Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, January 15, 2011

Ibu Bapa

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi tadi saya tiba di kampung dengan menaiki Sani Ekspres dari Hentian Kajang. Alhamdulillah perjalanan sungguh selesa dan lancar. Saya pulang dengan niat untuk menjenguk abah dan ummi kerana kali terakhir saya pulang ke kampung adalah semasa cuti Aidiladha. Menjadi kebiasaan saya untuk meminta pemandu bas menurunkan saya di simpang berhampiran rumah saya. Kebiasaannya juga saya akan menghubungi abah saya untuk datang mengambil saya dengan kereta tetapi pagi ini entah kenapa saya merasa untuk berjalan kaki sahaja. Jarak dari simpang ke rumah saya tidak sampai 2 km dan jalan diterangi oleh lampu membuatkan saya nekad untuk berjalan kaki sahaja sambil menikmati udara pagi yang menyegarkan.

Tiba di rumah, abah dan ummi sudah bangun kerana perlu bersiap untuk menunaikan tugasan sebagai imam. Saya segera membersihkan diri dan bersiap untuk menyertai abah dan ummi ke masjid. Usai solat Subuh, kami bersarapan di sebuah gerai berhadapan Pantai Teluk Lipat dan buat pertama kalinya saya bersarapan dengan memakai kain telekung. Sebenarnya memang menjadi kebiasaan abah dan ummi untuk bersarapan pada setiap pagi sekembali dari masjid.

Petangnya, abah bertanya kepada kami sama ada ingin meminum air tebu. Ini kerana abah ada menanam pohon tebu di belakang rumah dan kawan abah mempunyai kemudahan mesin pengisar tebu. Pucuk dicita ulam mendatang, sudah tentulah kami menerima tawaran tersebut malah air tebu merupakan salah satu minuman kegemaran saya. Malang tidak berbau, dalam keasyikan menebang tebu, kaki abah telah tersadung pada paku berkarat. Darah pekat mengalir keluar. Saya segera mendekati abah dan mendapatkan ubat untuk memberhentikan darah yang mengalir. Entah kenapa saya rasa sedih melihat abah menahan kesakitan kesan tusukan paku tersebut.


Untuk mengelakkan kesan akibat karat, saya dan abang membawa abah ke klinik untuk mendapatkan suntikan. Namun misi untuk mengisar tebu tetap diteruskan dan hasilnya kami mendapat 3 jag air tebu.

Pulang ke kampung merupakan terapi terbaik untuk saya. Saat berada di kampung, segala beban yang sarat di kepala hilang buat seketika. Saya tenang dan damai di kampung. Ternyata ibu bapa merupakan motivasi terbaik dalam hidup saya. Tidak dapat saya bayangkan hidup tanpa mereka berdua. Semoga Allah memberi saya kekuatan untuk meraikan abah dan umi selagi hayat dikandung badan. 

No comments: