Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, July 1, 2010

Perasaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Bohong kalau saya katakan saya tidak gugup dan berdebar-debar semasa ditemuduga pagi tadi. Sejujurnya saya agak bimbang dengan prestasi sendiri semasa disoal dan diasak dengan pelbagai soalan oleh panel penemuduga. Mujurlah masuk bertiga dan 2 lagi rakan memberi kerjasama yang baik menyebabkan saya lebih tenang selepas beberapa ketika. Kami disoal lebih 1 jam dalam dwibahasa tetapi lebih cenderung kepada Bahasa Inggeris malah hampir 90% sebenarnya. Hanya sekali sekala panel menggunakan Bahasa Melayu apabila menyoal kami.

Entah kenapa diri terasa sungguh kosong apabila berhadapan dengan panel dan segala pembacaan sebelum memasuki bilik temuduga hilang entah ke mana. Beberapa kali saya tergagap-gagap menjawab soalan yang dikemukakan oleh panel sehingga tahap keyakinan itu semakin mendatar. Lebih mendebarkan apabila kami adalah kumpulan pertama yang ditemuduga menyebabkan kami tiada rujukan awal daripada calon-calon lain. Apa tidaknya, saya antara orang terawal yang tiba di tempat temuduga dan giliran ditentukan berdasarkan masa kehadiran. Sudahnya, saya redah jua dengan kegugupan yang menyelubungi. Amalan saya apabila berada dalam keadaan begitu, untuk mengelakkan gugup saya akan senyum dan mewujudkan hubungan mata dengan panel. Selalunya, taktik saya berjaya mengurangkan rasa gugup yang ada dalam diri dan saya menjadi lebih selesa dengan suasana tersebut. Saya merasakan apabila saya senyum (bukan sengih tapi hanya memaniskan muka sedikit), saya menjadi lebih tenang dan boleh fokus kepada soalan-soalan yang ditanya. Namun menjadi kumpulan pertama sudah pasti ada baik dan buruknya juga. Yang pasti, panel masih berada dalam mood yang segar dan sarat dengan pelbagai soalan untuk dilontarkan berbanding dengan kumpulan-kumpulan seterusnya.

Keluar dari bilik temuduga, saya hanya ketawa dan menegur sapa rakan-rakan yang belum selesai serta terus berlalu kerana tidak mahu menyemakkan lagi kepala dengan perkara yang telah berlalu. Di samping saya tidak mahu menambahkan kerisauan rakan-rakan yang masih menunggu giliran kerana setiap kumpulan sudah pasti akan melalui suasana yang berbeza. Biarlah mereka melaluinya dengan cara dan keupayaan mereka sendiri, itu fikir saya.

Saya terus menuju ke pejabat dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara panel untuk menentukan sama ada saya layak atau tidak menerima biasiswa tersebut. Apa pun keputusannya kelak, saya yakin itu yang terbaik yang telah Allah tentukan buat saya. Ada juga suara-suara kecil yang mengatakan bahawa laluan akan menjadi lebih mudah jika mempunyai kenalan di situ tetapi saya tetap dengan prinsip rezeki. Sejak dulu saya tidak pernah menggunakan sebarang saluran dalaman untuk mendapatkan sesuatu perkara dan saya amat yakin dengan ketentuan rezeki olehNya. Saya hanya mampu berusaha melakukan yang terbaik. Selebihnya saya bertawakal kepadaNya jua.

No comments: