Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, January 24, 2011

Alam Akademik

Bismillahirrahmanirrahim...

Tanpa disedari, kursus yang sedang saya ikuti sudah masuk minggu ketiga. Bermakna masih berbaki 3 minggu untuk kursus berakhir. Sebelum memasuki kursus, saya sememangnya menanti-nantikan saat ia bermula. Sudah pasti saya lega kerana dapat ‘merehatkan’ diri buat seketika daripada lelah mengejar hambatan kerja di pejabat. Sejujurnya, saya mencintai alam akademik. Tanpa disuruh, saya akan menghabiskan masa untuk menelaah subjek yang dipelajari kerana rasa ingin tahu dan kepuasan yang diperoleh apabila pemahaman tentang sesuatu perkara berjaya diraih. Meskipun subjek yang dipelajari sepanjang tempoh kursus adalah subjek yang pernah saya pelajari, beberapa tahun meninggalkannya membuatkan saya perlu menggilapnya semula. Saya akui saya begitu teruja menunggu saat untuk melanjutkan pengajian. Secara automatik, saya menjadi begitu berdisiplin menjaga waktu dan menyiapkan tugasan yang perlu dilunaskan. Bukan pula bermaksud saya membenci dunia pekerjaan sekarang namun suasana antara kedua alam tersebut memang amat berbeza. Saya mula berfikir jika alam akademik adalah alam yang lebih sesuai buat saya berbanding dunia sekarang.

Pernah ada yang bertanya tujuan saya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana pula. Sejujurnya, sejak dari dulu saya memang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat PhD malah itu merupakan salah satu perkara yang telah tersenarai sekian lama dalam kitab impian saya. Ia lebih kepada memenuhi kepuasan diri sendiri dan saya tidak pernah menetapkan usia tertentu untuk meneruskan cita-cita tersebut. Yang pasti saya menaruh impian untuk menggenggam ijazah PhD selewat-lewatnya pada usia 40 tahun. Alhamdulillah jalan untuk saya merealisasikannya telah dipermudahkan olehNya. Selebihnya, saya serahkan kepada takdir untuk menentukan hikmah di sebalik keinginan saya untuk melanjutkan pelajaran ini. Saya tidak pernah mengharapkan sebarang ganjaran material atas usaha yang telah dibuat kerana telah saya katakan, ia lebih kepada memenuhi kepuasan diri sendiri. Apa jua ganjaran atau insentif yang terhasil daripadanya saya anggap sebagai bonus dan penguat semangat untuk terus melengkapkan diri dengan ilmu.

Pun begitu, sehingga kini saya masih belum memutuskan pilihan lokasi IPTA untuk mendaftarkan diri. Saya masih berbelah bahagi antara KL dan Terengganu. Sebahagian diri saya ingin meneruskannnya di Terengganu kerana ingin berada dekat dengan kedua ibu bapa namun apabila memikirkan tentang sumber rujukan yang sudah pasti lebih mudah diperoleh di KL, saya jadi keliru. Sementelah saya bakal meneruskannya dengan kaedah penyelidikan. Justeru jika banyak urusan kelak memerlukan saya kerap datang ke KL, sudah pasti ia akan membebankan saya pula sama ada dari segi tenaga dan wang. Namun tidak mustahil juga jika niat saya untuk berada dekat dengan ibu bapa menyebabkan segala urusan saya di Terengganu akan dipermudahkanNya. Di samping itu, faktor bidang yang akan saya ambil kelak juga perlu diambil kira. Setakat maklumat yang saya peroleh daripada laman web UNISZA dan UMT, bidang yang akan saya ambil kelak tidak bertepatan dengan bidang yang ditawarkan oleh IPTA tersebut. Apapun, segalanya saya serahkan kepada ketentuan Allah Taala jua dalam menentukan lokasi yang terbaik buat saya. Sebagai langkah awal, saya tetap membuat permohonan kemasukan ke IPTA di kedua-dua lokasi berkenaan.

Yang pasti, saya ingin menikmati saki baki waktu yang tinggal untuk menghabiskan kursus yang diikuti dengan sebaik mungkin. Saya tenang bergelumang dalam alam akademik.

No comments: