Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, September 28, 2010

Peluang Kedua

Bismillahirrahmanirrahim...

Masalah datang daripada Allah Taala dalam bentuk ujian terhadap hamba-hambaNya namun dengan rahmatNya jua, manusia senantiasa dikurniakan jalan keluar dari setiap permasalahan, halangan dan cabaran yang didepani. Justeru, masalah hanya dapat diselesaikan dengan memohon daripadaNya jua. Analoginya, apabila kita membeli kereta dan ia mengalami kerosakan atau memerlukan penyelenggaraan rutin, sudah tentulah kita akan merujuknya kepada mekanik kereta atau mereka yang terlibat dalam industri automotif. Bayangkan apa yang terjadi sekiranya kita membawa kereta untuk dibaiki kepada mekanik basikal atau motosikal. Kita mungkin dianggap tidak berpengetahuan malah mungkin ditertawakan oleh pihak-pihak tertentu. Lebih teruk, masalah yang dihadapi tidak akan berjaya diselesaikan. Begitu juga, jika kita ingin mendapatkan pandangan yang baik tentang penjagaan kereta, maka kita akan merujuk kepada golongan yang pakar tentangnya. Begitulah juga sebagai makhluk ciptaanNya, sebaik-baik tempat rujukan dan tempat mengadu adalah kepadaNya jua.

Allah datangkan ujian kepada kita sebagai petanda bahawa Allah senantiasa mengingati hamba-hambaNya sedang kita sering terlalai dan terleka daripada mengingatiNya. Seringkali kita hanya mencariNya apabila berdepan dengan kesukaran dan kepayahan, sebaliknya sering melupakanNya apabila terlalu leka dengan nikmat yang diperoleh sedangkan nikmat itu kurniaan daripadaNya jua.

Biar berapa kali kita terhantuk, tersadung, terleka malah terlupakanNya, Allah kembali memeluk malah menerima dengan hati terbuka setiap pengakuan yang disertai dengan keikhlasan kerana Allah tahu kita sememangnya lemah.

Dalam kehidupan ini, Allah sering memberi peluang kedua malah ketiga dan seterusnya agar kita dapat memperbaiki kesilapan yang pernah dilakukan dan tidak mengulanginya lagi. Pun begitu, kita sendiri yang akan menentukan sama ada ingin menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin atau mensia-siakannya sahaja.

Jika direnung dan difikir-fikirkan, saya dapati Allah sering memberi saya peluang kedua dalam setiap kekhilafan yang telah saya lakukan. Di saat saya merasakan seolah-olah berdepan jalan buntu dalam mendepani sesuatu masalah, Allah senantiasa membuka jalan malah memberi alternatif yang jauh lebih baik kepada diri saya. Dugaan membuatkan saya terasa ingin semakin mendekatkan diri kepadaNya.

Sewaktu saya menolak tawaran memasuki sekolah berasrama penuh di Lembah Kelang selepas mendapat keputusan UPSR, Allah berikan peluang kedua kepada saya dengan mendapat tawaran memasuki Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Apabila saya gagal meneruskan pengajian di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Allah gantikan dengan peluang ke Maktab Rendah Sains Mara Muar dan seterusnya. Sesungguhnya senarai peluang kedua yang Allah berikan kepada saya amat panjang. Subhanallah.

Terkini, di saat saya merasa kepada perubahan dalam dunia pekerjaan, Allah bukakan jalan kepada saya untuk menemuinya di tempat baru. Meskipun jauh di sudut hati, saya merasa amat berat untuk meninggalkan ‘dunia selesa’ yang telah saya nikmati sejak 5 tahun yang lalu, saya sering berpendapat bahawa untuk meraih sesuatu yang berbeza dalam hidup ini, saya perlu melakukan sesuatu untuk melawan keselesaan tersebut. Justeru, saat peluang untuk bertukar tempat kerja tiba, saya terima dan melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Namun saya syukur kerana ukhuwwah yang terjalin di tempat lama tetap dekat di hati saya. Mereka tetap rakan-rakan terbaik di mata saya yang sama-sama bersusah dan bersenang sepanjang saya bertugas di situ.

Tidak cukup dengan itu, Allah bukakan pula jalan untuk saya melanjutkan pelajaran apabila mendapat tawaran biasiswa dan insyaAllah akan memulakannya pada pertengahan tahun hadapan. Sebelum itu, ada satu misi besar yang perlu saya sempurnakan dan doa saya semoga misi ini akan dipermudahkanNya jua dan diberi peluang kedua untuk menyempurnakannya. Saya pernah mencuba untuk menyempurnakannya sebelum ini tetapi senantiasa terbengkalai di pertengahan jalan. Kali ini, saya ingin mencubanya lagi. Namun, saya hanya mampu berusaha, Dia jua yang akan menentukanNya dan Maha Mengetahui yang terbaik buat diri saya, hambaNya.

Wednesday, September 22, 2010

HSQ

Bismillahirrahmanirrahim...



Tiga tahun yang lalu, saya pernah mengikuti sebuah kursus anjuran ESQ Leadership Center Malaysia. Bayaran yang dikenakan memang agak tinggi namun saya amat berpuas hati dengan pengisiannya yang nyata berbeza daripada kursus-kursus yang pernah saya ikuti sebelum ini. Meskipun kursus tersebut dipenuhi dengan ayat-ayat Al-Quran, masih ada orang bukan Islam yang menyertainya termasuk motivator dan penulis Dare To Fail, saudara Billi Lim. Pendekatan mereka yang begitu Islamik adalah kerana mereka berpegang kepada prinsip bahawa Al-Quran diturunkan kepada seluruh manusia dan bukannya khusus kepada umat Islam sahaja.

Baru-baru ini pula fatwa pengharaman kursus ESQ telah dikeluarkan oleh pihak berwajib. Sebagai alumni kursus tersebut, sedikit sebanyak saya terkesan juga dengan pengharaman tersebut namun saya tetap menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak yang lebih mendalami agama. Namun begitu, berdasarkan pengalaman sendiri, kursus tersebut merupakan kursus terbaik yang pernah saya ikuti dalam hidup saya. Para pelatih berjaya membangkitkan rasa kesedaran dan keinsafan dalam diri setiap peserta agar kembali sedar kepada kebesaran Allah Taala serta kemuliaan Rasulullah SAW yang selama ini hanya dipandang enteng sahaja. Berapa ramai yang benar-benar memahami kebesaran Allah dengan merenung ke dalam diri sendiri iaitu dengan melihat kekuasaan Allah menciptakan manusia daripada air mani? Berapa ramai yang mempelajari Sirah Rasulullah sewaktu di bangku persekolahan tetapi semakin melupakan apabila usia semakin menginjak dewasa? Malah berapa ramai pula yang benar-benar mengamalkan sunnah Baginda?

Saya fikir inilah ubat paling mujarab kepada masyarakat yang kian sakit ini. Agama adalah penawar yang tiada tolok bandingnya. Ia didambakan oleh setiap insan dan makhluk ciptaanNya. Masyarakat menjadi semakin sakit kerana ada ruang kosong dalam diri mereka yang gagal memahami hala tuju sebenar kehidupan seorang hamba Allah.

Malam tadi, saya menemui kembali program tersebut dalam sebuah rancangan yang dinamakan Halaqah Sentuhan Qalbu (HSQ) siaran TV9, jam 10.00 malam. Rancangan yang diterajui oleh saudara Ahmad Noor Sulaiman dan dibantu oleh para pelatih ESQ telah berjaya menggamit hati saya kembali untuk mengikutinya. Saya tidak pernah mengetahui kewujudan rancangan tersebut sebelum ini kerana sudah lama tidak mendapat siaran selain TV3 sahaja. Memang isyarat agak teruk di kawasan perumahan yang kami duduki kecuali dengan melanggan Astro.

Kini, setelah membeli TV baru, capaian kepada saluran lain berjaya diperoleh walaupun gambarnya masih kurang jelas. Bagi yang pernah mengikuti kursus ESQ, akan memahami apa yang saya rasakan apabila menonton rancangan tersebut. Yang pasti, saya akan menjadi penonton setia rancangan HSQ selepas ini, malah telah pun menyertai ruangan Facebook HSQ untuk mendapatkan koleksi episod yang lalu.

Thursday, September 16, 2010

Layang-Layang

Bismillahirrahmanirrahim...


Petang tadi saya meluangkan masa bersama anak-anak saudara bermain layang-layang di Pantai Teluk Lipat, tidak jauh dari Teratak Bakarians. Saya sendiri sudah lupa bila kali terakhir saya bermain layang-layang. Mungkin sewaktu saya masih di bangku sekolah rendah kerana selepas memasuki asrama sejak tingkatan 1, saya sudah tidak lagi berpeluang melakukannya. Jika dulu amat sukar untuk bermain layang-layang kerana saya perlu mencari lidi, kertas suratkhabar dan nasi. Lidi saya peroleh daripada pokok kelapa di sekitar kawasan rumah, kertas suratkhabar daripada dalam rumah dan nasi dijadikan gam. Walaupun harga layang-layang siap pada waktu itu hanya sekitar 30 sen, saya tidak mampu untuk membelinya. Segalanya begitu sukar pada zaman kanak-kanak namun itu tidak menghalang saya dan adik beradik untuk menikmati zaman kami dengan sebaiknya. Kesukaran membuatkan manusia menjadi kreatif dan berfikir di luar kotak. Berbekalkan peralatan yang ada di sekeliling, kami mampu menghasilkan layang-layang yang diinginkan.

Hari ini, saya tidak lagi membuatnya. Saya hanya membelinya daripada peniaga yang menjual pelbagai bentuk dan saiz layang-layang malah harganya juga boleh tahan mahal. Saya telah membelinya pada harga RM20 seunit dan saya beli 2 unit untuk kedua-dua anak saudara saya. Baru hari ini saya sedar, sudah sekian lama saya tidak bermain layang-layang dan pengalaman ulangtayang zaman kanak-kanak ini cukup menyeronokkan. Asyik bermain sehingga saya tidak sedar hari sudah semakin senja. Segala macam kegusaran dalam diri hilang dan tenggelam dalam keseronokan bermain layang-layang.

Kehidupan ini juga umpama permainan layang-layang. Kekadang tali perlu dilepaskan apabila angin bertiup kencang dan ditarik/diregangkan semula apabila angin bertiup perlahan. Bimbang jika tali diregangkan saat angin bertiup kencang, tali akan putus dan layang-layang akan terbang tanpa haluan. Mungkin juga akan koyak dan renyuk diterjah angin kencang. Namun tali tidak sekali-kali boleh dilepaskan. Itulah tali Allah. Walau apapun badai atau ujian yang melanda dalam kehidupan kita, selagi kita tetap berpegang pada taliNya, kita akan terselamat. Sebaliknya, jika kita melepaskan tali dan beranggapan layang-layang akan mampu terbang sendiri dan mencari haluannya, kita silap. Kita akan semakin jauh dariNya dan mungkin akan tenggelam punca.

Sesungguhnya, setiap perkara atau kejadian di muka bumi ini hatta sekecil-kecil perkara seperti bermain layang-layang pun mampu memberi seribu satu pengajaran jika diselami dan dihayati dengan hati yang terbuka. 

Subhanallah!

P/s: Selamat Hari Malaysia.

Tuesday, September 14, 2010

Erti Raya

Bismillahirrahmanirrahim...



Sedar tak sedar hari ini sudah masuk 5 Syawal. Cuti saya masih berbaki beberapa hari sebelum kembali meneruskan rutin harian seperti biasa. Jauh di sudut hati saya memang tidak dapat menafikan yang saya tenang berada di kampung, jauh dari hiruk pikuk kota dan beban tugas yang tidak putus-putus.

Alhamdulillah raya pada kali ini meriah dengan kepulangan adik beradik dan anak-anak saudara walaupun tidak semua dapat pulang serentak kerana giliran beraya di rumah mertua. Hari Raya merupakan hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berjuang melawan hawa nafsu dan akhirnya kembali kepada fitrah. Jauh dari itu, saya turut merasakan bahawa erti raya adalah keluarga. Saya tidak dapat membayangkan meraikan hari raya tanpa ahli keluarga di sisi terutama kedua ibu bapa.

Akhir-akhir ini saya sering merasa sebak apabila melihat wajah abah dan ummi. Pemergian Ayah Ngah, bapa saudara saya baru-baru ini memberi kesan amat mendalam kepada diri saya. Ia seolah-olah satu loceng yang berbunyi dan mengingatkan diri saya agar kembali merenung dan menilai keutamaan dalam kehidupan ini. Seringkali saya tenggelam dan larut dalam kesibukan duniawi sehingga tanpa sedar, mengabaikan keutamaan yang sepatutnya diberi perhatian.

Alhamdulillah saya masih diberi peluang pada tahun ini untuk menyambut hari raya bersama abah dan ummi. Hari raya kali ini juga, saya renung wajah abah dan umi sedalamnya. Mereka semakin tua, kedutan makin jelas terpapar, kesihatan sering terganggu dan rambut semakin memutih. Ada satu rasa terdetik dalam diri, sama ada saya akan berpeluang untuk menyambut hari raya bersama mereka pada tahun hadapan? Apakah saya sudah cukup berbuat bakti kepada keduanya? Apakah saya sudah menggembirakan keduanya? Apakah saya ini seorang anak yang baik kepada mereka? Segala persoalan bermain-main dalam fikiran saya.

Allah berikan saya pelbagai nikmat dan kegembiraan dalam hidup ini termasuk dikelilingi oleh teman-teman yang baik. Baru-baru ini pula Allah telah permudahkan laluan untuk saya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi pada tahun hadapan. Saya mula terfikir untuk meneruskannya di negeri kelahiran sendiri agar lebih dekat dengan abah dan ummi. Itu niat saya. Moga dipermudahkanNya. Jika niat saya ini dimakbulkanNya, memang banyak perubahan yang perlu saya lakukan kerana telah sekian lama meneruskan kehidupan di kota yang memberi saya pelbagai pengalaman. Namun jika ini harga yang perlu saya bayar untuk membolehkan saya berbakti kepada abah dan ummi, saya terima dengan hati yang redha. Sesungguhnya redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa. Itu pesan Rasulullah SAW.

Saki baki cuti yang masih bersisa ini ingin saya nikmati dengan sebaiknya sebelum kembali ke KL pada hari Sabtu ini.

Tuesday, September 7, 2010

Kau Pergi Jua

Bismillahirrahmanirrahim...

Ramadhan 1431H hanya berbaki 2 hari sahaja lagi. Masa dirasakan berlalu dengan sangat pantas meninggalkan kita tanpa menoleh ke belakang. Malam Lailatul Qadar yang didambakan juga akan turut berlalu sama. Entah kenapa saya merasa cukup sayu pada kali ini. Kesayuan itu berlebihan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Terdetik di hati ini sama ada akan berpeluang untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan pula. Sepertimana perginya bapa saudara baru-baru ini dalam bulan yang penuh barakah. Rupanya ini Ramadhan terakhir buat beliau.

Kematian datang tanpa mengenal usia. Tertanya-tanya sama ada Ramadhan 1432H akan ditemui lagi atau tidak meski jauh di sudut hati sangat rindu untuk bertemunya lagi. Saya suka pada Ramadhan. Semua manusia ghairah mengejar kebaikan. Masjid dipenuhi dengan para jemaah meski kekadang terpaksa memekakkan telinga dengan hiruk pikuk suara dan jeritan anak-anak. Itulah warna dan bunyian generasi pewaris kelak yang diharap akan bakal memenuhi ruangan rumah Allah apabila usia menginjak dewasa. Anak yatim dan orang miskin pula tidak putus-putus menerima bantuan dan diraikan. Pendek kata, semua pihak, pelbagai lapisan masyarakat ingin mengejar barakah Ramadhan yang berlipat kali ganda ganjarannya.

Pernah terdetik dalam hati saya,’alangkah bagusnya kalau setiap bulan adalah bulan Ramadhan.’ Pun begitu, begitu istimewanya Ramadhan apabila Allah datangkan sebulan sahaja daripada 12 bulan dalam setahun. Satu bulan yang cukup ekslusif. Manusia cukup gemar kepada ekslusiviti atau keistimewaan. Sepertimana manusia merasa cukup seronok apabila diberi peluang untuk menikmati keistimewaan tersebut. Bayangkan apabila kita membeli tiket kapal terbang kelas ekonomi (economy class) tetapi atas sebab tertentu, kita diberi peluang menduduki kelas perniagaan (business class). Seronok bukan? Malah layanan yang diterima juga jauh lebih baik dan mesra berbanding penumpang kelas ekonomi. Begitulah Ramadhan diumpamakan. Allah beri peluang kepada kita untuk menikmati layanan business class sepanjang bulan Ramadhan. Beruntunglah bagi penumpang ‘kapal terbang dunia’ yang merebut peluang untuk menikmati kurniaan yang diberikan dengan sepenuhnya dan rugilah bagi mereka yang merasakan seolah-olah tiada beza antara economy class dan business class.

Kini Ramadhan semakin meninggalkan kita. Bermakna kita perlu meninggalkan ruangan business class dan kembali kepada economy class. Namun kita punya dua pilihan. Pertama, kita boleh memilih untuk terus meninggalkan ruangan tersebut dan berharap akan diberi peluang menaikinya lagi pada tahun hadapan atau kedua, berusaha untuk menjadikan ruangan economy class dinaiktaraf menjadi business class. Kata kuncinya adalah istiqamah. Sejauhmana kita benar-benar ingin terus memiliki keistimewaan tersebut bergantung kepada kemahuan dalam diri kita sendiri.

Semalam, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, meredah lautan kesesakan, saya berpeluang mengikuti satu slot iaitu Keluarga Sakinah di IKIM.fm yang disampaikan oleh tokoh yang dikenali ramai iaitu Datuk Sidek Baba (DSB). Seingat saya beliau gemar dipanggil Cikgu Sidek sahaja sewaktu saya masih di UIA dan beliau merupakan salah seorang orang penting di situ. Seorang pemanggil yang menghubungi beliau bertanyakan pendapat tentang bagaimana untuk memastikan kesan sekolah rohani iaitu Ramadhan yang telah dilalui, momentumnya dapat diteruskan dalam bulan-bulan seterusnya berikutan perkara-perkara hiburan yang di’rehat’kan pada bulan Ramadhan kembali aktif? Menurut pemanggil tersebut, hal ini menyukarkan usaha beliau untuk memastikan kesinambungan tarbiah tersebut terhadap anak-anaknya.

Komen DSB ringkas sahaja tetapi pada saya menjawab soalan yang telah diutarakan iaitu ia bergantung kepada sudut pandang seseorang untuk memastikan usaha itu berterusan. Menurut beliau lagi, perkara-perkara hiburan yang dikatakan menjadi halangan adalah merupakan cabaran sebenar kepada tarbiah yang telah diterima sepanjang Ramadhan. Sama ada jati diri yang telah dididik sepanjang Ramadhan telah benar-benar mendarah daging, ujian pada bulan-bulan seterusnya akan menjadi titik penentunya. Jika kita berjaya istiqamah melakukan ibadah-ibadah yang gigih diusahakan pada bulan Ramadhan pada bulan-bulan seterusnya, maka kita telah lulus sekolah rohani yang dilalui sepanjang Ramadhan. Begitulah sebaliknya pula. Demikian ulasan beliau yang ringkas tetapi padat dan kemas.

Ramadhan 1431H akan tetap berlalu pergi meninggalkan kita. Tiba masanya kita menilai sama ada kita telah berjaya mendidik diri sepanjang Ramadhan dan terus istiqamah dengannya.