Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, January 31, 2011

Bowling

Bismillahirrahmanirrahim...

keadaan bola yang sudah selayaknya dilupuskan

markah kumpulan kami - cat women. saya punya K@A.

hadiah yang dimenangi. kedudukan berapa? biarlah rahsia :)
t-shirt rasmi
Kali terakhir saya bermain bowling adalah bersama-sama keluarga beberapa bulan yang lalu. Kali ini saya menyertai perlawanan persahabatan yang dianjurkan oleh jabatan bersama pihak Puncak Niaga Sdn Bhd. (PNSB). Mulanya saya agak berat hati juga untuk menyertainya memandangkan pada tarikh perlawanan saya masih berkursus di INTAN. Namun mengenangkan saya sudah menyatakan persetujuan untuk menyertainya sejak dari awal dan untuk mengelakkan menyusahkan penganjur, saya gagahkan juga untuk menghadirinya. Usai kelas dan sesi perbincangan kumpulan, saya pulang ke rumah sebentar untuk menukar pakaian dan solat maghrib dan terus bertolak ke lokasi dijanjikan.

Perlawanan diadakan di pusat bowling Alamanda. Ketika saya tiba, sudah agak ramai rakan-rakan yang tiba lebih awal dan saya terus membuat pendaftaran. Kami diberikan t-shirt rasmi untuk dipakai sepanjang perlawanan dan sedikit cenderamata daripada pihak lawan. Kami telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengan setiap kumpulan diletakkan 2 orang jabatan dan 2 orang PNSB. Saya akui saya tidaklah begitu pandai bermain bowling tetapi tidaklah sampai asyik masuk longkang. Apapun, saya cuba untuk menikmati momen-momen tersebut bersama teman-teman baru walaupun kepenatan memang tidak dapat dielakkan.

Namun sedikit mengecewakan apabila melihat kemudahan yang disediakan oleh pusat bowling terutama keadaan bola yang pecah-pecah dan tidak sekata. Mungkin itu salah satu punca kekalahan kumpulan kami haha. Pun begitu, bagi saya soal menang kalah tidak menjadi isu utama dalam perlawanan kali ini. Yang penting, kami saling mengenali antara 2 pihak yang berurusan dan diharap akan lebih memudahkan urusan rasmi kelak. Saya tinggalkan Alamanda pada jam 10.30 malam dan pulang dengan membawa hadiah yang dimenangi oleh kumpulan kami.

Pengajaran yang saya peroleh adalah:
  1. kadang-kadang kita sering merasakan yang kita penat atau tidak mampu untuk melakukan sesuatu perkara sebelum mencubanya sedangkan apabila dipaksa, kita masih mampu melakukannya. Yang penting adalah kuasa minda dan semangat dalam diri;
  2. seboleh-bolehnya cuba untuk tidak menyusahkan orang lain. Jika ditakdirkan saya mengubah fikiran pada saat-saat akhir, pasti saya telah mengkucar-kacirkan susunan pecahan kumpulan yang telah dibuat lebih awal;
  3. kehadiran saya mungkin kurang penting tetapi ketidakhadiran saya sudah pasti akan mengganggu perjalanan program dan pasti meninggalkan nama buruk kepada kakitangan lain dalam jabatan. Nama saya pula akan diingat sebagai orang yang tidak bertanggungjawab; dan
  4. apabila ahli kumpulan gagal untuk menunjukkan prestasi seperti diharapkan, adalah penting untuk memastikan dia/mereka tidak merasa kecewa dengan prestasi sendiri. Pasti mereka juga tidak menginginkan kekalahan tersebut.

Monday, January 24, 2011

Alam Akademik

Bismillahirrahmanirrahim...

Tanpa disedari, kursus yang sedang saya ikuti sudah masuk minggu ketiga. Bermakna masih berbaki 3 minggu untuk kursus berakhir. Sebelum memasuki kursus, saya sememangnya menanti-nantikan saat ia bermula. Sudah pasti saya lega kerana dapat ‘merehatkan’ diri buat seketika daripada lelah mengejar hambatan kerja di pejabat. Sejujurnya, saya mencintai alam akademik. Tanpa disuruh, saya akan menghabiskan masa untuk menelaah subjek yang dipelajari kerana rasa ingin tahu dan kepuasan yang diperoleh apabila pemahaman tentang sesuatu perkara berjaya diraih. Meskipun subjek yang dipelajari sepanjang tempoh kursus adalah subjek yang pernah saya pelajari, beberapa tahun meninggalkannya membuatkan saya perlu menggilapnya semula. Saya akui saya begitu teruja menunggu saat untuk melanjutkan pengajian. Secara automatik, saya menjadi begitu berdisiplin menjaga waktu dan menyiapkan tugasan yang perlu dilunaskan. Bukan pula bermaksud saya membenci dunia pekerjaan sekarang namun suasana antara kedua alam tersebut memang amat berbeza. Saya mula berfikir jika alam akademik adalah alam yang lebih sesuai buat saya berbanding dunia sekarang.

Pernah ada yang bertanya tujuan saya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana pula. Sejujurnya, sejak dari dulu saya memang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat PhD malah itu merupakan salah satu perkara yang telah tersenarai sekian lama dalam kitab impian saya. Ia lebih kepada memenuhi kepuasan diri sendiri dan saya tidak pernah menetapkan usia tertentu untuk meneruskan cita-cita tersebut. Yang pasti saya menaruh impian untuk menggenggam ijazah PhD selewat-lewatnya pada usia 40 tahun. Alhamdulillah jalan untuk saya merealisasikannya telah dipermudahkan olehNya. Selebihnya, saya serahkan kepada takdir untuk menentukan hikmah di sebalik keinginan saya untuk melanjutkan pelajaran ini. Saya tidak pernah mengharapkan sebarang ganjaran material atas usaha yang telah dibuat kerana telah saya katakan, ia lebih kepada memenuhi kepuasan diri sendiri. Apa jua ganjaran atau insentif yang terhasil daripadanya saya anggap sebagai bonus dan penguat semangat untuk terus melengkapkan diri dengan ilmu.

Pun begitu, sehingga kini saya masih belum memutuskan pilihan lokasi IPTA untuk mendaftarkan diri. Saya masih berbelah bahagi antara KL dan Terengganu. Sebahagian diri saya ingin meneruskannnya di Terengganu kerana ingin berada dekat dengan kedua ibu bapa namun apabila memikirkan tentang sumber rujukan yang sudah pasti lebih mudah diperoleh di KL, saya jadi keliru. Sementelah saya bakal meneruskannya dengan kaedah penyelidikan. Justeru jika banyak urusan kelak memerlukan saya kerap datang ke KL, sudah pasti ia akan membebankan saya pula sama ada dari segi tenaga dan wang. Namun tidak mustahil juga jika niat saya untuk berada dekat dengan ibu bapa menyebabkan segala urusan saya di Terengganu akan dipermudahkanNya. Di samping itu, faktor bidang yang akan saya ambil kelak juga perlu diambil kira. Setakat maklumat yang saya peroleh daripada laman web UNISZA dan UMT, bidang yang akan saya ambil kelak tidak bertepatan dengan bidang yang ditawarkan oleh IPTA tersebut. Apapun, segalanya saya serahkan kepada ketentuan Allah Taala jua dalam menentukan lokasi yang terbaik buat saya. Sebagai langkah awal, saya tetap membuat permohonan kemasukan ke IPTA di kedua-dua lokasi berkenaan.

Yang pasti, saya ingin menikmati saki baki waktu yang tinggal untuk menghabiskan kursus yang diikuti dengan sebaik mungkin. Saya tenang bergelumang dalam alam akademik.

Friday, January 21, 2011

Istana Budaya

Bismillahirrahmanirrahim...

Lokasi: Kafe D’Astana, Istana Budaya

Usai menduduki kuiz petang tadi, saya terus memecut ke Istana Budaya (IB) untuk mendapatkan tiket bagi persembahan teater muzikal Tun M pada malam ini. Entah apa yang saya jawab semasa kuiz tadi saya serahkan sahaja keputusannya kelak kepada pihak urus setia. Setelah memperoleh tiket-tiket tersebut, saya terus ke surau IB untuk menunaikan solat asar.
Saya berseorangan di kafe menikmati makan malam sementara menunggu kedatangan MakTeh dan rakannya, MakNik.

**********************************************************************************

Alhamdulillah. Boleh tahan juga kueteow tomyam pedas ni. Ditambah pula dengan teh ais kaw. Memang kena dengan citarasa saya. Saya masih di kafe. Tiba-tiba segerombolan artis masuk memenuhi ruangan kafe. Rombongan AC Mizal rupanya. Saya abaikan sahaja kehadiran mereka dan terus menikmati hidangan. Rakan saya yang datang dari Pulau Pinang juga sedang dalam perjalanan ke IB. Secara kebetulan, dia juga menempah tiket untuk menonton teater Tun M pada malam ini. Meriah pula rasanya.

Sementara menanti masuk waktu maghrib, saya akan terus menunggu di sini. Melihat gelagat manusia yang pelbagai. Saya tidak kisah dilihat bersendirian kerana mereka tidak mengenali saya dan sebaliknya. Pelbagai gaya dan cara terpapar di hadapan saya. Artis juga manusia biasa. Bukan saya ingin membela mereka tetapi kagum juga melihat mereka begitu yakin mempertahankan apa yang mereka dakwa sebagai ‘perjuangan’ dalam bidang seni.

*********************************************************************************

Ini merupakan kunjungan saya yang kali kedua ke IB. Kali pertama saya hadir adalah untuk menonton persembahan Konsert Jamal Abdillah 2011. Seumur hidup saya belum pernah menjejakkan kaki ke pawagam. Saya tidak menghalang orang lain untuk memasukinya tetapi saya tidak akan turut serta. Saya lebih selesa menontonnya di rumah sahaja. Namun untuk persembahan kali ini, saya perlu hadir sendiri kerana sudah pasti sukar untuk menontonnya di luar jadual persembahan. Kali pertama persembahan ini dipentaskan, saya tidak berpeluang untuk menontonnya. Sempena dengan ulang tahun kelahiran MakTeh, saya belanja dia untuk menonton persembahan kali ini. Pastinya saya tidak akan datang ke sini jika persembahan yang dipentaskan tidak mengandungi nilai sentimental buat diri saya.

Malam ini adalah malam pembukaan persembahan dan saya tertanya-tanya sama ada Tun M akan hadir untuk menontonnya juga. Kebarangkalian untuk saya menemui beliau mungkin agak tipis tetapi dapat melihat kelibat beliau mungkin sudah mencukupi. Entahlah, mungkin kerana sejak dari saya mula mengenal abjad hingga graduasi, hanya nama dia yang terpapar sebagai PM Malaysia. Yang pasti, jasa beliau dihormati oleh kawan dan lawan.

Saya ke sini untuk melihat sendiri sama ada pementasan yang dibuat mampu meninggalkan impak yang sepatutnya kepada para penonton termasuk diri saya sendiri.

Kuasa Maaf

Bismillahirrahmanirrahim...

Ramadhan lalu, kereta saya telah digesel oleh sebuah motosikal yang mencelah-celah di tengah kesesakan jalan raya. Waktu itu memang saya kecewa melihat kesan calar yang terhasil pada sisi kiri berhampiran bumper hadapan. Namun saya hanya membiarkannya sahaja atas sebab-sebab yang saya sendiri sudah lupa. Salah satu sebabnya mungkin kerana kesibukan menguruskan perpindahan tempat kerja dan juga rumah baru. Apapun, saya memang berhasrat untuk memperbaikinya apabila berkelapangan.

Semalam, saya ke Wangsa Maju selepas selesai urusan di Ampang. Saya memberhentikan kenderaan berhampiran Bank Islam untuk mengambil wang. Tempat letak kereta memang agak terhad di kawasan tersebut. Memandangkan tiada ruang kosong yang tersedia dan saya bercadang untuk singgah sebentar sahaja, saya telah memberhentikan kereta bersebelahan sebuah kereta yang berada dalam tempat letak kereta. Sebaik saya ingin keluar, kereta di hadapan saya bergerak keluar dari ruang tempat letak kereta dan kereta dari belakang dengan segera meluru untuk memasuki ruang tersebut. Entah macamana, mungkin kerana bimbang saya atau orang lain akan memasuki ruang tersebut, pemandu tersebut telah menggesel bucu kiri bumper kereta saya. Buat seketika kami tergamam tetapi saya cuba bersikap tenang. Mungkin kerana kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata dan kami langsung tidak menjangkanya. Dengan tenang, saya keluar dari kereta dan melihat kesan geselan yang berlaku. Mungkin juga kerana saya sendiri sudah berhasrat untuk memperbaiki kesan geselan sebelum ini. Saya hampiri pemandu tersebut dan beliau juga menerima bahawa kemalangan yang berlaku adalah berpunca daripada kecuaian diri sendiri. Saya perhatikan kesan calar pada kereta beliau juga agak teruk.


Kami bersetuju untuk tidak menyalahkan antara satu sama lain dan bertukar nombor telefon jika ada sebarang keperluan pada masa hadapan. Saya sudah berniat jika kos pembaikian yang dikenakan kepada pemandu tersebut agak mahal dan beliau memerlukan bantuan saya, dengan rela hati saya sedia membantu. Namun dari cara perbincangan, kami bersetuju untuk menanggung sendiri kos pembaikian kereta masing-masing. Sebelum berlalu, kami saling memohon maaf dan saya berlalu dari situ dengan hati yang tenang. Beliau pula meneruskan niat untuk meletakkan kereta di ruang tempat letak kereta yang kosong tersebut.

Saya belajar perkara baru iaitu kuasa maaf mampu meranapkan bara di hati dan mengelakkan pertelingkahan yang lebih besar. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin kejadian hari ini merupakan kifarah ke atas dosa-dosa saya sebelum ini. Alhamdulillah. 

Saturday, January 15, 2011

Ibu Bapa

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi tadi saya tiba di kampung dengan menaiki Sani Ekspres dari Hentian Kajang. Alhamdulillah perjalanan sungguh selesa dan lancar. Saya pulang dengan niat untuk menjenguk abah dan ummi kerana kali terakhir saya pulang ke kampung adalah semasa cuti Aidiladha. Menjadi kebiasaan saya untuk meminta pemandu bas menurunkan saya di simpang berhampiran rumah saya. Kebiasaannya juga saya akan menghubungi abah saya untuk datang mengambil saya dengan kereta tetapi pagi ini entah kenapa saya merasa untuk berjalan kaki sahaja. Jarak dari simpang ke rumah saya tidak sampai 2 km dan jalan diterangi oleh lampu membuatkan saya nekad untuk berjalan kaki sahaja sambil menikmati udara pagi yang menyegarkan.

Tiba di rumah, abah dan ummi sudah bangun kerana perlu bersiap untuk menunaikan tugasan sebagai imam. Saya segera membersihkan diri dan bersiap untuk menyertai abah dan ummi ke masjid. Usai solat Subuh, kami bersarapan di sebuah gerai berhadapan Pantai Teluk Lipat dan buat pertama kalinya saya bersarapan dengan memakai kain telekung. Sebenarnya memang menjadi kebiasaan abah dan ummi untuk bersarapan pada setiap pagi sekembali dari masjid.

Petangnya, abah bertanya kepada kami sama ada ingin meminum air tebu. Ini kerana abah ada menanam pohon tebu di belakang rumah dan kawan abah mempunyai kemudahan mesin pengisar tebu. Pucuk dicita ulam mendatang, sudah tentulah kami menerima tawaran tersebut malah air tebu merupakan salah satu minuman kegemaran saya. Malang tidak berbau, dalam keasyikan menebang tebu, kaki abah telah tersadung pada paku berkarat. Darah pekat mengalir keluar. Saya segera mendekati abah dan mendapatkan ubat untuk memberhentikan darah yang mengalir. Entah kenapa saya rasa sedih melihat abah menahan kesakitan kesan tusukan paku tersebut.


Untuk mengelakkan kesan akibat karat, saya dan abang membawa abah ke klinik untuk mendapatkan suntikan. Namun misi untuk mengisar tebu tetap diteruskan dan hasilnya kami mendapat 3 jag air tebu.

Pulang ke kampung merupakan terapi terbaik untuk saya. Saat berada di kampung, segala beban yang sarat di kepala hilang buat seketika. Saya tenang dan damai di kampung. Ternyata ibu bapa merupakan motivasi terbaik dalam hidup saya. Tidak dapat saya bayangkan hidup tanpa mereka berdua. Semoga Allah memberi saya kekuatan untuk meraikan abah dan umi selagi hayat dikandung badan. 

Friday, January 14, 2011

Khatam

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam tadi merupakan slot terakhir kelas renang yang telah saya ikuti sejak Disember lalu. Alhamdulillah, saya dan sahabat iaitu Ila Ramliey, berjaya menamatkan kelas seperti ditetapkan. Namun itu tidak bermaksud saya sudah mahir berenang tetapi ilmu itu sudah ada. Saya cuma perlu memperbanyakkan latihan agar renangan menjadi lebih kemas dan sempurna. Sejujurnya, saya senang berada di bawah pengajaran jurulatih kami iaitu Kak Niza (KN). Beliau banyak menegur dan memperbetulkan kesilapan yang kami lakukan sepanjang sesi latihan. Rasanya agak sukar untuk saya mempelajari sesuatu dalam keadaan tertekan. Saya tenang setiap kali dapat berenang-renang dan berendam dalam kolam. Segala masalah menepi buat seketika. 

Saya bersetuju dengan pandangan KN bahawa untuk mahir berenang, keadaannya sama seperti apabila kita mula belajar untuk memandu kereta. Segalanya terasa kekok dan setiap pergerakan untuk menukar gear perlu diamati satu persatu. Namun apabila kita telah mahir dengan kaedah pemanduan, segalanya menjadi mudah dan lancar. Begitu juga untuk menguasai kemahiran berenang, memerlukan latihan berterusan agar menjadi cekap dan lancar. InsyaAllah, berenang akan menjadi salah satu hobi yang menjadi kegemaran saya. Malah satu perkara yang cukup menggembirakan saya adalah tanpa saya sedari, berat badan saya menurun mendadak tidak lama selepas saya memasuki kelas renang. Saya anggap itu satu bonus, Alhamdulillah.

Wednesday, January 12, 2011

Berubah Lagi

Bismillahirrahmanirrahim...

Kehidupan ini dinamik, sentiasa berubah mengikut keadaan dan keperluan. Selepas sebulan menikmati jarak perjalanan yang dekat ke pejabat, bertolak dari rumah jam 8.00 pagi dan perjalanan hanya mengambil masa selama 20 minit. Bermula 11 Januari 2011, saya perlu merubah rutin tersebut kepada jam 7.00 pagi kerana perlu mengikuti kursus selama 6 minggu di INTAN Bukit Kiara. Kursus persediaan yang merupakan langkah pertama saya sebelum meneruskan pengajian sarjana. Jika dilihat kepada jadual yang telah diedarkan, ternyata memang agak padat juga pengisian kursus malah sarat dengan pelbagai tugasan sama ada secara individu atau kumpulan. Minggu pertama agak meletihkan kerana saya terpaksa bergegas ke Putrajaya selepas tamat kelas. Semuanya gara-gara ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan dengan segera dan segala maklumat hanya ada pada saya. Pening juga memikirkannya tetapi saya perlu menyelesaikannya supaya tidak mengganggu perjalanan kursus kelak. Saya perlu lulus kursus ini atau saya perlu mengulangnya semula dan kegagalan saya akan menghalang cita-cita saya untuk melanjutkan pelajaran.

Minggu ini juga saya perlu berkejar untuk menghabiskan kelas renang yang hanya berbaki 3 slot sahaja. Saya mengejar waktu dan ia cukup meletihkan. Apapun, saya perlu melakukannya juga. Tiada alasan untuk melarikan diri dari tanggungjawab. Saya cuma berharap dan berdoa agar diberi kesihatan yang baik agar dapat memenuhi tanggungjawab tersebut. Hujung minggu ini pula saya perlu pulang ke kampung menjenguk ibu bapa yang ditimpa kemalangan baru-baru ini. Mujurlah keduanya tidak mendapat sebarang kecederaan walaupun keadaan kenderaan agak teruk.

kereta abah selepas kemalangan
Yang pasti, hidup perlu diteruskan.

Monday, January 3, 2011

Alam Baru

Bismillahirrahmanirrahim...


Semalam dan hari ini ramai yang telah mula kembali ke alam persekolahan. Kepada adik-adik yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke alam sekolah rendah, ia pasti satu pengalaman baru yang penuh warna-warni dan cukup indah untuk dilalui. Malam tadi saya menonton paparan berita situasi adik-adik yang baru memasuki tahun 1. Ada yang menangis kerana meninggalkan rutin lama, ada yang seronok bertemu rakan baru dan ada yang tenggelam dalam dunia sendiri. Yang pasti, ia akan menjadi salah satu kenangan yang cukup manis dan berharga untuk dilalui. Segala-galanya serba baru. Dunia baru, peralatan alat tulis baru, beg baru dan kasut baru. Pendek kata, dari hujung rambut hingga hujung kaki segalanya baru. 

Sekolah Kebangsaan Sura, Dungun, Terengganu. Di situ saya mula mengenali alam persekolahan kerana saya hanya sempat menghadiri alam TABIKA selama 2 minggu sahaja, dan kekal di situ sehingga tamat UPSR. Mungkin kerana sudah betah berada di rumah sepanjang hari, saya sukar untuk menerima perubahan menghadiri alam persekolahan pada usia 6 tahun. Lalu saya hanya berguru dengan ummi sahaja. 

Saya sudah lupa perasaan semasa mula-mula memasuki tahun 1. Seingat saya, tiada air mata kesedihan yang gugur pada hari pertama memulakan persekolahan malah saya begitu seronok bertemu teman-teman baru. Ummi hanya menemani pada hari pertama sahaja. Selebihnya diserahkan kepada abang-abang saya untuk memantau keadaan saya. Sering juga saya menyusahkan abang kedua saya pada waktu itu dengan meminta wang belanja daripadanya. Waktu itu, 10 sen memberi nilai yang cukup besar dan saya cukup gembira apabila abang saya memberinya kepada saya. Kasihan abang saya pada waktu itu, mengorbankan wang belanja dia untuk saya. 

Alam persekolahan diteruskan dengan penuh gembira tanpa perlu memikirkan beban kehidupan seorang dewasa. Yang difikirkan hanya keseronokan bersama teman-teman. Permainan yang paling popular pada waktu itu apabila tiba waktu rehat adalah 'rebut tiang' dan 'lompat getah'. Menariknya, rakan-rakan lelaki juga turut bermain getah walaupun ada segelintir yang melihat permainan itu hanya untuk perempuan. Kesan kotor pada pakaian memang satu kepastian apabila pulang ke rumah. Apa tidaknya, sekolah seolah-olah satu padang permainan yang cukup luas. Kami bebas meneroka, bergaul, bermain dan bergembira bersama rakan-rakan walaupun dibebani dengan pelajaran. Segala-galanya menjadi cukup mudah untuk dilalui. Tidak perlu menyesakkan kepala dengan keperluan membayar pelbagai jenis bil, memenuhi kehendak pelanggan atau menghadapi kerenah manusia yang pelbagai. Hari-hari yang dilalui sentiasa menjadi hari baru yang menarik untuk ditempuh.    

Melihat wajah adik-adik yang memulakan persekolahan pada tahun ini, saya cemburu melihat keseronokan dan kegembiraan yang bakal mereka lalui. Satu pengalaman manis yang merupakan sebahagian daripada perjalanan kehidupan. Benarlah kata orang, alam persekolahan adalah alam yang paling manis dan menyeronokkan serta akan dikenang sepanjang hayat.

Ayuh adik-adik, jadikan alam persekolahanmu sebagai satu zaman yang indah. Hiasinya dengan segala kecemerlangan kerana kalian penerus kesinambungan bangsa pada masa akan datang. 

Nikmatilah zamanmu sepuasnya! 

Saturday, January 1, 2011

2011: Kemaskini

Bismillahirrahmanirrahim...

01.01.2011 - Walaupun sudah lebih sebulan berpindah ke teratak baru, urusan mengemas barang-barang masih belum selesai sepenuhnya. Sebahagian barang-barang masih berada dalam kotak tanpa diusik. Namun hari ini saya nekad untuk mengemaskannya. Dengan bantuan adik, kami memasang kabinet pada dinding untuk ruangan buku. Sepanjang hari saya mengemas barang-barang yang tersimpan rapi dalam kotak. Baru saya sedar bahawa masih banyak barang yang tidak perlu tetapi masih saya simpan. Umpamanya nota-nota kursus Diploma Pengurusan Awam pada tahun 2006 masih lagi berada dalam simpanan. Begitu juga dengan nota kursus-kursus yang pernah saya ikuti sebelum ini.  


Seperti biasa, saya menyimpannnya kerana menyangka akan menggunakannnya kelak. Ia lebih kepada nilai sentimental sebenarnya. Kali ini, saya nekad untuk menutup mata dan membuangnya. Hakikatnya, banyak perkara dalam hidup ini yang dianggap bernilai sentimental dan menyebabkan kita sukar untuk terus berganjak ke destinasi seterusnya.

Teringat saya kepada sebuah kisah mengenai sepasang suami isteri yang memiliki sebuah rumah di kawasan elit dan nilaian rumah mereka mencecah jutaan ringgit. Ditakdirkan anak lelaki mereka menghadapi masalah kewangan dalam perniagaan dan memohon bantuan ibu bapa untuk menyelesaikannya. Salah satu cara yang dicadangkan adalah dengan mencagar rumah kediaman ibu bapanya. Lalu ibu bapa tersebut berjumpa pakar kewangan untuk mendapatkan pandangan kedua. Pakar kewangan tersebut telah mencadangkan agar pasangan tersebut menjual rumah tersebut dan membeli rumah yang lebih murah serta bakinya digunakan untuk membantu anak mereka. Situasi menang-menang. Pasangan tersebut dianggap bijak oleh pakar kewangan tersebut kerana tidak terikat dengan nilai sentimental terhadap rumah mereka sehingga menghalang mereka untuk membantu anak mereka. 

Hari ini, saya nekad memutuskan nilai sentimental pada barang-barang yang tidak memberi sebarang manfaat selain menyesakkan ruang yang sedia sempit. Lega.