Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, October 27, 2010

Tenat

Bismillahirrahmanirrahim...

Astaghfirullahala'zim. Termenung panjang saya membaca paparan dalam Harian Metro pada hari ini. Anak Derhaka. Itu label yang paling sesuai diberikan kepada pemuda yang telah menumbuk muka ibunya sendiri sehingga si ibu koma. Alasannya pula tidak masuk akal pada saya iaitu hanya kerana si ibu lambat menyempurnakan persiapan perkahwinannya. Saya membayangkan betapa malangnya wanita yang bakal menjadi suri dalam hidup lelaki tersebut. Jika ibu sendiri yang telah mengandungkannya selama 9 bulan pun sanggup dicederakan seperti manusia yang tiada akal, inikan pula seorang isteri. Lelaki seperti ini tidak layak dijadikan calon suami jika ibu sendiri pun tidak dihormati dan disayangi.

Akhir-akhir ini semakin banyak paparan berita tentang tindakan-tindakan tidak masuk akal yang sedang berlaku dalam masyarakat. Hakikatnya masyarakat hari ini benar-benar tenat. Remaja seawal usia 12 tahun sudah berani melakukan perbuatan terkutuk sehingga akhirnya mati dalam keadaan yang hina, terjatuh dari bangunan sewaktu melarikan diri apabila disergah oleh segolongan masyarakat yang prihatin. Ngeri apabila membayangkan apakah suasana 5-10 tahun akan datang pula jika keadaan masyarakat hari ini sudah tenat. 
"Ya Allah Ya Tuhanku, Kau peliharalah kami daripada terkena tempias kemungkaran yang sedang melanda ummat pada hari ini. Tempatkanlah kami dalam dunia kecintaan kepada-Mu yang sentiasa takut dan ingat kepada kebesaran-Mu jua. Biarlah kami kecil di mata manusia tetapi mulia pada pandangan-Mu YaAllah."

Tuesday, October 26, 2010

Konflik

Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap manusia mempunyai pandangan, pendapat dan harapan masing-masing. Apabila wujud jurang antara ketiga-tiga perkara tersebut, konflik akan muncul iaitu apabila apa yang diharapkan oleh satu pihak berbeza dengan harapan pihak lain. Apabila jurang semakin melebar, maka konflik akan semakin serius. Justeru, apa yang boleh dilakukan adalah memastikan jurang tersebut tidak terlalu lebar dan terus melebar tanpa kawalan. Tindakan harus diambil agar jurang perbezaan yang wujud menjadi satu perkara positif yang boleh memberi kebaikan kepada semua pihak. Sepertimana pesan Rasulullah bahawa perbezaan pendapat antara umat Baginda ini adalah merupakan satu rahmat sebenarnya.

Dek perbezaan pendapat, manusia menjadi lebih kreatif untuk mencari jalan keluar dari setiap permasalahan yang dihadapi. Manusia menjadi lebih prihatin agar setiap tindakan dan keputusan yang dibuat bukan hanya mampu memuaskan hati sendiri sebaliknya pihak lain juga. Pun begitu, tidak dinafikan terdapat juga segolongan manusia yang lebih cenderung untuk terus melebarkan jurang tersebut mengakibatkan konflik semakin kronik malah berpanjangan. Benar pesan orang tua, ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Namun begitu, dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak dapat lari dari berdepan dengan konflik. Semakin meningkat usia kita, semakin banyak tanggungjawab yang perlu digalas dan semakin banyak konflik yang perlu didepani. Sebagai Muslim, kita ada senjata yang cukup ampuh untuk dijadikan bekalan dan panduan iaitu Kitabullah, Al-Quran.




“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.” (Al-Baqarah, Ayat 286)
Tiada penawar yang lebih mujarab selain kembali kepada kata-kataNya yang cukup mendamaikan. Janji yang sangat benar dan pasti.




“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? (1) Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam); (2) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? (3) Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? (4) Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (5) (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6) Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (7) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). (8) “ (Ash-Sharh, Ayat 1-8)
Sesungguhnya, hanya dengan mengingati Allah hati kita akan menjadi tenang. Datanglah badai sehebat mana pun, selagi kita yakin Allah tidak pernah surut kasih sayangNya, kita akan terus utuh dan teguh menghadapinya. Di hujungnya, Allah pasti telah menyediakan sesuatu yang lebih baik sekiranya kita berjaya mengharunginya dengan sabar. Teringat saya satu kata-kata yang dibaca dalam sebuah majalah baru-baru ini iaitu ‘lawanlah dunia dengan akhirat...’. Satu pernyataan yang cukup ringkas namun mengandungi interpretasi yang cukup luas. Renung-renungkanlah...

Sunday, October 24, 2010

Teratak Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

2 tahun yang lalu, saya telah membeli sebuah rumah bandar (townhouse). Mulanya saya sendiri kurang arif tentang ciri-ciri dan bentuk townhouse tetapi apabila melihat sendiri rumah contoh, saya terus jatuh hati. Saya telah memilih unit atas kerana pencahayaan dan pengudaraan yang lebih baik berbanding unit bawah. Alhamdulillah, 18 Oktober yang lalu saya telah menerima kunci daripada pemaju. Kini tumpuan adalah untuk melengkapkan rumah tersebut. Perkara paling utama yang perlu dibuat adalah memasang grill. Boleh tahan juga harganya tetapi mujurlah saya mendapat bantuan abang ipar kepada bekas teman serumah dulu.


Lain benar perasaanya apabila menerima kunci rumah tempohari. Tidak percaya pun ada juga tetapi kepercayaan timbul apabila melihat jumlah bayaran yang perlu dibuat. :P

Monday, October 11, 2010

Langkah

Bismillahirrahmanirrahim...

Masa berlalu dengan begitu pantas. Pejam celik, pejam celik sudah masuk bulan ketiga saya berada di tempat baru. Alhamdulillah, saya sudah semakin dapat menyesuaikan diri dengan tuntutan kerja baru walaupun saya akui pada awalnya saya banyak mengeluh berhadapan dengan perubahan. Namun saya sedar yang tindakan mengeluh dan mengomel tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi malah lebih dari itu, hanya akan lebih memburukkan keadaan. Saya perlu bersedia untuk berhadapan dengannya.

Saya akui semua perkara menjadi sukar pada peringkat awal memasuki fasa perubahan ini. Saya bergelut dengan keselesaan melakukan tugasan di tempat lama dan perubahan tugasan yang jauh berbeza di tempat baru. Segala-galanya jauh berbeza dan saya perlu mencuba sedaya-upaya menyesuaikan diri dengan keadaan baru atau saya akan jauh ketinggalan. Di tempat lama, saya sudah terbiasa bekerja dengan dibantu oleh beberapa orang kakitangan bawahan dalam urusan seperti penyediaan salinan dokumen, penghantaran dokumen termasuk membuat panggilan dan persediaan untuk pelaksanaan sesebuah mesyuarat. Di tempat baru, saya perlu melakukan segala-galanya secara sendiri. Pada mulanya, agak sukar untuk saya menerima hakikat melakukan tugasan yang selama ini dilakukan oleh pegawai bawahan tetapi lama-kelamaan saya sedar, saya kini berada di ‘kandang’ yang lain. Bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Perkara pertama yang harus saya ubah adalah menukar persepsi pelaksanaan tugas mengikut hirarki yang telah sekian lama saya lalui.

Hakikatnya, saya menjadi umpama budak kecil yang baru belajar berjalan. Saya perlu hati-hati mengatur langkah satu persatu agar tidak terjatuh. Perlahan-lahan saya bertatih walaupun kekadang terjatuh jua. Kesakitan memang dirasai tetapi langkah mesti diteruskan kerana jika saya mengalah saya akan terus tersungkur di situ. Saya teruskan melangkah dengan harapan langkah yang diambil akan menemukan saya dengan jalan keluar yang lebih mudah dan saya akhirnya mampu berlari gagah. Teringat saya kepada kata-kata tokoh negarawan Tun Daim Zainuddin dalam buku autobiografi beliau bertajuk Daim: The Man Behind The Enigma, iaitu masalah adalah untuk didepani, bukan untuk dielakkan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah. Jika dielakkan, masalah akan hanya hilang buat sementara waktu tetapi akan muncul kembali pada satu masa dalam bentuk yang mungkin jauh lebih teruk dari sebelumnya.

Saya kira ini adalah ujian terhadap pendirian saya selama ini yang gemar melibatkan diri dengan setiap tugasan yang diberikan kepada kakitangan bawahan. Rupa-rupanya inilah hikmah di sebalik penglibatan saya melakukan kerja-kerja rencam menyusun dokumen-dokumen dan mengemas bersama mereka. Bezanya kini saya perlu melakukannya sendirian.

InsyaAllah, saya akan memulakan pengajian peringkat sarjana pada pertengahan tahun hadapan. Jika diamati, saya merasakan bahawa apa yang saya lalui kini merupakan persediaan awal untuk saya mendepani situasi tersebut apabila saya perlu melakukannya sendiri tanpa bantuan kakitangan bawahan seperti dalam alam pekerjaan. Dunia pembelajaran akan menuntut saya untuk lebih berdikari dalam melaluinya. Sesungguhnya setiap yang ditentukan olehNya adalah yang terbaik buat diri kita. Terpulang bagaimana kita ingin melihat dan menilainya. Jika kita melihatnya dari sudut negatif semata, maka rasa sakit hati dan kekecewaan akan menyelubungi diri kita. Namun jika kita melihatnya dari sudut positif, maka kita akan semakin bersyukur dan menyedari bahawa Allah amat menyayangi serta mengasihi hamba-hambaNya. Setiap perkara dan kejadian yang dianugerahkanNya mengandungi pelbagai hikmah yang tidak terjangkau dek akal dangkal kita yang lemah ini.

Saya nekad meneruskan langkah pada jalan yang saya sendiri telah pilih ini kerana saya pasti akan menemui jalan keluarnya suatu hari nanti. Janji Allah, “apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah” dan “sesungguhnya bersama-sama kesukaran itu ada kemudahan...”.

Tuesday, October 5, 2010

5 Sebelum 5

Bismillahirrahmanirrahim...


Muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati dan sihat sebelum sakit. 5 perkara utama yang perlu direbut. Itu pesan Rasulullah SAW kepada ummat Baginda.

Sewaktu berada di kampung, saya menerima khabar bahawa bapa saudara saya (abang ummi saya) telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu. Bapa saudara saya ini (yang saya panggil AyahChik) memang telah sekian lama bergelut dengan penyakit kerosakan buah pinggang secara total. Seingat saya, AyahChik mula disahkan mengalami kerosakan buah pinggang kira-kira 10 tahun yang lalu iaitu sewaktu saya masih menuntut di UIA. Hospital sudah menjadi rumah kedua AyahChik bagi menjalani rawatan hemodialisis sebanyak 3 kali seminggu. Pada waktu itu AyahChik masih tinggal dan bertugas di Bandaraya Ipoh, Perak. Apabila keadaan kesihatan AyahChik semakin merosot, beliau dan keluarga telah mengambil keputusan untuk berpindah dan menetap di kampung halaman di Terengganu. Malah kedudukan rumah AyahChik sekarang terletak tidak jauh daripada rumah saya (Teratak Bakarians).

Pelbagai rawatan alternatif juga turut dijalani oleh AyahChik namun tahap kesihatan beliau tetap semakin merosot. Asal sahaja ada cadangan daripada orang tentang tempat untuk berubat, pasti AyahChik akan mengunjunginya. Namun begitu, rawatan yang dijalani hanya mampu membuatkan AyahChik bertahan daripada kesakitan yang dialami namun tidak mampu memulihkannya. Setiap kali bertemu dengan AyahChik apabila pulang ke kampung, saya dapat melihat perubahan yang semakin merisaukan pada diri AyahChik. Kini, wajah AyahChik menjadi sangat cengkung, kulit semakin menggelap dan perut semakin membuncit. Pelawaan ummi untuk menjenguk AyahChik di hospital saya terima dengan hati terbuka kerana bimbang insiden sama yang telah menimpa arwah bapa saudara saya pada bulan Ramadhan yang lepas berulang. Saya telah menangguhkan tanggungjawab menjenguk arwah di hospital walaupun telah dimaklumkan arwah telah koma. Akhirnya, saya tidak sempat menziarahi arwah buat kali terakhir sedangkan arwah merupakan antara bapa saudara yang rapat dengan kami.

Saya dan ummi serta MakSu mengunjungi AyahChik pada petang hari Sabtu yang lalu. Waktu melawat bermula pada jam 5 petang hingga 7 malam. Kami tiba pada jam 6 petang dan terus menuju ke wad berkenaan. Tiba di wad, kami dimaklumkan yang AyahChik telah dibawa untuk mengikuti proses hemodialisis di Unit Nefrologi. Kami beredar menuju ke unit tersebut yang terletak di tingkat bawah dan bersebelahan dengan blok utama.

Sayu hati melihat AyahChik yang terbaring kepenatan menunggu proses hemodialisis selesai. Terpancar kegembiraan di wajah beliau melihat kehadiran kami. MakChik (isteri AyahChik) pun turut gembira menyambut kunjungan kami. Begitulah rutin MakChik sejak beberapa hari yang lalu. Setia menemani AyahChik menjalani rawatan dan terpaksa bercuti meninggalkan tugas sebagai guru besar sepanjang tempoh rawatan. Dapat saya lihat kekusutan dan kerisauan yang jelas terpancar di wajah MakChik. Begitu berat dugaan yang diberikan Allah Taala kepada mereka berdua. Sesungguhnya pasti ada hikmah besar yang tersembunyi di sebaliknya. Saya banyak mendiamkan diri sahaja sepanjang berada di situ, mendengar dengan penuh tekun luahan dan rintihan MakChik melayani kerenah pelbagai pihak demi untuk mendapatkan rawatan buat suami tercinta. Saya membayangkan bagaimana keadaannya jika dugaan itu menimpa diri sendiri. Nauzubillahiminzalik. Ummi dan MakSu yang banyak bertanyakan pelbagai soalan kepada MakChik dan saya hanya menjadi pendengar setia pada kebanyakan masa.

Dalam kerancakan ipar duai berbicara, sesekali saya merenung wajah AyahChik. Jauh berubah daripada AyahChik yang saya kenali dulu. Warna kulit AyahChik yang dulu cerah kini menjadi kehitaman, wajah yang dulu berisi kini cengkung dan susuk tubuh yang dulu sasa kini menjadi sangat kurus. Hampir saya tidak dapat mengecam wajah AyahChik yang begitu jauh berubah. Memori saya yang terpapar tentang AyahChik hanya sewaktu saya masih di alam kanak-kanak kerana AyahChik banyak menghabiskan usia di Ipoh, Perak. Namun saya masih mengingati kemesraan AyahChik setiap kali pulang menziarahi nenek dan keluarga di kampung. Paling tidak dapat saya lupakan adalah ajaran origami AyahChik kepada saya iaitu membuat songkok daripada suratkhabar. Sehingga ke hari ini saya masih dapat membuatnya.

Hampir 2 jam kami menemani AyahChik dan MakChik di Unit Nefrologi, kami beredar untuk menunaikan solat Maghrib di masjid berdekatan. Tangan AyahChik saya kucup dan rasa sebak bertandang dalam hati apabila tangan yang dulu sasa kini hanya tinggal tulang bersalut kulit kehitaman.

Jauh di sudut hati, terdetik rasa kesyukuran kerana kedua abah dan ummi saya masih dianugerahkan kesihatan dalam meniti sisa-sisa usia. Doa saya, biarlah keduanya kekal sihat sehingga ke akhir hayat agar dapat saya menggembirakan mereka setelah segala pengorbanan yang dicurahkan. Saya tidak mungkin mampu membalas jasa mereka namun saya berdoa agar diberi kesempatan berbakti kepada keduanya selagi saya terdaya dan diberi kesempatan, insyaAllah.

Saturday, October 2, 2010

Bas dan Kereta Sapu

Bismillahirrahmanirrahim...


Sejak memasuki asrama pada usia 13 tahun sehingga mula memasuki alam pekerjaan, bas merupakan pengangkutan utama bagi saya untuk pulang ke kampung. Begitulah pentingnya kewujudan bas dalam hidup saya. Apa tidaknya, sewaktu mula-mula bekerja selepas tamat pengajian dan tinggal di Shah Alam, hampir setiap 2 minggu saya akan pulang ke kampung dengan menaiki bas. Tambahan pula kedudukan rumah pada waktu itu begitu hampir dengan lokasi terminal bas Seksyen 17. Namun begitu, rutin pulang ke kampung dengan menaiki bas mula berkurangan malah hampir tiada apabila saya mula memiliki kenderaan sendiri. Lebih-lebih lagi apabila Lebuhraya Pantai Timur telah siap dan perjalanan menjadi semakin singkat iaitu 4 jam sahaja berbanding sebelum ini antara 6-7 jam.

Malam tadi saya pulang sendirian ke kampung dengan menaiki bas kerana adik-adik saya ada urusan. Malas pula nak memandu bersendirian. Urusan pembelian tiket pula saya buat secara atas talian (online) di laman web Maraliner. Sungguh mudah. Saya berniat untuk tidur sepanjang dalam perjalanan nanti. Malah itu pun yang saya lakukan. Penat sungguh rasanya sehingga saya tertidur sepanjang perjalanan dan hanya terbangun apabila dikejutkan oleh penumpang yang duduk di sebelah saya. Memang saya tidur dengan lena. Natijahnya, saya terlajak daripada turun di tempat biasa iaitu simpang berhampiran rumah saya. Mujurlah saya ada memberitahu penumpang di sebelah yang saya akan turun di Dungun. Jika tidak, pasti saya akan terlajak sampai ke destinasi terakhir bas iaitu Kuala Terengganu. Jenuh juga nak patah balik kalau itu yang terjadi.

Seperti biasa, apabila tiba di stesen bas, beberapa pemilik kereta sapu akan meluru mengerumuni untuk menawarkan perkhidmatan mereka. Begitulah suasananya setiap kali bas berhenti menurunkan penumpang. Saya tidak terkecuali dikerumuni oleh mereka namun dalam rasa mengantuk yang masih bersisa, saya hanya menggelengkan kepala sahaja, tanda saya tidak memerlukan perkhidmatan mereka. Abah saya sudah dimaklumkan dan sedang dalam perjalanan untuk menjemput saya. Sementara menanti ketibaan abah, saya memerhatikan gelagat mereka yang mengisi masa sementara mendapatkan penumpang. Ada yang berbual-bual, ada yang bermain mercun mengenakan rakan-rakan, ada yang terus-terusan masih cuba menawarkan perkhidmatan mereka kepada penumpang yang masih menunggu (termasuk saya) dan ada yang melelapkan mata di dalam kereta masing-masing. Pendek kata, pelbagai ragam dan hal dapat saya lihat.

Seketika di situ, saya mula merenung dan berfikir. Cekalnya mereka bersengkang mata menawarkan perkhidmatan kepada sesiapa yang memerlukan untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara keluarga mereka. Saat kita lena diulit mimpi, mereka mengorbankan masa tidur demi mencari pendapatan yang halal. Perkhidmatan yang ditawarkan mereka besar ertinya kepada penumpang yang tinggal agak jauh dari stesen bas dan tiada kenderaan yang datang menjemput pulang. Pun begitu, sebagai wanita, perasaan risau turut terdetik di hati ini, bimbang jika ada yang berniat buruk terhadap penumpang. Nauzubillahi minzalik.

Saya hanya memerhati gelagat sebahagian mereka dan hanya tersenyum apabila mendapati apa yang dibualkan mereka menggelikan hati. Mungkin itu cara untuk mereka menghilangkan rasa mengantuk. Saya beredar meninggalkan mereka apabila abah tiba untuk menjemput pulang. Syukur saya mendapat pendidikan yang baik dan tidak perlu melakukan pekerjaan yang memerlukan saya bersengkang mata setiap malam. Alhamdulillah.