Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, January 3, 2011

Alam Baru

Bismillahirrahmanirrahim...


Semalam dan hari ini ramai yang telah mula kembali ke alam persekolahan. Kepada adik-adik yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke alam sekolah rendah, ia pasti satu pengalaman baru yang penuh warna-warni dan cukup indah untuk dilalui. Malam tadi saya menonton paparan berita situasi adik-adik yang baru memasuki tahun 1. Ada yang menangis kerana meninggalkan rutin lama, ada yang seronok bertemu rakan baru dan ada yang tenggelam dalam dunia sendiri. Yang pasti, ia akan menjadi salah satu kenangan yang cukup manis dan berharga untuk dilalui. Segala-galanya serba baru. Dunia baru, peralatan alat tulis baru, beg baru dan kasut baru. Pendek kata, dari hujung rambut hingga hujung kaki segalanya baru. 

Sekolah Kebangsaan Sura, Dungun, Terengganu. Di situ saya mula mengenali alam persekolahan kerana saya hanya sempat menghadiri alam TABIKA selama 2 minggu sahaja, dan kekal di situ sehingga tamat UPSR. Mungkin kerana sudah betah berada di rumah sepanjang hari, saya sukar untuk menerima perubahan menghadiri alam persekolahan pada usia 6 tahun. Lalu saya hanya berguru dengan ummi sahaja. 

Saya sudah lupa perasaan semasa mula-mula memasuki tahun 1. Seingat saya, tiada air mata kesedihan yang gugur pada hari pertama memulakan persekolahan malah saya begitu seronok bertemu teman-teman baru. Ummi hanya menemani pada hari pertama sahaja. Selebihnya diserahkan kepada abang-abang saya untuk memantau keadaan saya. Sering juga saya menyusahkan abang kedua saya pada waktu itu dengan meminta wang belanja daripadanya. Waktu itu, 10 sen memberi nilai yang cukup besar dan saya cukup gembira apabila abang saya memberinya kepada saya. Kasihan abang saya pada waktu itu, mengorbankan wang belanja dia untuk saya. 

Alam persekolahan diteruskan dengan penuh gembira tanpa perlu memikirkan beban kehidupan seorang dewasa. Yang difikirkan hanya keseronokan bersama teman-teman. Permainan yang paling popular pada waktu itu apabila tiba waktu rehat adalah 'rebut tiang' dan 'lompat getah'. Menariknya, rakan-rakan lelaki juga turut bermain getah walaupun ada segelintir yang melihat permainan itu hanya untuk perempuan. Kesan kotor pada pakaian memang satu kepastian apabila pulang ke rumah. Apa tidaknya, sekolah seolah-olah satu padang permainan yang cukup luas. Kami bebas meneroka, bergaul, bermain dan bergembira bersama rakan-rakan walaupun dibebani dengan pelajaran. Segala-galanya menjadi cukup mudah untuk dilalui. Tidak perlu menyesakkan kepala dengan keperluan membayar pelbagai jenis bil, memenuhi kehendak pelanggan atau menghadapi kerenah manusia yang pelbagai. Hari-hari yang dilalui sentiasa menjadi hari baru yang menarik untuk ditempuh.    

Melihat wajah adik-adik yang memulakan persekolahan pada tahun ini, saya cemburu melihat keseronokan dan kegembiraan yang bakal mereka lalui. Satu pengalaman manis yang merupakan sebahagian daripada perjalanan kehidupan. Benarlah kata orang, alam persekolahan adalah alam yang paling manis dan menyeronokkan serta akan dikenang sepanjang hayat.

Ayuh adik-adik, jadikan alam persekolahanmu sebagai satu zaman yang indah. Hiasinya dengan segala kecemerlangan kerana kalian penerus kesinambungan bangsa pada masa akan datang. 

Nikmatilah zamanmu sepuasnya! 

No comments: