Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, August 28, 2010

Oh Fatimah!

Bismillahirrahmanirrahim...

Pesan Rasulullah, jika ingin mengenali seseorang, lihatlah siapa kawannya.

Saya mula mengenali Fatimatuzzahra’ bt Abdul Rahman (saya memanggilnya Fatimah walaupun kini ada yang memanggilnya Far) sejak berada di SK Sura Dungun. Kami mula menduduki kelas yang sama sejak berada di tahun 2 iaitu kelas 2 hijau. Semasa di tahun 1, saya ditempatkan di kelas 1 Hijau manakala Fatimah di kelas 1 Merah. Keseluruhannya, ada 3 kelas dibuka bagi pelajar tahun 1 termasuk kelas 1 Kuning. Saya masih ingat nama guru kelas saya pada masa itu iaitu cikgu Jahara. Guru kelas bagi kelas merah pula adalah cikgu Hasmah yang memang terkenal dengan kegarangannya. Begitu juga dengan guru kelas 1 kuning iaitu cikgu Halim yang menjadi ketakutan para pelajar. Kami ditempatkan di kelas 2 hijau selepas mendapat keputusan yang baik semasa peperiksaan akhir tahun 1. Turut sama adalah rakan-rakan yang kekal menjadi pesaing dan ahli kumpulan belajar yang kami tubuhkan sendiri iaitu Nurul Huda, Jamaliah, Noralisa, Norimiyani, Siti Ilyani, Roshasliza dan beberapa orang lagi yang saya lupa nama mereka. Di sini, kami mula bersaing secara sihat namun Fatimah sering menjuarainya dan kami sekadar berjaya berada di tangga kedua dan seterusnya. Malah Fatimah juga menjadi pelajar kesukaan para guru kerana kecerdikan yang dimilikinya. Seingat saya, Fatimah tidak pernah mendapat nombor lain selain nombor 1 setiap kali keputusan peperiksaan dikeluarkan. Tidak hairanlah Fatimah akhirnya menjadi pelajar terbaik keseluruhan sewaktu berada di tahun 6. Pada waktu itu, kami tidak berasa iri hati sehingga ingin menjatuhkan beliau sebaliknya turut berbangga menjadi kawan-kawannya. Fatimah cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga ko-kurikulum. Hampir semua kuiz, syarahan, debat, syair, sajak malah hampir semua aktiviti mengandungi nama Fatimah. Saya masih ingat sewaktu kami bersungguh-sungguh berlatih untuk menyertai pertandingan persembahan dalam Bahasa Inggeris. Tajuk persembahan yang kami pilih pada waktu itu adalah tupai (squirrel). Beria-ia kami berlatih termasuk membawa baju tidur sendiri untuk disesuaikan dengan topeng berwajah tupai yang kami buat sendiri. Saya lupa sama ada kami berjaya meraih sebarang kedudukan atau tidak dalam pertandingan tersebut, yang pasti kami bergembira dan seronok melakukannya. Fatimah adalah orang yang menjadi ketua bagi kumpulan tidak bernama kami.

Sewaktu berada di tahun 6, Fatimah telah dilantik menjadi Penolong Ketua Pengawas. Ada satu perkara yang saya rasa lucu dan tidak dapat dilupakan iaitu Fatimah selalu tiba lambat ke sekolah. Selalunya Fatimah akan datang dari arah pintu belakang yang berdekatan dengan padang sekolah dengan menaiki motor Pasola. Pernah juga beberapa kali saya menunggu Fatimah di situ terutama apabila kami berjanji untuk mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan yang lain. Bayangkan Ketua Penolong Pengawas datang lambat ke sekolah dengan menaiki motorsikal. Haha. Memang lucu apabila dikenangkan kembali. Tidak semua peristiwa mampu saya ingat namun saya benar-benar menghargai kenangan saya membesar bersama Fatimah. Malah saya sering dimarahi oleh abah dan umi kerana sering pulang lewat ke rumah. Sudah tentu abah dan umi bimbang saya akan merayau atau melakukan perkara-perkara yang membahayakan dalam usia yang masih mentah. Bayangkan saya tiba di rumah pada jam 1.00 petang. Selesai membersihkan diri, saya terus bergegas kembali ke sekolah. Saya gemar dan berasa bahagia berada di sekolah bersama teman-teman. Hakikatnya saya berkumpul bersama Fatimah dan teman-teman untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru. Kepercayaan abah dan umi kepada saya berubah menjadi baik apabila saya mempamerkan keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan yang diduduki. Kekerapan kami berkumpul semakin menjadi-jadi apabila kami berada di tahun 6 kerana bakal menduduki UPSR. Kami bergilir-gilir belajar di rumah masing-masing pada setiap hari sehingga kadang-kadang umi sendiri akan menghantar saya dengan motorsikal ke rumah yang hendak dituju.

Cikgu Minah adalah guru matematik kami semasa di tahun 6 yang memang terkenal dengan kegarangannya namun kerana sifat itulah kami berjaya memahami subjek yang diajar. Waktu itu, cikgu Minah ingin memilih wakil sekolah untuk Kuiz Matematik. Lalu diajukan satu soalan mengenai nisbah/peratus kepada kami dan sesiapa yang dapat menjawab soalan tersebut dengan betul akan dipilih untuk menjadi peserta kuiz. Saya masih ingat dengan jelas soalan yang ditanya oleh cikgu Minah pada waktu itu kepada kami iaitu mengenai jika sebuah perahu berada pada kedudukan tertentu (saya lupa kadarnya) di dalam laut dan jarak daripada jeti adalah pada kedudukan tertentu (lupa lagi), berapakah nisbah/peratus perbezaan kedudukan perahu jika paras air laut naik sebanyak (lupa juga) meter?

Kami berlumba-lumba memerah otak membuat pengiraan untuk menyelesaikan soalan yang dikemukakan oleh cikgu Minah sedang Fatimah tenang sahaja seolah-olah sudah mengetahui jawapannya. Akhirnya, apabila tiba masa memberi jawapan, hanya Fatimah seorang sahaja yang dapat menjawabnya dengan betul iaitu ‘0’ sedang kami memberikan pelbagai angka yang tidak memberi sebarang makna. Ternyata soalan tersebut tidak memerlukan sebarang bentuk pengiraan pun, hanya perlu menggunakan logik akal sahaja. Dengan gembira, cikgu Minah meminta Fatimah menyatakan jawapannya yang berbeza daripada kami,

“Kalau paras air naik, maka perahu pun akan naik, maka tiada sebarang perbezaan.”

Wajah cikgu Minah menguntum senyum mendengar jawapan Fatimah yang ternyata sangat benar dan tidak terjangkau oleh akal mentah kami pada waktu itu.

Acara wajib kami pada setiap tahun adalah mengunjungi Pesta Buku yang diadakan di bandar Dungun. Selalunya kami akan berkumpul di rumah Fatimah kerana kedudukan rumah Fatimah yang menghala ke arah bandar Dungun. Kenderaan rasmi kami pada waktu itu adalah basikal sahaja. Perjalanan menuju ke Pesta Buku dirasakan cukup jauh pada waktu itu. Berpeluh-peluh kami mengayuh demi untuk mendapatkan buku-buku latihan tambahan. Lucunya Fatimah pasti akan mengayuh basikal beroda besar berbanding kami yang mengayuh basikal beroda sederhana. Rasanya masih terbayang-bayang bagaimana kami terkial-kial bergilir-gilir mengayuh basikal tersebut. Basikal itulah juga yang digunakan oleh kami sewaktu membuat kunjungan hormat ke rumah para guru dan teman-teman setiap kali tiba hari raya.

Pernah satu ketika kerana keletihan mengayuh basikal, Fatimah terjatuh ke atas pasir bersama basikal beroda besar dan kainnya menjadi kotor. Saya ketawa terbahak-bahak melihat kekotoran yang terpalit pada kain Fatimah sementara kain saya pula koyak kerana tersepit di celah rantai basikal. Itulah rutin kami pada setiap tahun dan berkurangan semasa kami mula memasuki sekolah berasrama penuh iaitu SMAASZA.

Penat lelah kami terbayar apabila kami berjaya mendapat 4A dalam UPSR. Kesedihan meliputi diri saya mengenangkan akan berpisah dengan rakan-rakan yang membesar bersama dan bersusah payah meraih sebuah kejayaan. Waktu itu saya tidak memilih mana-mana sekolah berasrama penuh untuk dimasuki dan akhirnya memasuki sekolah agama di bandar Dungun iaitu Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Dungun (SMASID). Saya mendengar cerita yang Fatimah menerima banyak tawaran untuk memasuki sekolah berasrama penuh dan itu bukan satu keanehan selepas pelbagai kecemerlangan yang ditunjukkannya. Sangka saya, hanya saya seorang sahaja yang akan menyambung pengajian di SMASID. Namun pada hari pendaftaran memasuki tingkatan 1, saya mendapat tahu beberapa orang rakan dari sekolah rendah yang sama turut memasuki SMASID namun saya tidak membayangkan bahawa salah seorang daripada mereka adalah Fatimah. Betapa gembiranya hati saya apabila mengetahui Fatimah juga turut bersekolah di SMASID walaupun kami ditempatkan di kelas yang berbeza. Rupanya Fatimah sudah meletakkan sasaran untuk memasuki SMAASZA kerana tawaran ke situ hanya ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang mendapat 4A dan 3A1B selepas mendaftarkan diri di sekolah agama di daerah masing-masing.

Tawaran tersebut telah kami terima dan pada 14 Februari 1992, kami telah mendaftar sebagai pelajar di SMAASZA. Kisah ini pernah saya ceritakan dalam entri sebelum ini apabila abah saya memohon agar saya dan Fatimah ditempatkan dalam dorm yang sama. Abah saya sebenarnya merupakan antara orang yang paling gembira apabila mendapat tahu saya mendapat tawaran memasuki SMMASZA kerana itu merupakan tempat abah saya mendapat pendidikan sehingga ke peringkat Thanawi 4. Namun atas faktor kewangan, abah saya tidak dapat melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah seperti rakan-rakannya yang lain.

Seperti anak-anak lain yang pertama kali hidup berdikari, kami turut dilanda homesick pada minggu-minggu pertama sehingga menyebabkan kami merayu kepada warden agar dibenarkan pulang selepas tamat tempoh orientasi. Namun rayuan kami ditolak mentah-mentah oleh warden dan kami perlu menunggu selama sebulan sebelum dibenarkan pulang. Ditakdirkan sebulan selepas saya memasuki SMAASZA, saya telah mendapat tawaran untuk memasuki SM Sains Dungun (SMSD) yang terletak berdekatan dengan rumah saya. Abah memberi pilihan kepada saya sama ada untuk kekal di SMAASZA atau berpindah ke SMSD kerana bimbang melihat prestasi dan keadaan saya yang semakin merosot. Pada awalnya, saya nyatakan kepada abah bahawa saya ingin berpindah ke SMSD dan dengan segera abah dan umi datang membawa saya pulang ke rumah. Saya masih ingat pelukan erat yang Fatimah berikan kepada saya saat menghantar saya ke kereta bersama barang-barang. Kami menangis sepuasnya seolah-olah itu merupakan pertemuan yang terakhir dalam hidup kami.

Saya mempunyai masa selama 2 hari untuk berfikir sebelum mendaftarkan diri di SMSD kerana saya dijemput pulang oleh abah pada hari Khamis. Pada hari Ahad, kami akan ke SMSD untuk mendaftarkan diri bagi kemasukan tingkatan 1. Sepanjang tempoh 2 hari itu, saya hanya memikirkan mengenai Fatimah yang tinggal berseorangan di SMAASZA sedangkan kami telah berjanji untuk sama-sama melanjutkan pengajian sehingga ke Mesir. Fikiran saya berkecamuk dan serba-salah, lalu saya suarakan kepada abah yang saya ingin kembali ke SMAASZA. Abah merupakan orang yang paling gembira dengan keputusan yang saya buat kerana abah ingin sekali melihat saya menyambung perjalanannya yang tidak selesai.

Lalu saya kembali meneruskan pengajian di SMAASZA dan kembali ke dorm yang sama bersama Fatimah. Di situ, kami harungi suka duka bersama seperti dalam entri terdahulu. Mandi, makan, membasuh pakaian, solat dan segala-galanya bersama. Fatimah begitu terdidik dengan asuhan agama yang baik sehingga saya merasa pelik dan lucu dengan tingkahnya. Saya seorang yang gemar tiba awal dalam apa jua aktiviti sedangkan Fatimah masih boleh bersantai-santai dan banyak kali saya terpaksa menunggu dia di luar kelas. Dia sering akan merujuk kembali dan bertanya soalan kepada guru tanpa segan silu jika dia tidak memahami apa yang diajar.

Setiap kali kami ke dewan makan, Fatimah akan dengan santun mengunyah makanan sedang saya sudah menghabiskan hidangan yang diberikan oleh tukang masak. Apabila saya gesa Fatimah agar segera menghabiskan makanan, ini jawapan dia,

“Kita kena kunyah 40 kali setiap suapan, ikut sunnah Nabi.”

Selalunya jawapan Fatimah akan membuatkan saya panas hati kerana terpaksa menunggu lama dan akhirnya kami akan tiba lewat di kelas. Namun kini semua peristiwa itu menjadi kenangan manis buat saya betapa bersama Fatimah, saya diajar mengenal erti kesabaran.

Abah saya dan abah Fatimah pernah berbual-bual dan memasang impian agar kami berdua dapat menyambung pelajaran dalam bidang agama sehingga ke Timur Tengah. Justeru, mereka berdua pernah menyusun jadual buat kami sewaktu cuti sekolah iaitu abah saya akan mengajar bahasa arab manakala abah Fatimah pula akan mengajar matematik kepada kami.

Masa berlalu, saya terbuai dengan keseronokan duniawi apabila mula mengabaikan pelajaran sedang Fatimah meraih kecemerlangan demi kecemerlangan. Natijahnya, semasa di tingkatan 2, Fatimah berjaya mengekalkan kecemerlangannya dan ditempatkan di kelas 1 sementara saya tercampak ke kelas terakhir iaitu kelas 3. Semasa di tingkatan 2 juga, kami mula terpisah kelas dan dorm. Jujurnya, saya merasa malu dengan Fatimah maka saya mula menjauhkan diri dari dia. Jika tidak, kami sering pulang bersama ke kampung halaman sama ada dengan menaiki bas atau kereta abah kami. Segala-galanya berubah sewaktu kami berada di tingkatan 2.

Saya mula kembali sedar diri dan gigih mengejar masa-masa yang telah terbuang. Saya cuba sedaya upaya menyaingi Fatimah sehingga seluruh masa dan waktu saya semasa di tingkatan 2 dihabiskan untuk mengulangkaji pelajaran sahaja. Namun Fatimah tetap Fatimah. Seringkali juga dia menegur saya dan cuba untuk mendekati saya tetapi ego dan rasa rendah diri membuatkan saya tidak betah berada di sampingnya. Saya perlu memperbaiki kesilapan lalu agar dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Fatimah. Setidak-tidaknya saya ingin berada di kelas yang sama apabila menaiki tingkatan 3 kelak. Saya lupa segala-galanya dan dunia saya hanyalah pelajaran semata. Saya haramkan diri menonton TV sepanjang berada di asrama dan memendekkan waktu bersantai di dorm. Pantang ada waktu lapang, saya pasti akan ke kelas untuk mengulangkaji pelajaran kerana saya akan tertidur jika berada di dorm. Jika pulang ke kampung, saya pasti akan meminta abah menghantar saya pulang ke asrama dengan segera kerana tidak ingin membazirkan waktu. Ditambah pula, pada waktu itu, bersama-sama saya di dorm tersebut seorang rakan sebaya yang sekelas dengan Fatimah, juga amat tekun dan gigih mengulangkaji. Saya jadi tercabar dan teruja.

Alhamdulillah, penat lelah saya berhasil apabila berjaya mendapat tempat pertama di dalam kelas 3 dan akhirnya mendapat tempat ke8 secara keseluruhan. Saya layak berada dalam kelas yang sama dengan Fatimah dan Fatimah tetap dengan kecemerlangannya menggenggam tempat pertama secara keseluruhan. Di sini, saya mula kembali mendekati Fatimah. Melalui hari-hari melihat Fatimah tersengguk-sengguk di dalam kelas sewaktu guru mengajar tetapi apabila diajukan soalan, dapat menjawab dengan baik. Itu kelebihan Fatimah. Saya pula sering mentertawakan Fatimah apabila melihat gaya tidur yang luar biasa yang dimilikinya. Sepanjang waktu belajar wajib pula, iaitu jam 2 – 4.30 petang dan jam 9 – 10.30 malam, Fatimah lebih kerap tidur berbanding kami yang begitu tekun mengulangkaji. Anehnya, Fatimah dapat menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh guru dan amat jarang dimarahi guru berbanding kami. Rakan-rakan saya yang lain seperti Wan Azizah, Wan Anie pasti menyetujui kenyataan saya ini. Hehe.

Pendek kata, begitu banyak peristiwa yang kami lalui bersama yang jika ingin diceritakan pasti tidak akan habis. Namun ia kekal dalam lipatan ingatan saya tentang seorang sahabat yang saya panggil Fatimah.

Seperti dijangka, Fatimah meraih 9A dalam PMR sedang saya kekurangan 1A menjadikan 8A1B sahaja. Saya gagal mendapat tempat di KISAS sedang Fatimah melangkah terus memenuhi cita-cita abahnya agar dia melanjutkan pelajaran sehingga ke Mesir. Saya murung seketika kerana gagal mendapat tempat dan mula memikirkan alternatif untuk mencari haluan lain. Jika diikutkan abah, sudah pasti terlalu ingin saya menyambung pengajian aliran Thanawi di SMAASZA juga. Namun entah kenapa saya tiada hati lagi meneruskan pengajian di SMAASZA lantas saya terima tawaran melanjutkan pengajian ke MRSM Muar. Saya pasti abah saya sedikit kecewa dengan keputusan yang saya ambil namun saya hormati kebebasan yang abah berikan kepada saya untuk mencorakkan haluan hidup sendiri. Tambah pula, suasana aliran Thanawi pada masa itu tidak dapat saya terima menyebabkan saya nekad menukar haluan. Meskipun kecewa dengan keputusan yang saya pilih, abah tetap menyokong dengan menyatakan kepada saya bahawa aliran sains yang saya pilih juga sebahagian daripada ilmu Islam dan bukannya sekular sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak.

Dari situ, kami mula membawa haluan yang cukup berbeza. Fatimah meneruskan cita-cita yang pernah kami pahatkan bersama iaitu melanjutkan pengajian ke Mesir sedang saya memasuki aliran yang tidak pernah disangka-sangka iaitu sains tulen. Namun jiwa saya tetap bertapak di SMAASZA. Ke mana pun kaki melangkah, jiwa SMAASZA tetap saya bawa bersama dan menjadi salah satu asas dalam meneruskan kehidupan ini.

Tiada sebarang khabar saya dengar mengenai Fatimah sepanjang saya berada di MRSM Muar meski hati rindu untuk bersua dengannya. Hari raya yang sering kami isi dengan aktiviti menziarahi para guru dan rakan-rakan menjadi suram. Tambah pula dahulu sistem komunikasi tidak sehebat sekarang. Namun saya pasti Fatimah tetap akan mencipta kecemerlangan walau di mana jua dia berada. Buktiknya jelas apabila Fatimah menjadi pelajar terbaik dalam SPM dan STPM. Saya tumpang gembira apabila mendapat tahu Fatimah berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar seperti dicita-citakan. Pilu hati ini rasanya tetapi saya yakin Allah sudah menentukan perihal yang terbaik buat setiap makhlukNya.

Kali terakhir saya bertemu dengan Fatimah adalah sewaktu menghadiri majlis perkahwinannya yang saya hadiri bersama Nurul Huda dan Noralisa. Lebih manis apabila dapat bersua dengan cikgu Minah yang turut memenuhi undangan Fatimah. Saya dikhabarkan Fatimah akan mengikut suami ke luar negara dan perhubungan kami tamat di situ.

Kuasa Allah, alam maya menemukan kami kembali. Mendengar nama Fatimatuzzahra’, segala memori lalu pantas bermain-main di depan mata, senyum sendiri. Manis, masam, pahit segalanya kini menjadi kenangan yang cukup indah dalam lipatan perjalanan hidup yang lalu.

Sahabatku Fatimah, menatap nota yang kau paparkan di laman FB, hati ini menjadi sayu. Betapa ukhuwwah yang terjalin suatu waktu dulu meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam diri ini. Aku yakin dikau akan menjadi manusia hebat suatu masa nanti. Malah sedari dulu lagi kau memang hebat, anugerah tak terhitung buatmu dariNya. Kudoakan walau di mana jua dikau berada saat ini, semoga kejayaan akan terus melingkari hidupmu dan mekar mewangi. Sebagai sahabat yang pernah mengenalimu, hanya doa yang bisa dipanjatkan agar dikau terus meraih kejayaan di samping keluarga tercinta.

Wassalam.

Friday, August 27, 2010

Kabel

Bismillahirrahmanirrahim...

Khabar ini sebenarnya telah saya terima pada hari Isnin setelah menyemaknya secara atas talian di laman web JPA. Ia merupakan rentetan kepada temuduga yang saya hadiri pada bulan Julai yang lalu iaitu untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran di peringkat Masters. Pada awalnya saya tidak menaruh sebarang harapan akan melepasi proses temuduga tersebut memandangkan soalan-soalan yang ditanya tidak semua mampu saya jawab dengan baik. Tambahan pula saya sering mendengar cerita daripada rakan-rakan senior bahawa amat sukar untuk dipilih menerima biasiswa tersebut. Malah ada yang telah memohon sebanyak 5 kali tetapi masih gagal memperolehnya. Kedengaran juga teori yang mengatakan bahawa JPA akan mempertimbangkan permohonan berulang kali yang dibuat oleh pegawai dan kebiasaannya akan diterima pada permohonan kali keempat dan ke atas. Sebahagian juga ada yang mengatakan bahawa kita perlu ada kabel di JPA untuk memastikan kita mendapatnya. Sejujurnya saya kurang gemar untuk mempercayai teori terakhir itu kerana sedari dulu saya amat percaya kepada aturan takdir dan rezeki adalah hanya daripada Allah Taala sahaja. Ya benar, kehadiran kabel mungkin boleh membantu tetapi pada akhirnya, ia hanya berlaku dengan izin Allah jua. Terbukti saya telah berjaya memperolehinya tanpa bantuan kabel oleh mana-mana pihak.

Teringat saya kepada kepada insiden sewaktu di awal kemasukan saya ke UIA dulu. Menjadi kebiasaan, para pelajar baru akan diminta mengisi borang pinjaman atau biasiswa pada minggu-minggu pertama untuk diproses oleh bahagian berkenaan. Pada waktu itu, PTPTN baru sahaja diperkenalkan dan kedengaran cerita-cerita yang mengatakan bahawa batch kami tidak lagi ditawarkan biasiswa JPA malah tidak layak untuk memohonnya. Manakala beberapa orang rakan seangkatan yang mendapat kelayakan akademik yang sangat baik di peringkat matrikulasi pula telah ditawarkan menerima biasiswa PETRONAS atau SHELL. Saya kurang berpuas hati dengan cerita yang didengar berkaitan tawaran biasiswa JPA namun saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Hari itu, kami berkumpul di pejabat hal ehwal pelajar untuk mendapatkan borang PTPTN yang telah disediakan. Saya tiada pilihan lain. Dengan berat hati saya mendapatkan borang berkenaan untuk dilengkapkan dan dikembalikan semula untuk diproses. Dalam masa yang sama, saya terpandang set borang tawaran biasiswa JPA dan memaklumkannya kepada rakan-rakan saya. Namun rakan-rakan saya memaklumkan bahawa kami tidak layak memohonnya sepertimana dimaklumkan oleh pegawai yang bertugas di pejabat tersebut. Tiada seorang pun yang berani mengambil borang tersebut kerana perlu mengisi senarai pengambilan borang yang disediakan di situ. Diam-diam, saya tidak puas hati kerana tidak ada kriteria khusus yang diberitahu oleh pegawai berkenaan tentang kelayakan memohon biasiswa JPA kepada saya selaku pelajar. Saya berhak diberi pilihan kerana pinjaman PTPTN yang bakal dibuat merupakan satu komitmen jangka masa panjang sebaik tamat pengajian kelak. Dalam kekalutan para pelajar memenuhi ruang lobi pejabat, saya capai sesalinan borang JPA dan berlalu bersama-sama borang PTPTN juga. Dipendekkan cerita, saya lengkapkan kedua-dua borang tersebut tetapi menghantarnya melalui saluran yang berbeza. Borang PTPTN saya kembalikan kepada bahagian hal ehwal pelajar sepertimana diarahkan tetapi borang JPA pula saya minta pertolongan abang sulung untuk menghantarnya kepada pihak JPA. Tiada sebarang khabar saya terima berkenaan permohonan biasiswa JPA dan saya terpaksa menerima tawaran pinjaman PTPTN untuk melunaskan bayaran yuran pengajian, penginapan serta bayaran-bayaran lain bagi semester pertama. Saya beranggapan yang permohonan biasiswa JPA tidak berjaya dan melupakannya sahaja. Dengan izin Allah, saya terima khabar gembira pada penghujung semester pertama apabila bahagian ehwal pelajar memaklumkan nama saya tersenarai dalam senarai penerima biasiswa JPA dan rasanya saya merupakan satu-satunya penerima biasiswa JPA dalam batch saya. Alhamdulillah. Gembira tidak terkata dengan kurniaanNya dan saya segera mengambil tindakan memberhentikan pinjaman PTPTN bagi tempoh pengajian seterusnya dan bayaran PTPTN yang telah saya terima pada semester pertama akan saya lunaskan sebaik tamat pengajian kelak. Maknanya, saya telah menerima 2 bayaran pada semester pertama iaitu daripada PTPTN dan JPA. Saya masih ingat baki akaun yang tercatat pada waktu itu mencecah RM10k. Silapnya saya tidak terus mengembalikan bayaran PTPTN yang telah diterima kerana merancang untuk membeli komputer. Walau bagaimanapun, jumlah tersebut telah pun saya lunaskan selepas tamat pengajian. Alhamdulillah, saya tidak perlu menanggung bayaran balik pinjaman PTPTN seperti rakan-rakan yang lain.

Situasi yang sama saya depani sewaktu mula-mula ingin memasuki perkhidmatan. Rata-rata mengatakan bahawa perlu ada kabel untuk memudahkan laluan sedang saya tidak punya siapa-siapa yang berjawatan untuk dijadikan kabel. Kabel saya hanyalah Allah Taala. Padanya saya serahkan untuk membuat penentuan selepas saya melakukan segala usaha yang termampu. Saya penuhi setiap panggilan temuduga yang diterima dengan sebaik mungkin. Pesan abah saya, raikan setiap panggilan temuduga yang diterima kerana itu merupakan jalan-jalan ke arah kejayaan. Lantas saya hadirkan diri memenuhi temuduga sama ada di jabatan kerajaan mahu pun swasta. Penolakan sememangnya amat pedih untuk diterima tetapi setidak-tidaknya saya belajar mengenali kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki. Allah telah menyediakan rezeki untuk semua makhluknya namun yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Alhamdulillah usaha saya membuahkan hasil apabila diterima memasuki perkhidmatan tanpa bantuan mana-mana kabel pun.

Hal yang sama kini saya depani. Cerita-cerita kabel senantiasa berlegar-legar dan memenuhi ruang pendengaran, namun saya abaikan sahaja. Hanya Allah yang layak dijadikan kabel dalam segala hal selepas segala ikhtiar kita perbuat. Alhamdulillah, dengan sekali cubaan, saya berjaya terpilih menerima biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran di peringkat masters. Perjalanan masih jauh namun permulaannya cukup menggembirakan dan diharap akan berkekalan sehingga ke akhirnya walau disulam dengan pahit getir yang menjadi ramuan menguatkan semangat.

Lebih menggembirakan apabila khabar gembira ini turut diterima oleh sahabat baik saya, Azlina a.k.a Arab. Kegembiraan sememangnya lebih nikmat apabila dikongsi bersama teman-teman yang memahami dan mengerti erti sebuah persahabatan. Ucapan tahniah tidak putus-putus saya terima daripada rakan-rakan yang saya pasti turut menjadi penyumbang kepada kegembiraan saya ini.

P/s: Penghargaan buat teman saya, Ila Ramliey yang menguruskan permohonan saya meskipun saya terlewat menghantarnya dari tarikh yang ditetapkan. :) Juga buat bekas anak-anak buah yang menjadi pendokong saya dalam melaksanakan tugas terdahulu, teman-teman yang mengenal erti sebuah persahabatan serta keluarga tercinta yang menerima saya seadanya. Syukran jazilan a’laikum.

Thursday, August 26, 2010

Pergi Tak Kembali

Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.” Itu janji Allah kepada setiap hambaNya.

Pada hari Isnin, saya menerima khabar daripada abah memaklumkan bapa saudara saya yang dipanggil AyahNgah telah dimasukkan ke wad ICU atas punca yang belum diketahui tetapi doktor memaklumkan bahawa kuman telah menyerang seluruh tubuh beliau. Ralat juga kerana kami baru sahaja tiba dari kampung pada hujung minggu lepas tetapi tidak berkesempatan untuk bertemu AyahNgah. Tiba-tiba mendapat berita AyahNgah jatuh sakit dan dimasukkan ke wad ICU pula. Sungguh mendadak. Saya merancang untuk pulang pada hujung minggu depan menjenguk AyahNgah berikutan ada beberapa komitmen kerja yang perlu saya penuhi di tempat baru. Pada hari Selasa, Abah memaklumkan yang AyahNgah semakin kritikal dan sudah tidak sedarkan diri. Segala-galanya cukup pantas. Saya berada dalam dilema sama ada untuk terus pulang menjenguk AyahNgah atau menunggu hujung minggu.

Malam tadi, lebih kurang jam 8.00 malam, saya terima SMS daripada abang ketiga yang tinggal di Kuala Terengganu memberitahu yang AyahNgah telah kembali ke rahmatullah. Innalillahi wainna ilaihi rojiun.

Saya kelu dan hanya mendiamkan diri saat membaca SMS yang diterima.Tidak tahu apa tindakan yang harus diambil. Adik-adik saya pula tiada di rumah kerana mengikuti kelas bahasa di UiTM Shah Alam. Saya buntu. Gerak hati saya kuat mengatakan bahawa saya harus pulang menjenguk AyahNgah buat kali terakhir. Lalu saya nekad menghantar e-mel kepada Dato’ KP memohon pelepasan daripada menghadiri mesyuarat bersama beliau yang dijadualkan pada jam 9.30 pagi esok. Ralat juga kerana sebagai pegawai baru di situ, saya tidak mahu menunjukkan imej yang kurang baik kepada beliau. Tanpa menunggu jawapan kepada e-mel yang dihantar, saya hubungi adik-adik memaklumkan bahawa kami akan pulang pada malam ini untuk menunaikan tanggungjawab sebagai anak saudara buat kali terakhir.

Kami bertolak pulang pada jam 12.30 t/malam dan sebelum itu saya sempat menyemak e-mel dan Alhamdulillah Dato’ KP telah meluluskan permohonan pelepasan saya tadi. Meskipun keletihan memandu pulang, kami tiba di kampung beberapa minit sebelum tamat waktu sahur dan sempat menjamah bekalan yang dibawa.

AyahNgah merupakan satu-satunya abang kepada abah saya yang merupakan anak bongsu dalam adik beradik seramai 5 orang. Sebelum ini kakak sulung abah saya yang kami panggil Che We Long telah pun kembali ke rahmatullah. Kini tiba giliran AyahNgah pula kembali menemui penciptaNya menjadikan adik beradik yang tinggal seramai 3 orang sahaja termasuk abah saya. Adik beradik abah saya tinggal berdekatan rumah kami kecuali Che We Long yang mengikut suami menetap di Kuantan, Pahang. Arwah Che We Long memang terkenal dengan kehebatan menyediakan nasi dagang di sekitar kawasan Tanjung Api, Kuantan sehingga khabarnya turut ditempah oleh Sultan Pahang. Malah kunjungan kami ke rumah arwah akan disambut dengan hidangan nasi dagang serta longgokan periuk yang mengandungi bahan-bahan untuk persediaan memasak nasi dagang. Begitulah keadaannya setiap kali kami berkunjung ke rumah beliau.

Saya sempat melawat arwah Che We Long di saat-saat akhir sebelum pemergiannya. Waktu itu saya nekad bertolak bersendirian dengan menaiki kereta Kenari ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan kerana bimbang tiada kesempatan untuk bersua lagi. Telahan saya benar kerana Che We Long pergi tidak beberapa lama selepas kali terakhir saya menjenguknya.

Namun saya sedikit terkilan dalam kes AyahNgah kerana tidak sempat bertemu untuk kali terakhir sewaktu pulang ke kampung baru-baru ini. Itu ketentuanNya, tiada yang mampu menahannya. Sambutan Aidilfitri atau Aidiladha pada tahun ini pasti akan sedikit berbeza kerana rumah AyahNgah adalah rumah pertama yang akan kami kunjungi sebaik selesai menunaikan solat hari raya. Kini, tiada lagi senda gurau antara kami dan AyahNgah seperti tahun-tahun sebelumnya. AyahNgah seringkali menjadi mangsa gurauan kami setiap kali beliau singgah di laluan halaman rumah kami atau ketika kami pula berkunjung ke rumahnya. Meskipun AyahNgah dikenali sebagai seorang yang keras kepala di kalangan khalayak, pada kami adik beradik, AyahNgah seorang yang baik dan suka bergurau. Mengenangkan perkara inilah yang membuatkan saya nekad pulang menjenguk AyahNgah buat kali terakhir. Pertemuan yang tiada kali keduanya.

AyahNgah bertuah kerana kembali kepada RabbulJalil dalam bulan penuh keberkatan dan dalam keadaan yang cukup mudah. Menurut abah, AyahNgah sendiri yang meminta dibawa ke hospital kerana merasa tidak sihat. Dari Hospital Dungun, AyahNgah dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Zahirah, K. Terengganu kerana jangkitan kuman yang tidak diketahui jenisnya. Di situ, AyahNgah koma dan tekanan darah mulai menurun. Para doktor sendiri sudah hilang usaha mengesan jenis kuman yang menyerang AyahNgah dan pada hari yang sama, AyahNgah kembali ke rahmatullah. Mujurlah abah dan umi saya sempat menziarahi AyahNgah buat kali terakhir di hospital sebelum arwah pergi buat selama-lamanya.

Sebulan yang lalu, abah, umi dan AyahNgah ke Kuantan menziarahi anak saudara mereka (sepupu saya, anak Che We Long) yang meninggal dunia kerana strok. Menurut umi, AyahNgah pernah berkata yang dia tidak lagi mempunyai selera untuk makan. Mungkin kerana ajalnya sudah semakin dekat. Namun umi saya menerimanya sebagai kenyataan biasa sahaja tanpa menyangka bahawa kata-kata AyahNgah itu bakal menjadi kenyataan. Belum genap 40 hari tempoh AyahNgah menyatakannya, AyahNgah telah pun kembali kepada PenciptaNya. Kini baru umi saya menyedari kebenaran kata-kata AyahNgah tersebut.

Jenazah AyahNgah selamat tiba di rumahnya pada hari Rabu dan proses memandikan, mengafan dan mengembumikan jenazah arwah telah disempurnakan dengan dikelilingi oleh anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu, cicit-cicit dan sanak saudara terdekat termasuk kami. Buat pertama kalinya saya mengikuti kesemua proses dari awal sehingga ke tanah perkuburan. Sekali sekala terlintas juga rasa seolah-olah tidak percaya melihat jasad yang terbujur kaku diselimuti dengan kain batik itu adalah tubuh milik AyahNgah. Wajah AyahNgah pula saling tidak tumpah seperti wajah abah saya sendiri. Hati saya semakin pilu memikirkan keadaan saya berhadapan dengan saat yang sudah pasti akan berlaku juga kelak iaitu jasad yang terbujur itu adalah abah saya sendiri. Ketika wajah AyahNgah ingin ditutup dengan kapas buat kali terakhir, saya masih terawang-awang meyakinkan diri bahawa AyahNgah telah tiada.

Allahummaghfir lahu waa’fihi wa’fua’hu.” Itu doa yang saya titipkan buat AyahNgah.

Abah saya telah diminta untuk mengimamkan solat jenazah dan membacakan talkin kepada arwah meskipun pada mulanya abah saya sedikit berat hati untuk melakukannya. Malah abah tidak dapat menghabiskan bacaan talkin semasa di tanah perkuburan dengan alasan tidak nampak tulisan pada buku talkin tersebut walhal sudah menjadi rutin abah membaca talkin jika berlaku kematian di sekitar kawasan kampung. Namun saya dapat menebak kepiluan yang mengisi ruang dada abah apabila membacakan talkin untuk abang kandung sendiri. Saya masih ingat ketika nenek iaitu ibu abah meninggal dunia, abah telah dikecam oleh sanak saudara kerana enggan menjadi imam solat jenazah dan membaca talkin untuk arwah. Hakikatnya abah bimbang jika menjadi sebak saat melakukannya dan akan mengganggu proses pengurusan jenazah arwah meskipun tiada saat yang paling indah bagi seorang hamba selain dihantar kembali kepada penciptaNya dengan diiringi doa oleh kaum keluarga sendiri. Abah juga pernah terdiam dan seolah-olah menahan sebak semasa membaca khutbah Jumaat di mimbar apabila tiba kepada satu perenggan yang membicarakan tentang kasih seorang ibu. Waktu itu, nenek baru sahaja meninggal dunia.

Sungguh menyejukkan hati apabila melihat kedua orang adik lelaki saya ringan tulang membantu menyempurnakan solat jenazah malah turut membantu mengangkat jenazah ke dalam van yang sedia menunggu. Syukur kerana ramai jemaah yang datang untuk menyertai solat jenazah kepada AyahNgah. Dari situ, kami bertolak ke tanah perkuburan dan AyahNgah disemadikan bersebelahan dengan kubur nenek. Saya menahan sebak yang tidak berkesudahan membayangkan bahawa diri saya sendiri akan kembali kepada Yang Maha Pencipta. Bersediakah saya dengan segala amalan sebelum jasad disemadikan di liang lahad? Sebelum sanak saudara melangkah pulang meninggalkan saya sendirian berhadapan dengan mahkamah keadilan yang tiada khilafnya? Ya Allah, kasihanilah diriku, kedua ibu bapaku, kaum keluargaku, sanak saudaraku dan seluruh umat Islam walau di mana jua mereka berada.

Sesungguhnya urusan AyahNgah di dunia telah selesai dan menunggu perhitungan di hadapanNya kelak sedang kita yang masih tinggal ini perlu meneruskan hidup dengan kesedaran bahawa kita semua akan dijemput menghadapNya jua kelak. Pasti!

Kami bertolak pulang ke KL usai berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib kerana tidak ingin tiba terlalu lewat. Meskipun keletihan memandu dan tempoh perjalanan yang memakan masa 4 jam sehala, kami puas kerana dapat menunaikan tanggungjawab terakhir selaku anak saudara kepada AyahNgah. Doa kami semoga AyahNgah tenang di sana dan rohnya ditempatkan di kalangan para solihin. Aamiin.

Monday, August 23, 2010

Ramadhan Kareem 1431H

Bismillahirrahmanirrahim...

Pejam celik, pejam celik, kita sudah memasuki fasa ke-2 Ramadhan iaitu fasa keampunan. Sungguh cepat masa berlalu berbanding dahulu. Saya masih ingat, kami adik-beradik dilatih untuk menjalani ibadah puasa seawal usia 6-7 tahun. Meskipun begitu, nama pun kanak-kanak, puasa kami sering berdepan dengan pelbagai unsur-unsur 'penipuan' sebelum tiba waktu berbuka. Waktu itu, masa terasa sungguh panjang dan cukup meletihkan. Zaman kanak-kanak, segala-galanya cukup indah dan dunia ini ternampak seperti hamparan sebuah padang permainan.

Bila difikir-fikirkan semula, lucu pun ada tetapi syukur pun ada juga. Kami diajar melaksanakan ibadah puasa dalam usia yang masih mentah walaupun kami sendiri tidak faham fadhilat dan kefardhuan menunaikannya. Yang penting buat dahulu, kefahaman insyaAllah akan lahir kemudian. Itu yang saya fahami dari pengalaman tersebut. Tidak semua perkara yang kita lakukan dalam hidup ini memerlukan kita mempunyai kefahaman mendalam terlebih dahulu sebelum melaksanakannya. Cukup sekadar kita memahaminya sebagai suruhan Allah dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Kefahaman akan lahir dari situ.

Saban tahun kedengaran paparan berita orang-orang Islam dewasa yang ditangkap kerana makan di siang hari i.e. tidak berpuasa. Kadang-kadang saya tertanya-tanya punca yang menyebabkan mereka begitu berani menentang hukum Allah sehingga langsung hilang sifat malu melakukannya. Syukur pada Allah Taala kami diberi didikan seawal usia lagi sehingga mampu melaksanakannya sehingga sekarang.

Di Malaysia, saya dapati bulan puasa merupakan satu bulan yang cukup meriah dengan makanan. Anak-anak yatim dan golongan yang tidak berkemampuan malah warga emas akan diraikan oleh pelbagai pihak sama ada kerajaan atau pun swasta sehinggakan saya pernah diberitahu oleh seorang rakan bahawa tempahan untuk meraikan anak-anak yatim perlu dibuat lebih awal sebelum ketibaan Ramadhan. Alangkah moleknya jika amalan ini berterusan pada bulan-bulan yang lain juga.

Ramadhan kali ini saya berazam untuk pulang lebih kerap ke kampung. Ini merupakan kepulangan kali kedua dalam bulan Ogos. Kepulangan sebelum ini adalah pada minggu sebelum ketibaan Ramadhan. Sebagai imam kampung, abah saya mengambil salah satu giliran untuk menyediakan hidangan berbuka puasa kepada jemaah.

Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”.
(At-Tirmidzi)

Abah saya telah mengorbankan 2 ekor kambing peliharaannya bagi tujuan tersebut. Alhamdulillah, 7 orang daripada 8 orang adik-beradik saya dapat pulang membantu merealisasikan hasrat abah saya. Hasilnya, seperiuk gulai kambing telah dimasak untuk dihantar ke masjid untuk hidangan jemaah berbuka puasa.
(korban pertama)

(memerah susu kambing)

(korban kedua)

(pakar melapah)

(sarok lada)

(Hidangan utama - gulai kambing)

Kepulangan seterusnya insyaAllah 2 hari sebelum ketibaan Aidilfitri kerana saya merancang untuk memohon cuti selama seminggu.





Friday, August 20, 2010

Turun

Bismillahirrahmanirrahim...

Apa yang turun? Alhamdulillah, selepas hampir sebulan menggunakan produk Herbalife dengan penuh disiplin, berat badan saya turun sebanyak 3 kilogram. Seronok tak terkata rasanya. Badan terasa lebih ringan dan mudah untuk bangun dari tidur pada setiap pagi. Sebelum ini saya pernah mencuba beberapa produk kesihatan tetapi gagal untuk mendisiplinkan diri dengan sebaik mungkin. Sudahnya duit habis tetapi apa yang dicita-citakan juga tidak kesampaian. Kali ini saya nekad untuk menurunkan berat badan kesan perasaan inginkan perubahan yang melanda diri saya baru-baru ini.

“Akal yang sihat/sejahtera terletak pada badan yang sihat/sejahtera (Al-aqlussalim fil jismissalim)”

Benar sekali kata-kata hikmah tersebut yang pernah saya temui dalam satu karangan subjek Bahasa Arab sewaktu di peringkat menengah rendah. Baru sekarang saya benar-benar memahaminya apabila usia semakin menginjak dan saya tidak mahu tahap kesihatan turut merosot. Saya ingin menikmati hidup ini sepenuhnya dan dapat menjalani ibadah dengan sebaik mungkin.

Kini saya mengawal pengambilan makanan berbanding dahulu apabila saya makan sesuka hati sahaja, jauh sekali mengikut saranan Rasulullah agar berhenti sebelum kenyang. Sudah tiba masanya saya memandang serius soal kesihatan kerana perjalanan yang perlu dilalui masih jauh. Secara kebetulan, saya mula mengamalkan produk Herbalife di saat Ramadhan mula menjengukkan diri. Sedikit sebanyak, ia membantu proses peningkatan tahap kesihatan yang saya usahakan.

InsyaAllah, usaha ini akan saya teruskan sehingga mencapai tahap yang ideal meskipun ia bukan satu perkara yang mudah. Namun saya percaya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Saturday, August 14, 2010

Cabaran Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

Baru seminggu di tempat baru tetapi saya merasakan seolah-olah sudah hampir sebulan saya berada di situ. Lain benar tuntutan kerja baru ini. Hari kedua melaporkan diri saya terus dikehendaki menghadiri 2 mesyuarat di tempat yang berbeza. Mesyuarat dan perbincangan bersama ketua pula tidak tentu masa dan e-mel diterima perlu dijawab dengan segera, pastinya dengan jawapan yang tepat dan bukannya ‘dalam tindakan’ atau yang seangkatan dengannya. Saya perlu cepat menyesuaikan diri dengan suasana baru atau saya akan dianggap tidak kompeten atau ketinggalan. Mulanya agak letih juga mengejar masa dan kehendak manusia namun pengalaman lalu mengajar saya, ketenangan dalam berhubungan dengan manusia dapat membantu memudahkan urusan.

Cabaran lain adalah berdepan dengan ketua terdekat yang masih mengamalkan gaya kepimpinan lama. Yang saya maksudkan dengan gaya kepimpinan lama adalah bercakap dengan nada tinggi, sentiasa marah-marah dan mengherdik jika permintaan yang dibuat lambat dipenuhi atau disediakan. Malah sampai ke tahap tidak mempunyai empati terhadap keadaan pegawai bawahan yang berada dalam kesukaran sama ada dari segi kesihatan atau keluarga. Namun masih terlalu awal untuk saya membuat kesimpulan muktamad. Saya masih dalam proses untuk cuba memahami gaya beliau dan mengerti akan keperluan kerja yang mendesak. Doa saya agar saya diberi kesabaran yang tinggi untuk berdepan dengan semua ini kerana saya kenal siapa diri saya.

Apapun, saya memandang segala perubahan dan cabaran baru ini dari sudut yang positif. Saya anggap ini sebagai salah satu cabaran untuk saya menjadi pegawai yang lebih baik. Pasti ada hikmah yang ingin ditunjukkan oleh Allah kepada saya dalam menghadapi semua ini. Allah lebih mengetahui kemampuan dan keupayaan diri saya dalam mendepani semua cabaran dalam kehidupan ini dan Dia pasti meletakkan saya dalam keadaan yang mampu dihadapi oleh saya, insyaAllah.

Kehidupan adalah universiti terbesar yang mengandungi pelbagai kisah dan pengajaran bagi yang mahu berfikir dan memahaminya. Kini saya memasuki pintu gerbang baru dalam kehidupan yang dipanggil alam pekerjaan. Pintu gerbang yang telah saya lalui dahulu meninggalkan pelbagai perkara, peristiwa dan ragam manusia yang memberi saya banyak pengajaran dan pengalaman untuk saya jadikan sandaran dalam mendepani dunia baru. Bukan mudah meninggalkan tempat pertama mencurahkan bakti dan mengenal siapa lawan dan kawan. Semua itu menjadi pengalaman yang amat berharga buat diri saya sebagai bekal mendepani kehidupan pada masa akan datang.

Meskipun saya akui segala-galanya masih janggal buat diri saya tetapi saya cuba mengadaptasikan diri dengan segera agar kejanggalan itu segera berlalu. Meski sukar namun ia tidak mustahil. Dalam masa beberapa hari ini, saya dapati cabaran paling besar yang perlu dihadapi adalah kesegeraan menunaikan solat. Dek kerana waktu mesyuarat dan perbincangan yang tidak menentu, saya harus memastikan untuk terus menunaikan solat sebaik masuk waktu atau menyusupkan diri seketika untuk melunaskan tanggungjawab. Tidak ada orang yang akan mengingatkan atau bertanya sama ada kita sudah solat atau belum. Tanggungjawab itu harus digalas sendiri dalam kesibukan yang berlangsung.

Ada rahmatnya juga saya memulakan dunia baru saat Ramadhan mula menjengahkan diri. Seboleh mungkin saya cuba meluangkan masa untuk menghadiri sesi tadarus yang dianjurkan oleh kelab agama pada waktu rehat tengah hari. Saya hargai usaha mereka dan sebagai tanda sokongan, saya cuba menyertainya juga meski kadang-kadang terlewat kerana tuntutan kerja. Tambahan pula, sesi tadarus yang diadakan turut diselit dengan penerangan tajwid oleh pegawai yang lebih arif hukum hakam. Meskipun saya fasih membaca Al-Quran, itu tidak bermaksud saya terlepas dari melakukan kesilapan tajwid dan dengan tadarus, kesilapan itu dapat diperbetulkan bersama. Melihat ada rakan-rakan yang merangkak-rangkak membaca Al-Quran turut hadir, saya tabik mereka kerana ada usaha untuk memperbaiki bacaan dan tidak malu untuk membacanya di hadapan khalayak.

Pada masa yang sama, terdetik jua di benak ini satu persoalan tentang kemampuan golongan yang dipanggil pemimpin masyarakat dalam membaca Al-Quran. Fasihkah mereka dan mampukah memperbetulkan bacaan orang yang dipimpin? Bagi saya, pemimpin yang baik adalah yang mampu membaca Al-Quran dengan baik, setidak-tidaknya untuk diri sendiri. Berapa ramai pemimpin yang begitu berkobar-kobar apabila diberi peluang berucap di rostrum tapi kaku membisu saat diminta mengimamkan solat? Mungkin persoalan ini agak sensitif tetapi kebenaran memang pahit dan pedih untuk dihadapi. Saya pernah beberapa kali bertemu dengan beberapa orang pemimpin yang menjawat jawatan tinggi dan pada masa yang berkeupayaan untuk mengimamkan solat. Saya cukup hormat kepada golongan ini kerana itulah nilai seorang pemimpin. Takut kepada Allah melebihi takut kepada manusia.

“Luangkanlah masa untuk akhirat, dunia ini milikmu.”

Begitu kata-kata hikmah yang pernah saya baca dalam sebuah buku yang saya sudah lupa tajuknya namun saya amat yakin dan percaya dengan kata-kata ini. Malah beberapa insiden yang saya lalui sendiri sebelum ini menambahkan keyakinan itu.

Insiden terbaru. Hari kedua di tempat baru, saya telah diminta untuk menghadiri 2 sesi mesyuarat iaitu sesi pagi dan petang di lokasi yang berbeza. Saya telah memasang niat untuk menghadiri sesi tadarus pada pukul 1 petang. Usai mesyuarat sesi pagi sekitar jam 1 petang, saya terus berwuduk dan bergegas ke situ. Mesyuarat sesi petang akan bermula pada jam 2.30 petang di lokasi sekitar putrajaya. Oleh kerana sesi tadarus bermula agak lewat kerana menunggu kehadiran peserta, sesi masih berlarutan sehingga jam 2 petang sedangkan saya merancang untuk bertolak ke lokasi mesyuarat pada jam 2 petang juga. Jam 2.05 petang, saya mohon izin meninggalkan sesi tadarus dan bergegas menunaikan solat Zohor. Saya capai dokumen, beg dan beredar menuju ke kereta serta memandu menuju ke lokasi mesyuarat. Alhamdulillah, saya berjaya tiba tepat pada masanya walaupun saya akui agak risau memandangkan lokasi mesyuarat memang diketahui agak sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta.

Insiden ini benar-benar memberi kesan dalam diri saya dan menambah keyakinan terhadap kenyataan kata-kata hikmah tersebut. Kejarlah akhirat dan dunia akan mengejarmu. Semoga kita semua istiqamah terhadapNya dalam menjalani kehidupan ini.

Sunday, August 8, 2010

Kegilaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah agak lama saya meninggalkan kegilaan saya kepada filem-filem Hindustan. Dulu saya memang peminat fanatik malah tidak akan melepaskan peluang menonton tayangan filem-filem Hindustan di televisyen. Bukan saya sahaja malah seluruh ahli keluarga saya juga turut meminatinya. Saya masih ingat, agenda tetap keluarga kami pada hari Jumaat adalah menonton filem Hindustan usai solat Jumaat dan makan tengah hari. Keadaan rumah akan sunyi sepi sehingga ada yang menyangka kami tiada di rumah. Apa yang berlaku adalah kami begitu khusyuk menonton filem Hindustan. Apabila memasuki asrama, keadaan yang sama juga masih berulang. Rupa-rupanya ramai peminat filem Hindustan malah bilik TV akan penuh pada setiap hari Jumaat. Kemudian waktu tayangan telah diubah kepada hari Sabtu namun keadaan tetap sama. Penuh dan padat dengan penggemar filem Hindustan. Paling kelakar apabila kami menempah tempat duduk paling hadapan dengan meletakkan bantal supaya dapat berada di kedudukan paling hadapan. Kadang-kadang sanggup menahan panggilan hajat semata-mata bimbang kedudukan akan diambil alih oleh orang lain. Kelakar pula apabila dikenang semula kegilaan itu.

Ternyata filem Hindustan berjaya menambat hati peminat pelbagai peringkat umur termasuk kami yang pada masa itu dalam usia remaja. Pengisian filem yang mengandungi unsur-unsur percintaan dan kekeluargaan membuatkan kami tercongok menghadap TV pada setiap minggu tanpa jemu. Nama-nama pelakon pun memang meniti di bibir kami tetapi sebahagiannya sudah saya lupakan seiring dengan pergerakan masa. Kegilaan saya hanya terhenti seketika apabila saya berada di tingkatan 3. Kegilaan saya sedikit sebanyak memberikan kesan kepada prestasi pelajaran saya sehingga merudum teruk. Memandangkan saya akan menduduki PMR, saya ‘haram’kan diri menonton filem Hindustan sepanjang tahun tersebut. Saya cuba pekakkan telinga dan butakan mata setiap kali melalui bilik TV pada hari Sabtu untuk mengelakkan tergoda dengan filem yang ditayangkan. Seperti biasa, bilik TV penuh dengan peminat-peminat filem Hindustan namun saya gagahkan jua kaki melangkah ke kelas untuk mentelaah dan menyiapkan tugasan. Saya hanya menontonnya apabila pulang bercuti di kampung.

Perkara yang sama saya teruskan apabila berada di tingkatan 4 dan 5. Saya tahan diri dari menghabiskan masa dengan menonton TV sebaliknya dihabiskan dengan mentelaah pelajaran. Benarlah, kejayaan menuntut pengorbanan baik dari segi wang, masa dan tenaga. Malah menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara lagha juga merupakan salah satu bentuk pengorbanan. Alhamdulillah, pengorbanan saya berbaloi dan telah dibuktikan melalui keputusan yang saya peroleh.

Namun begitu, kegilaan saya kembali segar apabila berada di peringkat matrikulasi. Semuanya gara-gara berjumpa dengan kumpulan rakan yang juga gemar kepada filem Hindustan. Pada waktu itu, saya gemar ke Petaling Street dan Jalan Masjid India untuk membeli pita filem-filem Hindustan. Pun begitu, kegilaan saya masih berada di dalam kawalan seiring dengan pertambahan usia. Selalunya kami akan menempah bilik tayangan di perpustakaan dan menonton secara berjemaah apabila selesai melunaskan segala tugasan. Tambahan pula, waktu itu filem Hindustan kembali mengalami zaman kebangkitan apabila filem lakonan Shahrukh Khan dan Kajol, Kuch Kuch Hota Hai menjadi kegilaan ramai. Saya juga turut tidak terkecuali. Pantang ada masa lapang, pasti kami akan menghabiskan masa dengan menonton filem di bilik tayangan. Yang pasti, apabila usia semakin meningkat, kegilaan hanya sekadar menjadi kegemaran yang dibuat apabila mempunyai masa lapang. Lagipun, di peringkat ijazah, kami telah mula disibukkan dengan pelbagai tugasan, kuiz dan peperiksaan saban semester. Lazimnya, kami akan menonton secara berjemaah di bilik seorang rakan yang memiliki PC. Pada waktu itu, amat sukar untuk melihat pelajar mempunyai PC. Mungkin kerana harga yang agak mahal dan saiz yang agak besar sehingga mengambil sebahagian besar ruangan compartment setiap pelajar. Memang cukup berbeza dengan keadaan sekarang di mana laptop amat mudah dimiliki oleh setiap pelajar pada kadar harga yang cukup rendah.

Kegemaran tersebut semakin berkurangan apabila saya mula memasuki alam pekerjaan. Tambahan pula, rakan-rakan sekepala pula sudah bercempera membawa haluan masing-masing. Pun begitu, jika ada masa terluang pada hari Sabtu dan cerita yang ditayangkan pula menarik, sudah pasti saya akan meluangkan masa untuk menontonnya.

Semalam adik lelaki saya memasang filem 3 Idiots dengan teraju utama adalah Amir Khan dan Kareena Kapoor. Mulanya saya tidak ambil kisah sangat tetapi apabila mendapati jalan ceritanya mengandungi elemen-elemen persahabatan dan tidak terlalu memberatkan kisah percintaan, saya tertarik untuk menontonnya hingga akhir. Malah air mata saya turut gugur apabila ada beberapa adegan yang menyentuh hati saya. Apabila difikir-fikirkan kembali, sebab-sebab saya gemar menonton filem Hindustan adalah kerana elemen kekeluargaan dan percintaan yang begitu diangkat tinggi oleh penggiat filem di India. Saya perhatikan setiap filem yang dihasilkan oleh mereka tetap mengekalkan identiti India walau semoden mana pun garapan filem tersebut. Pendek kata, mereka meletakkan patriotisme kepada negara sendiri di tahap tertinggi dalam setiap filem yang mereka hasilkan meskipun terdapat banyak kekurangan dalam negara mereka. Perkara begini tidak begitu ditekankan dalam pembikinan filem di Malaysia malah seringkali terlalu kebaratan sehingga meninggalkan langsung nilai-nilai kemelayuan dan yang paling penting adalah nilai-nilai keislaman. Filem seharusnya menjadi satu wadah untuk mendidik masyarakat di samping memberi hiburan. Itu pendapat saya. Sebuah filem yang baik akan berjaya membuat penonton berfikir dan mengaut nilai-nilai murni yang dipaparkan. Saya perhatikan filem-filem di Malaysia gemar menekankan kisah-kisah cinta yang terlalu kebaratan sehingga hilang nilai-nilai Melayu/Islam yang mampu mendidik masyarakat penonton. Entahlah, saya bukan penggiat seni dan pendapat saya mungkin betul pada pandangan saya sahaja. Yang pasti, saya adalah salah seorang dari penonton dari kelompok masyarakat di Malaysia.

Kadang-kadang saya hairan melihat bagaimana negara-negara seperti Iran mampu melahirkan filem berkualiti dan sarat dengan nilai-nilai murni tanpa melupakan pemakaian tudung oleh pelakon wanita sedangkan di Malaysia pelakon-pelakon wanita lebih gemar meniru gaya barat. Entahlah, saya tidak tahu ke mana hala tuju filem-filem Malaysia. Yang pasti, saya tetap menyokong filem-filem yang sarat dengan nilai-nilai kekeluargaan/murni agar hiburan yang dinikmati bukan sekadar hiburan semata sebaliknya mampu memberi pengajaran kepada penonton dan filem Hindustan adalah salah satu daripadanya. Namun, ia bukan lagi satu kegilaan.

Saturday, August 7, 2010

KPI Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...

“A performance indicator or key performance indicator (KPI) is a measure of performance. Such measures are commonly used to help an organization define and evaluate how successful it is, typically in terms of making progress towards its long-term organizational goals.”

Sekarang semua pihak kecoh dengan KPI (Key Performance Indicator @ atau Petunjuk Utama Prestasi). Baik yang bekerja di sektor kerajaan atau swasta serta ahli politik turut mempunyai KPI masing-masing malah PM sendiri akan memantau pencapaian KPI wakil-wakil rakyat untuk memastikan matlamat ditetapkan berjaya dicapai.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan. InsyaAllah minggu depan Ramadhan Al-Mubarak akan menjelma lagi. Alhamdulillah kerana kita masih dipanjangkan usia untuk bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan. Satu bulan untuk meraih amalan baik sebanyak mungkin dan tambah beruntung jika bertemu dengan Lailatul Qadar. Umat yang baik adalah umat yang sentiasa menambahbaik amalan pada setiap saat dan detik. Namun kedatangan bulan Ramadhan juga mengundang rasa gusar dalam diri saya kerana terdapat pihak-pihak tertentu yang memandangnya sebagai bulan meraih keuntungan wang semata. Sememangnya bulan Ramadhan juga merupakan satu bulan untuk meraih keuntungan dari pelbagai bentuk perniagaan namun janganlah terlalu mengejar keuntungan wang sehingga mengabaikan keuntungan ibadah.

Sudahkah kita menetapkan KPI Ramadhan 1431H?

Thursday, August 5, 2010

Apa Ada Dengan Jawi?

Bismillahirrahmanirrahim...

Hujung minggu lepas saya bawa anak-anak saudara mengunjungi Perpustakaan Negara. Itu merupakan kali pertama mereka ke situ dan kali kedua buat saya. :) Kali pertama saya ke sana adalah semasa masih menuntut di Pusat Matrikulasi UIA, Pantai Dalam. Secara fizikal, memang banyak perubahan berbanding kunjungan kali pertama dulu. Apa tidaknya, kunjungan kali pertama adalah kira-kira 13 tahun yang lalu. Saya puji pihak Perpustakaan kerana melakukan perubahan yang lebih terkini. Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah, ada satu ruang khusus disediakan kepada mereka di tingkat bawah. Di situ mereka bebas membuat bising sambil membaca pelbagai buku yang disediakan di samping menggunakan kemudahan media yang turut tersedia.

Secara kebetulan, pameran Hikayat Hang Tuah juga sedang berjalan di Perpustakaan Negara. Saya ambil peluang untuk meninjau dan membaca maklumat yang dipamerkan. Memang menarik dan saya fikir ramai yang tidak tahu bahawa Hang Tuah pernah sampai ke Mekah dan sempat menunaikan haji. Replika kepala kapal yang dinamakan Dendam Berahi juga turut diletakkan di ruang pameran tersebut. Kapal tersebut merupakan kapal yang digunakan oleh Hang Tuah untuk mengembara. Memandangkan sebarang aktiviti mengambil gambar tidak dibenarkan sewaktu berada di dalam perpustakaan, saya akur dengan peraturan ditetapkan dan hanya menyimpannya di dalam memori sendiri sahaja. :)

Pada masa yang sama, saya lihat pihak perpustakaan juga sedang mempromosi kempen Memperkasa Tulisan Jawi melalui banner dan bunting yang digantung di ruang legar berhampiran pintu masuk. Saya puji langkah yang diambil kerana saya sendiri memang mencintai tulisan jawi. Sememangnya tulisan jawi sangat dekat di hati saya dan saya sudah mampu membaca tulisan jawi sejak berusia 6 tahun lagi. Saya merasakan sesiapa yang mampu membaca tulisan jawi dengan lancar akan juga mampu membaca Al-Quran dengan baik. Saya katakan tulisan jawi amat dekat dengan saya kerana saya mempelajarinya daripada ummi saya sendiri.

Kebiasaannya anak-anak berusia 6 tahun akan dihantar ke tadika KEMAS yang terletak di hujung kampung saya. Begitu juga dengan saya tetapi saya hanya mampu bertahan selama 2 minggu sahaja di situ. Itupun saya banyak menghabiskan masa bersendirian dan tidak menyelesaikan tugasan mewarna yang diberikan oleh guru. Akhirnya kelakuan saya dimaklumkan kepada abah dan ummi. Saya sendiri tidak ingat alasan yang diberikan pada waktu itu. Yang pasti, saya tidak meneruskan sesi persekolahan tadika dan hanya berada di rumah bersama ummi dan adik-adik. Namun begitu, saya bukan bermain-main sahaja sepanjang berada di rumah sebaliknya saya gemar sekali menyelongkar susunan buku milik ayah saya dan juga abang-abang saya. Seringkali saya akan dimarahi oleh mereka kerana menyepahkan barang-barang tetapi sebagai anak kecil, semua itu tidak menjadi kudis buat saya. Buku yang paling saya gemari pada waktu itu adalah Gurindam Bahasa karya Zaaba, Hikayat Umar Umaiyah, Hikayat Merong Mahawangsa dan Sejarah Melayu. Memang kedengaran agak pelik kerana saya membaca buku yang jauh lebih tinggi dari usia saya tetapi itulah kegemaran saya. Pada waktu itu juga, ada sebuah buku teks milik abang saya yang bertulisan jawi dan saya amat gemar men'curi'nya (kantoi, dulu tak mengaku) dari beg abang saya untuk dibaca. Selalunya saya akan duduk di dapur bersama ummi dan mengejanya satu persatu. Sebaik habis mengeja, saya akan minta ummi menyebut maksud ejaan tersebut. Antara yang saya masih ingat adalah,

“mim,alif,kaf,nun. Apa bunyinya mi?”tanya saya.

“Makan,” jawab ummi tanpa jemu.

Kadang-kadang saya bertanya ejaan yang sama berulang kali dan ummi tetap menjawabnya sambil tangan rancak memasak hidangan. Saya kira kerana faktor itulah saya sudah mampu membaca tulisan jawi dengan baik dan lancar apabila mula memasuki sekolah rendah. Saya masih ingat kata-kata salah seorang ustaz yang pernah mengajar matapelajaran Pendidikan Islam iaitu Ustaz Fauzi,

“Saya suka suruh Karimah baca sebab bacaan dia lancar dan suara dia lantang.”

Tersipu-sipu saya mendengar pujian Ustaz Fauzi dan itu merupakan antara motivasi yang membuatkan saya semakin mencintai tulisan jawi.

Seringkali juga arwah nenek yang mengajar saya dan adik-beradik membaca Al-Quran, meminta saya membacakan kitab-kitab lama yang ditulis dalam tulisan jawi kepadanya kerana pandangan yang sudah kabur. Selalunya saya dengan sukarela akan membacakannya kepada arwah nenek.

Alhamdulillah, sehingga hari ini saya masih mampu membaca tulisan jawi dengan baik cuma saya perhatikan ejaan tulisan jawi pada hari ini agak berbeza dengan dahulu. Sekarang terlalu banyak penambahan huruf alif menyebabkan saya merasa tulisan tersebut tidak lagi istimewa seperti dahulu. Saya merasakan satu kerugian kepada adik-adik pada hari ini yang tidak mampu membaca tulisan jawi kerana itu adalah asas kepada pembacaan Al-Quran.

Apapun, saya tetap menyokong penuh usaha kerajaan untuk memperkasakan kembali penggunaan tulisan jawi. Namun begitu, apabila melihat beberapa papan tanda yang dipasang di Perpustakaan Negara, saya jadi sedih dan merasa wujud ketidaksungguhan serta ketidaktelitian dalam usaha tersebut.

Paradoks. Itu yang berlaku. Banner dan bunting di sekeliling perpustakaan mempromosi pemerkasaan semula tulisan jawi tetapi apa yang berlaku tidak seperti yang digambarkan. Perhatikan gambar di bawah dan anda akan faham apa yang saya maksudkan. Sungguh menyedihkan.

Tuesday, August 3, 2010

Dunia Baru Bermula

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini merupakan hari kedua saya di pejabat baru. Sungguh berbeza rasanya apabila melalui laluan yang sedikit berbeza setelah beberapa tahun melalui jalan yang sama. Banyak perkara yang perlu saya ubah. Baik dari segi penampilan mahu pun cara kerja kerana dunia baru yang bakal saya tempuhi dan depani amat jauh bezanya dengan dunia lama yang telah ditinggalkan. Saya positif dengan segala perubahan yang perlu saya buat untuk menyesuaikan diri dalam dunia baru ini. Sudah pastilah perubahan yang saya maksudkan adalah perubahan ke arah kebaikan sahaja. Mana-mana perubahan yang bertentangan dengan kehendak agama dan prinsip saya, akan cuba saya elakkan dengan sedaya mungkin.

Insiden semalam. Tiba di perkarangan lobi pejabat baru, saya yang pertama kali menjejakkan kaki ke situ, agak terpinga-pinga dan menuju ke kaunter pengawal untuk mendapatkan pas masuk. Saya maklumkan yang kedatangan saya adalah untuk melapor diri dan diberi pas berkenaan. Saya melilau mencari lif untuk ke aras berkenaan dan apabila tiba di sana dimaklumkan perlu ke aras lain. Memandangkan pas masuk tersebut hanya boleh digunakan di aras berkenaan sahaja, saya perlu menukarnya di kaunter pengawal untuk ke aras lain. Mulanya agak geram juga kerana tidak dimaklumkan dengan baik oleh pengawal bertugas tapi saya sejukkan hati dan bersabar. Mungkin ini dugaan awal kepada saya berada dalam dunia baru. Saya katakan kepada diri sendiri,

‘Sebab itulah saya berada di kedudukan sekarang dan mereka pula berada di kedudukan pengawal.’

Saya dapatkan pas baru dan beredar menuju ke aras berkenaan untuk melapor diri bertugas.

Kemudian saya diminta menyertai mesyuarat pengurusan atasan kerana akan ada sesi pengenalan pegawai baru. Saya akur dan hadir sebagaimana diarahkan. Kejanggalan memang jelas dirasai tetapi saya tabahkan hati untuk mencari titik penyesuaian yang saya yakin akan temui dalam beberapa waktu mendatang. Sebelum itu, seorang pengarah telah menemuduga saya bagi mengisi kekosongan di tempat beliau. Mulanya agak cuak juga saya kerana belum mengenali beliau dan cara beliau juga menampakkan ketegasan dalam berbicara. Tiada secalit senyuman terpapar di wajah beliau sewaktu saya duduk berhadapan dengan beliau. Namun saya cuba menenangkan diri dengan hanya mendengar segala butir percakapan beliau dengan sabar. Tidak banyak yang saya ucapkan dalam tempoh hampir 1 jam berhadapan dengan beliau. Hanya beliau yang banyak melontarkan pelbagai nasihat, pengharapan dan segala macam perkara berkaitan perkhidmatan.

Tambahan pula saya tidak boleh mengharapkan beliau untuk terus memahami dan menerima saya dalam pertemuan pertama kali. Begitu juga dengan saya. Tidak mungkin saya akan memahami beliau dalam tempoh pertemuan yang tidak sampai 1 jam. Pandangan pertama mungkin ada silapnya dan masa akan menjadi titik penentunya. Memang banyak yang beliau harapkan daripada saya namun saya hanya membalas pertanyaan beliau dengan satu jawapan ringkas sahaja iaitu action speaks louder than words.

Beliau terdiam mendengar jawapan saya dan saya mohon izin untuk menerangkannya. Saya katakan bahawa sudah pasti saya ingin memberikan yang terbaik dalam kerjaya saya kerana hanya dengan cara itu saya akan menemui kepuasan yang dicari. Tambahan pula saya sudah diberi peluang mendapat perubahan yang diharap-harapkan selama ini. InsyaAllah saya akan cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik jika diberi peluang. Saya boleh menjanjikan pelbagai janji manis semasa ditanya tetapi saya lebih suka menterjemahkannya dalam tindakan dan penilaian boleh dibuat dari situ.

Beliau tersenyum mendengar jawapan saya dan mengakui kebenaran kata-kata saya itu. Saat itu saya berasa cukup lega apabila melihat senyuman mula terpamer di wajah beliau walaupun saya tidak pasti sama ada saya akan ditempatkan di seksyen beliau atau tidak. Saya hanya menjawab sejujurnya. Selebihnya saya serahkan kepada mereka yang lebih berautoriti untuk membuat penentuan.

Kehidupan saya akan menjadi lebih berbeza selepas ini tetapi saya positif dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku kerana saya sendiri yang telah memilih jalan ini. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Saya hanya merancang, berdoa dan berusaha tetapi ketentuan Allah melebihi segala-galanya. Saya memohon yang baik untuk diri saya tetapi dengan sifat Maha Penyayang, Allah memberikan yang lebih baik dan terbaik buat diri saya. Saya akur dan insaf kerana Dia Yang Maha Mengetahui.

Doa saya semoga langkah saya selepas ini akan dipermudahkanNya jua dan yang paling penting, saya sering berdoa agar di mana jua saya ditempatkan, saya dipermudahkan untuk menunaikan ibadah kepadaNya jua. Wallahua’lam.