Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, July 6, 2010

Motivasi

Bismillahirrahmanirrahim...

Akhir-akhir ini tahap motivasi kerja saya agak merudum. Kecewa juga tetapi tanggungjawab tetap dilaksanakan kerana mengenangkan gaji tetap dibayar. Ada beberapa sebab utama yang saya menyebabkan saya merasa begini tetapi saya pasti punca utama adalah kerana saya amat-amat memerlukan perubahan. Perubahan dari segala sudut. Segala-galanya tentang kerja kini menjadi agak lesu dan lemau. Sasaran saya adalah untuk melakukan sesuatu yang berbeza dan mempelajari perkara baru setiap tempoh 5 tahun. Kini, saya berada di tahun kelima di tempat kerja saya sekarang membuatkan saya meronta-ronta mendambakan sebuah perubahan. Saya bimbang akan menjadi beku dan kaku jika terus berada dalam situasi yang sama berterusan.

Baru-baru ini apabila pusingan kerja dibuat, saya tidak terlibat dalam proses tersebut. Pada awalnya saya tidak begitu kisah tetapi apabila ketua saya sering membangkitkan objektif proses tersebut dibuat adalah untuk memberi pendedahan kepada setiap ketua seksyen untuk mempelajari perkara baru, hati saya sedikit terkesan dan satu persoalan timbul mencari sebab saya tidak dilibatkan sekali. Meskipun berkali-kali saya cuba memaksa diri menerima hakikat keputusan yang telah dibuat, ada satu tanda tanya yang belum terjawab dalam diri saya yang membuatkan saya agak keliru. Namun saya tidak akan bertanya kepada ketua saya sebagai menghormati keputusan beliau.

Pun begitu, tanda tanya tersebut kian membesar dalam diri saya sehingga menyebabkan saya merasa hilang fokus terhadap kerja dan menggugat tahap motivasi diri. Pelbagai andaian dan persoalan yang tiada jawapannya bermain-main dalam benak saya. Percubaan mempositifkan diri dengan keputusan yang dibuat hanya berkesan pada peringkat awal sahaja. Kini, saya keliru dan paling membimbangkan apabila ia seolah-olah memberi kesan terhadap prestasi kerja saya. Jauh di sudut hati, saya menginginkan perubahan meskipun saya akui amat menghargai segala-galanya yang saya miliki sekarang. Sesungguhnya kehidupan ini dinamik. Sepertimana alam berputar dan berpusing tanpa henti sehingga ke saat yang ditentukanNya, begitulah juga dengan kehidupan ini. Walau sesayang mana pun saya terhadap sesuatu perkara, tiba saatnya saya harus berani melangkah untuk meninggalkannya. Bukan melupakan, jauh sekali membenci tetapi itulah erti sebuah kehidupan. Saya akui berasa selesa dengan tugasan sekarang malah banyak yang saya pelajari dalam tempoh ini tetapi apabila terlalu lama melakukannya, timbul perasaan bosan dan keinginan untuk mencari perkara baru.

Saya amat-amat menghargai tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya malah sanggup mengorbankan masa untuk menunaikannya. Saya masih ingat di awal-awal lantikan, saya sering pulang lewat malam (selalunya selepas solat Isyak) untuk memastikan setiap persiapan dan perancangan berjalan lancar. Saya banyak belajar bagaimana untuk berurusan dengan pihak luar dan juga jabatan-jabatan yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian. Segalanya adalah pengalaman yang cukup berharga dan mematangkan saya dalam mengenal sepak terajang berada dalam dunia pekerjaan. Malah di sini, saya diberi peluang mengasah bakat dan kemahiran dalam pengucapan dengan seringkali dijemput menjadi penceramah kepada pegawai lantikan baru. Alhamdulillah, kini jika diminta untuk menyampaikan taklimat atau penerangan kepada sekumpulan pegawai, InsyaAllah saya berani mengatakan bahawa saya mampu untuk melakukannya.

Meskipun ramai pihak (terutama pegawai senior) yang beranggapan masih terlalu awal untuk saya dan rakan-rakan seangkatan menjawat jawatan sebagai ketua seksyen, saya beranggapan semua ini adalah ketentuanNya jua. Saya percaya bahawa Allah meletakkan seseorang hambaNya sesuai dengan keupayaan dirinya kerana Dia yang telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Justeru, manusia berhak memberi pelbagai andaian dan pendapat berdasarkan ilmu dan pengetahuan terhad yang dikurniakanNya tetapi tidak semuanya benar dan boleh diterima bulat-bulat sahaja. Malah setiap yang berlaku sudah pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Kepada diri saya dan rakan-rakan pula, tanggungjawab yang telah diberi bukan secara percuma. Ada harga yang harus dibayar bersamanya. Great power comes with great responsibilities. Itu pesan bijak pandai dan pemimpin-pemimpin terdahulu.

Cumanya sebagai jagung yang baru berputik, saya amat insaf masih ada banyak ruang penambahbaikan yang perlu saya perbaiki dan pertingkatkan dari semasa ke semasa. Berwajah serius membuatkan ada yang menyangka saya seorang yang garang (walaupun ada juga benarnya pada masa-masa tertentu), tetapi hakikatnya saya sering ‘memanjakan’ pegawai bawahan dengan cara saya tersendiri. Saya berpendapat selagi kelonggaran yang saya berikan tidak mengganggu perjalanan urusan kerja, saya tidak akan melatah dan menghukum dengan sewenang-wenangnya, jauh sekali untuk memarahi. Akan tetapi, saat kelonggaran yang diberikan mula disalah tafsirkan oleh mereka, saya menjadi jauh hati dan sedikit sedih. Mula merasakan bahawa mereka tidak menghargai ‘kemanjaan’ yang telah saya curahkan selama ini. Selalunya, saya hanya akan berdiam diri sahaja sehingga kemarahan saya mereda kerana sebolehnya saya mengelak untuk menegur dalam emosi. Bimbang kata-kata yang terlafaz adalah yang bakal disesali. Apapun, mereka harus ditegur agar kesilapan yang sama tidak berulang malah saya berdosa jika tidak berbuat demikian kerana mereka berada di bawah tanggungjawab saya. Apa jua tingkah yang dipertontonkan oleh mereka, saya anggap mewakilkan saya sebagai ketua mereka.

Teringat pesan ketua saya, there is no bad soldier under a good general. Saya akui begitu terkesan dengan kata-kata itu dan menyebabkan saya begitu ‘melindungi’ pegawai bawahan saya. Prinsip saya, selagi mana sesuatu perkara itu mampu saya tangani sendiri tanpa melibatkan ketua saya dan tidak mengganggu urusan kerja, akan sedaya upaya saya uruskannya sendiri. Sehingga saat dan detik ini, saya berani mengatakan bahawa saya tidak pernah memburuk-burukkan pegawai bawahan saya di hadapan ketua saya sendiri. Anggapan saya, memburuk-burukkan mereka samalah seperti saya membuka pekung di dada. Sama seperti saya memburuk-burukkan diri sendiri juga. Justeru, saya sedaya mungkin akan cuba ‘melindungi’ mereka selagi mana mereka juga tidak melampaui batas yang sepatutnya. Saat mereka melepasi batas itu, saya tidak akan lagi mampu ‘melindungi’ mereka dan mereka seharusnya bertanggungjawab atas setiap tindakan yang dibuat. Alhamdulillah, perkara itu masih belum pernah berlaku dan saya berharap ia tidak akan menimpa saya pada masa hadapan. Jika ada pun kekhilafan yang dilakukan, ia masih berada dalam ruang lingkup yang boleh dimaafkan dan saya anggap mereka sedang melalui proses pembelajaran sehingga ke satu saat kesilapan bukan lagi satu kemestian.

Tiba saatnya, saya harus melangkah pergi meninggalkan mereka. Keadaan akan turut sama bagi mereka. Tiba ketikanya, mereka harus meneruskan perjalanan ke tempat baru. Namun, saya sering menginginkan agar ukhuwwah yang telah sedia terjalin dikekalkan dan tidak disia-siakan, bukan setakat kekal sebagai hubungan antara majikan dan pekerja sahaja. Jika itu berlaku, saya mungkin boleh dianggap telah gagal memainkan peranan sebagai seorang ketua.

Apa pun yang saya lakukan, saya tetap insaf bahawa yang menentukannya adalah Dia jua. Saya hanya mampu melakukan apa yang terdaya sebagai seorang hambaNya. Apa jua natijah di sebalik usaha saya, sesungguhnya itulah yang selayaknya saya terima. Wallahua’lam.

2 comments:

HaNiE said...

Kuatkan semangat.... Mungkin ada pelangi disebalik hujan panas ini... Bertahanlah sahabat... peace ^_^ mari berbekam, hehehe

Carrie-Ma said...

thanx fren, i really need it now. a'a la, ada plan kita yg belum terlaksana. jom gi bekam!