kereta dari belakang dengan segera meluru untuk memasuki ruang tersebut. Entah macamana, mungkin kerana bimbang saya atau orang lain akan memasuki ruang tersebut, pemandu tersebut telah menggesel bucu kiri bumper kereta saya. Buat seketika kami tergamam tetapi saya cuba bersikap tenang. Mungkin kerana kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata dan kami langsung tidak menjangkanya. Dengan tenang, saya keluar dari kereta dan melihat kesan geselan yang berlaku. Mungkin juga kerana saya sendiri sudah berhasrat untuk memperbaiki kesan geselan sebelum ini. Saya hampiri pemandu tersebut dan beliau juga menerima bahawa kemalangan yang berlaku adalah berpunca daripada kecuaian diri sendiri. Saya perhatikan kesan calar pada kereta beliau juga agak teruk.


Kami bersetuju untuk tidak menyalahkan antara satu sama lain dan bertukar nombor telefon jika ada sebarang keperluan pada masa hadapan. Saya sudah berniat jika kos pembaikian yang dikenakan kepada pemandu tersebut agak mahal dan beliau memerlukan bantuan saya, dengan rela hati saya sedia membantu. Namun dari cara perbincangan, kami bersetuju untuk menanggung sendiri kos pembaikian kereta masing-masing. Sebelum berlalu, kami saling memohon maaf dan saya berlalu dari situ dengan hati yang tenang. Beliau pula meneruskan niat untuk meletakkan kereta di ruang tempat letak kereta yang kosong tersebut.

Saya belajar perkara baru iaitu kuasa maaf mampu meranapkan bara di hati dan mengelakkan pertelingkahan yang lebih besar. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin kejadian hari ini merupakan kifarah ke atas dosa-dosa saya sebelum ini. Alhamdulillah. 

No comments: