Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, December 21, 2010

Takut/Cuak

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini kelas renang berjalan seperti dijadualkan dan pelajaran kami melangkah setapak lagi apabila Kak Niza (KN) meminta kami berenang di kawasan yang lebih dalam. Kedalamannya lebih tinggi daripada saya sehingga saya tercungap-cungap apabila berdiri tegak. Sebenarnya rasa takut/cuak telah mula bermain-main dalam kepala saat kami terima sms daripada KN memaklumkan yang malam ini kami akan ke kawasan kolam yang lebih dalam. Sebelum ini kami hanya berlatih pada kedalaman kolam paras dada sahaja. Meskipun teruja untuk mempelajari teknik baru, rasa takut/cuak tetap bersarang dalam kepala kami.

Jumlah pengunjung yang ramai sedikit sebanyak mengganggu kelancaran sesi latihan yang kami ikuti. Mungkin kerana cuti sekolah, ramai yang datang mandi manda bersama keluarga. Apapun, kami teruskan juga sesi latihan dengan bimbingan KN. Seronok apabila dapat mengapungkan diri tetapi rasa takut/cuak masih tetap bersarang dalam diri saya.

Saya pernah lemas semasa berusia 16 tahun. Waktu itu saya dan keluarga membawa kawan-kawan abang saya yang datang bercuti ke kawasan air terjun di Hulu Terengganu. Dalam keriangan, saya tidak perasan kewujudan lubuk tidak jauh dari tebing tempat saya dan adik perempuan berdiri. Hanya beberapa langkah di dalam air sungai, saya terus tenggelam ke dalam lubuk tersebut. Adik perempuan saya yang melihat keadaan saya cuba untuk membantu dengan menghulurkan tangannya tetapi dengan tidak semena-mena dia turut tergelincir ke dalam lubuk bersama saya. Kami berdua terkapai-kapai dan saling berpaut untuk menyelamatkan diri. Saat itu, saya teringat kepada pesanan seorang guru iaitu apabila lemas, cara terbaik adalah dengan berdiam diri sahaja. Saya cuba untuk mendiamkan diri tetapi adik saya terus memaut saya menyebabkan kami berdua terus tenggelam ke bawah. Saya redha jika Allah ingin memanggil saya kembali saat itu malah saya sudah melafazkan kalimah syahadah.

Tiba-tiba saya merasakan ada tangan menolak saya dan adik ke atas dan kami kembali ke tebing ke sisi ummi yang sudah terjelepuk sambil menangis. Rupanya abah dan ummi yang berada di bahagian atas nampak keadaan kami yang tenggelam timbul. Mulanya ummi menyangka kami bergurau dengan menyelam di dalam air tetapi apabila kami tidak timbul-timbul, ummi terus menjerit dan abah terus bingkas berlari terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan kami. Habis basah lencun dompet abah kerana tidak sempat mengeluarkannya daripada poket seluar dalam kekalutan tersebut. Malah abah berlari seperti tidak jejak tanah untuk menyelamatkan kami kerana kedudukan abah dan ummi yang sedikit jauh daripada kami.

Sebaik menolak kami ke tebing, abah terus tenggelam dalam sungai dan ummi terus menjerit memanggil “Abang! Abang!” dan ingin meluru masuk ke dalam sungai. Mujurlah saya dan adik memaut kaki ummi dan abah mula timbul. Rupanya abah kepenatan menyelam menyelamatkan kami yang sudah jauh tenggelam menuju ke dasar. Menurut abah, kami sudah jauh tenggelam ke bawah dan abah terpaksa menolak kami berdua serentak kerana bimbang akan kehilangan salah seorang kerana keadaan di bawah yang agak gelap. Kedalaman lubuk jauh lebih dari yang kami jangkakan dan abah mengangggarkan kedalamannya lebih kurang 6 orang dewasa berdiri.

Sejak kejadian itu, abah berazam untuk mengajar kami berenang tetapi niat itu sering terhalang tambahan pula masa saya banyak dihabiskan di asrama. Ironinya, saya membesar di kawasan pantai tetapi tidak tahu berenang. Abah seorang yang begitu tegas dengan kami dan melarang kami untuk mandi manda di pantai sesuka hati. Abang-abang saya sering curi-curi mandi juga bersama kawan-kawan dan mereka akhirnya pandai berenang sedangkan saya begitu takut untuk melanggar arahan itu. Namun kejadian lemas yang hampir meragut nyawa tetap menghantui saya dan menyebabkan saya menjadi trauma apabila berada di dalam air yang saya tahu kedalamannya melepasi ketinggian saya.

Pun begitu, hasrat untuk belajar berenang tetap tertanam dalam diri saya demi untuk menghilangkan trauma yang telah begitu lama bersarang dalam diri. Di samping itu, berdasarkan beberapa siri latihan yang telah saya ikuti bersama KN, saya dapati aktiviti ini dapat membentuk keberanian mencuba dalam diri seseorang. Cemburu rasanya melihat anak-anak kecil yang sudah tahu berenang dalam usia yang masih mentah sedang saya masih bertatih untuk melakukannya.

Sesi latihan malam ini hampir membangkitkan kisah hitam yang pernah saya lalui dulu apabila saya tenggelam timbul buat seketika dan terpaksa ditolak oleh KN ke tepi kolam. Rakan sekolam saya, Ila Ramliey pula menunjukkan kemajuan yang lebih baik berbanding saya. Mungkin saya perlukan latihan lebih kerap untuk membiasakan diri dengan air dan menghilangkan rasa takut/cuak yang masih bersisa dalam diri. Saya berazam untuk melawan perasaan itu dan saya yakin (insyaAllah), saya akan berjaya melakukannya kelak. Aktiviti renang pasti akan menjadi antara hobi utama yang saya minati selepas ini. Untungnya saya sudah mempunyai rakan yang juga mempunyai minat yang sama. Siapa lagi orang yang saya maksudkan, kalau bukan Ila Ramliey.

Meskipun tidak banyak pencapaian yang saya capai pada malam ini, latihan yang dijalani telah sedikit sebanyak menghilangkan trauma yang pernah saya lalui dulu. Hakikatnya, ia bukan kerana saya tidak mampu untuk melakukannya tetapi kerana ketidakmampuan saya untuk mengawal rasa takut/cuak dalam diri sendiri. Malah begitulah keadaan yang sering dihadapi oleh kebanyakan dari kita iaitu perasaan takut/cuak telah menghalang kita dari melakukan sesuatu. Dalam erti kata lain, kita telah gagal sebelum mencuba.

Usai latihan, saya, Ila Ramliey dan KN sempat makan malam roti boom di salah sebuah kedai makan di situ. Kali ini, saya setara dengan Ila Ramliey apabila kami berjaya menghabiskan 2 biji roti boom seorang. :D

2 comments:

Ila Ramli said...

wauh.. uhum...uhumm.namaku mcm menjadi sebutan je di belog ni. hahaha :D

beb..yakin boleh!!! chaiyok!!!

ann ahm said...

Sangat setuju dengan kata2 ini..it was well said;

"Hakikatnya, ia bukan kerana saya tidak mampu untuk melakukannya tetapi kerana ketidakmampuan saya untuk mengawal rasa takut/cuak dalam diri sendiri. Malah begitulah keadaan yang sering dihadapi oleh kebanyakan dari kita iaitu perasaan takut/cuak telah menghalang kita dari melakukan sesuatu. Dalam erti kata lain, kita telah gagal sebelum mencuba."

Walaupun begitu, perasan takut/cuak perlu ada agar kita akan lebih berhati2 dengan risikonya dan mengambil langkah berjaga2 untuk meminimakannya.

Saya percaya diakhir 8 kelas nanti, Carrie-Ma akan dapat menguasai kemahiran renang ini kerana Carrie-Ma seorang yang berkeyakinan tinggi. Orang yang berkeyakinan tinggi pasti dapat mengharungi segala halangan & mengatasi segala cabaran hingga tercapainya kejayaan. Tentu BOLEH!!!

Next time, saya belanja both of you roti boom ya...had 2 sorang je dah cukop aa...hihihi

-KN